We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Isu Tok Moh March 30, 2014

Filed under: Ilmu — visitor74 @ 1:39 am

Isu tok moh

Kapal terbang MH370 sudah dikesan. Tak tahu sekarang apakah isu lain yang timbul. Aku nak sentuh tentang masa kapal terbang itu hilang. Macam-macam usaha dilakukan oleh berbagai pihak. Termasuklah seorang ‘Raja Bomoh’.

Ramai dah kutuk Bomoh itu. Dia pun membalas dengan hujah-hujah dia. Ada juga pihak yang menyokong dia. Apakah pegangan kita dalam hal ini? Atau kita buat tak tahu sahaja?

Amat malang sekali dengan kehilangan kapal terbang itu. Saya melihat dari sudut bomoh itu yang menarik perhatian saya. Kerana pada saya, ini ada peluang untuk kita menceritakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh bomoh-bomoh di Malaysia ini. Harapnya perkara ini dibesarkan lagi supaya masyarakat benar-benar faham dengan isu bomoh-bomoh ini. Semoga ada ramai yang terfikir dan bertanya: “eh, salahkah pakai khidmat bomoh? Selalu jer kita buat selama hari ni, kenapa tak bising pula? Kali ni pula bising!”

Memang isu lebih besar adalah mencari kapal terbang itu. Dan mungkin ada yang kata ini adalah isu serpihan sahaja. Tak payah buang masa. Tok Bomoh tu pun hanya mencari publisiti sahaja. Jangan dilayan. Saya katakan: kita ambil peluang ini untuk mendidik masyarakat. Nak cari kapal terbang kita tak boleh. Boleh berdoa sahaja. Semua itu dalam perancangan Allah. Tapi kita boleh beri ilmu kepada masyarakat. Kot ada yang baca blog saya ini, dapatlah sedikit ilmu. Setidaknya, ada sedikit usaha dari saya yang kerdil ini.

Saya lahir dalam suasana kampung yang pekat dengan amalan-amalan yang sebegini. Dari kecil lagi saya dah biasa dengan bomoh, dukun, tukang urut batin dan macam-macam lagi. Nenek saya pun dikatakan ‘pandai mengubat’. Masa saya nak lahir pun dia dikatakan sampai melompat ke atas perut mak saya kerana emak ada masalah nak lahirkan saya. Tapi dia meninggal semasa saya kecil lagi. Jadi tidak banyak info tentang beliau. Saya percaya, ramai antara kita yang ada ahli keluarga yang ‘pandai mengubat’, ‘pandai tengok’ dan macam-macam lagi.

Saya juga ada kawan yang pandai ‘mencari barang hilang’. Seperti mereka dianugerahkan dengan kelebihan itu. Bila diberitahu ada barang hilang, mereka senyap kejap dan suruh cuba tengok tempat sekian-sekian. Ada yang jumpa.

Di kampung dulu, ayah banyak kenal Wak-Wak dari Indonesia dan dari sini juga yang dikatakan pandai mengubat itu dan ini. Buang saka, buang santau dan macam-macam lagi. Mereka bagi tangkal, bagi wifak untuk dipakai. Mereka bagi makan itu dan ini. Saya dah biasa dah tu. Memang tidak dinafikan waktu itu saya impressed dengan mereka. Pada saya, berkhidmat untuk masyarakat. Pada fikiran saya yang jahil waktu itu, Allah telah letakkan beberapa orang tertentu dalam masyarakat untuk menolong umat. Setiap kampung ada sahaja yang macam ini. Kalau ada masalah, masyarakat akan pergi jumpa mereka. Mereka boleh tenung. Mereka boleh buat air tawar. Boleh beri jalan keluar. Berjaya atau tidak, itu secondary. Kita lega asalkan kita ada buat sesuatu. Kita rasa kita dah ‘usaha’. Ya, itulah alasan kita.

