We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Kuliah Online lagi…. May 8, 2014

Filed under: Ilmu — visitor74 @ 10:12 pm

Mustolah hadis

Ada dua bahagian ilmu hadis:

  • Ilmu dirayah – Ini adalah tentang matan hadis, pengajaran dalam hadis
  • Ilmu riwayah – ini adalah tentang sanad hadis. Siapakah perawi, adakah perawi itu dipercayai atau tidak.

Ustaz kita banyak menyampaikan ilmu dirayah sahaja, menceritakan tentang pengajaran hadis. Tapi banyak yang tidak ambil peduli tentang ilmu riwayah. Mereka tidak kisah samada hadis itu sahih atau tidak. Bila tidak ada ilmu riwayahlah yang menyebabkan ada yang menceritakan hadis dhaif. Maka masyarakat kita banyak berpegang kepada ilmu yang salah. Ilmu yang kadang-kadang tidak masuk akal. Melakukan amalan yang tidak pasti dari Nabi.

 

Tugas pemerintah dalam Islam

Hendaklah menjadi pemimpin yang adil.

Menyelesaikan masalah masyarakat.

Mengadakan mesyuarat syura dengan penasihatnya.

 

Muamalah dengan manusia:

Berakhalak baik dengan manusia pun adalah salah satu dari ibadah juga.

Dalam kita berumalah, kita hendaklah melihat apakah kesukaan dan kegeraman orang itu. Apabila kita kenal dia, senang untuk kita berurusan dengannya.

Kita selalu lihat 5S dalam management. Itu adalah dalam kita menyusun barang. Ini ada satu ilmu, tentang 5S dalam solat. Bagaimana memberi motivasi kepada manusia untuk melakukan solat. Ada 5S juga. Apakah dia?

1. Syukur – kita solat untuk mezahirkan rasa syukur kepada Allah. Orang yang tidak solat, tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.
2. Simbol. Solat adalah tanda orang Islam. Kalau tak solat, macam bukan orang Islamlah kerana orang Islam tandanya dia solat. Kalau kita lihat luaran sahaja, mungkin tak nampak, tapi kalau dia solat, barulah kita tahu orang itu seorang Islam.
3. Sistem. Solat mengajar kita mengatur sistem hidup, bila waktu bangun dan bila waktu tidur. Dan bila waktu rehat.
4. Sumber. Solat adalah sumber kepada banyak perkara. Sumber rezeki – dalam solat kita boleh doa untuk banyak rezeki dan macam-macam lagi perkara kita boleh minta. Solat adalah sumber Ketenangan. Sumber Kekuatan. Sumber Inspirasi dan macam-macam lagi.
5. Syurga. Dengan solat, membawa jalan kita ke syurga.

Ini adalah satu susunan. Mungkin dengan orang yang kita cerita perkara ini, dia tidak kisah tentang syukur. Dia mungkin orang yang lebih berminat dengan doa, maka kita mulakan dengan ‘Sumber’.

 

Tayammum

Tayamum boleh ganti mandi junub.

Kalau tengok orang buat kesilapan, jangan terus hukum dia. Kena tanya kenapa.

Sekali tepuk sahaja. Memang mazhab Syafie mengatakan kena tepuk dua kali – sekali untuk muka dan sekali untuk tangan.

Tidak perlu sapu sampai ke siku macam dalam wuduk pakai air. Hanya sampai ke pergelangan tangan sahaja. Begitulah yang diajar oleh Nabi. Walaupun dalam Mazhab Syafie kena sapu tangan sampai ke lengan.

Pembatalan tayammum sama dengan wuduk. Jadi boleh pakai satu tayammum untuk lebih dari satu waktu solat. Dan kalau dah ada air. Kalau dalam solat pun dah tahu ada air, maka kena hentikan solat dan ambil wuduk dengan air. Contohnya kita tengah solat, ada orang jerit kata air dah ada.

Kena ada niat. Tapi tidaklah ada lafaz niat. Dan tidak ada skema niat. Niat itu dalam hati.

