We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Waktu-Waktu Sembahyang Sesi 15 Bab Sembahyang Lima Waktu Itu Adalah Penghapus Dosa-Dosa. April 20, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Waktu Solat — visitor74 @ 4:07 pm

بَاب الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ كَفَّارَةٌ لِلْخَطَايَا إِذَا صَلَّاهُنَّ لِوَقْتِهِنَّ فِي الْجَمَاعَةِ وَغَيْرِهَا

Bab 88 Sembahyang Lima Waktu Itu Adalah Penghapus Dosa-Dosa[1] Jika Seseorang Itu Melakukannya Pada Waktunya Dengan Berjema`ah Dan Dengan Tidak Berjema`ah

Imam Bukhari hendak menekankan dalam tajuk ini bahawa solat itu perlu dilakukan dalam waktunya. Persoalan yang timbul yang kita boleh fikirkan, kalau ianya perlu dilakukan dalam waktu, bagaimana pula kalau solat itu dilakukan luar waktu?
Dalam tajuk itu juga ada disebut samada solat itu dilakukan berjemaah dan tidak. Secara kesimpulannya, Imam Bukhari hendak memberikan hujah bahawa dua-dua jenis solat itu menghapuskan dosa. Samada dilakukan berjemaah atau dilakukan berseorangan, ianya masih lagi menghapuskan dosa.

Kenapa tajuk ini seperti sama dengan tajuk yang sebelum ini? Seperti yang kita sudah tahu, Imam Bukhari telah berniat tidak ada pengulangan dalam tajuk-tajuknya. Oleh itu ulama membincangkan apakah perbezaan antara tajuk ini dan tajuk sebelum ini. Dalam tajuk sebelum ini sudah ada tentang kafarah. Iaitu amal ibadat sebagai kafarah kepada dosa yang dilakukan. Tapi dalam tajuk sebelum ini, disebut beberapa jenis amal ibadat, dan kali ini ianya adalah tajuk yang lebih khusus kerana disebut solat lima waktu dalam tajuk kali ini. Selain dari itu, sebelum ini sebut solat sahaja, boleh jadi semua jenis solat. Tapi kali ini lebih khusus kepada solat limat waktu.

Dalam hadis ini, Nabi memberikan perumpamaan antara solat dan sungai. Perumpamaan yang Nabi gunakan dalam hadis ini dinamakan tashbih tamtsil. Menyerupakan pembersihan dosa dengan mandi di sungai. Banyak perumpamaan seperti ini digunakan dalam Quran juga. Nabi bandingkan suatu perkara yang hanya dapat difikirkan dengan sesuatu yang zahir. Kita tak dapat bayangkan dosa dan bagaimana ianya dibersihkan. Tapi kita boleh bayangkan bagaimana sungai membersihkan kekotoran pada tubuh kita. Dengan perumpamaan seperti ini, ianya memberi gambaran yang lebih jelas kepada kita untuk memahami agama.

Golongan Murjiah menggunakan hadis ini sebagai hujah bagi mengatakan bahawa solat lima waktu membersihkan semua dosa samada kecil atau besar. Murjiah adalah golongan yang nak senang sahaja. Mereka ini ditentang oleh Imam Bukhari kerana pemahaman mereka adalah pemahaman sesat.  Zaman sekarang, murjiah dalam bentuk kumpulan sudah tidak ada kerana mereka telah ditentang oleh ulama-ulama salaf. Tapi, jenis-jenis pemahaman mereka masih ada lagi. Mereka ini adalah orang-orang yang kata, kalau hati baik, telah mengucap kalimah syahadah, seseorang itu akan masuk syurga. Walaupun tidak melakukan amal ibadat pun. Mereka kata, kalau mandi di sungai, tentu hilang segala kekotoran. Kalau ada benda besar seperti kertas atau plastik di badan, ianya akan dibawa air. Mereka kata itulah dosa besar. Kalau dosa besar pun boleh dihapuskan, apatah lagi dosa kecil.

