We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 109 Bab Orang Yang Berpendapat Bahawa Tidak Ada Sesuatu Apapun Yang Memutuskan Sembahyang February 8, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 11:24 pm

بَاب مَنْ قَالَ لا يَقْطَعُ الصَّلاةَ شَيْءٌ

Bab Orang Yang Berpendapat Bahawa Tidak Ada Sesuatu Apapun Yang Memutuskan Sembahyang

Imam Bukhari hendak memberitahu dalam tajuk ini bahawa tidak ada sesuatu apa pun yang boleh memutuskan solat seseorang. Imam Bukhari meletakkan tajuk itu dengan jelas. Kadang-kadang beliau tidak memberitahu dengan jelas apakah pegangannya dalam sesuatu perkara – dia akan membawa hujah dan ulama kena membuat keputusan sendiri tentang apakah maksud Imam Bukhari dalam sesuatu perkara itu. Tapi kali ini, dengan jelas dia memberikan kepada kita pendapat dan keputusan yang telah dicapainya. ‘Orang yang berpendapat’ dalam tajuk itu sebenarnya dirinya sendiri. Tapi, pendapat yang masyhur dari Imam Ahmad mengatakan, anjing hitam boleh memutuskan solat. Mungkin perempuan dan himar tidak memutuskan, tapi Imam Ahmad mengatakan bahawa anjing hitam boleh memutuskan solat seseorang. Jadi dari sini kita tahu, bahawa Imam Bukhari telah komen pendapat gurunya sendiri. Tidak semestinya kalau Imam Ahmad itu adalah gurunya, dia akan terima terus. Dia akan buat kajian dan keputusannya sendiri. Imam Bukhari hendak menyatakan bukan sahaja tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat, tapi perkara-perkara itu, tidak mengurangkan pahala solat pun. Tapi, kenalah ada sutrah. Jadi kena ada sutrah dan sekat kalau ada orang yang nak lalu.

Tajuk bab ini sebenarnya diambil dari Hadis. Tapi hadis itu tidak menepati syarat Bukhari, jadi tidak dimasukkan sebagai salah satu dari hadis musnadnya. Dia cuma letak di tajuk sahaja. Syarat beliau untuk sesuatu hadis itu sebagai sahih amat tinggi. Walaupun hadis itu diterima sebagai sahih oleh ulama lain tapi belum tentu lagi dia akan terima sebagai sahih lagi. Contohnya, padanya, kalau hendak diterima sebagai sahih, perawi-perawi hadis itu mestilah telah pasti bertemu. Bukan ‘berkemungkinan’ telah bertemu. Sebagai contoh, kalau kita tahu dua-dua perawi yang meriwayatkan hadis itu pernah tinggal di Mesir, tentulah kita boleh buat anggapan bahawa mereka telah pernah bertemu. Selalunya ulama hadis akan buat anggapan begitu dan menerima hadis itu sebagai sahih. Tapi, tidak cukup kepada Imam Bukhari. Padanya, dua orang perawi itu mesti telah pasti bertemu. Ada bukti yang menyatakan bahawa mereka benar-benar telah bertemu. Tapi kalau ianya sahih pada pandangan ulama lain, Bukhari mungkin akan masukkan juga dalam kitabnya tapi tidak di dalam hadis musnadnya. Ada yang diletak dalam tajuknya. Dan kalau dia letakkan pun dalam tajuknya, tidak semestinya ianya adalah hadis yang sahih. Kadangkala, Imam Bukhari letak juga hadis yang tidak sahih dalam tajuknya. Jadi, jika orang berkata bahawa nilai hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari adalah tinggi, tapi ada pula orang kata ada juga hadis yang tidak sahih, kita kena lihat dimanakah dia letakkan hadis yang tidak sahih itu. Mungkin dia hanya letak di tajuknya sahaja, bukan di dalam hadis musnadnya.

