We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sambungan (Sesi 11-12) Sembahyang itu adalah kaffarah (Penebus Dosa) April 8, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Waktu Solat — visitor74 @ 12:57 pm

Sambungan solat itu sebagai kaffarah:

Link kepada hadis sebelum ini:

495 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ عَنْ سُلَيْمَانَ التَّيْمِيِّ عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَجُلًا أَصَابَ مِنْ امْرَأَةٍ قُبْلَةً فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { أَقِمْ الصَّلَاةَ طَرَفَيْ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنْ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ } فَقَالَ الرَّجُلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلِي هَذَا قَالَ لِجَمِيعِ أُمَّتِي كُلِّهِمْ

495. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai’ dari Sulaiman At Taimi dari Abu ‘Utsman An Nahdi dari Ibnu Mas’ud, bahwa ada seorang laki-laki telah mencium seorang wanita, ia lalu mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengabarkan kepada baginda. Maka turunlah firman Allah: ‘(Dan dirikanlah salat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan (dosa) kejahatan).’ (Qs. Huud: 114). Laki-laki itu lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ini khusus buatku?” beliau menjawab: “Untuk semua umatku.”

Ini adalah hadis kedua yang dikemukakan oleh Imam Bukhari untuk menceritakan kelebihan solat sebagai kaffarah – penebut dosa. Ianya dapat menghapuskan dosa-dosa kita. Kali ini menceritakan dosa dalam bentuk macam ini. Melibatkan perbuatan salah lelaki dan perempuan.

Hadis sebelum ini disebutkan banyak amalan baik – solat, puasa, amar ma’ruf, tapi kali ini disebutkan dengan jelas yang lelaki itu melakukan solat sahaja.

Tidak disebutkan nama lelaki dan perempuan itu dalam hadis ini kerana tidak penting disebut. Tidak elok pun disebut. Tidak perlu dicari siapakah lelaki dan perempuan itu. Memang ada nama lelaki itu disebut dalam riwayat lain. Tapi tidak disebut dalam Bukhari. Ini adalah disiplin ilmu Imam Bukhari. Sekadar menyampaikan ilmu, ada dalam Sunan Tirmizi menyebut hadis ini bagaiman seorang sahabat bernama Abul Yasar al Badri, seorang penjual tamar telah didatangi seorang pembeli wanita. Abul Yasar memberitahu wanita itu bahawa di dalam rumahnya ada tamar yang lagi baik. Apabila perempuan itu masuk ke dalam rumanya, Abu Yasar telah menerpa wanita itu dan telah melakukan perbuatan yang tidak baik dengan wanita itu. Abul Yasar telah menyesal atas perbuatannya dan telah bertemu dengan Abu Bakr untuk menceritakan kekesalannya itu dan apakah yang dia patut buat. Abu Bakr tidak layan. Kemudian, dia telah bertemu dengan Umar. Dua-dua sahabat besar itu berkata: “Tutuplah keaiban dirimu. Jangan beritahu kepada sesiapa”. Dia tidak puas hati sampaikan dia telah berjumpa sendiri dengan Nabi. Nabi marah beliau. Baginda pun seterusnya tunduk sampai turun ayat surah Hud:114 seperti yang ditulis dalam hadis di atas. Ulama membincangkan status hadis itu: Ulama mengatakan statusnya adalah hasan gharib. Kalau statusnya Hasan, pada Tirmizi dah dhaif sebenarnya. Kebanyakan Ulama hadis meninggalkan hadis ini. Kerana ada perawi Syiah di dalamnya. Kita pun sudah tahu bahawa agama Syiah akan memasukkan hadis-hadis untuk menunjukkan kelemahan dan keburukan para sahabat. Kerana mereka benci sahabat. Mereka mencipta hadis yang tidak benar supaya nampak kepada dunia bahawa sahabat itu buruk perangai mereka.

Habis kenapa Tirmizi bawa hadis itu kalau tidak benar? Kadang-kadang sebagai contoh hadis yang tidak benar. Kerana nak tunjuk bagaimana contoh hadis yang tidak benar. Kalau ada orang ini, orang itu, hadis itu akan ada masalah. Bukanlah semua hadis yang dalam kitab boleh terus terima bulat-bulat. Kenalah kaji status hadis itu. Lainlah kalau hadis dari Kitab Bukhari dan Muslim, kerana dua-dua pengumpul hadis itu berniat hanya memasukkan hadis-hadis yang sahih sahaja dalam kitab mereka.