Saidan tayyiba itu bermaksud umum. Macam Allah suruh Bani Israil sembelih lembu. Mana-mana lembu dah boleh dah. Tak perlu cari lembu warna itu dan ini. Jadi, dalam tayammum, mana-mana permukaan bumi boleh digunakan.

 

Sambungan tafsir surah fatihah.

Maaliki yaumiddin:

Seperti yang kita tahu, terdapat Qiraat lain bagi ayat ini. Ada qiraat membacanya seperti yang kita tahu di Malaysia ini: maaliki yaumiddin dan ada juga qiraat yang memendekkan ‘ma’: maliki yaumiddin. Ini adalah kerana Allah telah menurunkan Quran dalam beberapa qiraat. Kedua-duanya apabila kita kaji, menguatkan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kita seeloknya terima dua-dua bacaan itu. Walaupun terdapat perbincangan ulama tentang mana satukah bacaan yang lebih tepat. Tapi kita tidak mahu pergi ke situ. Kita hendak menggunakan pembacaan kedua-duanya. Kerana, apabila kita mengambil maksud kedua-dua makna itu, ia memberikan pemahaman yang lebih lagi tentang maksud ayat ini.

Qiraat pertama: Maalik. Ia bermaksud ‘mempunyai’. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita nak dengan benda itu. Sebab ianya adalah hak kita, bukan? Tapi, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh sesuka hati. Ada halangan dalam kita menggunakannya. Contohnya, ada larangan undang-undang. Seperti kalau kita nak ubahsuai rumah kita, kita dapatkan permit. Kalau kita ada pistol, bukan boleh kita tembak sesuka hati. Kita juga tidak boleh arahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada Kereta dan kita boleh pakai Kereta itu, tapi ada masanya ia rosak dan kita tak boleh pakai. Tapi apabila dikatakan Allah memiliki, Allah memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah dengan manusia. Allah absolute kepunyaanNya.

Qiraat 2: Malik: bermaksud ‘raja’. Raja adalah seseorang yang berkuasa di sesuatu negeri itu dan apabila dia beri arahan, rakyat dibawahnya kena ikut. Tapi kalau kita lihat, kalau raja itu seorang manusia, ada sahaja cara untuk rakyatnya tidak ikut. Lihatlah sahaja di dunia ini, di negara-negara yang ada raja, ada sahaja cara yang mereka boleh elak dari mengikut arahan dan undang-undang raja mereka. Tapi tidak boleh buat begitu dengan Allah. Kita tidak boleh lari. Allah tahu segalanya yang kita buat.

Mana satukah dari qiraat itu yang lebih kuat? Bukan nak tolak mana-mana. Dua-dua sama kuat pada pandangan kita. Allah adalah seorang raja yang mutlak dan Allah juga memiliki.

Kalau kita rasa kita ada kuasa, ianya masih tertakluk kepada Allah. Kita bukan pemilik sebenar. Kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Kita umpama penyewa rumah sahaja. Walaupun kita bayar sewa, kita tidak boleh memandai-mandai buat suka dengan rumah itu. Kalau kita nak ubahsuai rumah itu, kita kena tanya tuanrumah.

Sebagai raja, memang ada undang-undang yang dikenakan olehya. Allah juga telah memberikan undang-undangNya yang perlu diikuti. Maka, kalau kita duduk di bumi Allah ini, maka hendaklah kita mengikut undang-undang yang telah diberikan oleh Allah.

Yaum. Satu Jangkamasa. Bukan bermaksud ‘hari’. Ianya merangkumi masa dari sesaat sampai beribu tahun.

Deen. Banyak makna yang boleh diambil dari perkataan ini. Ianya adalah satu perkataan yang menyeluruh. Merangkumi makna:

  • Kekuasaan.
  • Obedience.
  • Cara hidup.
  • Retribution.

Jadi apabila Allah berkuasa penuh, Allah boleh buat apa sahaja. Allah boleh beri nikmat dan Allah boleh tarik. Semuanya itu berlaku dengan hikmahNya dan ilmuNya. Kita sahaja yang tidak tahu mengapa Allah melakukan satu-satu perkara itu. Tapi kita hendaklah tahu bahawa apa sahaja yang Allah lakukan adalah perkara yang baik. Ada kebaikan di sebalik apa yang Allah lakukan.