Tujuan tajuk ini dibawa:
Menegaskan bahawa wanita yang berada di hadapan orang yang solat, sama sekali tidak memotong atau memutuskan solat seseorang itu dalam apa makna sekalipun. Tidak menjejaskan langsung. Tak mengurangkan pahala orang yang sedang bersolat itu.

Kalau kita baca hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari ini, macam Aisyah terima keldai dan anjing sebagai dua perkara yang memotong solat. Kerana, kalau kita baca kata-katanya itu, perempuan sahaja dia nafikan. Padahal, semuanya ada tiga jenis perkara yang dikatakan memotong solat – perempuan, himar dan anjing hitam. Kalau begitu, bagaimana dengan tajuk Imam Bukhari diatas? Sebab Imam Bukhari kata ‘tidak ada satu’ pun. Jadi, kita kena kaji lagi.

Ini kerana Imam Bukhari melihat kepada ilat kata-kata Nabi yang mengatakan bahawa perempuan, himar dan anjing itu memotong solat seseorang. Apakah makna ilat? Ia boleh dikatakan sebagai sebab musabab. Ilat kepada ketiga-tiga perkara itu adalah syaitan atau berkaitan dengan syaitan. Dia pegang ilatnya. Ketiga-tiga perkara yang disebut oleh Nabi itu adalah saluran syaitan untuk ganggu manusia yang sedang bersolat. Ini beliau dapati dari hadis lain. Kerana pernah satu masa, Abu Dzar (sahabat Nabi) ditanya apa beza anjing hitam dan anjing merah? Sebab dalam hadis itu dengan jelas mengatakan anjing hitam. Abu Dzar jawap, begitulah soalan beliau kepada Nabi apabila diajukan dengan perkara itu. Baginda menjawap: anjing hitam adalah syaitan. Jadi, kita boleh lihat bahawa ilat kepada kata-kata Nabi itu adalah kerana ianya melibatkan syaitan.

Ada satu lagi hadis sebagai menyokong pandangan Imam Bukhari tentang ilat itu. Hadis yang kedua itu membawa maksud: syaitan datang bersama perempuan. Oleh itu, sabda Nabi, kalau lelaki nampak perempuan yang menarik hatinya, maka hendaklah dia mendatangi isterinya. Bukanlah wanita itu jadi syaitan betul-betul, tapi syaitan mengambil peluang dengan adanya wanita itu untuk menaikkan syahwat lelaki.

Jadi, Imam Bukhari hendak memberi hujah, kalau perempuan tidak menjejaskan solat, maka samalah juga dengan  himar dan anjing – semuanya tidak memotong solat seseorang.

Kalau perempuan pun tidak menjejaskan, apatah lagi perkara-perkara yang lain. Kerana lelaki lebih tertarik dengan wanita. Kalau wanita ada di depannya lah yang akan mengakibatkan khusyuknya terganggu. Tapi kalau itupun tidak menjejaskan solat, apatah lagi perkara-perkara yang lain. Maka, sebab itulah Imam Bukhari menyatakan: ‘tidak ada sesuatu apapun yang memutuskan sembahyang’. Ini menunjukkan bahawa Imam Bukhari menggunakan kaedah minbabil awla. Iaitu kalau perkara yang besar pun tidak menjejaskan, tentulah perkara yang kecil pun tidak menjejaskan solat juga.

Apakah yang kita boleh terima dari perkara ini. Kita kena faham bahawa gangguan pada solat adalah perkara hisbi – ikut masing-masing – tidak semua orang akan terkesan dengan cara yang sama. Subjektif. Maka carilah tempat yang tidak mengganggu. Yang penting dalam solat adalah supaya kita menjaga khusyuk kita. Apabila kita hendak solat, maka hendaklah kita lihat dulu tempat kita hendak solat itu. Carilah tempat yang kita rasa tidak menjejaskan khusyuk kita. Atau kita kurangkan kebarangkalian perkara yang boleh memutuskan khusyuk kita. Janganlah kita solat di tempat yang bising, kemungkinan ada gangguan, kita tidak rasa selamat dan sebagainya. Kenalah pandai pilih tempat untuk solat.