Imam Bukhari tidak membawakan nama sahabat yang terlibat itu kerana tidak mahu memburukkan sahabat. Kalau perawi Syiah, ditakuti mereka menipu dalam menyebut nama sahabat kerana mereka amat benci pada sahabat. Kalau memang tahu nama sahabat itu pun, tidak elok dimasukkan. Kerana mereka telah bertaubat. Kalau dimasukkan nama mereka, maka akan terus busuk nama mereka sampai bila-bila kerana hadis ini akan dibaca sampai kiamat nanti. Kesian kepada keturunan mereka yang akan diburukkan. Kenapa nak sebut nama? Sedangkan yang penting dalam sesuatu hadis itu adalah pengajaran yang hendak disampaikan.

Ada lagi beberapa nama sahabat yang disebut sebagai lelaki yang dimaksudkan itu. Ini adalah kerana ada banyak riwayat. Tapi semuanya lemah-lemah belaka. Maknanya mana yang ada sebut nama sahabat tersebut, ada masalah dalam riwayat itu. Tidak ada satu pun yang sahih. Oleh itu berhati-hati dalam menyebut nama sahabat yang terlibat. Kalau salah, nak mohon ampun macam mana? Seeloknya jangan sebut nama langsung. Para sahabat itu kita pandang mulia. Tambahan pula, Abul Yasar itu adalah ‘al-badri’, bermakna dia adalah sahabat yang pergi berperang di Badr. Tidak terhingga jasa yang telah dilakukannya.

Orang kita suka rujuk kitab-kitab karangan manusia. Itu adalah satu masalah. Kisah-kisah yang detail dengan nama sahabat yang buat itu buat ini memang ada dalam kitab. Padahal belum tentu betul apa yang ada dalam kitab itu. Sikit-sikit beri hujah ada dalam kitab ini, kitab itu. Tok guru yang ajar tu pun salah. Mereka pun tidak belajar hadis dengan penuh. Pakai baca sahaja tanpa usaha hendak memastikan samada ianya betul atau tidak. Orang kita ingat kalau ada dalam kitab tu dah kita benar dah. Padahal kitab Taurat dan injil yang memang sudah kalam Allah pun boleh dimasukkan maklumat yang tidak benar. Yang banyak bawa ajaran salah tu dari pondok lah. Macam-macam kitab ada. Tidak ada budaya tahkik kitab. Tahkik kitab itu bermaksud memeriksa samada maklumat yang disampaikan dalam kitab itu adalah benar. Di Malaysia memang tidak ada budaya itu. Di negara-negara sunnah memang mereka ada buat. Bukan kita tak setuju, tapi kenalah periksa juga kitab-kitab itu samada benar atau tidak.

Lihatlah akhlak para sahabat. Walaupun mereka ada tergelincir melakukan kesalahan tapi mereka cepat menyesal dan berani untuk menerima hukuman. Kerana mereka lebih rela dikenakan hukuman di dunia ini daripada dikenakan di akhirat kelak. Kerana mereka amat takut. Mereka percaya sungguh dengan balasan akhirat. Biarlah kena azab di dunia dari dikenakan azab di akhirat yang lebih seksa lagi.

Oleh kerana mereka manusia biasa, maka mereka ada yang tergelincir dalam melakukan kesalahan. Janganlah kita mengeji mereka. Mereka pun manusia biasa juga. Kita pun lagi banyak salah dari mereka kalau nak dibandingkan. Tapi adakah kita lebih baik dari mereka? Mereka hidup bersama Nabi dalam kepayahan. Mereka setia bersama Nabi dan taat bersama dengan Nabi. Kalau arahan perang keluar, mereka terus keluar perang. Yang kita nampak hanyalah bagaimana mereka banyak bini, banyak anak. Tapi adakah mereka ada masa bergembira dengan keluarga mereka itu? Mereka sampai pergi ke negara-negara lain meluaskan dakwah Islam. Sampai ramai yang mati di tempat lain. Adakah kita macam itu? Jangan cepat kita mengutuk dan mengatakan teruk para sahabat itu. Kita tidak layak dibandingkan dengan mereka pun.

