We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Waktu-Waktu Sembahyang Sesi 1-5 Bab Waktu-Waktu Sembahyang Dan Kelebihannya.. March 5, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Waktu Solat — visitor74 @ 12:09 am

كِتَاب مَوَاقِيتِ الصَّلَاةِ

KITAB WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG

بَاب مَوَاقِيتِ الصَّلَاةِ وَفَضْلِهَا وَقَوْلِهِ { إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا } مُوَقَّتًا وَقَّتَهُ عَلَيْهِمْ

Bab Waktu-Waktu Sembahyang Dan Kelebihannya { Sesungguhnya Sembahyang Itu Adalah Satu Ketetapan Yang Diwajibkan Atas Orang-Orang Yang Beriman, Yang Tertentu Waktunya } Ya`ni Allah Menentukan Waktunya Ke Atas Mereka.

Ulama membicarakan tentang perkataan وَفَضْلِهَا itu bermaksud kelebihan solat atau waktunya? Kita boleh lihat pentingnya waktu solat itu sampai Jibrail turun pada setiap waktu yang lima untuk menceritakan kepada Nabi tentang bilakah waktu solat itu. Mula-mulanya Jibrail mengajar tentang waktu zuhr. Kenapa tidak dimulakan dengan waktu Subuh? Ini kerana Nabi telah solat Subuh semasa perjalanan pulang dari mi’raj. Waktu itu, Nabi telah mendirikan solat subuh itu bersama dengan roh para Nabi di BaitulMaqdis. Dalam hadis yang lain, ada disebutkan Jibrail datang dua hari. Hari pertama, Jibrail ajar tentang awal waktu dan hari kedua tentang hujung waktu. Maknanya penting sangatlah waktu solat itu sampaikan Jibrail turun dua hari untuk setiap waktu. Waktu-waktu dalam hidup kita memang penting tapi tidaklah sepenting waktu solat. Kita ada waktu tidur, waktu makan dan sebagainya, tapi semua itu tidak setanding dengan waktu solat. Dan kalau waktu solat pun dah penting, bayangkan berapa pentingnya solat itu sendiri. Jadi ada kaitan sangat rapat antara solat dan waktunya.

Ada isyarat ‘mula’ kitab dalam hadis ini. Iaitu bermula penentuan waktu dengan kedatangan Jibrail untuk mengajar bilakah waktu solat. Sebelum itu tidak ada penentuan lagi. Allah tak cakap terus kepada Nabi bilakah waktu semasa mi’raj. Waktu itu hanya disebutkan arahan solat sahaja. Allah telah mengutus Jibrail untuk menjelaskan bilakah waktu solat itu.

Apakah hikmatnya waktu-waktu solat itu? Dalam Islam, ada hikmat disebalik suruhan Allah, cuma kita sahaja tak tahu. Tak salah untuk kita tahu. Jadi, ulama mengkaji dan memikirkan, apakah hikmat-hikmat waktu-waktu solat itu ditentukan sebegitu. Ada dua sebab yang difikirkan oleh ulama-ulama. Ulama mengatakan bahawa waktu-waktu itu ditentukan sedemikian agar manusia mensyukuri Allah dan agar waspada.

Mari kita lihat waktu subuh dahulu. Kita solat Subuh selepas tidur yang lama. Setelah badan letih, maka kita akan nyenyak tidur. Tidur itu adalah peringatan Allah kepada kita supaya ingat kepada kematian. Waktu itu, malam gelap macam dalam kubur. Keadaan kita yang tidur itu pun macam orang dah mati – senyap dan terbujur sahaja. Cuma bezanya, orang mati tidak akan bangkit-bangkit dah tapi orang yang tidur akan bangkit. Oleh itu, apabila kita dapat bangkit dari tidur, sepatutnya kita bersyukur. Kerana Allah beri peluang kepada kita untuk hidup lagi. Kerana ada orang yang mati terus dalam tidurnya. Banyak sangat yang terjadi begitu. Dengan kita dapat melangsungkan hidup, kita dapat lagi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki hidup kita yang memang banyak masalah. Sentiasa sahaja kita berdosa. Tidur itu sepatutnya ingatkan kita kepada mati. Waktu kita mati, memang kita akan bangkit juga, tapi itu bangkit untuk hadap Tuhan dah untuk mendengar perbicaraan kita. Jadi, solat subuh itu untuk melahirkan syukur kita kepada Allah kerana beri peluang untuk kita hidup dan memperbaiki amalan dan ibadah kita. Bukanlah waktu subuh itu untuk susahkan kita. Dengan manusia pun kita berterima kasih. Ini kan pula dengan Allah.

