We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Waktu-Waktu Sembahyang Sesi 22 & 23 Bab Waktu Zuhur Semasa Gelincir Matahari May 26, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Waktu Solat — visitor74 @ 6:01 pm

بَاب وَقْتُ الظُّهْرِ عِنْدَ الزَّوَالِ وَقَالَ جَابِرٌ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِالْهَاجِرَةِ

Bab 93 Waktu Zuhur bermula sebaik sahaja Gelincir Matahari. Jabir Berkata: Nabi s.a.w. Selalu Bersembahyang zuhur Pada Waktu Panas Terik di tengahari.

Sekarang barulah Imam Bukhari masuk betul-betul hendak menceritakan tentang waktu solat. Iaitu tentang bilakah waktu solat itu masuk. Dimulakan dengan solat Zuhur. Sebelum ini dah sebut tentang ‘melewatkan solat zuhur’. Kenapa pula begitu? Nampak macam ada celaru, tidak ikut susunan. Sepatutnya, kalau kita fikir logik kita, tentulah kena cerita dulu tentang bilakah waktunya masuk, baru cerita tentang melewatkanya. Tapi itulah uniknya susunan yang dibuat oleh Imam Bukhari. Begitulah juga susunan Quran. Bukan mengikut waktu turunnya ayat itu. Tapi ada rahsia dalam susunan ayat-ayat Quran itu. Kena belajar baru tahu kelebihan sususan itu.

Kenapa mulakan dengan waktu zuhur? Kenapa tidak dimulakan dengan solat subuh pula? Kerana itulah waktu pertama Nabi solat berjemaah dengan para sahabat. Ini adalah selepas baginda dapat hadiah solat dalam isra mi’raj. Memang solat Nabi yang pertama adalah subuh. Tapi waktu itu dilakukan bersama roh-roh para Nabi yang dahulu.

Ulama hampir sepakat mengatakan bahawa waktu zuhur masuk sebaik sahaja matahari condong sedikit. Iaitu selepas bayang sesuatu barang itu sebesar lebar tali kasut. Ini berdasarkan hadis riwayat Ibnu Abbas. Ada dalam Sunan Abu Dawud.

Akhir waktu zuhur pula, ada khilaf ulama. Jumhur ulama berpendapat waktu zuhur berakhir apabila bayang sesuatu barang seperti tiang yang dicacakkan itu sama panjang dengan benda itu. Cuma, Imam Abu Hanifah mengatakan yang waktu zuhur berakhir apabila bayang itu jadi dua kali panjang. Tapi tak ramai yang berpandangan begitu.

Ada ulama yang mengatakan, ada waktu yang dinamakan Waktu Mushrarak. Iaitu satu waktu yang berkongsi antara zuhur dan asar. Panjang waktu itu adalah sekadar 4 rakaat solat. Imam Bukhari tak setuju dengan pendapat ini. Kerana waktu ini juga dinamakan waktu faasilah. Atau waktu senggang. Tidak molek solat pada waktu ini pada pendapat Imam Bukhari. Ada juga yang menamakannya waktu mukmal. Mukmal bermaksud: ‘kosong”. Solat itu sah, tapi tiada pahala.

Imam Bukhari berpendapat waktu zuhur sampai masuk waktu asar. Rapat antara kedua-dua waktu itu. Habis sahaja waktu zuhur, terus masuk waktu Asar. Tidak ada apa-apa waktu antaranya. Ulama fekah mengatakan, kalau sempat satu rukuk dalam waktu itu sudah dikira solat dalam waktu. Contohnya, kita dapat rukuk dalam waktu zuhur dan selepas kita rukuk, terus kedengaran azan waktu Asar. Itu bermakna, kita dah dapat solat dalam waktu zuhur. Tak berdosa kalau kita sekali-sekala buat. Mungkin kita ada hal yang tak dapat dielakkan. Cuma berdosa kalau dijadikan kebiasaan – hari-hari solat waktu itu sahaja. Itu dah lain dah tu.

Imam Bukhari membawakan kata Jabir secara takliq – tanpa sanad, untuk mengatakan pernah Nabi solat zuhur apabila matahari terus sahaja tergelincir. Untuk menyatakan bahawa waktu zuhur terus masuk apabila matahari tergelincir. Iaitu, waktu itu tengah panas terik lagi.