Ada persoalan yang besar di sini. Adakah perbuatan mencium perempuan yang bukan mahram itu sesuatu yang ringan sahaja sampaikan dengan solat sahaja boleh menghapuskan dosa itu? Kalau kita lihat hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari ini, ianya hanya menyebut ‘mencium’ sahaja. Tapi kalau dilihat pada hadis-hadis riwayat yang lain, sampai disebut ‘melakukan segalanya dilakukan seorang suami kepada isterinya kecuali jimak sahaja’. Itu sesuatu yang sudah berat. Memang ada ulama yang mengatakan memang solat dapat menghapuskan dosa-dosa itu pun. Tapi tidakkah itu akan disalahgunakan oleh orang yang kurang berilmu? Mereka akan kata: tidak mengapa kalau buat benda-benda itu. Dengan solat sahaja dah diampunkan dosa-dosa itu. Inilah sebabnya perawi hadis ada yang kadang-kadang takut hendak menyampaikan hadis yang mereka terima. Kerana mereka takut disalahertikan oleh pembaca. Mereka takut nanti manusia akan ambil sambil lewa sahaja. Baca hadis dengan pemahaman sendiri. Sebab itu sampai ada perawi hadis yang simpan hadis dan hanya diberitahu apabila mereka hampir mati sahaja. Mereka akan sampaikan juga – sebab takut nanti diazab kerana menyimpan ilmu pula. Tapi, begitulah pemahaman yang cetek yang ada kemungkinan dipegang oleh mereka yang tidak belajar dengan molek.

Jadi, bagaimana nak jawap? Apa yang hendak disampaikan oleh Imam Bukhari adalah amat halus sekali. Memang solat dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Tapi tidak semua solat itu sama. Solat berjemaah tidak sama dengan solat sendirian. Solat di rumah tidak sama dengan solat di masjid. Lagi tinggi kalau solat di masjid Nabi malah lebih tinggi lagi kalau solat di Masjidilharam. Tapi bagaimana pula kalau seseorang itu solat bersama Nabi? Itu lagi tinggi lagi. Itu adalah kelebihan yang tinggi yang dapat dinikmati oleh para sahabat. Dan sahabat dalam hadis ini dapat solat bersama Nabi. Tidak disebut dalam hadis ini. Tapi dalam riwayat yang lain, ada disebut bagaimana Nabi suruh sahabat itu ambil wuduk dan solat bersama baginda. Selepas solat bersama Nabi itulah diturunkan ayat dari surah Hud itu.

Tidak sama satu solat dan solat yang lain. Macam bahan pencuci juga. Kalau bahan pencuci yang kuat, boleh membersihkan kotoran yang lebih degil. Kalau pencuci biasa, dapat cuci kotoran biasa sahaja. Maka, para sahabat dapat solat dengan Nabi. Itu sebab mereka lebih dari kita. Memang tak dapat nak lawan mereka. Kita tidak akan ada peluang untuk solat bersama dengan Nabi. Kalau solat dengan Nabi dapat membersihkan dosa yang besar sedikit, kita tidak ada peluang itu dah.

Oleh itu, jangan anggap mudah melakukan dosa. Jangan ambil kesempatan dari hadis ini. Sebab itu sahabat tak mahu riwayatkan. Takut umat salah anggap. Takut galakkan buat dosa pula. Seeloknya pakai hadis Imam Bukhari yang kata ianya dosa cium sahaja. Seeloknya jangan pakai riwayat yang mengatakan sampai melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang suami kepada seorang isteri, kecuali jimak.

Bukan hadis sahaja yang mengatakan solat sebagai kaffarah tapi ayat Quran juga. Jadi itu menguatkan lagi hujah. Kalau dengan hadis pun dah kuat dah. Ini tambahan pula ayat Quran.

Ayat Quran ini juga adalah dalil bahawa solat itu ada waktu-waktunya. Disebut secara isyarat. Detailnya ada dalam hadis. Sebab itu kena belajar hadis. Sebab itu kena terima hadis. Lalu bagaimana orang-orang yang tidak mahu menerima hadis – yang mereka kata cukup dengan Quran sahaja? Bagaimana mereka hendak solat?

Perkataan طَرَفَيْ النَّهَارِ bermaksud ‘dua tepi siang’. Apakah maksudnya. Ibnu Abbas mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah solat subuh dan maghrib. Kerana subuh itu sebelum masuk siang dan maghrib selepas habis waktu siang. Tapi ada ulama yang mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud solat subuh dan asar. Kerana dua-dua waktu itu dalam waktu siang. Kalau maghrib, dah luar waktu siang. Bagaimana pula dengan Subuh? Subuh itu dikira sudah masuk siang. Itu adalah perbezaan pendapat ulama.
Ulama memasukkan juga zuhur di dalam pemahaman ayat ini. Jadi, sudah ada tiga waktu dalam ayat itu sahaja: subuh, zuhur dan asar.