Dan confirm, saya pernah sampai terlibat jumpa bomoh Siam pun sekali. Takpe, saya mengaku kat sijil Itu dah confirm syirik. Semoga Allah ampunkan dosa saya waktu itu. Waktu itu saya ikut sahaja, tapi saya tidak kata apa-apa. Maknanya, saya redhalah masa itu dengan jalan ‘usaha’ yang dilakukan. Masalah pasti timbul sepanjang hidup kita. Mahu tidak mahu, ada yang akan cadangkan kita jumpa orang yang ‘pandai’. Tapi bayangkan, waktu itu sampai saya tidak rasa bersalah pergi jumpa bomoh siam. Kenapa boleh sampai jadi macam itu? Waktu itu, bukan saya tidak berpelajaran tinggi. Mungkin ilmu agama yang tak tinggi.

Sampai sekarang, bomoh, dukun, guru, ‘ustaz’ dan yang seangkatan dengan mereka adalah sebahagian besar dari kehidupan masyarakat kita. Setiap kampung pasti ada. Mereka bercambah kerana masyarakat kita hanya tahu untuk berserah kepada mereka sahaja. Mereka tidak ada jalan lain. Mereka tak mahu duduk-duduk menunggu sahaja. Itu pada mereka adalah usaha mereka. Mereka kata mereka berdoa juga kepada Allah tapi itu juga usaha mereka. Mereka buat begitu kerana mereka tak tahu apakah hukum berjumpa bomoh. Kerana ianya telah lama ada, ustaz yang mengajar pun senyap sahaja. Mufti pun tak buat apa. Pejabat agama diam seribu bahasa. ‘Ustaz’ yang tumpang sekaki jadi tukang tilik pun ada. Ustaz itu juga yang jadi imam masa solat hajat. Ustaz itu juga yang jadi tekong majlis tahlil, takkan salah ustaz itu? Jadi masyarakat berterusan dalam menggunakan khidmat mereka.

Tok Raja Bomoh sedunia (tak tahulah siapa yang lantik dia) yang dimaksudkan adalah Ibrahim Mat Zin. Kita boleh sebut nama dia sebab dah terkenal dah sekarang. Kalau dia tak kenalkan diri dia, kita tak boleh sebut sebab kita tak boleh nak malukan orang lain. Tapi sekarang satu dunia dah kenal dia. Sampaikan kita malu dengan agama dan masyarakat lain. Dalam orang lain cari kapalterbang yang hilang dengan menggunakan cara yang betul, ada pula seorang lelaki yang menggunakan cara yang khurafat dan syirik dan amat bodoh sekali. Sampai cara beliau itu diajukkan oleh orang luar seluruh dunia. Malu memang dah malu dah. Itu bukan sahaja memalukan Malaysia sahaja, tapi agama Islam sekali. Tentu orang kafir kata: macam ini rupanya Islam. Percaya benda karut macam ini. Tentu orang Islam negara lain kata: mana ulama-ulama Malaysia ni sampai jadi macam ini.

Ulama-ulama negara Islam tak tegur sangat. Ada yang tegur, tapi ada juga yang kata tidak ada syikirnga perbuatan Bomoh Dunia itu. Yang kata itu pula ada ustaz yang terkenal satu Malaya. Selalu masuk dalam YouTube. Kata-kata dia memang dipakai. Selalu dijadikan hujah. Selalu orang kata begini: tapi ustaz A* kata boleh? “Kenapa kau kata tak boleh?” Selepas ini aku dah boleh agak dah: “ustaz A* kata tak syirik la… dia kata perbuatan dia memalukan sahaja, tak sampai syirik pun.

Mungkin dia tak berani nak menghukum sesorang itu. Memang sukar untuk kita hukum orang lain. Kalau kita kata orang itu kafir, tapi sebenarnya dia tidak kafir, maka kekafiran itu jatuh kepada kita balik. Mungkin itu sebabnya dia tak kata syirik.

Tapi kalau mereka yang diharapkan memberi kata putus tak berani nak cakap, apa akan jadi akhirnya kepada masyarakat kita? Mereka menunggu kata putus sahaja: boleh buat atau tidak? Perbuatan itu syirik atau tidak? Mereka tidak ada ilmu nak buat keputusan sendiri. Mereka tidak ada masa nak kaji dan baca kitab-kitab muktabar dan pergi kelas pengajian. Mereka nak jawapan simple: boleh atau tidak?