507 – حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ حِينَ زَاغَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّى الظُّهْرَ فَقَامَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَذَكَرَ السَّاعَةَ فَذَكَرَ أَنَّ فِيهَا أُمُورًا عِظَامًا ثُمَّ قَالَ مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَسْأَلَ عَنْ شَيْءٍ فَلْيَسْأَلْ فَلَا تَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَخْبَرْتُكُمْ مَا دُمْتُ فِي مَقَامِي هَذَا فَأَكْثَرَ النَّاسُ فِي الْبُكَاءِ وَأَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي فَقَامَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ حُذَافَةَ السَّهْمِيُّ فَقَالَ مَنْ أَبِي قَالَ أَبُوكَ حُذَافَةُ ثُمَّ أَكْثَرَ أَنْ يَقُولَ سَلُونِي فَبَرَكَ عُمَرُ عَلَى رُكْبَتَيْهِ فَقَالَ رَضِينَا بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا فَسَكَتَ ثُمَّ قَالَ عُرِضَتْ عَلَيَّ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا فِي عُرْضِ هَذَا الْحَائِطِ فَلَمْ أَرَ كَالْخَيْرِ وَالشَّرِّ

507. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhri berkata, telah mengabarkan kepadaku Anas bin Malik, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar rumah untuk melaksanakan salat Zhuhur sebaik sahaja matahari tergelincir. Kemudian baginda berdiri atas mimbar dan menyebutkan tentang hari kiamat. Beliau sebutkan bahawa pada saat itu akan berlaku banyak perkara yang besar, kemudian baginda bersabda: “Siapa ingin bertanya tentang sesuatu, maka bertanyalah. Dan tidaklah kalian bertanya kepadaku tentang tentang sesuatu, kecuali aku akan khabarkan kepada kalian selama aku berada di tempatku ini.” Maka para sahabat pun menangis, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terus mengulangi: “Bertanyalah kepadaku.” Maka berdirilah ‘Abdullah bin Hudzafah As Sahmi seraya bertanya, “Siapakah ayahku?” Beliau menjawab: “Ayahmu Hudzafah.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam meminta lagi: “Bertanyalah kepadaku.” Maka berlututlah ‘Umar lantas berkata, “Kami ridha Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi kami.” Barulah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam diam kemudian bersabda: “Baru sekejap diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di dinding ini, aku tidak pernah lihat kebaikan dan keburukan sebagaimana yang aku lihat itu.”

Hadis ini ada Asbabul Wurud – sebab turun hadis. Kalau ayat Quran, ada Asbabun Nuzul. Hadis pun kena tahu sebab turunnya, atau background hadis itu. Kalau tidak, kita mungkin tidak faham kalau kita baca sahaja hadis itu. Kerana kalau kita baca hadis ini, sebenarnya Nabi suruh sahabat bertanya itu dalam keadaan marah.

Maka Nabi kata tanyalah apa yang hendak ditanya selagi baginda ada atas mimbar itu. Maknanya, tentulah Allah beri arahan kepada baginda untuk berbuat begitu. Kalau tak tahu kisah sepenuhnya, kita tak tahu hujung pangkal kisah dalam hadis dan kita tak faham. Kisahnya adalah: ada orang munafik yang kata Nabi tak boleh jawab apa-apa pun. Ini adalah kerana musuh Islam merancang sesama mereka bagaimana hendak menjatuhkan Nabi. Ada puak munafik yang berjumpa dengan puak Yahudi. Puak Yahudi yang suruh mereka tanya macam-macam. Mereka akan bagi idea untuk ditanya. Maka, puak Munafiklah yang buat masalah dalam hal ini.

Dalam kes ini, puak munafik merendahkan puak muslim. Mereka kata puak muslim pun bukan tahu siapa sebenarnya ayah sebenar mereka. Kerana dulu pun mereka orang jahiliah belaka. Dan semasa jahiliah, memang hubungan lelaki perempuan bebas. Seorang perempuan, boleh mengadakan hubungan dengan lebih dari seorang lelaki. Itu adalah kebiasaan. Jadi ada kemungkinan ayah mereka bukanlah ayah sebenar. Selepas Nabi suruh tanya tu, mereka pun takut sebenarnya nak tanya. Tapi suruh mereka tanya juga. Yang mula berani tanya adalah Abdullah bin Hudzafah As Sahmi. Dia tanya tentang siapakah ayahnya kerana itulah kemusykilan dalam hatinya. Dia sanggup untuk tahu walaupun kalau Nabi beritahu yang bapanya adalah lain dari bapanya sekarang.