Dan perkataan وَزُلَفًا مِنْ اللَّيْلِ dalam ayat itu bermaksud ‘waktu malam yang hampir dengan siang’. Iaitu waktu maghrib dan isyak. Maghrib dan isyak itu dekat antara satu sama lain, maka disekalikan. Sebab kalau kita lihat pun, waktu maghrib itu pendek sahaja. Cukup untuk solat maghrib sahaja. Tak lama selepas itu dah masuk waktu Isyak.
Jadi ayat ini telah mengumpulkan lima waktu. Salahlah pegangan anti-hadis yang mengatakan bahawa solat lima waktu tidak ada dalam Quran. Mereka kata mereka pegang Quran, tapi pemahaman mereka tentang bahasa Quran amat dangkal sekali. Itulah masalah kalau tidak belajar. Kita kalau nak faham sendiri, memang payah. Maka, janganlah tinggalkan tradisi belajar ilmu dengan mereka yang berpengatahuan. Yang telah lama mengkaji. Dan mendapat ilmu dari sanad yang benar. Jadi, ayat Hud:114 ini merujuk solat fardhu lima waktu. Tiada khilaf ulama dalam perkara ini.

Jadi, secara kesimpulan, solat boleh menghapuskan dosa-dosa, terutama dosa-dosa yang tak perasan. Iaitu dosa-dosa kecil. Entah berapa banyak dosa-dosa yang kita lakukan tanpa kita perasan.

Perlu diingatkan juga bahawa dosa-dosa kecil ini adakan dihilangkan kalau dosa-dosa besar dijauhkan. Itu syaratnya. Dalil dalam Nisa:31
إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Memang ada ulama yang kata solat boleh membersihkan dosa besar pun. Tapi tidak dibawakan dalil. Ayat diatas menyebut kepentingan meninggalkan dosa-dosa besar.

Satu lagi ayat Najm:32
الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

Kita memang banyak berdosa. Kalau kita rasa kita tak berdosalah yang akan menyebabkan diri kita rasa diri kita tinggi dari orang lain. Itu adalah satu perasaan yang tidak patut ada pada kita. Kalau kita terima kita banyak dosa, maka kita akan merendahkan diri. Ingatlah kedudukan diri kita yang sentiasa melakukan dosa. Maka janganlah kita mengatakan diri kita suci.

