We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari; Kitab Waktu Solat; Sesi 42, 43, 44 Bab Waktu Maghrib September 18, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Waktu Solat — visitor74 @ 4:19 pm
Tags: , ,

Bab ke 100 Waktu Maghrib

باب وَقْتِ الْمَغْرِبِ

وَقَالَ عَطَاءٌ يَجْمَعُ الْمَرِيضُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ‏.‏

Ata’ berkata: orang sakit boleh menjamak solat Maghrib dan Isyak.

Imam Bukhari memasukkan pendapat ata’ kerana beliau bersetuju dengan pendapatnya. Memang banyak pendapat lain lagi tapi dia memilih pendapat ini. Imam Bukhari menggunakan pendapat seorang tabein untuk menguatkan hujahnya. Macam kita juga, lapik dengan pendapat ulama yang dikenali. Kerana kalau pendapat kita sahaja, orang pun tak mahu pakai. Tapi kalau kita pakai pendapat orang yang terkenal, itu lebih menguatkan hujah kita. Kenapa Imam Bukhari sampai kena kuatkan pendapatnya? Bukankah dia juga seorang imam dan kita sekarang pun pakai pendapat dia juga? Kita kena ingat zaman itu. Bukanlah dia terkenal macam sekarang. Waktu dulu, dia pun ada penentang dia juga. Dan selalunya, manusia tidak suka nak dengar pendapat orang yang masih hidup. Begitulah keadaan dunia.

Atsar Ata’ ini tiada sanad – diriwayatkan secara taqlid. Biasanya Imam Bukhari masukkan jenis muallaq sebegini dalam tajuk. Tapi kata-kata Ata’ ini kalau dikaji dalam kitab-kitab lain, memang ada sanad dia dan boleh dipercayai. Cuma Imam Bukhari tidaklah masukkan sanad itu dalam tajuknya, kerana ini bukanlah hujahnya yang utama.

Imam Bukhari hendak menyatakan dengan kata-kata Ata’ itu bahawa boleh jamak tanpa musafir. Pendek sahaja kata-kata yang dimasukkan. Inilah kehebatan beliau. Kedalaman fahamannya boleh dilihat dalam tajuk.

Ulama pensyarah Sahih Bukhari membincangkan kenapa Imam Bukhari memasukkan atsar ini? Banyak pendapat dikeluarkan oleh mereka. Kenapa tidak sependapat: Kerana nak pastikan tidak boleh kerana Imam Bukhari dah mati. Apa yang ulama boleh buat adalah agak sahaja berdasarkan kepada ilmu yang ada. Antara beberapa pendapat adalah:

Waliyullah: Imam Bukhari hendak menunjukkan waktu Maghrib dan Isyak itu bersambung. Habis sahaja Maghrib, terus masuk Isyak. Pada Shah Waliyullah, itulah sebabnya Ata’ mengatakan yang boleh jamak itu. Iaitu Jamak Soori. Jamak kalau tak musafir pada Imam Bukhari hanya jamak soori. Jamak Soori dilakukan dalam waktunya masing-masing. Iaitu dilakukan di hujung Maghrib dan terus solat Isyak apabila masuk waktunya.

Ibn Hajar: Imam Bukhari hendak mengatakan bahawa waktu Maghrib memanjang sampai kepada waktu isyak. Bukan sempit dan pendek. Kalau ianya pendek, maka ianya terputus dari waktu isyak seperti terputusnya waktu subuh dan zuhur. Sebab itulah solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan zuhur. Dan apabila maghrib dikatakan boleh dijamakkan, bermaksud waktu maghrib bersambung terus hingga ke isyak. Habis sahaja waktu maghrib, terus waktu isyak.
Ini juga bermaksud yang Ibn Hajar mengatakan bahawa jamak yang dimaksudkan adalah jamak haqiqi, bukan jamak soori. Iaitu boleh jamak dalam salah satu waktu maghrib atau isyak, bukan dalam waktunya masing-masing. Itulah sebabnya beliau bawa hadis Nabi melakukan jamak dalam salah satu waktu.
Yang nampak macam solat maghrib itu pendek kerana Nabi mempercepatkannya, sepertimana solat-solat yang lain. Kalau ada hal tertentu sahaja Nabi akan melambatkan nya.
Tambahan pula, memang jamak ini untuk memudahkan manusia. Kalau boleh jamak soori sahaja, sudah menyusahkan.