Kenapa kita solat subuh sebelum matahari naik? Kalau guna akal kita yang cetek, mungkin kita kata, sepatutnya kita solat subuh selepas matahari naik iaitu matahari itu melambangkan kehidupan yang baru bermula. Kita solat subuh sebelum matahari naik sebab jangan sama dengan yang orang musyrik yang sembah matahari. Mereka akan sembah matahari apabila matahari dah keluar – contohnya orang Jepun. Jangan sampai orang kata orang Islam macam sembah matahari pula. Islam memang jaga supaya amalan di dalam Islam terlepas dari terbuka untuk syirik. Jangan beri peluang langsung dari elemen syirik. Walaupun orang boleh kata, kita bukan sembah matahari tapi kita sembah Allah, tapi itupun Islam elak supaya tidak ada orang yang boleh kata begitu. Keduanya, kita solat subuh sebelum matahari terbit, untuk ajar manusia untuk bersungguh. Macam orang yang bersungguh untuk kerja – belum buka pintu pejabat mereka dah sampai dah tunggu depan office.

Lihatlah selepas kita solat subuh, tidak ada waktu solat fardhu sehingga gelincir matahari. Waktu dhuha adalah ibarat kanak-kanak yang tidak ada taklif – tidak ada tanggungjawab hukum yang perlu ditunaikan. Kosong dari tanggungjawab. Dan waktu itu mereka penuh dengan kebodohan, maka tidak dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam perkara hukum. Kalau mereka tak solat pun tidak mengapa, tidak berdosa. Kalau waktu itu diibaratkan sebagai manusia yang sedang membesar, begitulah – subuh seorang manusia itu baru lahir ke dunia – selepas lahir, dia akan membesar, bersekolah dan sebagainya.

Bila gelincir matahari, maka masuklah waktu zuhur. Waktu zuhur adalah ibarat tamatnya zaman kanak. Remaja. Dah ada taklif – tanggungjawab hukum – solat dan ibadat yang fardhu ke atas manusia sudah wajib ke atasnya. Kalau dia tinggal buat ibadat itu, dia akan berdosa. Umur semakin menurun dan mendekati akhir hidup. Manusia sudah mendekati mati. Waktu inilah baru berguna seseorang manusia itu kepada manusia lain. Masa budak, tidak ada apa yang mereka boleh buat – hanya makan dan boleh menggembirakan ibubapa mereka sahaja. Tapi sekarang, manusia sudah dewasa, sudah boleh menolong orang lain dan sudah boleh bekerja mencari kehidupan. Waktu ini, manusia mestilah mencari bekal. Bekal untuk mereka bawa di alam akhirat nanti. Sebab itu ada solat berturut-turut, bermula dari zuhur sampailah ke isyak untuk mengingatkan manusia untuk bersiap sedia. Waktu ini manusia mestilah berusaha untuk memperbaiki diri.

Waktu asar adalah isyarat kepada manusia yang sudah semakin tua. Umur dah nak masuk senja. Sudah mula kena ingat bahawa mereka tidak lama lagi akan mati.

Waktu Maghrib masuk apabila matahari terbenam. Waktu itu melambangkan sudah hampir sangat menghampiri kematian. Macam orang tua yang menunggu mati sahaja. Nak buat kerja dah tak larat, cuma tinggal mana amal ibadat yang mereka boleh buat sahaja lagi. Waktu itu cahaya matahari ada sikit-sikit lagi. Menandakan nyawa masih ada lagi, tapi dah tinggal sikit sangat dah.

Waktu Isyak bermula apabila tidak kelihatan dah sinar matahari. Waktu itu dunia dalam kegelapan. Selepas mati hanya disebut sahaja untuk beberapa lama. Sebab orang masih ingat lagi kepada kita. Kalau ahli bidaah, awal-awal itu, mereka akan buat lah majlis tahlil. Tapi tak lama, dah selepas setahun, mereka pun dah tak ingat. Kemudian setiap dari kita akan bersendirian dalam kubur. Macam matahari yang tiada lagi pada malam hari.

Itulah perjalanan hidup manusia yang Allah ingatkan kita dalam setiap waktu solat. Setiap hari solat itu mengingatkan kita kepada kesudahan kita. Maka, ingatlah bahawa kita tidak kekal dalam hidup ini. Carilah amal sebanyak mungkin.