Kenapa saya nak sibukkan diri tentang Mahaguru Ibrahim Mat Zin? Kenapa saya tidak boleh berlapang dada menerima ada kemungkinan apa yang dia buat itu tidak syirik? Apa saya dah pandai sangat ke sampai boleh menegur orang (tak pandai mana, tapi bolehlah sikit-sikit). Kenapa nak buka pekung orang? Kalau pun dia salah, tak payah lah sampai nak bising-bising keliling kampung….

Saya nak jalankan tugas dan tanggungjawab seorang muslim memberi nasihat kepada saudara seislam yang lain. Walaupun sampai terpaksa menceritakan tentang kesilapan orang lain. Sehinggakan pernah dikatakan kepada Ahmad bin Hanbal: “Manakah yang lebih engkau suka, seseorang yang berpuasa, solat, dan melakukan iktikaf atau orang yang berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah?” Beliau menjawab: “Apabila dia berdiri dan solat serta beriktikaf, maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk dirinya sendiri. Namun apabila dia berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk kaum muslimin, inilah yang lebih utama.”

Inilah Raja Bomoh yang dimaksudkan:

Lihatlah apa dia buat.

Dia kata dapat arahan dari pihak atasan:

Ingatkan dia dah malu dan tak buat perkara mengarut lagi, tapi tidak ada apa yang menghalangnya pun. Ini dia seru mayat-mayat yang dah mati tu:

Kadang-kadang, mungkin yang kata perbuatan Ibrahim Mat Zin itu syirik pun tak tahu bagaimana perbuatan itu boleh jatuh ke tahap syirik. Maka saya hendak mengambil peluang disini untuk memberikan sedikit hujah. Saya petik hujah ini dari artikel Hafiz Firdaus yang boleh didapati di sini:
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/MSBSPR/Pendahuluan.htm

Pencemaran #4:
Berjumpa Dengan Bomoh.

Di antara perbuatan yang mencemari kemurnian tauhid ialah berjumpa dengan bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib.

Berjumpa dengan orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dapat mencemari kemurnian tauhid kerana pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya milik Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apa yang dimaksudkan dengan ilmu ghaib ialah pengetahuan yang tidak dapat diperolehi melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa yang tersembunyi. Pengetahuan tentang ilmu-ilmu ini hanya dimiliki oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firman-Nya:

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib,
tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja.
[al-An’aam 6:59]

Katakanlah: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”
[al-Naml 27:65]

Pengetahuan tentang ilmu ghaib juga tidak diketahui oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan hakikat ini:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.

Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.”
[al-A’raaf 7:188]

Apa-apa ilmu ghaib yang diketahui dan dikhabarkan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda yang sahih seperti kejadian pada akhir zaman, kehidupan di alam kubur, suasana Hari Akhirat dan sebagainya, semua itu adalah daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah kepada baginda:

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,
maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya
(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang
berkaitan dengan tugasnya).
[al-Jin 72:26-27]

Oleh itu sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, dia seorang pendusta. Lebih dari itu dia sebenarnya cuba menjadi sekutu bagi Allah dengan meletakkan dirinya sejajar dengan keilmuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kita daripada mengunjungi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Seorang sahabat, Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu ‘anh pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! أُمُورًا كُنَّا نَصْنَعُهَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ كُنَّا نَأْتِي الْكُهَّانَ. قَالَ: فَلاَ تَأْتُوا الْكُهَّانَ.

“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.”
Rasulullah menjawab: “Jangan mengunjungi orang yang mendakwa
mengetahui ilmu ghaib.”[9]

Dalam hadis di atas, orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dikenali sebagai (الْكُهَّانُ). Perkataan (الْكُهَّانُ) atau (كَهَنَةٌ) adalah jamak daripada perkataan (كَاهِنٌ). Al-Allamah Syam al-Haq Abadi menjelaskan:[10]

Disebut di dalam al-Lisan (oleh Ibn Manzur) bahawa ia adalah orang yang memperoleh khabar daripada alam sekelilingnya tentang hal-hal yang akan berlaku dan mendakwa mengetahui perkara-perkara rahsia …… maka di antara mereka ialah orang-orang yang mendakwa memiliki jin yang mengikuti mereka dan menyampaikan khabar kepadanya dan di antara mereka ialah orang-orang yang mendakwa mengetahui sesuatu urusan berdasarkan pendahuluan sebab-sebab yang menunjuk ke arahnya melalui perkataan atau perbuatan atau hal tertentu. Berkata Ibn Atsir, sabda baginda: “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib” merangkumi bomoh, tukang ramal dan penilik nasib.

Larangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib adalah larangan yang besar sebagaimana hadis berikut daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.[11]

Perkataan (عَرَّافًا) yang disebut di dalam hadis di atas memiliki maksud yang hampir sama dengan (الْكُهَّانَ) yang disebut dalam hadis sebelumnya. Muhammad bin Shalih al-Utsaimin menerangkan:[12]

Dikatakan, (العَرَّاف) adalah (الكَاهِن), iaitu orang yang sering memberitahu tentang khabar yang akan terjadi. Ada yang mengatakan ia adalah nama umum meliputi dukun, ahli nujum dan orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.

Perhatikan semula hadis di atas, Rasulullah tetap melarang kita mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib atau bertanya sesuatu kepadanya sekalipun kita tidak mempercayai apa yang dikatakan olehnya. Terdapat beberapa sebab di sebalik larangan ini:

1. Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apabila seseorang itu mendakwa dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, maka dia meletakkan dirinya sejajar dengan Allah.

2. Apabila seorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui hal ghaib. Sepatutnya seorang muslim menolak orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan tidak mengunjunginya kecuali untuk memberi nasihat akan kesalahan tindak tanduknya.

3. Sekalipun pengunjung pada awalnya tidak mempercayai khabar yang diberikan oleh orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, dia kemudian akan mempercayai orang tersebut jika khabar yang diberikannya menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku. Ini akhirnya akan mengakibatkan pengunjung membenarkan apa yang dikhabarkan oleh orang tersebut.

Akhir sekali, jika seseorang itu membenarkan khabar orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, ia membawa natijah yang amat berat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran yang keras dalam hal ini:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ حَائِضًا أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا فَقَدْ بَرِئَ
مِمَّا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam).[13]

Di Malaysia, orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, atau ringkasnya bomoh[14], terbahagi kepada dua kategori:

Bomoh Kategori Pertama:
Bomoh kategori pertama adalah mereka yang tidak mengetahui apa-apa ilmu ghaib tetapi bijak membuat khabar sehingga dipercayai oleh orang yang mengunjungi mereka. Khabar-khabar yang disampaikan oleh bomoh dalam kategori ini sudah ditentukan sejak awal lagi. Berikut lima contoh yang paling lazim berlaku:

1. Jika orang yang mengunjunginya bertanya tentang barang berharga yang hilang, jawapan yang akan diberikan ialah: “Ia diambil oleh seseorang yang rapat lagi dipercayai.”

2. Jika isteri bertanya tentang sikap suaminya yang akhir-akhir ini berubah, jawapan yang akan diberikan ialah: “Suami kamu sudah ada girlfriend yang baru di hatinya.”

3. Jika suami bertanya tentang sikap isterinya yang akhir-akhir ini berubah, jawapan yang akan diberikan ialah: “Isteri kamu telah kembali dengan boyfriend lamanya.”

4. Jika seseorang ingin mencari pasangan hidup yang sesuai yang masih belum ditemuinya, jawapan yang akan diberikan ialah: “Ada sial yang menghalang diri kamu daripada dilihat oleh orang lain.” Ubatnya ialah mandi bunga.[15]

5. Jika seseorang menghadapi satu penyakit aneh atau mimpi yang bukan-bukan, jawapan yang akan diberikan ialah: “Ia adalah buatan orang yang rapat lagi dengki kepada kamu.”