Syeikh Zakaria: tujuan Imam Bukhari membawakan atsar Ata’ ini adalah untuk mengkritik pendapat yang mengatakan bahawa waktu Maghrib itu pendek. Antara yang dikritik adalah mazhab Syafie.

Kenapa musafir dibenarkan jamak? Kerana susah. Maka begitu jugalah dengan kalau sakit.

 

Bermula waktu Maghrib

Hampir tiada khilaf ulama tentang bilakah mula masuk waktu maghrib – Ianya bermula apabila terbenam matahari. Itu sebab tajuk Imam Bukhari letak simple sahaja. Sebab hampir semua setuju.

Bagaimana pun, ada juga ulama yang kata waktu Maghrib masuk apabila bintang sudah kelihatan. Tapi Imam Bukhari tak hirau sangat sebab pendapat itu lemah, tidak kemas dan tak ramai pun orang tahu. Tak ramai pun yang pakai. Syiah buat macam tu lah. Jadi kita tak boleh ikut.

Dalil mereka yang mengatakan Maghrib masuk apabila sudah ada bintang adalah hadis dari Muslim. Tapi hadis itu adalah shaz, kerana berlawanan dengan banyak lagi hadis lain yang lebih kuat. Memang hadis itu menceritakan bahawa Nabi lambat solat Maghrib, tapi itu bukan selalu. Kebiasaannya, Nabi akan solat apabila masuk terbenam matahari. Jadi, walaupun hadis itu terdapat dalam Muslim, tapi tak boleh terus terima. Kena lihat juga kepada hadis-hadis yang lain. Apabila hadis itu berlainan dengan hadis-hadis lain yang sahih, maka ianya berstatus ‘syaz’, iaitu bermaksud ‘ganjil’. Apabila ganjil, ianya telah menjadi dhaif, walaupun sanadnya elok.

 

Bagaimana pula dengan hujung waktu maghrib? Ada beberapa pendapat:

1. Apabila telah habis syafaq merah. Antara yang berpendapat begini adalah Imam Syafie.
2. Apabila telah habis syafaq putih. Ini berlaku selepas syafaq merah. Ada lagi kesan cahaya matahari.
3. Waktu maghrib pendek sahaja. Cukup untuk azan, terus iqamah, solat tiga rakaat dan solat ba’diah dua rakaat. Apabila habis solat sunat ba’diah, maka tamatlah waktu maghrib. Ini adalah qaul jadid Imam Syafie tapi tidak dipakai oleh syafiiyah. Ini adalah pendapat yang lemah. Tapi boleh juga kalau nak guna dalam keadaan tertentu. Kalau ada yang sakit, susah nak ambil wuduk, selepas solat maghrib boleh terus solat isyak dengan memakai pendapat ini.

 

 

Kenapa Imam Bukhari tidak memasukkan hadis yang mengatakan bahawa waktu Maghrib itu habis apabila hilang syafaq? Memang ada hadis yang sebegitu dalam kitab-kitab yang lain. Sahih pula tu, bukannya dhaif. Bukankah itu mudah? Tapi beliau tidak berbuat begitu. Ini adalah kerana beliau telah berjanji untuk mengeluarkan hadis yang tinggi kadar sahih hadisnya. Hadis itu memang sahih pada orang lain dah, tapi oleh kerana Imam Bukhari meletakkan syarat yang amat tinggi, beliau tidak memasukkannya dalam kitab sahihnya ini.