Nabi mulanya telah naik mimbar dan memperkatakan tentang hari akhirat. Tidak dijelaskan dalam hadis ini apakah butir yang baginda sebutkan. Cuma dikatakan bahawa ianya adalah perkara yang besar. Kemudian Nabi suruh para sahabat bertanya kepada baginda.

Dalam hadis ini ada permasalahan akidah yang perlu dijelaskan. Iaitu ada yang menggunakan hadis seperti ini untuk menyatakan bahawa Nabi tahu segalanya perkara ghaib. Mereka kalau Allah telah beri ilmu yang lengkap tentang alam ghaib kepada Nabi. Ini adalah akidah yang salah. Bukanlah Nabi tahu semua perkara melainkan apa yang diberitahu kepada baginda sahaja. Fahaman yang mengatakan Nabi tahu perkara ghaib adalah fahaman Brehlawi. Itu adalah puak sesat. Fahaman begini tidak banyak nampaknya di Malaysia tapi mungkin ada juga yang berfahaman macam itu sikit-sikit. Maka kita kena berhati-hati.

Nabi kata selagi baginda ada di situ. Maknanya waktu itu sahaja. Dalam Quran pun disebut Nabi tak tahu perkara ghaib.

Kenapa mereka menangis? Ada kata sebab Nabi telah cerita tentang kiamat dan mereka terkesan dengannya.

Kenapakah Umar duduk berlutut? Ini adalah kerana Umar faham. Dia seorang sahabat yang amat cerdik. Dia tahu yang Nabi marah dari cara cakap Nabi. Umar melutut itu kerana hendak tunjuk merendah diri dengan Nabi. Duduk itu dikatakan beliau duduk iftirash – duduk tahiyat awal.

Kenapa Nabi reda selepas Umar kata begitu? Kerana soalan mereka itu seperti tidak percaya dan menduga kepada baginda. Maka, Umar mengatakan yang mereka semua redha dengan Nabi sebagai Nabi mereka. Mereka tidak mempersoalkan kenabian baginda. Kerana soalan mereka itu seperti menduga Nabi. Apabila kita duga seseorang, itu seperti kita tidak percaya kepada orang itu.

 

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini: 

  1. Selalunya Nabi akan solat zuhur di awal waktu, iaitu sebaik sahaja matahari tergelincir. Sebab Jabir kata ‘selalu’.
  2. Selalu apabila ada perkara penting, Nabi akan naik dan cakap dari atas mimbar. Kalau perkara biasa, Nabi tak cakap macam tu. Kalau ada pengumuman yang penting pun Nabi akan naik ke atas mimbar. Supaya ramai orang boleh tahu.
  3. Salah satu kepercayaan yang paling penting dalam Islam adalah percaya kepada hari kiamat. Ianya pasti akan berlaku. Maka, hendaklah kita bersedia kepadanya. Ianya adalah satu perkara yang amat besar. Kena berjaga-jaga.
  4. Ada masanya Allah akan membukakan khashaf kepada Nabi untuk nampak perkara ghaib. Bukan Nabi minta. Bukan macam orang yang belajar amalan untuk mendapatkannya. Seperti orang kita yang belajar isim. Itulah yang selalu jadi gila isim tu. Mereka yang belajar itu kerana mereka hendak ilmu ghaib. Macam-macam boleh dapat. Bila hendak sahaja, boleh jadi. Itu bukan ilmu yang baik sebenarnya. Itu adalah ilmu sihir.
  5. Bertanya untuk menjatuhkan seseorang amat tidak disukai Nabi. Itulah yang terjadi dalam hal ini. Cara mereka bertanya seperti mereka hendak menguji Nabi. Nak tanya memang boleh, tapi kalau tanya kerana didorong perasaan, itu tidak elok.
  6. Para sahabat sensitif sampai menangis. Banyak terjadi perkara yang sebegini. Mereka telah dididik jiwanya oleh Nabi. Mereka terkesan dengan ajaran Nabi. Orang yang sebegini, tidak mudah buat maksiat. Kerana mereka takut dengan neraka dan azab dari Allah. Mereka macam dah nampak. Bukan macam kita, walaupun kita tahu, tapi belum sampai ke tahap mereka.
  7. Kelbihan beradap dengan guru dan duduk dengan baik. Apabila Umar hendak memujuk Nabi, beliau telah duduk melutut.
  8. Ada langkah untuk dibuat apabila ada orang marah. Kena redakan dia. Langkah itu haruslah yang dapat meredakan kemarahannya itu. Bukan jadi lebih marah. Pakailah cara yang sesuai.
  9. Syurga dan neraka telah dicipta dan telah wujud sebelum manusia dicipta.
  10. Syurga dan neraka telah ditayangkan kepada Nabi. Dalam hadis ini, ianya ditayangkan di dinding masjid. Zaman sekarang macam pakai projector lah. Dalam hadis ini ditunjukkan di tembok dinding semasa baginda bersama sahabat. Tapi mereka tak nampak, hanya Nabi sahaja nampak. Allah beri mata Nabi sahaja yang nampak. Apabila kita di zaman sekarang, lebih senang nak faham bagaimana perkara ini terjadi. Sebagai contoh, kalau kita pakai cermin mata tertentu, hanya kita sahaja yang nampak, tapi orang lain tak nampak. Kita boleh faham bagaimana ianya terjadi. Tapi orang dulu tak faham. Sepatutnya, kita lebih lagi faham dari mereka. Semakin lama kemajuan meningkat, semakin banyak ajaran-ajaran Islam itu lebih difahami; Kelebihan dan kebaikan dalam syurga tiada bandingan. Begitu juga dengan keterukan di neraka tiada bandingannya.

