We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 102 & 103: Orang Yang Bersembahyang Hendaklah Menolak / Menghalang Orang Yang Hendak Lalu Di Hadapannya December 22, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 11:58 pm
Tags: , , , , , , , ,
بَاب يَرُدُّ الْمُصَلِّي مَنْ مَرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ وَرَدَّ ابْنُ عُمَرَ فِي التَّشَهُّدِ وَفِي الْكَعْبَةِ وَقَالَ إِنْ أَبَى إِلا أَنْ تُقَاتِلَهُ فَقَاتِلْهُ
Bab 73: Orang Yang Bersembahyang Hendaklah Menolak / Menghalang Orang Yang Hendak Lalu Di Hadapannya. Ibnu Umar Menolak / Menghalang Orang Yang Hendak Lalu Di Hadapannya Ketika Bertasyahhud Dan Ketika (Bersembahyang) Di Dalam Ka`abah. Ibnu Umar Berkata: “Kalau Orang Itu Hendak Lalu Juga di hadapannya, Maka Dia Boleh Menghalangnya Dengan Lebih Keras”.
Ulama membincangkan apakah maksud Imam Bukhari membawakan tajuk ini:
1. Hendak membincangkan tentang khilaf tentang menghalang orang yang lalu diantara orang yang solat dan sutrahnya. Ada beberapa pendapat ulama berkenaannya.
2. Imam Bukhari hendak memberi pilihannya tentang khilaf. Kadang-kadang Imam Bukhari hanya isyarat kepada adanya khilaf tapi beliau tidak memberikan kata putus manakah yang dipegangnya. Kali ini dia isyarat pegangannya. Kita dapat tahu bahawa Imam Bukhari berpendapat bahawa ianya sunat kerana itu beliau membawa atsar Ibn Umar dalam tajuknya.
3. Cara menghalang orang lalu diantara sutrah itu. Ada yang kata kena tolak dengan tangan. Ada yang kata dengan bertasbih (subhanallah) dengan kuat. Supaya didengari oleh orang yang hendak lalu itu. Dan ada yang kata kalau perempuan, halang dengan menepuk tangan seperti apa yang dilakukan dalam solat untuk memperbetulkan imam yang buat kesilapan. Tapi ada juga yang kata kalau perempuan pun boleh bertasbih juga.
Beberapa pendapat beberapa ulama: Imam Abu Hanifah sekadar mengharuskan sahaja untuk menghalang dan lebih awla (lebih baik) untuk biarkan sahaja. Sebab dia berpegang pada hadis Nabi yang menyuruh kita menyibukkan diri dengan solat. Iaitu kena tumpukan perhatian dalam solat. Kena usaha untuk khusyuk dalam solat. Macam mana nak halang kalau sedang sibuk? Tapi dia tahu tentang hadis Nabi ini maka beliau mengatakan ianya adalah harus sahaja. Maka, kalau ada yang lalu diantara orang solat dan sutrahnya, dosa itu keatas orang yang lalu itu.
Imam Bukhari memegang ianya mustahab atau mungkin lebih tinggi lagi, ianya sunat. Imam Zahiri berpendapat ianya wajib untuk halang berdasarkan hadis yang Nabi menyuruh untuk menghalang. Sebab Nabi suruh dan buat begitu berdasarkan hadis-hadis yang ada. Maka, padanya berdosa kalau tak halang.
Perbezaan pendapat ini adalah kerana cara ulama berijtihad berdasarkan bahasa yang digunakan. Ada yang melihat sesuatu perintah itu sebagai sunat sahaja dan ada yang melihatnya sebagai satu arahan yang perlu diikuti. Bukan semua arahan itu semestinya dalam bentuk yang mesti dibuat. Contohnya dalam Quran pun ada disebut kena ada saksi dalam perniagaan. Tidaklah kita memakai saksi dalam setiap transaksi kita. Sebab tentu susah kalau nak beli minyak kereta pun kena pakai saksi.
Kita dapat tahu bahawa Imam Bukhari memegang ianya mustahab atau sunat untuk menghalang orang yang lalu diantara sutrah kita kerana dia membawakan atsar Ibn Umar itu. Ibn Umar waktu itu sedang solat di Kaabah. Sedangkan di Kaabah yang sibuk itu pun dia tahan lagi. Padahal, tempat itu tempat yang sibuk. Kalau nak kelonggaran pun di situlah. Tapi walaupun begitu, Ibn Umar tetap juga halang orang yang lalu dihadapannya.
