We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 108 Bab Bersembahyang Sunat di Belakang Perempuan January 26, 2014

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 11:58 pm

بَاب التَّطَوُّعِ خَلْفَ الْمَرْأَةِ

Bab ke-77 Bersembahyang Sunat di Belakang Perempuan

Apakah maksud tajuk ini ? Bukanlah hendak mengatakan bahawa boleh lelaki solat di belakang perempuan sebagai imam. Jangan silap faham tajuk pula. Tidak boleh perempuan jadi imam kepada lelaki. Tidak boleh perempuan bercampur saf dengan lelaki. Kalau nak boleh, kelompok lelaki satu belah dan kelompok lelaki sebelahnya. Dan dibatasi dengan pengadang.

Imam Bukhari hendak menyatakan pendapatnya bahawa tidak makruh untuk solat di belakang perempuan. Kerana Nabi selalu buat begitu. Maka tidak boleh dikatakan makruh kalau Nabi selalu buat. Imam Bukhari nak tolak pendapat ulama yang mengatakan ianya makruh. Dan menolak pendapat yang mengatakan solat akan terputus kalau dilintasi perempuan. Itu adalah salah faham dengan hadis Nabi. Imam Bukhari hendak mengatakan ianya tidak menjejaskan dan tidak membatalkan solat seseorang kalau solat di belakang perempuan.

Sebelum ini kita telah belajar bahawa tidak boleh melintas di hadapan orang yang solat. Tapi kalau baring di hadapan dengan tetap dan bukan melintas, tidak berdosa. Bahkan orang yang di hadapan itu boleh dijadikan sebagai sutrah. Selalu para sahabat buat sebegitu. Kalau mereka tidak ada sutrah, mereka akan minta sahabat yang lain untuk duduk di hadapan mereka sebagai sutrah.

Bukan nak kena buat. Tidaklah kita kena ikut seperti apa yang Nabi buat. Takut ada orang yang bodoh, setiap kali nak solat, kena ada perempuan pula. Atau mereka kata, kalau solat di belakang perempuan, akan dapat lebih pahala pula. Itu amatlah bodoh namanya. Ianya cuma hendak mengatakan, kalau ada perempuan, dan kita tidak ada tempat lain nak solat, mungkin rumah kita kecil, maka tidak salah kalau kita buat begitu.

483 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ أَبِي النَّضْرِ مَوْلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِاللَّهِ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِالرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا قَالَتْ وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ

483. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Abu An Nadlr mantan budak ‘Umar bin ‘Ubaidullah, dari Abu Salamah bin ‘Abdurrahman dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Aku selalu tidur di depan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan dua kakiku melintang arah kiblatnya. Apabila hendak sujud baginda akan meramas kakiku, lalu aku pun melipat kedua kakiku. Dan setelah baginda berdiri aku meluruskan kembali kedua kakiku.” ‘Aisyah berkata, “Pada zaman itu rumah-rumah tidak mempunyai lampu.”

Bagaimana kita tahu bahawa Nabi sedang solat sunat waktu itu? Sebab tidak diberitahu dengan jelas dalam hadis ini. Ini kita dapat tahu dari kebiasaan Nabi dan suruhan Nabi. Kerana Nabi kata sebaik-baik solat sunat adalah di rumah seperti ada terdapat dalam hadis Nabi. Jadi, kita tahu bahawa solat yang dilakukan oleh Nabi dalam hadis ini adalah solat sunat, bukan solat fardhu. Kerana Nabi akan solat fardhu di masjid bersama dengan sahabat yang lain.

Dan kebolehan ini bukan hanya untuk solat sunat sahaja. Kalau solat sunat boleh, solat fardhu juga boleh. Yang penting, seseorang yang sedang melakukan solat itu tidak terganggu dengan adanya perempuan di hadapannya. Kerana yang penting adalah khusyuk dalam solat. Kalau ada perempuan depan perempuan, kita terganggu, maka tidak molek. Manalah tahu, kalau-kalau ada yang terangsang kalau ada perempuan di hadapannya pula. Walaupun begitu, pendapat Imam Ahmad menyatakan bahawa kalau solat fardhu, ianya adalah makruh. Kerana tidak ada hadis yang mengatakan Nabi buat begitu waktu solat fardhu. Tapi Imam Bukhari hendak menolak pendapat itu kerana padanya, sama sahaja kalau solat sunat dan solat fardhu. Sama juga kalau wudhu untuk solat sunat dan solat fardhu, sama sahaja. Memang Nabi tidak pernah buat begini dalam solat fardhu kerana Nabi memang akan solat fardhu berjemaah di masjid.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa Islam tidak menyisihkan isteri dalam hal ibadat. Bukan macam agama lain yang menyisihkan perempuan dalam hal ibadat mereka. Agama lain memandang martabat wanita rendah dan menjauhkan mereka dari tuhan. Begitulah, sampai paderi Kristian tidak boleh berkahwin kerana akan menyusahkan mereka dalam hal agama.