 

Soalan
Bolehkah tatap Quran waktu solat seperti yang dilakukan sekarang, dimana imam solat Terawih akan bukan Quran di hadapannya. Boleh. Zaman dulu ada mushaf umm. Sahabat solat di situ supaya boleh baca. Tapi mungkin tidak elok dilakukan sangat kerana takut orang tak usaha untuk hafal Quran pula. Kerana ada keutamaan dalam menghafal Quran. Ulama pun takut jadi macam agama lain. Mereka dalam beribadat, mereka akan bukan kitab mereka dan baca. Seeloknya, kita hafal Quran itu.

 

508 – حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو الْمِنْهَالِ عَنْ أَبِي بَرْزَةَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الصُّبْحَ وَأَحَدُنَا يَعْرِفُ جَلِيسَهُ وَيَقْرَأُ فِيهَا مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى الْمِائَةِ وَيُصَلِّي الظُّهْرَ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَالْعَصْرَ وَأَحَدُنَا يَذْهَبُ إِلَى أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجَعَ وَالشَّمْسُ حَيَّةٌ وَنَسِيتُ مَا قَالَ فِي الْمَغْرِبِ وَلَا يُبَالِي بِتَأْخِيرِ الْعِشَاءِ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ ثُمَّ قَالَ إِلَى شَطْرِ اللَّيْلِ وَقَالَ مُعَاذٌ قَالَ شُعْبَةُ لَقِيتُهُ مَرَّةً فَقَالَ أَوْ ثُلُثِ اللَّيْلِ

508. Telah menceritakan kepada kami Hafsh bin ‘Umar berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah telah menceritakan kepada kami Abu Al Minhal dari Abu Barzah, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selesai melaksanakan shalat subuh, ketika salah seorang dari kami dapat mengenali siapa orang yang ada di sisinya. Dalam salat tersebut baginda membaca antara enam puluh hingga seratus (ayat). Dan baginda shalat Zhuhur apabila matahari sudah gelincir, dan bersalat ‘Ashar apabila salah seorang dari kami pulang ke hujung Madinah (apabila selesai solat bersama Nabi di masjid baginda) dan mendapati matahari masih belum berubah (masih panas dan cerah lagi). Aku lupa apa yang baginda katakan tentang salat Maghrib. Baginda tidak kisah melewatkan salat ‘Isya hingga sepertiga malam lalu melaksanakannya sampai separuh malam.” Mu’adz berkata, Syu’bah berkata; “Aku pernah berjumpa dengannya (Abu al Minhal) pada ketika yang lain pula, beliau berkata, ‘Atau sehingga sepertiga malam’.”

يُصَلِّي الصُّبْحَ bermaksud selesai solat. Bukan baru nak mula. Masa mula solat, gelap sampai tak kenal pun orang sebelah. Sebab gelap sangat. Waktu itu dinamakan waktu gholas. Atau waktu ghobash.

Banyak ayat yang Nabi baca dalam solat. Nabi baca pula dengan tartil. Dengan penuh ketenangan. Itulah Sunnah. Maknanya, lama sungguh. Habis solat itu dah sampai waktu isfar – cerah tanah. Sahabat memang suka dengar bacaan Nabi. Dan waktu itulah Nabi nak sampaikan ayat yang baru turun kepada sahabat. Mereka boleh dengar dan hafal surah-surah dari Quran. Dan Nabi nak bagi sahabat dapat hafal Quran. Masa subuh pun tenang jadi boleh menyusup masuk dalam jiwa para sahabat. Dan baca panjang sebab baru bangun tidur – waktu itu mereka masih segar.