479 حَدَّثَنَا أَبُو مَعْمَرٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْوَارِثِ قَالَ حَدَّثَنَا يُونُسُ عَنْ حُمَيْدِ بْنِ هِلالٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ أَنَّ أَبَا سَعِيدٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ح و حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ المُغِيرَةِ قَالَ حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ هِلالٍ الْعَدَوِيُّ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو صَالِحٍ السَّمَّانُ قَالَ رَأَيْتُ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ يُصَلِّي إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ فَأَرَادَ شَابٌّ مِنْ بَنِي أَبِي مُعَيْطٍ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَدَفَعَ أَبُو سَعِيدٍ فِي صَدْرِهِ فَنَظَرَ الشَّابُّ فَلَمْ يَجِدْ مَسَاغًا إِلا بَيْنَ يَدَيْهِ فَعَادَ لِيَجْتَازَ فَدَفَعَهُ أَبُو سَعِيدٍ أَشَدَّ مِنَ الاولَى فَنَالَ مِنْ أَبِي سَعِيدٍ ثُمَّ دَخَلَ عَلَى مَرْوَانَ فَشَكَا إِلَيْهِ مَا لَقِيَ مِنْ أَبِي سَعِيدٍ وَدَخَلَ أَبُو سَعِيدٍ خَلْفَهُ عَلَى مَرْوَانَ فَقَالَ مَا لَكَ وَلابْنِ أَخِيكَ يَا أَبَا سَعِيدٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ
479. Telah menceritakan kepada kami Abu Ma’mar berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Warits berkata, telah menceritakan kepada kami Yunus dari Humaid bin Hilal dari Abu Shalih bahwa Abu Sa’id berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda. (dalam jalur lain disebutkan) Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abu Iyas berkata, telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Al Mughirah berkata, telah menceritakan kepada kami Humaid bin Hilal Al ‘Adawi berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Shalih as Samman berkata, “Pada satu hari Jumaat aku melihat Abu Sa’id Al Khudri sedang salat dengan menghadap kepada sesuatu sebagai sutrahnya. Kemudian ada anak muda dari Bani Abu Mu’aith hendak melintas di depannya. Maka Abu Sa’id menolak dada orang itu. Pemuda itu mencari jalan lain tapi tidak ada kecuali di depan Abu Sa’id. Maka pemuda itu cuba untuk melintas lagi di hadapan Abu Sa’id. Abu Sa’id menolaknya dengan lebih keras dari yang pertama. Anak muda itu tersinggung dengan tindakan Abu Sa’id kemudian pemuda itu pergi kepada Marwan, ia lalu mengadukan peristiwa yang terjadi antara dirinya dengan Abu Sa’id. Abu Sa’id mengekorinya menemui Marwan, Marwan pun berkata, “Apa yang tak kena dengan anak saudaramu ini, wahai Abu Sa’id?” Abu Sa’id menjawab, “Aku pernah mendengar Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika seorang dari kalian salat dengan menjadikan sesuatu sebagai sutrah, kemudian jika ada seseorang yang hendak melintas dihadapannya maka hendaklah dia menolaknya (menghalangnya). Jika dia melintas juga, maka hendaklah ditolaknya dengan lebih keras lagi, ini kerana dia sebenarnya adalah syaitan.”
Kejadian ini terjadi di Madinah. Waktu itu Marwan adalah gabenor di Madinah. Ini adalah semasa pemerintahan khalifah Uthman. Anak muda itu mengadu kepada Marwan kerana Marwan adalah pemimpin waktu itu.
Siapakah anak muda yang disebut dalam hadis ini? Ada riwayat yang mengatakan bahawa namanya adalah al-Walid bin Utbah. Dia bukanlah anak saudara sebenar Abu Sa’id. Panggilan ‘anak saudara’ yang digunakan Marwan itu adalah panggilan yang mesra kepada anak muda sahaja. Tapi walau bagaimana pun, dari sudut dirayah (logik), tidak tepat kalau dikatakan bahawa anak muda itu adalah al-Walid. Kerana kalau beliau waktu itu sudah berumur 50 tahun. Tidak sesuai langsung kalau dipanggil ‘anak muda’.
