We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 113 Bab Perempuan Membuang Sesuatu Kotoran Dari Orang Yang Sedang Bersembahyang February 20, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 2:24 am

بَاب الْمَرْأَةِ تَطْرَحُ عَنْ الْمُصَلِّي شَيْئًا مِنْ الْأَذَى

Bab 82 Perempuan Membuang Sesuatu Kotoran Dari Orang Yang Sedang Bersembahyang

490 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِسْحَاقَ السُّورَمَارِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُوسَى قَالَ حَدَّثَنَا إِسْرَائِيلُ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمٌ يُصَلِّي عِنْدَ الْكَعْبَةِ وَجَمْعُ قُرَيْشٍ فِي مَجَالِسِهِمْ إِذْ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ أَلَا تَنْظُرُونَ إِلَى هَذَا الْمُرَائِي أَيُّكُمْ يَقُومُ إِلَى جَزُورِ آلِ فُلَانٍ فَيَعْمِدُ إِلَى فَرْثِهَا وَدَمِهَا وَسَلَاهَا فَيَجِيءُ بِهِ ثُمَّ يُمْهِلُهُ حَتَّى إِذَا سَجَدَ وَضَعَهُ بَيْنَ كَتِفَيْهِ فَانْبَعَثَ أَشْقَاهُمْ فَلَمَّا سَجَدَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ بَيْنَ كَتِفَيْهِ وَثَبَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدًا فَضَحِكُوا حَتَّى مَالَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ مِنْ الضَّحِكِ فَانْطَلَقَ مُنْطَلِقٌ إِلَى فَاطِمَةَ عَلَيْهَا السَّلَام وَهِيَ جُوَيْرِيَةٌ فَأَقْبَلَتْ تَسْعَى وَثَبَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدًا حَتَّى أَلْقَتْهُ عَنْهُ وَأَقْبَلَتْ عَلَيْهِمْ تَسُبُّهُمْ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ قَالَ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثُمَّ سَمَّى اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِعَمْرِو بْنِ هِشَامٍ وَعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ وَعُمَارَةَ بْنِ الْوَلِيدِ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ فَوَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُهُمْ صَرْعَى يَوْمَ بَدْرٍ ثُمَّ سُحِبُوا إِلَى الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأُتْبِعَ أَصْحَابُ الْقَلِيبِ لَعْنَةً

490. Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Ishaq As Suramari berkata, telah menceritakan kepada kami Ubaidullah bin Musa berkata, telah menceritakan kepada kami Isra’il dari Abu Ishaq dari ‘Amru bin Maimun dari ‘Abdullah (ibn Mas’ud) berkata, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat dekat Ka’bah, ada sekumpulan orang-orang Quraisy yang sedang berhimpun di majlis mereka. Tiba-tiba ada seorang laki-laki dari mereka yang berkata, ‘Lihatlah kepada orang yang menunjuk-nunjuk ini kepada kita (sembahyangnya). Siapa dari kalian yang dapat mengambilkan unta yang baru disembelih dari keluarga fulan, untuk mengambil tahi, darah dan tembuninya. Kemudian ditunggu dia bersujud untuk meletakkan benda-benda tadi diantara dua belikatnya. Maka pergilah seorang laki-laki yang paling celaka (Uqbah bin Abi Mu’id) yang kemudian datang dengan membawa kotoran tersebut. Apabila baginda sujud, ia meletakkan kotoran tersebut di atas belikat baginda. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tetap dalam keadaan sujud, mereka pun tertawa hingga sebahagian mereka condong kepada sebahagian yang lain kerana kuat ketawanya. Ada orang yang pergi menemui Fatimah radliallahu ‘anha, ketika itu Fatimah masih kecil lagi. Maka Fatimah bergegas mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang saat itu masih dalam keadaan sujud. Kemudian Fatimah membersihkan kotoran-kotoran unta tersebut dari beliau. Kemudian Fatimah menghadap ke arah mereka dan menyumpah orang-orang Quraisy tersebut. Setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyelesaikan salat baginda berdo’a: “Ya Allah hukumlah orang-orang Quraisy ini, Ya Allah hukumlah orang-orang Quraisy ini, Ya Allah hukumlah orang-orang Quraisy ini.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyebut satu persatu nama-nama mereka: “Ya Allah hukumlah ‘Amru bin Hisyam, ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Al Walid bin ‘Utbah, Umayyah bin Khalaf, ‘Uqbah bin Abu Mu’aith dan ‘Umarah bin Al Walid.” ‘Abdullah bin Mas’ud berkata, “Demi Allah, aku melihat orang-orang yang disebut Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut bergelimpangan pada perang Badar, kecuali Umarah bin Al Walid. Kemudian mereka diseret ke sebuah telaga buruk di medan Badr itu.” Selepas itu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang-orang yang dibuang ke dalam telaga itu dicurahi laknat oleh Allah.”

