We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 110 Bab Orang Yang Menanggung Anak Perempuan Yang Kecil Di Atas Tengkuknya Di Dalam Sembahyang February 11, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:47 pm

بَاب إِذَا حَمَلَ جَارِيَةً صَغِيرَةً عَلَى عُنُقِهِ فِي الصَّلاةِ

Bab Orang Yang Menanggung Anak Perempuan Yang Masih Kecil Di Atas Tengkuknya Ketika Di Dalam Sembahyang

Kita masih lagi membicarakan hal-hal dalam bahagian sutrah. Memang nampak macam bab lain, tapi sebenarnya ianya masih lagi dalam bab sutrah. Mungkin kita ingat ini tentang hukum ‘mengendong anak kecil dalam solat’. Tapi tidak kerana tajuk itu akan ada di dalam bab-bab yang lain. Maknanya, bab ini memang masih lagi dalam bahagian sutrah. Imam Bukhari memberi dalil bagaimana kalau memegang anak perempuan di hadapan pun tidak memotong solat, apatah lagi kalau perempuan hanya melintas di hadapan sekejap sahaja.

Umamah yang disebut dalam hadis ini adalah salah seorang cucu baginda. Beliau adalah cucu perempuan tapi kita ramai yang jarang dengar berkenaan beliau. Hadis ini dibawa oleh Imam Bukhari kerana, sama sahaja kepada Imam Bukhari samada ianya adalah cucu sendiri atau perempuan lain. Kerana ada juga yang tidak setuju dengan hujah hadis ini kerana kata mereka, ia tidak termasuk kerana Umamah adalah cucu baginda. Imam Bukhari berhujah bahawa dengan hadis itu, menunjukkan tidak terjejas kalau melintasnya orang perempuan. Itu adalah cara beliau berdalil. Amat halus cara beliau, yang kadang-kadang kita pun tak nampak dari awalnya. Kena dijelaskan, baru kita dapat faham.

Dalam hadis ini, tidak dijelaskan dalam matan hadis bagaimana Nabi mengendong Umamah. Tapi dari tajuk yang diletakkan oleh Imam Bukhari, Imam Bukhari menjelaskan bahawa Nabi letak Umamah di tengkuk. Sebab itu ada perkataan عَلَى عُنُقِهِ (atas tengkuknya) dalam tajuk beliau di atas.

486 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَامِرِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ الزُّرَقِيِّ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الانْصَارِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلابِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِشَمْسٍ فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

486. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari ‘Amir bin ‘Abdullah bin Az Zubair dari ‘Amru bin Sulaim Az Zuraqi dari Abu Qatadah Al Anshari, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah salat dengan menggendong Umamah anak perempuan Zainab binti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan Abi Al ‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abdu Syams. Apabila Nabi hendak bersujud beliau akan meletakkan anak itu dan bila berdiri beliau gendong pula.”

Siapa Umamah? Kita memang jarang dengar. Mari kita tahu sedikit sebanyak tentang beliau. Beliau adalah cucu perempuan pertama Nabi Muhammad – ada lagi cucu-cucu yang lain. Dia kemudiannya telah berkahwin dengan Saidina Ali selepas Fatimah meninggal dunia dan itupun adalah atas permintaan Fatimah sendiri. Sebelum Fatimah meninggal, dia ada pesan kepada Ali, jikalau hendak berkahwin lagi, maka kahwinilah Umamah. Anak mereka berdua ada yang bernama Muhammad. Dan ada lagi anak-anak yang lain. Dari hadis yang dibawa dibawah, kita dapat lihat bagaimana mesranya Nabi dengan cucunya itu.