Maka susahlah beliau membawakan hadis yang tinggi sahihnya tapi tidak jelas. Beliau sendiri tahu hadis-hadis itu memang beliau pakai pun sendiri.

526 ـ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مِهْرَانَ، قَالَ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ، قَالَ حَدَّثَنَا الأَوْزَاعِيُّ، قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّجَاشِيِّ، صُهَيْبٌ مَوْلَى رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ قَالَ سَمِعْتُ رَافِعَ بْنَ خَدِيجٍ، يَقُولُ كُنَّا نُصَلِّي الْمَغْرِبَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَيَنْصَرِفُ أَحَدُنَا وَإِنَّهُ لَيُبْصِرُ مَوَاقِعَ نَبْلِهِ‏.‏

526. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Mihran berkata, telah menceritakan kepada kami Al Walid berkata, telah menceritakan kepada kami Al Awza’i berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Najasyi Shuhaib mantan budak Rafi’ bin Khadij, ia berkata, “Aku pernah mendengar Rafi’ bin Khadij berkata, “Kami selalu solat Maghrib bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Kami selesai solat ketika seseorang masih nampak lagi tempat jatuh anak panah (yang dilepaskannya)”.

Jauh juga kalau dapat dilihat anak panah yang dipanah. Bayangkan kalau kita lepaskan anak panah, entah berapa meter ia akan pergi. Maknanya, mereka melakukan solat Maghrib di awal waktu sebab masih nampak lagi anak panah yang ditembak. Maknanya habis solat pun cepat. Ini juga bermakna, bacaan surah pendek sahaja. Maka, ada betulnya kalau imam baca surah yang pendek-pendek sahaja.

Bila ada perkataan كُنَّا, maknanya ini adalah kebiasaan Nabi. Kalau ada hadis yang menceritakan Nabi solat lewat, itu bukanlah kebiasaan. Itu hendak menunjukkan boleh kalau solat lewat. Tapi bukanlah itu kebiasaan baginda.

Satu perkara lain yang kita boleh tahu dari hadis ini adalah para sahabat itu masa pergi solat pun bawa anak panah. Ini menunjukkan mereka selalu berlatih. Kerana mereka selalu berperang mengembangkan Islam. Mereka mengambil mana-mana peluang untuk berlatih. Boleh juga kita ambil pengajaran dari perbuatan mereka itu. Kita pun kena tahu juga guna senjata. Sekarang memang keadaan aman, tapi kalau kita kena serang, macam mana? Kalau waktu itu baru nak belajar main senjata, agak dah lambat dah tu. Oleh itu, idea kerajaan untuk membiasakan anak-anak kita dengan senjata seperti yang mereka lakukan dalam PLKN tu kiranya bagus ideanya. Tapi kesian kepada kebanyakan kita, sukan yang kita main, banyak yang sia-sia. Bayangkan, kalau kita main bowling, apakah kebaikan yang kita boleh ambil darinya?

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ سَعْدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ، قَالَ قَدِمَ الْحَجَّاجُ فَسَأَلْنَا جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي الظُّهْرَ بِالْهَاجِرَةِ، وَالْعَصْرَ وَالشَّمْسُ نَقِيَّةٌ، وَالْمَغْرِبَ إِذَا وَجَبَتْ، وَالْعِشَاءَ أَحْيَانًا وَأَحْيَانًا، إِذَا رَآهُمُ اجْتَمَعُوا عَجَّلَ، وَإِذَا رَآهُمْ أَبْطَوْا أَخَّرَ، وَالصُّبْحَ كَانُوا ـ أَوْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّيهَا بِغَلَسٍ‏.‏

527. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar berkata, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja’far berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Sa’ad bin Ibrahim dari Muhammad bin ‘Amru bin Al Hasan bin ‘Ali berkata, “Al Hajjaj datang, lalu kami bertanya kepada Jabir bin ‘Abdillah (tentang waktu-waktu sembahyang). Maka dia menjawab, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu melaksanakan salat Zhuhur ketika betul-betul tengahari, salat ‘Asar pada ketika matahari masih suci bersih, salat Maghrib ketika matahari telah terbenam, dan salat ‘Isya kadang-kadang cepat dan kadang-kadang lambat. Jika baginda lihat mereka sudah berkumpul maka beliau segerakan, dan jika mereka lambat (di masjid) maka baginda akan lewatkan. Sementara untuk salat Subuh, mereka atau baginda, melaksanakannya waktu ghalas (waktu pagi masih gelap selepas terbit fajar Saadiq).”