Hadis ini telah pernah dibawa sebelum ini. Tapi kali ini untuk membawa maksud yang lain. Masih lagi dalam hal  sutrah. Tak berapa nampak sebenarnya kalau baca sendiri, jadi kena belajar, barulah kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Imam Bukhari. Pensyarah-pensyarah Kitab Sahih Bukhari pun ada yang keliru, sampai mereka meninggal sahaja hadis ini. Kerana mereka tidak nampak kenapakah Imam Bukhari membawa hadis ini dalam tajuk ini. Mereka tak nampak bagaimana ada hujah seperti perempuan melintas atau tidur di depan orang yang bersolat.

Ibn Battal beri pendapat beliau kaitan dengan sutrah: Apabila seorang perempuan menghilangkan kotoran, tentu dia tidak ambil dan buang dari belakang sahaja. Kalau dari belakang sahaja, tentu payah kerana kederat mereka tidak kuat. Dan Fatimah waktu itu pun masih muda dan kecil lagi. Maka, ada kemungkinan dia akan datang dan membersihkan dari bahagian depan. Bermakna, seorang perempuan akan berdiri dan berada di hadapan orang yang sedang bersolat. Begitu pun, itu tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah kaitan dengan bab sutrah.

Itulah salah satu cara Imam Bukhari berdalil – berdalil dengan sesuatu yang mungkin. Mungkin Fatimah akan buat begitu. Walaupun tidak disebutkan dengan jelas bahawa Fatimah benar-benar berdiri di hadapan baginda semasa membersihkan kekotoran pada belakang Nabi. Dan Nabi senyap tidak berkata apa-apa. Nabi tidak tegur Fatimah kenapa dia berdiri di hadapannya. Baginda juga tidak memberhentikan solat baginda. Baginda juga tidak mengulang solat baginda selepas itu. Itu bermakna, solat baginda tidak batal.

Selain dari tentang sutrah, ulama mengambil hukum, bagaimana kalau sedang solat dan ada najis. Kenapa Nabi tak hentikan solatnya? Tidakkah baginda perasan bahawa ada najis di belakangnya? Tentulah baginda perasan. Tapi Nabi tidak memutuskan salatnya, baginda terus solat. Jadi kalau najis datang kemudian daripada solat telah dimulakan, Imam Bukhari berpendapat ianya tidak membatalkan solat. Ada yang kata, ini tidak boleh dipakai kerana ini adalah pada zaman awal. Jadi mereka kata tak boleh pakai hukum itu. Tapi Imam Bukhari tanya balik, kalau kata ada hukum yang kemudian, hukum yang kemudian, mana dalilnya? Tidak ada perbuatan Nabi yang boleh dijadikan hujah untuk menyatakan kalau najis datang kemudian selepas memulakan solat, maka kena batalkan solat dan diulangi solat itu. Oleh itu, hukum yang kita boleh ambil dari hadis ini adalah: kalau ada najis yang datang selepas kita memulakan solat kita, maka itu tidak membatalkan solat. Teruskan sahaja dengan solat. Ibn Umar pernah ada najis yang kena padanya, maka dia membuang najis itu dan meneruskan solatnya.