Kenapa nama Walid bin Utbah ini disebut? Kita kena faham serba sedikit sejarah dalam Islam. Ada sejarah yang telah diubah oleh musuh Islam untuk menjatuh Islam dari dalam dengan merosakkan sejarah Islam. Walid bin Utbah itu adalah saudara susu kepada Saidina Uthman. Uthman telah melantik beliau sebagai gabenor Iraq. Dia sampai pernah dituduh sebagai peminum arak. Orang kenakan dia dengan meletakkan arak atas mejanya. Sampaikan beliau telah dihukum sebat. Uthman terpaksa sebat sebab bukti dah ada. Uthman suruh dia bersabar sahaja. Ini semua terjadi kerana perbuatan musuh Islam. Negara-negara bukan Islam dahulu telah ditawan oleh negara Islam lebih-lebih lagi semasa pemerintahan Umar. Maka mereka telah menyimpan rasa dendam kepada kerajaan Islam. Mereka tidak boleh menentang berhadapan kerana Islam tengah kuat masa itu. Kerajaan Islam semakin berkembang hari demi hari. Oleh itu, mereka telah masukkan racun dengan halus. Mereka buat cerita-cerita yang tidak benar. Mereka juga tidak dapat nak serang Uthman berhadapan. Mereka masuk sikit-sikit cerita-cerita yang memburukkan imej beliau. Antaranya mereka tuduh Uthman pilih kasih, makan harta kerajaan dan sebagainya. Kerana rasa dendam itulah adanya orang seperti Abdullah bin Saba’ yang menghasut masyarakat untuk membunuh Uthman. Beliau asalnya dari negara Parsi yang telah ditawan. Hasil dari hasutannya, akhirnya Saidina Uthman telah terbunuh. Abdullah bin Saba’ itulah juga yang telah mencipta agama Syiah.
Malangnya benda-benda tidak benar ini ada dalam sejarah Islam. Ada dalam kitab-kitab samada kecil atau besar. Padahal, kalau kita lihat kitab-kitab muktabar tidak ada kisah sebegini kerana kitab muktabar lebih berhati-hati dengan berita yang penulis itu terima. Masalah dengan umat Islam adalah mereka tidak begitu berhati-hati dengan berita sejarah. Kalau hadis-hadis berkenaan fekah, mereka lebih teliti lagi. Tapi kalau dalam bentuk sejarah, mereka terus terima ianya sebagai kebenaran walaupun perawinya belum tentu benar lagi. Sepatutnya sebagaimana kita teliti dalam menilai hadis tentang hukum hakam, kisah dalam sejarah juga kita kena periksa. Sebab ianya juga penting. Kalau kita silap baca, kita akan memburukkan Islam.
Selain dari pendapat yang mengatakan anak muda itu adalah Walid bin Utbah, ada yang kata ianya adalah anak Marwan pula. Sebab itu dikatakan dia senang mengadu kepada Marwan. Marwan itu pula menantu Uthman. Balik-balik, ianya berkenaan khalifah juga. Jadi, sebenarnya ia adalah antara usaha-usaha untuk menjatuhkan nama baik Saidina Uthman.
Bahaya kalau kita kata perkara yang tidak betul kerana akan jatuh fitnah. Sebab itu kena berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu maklumat itu. Dan kerana itu Imam Bukhari tidak meletakkan nama siapakah yang hendak lalu di hadapan Sa’id itu. Tidak penting pun siapakah orang itu. Dalam hadis, selalunya tidak disebutkan nama orang yang berbuat kesalahan. Kerana itu akan menjatuhkan nama baiknya. Kalaupun dia tidak molek semasa kejadian itu, tidak semestinya dia berterusan begitu. Mungkin dia sudah berubah. Tapi kalau dia sudah berubah, tapi namanya masih ada lagi dalam hadis, namanya akan disebut sampai bila-bila dalam nada yang tidak elok. Dalam Quran dan dalam hadis, selalunya begitu – tidak disebut nama kecuali kalau ianya perkara yang baik. Bukanlah macam kitab Taurat dan Injil yang memang mementingkan nama-nama dengan tepat. Itu tidak molek.
Imam Syafie mengatakan bahawa perkataan فَلْيُقَاتِلْهُ bermaksud menolak dengan lebih keras lagi dari yang sebelumnya. Bukanlah digunakan makna asal perkataan itu, iaitu ‘berperang’. Oleh itu, dalam mazhab Syafie, perbuatan menolak orang yang hendak lalu itu adalah sunat.
Kalau tertolak kuat, kalau jadi apa-apa, tidak ada qisas atasnya. Tidak ada gantirugi. Contohnya, kalau dia cedera kena tolak itu malah mati sekalipun. Hukum ini khusus kepada orang yang ada sutrah dalam solat. Kalau tidak ada sutrah, tidak boleh buat begitu. Kalau tidak ada sutrah, dan dia tolak orang itu dan orang itu tercedera, dia akan kena bayar gantirugi.
Kenapa perlu sekat? Adakah ianya faedah kepada orang yang solat atau orang yang hendak melintas? Ada kata kepada orang yang solat itu. Kerana akan kurang pahala kalau ada orang lintas. Dan Imam Bukhari berpendapat faedahnya kepada orang yang hendak melintas. Kerana kalau dia lintas, itu adalah dosa besar. Kalau orang yang tahu, mereka akan sanggup tunggu 40 tahun daripada melintas orang yang solat itu.
