We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 100 & 101: Bab Sembahyang Bersutrahkan Unta Betina, Unta Jantan, Pokok dan Tempat Duduk Belakang Unta (Pelana) December 20, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:20 am
بَاب الصَّلاةِ إِلَى الرَّاحِلَةِ وَالْبَعِيرِ وَالشَّجَرِ وَالرَّحْلِ
Bab 71: Sembahyang Bersutrahkan Unta Betina, Unta Jantan, Pokok dan Tempat Duduk Belakang Unta (Pelana)
Dalam tajuk ini, Imam Bukhari hanya membawakan satu hadis sahaja. Begitu juga kita lihat dengan tajuk-tajuk yang lain. Kebanyakannya dia hanya meletakkan satu dua hadis sahaja. Dia hendak mengajar kita bahawa tidak perlu banyak-banyak hadis. Kalau ada satu hadis sahaja yang sahih, kita sudah boleh mengambil banyak hukum daripadanya.
Dalam tajuk ini dan seterusnya, Imam Bukhari memberikan contoh-contoh barang yang digunakan oleh Nabi sebagai sutrah. Kalau selain dari itu, kita kena fikirkan berdasarkan contoh-contoh yang diberi. Bukan hanya barang-barang yang disebut dalam hadis-hadis ini sahaja yang boleh digunakan, tapi banyak lagi. Cuma diberikan contoh sahaja dalam hadis-hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari ini.
Imam Bukhari membawakan contoh unta. Di tanah Arab, unta adalah satu kenderaan yang terpenting. Yang selalu digunakan oleh masyarakat di sana. Dia hendak memberitahu bahawa tidak salah kalau menggunakan unta. Jangan ada yang kata tidak boleh menggunakan binatang sebagai sutrah. Kita tidak menyembah binatang itu. Mana mungkin kita boleh kata macam itu, sedangkan Nabi sendiri pernah buat macam itu. Cuma jadi masalah sikit kalau kita menggunakan binatang yang digunakan sebagai tuhan oleh agama syirik. Contohnya, tidak molek kalau kita gunakan lembu sebagai sutrah kalau kita di negara Hindu seperti India. Takut mereka suka pula sebab mereka kata kita pun sembah tuhan mereka. Padahal tidak. Bukanlah haram, cuma tidak molek sahaja. Begitu juga dengan pokok. Berhati-hati menggunakan pokok tertentu. Sebab ada agama yang menjadikan pokok sebagai sembahan mereka. Contohnya Kristian menggunakan pokok Krismas, Buddha menggunakan pokok Bo. Jadi, kalau kita tahu bahawa sesuatu agama itu menggunakan benda yang juga benda suci dalam agama mereka, cubalah untuk tidak menggunakannya.
Imam Bukhari hendak mengatakan bahawa hukumnya harus untuk menggunakan benda-benda itu sebagai sutrah. Kita boleh gunakan kreativiti kita untuk memilih sutrah yang boleh digunakan dengan berbagai cara.
Dalam tajuk, ada empat benda disebut. Tapi dalam hadis, hanya ada dua sahaja. Walaupun tidak ada, tapi Imam Bukhari menggunakan kaedah Qiyas. Pokok pun qiyas kepada pelana yang dijadikan dari kayu. Ada hadis Nabi menggunakan sutrah pokok tapi tak sampai syarat hadis itu kepada Imam Bukhari yang tinggi. Jadi dia isyarat sahaja dalam tajuk, dengan tidak dibawakan hadis itu. Bukan dia tidak tahu hadis itu, tapi kerana tidak menepatinya syaratnya, dia tidak meletakkan dalam senarai hadisnya. Salah satu hadis itu adalah hadis riwayat Ali. Ali mengatakan pada malam perang Badr, semua sahabat tidur kecuali Nabi. Baginda solat bersutrahkan satu pokok. Hadis itu bertaraf Hasan. Kalau orang lain selain dari Imam Bukhari, dah boleh pakai dah tapi Imam Bukhari tidak. Kerana syaratnya tinggi. Jadi dia isyaratkan sahaja penggunaan pokok itu dalam tajuknya.