Tidak boleh senang-senang nak putuskan solat selepas kita berada dalam solat. Walaupun kerana kena najis. Ini adalah pendapat Imam Bukhari. Kalau Imam Syafie, tak boleh meneruskan solat. Atau kalau tahu ada najis selepas habis solat, dia kena ulang semua solat itu. Begitu juga pendapat Imam Ahmad. Pada Bukhari, yang dikira adalah sebelum solat. Kalau sebelum mula solat, terkena najis, tak boleh solat. Kena bersihkan dulu najis itu sebelum memulakan solat. Tapi kalau dah mula solat, tak boleh hentikan solat itu walaupun kita perasan ada najis pada baju kita atau tubuh kita. Walaupun tengah solat, tiba-tiba jatuh tahi burung atas kita. Boleh teruskan solat. Bukan Imam Bukhari sahaja yang berpendapat begitu, tapi Ibn Mas’ud pun berpendapat macam ini juga. Bukannya kita sengaja lumurkan tahi atas tubuh atau baju kita.

Apabila disebut ‘Abdullah’ dalam sanad perawi, ia adalah Abdullah Ibn Mas’ud. Sebab terkenal sangat, tak perlu nak beri nama penuh. Pada zaman Sahabat, ada empat ‘Abdullah’ yang terkenal. Beliau, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Umar dan Abdullah Amr al as. Mereka dikenali sebagai ‘Empat Abdul’. Setiap dari mereka menjadi rujukan mazhabyang empat. Ada lagi sahabat yang bernama Abdullah, bukan mereka sahaja, tapi yang terkenal adalah empat sahabat besar ini. Dan dalam empat orang sahabat itu, Ibn Mas’ud yang paling terkenal sampaikan kalau dalam sanad perawi, hanya diletakkan ‘Abdulllah’ sahaja dan semua ulama hadis tahu bahawa ianya adalah Abdullah ibn Mas’ud.

Kenapa dalam hadis ini, kita boleh baca bagaimana Ibn Mas’ud ada disitu, semasa Nabi dibuat sebegitu rupa, tapi kenapa beliau tidak membantu Nabi? Ibn Mas’ud tak berani nak tolong Nabi waktu itu kerana dia lemah dan tidak ada penaung. Dia dah pernah declare keislamannya dan dia pernah dipukul sampai pengsan. Dia declare lagi dan dia kena pukul sampai pengsan lagi. Jadi, dia tidak berani nak tolong Nabi waktu itu.

Solat apa yang Nabi lakukan dalam hadis itu, tidak diketahui. Nabi solat di Kaabah. Musyrikin tak suka.

Utbah itu adalah salah seorang yang Nabi sendiri bunuh dengan tangannya dalam perang. Tak ramai Nabi bunuh dengan tangannya. Orang yang kena bunuh dengan Nabi memang teruk sangatlah. Ada yang tak terima riwayat itu. Yang pasti Nabi bunuh dari hadis adalah seorang lelaki yang bernama Utbah bin Khalaf. Dialah orang yang bawa tulang belulang yang hancur di hadapan Nabi. Dia tanya Nabi siapakah yang boleh menghidupkan kembali tulang itu. Inilah yang disebut dalam surah yaasin.

Suka sangat mereka sampai ketawa begitu. Teruk mereka buat kepada Nabi. Bukan yang ini sahaja yang pernah mereka buat, ada lagi macam-macam cara yang mereka buat kepada Nabi. Sebab itu, apabila Fath Makkah, ramailah yang lari dari Mekah kerana mereka takut apa yang akan Nabi balas kepada mereka. Tapi lihatlah akhlak Nabi. Baginda tak balas kepada mereka.

Ada yang pergi kepada Fatimah. Ada yang kata yang pergi itu adalah Ibn Mas’ud sendiri. Sebab dia sendiri tak boleh nak tolong. Ini mengajar kita kalau kita tak boleh tolong sebab boleh memudharatkan kita, dibenarkan. Kerana dia boleh disakiti kalau dia tolong juga. Sebab itu Ibn Mas’ud pergi kepada Fatimah yang waktu itu adalah kecil lagi. Sebab Fatimah anak kandung Nabi. Mereka tak buat tak elok kalau anak sendiri yang tolong. Dan Ibn Mas’ud tidak salah kerana Nabi tak tegur Ibn Mas’ud selepas itu.