Jadi, dari makna Maaliki yaumiddin ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat.

—–

Tapi kenapa sebut Allah berkuasa pada ‘hari kiamat’ dalam ayat ini? Adakah Allah tidak berkuasa pada waktu dunia ini? Ini perlu dijelaskan kerana ada yang ada sangkaan sebegitu. Dalam ayat pertama dah cakap tentang dunia. Dalam ayat alhamdulillahi rabbil aalamin sudah disebut bahawa Allah adalah Rabb alam ini. Itu sudah membawa maksud Allah berkuasa penuh dalam alam ini juga. Jadi ayat maaliki yaummiddin ini adalah penekanan kepada kekuasaan Allah pada hari kiamat. Terdapat perbezaan. Apakah perbezaan itu?

Dalam dunia ada manusia yang ada kuasa sikit. Boleh milik sesuatu. Juga ada yang jadi raja, jadi presiden, jadi pemimpin. Boleh ada kuasa. Bukan kuasa mutlak pun, tapi pada kita, nampak macam ada kuasa. Tapi nanti langsung tidak ada di Mahsyar nanti. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan ada kuasa. Semua akan nampak dengan jelas bahawa mereka tidak ada kuasa langsung. Semua akan mengaku bahawa kuasa penuh hanya ada pada Allah sahaja. Seperti disebut dalam Infithar:17-19.

Penekanan hari kiamat ini adalah kerana pada waktu itu, *semua* manusia akan menerima hakikat bahawa Allah memang berkuasa penuh. Tidak ada yang berkecuali lagi. Kalau dalam dunia sekarang, ada yang tak kenal Allah, tak terima Allah sebagai Tuhan, sebagai pemilik yang hak alam ni, tapi di akhirat nanti, mereka tidak ada pilihan lain lagi. Waktu itu memang jelas kekuasaan Allah sejelas-jelasnya. Tidak ada yang boleh menolak lagi.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sikit pun tidak ada. Mungkin ada yang ingat ada yang boleh tolong. Kalau agama lain, mereka ingat tuhan mereka seperti Buddah, Vishnu, Jesus akan tolong mereka. Kalau kita dalam agama Islam ini, ada yang ingat pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka. Itulah pemahaman syafaat pada mereka. Tapi bagaimana mereka boleh tolong, sedangkan mereka sendiri tidak ada kuasa waktu itu. Mereka juga kena duduk di hadapan Allah dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib mereka. Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah SWT sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja.

Hari Kiamat adalah satu elemen yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali dalam Quran, selepas disebut tentang beriman kepada Allah, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Quran. Begitu juga ada banyak disebut dalam hadis. Terlalu panjang kalau hendak disebut disini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka. Yang paling banyak ada dalam juzuk 30. Dan banyak diselitkan dalam surah-surah yang lain. Allah akan sentiasa mengingatkan tentang hari Kiamat dalam semua surah.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah menyebut dua sifatNya: ar-Rahman dan ar-raheem. Itu adalah sifat Allah yang utama, iaitu Allah menyebut tentang belas kasihan Allah kepada makhlukNya. Kemudian selepas Allah menyebut dua sifatNya itu, terus Allah memperkenalkan sifat DiriNya yang maha berkuasa pada hari kiamat nanti. Memang Allah bersifat belas kasihan, tapi walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana, sifat Allah bukan hanya belas kasihan sahaja, tapi ada sifat-sifat Allah lain yang keras. Hari kiamat masih lagi satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Walaupun kepada orang mukmin pun akan rasa takut yang amat juga. Kerana Hari Kiamat itu adalah keadaan yang amat-amat menakutkan. Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita macam mana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Raheem Allah itu sampai kita senang hati.