Tapi kita jarang dengar tentang Umamah ini. Seperti sengaja ditutup kisahnya. Dia sebenarnya cucu yang lagi tua dari Hasan dan Hussein. Syiah tutup kisah beliau kerana dendam mereka kepada Bani Umayyah. Padahal dia isteri Saidina Ali – yang dikatakan sebagai Imam mereka yang pertama – tapi mereka masih lagi tak mahu kisah tentang Umamah ada dalam lipatan sejarah Islam. Abul as, bapa kepada Umamah itu adalah dari Bani Umayyah. Itu sebab Syiah tak suka.Hanya kerana dendam mereka kepada Bani Umayyah. Kenapa mereka benci sangat kepada Bani Umayyah? Kerana Kerajaan Bani Umayyah lah yang banyak menghalang pergerakan mereka. Mereka telah ditentang habis-habisan oleh kerajaan Bani Umayyah kerana kerajaan waktu itu tahu bahawa mereka adalah pergerakan yang sesat lagi menyesatkan. Syiah dari dulu lagi nak hancurkan Islam dengan memperdayakan orang Islam supaya berperang sesama sendiri.

Syiah sampai sanggup mengatakan bahawa Zainab, iaitu ibu kepada Umamah ini sebenarnya bukan anak kandung Nabi tapi anak Khadijah dari suaminya yang lama. Tapi jelas dalam hadis ini Bukhari meletakkan nama Zainab sebagai ‘binti Rasulullah’. Dan dalam Quran pun ada ayat yang menyebut ‘anak-anak perempuan’ Nabi. Maknanya, anak perempuan Nabi banyak. Bukanlah Fatimah sahaja anak perempuan baginda. Lihatlah bagaimana busuknya hati puak-puak Syiah ini. Mereka sampai sanggup menukar sejarah, hanya supaya dendam mereka terbalas. Tapi orang-orang kita yang masuk Syiah, bukan nampak lagi perkara ini. Mereka akan menyesal di kemudian hari lagi, apabila Syiah akan menjalankan kerja-kerja jahat mereka sampai rosak negara ini. Lebih-lebih lagi, mereka akan menyesal di akhirat kelak apabila segala perbuatan salah mereka akan mencengkam mereka nanti.

Tapi, kalau fikirkan, kenapa pula Nabi berikan anak baginda sendiri kepada orang kafir? Syiah buat kisah bohong lagi, mereka kata, kononnya kerana Zainab itu hanya anak tiri, itulah sebabnya baginda beri kepada musuh Islam. Begitu sekali mereka merendahkan martabat Nabi. Sebenarnya Zainab itu memang anak Nabi sendiri. Dan kalau betullah Zainab anak tiri (tidak benar dia anak tiri), takkan itu kita nak kata akhlak Nabi, boleh beri anak tiri kepada musuh Islam pula? Itu adalah satu hujah yang menghina Nabi. Orang syiah memang tak kira dah. Mereka akan cari peluang untuk memburukkan Nabi dengan cara yang halus. Kononnya mereka kata mereka sayang Nabi, tapi sebenarnya dalam diam mereka mengutuk Nabi. Tapi, ada juga orang bodoh di Malaysia yang masih lagi hendak masuk Syiah. Agama Islam yang benar mereka tidak mahu belajar, tapi bila ada ajaran sesat datang, senang-senang pula mereka terima.

Nabilah yang telah menjaga Umamah kerana Abul al As itu kafir dan tidak mahu masuk Islam dan berhijrah ke Madinah. Waktu itu muslim boleh kahwin dengan orang kafir lagi. Kalau kita lihat dari sejarah, larangan kahwin dengan orang kafir itu turun di Madinah. Tidak ada yang perlu dihairankan, kerana Asiah, isteri Firaun pun berkahwin dengan orang kafir juga – mengaku tuhan pula tu. Jadi, selepas Nabi Hijrah ke Madinah, Zainab menyusuli baginda, tapi menantunya tak ikut. Nabi puji menantunya itu. Kerana walaupun beliau tidak masuk Islam tapi beliau membenarkan isterinya pergi berhijrah. Dan selepas itu, beliau tidak pernah kahwin lain. Walaupun kalau nak kira, bukan payah kalau nak kahwin lain pun waktu itu. Tapi beliau tidak berhajat untuk kahwin lain. Begitulah sayangnya beliau kepada Zainab. Pernah Abu al As berperang dalam Perang Badr menentang Islam. Beliau telah ditawan dan apabila Zainab tahu suaminya ditawan, beliau telah cuba untuk menebusnya. Dengan kalung pemberian Khadijah yang diberikan pada hari perkahwinan Zainab dan Abu al As. Menangis Nabi apabila melihat kalung itu kerana teringatkan Khadijah. Akhirnya Abu al As telah dibebaskan begitu sahaja dengan persetujuan sahabat yang lain. Dia hanya masuk Islam tahun 6 Hijrah. Dia memang seorang yang baik. Dia tak mahu orang kata dia masuk Islam bukan sebab kebendaan. Oleh itu, sebelum masuk Islam, dia telah melangsaikan segala hutang piutangnya.