Ada beberapa cara untuk mengenali bomoh kategori pertama ini selain daripada jawapan-jawapan di atas yang bakal diberikannya:

1. Mereka akan memulakan “upacara” dengan bacaan al-Qur’an dan zikir-zikir tertentu. Ini hanyalah solekan bagi memberi pengaruh palsu kepada pengunjung bahawa mereka sebenarnya membuat “upacara” yang selari dengan Islam.[16]

2. Mereka akan berlakon seolah-olah sedang berfikir dalam penuh kekhusyukan. Dahi dikerut-kerutkan dan mata dipejamkan, sekali lagi untuk memberi pengaruh palsu kepada pengunjung bahawa mereka sedang bersungguh-sungguh untuk membantu.

3. Khabar atau jawapan yang akan diberikan dengan nada yang perlahan tetapi serius untuk memberi pengaruh kepada pengunjung bahawa mereka juga serius dalam khabar atau jawapan tersebut. Ini akan memberi keyakinan kepada pengunjung bahawa apa yang dikhabarkan adalah benar.

4. Di akhir “upacara”, mereka tidak akan meminta apa-apa bayaran. Ini kononnya akan menunjukkan keikhlasan usaha mereka sehingga berjaya mendapat simpati pengunjung. Pengunjung akhirnya akan memberi sedikit bayaran seperti RM50 atau RM100. Akan tetapi jika diberi bayaran yang amat sedikit, seperti RM5, si-bomoh akan menunjukkan air muka yang kurang senang atau mungkin juga akan berkata-kata sesuatu umpama: “Terima kasih nak (anak) atas duit lima ringgit ni. Pak cik memang memerlukannya, lebih-lebih lagi sekarang harga minyak pun dah naik, harga sayur pun dah naik. Pak cik sendiri dah lama tak makan daging. Hari-hari nasi dan ikan masin sahaja.”

Bomoh Kategori Kedua:
Jika bomoh kategori pertama hanya memberi khabar berbentuk umum yang sudah disiapkan sejak awal, bomoh kategori kedua pula mampu memberi khabar secara tepat lagi terperinci. Ini dapat dilakukan dengan bantuan jin kafir atau jin fasiq yang mereka pelihara. Oleh itu jika seorang muslim mengunjungi mereka dengan masalah-masalah yang sama di atas, bomoh dalam kategori ini akan mampu memberi jawapan yang tepat lagi terperinci hasil daripada pemberitahuan jin peliharaannya.
Sebagai contoh, jika bertanya tentang dompet yang hilang, bomoh kategori ini akan menjawab:

“Ia diambil oleh rakan kerja yang duduk dua meja di sebelah kanan pada hari Khamis yang lepas. Dia seorang wanita berumur 24 tahun. Pada hari itu dia memakai baju kebaya merah dengan tudung merah muda yang diikat ke belakang kepala. Dia mencuri dompet kamu kerana dengki terhadap elaun tambahan yang kamu perolehi minggu lepas. Dia ingin melihat kamu berada dalam kesusahan untuk menggantikan semula kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, kad kredit dan sebagainya yang terdapat dalam dompet.”

Demikian khabar yang sebegitu terperinci yang disampaikan oleh jin peliharaan bomoh. Akan tetapi ketahuilah bahawa khabar itu sendiri terbahagi kepada dua bahagian:

1. Khabar tentang ciri-ciri rakan kerja yang duduk dua meja di sebelah. Khabar ini memang tepat dan berjaya memberi keyakinan kepada pengunjung akan khabar yang disampaikan oleh bomoh.

2. Khabar bahawa rakan kerja itulah yang mencuri dompet kerana dengki dan ingin memberi kesusahan kepada pengunjung. Khabar ini adalah dusta.

Bentuk khabar sebegini yang disampaikan oleh jin peliharaan bomoh sudah diberitahu oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sejak lebih 1400 tahun yang lalu. A’isyah radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! إِنَّ الْكُهَّانَ كَانُوا يُحَدِّثُونَنَا بِالشَّيْءِ فَنَجِدُهُ حَقًّا! قَالَ: تِلْكَ الْكَلِمَةُ الْحَقُّ
يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقْذِفُهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ وَيَزِيدُ فِيهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ.

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!”
Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.”[17]

Terdapat beberapa sebab jin sengaja membuat dusta:

1. Supaya berlaku pertengkaran antara dua orang Muslim. Perpecahan dan persengketaan antara orang Islam memang digemari oleh golongan jin yang kafir atau fasiq.