Ada khilaf tentang waktu afdhal solat subuh. Imam Abu Hanifah kata, waktu yang afdhal adalah waktu isfar. Kebanyakan ulama kata waktu gholas.

Solat zuhur dilakukan bila matahari telah tergelincir sedikit. Inilah topik utama hadis ini. Dilakukan sebaik habis solat qabliah. Maka, awal waktulah waktu yang afdhal sebenarnya. Itulah yang selalu dilakukan oleh Nabi.

Waktu asar dilakukan, pada waktu yang bila dah habis solat, bila mereka yang balik ke hujung Madinah pun, cuaca masih cerah. Mereka yang tinggal di hujung Madinah itu dalam 3-8 batu juga. Samada mereka berjalan atau mereka naik unta. Maknanya, awal Nabi melakukan solat asar. Itulah yang terbaik. Kalau solat Asar itu lewat, tentu mereka yang balik ke hujung Madinah dah jadi senja dah waktu itu. Kalau Nabi solat lewat, itu tidak selalu dilakukan. Sampai sekarang pun di masjid Nabi pun buat awal. Mazhab Hanafi sahaja yang kata lewat.

Dalam hadis ini, perawi kata dia lupa apakah gurunya mengatakan tentang waktu Maghrib. Lupa itu sifat manusia. Ini sebenarnya bukan menunjukkan lemahnya perawi itu, tapi menekankan sifat amanahnya. Tandanya adalah, dia akan sebut kalau lupa. Tapi apabila dia lupa, tidak semestinya kita tak dapat tahu, kerana bukan Abu Barzah sampaikan kepada dia sahaja. Kerana ada حَدَّثَنَا bermaksud ada disampaikan kepada orang lain juga. Dan mungkin ada waktu lain, dia ingat balik. Kerana kadang manusia lupa sekejap sahaja.

Maghrib sahaja ulama tiada khilaf tentang waktunya. Sama sahaja. Iaitu dilakukan di awal waktu. Dalam waktu-waktu lain, ada sahaja khilaf ulama tentang waktu yang afdhal atau tidak.

Solat isyak boleh lewat. Nabi pun tidak kisah kalau lewat. Tapi selalunya hingga sepertiga malam sahaja. Pada mula perawi tidak jelas, tapi selepas ditanya kembali, beliau pasti yang Nabi solat hanya sehingga sepertiga malam.

Nabi tak suka sahabat tidur sebelum isyak. Dan Nabi tidak suka sahabat bersembang lepas isyak. Kecuali kalau ada faedah. Sebab takut terlewat subuh nanti.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Nabi solat subuh berjemaah di masjid
  2. Nabi baca ayat selepas fatihah dalam subuh dalam 60-100 ayat. Tak perndah dengar dari hadis yang mengatakan Nabi tak baca surah lepas fatihah. Oleh itu, ianya adalah sunnah untuk baca surah selepas fatihah.
  3. Selesai subuh, jemaah dah boleh kenal orang sebelah. Waktu mula tak kenal. Kerana gelap sangat. Ada juga hadis yang kata apabila selesai, sahabiah perempuan tidak kenal sesama mereka. Itu adalah kerana mereka pakai kelubung, maka tidak nampak jelas. Tapi kepada yang lelaki, mereka boleh kenal yang sebelah mereka. Tapi, hanya sebelah mereka. Bermakna, bukan cerah sangat lagi.
  4. Zuhur masuk sebaik sahaja matahari tergelincir. Kecuali bayang sedia ada. Kerana kalau kita tidak berada tepat bawah khatulistiwa, tentu tidak dapat bayang tidak ada langsung kerana matahari tidak berada tepat atas kepala. Maka, dalam keadaan macam itu, kita kena tanda manakah bayang yang asal. Gelincir itu kena kira selepas bergerak dari bayang yang asal.
  5. Asar masuk apabila bayang sama panjang dengan barang yang digunakan sebagai tanda.
  6. Nabi selalu solat dalam awal waktu zuhur dah asar. Selepas solat sunat qabliah.
  7. Bukti Nabi solat awal waktu Asar adalah, apabila jemaah pulang, masih ada cahaya lagi. Mereka yang balik itu tinggal jauh dari masjid.
  8. Nabi tidak kisah solat isyak lewat.
  9. Sifat cermat para perawi dalam menyampaikan hadis. Kalau mereka tidak pasti, mereka tidak cakap. Walaupun, kalau difikirkan, tentulah dia tahu apakah pegangan dalam agama tentang waktu maghrib. Tapi sebab dia tidak ingat perkataan yang digunakan dengan tepat, maka dia akan cakap. Ini adalah tanda cermat dan tanda amanah perawi.
  10. Tidak mengapa kalau kata tak ingat mana mana bahagian dalam hadis dalam menyampaikannya. Bukanlah keseluruhan hadis itu tidak boleh pakai dah.