Hikmat waktu solat juga supaya nyata kepada manusia sifat Allah yang pemurah dan maha mengasihani. Dalam Quran, Allah sudah berfirman bahawa kita dijadikan untuk beribadat kepadaNya. Adakah tidak patut kita beribadat kepada Allah? Lihatlah segala nikmat yang telah diberikan. Tak dapat dikira segala nikmat itu. Kalau nak dikirakan dengan segala nikmatNya kepada kita, sepatutnya kita kena ibadat kepada Allah sepanjang masa – setiap detik dan setiap ketika. Kerana segala-galanya Allah beri kepada kita. Benda-benda yang besar pula. Angin, air, oksigen dan sebagainya. Itu tidak termasuk kesenangan yang kecil-kecil yang Allah berikan kepada kita. Tapi Allah maha mengetahui kita dan keperluan kita. Dan lemahnya kita. Oleh itu Allah tidak suruh kita beribadat kepadaNya sepanjang masa. Hanya waktu-waktu tertentu dan yang telah ditetapkan sahaja. Di situlah ternyata sifat Pemurah dan Penyayang Allah kepada kita.

Waktu_shalat

Kalau dibahagikan siang untuk dunia dan malam untuk ibadat pun dah kurang dah. Tapi itu pun Allah tak syariatkan untuk kita.

491 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ أَخَّرَ الصَّلَاةَ يَوْمًا فَدَخَلَ عَلَيْهِ عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ فَأَخْبَرَهُ أَنَّ الْمُغِيرَةَ بْنَ شُعْبَةَ أَخَّرَ الصَّلَاةَ يَوْمًا وَهُوَ بِالْعِرَاقِ فَدَخَلَ عَلَيْهِ أَبُو مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيُّ
فَقَالَ مَا هَذَا يَا مُغِيرَةُ أَلَيْسَ قَدْ عَلِمْتَ أَنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَزَلَ فَصَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ بِهَذَا أُمِرْتُ
فَقَالَ عُمَرُ لِعُرْوَةَ اعْلَمْ مَا تُحَدِّثُ أَوَأَنَّ جِبْرِيلَ هُوَ أَقَامَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقْتَ الصَّلَاةِ قَالَ عُرْوَةُ كَذَلِكَ كَانَ بَشِيرُ بْنُ أَبِي مَسْعُودٍ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ قَالَ عُرْوَةُ وَلَقَدْ حَدَّثَتْنِي عَائِشَةُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الْعَصْرَ وَالشَّمْسُ فِي حُجْرَتِهَا قَبْلَ أَنْ تَظْهَرَ

491. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah berkata; Aku membacakannya di hadapan Malik dari Ibnu Syihab bahwa ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada suatu hari mengakhirkan pelaksanaan salat. Kemudian ‘Urwah bin Az Zubair datang menemuinya dan mengabarkan kepadanya bahwa Al Mughirah bin Syu’bah pada suatu hari juga pernah mengakhirkan salat, dan saat itu dia tinggal di ‘Iraq. Kemudian Abu Mas’ud Al Anshari datang menemuinya seraya berkata, “Apa yang kamu lakukan ini wahai Al Mughirah? Bukankah kamu telah mengetahui bahwa Malaikat Jibril shallallahu ‘alaihi wasallam pernah turun kemudian melaksanakan salat, kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut melaksanakan salat? Kemudian Jibril salat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut salat kembali? Kemudian Jibril salat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut salat kembali? Kemudian Jibril salat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut salat kembali? Kemudian Jibril salat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut salat kembali. Kemudian Jibril berkata, “Inilah waktu-waktu yang diperintahkan kepadaku untuk menyampaikannya kepadamu” ‘Umar lalu berkata kepada ‘Urwah, “Ketahuilah apa yang kamu ceritakan! Sesungguhnya Jibril datang untuk menjelaskan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang waktu- waktu salat.” ‘Urwah berkata, “Begitulah adanya bahwasanya Basyir bin Abu Mas’ud menceritakan dari bapanya. Urwah berkata, ” Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadaku bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melaksanakan salat ‘Ashar, ketika sinar matahari masih ada dalam rumahnya sebelum bayang dinding rumah beliau kelihatan”

Sepakat ulama mengatakan solat diwajibkan pada kejadian isra’ mi’raj – semasa Nabi bertemu dengan Allah taala. Cuma ulama-ulama tidak sepakat tentang bilakah terjadinya Isra’ Mi’raj itu. Antara tahun kelima dan kesepuluh kenabian. Yang kuat adalah tahun kesepuluh. Kerana Khadijah tidak ada semasa peristiwa itu. Begitu juga Abu Talib. Kalau ambil kira tentang mereka, maka tentunya ia terjadi pada tahun kesepuluh Hijrah.

Sebelum itu tidak ada solat lima waktu. Tapi jangan tanya kenapa tidak ada solat. Tidak perlu ditanya.