Dalam hadis ini ada disebutkan فَاطِمَةَ عَلَيْهَا السَّلَام. Selalunya penghormatan ini diberikan kepada Nabi dan malaikat. Tapi kenapa ada dalam hadis ini pula? Inilah pengaruh Syiah. Ada mereka berjaya memasukkan susupan mereka. Mereka nak lebihkan Fatimah dari orang-orang lain. Kerana pada mereka Fatimah adalah salah seorang imam mereka. Perkataan فَاطِمَةَ عَلَيْهَا السَّلَام ini tidak ada dalam semua nuskhah. Mereka berjaya memasukkan dalam sesetengah nuskhah. Maka hendaklah kita berhati-hati. Sebab itu kita belajar. Kita tunjukkan bagaimana mereka berjaya memasukkan penipuan mereka dalam hadis ini sebagai pengajaran sahaja. Sepatutnya hadis itu tidak dibaca dengan menggunakan gelaran itu. Cukuplah dengan menggunakan gelaran radiallahu anha.

Fatimah telah memaki mereka atas perbuatan mereka kepada ayahnya itu. Biasalah budak, kalau marah kepada orang lain.

Ibn Mas’ud kata mereka itu bergelimpangan di medan Badr. Tapi tidaklah semuanya.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Doa Nabi dimakbulkan Allah. Maklumat lebih lanjut ada dalam sirah. Lebih banyak dikisahkan lagi tentang itu. Biasanya doa Nabi akan diterima dan dimakbulkan oleh Allah. KalauAllah tak terima, Allah akan terus beritahu kepada baginda. Contohnya doa Nabi supaya umatnya bersatu tidak diterima.
  2. Dugaan kepada Nabi adalah dahsyat. Bukan itu sahaja, para sahabat juga mendapat celaan dan tindasan yang kuat sekali.
  3. Orang yang didoakan keburukan oleh Nabi memang malang. Tidak ada harapan untuk mereka mendapat hidayah.
  4. Nabi tidak terus mendoakan keburukan kepada mereka yang ada harapan akan beriman. Selalunya Nabi akan doa supaya mereka dapat hidayah.
  5. Harus untuk kita doakan keburukan kepada kafir yang memang teruk sangat. Tapi seeloknya kita doa supaya mereka dapat petunjuk. Kerana kita sendiri tidak tahu nasib mereka samada mereka akan beriman atau tidak di hujung hayat mereka.

Oleh kerana ini adalah hadis terakhir dalam Kitab Solat, Imam Bukhari ada isyarat kepada kesudahan dalam hadis ini. Bukan sahaja isyarat kepada hujung Kitab, tapi juga isyarat kesudahan kita, iaitu mati. Iaitu apabila dalam hadis ini disebutkan bagaimana Musyrikin Mekah itu bergelimpangan mati. Itu adalah isyarat kepada mati.

Begitu juga, ada disebutkan tentang kotoran unta yang digunakan untuk diletakkan di atas tubuh Nabi. Untuk mendapatkan kotoran unta itu, unta itu kena sembelih dulu. Itu juga adalah isyarat kepada mati kerana sembelih akan mematikan seseorang.

Akhir sekali, dalam hadis itu ada doa Nabi supaya mereka dihukum. Hukuman yang mereka terima adalah keburukan. Dan hukuman itu akan mereka dapati apabila mereka mati nanti. Itu adalah untuk mereka. Tapi kita, kita hendak hukum kita bagaimana? Hendaklah kita berhati-hati dalam kehidupan kita supaya hukuman yang kita terima adalah hukuman yang baik.

Imam Bukhari setiap kali di hujung sesuatu kitab akan memberi isyarat kepada mati. Kerana kita sebagai manusia kena ingat mati. Setiap dari kita akan menghadapi kematian. Diri kita akan jadi lebih kuat dengan ingat mati. Ianya akan mengingatkan ktia untuk menjalani kehidupan yang baik sekali. Sebab itu dikatakan pada cincin Umar, ada dituliskan nasihat kepada dirinya: Kafa bilmawti mau’izah. Yang bermaksud: “Cukuplah mati menjadi penasihat untuk kamu”. Oleh itu, kenalah kita ingat kepada mati sentiasa.

Inilah akhir kepada Kitab Solat atau Kitab Sembahyang. Semoga mendapat manfaat dari penulisan saya ini. Sila rujuk kepada kuliah Maulana Asri disini.

Lompat ke Kitab yang seterusnya, iaitu Kitab Waktu-waktu Solat

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s