Satu lagi tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini adalah kerana hendak isyarat kepada mansukhnya hadis yang mengatakan bahawa perempuan, keldai dan anjing hitam memotong solat. Dimansukhkan dengan hadis riwayat Aisyah yang dibawanya ini. Memang Nabi ada cakap begitu, tapi telah dimansukhkan. Penting untuk orang alim tahu manakah hukum yang masih dipakai dan mana yang telah dimansukhkan. Kalau tak tahu, maka bukanlah orang yang alim. Banyak hukum dalam agama telah dimansukhkan. Hukum dalam Islam mengikut masa. Sebagai contoh, pada awal Islam, Nabi sampai suruh supaya anjing-anjing dibunuh. Selepas sekian lama, baginda hanya arahkan sahaja supaya anjing hitam sahaja yang dibunuh. Selepas itu, Nabi tidak kisah tentang anjing hitam lagi. Bermakna, tujuan Nabi memberi arahan itu adalah atas sesuatu sebab. Apabila sebab itu sudah tiada, maka hukum berubah. Dalam contoh anjing itu, tujuannya adalah untuk menghilangkan rasa hormat dan takjub masyarakat Islam kepada orang Yahudi. Kerana waktu itu, orang Yahudi amat suka bela anjing. Dan ada sebahagian masyarakat akan bela anjing sebab hendak ikut orang Yahudi. Setelah sekian lama, rasa hormat kepada orang Yahudi pun sudah tiada, maka tidak perlu lagi hendak menjalankan hukum yang sama.

Satu lagi dalil yang boleh dipakai adalah satu hadis dimana menceritakan bagaimana Ibn Abbas pernah bawa keldai lalu dihadapan sahabat-sahabat yang sedang solat. Dan waktu itu diimani oleh Nabi. Sahabat mahupun Nabi tidak menegur perbuatan Ibn Abbas itu. Menunjukkan keldai tidak memotong solat.

Tajuk ini tentang apa-apa perkara yang ada dihadapan semasa dalam solat. Contohnya kalau ada perempuan yang lalu. Tidaklah ianya hendak mengatakan bahawa langsung tidak ada perkara yang membatalkan solat. Ada benda lain yang boleh memutuskan solat. Seperti kentut dan sebagainya. Jadi ada pengkhususan dalam tajuk ini.

Syafie kata yang putus adalah putus khusyuk. Ada ulama lain yang kata putus hubungan dengan Allah waktu solat.

Dan ada yang kata bahawa maksud Nabi memberi contoh tiga perkara itu adalah kerana tiga perkara itu boleh menyebabkan solat terganggu. Bukanlah sampai memutuskan solat. Contoh tiga perkara itu adalah yang biasa pada zaman itu. Jadi kena sesuaikan dengan zaman sekarang. Kalau zaman sekarang, tentulah perkara lain yang boleh mengganggu solat. Sebagai contoh, tv yang kuat akan mengganggu solat sedikit sebanyak. Oleh itu, kalau ada yang sedang solat, jangan ganggu dia. Jangan bersembang berdekatan dengannya. Jangan pasang radio atau tv dengan kuat. Hendaklah kita menghormati orang yang sedang solat. Dan kepada yang hendak solat, hendaklah dia mencari jalan untuk khusyuk dengan hilangkan gangguan. Kalau ada anak, pastikan anak itu pampers dah tukar supaya dia tidak menangis semasa kita sedang solat. Kerana kalau dia menangis dengan kuat, akan mengganggu juga solat kita.