Dalam Quran, Allah mengaitkan namaNya ar-Rahman, tapi masih juga menyebut bagaimana makhluk pada waktu hari kiamat akan tunduk diam dan khusyuk. Ini ada disebut dalam Taha:108

يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا

Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru. Mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

Tapi kita jangan terkeliru, pada hari Kiamat itu, Allah memang akan tunjuk rahmahNya juga. Bukanlah tidak ada langsung sifat Rahman dan Raheem Allah. Seperti yang kita tahu, pada hari itu, hanya Dia sahaja berkuasa. Terdapat sifat rahmahNya disitu. Mungkin kita tak berapa nampak. Iaitu pertama, amalan baik manusia akan dibalas dengan banyak. Bukan sahaja dibalas setiap satu kebaikan itu, tapi akan ditambah lagi. Langsung tidak tertinggal mana-mana amalan baik yang telah dilakukan. Kalau Allah tidak bersifat rahmah, tentu akan ada balasan yang tidak diberikan dengan penuh. Kalau begitu, tentulah Allah tidak adil.

Manusia memang mahukan keadilan. Oleh itu, berita ini akan memberikan kelegaan kepada mereka yang baik dan berbuat amalan soleh. Mereka akan dibalas atas perbuatan mereka. Bukan sahaja mereka akan dibalas dengan perbuatan baik mereka, tapi Allah akan tambah balasan itu berkali-kali ganda lagi. Kerana percaya kepada balasan baik itulah yang manusia akan buat perkara baik semasa di dunia. Dan hasilnya, dunia akan menjadi aman. Manusia akan takut untuk berbuat kezaliman. Bayangkan kalau manusia tidak percaya tentang balasan akhirat, mereka akan berani buat apa sahaja ikut nafsu mereka. Oleh itu, kebaikan itu bukan untuk orang itu sahaja, tapi merangkumi kepada seluruh alam ini.

Pada hari Kiamat, tidak sama layanan Allah untuk orang baik kalau dibandingkan dengan orang jahat. Orang baik akan mendapat layanan yang baik dan orang jahat akan mendapat layanan yang buruk. Oleh itu, hendaklah kita jangan buat sesuatu yang boleh memurkakan Allah. Kita hendak Allah bersifat Raheem dengan kita pada hari itu. Janganlah Allah layan kita dengan kemurkaan seperti yang Allah akan layan kepada orang kafir nanti.

Allah tidak memerlukan ibadat kita, jadi kenapa Allah akan balas kesalahan yang dilakukan oleh manusia? Bayangkan kalau satu-satu negara ada raja, dan raja itu telah meletakkan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana kalau ada rakyatnya yang melanggar undang-undang itu? Tentulah raja itu akan membalas orang itu dengan hukuman yang telah ditetapkan. Kalau raja itu tidak balas, ada tiga kemungkinan kenapa dia tidak balas:

  1. Dia tidak mampu untuk menjatuhkan hukuman kepada orang itu. Mungkin orang itu orang yang besar dan raja itu takut dengan orang itu. Atau raja itu tidak berkuasa penuh.
  2. Raja itu tidak tahu bahawa orang itu telah melanggar hukum. Mungkin dia buat pada malam hari. Mungkin dia buat cara tersembunyi. Polis negeri itu pun tidak tahu. Atau dia buat waktu orang tidak ada dan tidak ada yang melapurkannya.
  3. Raja itu suka dengan perbuatan orang itu yang melanggar hukum itu. Raja itu redha dengan perbuatan orang itu.

Jadi, dari perumpamaan ini, kita boleh boleh kesimpulan, kalau Allah tak balas kejahatan manusia, kita boleh kata Allah tidak balas itu kerana tiga perkara itu juga:
1. Allah tak mampu balas.
2. Atau Allah tak tahu perbuatan orang itu.
3. Atau Allah suka dengan perbuatan orang itu.

Kita pun tahu, bahawa kesemua kemungkinan itu mustahil bagi Allah. Allah mampu untuk membalas, Allah tidak takut kepada sesiapa; Allah maha tahu dengan perbuatan manusia, tidak kira dimana mereka; Allah juga tidak redha dengan dosa yang dilakukan oleh makhlukNya itu. Maka dari ini, kita boleh tahu bahawa Allah akan tetap balas perbuatan dosa makhlukNya. Inilah keadilan namanya.