Dalam hadis ini ada disebut tentang Hajjaj. Nampak seperti Hajjaj diceritakan dalam hadis ini seperti selalu melambatkan solat lambat sampaikan mereka bertanyakan kepada Jabir Abdillah tentang bagaimanakah Nabi solat. Oleh itu, hadis sebegini dijadikan sebagai salah satu dalil untuk memburukkan Hajjaj dan khalifah lainnya. Itu adalah salahguna. Waktu ini Hajjaj jadi gabenor Madinah. Zaman khalifah Malik bin Marwan. Selepas terbunuh Ibn Zubair. Lebih kurang Tahun 74H.

Dari hadis ini, menunjukkan Nabi solat ikut keadaan. Kadang-kadang Nabi akan melambatkan solat. Yang penting adalah supaya selesa dalam solat. Supaya khusyuk dalam solat. Selesaikan mana-mana masalah kalau perlu.

‘mereka atau baginda’ digunakan dalam hadis ini. Kenapa begini? Sahabat tak solat dengan Nabi kah? Ada kata syak perawi. Iaitu perawi tak pasti Jabir sebut macam mana. Itulah amanah perawi. Kalau mereka tidak pasti, mereka akan cakap mereka tak pasti. Itu adalah amanah dengan ilmu mereka. Mereka tidak mereka-reka.

Pendapat kedua mengatakan maksudnya, Nabi solat Subuh tidak sama macam Isyak. Iaitu Baginda tak tunggu sahabat supaya ramai. Kalau solat Isyak, baginda akan tunggu sampai ramai sahabat. Tapi dalam hal solat Subuh, baginda tetap solat subuh waktu gholas samada sahabat ramai atau tidak.

 

 

حَدَّثَنَا الْمَكِّيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ أَبِي عُبَيْدٍ، عَنْ سَلَمَةَ، قَالَ كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم الْمَغْرِبَ إِذَا تَوَارَتْ بِالْحِجَابِ‏.‏

528. Telah menceritakan kepada kami Al Makki bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Abu ‘Ubaid dari Salamah berkata, “Kami salat Maghrib bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika matahari sudah dilindungi tirai (terbenam).”

Hadis ini salah satu dari jenis hadis yang dinamakan thulathiyat – iaitu bermaksud hanya ada antara Imam Bukhari dan Nabi tiga perawi sahaja. Tidak banyak jenis hadis yang sebegini. Dalam Kitab Sahih Bukhari ini, hanya ada 22 hadis sahaja yang sebegitu. Selalunya, ada empat atau lima perawi antara beliau dan Nabi. Imam Bukhari amat berbangga dengan hadis yang sebegini. Sebab dia jauh daripada Nabi, maka selalunya ada ramai perawi antara beliau dan baginda. Dan kali ini ada hanya tiga perawi sahaja. Perawi-perawi itu pula perawi-perawi yang kemas-kemas. Kita pun tahu, ianya susah nak menepati syarat-syaratnya yang amat ketat. Sebab memang ada kalau ada dua perawi sahaja antara beliau dan Nabi. Tapi tak kuat perawi itu pada pandangannya.

Ianya amat disukai oleh Imam Bukhari kerana semakin sikit perawinya, semakin terpelihara lafaznya dan maknanya. Kurang mulut yang sampaikan. Kerana apabila ramai yang sampaikan ada kemungkinan mereka riwayat dengan fahaman mereka sendiri guna bahasa mereka sendiri.