Isra mi’raj memang terjadi. Tapi ada juga orang Islam yang tolak mi’raj. Kerana mereka tidak boleh terima yang manusia boleh naik ke langit. Mereka kata kalau naik tinggi, mesti mati. Kalau tak terima mi’raj, macam mana hukum solat itu diterima?

Solat fardhu tidak ada sebelum itu. Tapi Imam Syafie berpendapat solat tahajjud telah difardhukan. Kerana ada dalam ayat Muzammil. Tapi ada ulama yang kata itu untuk Nabi sahaja.

Bagaimana dengan solat lain? Ulama ada yang kata bahawa sebelum solat lima waktu disyariatkan, solat subuh dan isya dah ada. Atau boleh jadi juga subuh dan asar. Kerana ada ayat suruh kita bertasbih pagi dan petang. Ayat itu turun sebelum peristiwa isra dan mi’raj. Dan memang ada hadis Nabi solat subuh dan isya dengan sahabat. Begitu juga dengan ayat dari surah Jin yang mengisahkan bahawa jin-jin telah mendengar Nabi membaca ayat Quran dalam solat – kejadian itu terjadi semasa solat subuh. Jadi memang ada solat subuh itu kalau kita menggunakan dalil ini. Cuma tak jelas samada solat yang dijalankan semasa subuh itu adalah solat fardhu atausunat.

Waktu itu ditentukan oleh Allah sendiri. Bukan kita yang memandai buat sendiri. Jibrail turun dan Nabi solat dengan Jibrail ikut dia. Iaitu hari selepas isra mi’raj. Tidak sesuai untuk diceritakan tentang solat semasa isra mi’raj. Sebab di luar sistem dunia. Masa di dunia, Jibrail terus beri pengajaran praktikal. Senang untuk memberitahu bilakah waktu solat dan cara melakukannya.

Memang dalam Quran tidak disebutkan secara terperinci tentang solat. Kerana itulah ia perlu dijelaskan oleh hadis. Kalau kita tak terima hadis seperti puak anti hadis, kita takkan dapat buat solat dengan sempurna. Kerana penerangan detail solat itu hanya ada dalam hadis Nabi. Tapi memang dalam Quran telah ada isyarat tentang waktu waktu solat.

Yang pertama adalah ayat 114 dari surah Hud.

وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ

Artinya: “Dan dirikanlah sholat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (QS.Hud(11):114)

Ulama mengatakan ayat ini isyarat kepada waktu fajar maghrib dan isya. Kedua tepi siang adalah subuh dan maghrib. Ada pula yang kata ianya adalah subuh dan asar. Sebahagian malam pula bermaksud isya. Jadi, dah ada isyarat lima waktu dalam ayat ini.

Yang kedua adalah dalam ayat 78 dari surah isra’.
أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Artinya: “Dirikanlah sholat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula sholat) subuh. Sesungguhnya sholat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” (QS.al Isra’(17):78)

Ini pula solat lima. Yang dimaksudkan sesudah gelincir matahari adalah zuhur dan asar. Gelap malam pula adalah waktu maghrib dan isya. Dan di akhirnya adalah solat subuh. Jadi dah terkumpul lima waktu dalam ayat ini.

Seterusnya dalam ayat ke 17 dan 18 surah Room

فَسُبْحَانَ اللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ

(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.

وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ

Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.

Dalam ayat itu menyebut tasbih tapi ia membawa maksud solat. Isyarat kepada lima waktu telah ada dalam ayat ini.

Begitu juga ada disebut dalam surah Taha. Ayat 130.

Tapi ayat-ayat itu memperkatakan tentang tasbih, bukan solat. Lalu bagaimana pula kita hendak mengambil itu sebagai dalil untuk menyatakan bahawa ianya bermaksud ‘solat’. Penggunaan perkataan ‘tasbih’ untuk merujuk kepada ‘solat’ adalah mengikut kaedah ilmu bayan dalam bahasa Arab iaitu menyebut sebahagian dari sesuatu tapi yang dimaksudkan adalah keseluruhannya. Yang tidak faham bahasa Arab akan kata ayat ini hanya menyebut tasbih sahaja.
Tasbih adalah intipati dalam solat. Ianya adalah satu Juzuk penting dalam solat. Sebagai contoh, dalam Quran ada menyebut tentang celaka tangan Abu Lahab. Tapi tangan Abu Lahab sahaja kah yang rugi? Bagaimana pula dengan ayat Quran yang menceritakan tentang wajah manusia yang gembira kerana melihat Allah? Muka sahajakah yang dapat nikmat? Tentulah tidak. Hanya disebut tangan Abu Lahad dan wajah manusia kerana itulah bahagian yang penting. Tapi tentulah bukan bahagian itu sahaja yang terlibat.