Pernah satu ketika, timbul kisah bahawa Saidina Ali hendak mengahwini anak Abu Jahal. Apabila Nabi mengetahuinya, baginda telah naik ke atas mimbar dan memuji Abu al As. Kerana katanya, walaupun beliau tidak Islam, tapi beliau tidak kahwin lain pun. Baginda menyindir Ali yang hendak kahwin dengan anak Abu Jahal. Ulama musykil kenapa Nabi tak suka. Ada yang mengatakan, bukan Nabi larang Ali kahwin lain, sebab baginda pun banyak isteri, tapi tidak layak seorang Nabi berbiraskan kepada musuhnya. Kalaulah Ali hendak kahwin dengan orang lain, Nabi tentu tidak akan larang. Selepas Nabi cakap macam itu, Ali langsung tidak timbul keinginan untuk kahwin lain sampailah Fatimah telah tiada.

Ali menikah dengan Umamah selepas Fatimah meninggal dunia. Mereka ada melahirkan anak tapi Syiah susup kisah anak itu. Mereka nak kita hanya tahu Hasan dan Hussein sahaja. Kerana mereka telah mencipta kisah yang berbagai-bagai tentang Hasan dan Hussein yang menguatkan hujah tipu mereka. Mereka hendak kita timbul kasihan dengan Hussein selepas Peristiwa Karbala. Maka, mereka tak mahu ada kasih sayang kepada selain Hasan dan Hussein itu. Padahal, anak dari Umamah pun keturunan baginda juga. Kalau kita sayang Nabi, sepatutnya kita sayang kepada semua anak beranak baginda. Kenapa kena pilih-pilih?

Ini adalah satu cara. Nabi bukan buat sebegini. Kerana Umamah duduk di atas tengkuk baginda.

Baik, sekarang bagaimana pula dengan pergerakan Nabi semasa angkat dan meletakkan Umamah itu? Inilah perbincangan ulama. Kerana bukankah ada pendapat yang kalau pergerakan lebih dari tiga kali dalam solat, maka akan membatalkan solat? Lalu bagaimana dengan hadis ini?

Itulah sebabnya hadis ini menjadi hujah yang kuat sebagai mengatakan bahawa tidak salah kalau ada pergerakan yang banyak dalam solat kalau perlu. Tentunya kalau nak angkat turun seorang budak akan memerlukan pergerakan yang lebih dari tiga kali. Tak mungkin boleh buat kalau gerak dua, berhenti, gerak dua, berhenti. Kalau ada yang kata boleh buat begitu, suruh mereka tunjukkan macam mana.

Imam Malik menolak pendapat mengatakan boleh buat macam ini dengan mengatakan bahawa hadis ini telah dimansukhkan oleh hadis Nabi yang mengatakan ada perbuatan-perbuatan tertentu dalam solat. Maknanya, pergerak dalam solat telah ditetapkan dan tidak patut ada pergerakan-pergerakan lain. Tapi hujahnya itu tidak kuat kerana hadis yang dijadikan sebagai dalil hujah Imam Malik itu diturunkan semasa di Mekah dan kejadian dengan Umamah ini terjadi di Madinah, lama selepas hadis itu disebut.

Ada juga yang kata kejadian ini adalah semasa Nabi solat sunat. Maka, hujahnya adalah, boleh kalau buat dalam solat sunat sahaja. Tapi dari riwayat lain, dengan jelas bahawa Nabi buat begini semasa baginda mengimamkan solat para sahabat. Kalau baginda jadi imam, tentunya itu adalah solat fardhu. Dan ini memang solat fardhu, tidaklah baginda menjadi imam solat sunat. Dalam riwayat itu, apabila Bilal menjemput baginda selepas azan dikumandangkan, baginda keluar dengan Umamah telah siap-siapa ada di tengkuknya. Apabila hendak rukuk, baginda menurunkan Umamah. Apabila bangkit dari sujud untuk naik ke rakaat yang seterusnya, baginda mengangkatnya semula dan meletaknya kembali ke tengkuk baginda.