2. Supaya pengunjung tersebut akan meminta bomoh untuk membalas rakan kerjanya dengan sesuatu gangguan. Bomoh pada gilirannya akan mengupah jin peliharaannya untuk melakukan sesuatu gangguan kepada rakan kerja itu. Upahan yang diberikan lazimnya adalah sembelihan haiwan seperti ayam putih atau kambing putih.

3. Sebenarnya jin tidak memerlukan apa-apa sembelihan haiwan. Mereka hanya menghendaki agar sembelihan dilakukan di atas nama mereka atau kerana mereka. Apabila bomoh dan pengunjung melakukan sembelihan sedemikian, mereka telah melakukan kesalahan yang besar di sisi Allah. Inilah yang dikehendaki oleh jin tersebut, iaitu menyesatkan seorang muslim dan menjerumuskannya ke dalam kesalahan agama.

Menyembelih di atas nama selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala merupakan satu kesalahan yang besar. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ
مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الأَرْضِ.

Allah melaknat orang yang melaknat ibubapanya, Allah melaknat orang yang menyembelih kerana selain Allah, Allah melaknat orang yang melindungi seorang ahli bid’ah dan Allah melaknat orang yang mengubah sempadan tanah.[18]

Bomoh kategori kedua dapat dikenali dengan ketepatan khabar yang dikemukakan olehnya terhadap sesuatu masalah yang dihadapi oleh pengunjung. Akan tetapi kebenaran hanyalah sedikit demi memperoleh keyakinan pengunjung. Seterusnya adalah dusta. Bomoh kategori kedua lazimnya tidak akan meminta bayaran dalam bentuk wang sahaja tetapi dilengkapi dengan persediaan dalam bentuk kebendaan seperti haiwan, telur dan sebagainya.

Hukum mengunjungi bomoh kategori kedua ini adalah jauh lebih berat daripada bomoh kategori pertama. Ini kerana mereka mendakwa mengetahui hal ghaib dengan khabar-khabar dusta yang akhirnya memfitnah orang yang tidak bersalah. Lebih dari itu pemeliharaan dan penggunaan jin akan menyebabkan bomoh dan pengunjung terpaksa melakukan amalan yang dilarang oleh Islam.

Bagaimana Jika Menggunakan Jin Muslim?
Menyentuh tentang pemeliharaan dan penggunaan jin, sebahagian pihak ada yang berkata ianya dibolehkan jika jin tersebut adalah “jin muslim”. Saya berkata, benar bahawa terdapat jin yang muslim. Hal ini dinyatakan di dalam al-Qur’an:

Katakanlah (wahai Muhammad),
telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin
telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka
(menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata:
“Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu
makhluk dengan Tuhan kami.”
[al-Jin 72:1-2]

Namun persoalannya adalah, bagaimana kita dapat mengetahui jin tersebut adalah muslim yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar? Ini kerana masyarakat jin itu sendiri terbahagi kepada beberapa aliran dan mazhab:

Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan (jin) yang shalih dan ada di antara kita yang lain dari itu;
kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.
[al-Jin 72:11]

Terdapat beberapa petunjuk yang dapat digunakan sebagai ukuran membezakan jin muslim yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar:

1. Jin tersebut akan mengakui bahawa dia tidak mengetahui perkara ghaib dan apa-apa manfaat atau mudarat yang bakal berlaku. Masyarakat “jin muslim” yang diiktiraf oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengakui:

Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit,
lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal
yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman)
api yang menyala.

Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat
(perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar,
akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah bala bencana akan menimpa penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka.
[al-Jin 72:8-10]

2. Jin tersebut akan menasihatkan agar tidak menggunakan apa-apa khidmatnya kerana ia tidak lain hanya akan menambah dosa dan kesalahan:

Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia
meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin,
maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia tersebut) dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06][19]

3. Jin tersebut akan menasihatkan bahawa kebanyakan daripada kalangannya lazim berdusta dengan percakapan yang indah susunannya agar dapat memperdayakan para pendengarnya:

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya
[al-An’aam 6:112]

Nah! Jika jin berani berdusta dan memperdayakan para Nabi, sudah tentu mereka akan lebih berani melakukannya terhadap manusia biasa.