Dalam hadis pun ada menggunakan kata tasbih untuk merujuk kepada solat. Aishah sebut tentang solat dhuha tapi beliau menggunakan perkataan ‘tasbih’.

Maknanya Allah telah beri isyarat tentang waktu solat dan perinciannya dipertanggungjawabkan kepada Nabi. Dah memang itu tugas Nabi. Jangan kata tugas Nabi hanya menyampaikan Quran sahaja. Tapi tugas Nabi adalah menjelaskan agama keseluruhannya. Kita bukanlah puak anti-hadis yang tidak mempercayai hadis dan kononnya mengatakan cukuplah dengan Quran sahaja. Itu adalah pemahaman yang sesat.

Perbincangan tentang tajuk:
Imam Bukhari memasukkan ayat Quran إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا di dalam tajuknya ini. Selalu beliau buat macam itu. Kadang-kadang beliau memasukkan ayat Quran, kadang-kadang hadis, kadang beliau menggunakan atsar sahabat sebagai tajuk dan selalunya kata-kata beliau sendiri.
Dari ayat inilah, Imam Syafie berdalil bahawa solat itu mesti pada waktunya. Tidak boleh tidak. Dalam apa keadaan sekalipun. Hatta kalau sedang dalam perang sekalipun.

Imam Bukhari tidak setuju sampai begitu sekali. Kerana beliau berdalil kepada hadis Nabi yang terjadi semasa perang Khandak. Para sahabat termasuk baginda sendiri sampai tertinggal solat asar. Kerana sibuk dengan hal perang. Kalau langsung tidak boleh terlajak solat, lalu bagaimana dengan hal Nabi ini?

Bagaimana pula dalam keadaan yang kita tidak boleh nak solat? Contohnya kalau kita nak naik flight, tak sempat nak solat. Flight takkan tunggu kita. Bagaimana pula kalau kita kerja Surgeon dan tengah bedah orang? Takkan kita nak tinggalkan orang yang kita sedang bedah itu? Maka dalam Islam ada kelapangan. Memang kita kena jaga betul-betul waktu solat. Kena solat dalam waktunya dalam setiap keadaan. Kalau tak boleh langsung barulah kita qadha waktu lain. Tapi jangan kita gunakan kelapangan itu selalu sangat. Jangan jadikan ianya kebiasaan.

Tentang hadis:
Kalau kita lihat kepada kata-kata perawai dalam sanad dalam hadis, ada terdapat perkataan قَرَأْتُ  – Aku Membacakan. Ini jarang kita dengar. Selalunya kita dengar haddasana, akhbarona dan an sahaja. قَرَأْتُ  adalah salah satu kaedah pengambilan hadis dimana anak murid yang baca hadis di hapadan gurunya. Yang dia bacakan itu adalah dari kitab Imam Malik sendiri. Dan beliau bacakan di hadapan Imam Malik sendiri. Cara ini lebih menyakinkan. Maknanya, kita tahu dan pasti dengan ketepatan hadis itu. Bukan setakat dengar sahaja, tapi diambil dari kitab beliau sendiri.

Umar yang dimaksudkan dalam hadis ini Khalifah Umar Abd Aziz. Kejadian ini terjadi semasa beliau menjadi gabenor di Madinah. Selepas beliau ditegur oleh Urwah seperti yang dikisahkan dalam hadis ini, beliau amat menjaga waktu solatnya. Sampaikan beliau suruh orang memberi tanda kepadanya apabila telah sampai waktu solat. Dan sememangnya Umar Abd Aziz adalah seorang yang warak.

Dia solat lewat itu hanyalah lewat sedikit sahaja. Bagaimana kita tahu yang beliau solat asar itu lewat sedikit sahaja? Kerana ada disebut dalam riwayat lain. Bukan lewat benar. Lewat dari waktu yang afdhal. Bukan sampai terlepas waktu atau terkeluar dari waktu Asar.

Urwah ada cucu Abu Bakr. Iaitu anak kepada Asma’. Urwah adalah seorang tabein. Beliau berani tegur walaupun yang ditegurnya itu adalah seorang pemimpin besar. Kita boleh lihat dari hadis ini bagaimana generasi awal amat menjaga perkara yang afdhal.

Mughirah waktu itu adalah gabenor Iraq semasa pemerintahan Khalifah Muawiyah. Yang tegur beliau waktu itu adalah Abu Mas’ud. Diaadalah seorang sahabat. Beliau terus tegur Mughirah. Sahabat kalau tegur, tak kira siapa. Tak kira apa akan jadi dari teguran mereka, mereka tak takut melainkan Allah sahaja.