solat-31

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Kelebihan solat fardhu lima waktu. Ianya dapat menghapuskan dosa seseorang. Kekadang orang malas solat kerana tak sedar perkara ini. Mereka tak perasan nikmat Allah beri kepada mereka. Betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Lalu kalau kita tahu sudah banyak nikmat Allah telah berikan kepada kita, bagaimana kita hendak mengucapkan terima kasih kepada Allah? Allah telah ajar kita macam-mana. Iaitu dengan mendirikan solat. Cuma kadang-kadang kita tak perasan kita dah dapat banyak nikmat. Sebab kita dah biasa dapat nikmat itu. Sebagai contoh, nikmat udara. Kita tak perasan pun bahawa itu adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Dari masa kita bayi pun dah dapat udara dah. Macam juga kalau anak orang kaya – mereka tak pernah rasa susah. Jadi, apabila mereka makan dan pakai barang yang mahal-mahal, mereka tak perasan itu adalah nikmat. Hanya kepada mereka yang tak biasa dapat sahaja akan merasa syukur benar kalau sekali sekala dapat makan makanan mahal. Itu adalah kerana mereka tak tahu mana murah mana mahal sebab mereka senang dapat. Cuba kalau sekali Allah ambil nikmat udara yang bersih. Sekali Allah beri jerebu, baru tahu betapa nikmat dapat udara yang bersih.
  2. Sahabat tidak maksum. Mereka juga ada melakukan dosa. Hanya para Nabi sahaja yang maksum. Ini adalah akidah. Mereka ada yang buat dosa kecil atau besar. Walaupun begitu, jangan pandang rendah mereka. Mereka ada darjat yang tinggi kalau dibandingkan dengan kita. Besar usaha mereka mengembangkan Islam. Jangan kita ingat kita lebih baik dari mereka. Mungkin ada yang berkata, mereka tak pernah pun sampai mencium perempuan yang bukan isteri mereka sepanjang hidup mereka, jadi mereka lebih baik dari sahabat. Jangan fikir begitu.
  3. Para sahabat sanggup mengaku kesalahan mereka dan sanggup menerima hukuman. Waktu mereka mengaku kesalahan mereka itu, mereka bukan tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka. Tapi mereka rela. Mereka tidak sanggup menerima hukuman akhirat kelak. Hasilnya, apabila kita lihat riwayat, tidak pernah ada disebut kesalahan yang diakui oleh sahabat yang tidak diampunkan oleh Allah. Apabila disebut kisah dosa mereka dan mereka mengaku kepada Nabi, akhirnya diceritakan bagaimana dosa mereka diampunkan. Para sahabat amat berani. Lelaki atau perempuan pun.
  4. Nabi tidak membuat keputusan dengan menggunakan pendapatnya sendiri. Baginda akan mendapat panduan hukum terus dari Allah. Kalau ada perkara yang baginda tidak tahu hukumnya, baginda akan diam. Selalunya akan diturunkan wahyu kepada baginda. Ini juga adalah dalil untuk menjawap kata-kata mereka yang mendakwa bahawa Nabi menulis sendiri Quran. Cubalah bayangkan, bagaimana Nabi boleh menulis sendiri Quran, sedangkan apabila sahabat datang bertanyakan sesuatu perkara kepada Nabi, kadang-kadang ayat itu turun terus. Bila masanya Nabi nak menulis jawapan itu sedangkan baginda tidak tahu apakah yang akan ditanya oleh sahabat itu? Dan lihatlah bahasa Quran itu sendiri. Ianya bukan dari tulisan manusia. Begitu hebat sekali sampaikan mengalahkan orang yang pandai dalam bahasa. Dari dulu sampai sekarang. Pengkaji terus menerus rasa kagum dan takjub dengan keindahan bahasa Quran. Ianya mengandungi mesej dan hukum dan dalam masa yang sama, bahasa yang digunakan amat indah sekali.
  5. Surah Hud ayat 114 ini sebagai dalil dari Quran untuk menyatakan tentang kewajipan solat lima waktu. Kepada yang tidak belajar sahaja yang tidak nampak hujahnya.
  6. Menyatakan sifat maha pengampun Allah. Kalau buat dosa dan mengaku, Allah akan ampunkan. Kerana Allah Maha Pengampun.
  7. Tidak ada hukuman hadd untuk kesalahan-kesalahan sebegini. Ianya dikategorikan sebagai dosa kecil. Hatta ulama mengatakan, kalau dijumpai lelaki dan perempuan dalam selimut bertelanjang bogel pun belum lagi boleh dikenakan hukum hadd. Kerana untuk mengenakan hukum hadd, kena pasti benar-benar telah melakukan zina. Kerana Islam benar-benar mementingkan ketepatan dalam menghukum. Tapi kalau tidak boleh dikenakan hukum hadd, pemerintah masih boleh mengenakan hukum Ta’zir. Bergantung kepada kepandaian pemerintah. Boleh dikenakan denda, atau langkah memalukan pasangan itu. Kerana itu boleh dikenakan untuk memberi pengajaran kepada mereka dan juga supaya masyarakat pun supaya mereka takut nak buat seperti mereka.
  8. Hukuman Ta’zir juga tidak diperlukan kepada mereka yang sudah bertaubat dan mahu berubah.
  9. Konsep dosa kecil dan dosa besar diambil dari Quran dan hadis. Al kaba’ir itu adalah dosa besar dan sayyi’ah adalah dosa kecil. Kerana ada juga yang tak faham perkara ini. Manusia ni macam-macam. Kerana mereka tidak tahu dan tidak belajar. Sampaikan ada yang kata tidak ada dosa kecil, cuma dosa besar sahaja.
  10. Solat fardhu itu sudah dikira sebagai taubat pembuatnya. Tanpa niat pun untuk menghilangkan dosa mereka semasa mereka solat tu. Kerana kadang-kadang mereka tak tahu pun dosa apa yang mereka telah lakukan.
  11. Pintu taubat sentiasa dibuka kalau dilakukan secara ikhlas.
  12. Hukum yang terjadi adalah untuk umum kecuali kalau ianya dikatakan khusus kepada seseorang.

Kuliah Maulana Asri

Link kepada hadis yang seterusnya

Link kepada permulaan kitab Waktu Solat.

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s