Begitulah agama Islam ini kenalah bersanad. Malangnya ada yang sesat sampai pernah kata dapat terus dari Imam Abu Hanifah, Syeikh Abdul Qadir Jailani. Padahal mereka hidup zaman sekarang. Maaf cakap, ini selalunya kumpulan tarekat. Senang sahaja nak tipu ahli tarekat ni. Sebab semua jahil.

529 ـ حَدَّثَنَا آدَمُ، قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، قَالَ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ زَيْدٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ صَلَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سَبْعًا جَمِيعًا وَثَمَانِيًا جَمِيعًا‏.‏

529. Telah menceritakan kepada kami Adam berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, ‘Amru bin Dinar berkata, Aku pernah mendengar Jabir bin Zaid dari ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melaksanakan salat tujuh rakaat dengan jama’ dan lapan rakaat dengan jama’.”

Kalau kita baca sendiri, tak jelas hadis ini. Tak nampak manakah kaitan dengan waktu Maghrib. Halus fahaman Imam Bukhari. Orang lain tak faham. Dia yang nampak dahulu. Bila dah dijelaskan, baru nampak kepentingan hukum dalam hadis ini.

Tujuh rakaat yang dimaksudkan adalah Nabi telah menjamak Solat Maghrib dan Isyak
Lapan itu bermaksud baginda telah menjamak solat Zuhur dan Asar.

Dan jamak itu dilakukan di Madinah, bukan dalam musafir.

Hadis ini ada sangkut dengan atsar Ata’ dalam tajuknya. Ata’ kata orang sakit boleh jamak. Imam Bukhari terima boleh secara mutlaq. Mazhab Syafie mengharuskan. Tidak mutlaq. Bermaksud, kena ada syarat kalau nak melakukan jamak di tempat mukim.

Imam Nawawi ulama tarjih. Sebab dalam mazhab Syafie pun banyak khilaf juga. Beliau kata boleh jamak bila ada keperluan walau bukan dalam musafir. Sebab dalam Sahih Muslim ada hadis Nabi jamak di Madinah tanpa takut dan hujan. Tapi dilakukan sekali sekala. Kalau sibuk atau sebagainya. Sebab ilat dalam musafir adalah kerana susah. Tapi, hanya sekali sekala sahaja. Jangan biasakan. Kalau biasakan, jadi macam Syiah pula.

Nabi dalam hadis jelas telah melakukan jamak haqiqi. Apabila ditanya kenapa baginda lakukan begitu, baginda jawap baginda melakukan begitu kerana untuk tidak menyusahkan umatnya. Kerana ada kalanya, perlu untuk kita menggunakannya.

Ibn Abbas pernah ceramah sampai habis waktu Maghrib. Sampai ada yang tegur masa tu untuk berhenti solat. Ibn Abbas balas dengan berkata adakah orang itu nak mengajar dia sunnah? Kerana apa yang dia buat itu adalah Sunnah. Kerana waktu itu dia hendak menghabiskan menyampaikan ceramahnya. Dia jamakkan solat Maghrib dan Isyak malam tu.
Maka banyak kegunaan yang boleh dipakai. Sebagai contoh, kalau seorang Surgeon, dia boleh gunakan kebebasan ini untuk sekali sekala menjalankan pembedahan walaupun terlepas solat.

Soalan: ilmu Laduni
Jawapan: ada. Macam sahabat dapat banyak ilmu. Abu hurairah banyak dapat hafal banyak hadis. Zaid thabit belajar bahasa Yahudi 18 hari. Iaitu Allah berikan pemahaman.
Tapi bukanlah macam yang difahami oleh golongan tasawuf. Itu mereka kata tahu perkara ghaib. Mana ada macam tu. Nabi sendiri pun tak tahu ilmu ghaib.

Lompat ke hadis yang seterusnya

Soalan: matsurat susunan Hasan al Banna
Jawapan: luas fahaman zikir. Solat itu zikir.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s