4. Jin tersebut akan mengingatkan bahawa menggunakan pertolongan mereka hanya akan menempah tempat di dalam api neraka:

Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman):
“Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah memiliki banyak pengikut-pengikut dari golongan manusia.”

Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami.”

(Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya kecuali apa yang dikehendaki Allah.” Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
[al-An’aam 6:128]

5. Jin tersebut akan menerangkan bahawa menggunakan khidmat mereka hanyalah sesuatu yang dikhususkan keizinannya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Nabi Sulaiman ‘alaihi salam, tidak kepada manusia yang lain:

Dan Kami (Allah) kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan;
dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja
di hadapannya dengan izin Tuhannya.
Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami,
Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.

Demikianlah beberapa ciri atau ukuran bagi menentukan “jin muslim” yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar. Ringkasnya jin muslim tidak akan menawarkan apa-apa khidmat kepada bomoh atau manusia melainkan menasihatkan mereka, paling kurang, dengan lima ayat al-Qur’an yang telah dikemukakan di atas.

Nota: begitulah telah diterangkan dengan jelas sekali dalam artikel ini apakah bahayanya kalau kita menggunakan khidmat bomoh-bomoh itu. Jangan kita terpedaya dengan kadang-kadang apa yang mereka kata itu benar-benar terjadi. Itu tidak mustahil. Tapi bagaimana mereka dapat maklumat itu? Tentunya dari jin yang mereka bela. Semakin besar jin mereka bela, semakin tepatlah maklumat yang mereka boleh berikan.

Janganlah kerana kita hendak berjaya, hendak menyelesaikan sesuatu kekusutan dalam hidup kita, hendak menyembuhkan penyakit dan apa-apa sahaja keperluan, kita pergi berjumpa dengan dukun, bomoh dan seangkatan dengannya. Saya gunakan perkataan ‘seangkatan’ itu kerana hendak merangkumkan banyak golongan lagi yang tak tertulis oleh saya. Jangan kita tertipu dengan mereka yang menggunakan perawakan orang alim, orang warak dan sebagainya. Walaupun mereka menggunakan gelaran ‘wak’, malah gelaran ustaz juga. Kita tidak kenal mereka. Kita tidak tahu amalan mereka. Mereka sendiri mungkin sangka amalan mereka itu benar. Dan kalau kita tanya mereka, mereka akan kata mereka benar. Takkan mereka nak kata mereka salah. Ibrahim Mat Zin tu, melenting dia sampai nak ‘tampar buaya’ dengan orang yang kata dia syirik. Dan dia sanggup nak duduk berbincang menjelaskan apakah method yang digunakannya. Dalam hal itu, dia gentleman. Tapi tak tahulah ada hasil atau tidak. Semoga Allah memberikan hidayah kepadanya untuk kembali ke pangkal jalan. Umurnya dah 80 tahun, dah berpuluh tahun dia bergelumang dengan amalannya itu. Dengar kata, JAKIM sendiri telah haramkan dia ni. Dan dengar cerita juga, dia pernah menjelaskan dari mana dia dapat ilmu itu. Dari harimau jadian dan dari ikan duyung kalau tak salah saya. Dia dapat tu pula sewaktu dia bertapa dalam gua. Ma sha Allah! Kalau dah belajar dengan benda-benda itu, dengan siapa sebenarnya dia belajar? Dalam dunia ini, hanya ad tiga jenis entiti sahaja: manusia, malaikat dan jin. Harimau jadian itu jenis apa? Tentu bukan manusia. Tentu bukan malaikat.

Nasihat dari ustaz Idris Sulaiman http://youtu.be/-yXbeh7YSIc

Saya berharap sangat supaya perkara ini akan terus dibicancangkan dalam masyarakat kita. Supaya semakin jelas. Dan semoga ustaz-ustaz di luar sana akan berani hendak memberikan teguran yang berani. Jangan simpan-simpan. Jangan pusing-pusing. Terus kata bidaah kalau bidaah. Terus kata syirik kalau syirik.

Apa? Darul Syifa’ bagaimana? Lain kali lah kita sembang. Dah .

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s