Sebab itu penting ada sutrah. Pandangan mata kita jangan lebih dari sutrah. Maka, apa-apa yang terjadi di hadapan sutrah itu jangan kita hiraukan. Atau kita pandang ke bawah sahaja. Supaya kalau ada yang lalu di hadapan kita, kita tak sedar. Takut terganggu atau terkhayal.

Ada ulama kata yang tidak terganggu hanya Nabi sahaja. Sebab Nabi tidak terkesan. Tapi kepada orang lain, tiga perkara itu boleh juga memotong solat. Kerana hadis yang dibawa dibawah ini adalah tentang kejadian Nabi dan Aisyah. Itu semua adalah pendapat yang telah ada dalam perbincangan ulama Islam kita. Kita hanya bawakan sahaja supaya kita boleh memikirkan dan memilih manakah pandangan yang paling kuat.

484 حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ قَالَ حَدَّثَنَا أَبِي قَالَ حَدَّثَنَا الاعْمَشُ قَالَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ عَنِ الاسْوَدِ عَنْ عَائِشَةَ ح قَالَ الاعْمَشُ وَحَدَّثَنِي مُسْلِمٌ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ ذُكِرَ عِنْدَهَا مَا يَقْطَعُ الصَّلاةَ الْكَلْبُ وَالْحِمَارُ وَالْمَرْأَةُ فَقَالَتْ شَبَّهْتُمُونَا بِالْحُمُرِ وَالْكِلابِ وَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَإِنِّي عَلَى السَّرِيرِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ مُضْطَجِعَةً فَتَبْدُو لِيَ الْحَاجَةُ فَأَكْرَهُ أَنْ أَجْلِسَ فَأُوذِيَ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْسَلُّ مِنْ عِنْدِ رِجْلَيْهِ

484. Telah menceritakan kepada kami ‘Umar bin Hafsh bin ‘Iyats berkata, telah menceritakan kepada kami Bapaku ia berkata, telah menceritakan kepada kami Al A’masy berkata, telah menceritakan kepada kami Ibrahim dari Al Aswad dari ‘Aisyah. (dalam jalur lain disebutkan) Al A’masy berkata, telah menceritakan kepadaku Muslim dari Masruq dari ‘Aisyah, bahawa telah disebutkan kepadanya tentang perkara-perkara yang dapat memutuskan salat; anjing, keledai dan wanita. Maka ia pun berkata, “Kalian telah menyamakan kami dengan keledai dan anjing! Demi Allah, sesungguhnya aku pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam salat sedangkan aku berbaring di atas katil antara baginda dan arah kiblat. Apabila aku ada suatu hajat dan aku tidak senang duduk hingga menyebabkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terganggu, maka aku pun menggelongsor dengan perlahan-lahan melalui dua kaki katil.”

485 حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ قَالَ أَخْبَرَنَا يَعْقُوبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعْدٍ قَالَ حَدَّثَنِي ابْنُ أَخِي ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ سَأَلَ عَمَّهُ عَنِ الصَّلاةِ يَقْطَعُهَا شَيْءٌ فَقَالَ لا يَقْطَعُهَا شَيْءٌ أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ أَنَّ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ فَيُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ وَإِنِّي لَمُعْتَرِضَةٌ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ عَلَى فِرَاشِ أَهْلِهِ

485. Telah menceritakan kepada kami Ishaq bin Ibrahim berkata, telah mengabarkan kepada kami Ya’qub bin Ibrahim bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepadaku Anak saudara Ibnu Syihab, bahawa dia pernah bertanya kepada bapa saudaranya tentang solat, adakah sesuatu yang dapat memutuskannya? Maka bapa saudaranya menjawab, “Tidak ada. Aku telah mendapat khabar dari ‘Urwah bin Az Zubair bahawa ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sungguh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam selalu berdiri melaksanakan salat malam sedangkan aku berbaring antara beliau dan arah kiblatnya di atas tilam.”

Kuliah Maulana Asri

Lompat kepada permulaan kitab solat

Lompat ke hadis yang seterusnya

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s