Oleh itu, apabila kita membaca ayat ini setiap hari, kita akan diingatkan bahawa setiap perbuatan kita ada kesannya. Ia boleh membawa kepada kesan baik kalau perbuatan kita itu baik dan ia boleh memberi kesan yang buruk kalau perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Kita akan tetap kena walau macam mana pun. Ingatlah bahawa kita tidak boleh lepas dari hukuman Allah itu. Kita tak boleh nak rasuah Allah seperti kita boleh rasuah penjaga undang-undang di dunia ini. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita untuk kita berikan kepadaNya. Segala apa yang kita ada pun dari Allah juga. Kita hanya bawa iman dan amal kita sahaja.

Memang Allah bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Tapi Allah juga boleh membalas. Allah adalah Maaliki Yaumuddin. Allah berkuasa untuk menghukum. Allah berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Jadi jangan kita rasa senang diri. Jangan buat dosa kerana kita ingat hanya sifat Allah yang maha pengampun.

Tidaklah hidup kita di dunia ini dijadikan sia-sia sahaja. Bukanlah saja-saja sahaja Allah jadikan kita. Seperti yang disebut dalam ayat 23:115

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Allah hendak melihat dan menilai apa yang kita lakukan dalam dunia ini. Samada perbuatan kita itu baik atau tidak. Ingatlah ayat maaliki yaumiddin dalam surah fatihah ini. Kena kena bersedia bersedia untuk menghadapi hari itu. Kena beramal baik dan menjauhkan diri dari melakukan dosa. Kalau kita berdosa, cepat-cepat kita minta ampun.

Apabila kita gabungkan ayat ini dengan ayat pertama: alhamdulillahi rabbil aalamin, ia akan mengingatkan kita supaya bukan hanya buat baik kepada diri kita sahaja dan kepada sesama manusia sahaja. Kita kena buat baik kepada seluruh alam. Kerana Allah itu adalah rabb kepada seluruh alam. Semuanya dalam kerajaan Allah. Semuanya akan dibawa ke hadapan Allah sebagai saksi. Kalau kita ada buat salah dengan binatang contohnya, binatang itu akan dibawa sebagai saksi di atas perbuatan jahat kita itu. Kalau kita buat salah kepada pokok, begitu juga. Begitu juga kalau kita bertindak tidak baik dengan makhluk-makhluk yang lain. Maka, kita kena beringat.

Kita juga kena ingat bahawa balasan yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Bukan di dunia. Berapa banyak yang hidupnya susah semasa di dunia? Termasuk yang mengalami kesusahan itu adalah para Nabi. Walaupun mereka susah semasa di dunia, dengan segala dugaannya, tapi mereka akan mendapat kebaikan yang banyak di akhirat kelak. Ini kita kena sebut kerana ada fahaman yang kata kalau di dunia ini banyak nikmat, itu tanda mereka diberkati dan disayangi Tuhan. Itu adalah fahaman salah. Balasan sebenar adalah di akhirat nanti. Kalau kita mengalami kesusahan hidup di dunia, kita masih boleh berharap yang kita akan diberikan dengan balasan baik di akhirat kelak kalau kita beriman dan beramal soleh. Ada kisah bagaimana orang yang paling malang hidupnya di dunia akan dicelupkan sekejap ke dalam syurga. Selepas dia diangkat semula, ditanya kepadanya, bagaimanakah kehidupannya di dunia dulu? Dia jawap dia tidak pernah kenal kesusahan. Dan seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia dicelupkan sekejap sahaja dalam neraka dan ditanyakan kepadanya tentang kehidupan di dunia dulu. Dia kata dia tidak pernah kenal kesenangan semasa di dunia dulu.

Ayat maaliki yaumiddin ini adalah satu ayat yang mempunyai makna targhib dan tarhib. Targhib adalah ayat-ayat yang menggalak kita untuk buat baik dan tarhib adalah ayat-ayat yang menakutkan kita untuk berbuat jahat. Selalunya, satu-satu ayat itu ada elemen targhib sahaja atau tarhib sahaja. Jarang ada ayat yang ada dua-dua elemen.