Ada juga pendapat yang mengatakan Umamah yang datang kepada Nabi semasa dalam solat. Maknanya, mereka kata bukan Nabi yang bawa Umamah tapi Umamah yang datang. Tapi itu pendapat sahaja kerana ada hadis yang mengatakan memang Nabi keluar ke masjid dengan Umamah sudah di tengkuk nya. Dan daripada hadis ini sendiri, kita dapat tahu bahawa bagindalah yang mengangkat Umamah, bukan Umamah yang kerabat baik baginda.

Ada juga yang kata ini adalah khusus kepada baginda sahaja. Tapi tidak ada dalil yang kuat untuk menyatakan demikian. Kerana kalau hanya khusus kepada baginda, kena ada dalil. Seperti isteri Nabi tidak boleh dinikahi selepas baginda wafat – itu ada dalil.

Ada yang kata ini kerana darurat. Tapi tidak boleh dipegang juga. Kerana kalau tidak ada orang menjaga, ada lagi yang boleh menjaga. Umamah sendiri ada abang yang bernama Ali. Kalau nak beri kepada orang lain untuk jaga Umamah, baginda boleh berikan kepada Ali untuk menjaganya, ataupun kepada orang lain.

Pengajaran dari hadis ini:

  1. Keharusan membawa kanak-kanak lelaki atau perempuan ke dalam masjid. Walaupun ada kemungkinan dia kencing. Sebab Umamah bukan pakai pampers pun. Ada hadis yang mengatakan tidak boleh kanak-kanak ke masjid. Hadis itu dhaif.
  2. Keharusan menanggung manusia atau binatang yang suci. Iaitu bintang yang halal dimakan dan zahirnya suci. Tak perlu nak pastikan dengan pasti samada ada najis atau tidak.
  3. Hadis ini menunjukkan betapa kasih sayang Nabi. Kepada kanak. Terutama kepada anak cucu baginda. Inilah yang kita kena ikut.
  4. Keharusan melakukan pergerakan seperti yang telah Nabi lakukan dalam hadis ini. Samada dalam solat sunat atau fardhu. Samada dharurat atau tidak. Samada jadi imam atau makmum.
  5. Harus sentuh orang yang pada zahirnya tidak najis walaupun ada kemungkinan dia kotor bernajis. Kalau jelas ada najis memang tidak boleh.
  6. Sifat lemah lembut Nabi. Kemesraan yang ditunjuknya yang patutnya menjadi ikutan kita.
  7. Hadis ini tidak mansukh. Dan perbuatan Nabi itu tidak hanya khusus kepada Nabi sahaja.
  8. Pergerakan yang sedikit dan tidak berterusan dimaafkan. Walaupun bukan dari pergerakan solat – rukuk, sujud etc. Selagi orang nampak kita duduk dalam solat.
  9. Bersentuhan kulit dengan mahram atau kanak kanak tidak membatalkan wudhu. Kalau batal, tentu Nabi tidak akan pegang. Sebab ada ulama yang kata kalau sentuh perempuan sahaja akan batal wudhu.
  10. Selain menjadi datuk kepada Umamah, Nabi juga bertindak sebagai ayah kepadanya dan abangnya Ali. Pada jangkamasa yang lama juga kerana ayah kandung mereka hanya masuk Islam pada Fathul Makkah.

Kalau Umamah ada atas tengkuk Nabi, maka tentulah dia pegang kepala Nabi. Jadi ada kemungkinan Nabi tak pakai kopiah atau serban waktu itu, kerana kalau pakai, tentu serban itu akan jatuh. Maka ini menunjukkan ada masanya Nabi tak pakai tutup kepala dalam solat baginda.

Lompat ke hadis yang seterusnya

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s