Jibrail kata waktu itulah dia diperintahkan untuk solat dengan Nabi. Jadi itu adalah waktu yang afdhal. Hari kedua pula, Jibrail solat pada akhir waktu yang afdhal. Bukan hujung waktu. Itulah Imam Bukhari nak beritahu kepentingan solat dalam waktu yang afdhal. Kerana ada beza antara waktu yang afdhal dan yang masih dalam waktu lagi. Kerana contohnya, ada waktu yang afdhal untuk solat asar dan waktu asar tidak berakhir melainkan apabila telah masuk waktu maghrib.

Hadis ini terkenal dengan nama Hadis imaamal jibriil. Iaitu Hadis Jibrail menjadi imam.

Kalau kita baca hadis ini sendiri, kita boleh lihat bahawa tak jelas hadis ini. Ini adalah kerana Hadis ini adalah ringkas. Imam Bukhari memang selalu meringkas hadis. Antara soalan yang kita boleh tanya adalah: Bila Jibrail turun? Kenapa jibrail turun?
Apakah waktu solat itu? Solat mana yang mula sekali? Siapa jadi iman waktu kejadian itu? Adalah Nabi bermakmumkan kepaa Jibrail atau mereka solat sendiri-sendiri? Bilakah waktu solat itu? Bilangan waktu? Dalam masa seharikah kejadian itu? Di manakah tempat solat itu? Berapa rakaat?

Jadi kenapa Imam Bukhari gunakan hadis ini kalau ianya tidak jelas? Walaupun tidak ada disini tapi ianya ada dalam hadis-hadis yang lain. Jadi kena juga rujuk kepada hadis-hadis yang lain. Imam Bukhari bukan berniat nak beri secara detail. Beliau hanya hendak menyampaikan apakah yang hendak diberitahunya pada waktu itu.

Dalam riwayat Tirmidhi ada disebut bahawa Jibrail datang mengimami Nabi untuk solat sebanyak dua kali – hari pertama dan hari kedua. Kejadian itu pula terjadi dekat Baitullah. Iaitu berdekatan Makam Ibrahim. Disitu telah terjawap beberapa perkara.

Solat pertama yang dilakukan pada hadis ini adalah zuhr. Ini kerana Nabi telah solat Subuh di Baitulmaqdis bersama roh para Nabi.

Penetapan Waktu Solat:

Waktu zuhur masuk apabila bayang selebar tali kasut – bukan sepanjang, tapi ‘selebar’. Iaitu daripada matahari tegak atas kepala dan mula bergerak. Waktu Asar masuk apabila bayang barang yang kita gunakan sebagai tanda itu sama panjang dengannya – contohnya, kita gunakan tiang, maka apabila bayang tiang itu sama panjang dengan tiang itu sendiri, maka waktu Asar telah masuk. Maghrib masuk apabila bila matahari mulai lenyap – matahari telah hilang dari ufuk tapi masih lagi ada cahaya kelihatan – iaitu cahaya syafa’. Waktu Isya masuk apabila hilang cahaya syafa’ sudah tiada dan tiada lagi kesan matahari. Waktu Subuh pula masuk apabila fajar mulai menyinsing. Itu adalah hari pertama Jibrail turun dan solat bersama Nabi. 

Pada hari kedua, Jibrail turun untuk solat zuhur bersama Nabi sebelum matahari tegak. Asar apabila bayang benda yang dijadikan tanda menjadi dua kali panjang. Mereka solat Maghrib pada waktu yang sama. Mereka solat Isya setelah berlalu sepertiga malam. Mereka solat Subuh setelah cerah tanah – nampak tanah, nampak kelibat apa yang ada – contohnya, boleh nampak itu manusia, itu unta dan sebagainya – waktu itu dipanggil waktu isfar. Waktu itu, matahari tak keluar lagi. Selepas semua waktu itu adalah waktu makruh. Maknanya, Nabi dan Jibrail solat waktu itu pada awal waktu dan pada hari kedua, pada waktu yang masih afdhal lagi. Tapi waktu sebenarnya tidak habis lagi. Masih boleh solat lagi tapi waktu-waktu yang selepas waktu afdhal itu adalah waktu makruh untuk solat. Solat itu sah, tapi tak molek solat waktu itu.

Jadi, Jibrail turun dan solat bersama Nabi itu bukanlah waktu awal dan akhir tapi dalam waktu yang mustahab. Kerana waktu Asar dan isya bukan sampai akhir waktu.