Pada hari itu, Allah akan mengadili orang beriman dengan ‘keadilan’ dan ‘rahmah’. Tapi kepada kufur, hanya dengan ‘keadilan’ sahaja. Beza layanan Allah kepada orang kafir dan orang Islam.

Tapi ada juga orang beriman akan masuk neraka juga. Ini adalah kerana mereka beriman, tidak buat syirik, tapi ada dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka akhirnya akan diselamatkan dari neraka. Tapi sepatutnya neraka menakutkan kita dan kita sepatutnya berusaha untuk tidak memasukinya. Kita tak mahu dengar, tak mahu lihat, tak mahu cium sikit pun neraka itu. Kita minta dijauhkan sejauh-jauhnya dari neraka. Ini menunjukkan pentingnya tidak syirik kepada Allah kerana kalau ada syirik, tidak ada peluang masuk syurga. Allah dah kata bahawa Dia tidak akan maafkan perbuatan syirik.

Ayat ini juga memberi ketenangan kepada kita supaya tidak perlu risau kalau dizalimi di dunia ini oleh manusia lain. Ada orang yang berbuat zalim di dunia, tapi mereka terlepas dari tindakan di dunia. Kerana mereka ada kekuatan contohnya. Tapi mereka tidak akan terlepas di akhirat nanti. Kerana Allah akan balas perbuatan zalim sesiapa sahaja kepada kita. Manusia selalu simpan marah dan dendam apabila mereka dizalimi. Macam ada negara yang dijajah, beratus tahun mereka masih simpan dendam itu. Jangan kita risau – ingatlah bahawa Allah akan balas. Tidak kira berapa banyak kesalahan mereka. Bukan itu sahaja, orang yang dizalimi itu pula boleh dapat pahala pula kalau dia sabar. Ini adalah satu sumber pahala yang banyak. Sebagai contoh, kalau ada orang yang mengata kita, kalau kita sabar, kita akan mendapat pahala.

Tiada kepercayaan tentang adanya ‘umat pilihan’ dalam Islam. Ada juga umat yang percaya mereka itu adalah ‘umat pilihan’. Macam bangsa Yahudi, mereka ingat mereka adalah umat pilihan Allah dan mereka tidak akan masuk neraka. Kalau masuk pun, kepercayaan mereka adalah, mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka. Bila mereka rasa begitu, mereka rasa mereka boleh buat apa-apa sahaja. Mereka ingat mereka boleh terlepas dari seksa Tuhan. Tapi ingatlah, bahawa Allah adalah Tuhan untuk semua makhluk. Kita pun telah belajar apakah maksudnya apabila Allah memperkenalkan DiriNya sebagai Rabbil aalamiin. Allah ada Tuhan kepada, samada yang Islam atau yang kafir pun. Jangan rasa kita ada rasa special. Kalau kita ada macam itu, kita akan jadi macam lelaki dalam Kahfi:36 yang rasa dia akan selamat.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Lelaki itu ingat kerana dia telah mendapat banyak kebaikan di dunia, dia ingat dia akan insan yang special. Jadi, dia ingat, kalau di dunia dia sudah special, maka di akhirat dia pun akan dapat kelebihan juga macam di dunia. Maka, dia telah melakukan keburukan di dunia. Begitu juga, penganut agama Kristian rasa mereka terus selamat bila terima Jesus. Hanya dengan ucap: “Aku terima Jesus”, mereka ingat mereka dah selamat. Lalu, mereka ambil mudah tentang agama, tentang hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan Tuhan.

Kita orang Islam pun jangan rasa selamat. Jangan kita ingat apabila kita dah sembah Allah, tapi kita tidak akan masuk neraka. Jangan kita ingat kita boleh lepas dengan kesalahan yang kita buat. Masalahnya, ada pemahaman dalam umat Islam kita, kalau masuk neraka pun sekejap sahaja, selepas diseksa sekejap, akhirnya akan masuk syurga juga akhirnya. Kerana kita selalu diingatkan oleh ustaz-ustaz kita bahawa orang Islam akan masuk syurga juga akhirnya. Mereka macam tak takut dengan azab Neraka itu. Mereka tidak takut itu kerana mereka tidak tahu tentang azab Neraka. Mereka ingat azab itu biasa-biasa sahaja. Mereka ingat mereka akan masuk sekejap sahaja. Padahal, kalau tinggal solat satu waktu sahaja, kena seksa 80 tahun dalam neraka. Jadi, ‘sekejap’ yang mereka sangka itu, entah berapa lama. Entah beratus, beribu, berjuta tahun pun kita tidak pasti.