Tapi ahli Sunnah tidak berpendapat begitu. Solat lima waktu hanya membersihkan dosa kecil sahaja. Kerana dosa kecil itu hanya dibersihkan apabila kita menjaga dari melakukan dosa-dosa besar. Ini telah diberikan hujjah dalam hadis sebelum ini.

Kalau kita lihat dari perumpamaan yang diberikan oleh Nabi, iaitu mandi di sungai, kekotoran apakah sahaja yang boleh dibersihkan? Adakah semua kekotoran? Tentulah hanya kekotoran ringan sahaja. Seperti debu, peluh dan sebagainya. Tapi daki-daki yang melekat tidak dapat hilang. Nabi hanya kata ‘mandi di sungai’ sahaja tanpa menyebut seseorang itu menggosok badannya atau ada menggunakan sabun atau tidak. Jadi hanya kekotoran ringan sahaja yang boleh dibersihkan. Lainlah kalau dikatakan dia menggosok badannya atau menggunakan sabun. Begitu juga, ianya hanya dapat membersihkan kotoran luaran sahaja. Tidak dapat membersihkan kekotoran dari dosa yang melekat di hati.

Ulama juga membincangkan, kalau seseorang itu tidak melakukan dosa langsung, apakah gunanya kalau dia solat lima waktu lagi? Tentulah tidak ada orang yang tidak melakukan dosa langsung. Tapi, katakanlah ada orang yang tidak buat dosa langsung, adakah dia perlu lagi lagi melakukan solat lima waktu? Pertama, memang seorang muslim perlu lagi melakukan solat kerana ianya adalah wajib. Tapi, katakanlah dia langsung tidak melakukan dosa langsung, apakah yang dia akan dapat dari solat lima waktu itu? Ulama mengatakan, kalau seseorang itu tidak melakukan dosa langsung, maka solatnya itu akan menaikkan darjatnya. Itupun sesuatu yang penting juga untuk didapati.

Bagaimana pula dengan dosa besar? Allah Maha Pengampun. Maka mohonlah keampunan kepada Allah. Termasuk dosa syirik pun. Dosa-dosa besar kena minta ampun secara spesifik kepada Allah. Dosa-dosa kecil sahaja yang gugur dengan sendiri dengan amal ibadat kita. Tak sama dosa besar dan dosa kecil.

497 – حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ حَمْزَةَ قَالَ حَدَّثَنِي ابْنُ أَبِي حَازِمٍ وَالدَّرَاوَرْدِيُّ عَنْ يَزِيدَ يَعْنِي ابْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْهَادِ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا

497. Telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Hamzah berkata, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abu Hazim dan Ad Darawardi dari Yazid -yakni Ibnu ‘abdullah bin Al Hadi- dari Muhammad bin Ibrahim dari Abu Salamah bin ‘Abdurrahman dari Abu Hurairah, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apa pandangan kalian seandainya ada sungai di depan pintu rumah salah seorang dari kalian, lalu dia mandi di sungai itu lima kali setiap hari. Masihkah ada lagi kekotoran (daki) yang melekat pada tubuhnya?” Para sahabat menjawab, “Tidak akan ada yang tersisa sedikitpun kotoran padanya.” Lalu beliau bersabda: “Seperti itu pula dengan salat lima waktu, dengannya Allah akan menghapus dosa-dosa.”

 

mandi-sungai

Pengajaran dari hadis ini:

  1. Keharusan membuat perbandingan antara perkara yang hanya boleh ditanggapi dengan akal, dengan perkara yang boleh dilihat dengan deria. Dalam hadis ini, Nabi membandingkan dosa dengan kekotoran di badan. Dosa hanya boleh ditanggap dengan akal tapi kekotoran boleh ditanggap dengan deria sekali. Kedua, Nabi membandingkan solat sebagai penghapus dosa dengan air sungai yang boleh membersihkan kekotoran badan.
  2. Nabi menggunakan kaedah perumpamaan dalam dakwah dan pengajaran baginda. Dan kaedah ini sebenarnya sama dengan Quran kerana dalam Quran pun ada banyak menggunakan perumpamaan. Contohnya Quran menggunakan perumpamaan nyamuk dan sebagainya.
  3. Kekotoran dan dosa ada berbagai peringkat. Ada yang mudah dibersihkan dan ada yang susah – kena ada usaha lebih. Yang dihapuskan dengan solat adalah dosa-dosa kecil. Itu pun ada peringkat juga. Dosa kecil pun ada banyak jenis. Sebab itu kena ada banyak amalan ibadat. Dan kena tingkatkan ibadat kita supaya boleh membersihkan lebih banyak dosa.
  4. Ada perbuatan kita yang mendatangkan dosa dan ada yang membersihkannya. Maksiat dan solat adalah perbuatan-perbuatan manusia. Maksiat mendatangkan dosa, dan solat membersihkannya.
  5. Mandi di sungai tidak semestinya ramai-ramai. Walaupun mandi seorang diri, masih boleh membersihkan badan lagi. Begitu juga kalau solat berseorangan. Masih lagi dapat membersihkan dosa. Itulah pemahaman Imam Bukhari dari perumpamaan sungai itu. Kerana apabila dikatakan mandi di depan rumah, serupa macam solat sendiri. Sebabnya kita mandi di rumah kita dan biasanya di rumah kita kita solat sendiri sahaja.
  6. Sepertimana juga kita memerlukan air untuk kehidupan, kebersihan dan kesihatan, begitu juga kita memerlukan ibadat dalam kehidupan kita di dunia ini. Ianya perlu untuk kesihatan jiwa kita. Dan amal soleh itulah yang menghapuskan dosa. Apabila kita nampak kelebihan sesuatu perkara itu, barulah kita suka nak buat sesuatu benda. Kalau badan kita lesu, kita gunakan air untuk segarkan badan. Kalau jiwa lesu segarkan dengan ibadat.
  7. Jangan malas untuk menggunakan sesuatu yang diberikan percuma lebih lebih lagi kalau kebaikannya byk sekali. Tidak perlu bayar nak mandi sungai. Begitu juga untuk solat. Bukan susah nak solat.
  8. Keharusan mandi banyak kali dalam sehari.
  9. Para sahabat sentiasa mendapat didikan dari Nabi. Macam-macam cara Nabi sampaikan. Bukan cara ajaran Nabi macam sekolah sekarang ini – ada silabus, ada duduk ramai-ramai dalam satu jangkawaktu etc. Sambil-sambil hidup, sambil-sambil jalan dan bersembang itu Nabi akan ajar para sahabat. Segala kehidupan Nabi menjadi panduan. Sahabat setia mengikuti Nabi.
  10. Nabi guna cara soal jawap dalam ajaran. Ianya adalah salah satu cara yang efektif yang dapat menarik minta para pendengar.
  11. Kelebihan solat 5 waktu. Yang disebut dalam hadis ini adalah ianya dapat membersihkan dosa manusia.

[1] Sesetengah nuskhah hanya menyebutkan بَاب الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ كَفَّارَةٌ dan tidak ada tambahan لِلْخَطَايَا إِذَا صَلَّاهُنَّ لِوَقْتِهِنَّ فِي الْجَمَاعَةِ وَغَيْرِهَا

Ini tidak menjadi masalah. Ini adalah kerana naskhah kitab Imam Bukhari itu tidaklah dicetak seperti zaman sekarang. Ianya disalin oleh beberapa anak muridnya. Mungkin, apabila masa berlalu, Imam Bukhari ada melakukan perubahan kepada kitabnya itu yang tidak diketahui oleh penyalin kitab yang sebelum itu. Jadi, adalah perbezaan antara satu naskah ke satu naskhah yang lain. Ini tidaklah menjadi satu penyebab menyebabkan kitab-kitab itu ditolak. Kerana perbezaan yang ada itu adalah sedikit sahaja. Allahu a’lam.

Lompat ke hadis yang seterusnya

Kuliah Maulana Asri

Permulaan Kitab Waktu Solat

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s