 

509 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ يَعْنِي ابْنَ مُقَاتِلٍ قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ أَخْبَرَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ حَدَّثَنِي غَالِبٌ الْقَطَّانُ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْمُزَنِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالظَّهَائِرِ فَسَجَدْنَا عَلَى ثِيَابِنَا اتِّقَاءَ الْحَرِّ

509. Telah menceritakan kepada kami Muhammad -yakni Ibnu Muqatil – berkata, telah mengabarkan kepada kami ‘Abdullah berkata, telah mengabarkan kepada kami Khalid bin ‘Abdurrahman telah menceritakan kepadaku Ghalib Al Qaththan dari Bakar bin ‘Abdullah Al Muzani dari Anas bin Malik ia berkata, “Ketika kami salat di belakang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada salat Zhuhur, kami sujud beralaskan pakaian kami untuk menghindari panasnya lantai tempat sujud.”

Dalam hadis ini, perawi mengatakan “kami sujud beralaskan pakaian kami”. Ini menunjukkan mereka menggunakan kain sebagai alas. Adakah menggunakan kain lain sebagai alas atau kain dari pakaian mereka? Dalam hadis yang lain, dijelaskan bahawa kain itu adalah dari pakaian mereka. Cuma dalam hadis ini tidak dijelaskan dari manakah kain itu datang.

Mengikut mazhab Syafie, tidak boleh menggunakan kain dari pakaian sendiri yang sedang dipakai. Iaitu kain yang bergerak sekali dengan kita.

Hadis ini menunjukkan boleh guna lapik dalam solat. Macam kita sekarang selalu pakai sejadah atau khumrah – sejadah kecil. Nabi tak larang. Lagi selesa dan lagi molek kerana dapat khusyuk. Syiah pula kata kena sujud atas tanah. Tanah pula kena tanah Karbala. Kalau kata elok sujud atas tanah pun, kenapa tanah Karbala? Umar Abd Aziz pun suka solat atas tanah tapi tanah biasa sahaja. Kerana dia rasa lebih rendah diri kalau begitu. Tapi tidaklah dia paksa orang lain. Untuk dirinya sahaja.

khumrah – cukup letak tangan dan kepala sahaja

 

Ini juga menunjukkan bahawa solat waktu Dzuhur itu dilakukan awal waktu kerana dalam hadis ini dikatakan mereka solat dalam keadaan panas sampai sahabat kena lapik.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini

  1. Ada ketika Nabi solat berjemaah ketika panas terik.
  2. Keharusan menggunakan pelapik. Lebih bersih dan selesa.
  3. Kejadian ini mungkin sebelum disuruh solat sehingga sejuk dulu. Belum sampai perintah untuk melewatkan solat seperti yang kita telah belajar sebelum ini. Kerana terlalu panas, sahabat ada yang mengadu tentang kepanasan itu kepada Nabi. Tapi Nabi senyap sahaja kerana belum ada perintah; ada juga yang kata hadis ini bukan terjadi sebelum perintah melewatkan solat itu. Tapi Nabi buat waktu panas kerana nak kata boleh dan sah kalau solat dalam waktu panas. Takut ada kata tak boleh langsung solat waktu panas terik.
  4. Keharusan menanggung sedikit kesusahan untuk menghilangkan kekeliruan. Maknanya boleh kalau solat panas terik.

Soalan:
Ada orang yang marah kalau orang lain solat tak pakai kopiah. Betulkah kena pakai tutup kepala sentiasa?
Nabi pun pernah tak pakai. Hanya pakai satu kain sahaja. Sampaikan sahabat ada yang nampak ketiak Nabi. Jadi, bukanlah satu kewajipan untuk pakai tutup kepala. Dan tidaklah salah kalau tak pakai tutup kepala. Jangan kita keliru. Masyarakat kita letakkan kepentingan dalam perkara yang tidak ada asas.

 

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s