Jadi, secara ringkasnya, Surah FatihahAllah menceritakan tentang DiriNya. Allah menyebut NamaNya dan sifatNya. Untuk kita kenal Dia. Asma’ itu adalah kunci untuk kita kenal Allah. Bila kenal Dia, barulah kita beriman sebenar. Malangnya kalau kita belajar tafsir, tidak banyak disebut penjelasan Asma’ Allah. Dalam banyak ayat-ayat dalam Quran, selalu di hujung-hujung ayat, akan disebutkan nama Allah. Tapi kebiasaannya, kita tidak perasan pun apakah ayat itu dan apakah yang hendak disampaikan. Padahal, ada banyak ajaran yang hendak disampaikan.

Tafsir lengkap ada lagi banyak dalam blog saya tentang tafsir. Sila rujuk di sini.

 

Tauhid 3T:

 

Rukun Syahadah:

Kepentingan mengajar dan membicarakan tentang aqidah dulu kini dan selamanya. Kerana umat akan cenderung untuk melakukan syirik.

Syarat sah syahadah:

  1. Faham maknanya. Untuk faham, kenalah ada ilmu. Tahu 100%. فعلم أنّه
  2. Yakin. Siapa yang tak ragu-ragu akan masuk syurga.
  3. Patuh dan taat. Serah diri kpd Allah. Terima hukum Allah.
  4. Beramal dengannya.

 

Tentang Tangkal:

Larangan Nabi tentang tangkal. Termasuk kalau tangkal yang dijadikan dari ayat Quran pun. Sebab larangan Nabi dalam hadis adalah secara general dan tidak ada pengkhususan. Kalau tangkal ayat Quran, macam mana kalau masuk tandas? Yang gantung ayat kursi, etc tu macam mana? Dalam Islam bukan ada pemahaman hantu Cina yang takut kertas. Rumah orang Islam kosong sahaja. Tidak perlu ada apa-apa.

Nabi suruh sahabat baca ruqyah mereka semasa jahiliyah. Tidak mengapa kalau tidak ada kata-kata yang syirik kepada Allah dalam ruqyah itu.
Mesti ada kalam Allah.
Kalau ada bomoh yang baca benda kita tak tahu, jangan pergi jumpa bomoh macam itu.
Kalau minta dijampi, tidak salah tapi tidak akan termasuk dalam golongan yang masuk syurga tanpa hisab.

Kalau tabarruk, tidak semestinya dosa besar, tapi kalau sampai melampau, boleh menyebabkan syirik.

Semua perkara maksiat adalah syirik kecil kerana menjadikan nafsu sebagai tuhan. Seperti riak. Solat sebab nak tunjuk kepada orang. Kalau dia solat supaya orang lain nampak, dan ikut, itu boleh. Kalau konon tak boleh solat sebab takut riak, itulah riak.

 

Cara wuduk:

Memang ada riwayat tentang bagaimana Abu Hurairah melebihkan mengangkat solatnya sampai membasuh sehingga ke ketiak, kerana dia faham begitulah yang dimaksudkan Nabi dengan ‘melebihkan wuduk’. Tapi pendapat yang lebih kuat, kita buat setakat yang telah diajar sahaja. Abu Hurairah pun bukan dia hendak menyampaikan perbuatannya itu kepada orang lain. Kerana dia buat pun sembunyi-sembunyi sahaja. Cuma ada orang lain yang nampak.

 

Tentang cara sujud

 

Pengenalan zikr

Kebanyakan zikir tidak ada bilangan. Kita baca sebanyak yang boleh. Jangan percaya kalau ada yang mengajar baca bilangan itu dan ini.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s