Dalam hadis ini, Nabi telah menyentuh Aisyah untuk memberi isyarat kepada Aisyah untuk menaikkan kaki beliau. Ini sebagai dalil untuk menyatakan bahawa tidak batal wudu kalau menyentuh perempuan. Tidaklah wanita itu kotor sampaikan kalau kita sentuh mereka, solat atau wudu kita akan terbatal. Tapi perlu disebutkan di sini bahawa pihak Syafiiyyah dan Hanbaliah tidak menerima hadis ini sebagai dalil yang mengatakan tidak batal wudu kalau sentuh perempuan. Kerana mereka pegang pendapat yang mengatakan wudu akan batal kalau sentuh perempuan. Kepada mereka, kalau menyentuh perempuan, akan batal wudu dan kalau batal wudu, maka batallah solat. Bukanlah ini bermakna mereka menolak hadis – jangan kita faham begitu. Tapi cara mereka faham hadis ini adalah berlainan dari mazhab-mazhab yang lain. Mereka kata, mungkin semasa Nabi menyentuh kaki Aisyah itu, tubuh Aisyah berlapik. Tapi tahu mana yang kaki Aisyah berlapik? Itu adalah satu andaian sahaja. Bagaimana pula Nabi tahu yang kaki Aisyah berlapik waktu itu? Adakah Nabi agak-agak sahaja? Takkan Nabi akan buat sesuatu yang mungkin membatalkan solatnya. Dalam keadaan gelap pula tu. Maknanya, Nabi tak nampak samada Aisyah berlapik atau tidak. Tambahan pula Nabi solat lama. Takkan Nabi hendak mengambil risiko kena ulang kembali solatnya kalau sentuh dan membatalkan solat baginda. Maka, hujah yang kuat adalah: menyentuh perempuan tidak membatalkan solat dan wudu. Ini adalah salah satu dalil. Banyak lagi dalil, bukan ini sahaja. Maka janganlah kita ragu-ragu dengan hukum ini. Imam Syafie tak terima hadis ini sebab ragu dengan seorang perawi. Tapi setelah dikaji, memang perawi itu tsiqah – boleh dipercayai.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini.

  1. Harus solat mengadap wanita.
  2. Harus solat mengadap wanita yang sedang tidur. Walaupun dengan keadaan macam-macam boleh berlaku. Mungkin orang yang solat itu boleh tersentuh wanita itu atau mungkin wanita itu boleh terbuka auratnya. Syaratnya adalah kita tidak terganggu. Kalau terganggu, jangan buat. Sebab kita kena jaga khusyuk solat kita.
  3. Menyentuh wanita tidak membatalkan wudu. Berlainan dengan mazhab Syafie.
  4. Solat dalam gelap tidak makruh. Nabi selalu buat macam tu. Memang ada yang kata makruh kalau solat dalam gelap. Tapi pendapat itu tidak kuat.
  5. Elok mengerjakan solat malam. Sebab itu Nabi selalu buat.
  6. Pergerakan sedikit ketika solat tidak membatalkan. Nabi gerak tangan baginda untuk sentuh Aisyah. Dikatakan baginda ramas. Supaya Aisyah terjaga. Termasuk dalam perkara ini, kalau kita garu dalam solat kita.
  7. Harus tidur melintang di hadapan orang yang solat dalam tempat solat.
  8. Memang ada kezuhudan Nabi dan keluarga baginda. Tapi masih ada tilam dan katil. Walaupun Nabi seorang pemimpin yang besar. Boleh sahaja kalau Nabi hendakkan kemewahan dunia. Tapi Nabi tidak lakukan begitu.
  9. Waktu itu tidak ada lampu. Masa Aisyah sampaikan hadis ini, sudah ada lampu dalam masyarakat. Maknanya sudah ada kemajuan dalam masyarakat Islam. Ini kita tahu kerana Aisyah hidup lama selepas Nabi wafat.

Link kepada kuliah Maulana Asri

 

Lompat ke hadis yang seterusnya

 

Lompat kepada permulaan kitab solat

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s