ثُمَّ قَالَ بِهَذَا أُمِرْتُ
Inilah waktu-waktu yang diperintahkan kepadaku untuk menyampaikannya kepadamu” atau “menunaikan dengan mu. Ada dua makna yang boleh digunakan. Sebab tidak pasti mana satu yang pasti. Iaitu samada yang diutuskan Jibrail untuk menyampaikan kepada Nabi atau untuk solat bersama Nabi. Ada riwayat lain ‘umirta‘ digunakan. Itu bermaksud “kamu diperintahkan”.

Dalam hadis ini, nampak Jibrail datang sekali sahaja. Itulah sebab Ibn Battal kata sekali sahaja Jibrail datang – bukan dua kali seperti yang ada dalam riwayat Tirmidhi. Ada ulama yang tolak pendapat Ibn Battal itu, sebab kalau sekali sahaja Jibrail turun, bagaimana kita nak tahu hujung waktu? Mereka kata hadis yang lengkap adalah seperti ada dalam Sunan Tirmizi. Hadis Bukhari ini adalah hadis yang ringkas sahaja. Apabila Urwah menegur Umar Abd Aziz, dia pun hanya memberikan hadis yang ringkas sahaja kerana dia dah tahu yang Umar tahu hadis itu, jadi tak perlu sebut habis dengan lengkap.

Bukhari pun hendak mengemukakan yang berkenaan sahaja iaitu waktu solat yang awal. Bukhari memang selalu meringkaskan hadis. Kalau Imam Muslim, dia akan sebut semua hadis dengan lengkap dan mana hadis yang ada. Jadi, kadang-kadang dalam bab hadisnya, dia akan mula dengan hadis yang kurang jelas, tapi lama kelamaan, kerana banyak hadis yang dikeluarkan olehnya, kita akan lebih memahami sesuatu tajuk itu. Imam Bukhari buat dengan cara dia. Jadi kena mahir untuk baca Bukhari. Kena mengaji. Tak boleh baca sendiri. Kalau kita baca sendiri tanpa ilmu, maka kita akan keliru.

Urwah dan Mughirah menegur pemimpin waktu itu kerana kalau mereka pemimpin yang jadi imam kenalah jaga waktu solat. Kerana mereka solat dengan orang ramai dan kerana mereka menjadi contoh kepada orang lain.

Umar tegur Urwah dengan kata: “Ketahuilah apa yang kamu ceritakan! sebab dia pun alim juga. Apa maksud ‘ketahuilah’. Maksud Umar adalah, kenalah tahu betul-betul dengan hadis itu. Kena sebut dengan sanad sekali. Kerana Urwah menyampaikan hadis itu pada mulanya tanpa sanad.
Atau Umar hendak mengatakan: mana boleh Jibrail menjadi imam kepada Nabi? Sebab martabat Nabi lebih tinggi daripada Jibrail. Dia hendak mengatakan bahawa Nabi hanya tengok sahaja cara-cara Jibrail solat, tapi bukan bermakmumkan kepada Jibrail. Waktu itu bukan Nabi sahaja yang sedang bersolat. Nabi jadi imam kepada sahabat-sahabat lain waktu itu. Takkan ada dua lapis imam? Sebab ada ف dalam hadis itu. Bermakna selepas Jibrail solat dan Nabi lihat cara-cara Jibrail solat, baru Nabi solat dengan mengimami sahabat-sahabat yang lain. Inilah hadis yang asal. Kalau ada hadis yang kata Jibrail jadi imam itu tidak tepat. Kerana hadis sebegitu diriwayatkan bilmakna – dengan makna, iaitu pemahaman perawi itu sahaja. Memang ramai ulama yang memegang Nabi bermakmumkan Jibrail. Itu hanya pendapat sahaja.

Kalau dibaca dengan a’lim, bermaksud Umar suruh urwah beri sanad, beri ambilan hadis itu. Kerana penting sanad dalam hadis. Waktu itu sudah ada orang yang sudah mula mereka hadis palsu.

Kalau dibaca a’lam (aku tahu), bermaksud Umar tahu hadis itu tapi hari itu dia terlambat solat Asar sebab ada hal. Ataupun dia nak kata dia lebih tahu tentang bilakah waktu yang lebih afdhal dalam solat asar. Macam mazhab Hanafi yang memegang solat asar lebih afdhal kalau dilambatkan. Itu adalah pandangan mazhab tentang hadis ini kerana nak samakan dengan pendapat mazhab mereka. Yang sebenarnya Umar tidak bermaksud begitu.