Kita hanya perlu menghalang pada jarak yang terjangkau dengan tangan sahaja. Dengan pergerakan yang tidak banyak. Jangan sampai batal solat. Kalau orang itu dah lintas, biarkan. Jangan pula tarik baju dia pula. Cuma boleh halang buat sebelum dia melintas.
(ini kerana dia sebenarnya adalah syaitan) Kerapa Nabi kata orang yang melintas itu syaitan? Apa maksudnya? Nampak macam kasar penggunaan bahasa yang digunakan.  Ada tiga pendapat yang diberikan oleh ulama dari makna perkataan ‘syaitan’ itu.
1. Maksud sebenarnya, kerana bersama orang itu ada syaitan. Bukanlah dia yang jadi syaitan yang sebenar. Memang ada riwayat dari Ibn Umar yang mengatakan demikian. Syaitan itulah yang mendorongnya untuk melintas. Nabi cakap begitu sebab baginda nampak.
2. Atau perbuatan itu adalah memang perbuatan syaitan. Maka ini bermaksud orang itu termasuk dalam golongan syaitan dari golongan manusia. Ada ayat dalam Quran yang mengatakan memang manusia ada yang syaitan. Maka tidak salah kalau kita begitu. Bukanlah sampai jadi syaitan sebenar. Kena takwil apakah maksud syaitan itu. Dia tidak jadi syaitan, tapi bersifat seperti syaitan.
3. Dia memang jadi syaitan. Syaitan itu bermaksud makhluk yang derhaka kepada Allah dan rasulNya. Maknanya syaitan dari golongan manusia. Macam yang disebut dalam surah an-Nas. Surah itu sebagai dalil yang mengatakan memang syaitan itu dari kalangan jin dan manusia. Kalau dia buat jahat, mengajak kepada keburukan, maka dia adalah syaitan. Jangan kita ingat syaitan itu dari sejenis makhluk selalun manusia dan jin. Ianya adalah satu ‘sifat’. Kalau dia manusia yang bersifat jahat, dia adalah syaitan. Kalau dia pula dari kalangan jin tapi mengajak manusia kepada keburukan, jauh dari Allah contohnya, dia juga adalah syaitan. Banyak orang keliru dalam hal ini. Mereka ingat syaitan itu adalah selain dari manusia dan jin. Tidak begitu. Dalam hadis yang kita bincangkan ini, orang itu dikatakan sebagai syaitan kerana dia sedang mengganggu orang yang sedang solat.
Pengajaran yang boleh didapati dari hadis ini:
  1. Sutrah adalah untuk menjaga kesempurnaan solat seseorang.
  2. Manusia disyaratkan untuk dekat dengan sutrah dalam solat supaya boleh tahan orang lain yang hendak lalu.
  3. Haram lalu antara orang yang solat dan sutrahnya.
  4. Orang yang solat seharusnya menghalang orang yang hendak melintas antaranya dengan sutrah. Kalau tetap mahu lalu, dia boleh menolaknya dengan lebih keras lagi. Kebanyakan ulama kata ini adalah molek dilakukan. Tidaklah sampai wajib.
  5. Orang yang solat dan menolak orang yang mahu melintas itu tidak berdosa. Dan tidak dikenakan qisas atau bayar gantirugi kalau yang ditolak itu cedera.
  6. Hikmat menyekat orang yang hendak melintas itu adalah untuk menjaga kesempurnaan solat. Dan menghindar orang yang hendak melintas itu dari melakukan dosa besar. Kesian kepadanya kalau dia dapat dosa. Mungkin dia tidak tahu orang itu sedang solat atau dia tidak tahu dosa lalu di hadapan orang yang solat.
  7. Keharusan menolak dan bertindak kasar itu hanya kepada orang yang ada sutrah sahaja. Kalau tidak ada sutrah, tidak boleh.
  8. Tidak boleh tarik balik orang yang melintas. Kerana itu akan menyebabkan dia melintas dua kali pula. Biarkan sahaja kalau dia sudah lintas.
  9. Tidak berdosa kalau melintas depan orang yang tidak ada tempat lain hendak lalu. Yang berdosa adalah orang yang solat itu, kerana salah pilih tempat. Contohnya, ada juga orang Islam yang tidak tahu pasal perkara ini, boleh pula dia solat di depan pintu tempat orang lalu lalang nak keluar masuk. Macam pasang jerangkap samar pula.
  10. Pergerakan yang sedikit untuk kemaslahatan solat diharuskan.
  11. Harus menggunakan gelaran ‘syaitan’ kalau ianya sesuai. Hadis ini adalah sebagai contoh yang menunjukkan Nabi sendiri menggunakannya.
Lompat ke hadis awal tentang sutrah
 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 102 & 103: Orang Yang Bersembahyang Hendaklah Menolak / Menghalang Orang Yang Hendak Lalu Di Hadapannya”


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s