Urwah jawap kata-kata Umar itu dengan memberi sanad. Kirmani kata sanad ini tidak muttasil. Kerana Abu Mas’ud masuk Islam di Madinah. Padahal kejadian itu berlaku di Mekah. Ini adalah mursal sahabi. Boleh dipakai lagi.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Waktu solat telah ditentukan Allah dalam secara umum dalam Quran dan telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Nabi. Allah yang tentukan, bukan yang lain. Bukan dari Jibrail dan bukan dari
  2. Kalau sebelum atau selepas waktu yang telah ditetapkan itu, itu bukan solat yang tunai. Kalau selepas itu, ianya adalah solat qadha. Atau solat jamak.
  3. Kelebihan solat awal waktu. Kecuali ada pendapat Imam Hanifah yang kata waktu afdhal subuh adalah waktu isfar. Kerana waktu isfar itu Allah ada bersumpah dalam Quran. Begitu juga, ada yang kata waktu isya lebih afdhal kalau dilewatkan. Kerana kalau lewat sedikit, lebih ramai orang yang akan datang untuk solat jemaah. Antara jaga awal waktu dan lebih ramai jemaah, lebih baik jaga supaya lebih ramai jemaah.
  4. Rakyat sepatutnya diberi peluang menegur pemimpin apabila mereka tidak mengikut Sunnah. Sahabat berani tegur. Pemimpin yang kena tegur itu kenalah terima. Janganlah mereka berbangga diri sampaikan tidak mahu terima teguran orang lain.
  5. Elok rujuk kepada ulama yang tahu sesuatu perkara.
  6. Kembali kepada Sunnah apabila berselisih pendapat.
  7. Hukum kena ambil dari hadis yang bersanad. Sebab itu Umar berat nak terima pada mulanya. Dialah yang bertanggungjawab mengarahkan pengumpulan hadis dan meletakkan sanad dalam hadis itu untuk memurnikan hadis-hadis Nabi.
  8. Ada ulama yang menggunakan hadis ini sebagai dalil membenarkan makmum yang solat fardhu berimamkan imam yang solat sunat. Kerana kewajipan solat hanya untuk manusia dan jin sahaja. Oleh itu Jibrail sebagai malaikat tidak ada kewajipan kepadanya untuk solat. Maka boleh dikatakan waktu kejadian dalam hadis ini, dia solat sunat sahaja, bukan fardhu. Tapi mazhab Hanifah dan Malik tidak terima. Pada mereka, hendaklah imam dan makmum sama solat, sama niat – kalau imam solat zuhur, maka makmum pun solat zuhur juga, tidak boleh lain-lain. Kalau fardhu, dua-dua kena solat fardhu. Kerana perumpamaan imam dan makmum itu adalah seperti rombongan berjumpa orang besar atau pemimpin besar. Maka imam itu adalah wakil untuk bercakap. Takkan semua nak bercakap. Jadi, kalau satu rombongan, mestilah datang atas sebab yang sama. Takkan yang lain-lain. Dan tentang hadis ini, mereka berhujah bahawa walaupun malaikat tidak difardhukan solat, tapi kali ini Jibrail datang atas arahan Allah. Maka ianya dah jadi fardhu. Sama juga dengan arahan Allah kepada para malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam. Oleh kerana ianya adalah arahan Allah, maka ianya jatuh wajib walaupun kita tidak boleh sujud kepada makhluk dalam keadaan biasa.
  9. Ada ulama yang mengatakan memang Nabi bermakmumkan Jibrail dalam hadis ini. Memang sahabat nampak mereka mengikut Nabi kerana mereka tidak nampak Jibrail, tapi dalam keadaan itu, Nabi hanya bertindak sebagai mubaligh. Jibrail adalah imam. Macam pernah dalam satu ketika, Abu Bakr jadi mubaligh kepada Nabi. Waktu itu, Nabi jadi imam, tapi nabi lemah sangat sampaikan Nabi tidak larat berdiri. Dia hanya duduk sahaja. Maka, Abu Bakar duduk berdekatan dengan Nabi dan mengikut perbuatan Nabi. Sahabat yang menjadi makmum waktu itu nampaknya mengikut pergerakan Abu Bakr tapi waktu itu, Nabi Muhammad adalah imam yang sah.
  10. Sahabat sangat menjaga mengikut Sunnah Nabi. Mereka benci bidaah. Sikit pun tak mahu. Mereka jaga sangat.
  11. Bukan kebiasaan Umar dan Mughirah solat lewat. Waktu itu sahaja mereka solat lewat kerana ada hal yang melambatkan mereka.
  12. Zahir hadis ini menunjukkan Jibrail turun sekali sahaja. Tapi ianya adalah hadis yang ringkas. Kena tengok hadis lain untuk faham keseluruhan hukum.

Kuliah Maulana Asri 

 

Lompat ke hadis yang seterusnya

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s