Begitu juga ada hadis yang mengatakan Nabi pernah bersutrahkan unta jantan. Tapi kita telah belajar Nabi melarang solat di kandang unta. Kenapa Nabi solat di belakang unta pula. Kita kena tahu kenapakah Nabi larang solat di kandang unta tapi tidak di belakang unta. Larangan Nabi itu adalah kerana kandang unta itu kotor. Dengan najis tahi dan kencingnya. Oleh itu, tidak sesuai solat di kandang unta.
Apabila perkataan الرَّاحِلَةِ digunakan, ianya bermaksud unta yang digunakan sebagai kenderaan. Ini bermakna ia merangkumi semua jenis kenderaan. Termasuk kenderaan pada zaman sekarang. Maka bolehlah kita pakai motor sebagai sutrah contohnya. Maka hadis ini sesuai untuk zaman sekarang juga.
477 حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي بَكْرٍ الْمُقَدَّمِيُّ حَدَّثَنَا مُعْتَمِرٌ عَنْ عُبَيْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يُعَرِّضُ رَاحِلَتَهُ فَيُصَلِّي إِلَيْهَا قُلْتُ أَفَرَأَيْتَ إِذَا هَبَّتِ الرِّكَابُ قَالَ كَانَ يَأْخُذُ هَذَا الرَّحْلَ فَيُعَدِّلُهُ فَيُصَلِّي إِلَى آخِرَتِهِ أَوْ قَالَ مُؤَخَّرِهِ وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رضي الله عَنْهم يَفْعَلُهُ
477. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abu Bakar Al Muqaddami telah menceritakan kepada kami Mu’tamir dari ‘Ubaidullah bin ‘Umar dari Nafi’ dari Ibnu ‘Umar dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda pernah melintangkan untanya lalu solat bersutrahkannya.” Aku (Nafi’) bertanya, ‘bagaimana kalau untanya itu pergi? ‘ Ibnu ‘Umar (atau nafi’) menjawab, ‘Beliau akan mengambil pelana unta lalu menegakkannya sebagai ganti unta itu, kemudian salat dengan menghadap ke bahagian hujung pelana unta itu atau ke bahagian belakangnya.’ Dan Ibnu ‘Umar juga selalu melakukan begitu.”
Kemungkinan besar yang bertanya adalah Ubaidullah dan yang menjawap adalah Nafi’.
Dalam hadis ini, diceritakan bagaimana kalau unta itu bergerak pergi, Nabi akan bergerak untuk mengambil pelana untuk digantikan sebagai sutrah. Ini bermakna, kita boleh bergerak dalam solat. Ianya adalah lebih baik untuk ada sutrah daripada tidak ada ada sutrah sampaikan Nabi bergerak untuk mengambil sutrah yang baru. Tapi kepada mereka yang tidak tahu, takut sangat untuk bergerak.  Padahal dalam sirah, banyak kali diberikan contoh bagaimana Nabi bergerak dalam solat baginda apabila perlu. Itu adalah kerana masyarakat kita berpegang sangat dengan Mazhab Syafie yang tidak membenarkan bergerak tiga kali berturut-turut. Tapi mereka tidak faham bahawa Imam Syafie melarang bergerak banyak itu kalau tanpa sebab. Kalau ada sebab, tidak mengapa.
Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:
  1. Harus menggunakan binatang sebagai sutrah. Kalau binatang itu bergerak, boleh kita bergerak untuk ambil sutrah lain.
  2. Keharusan menggunakan kenderaan sebagai sutrah.
  3. Bahan lain pun boleh digunakan sebagai sutrah, asalkan sesuai.
  4. Dudukkan binatang itu melintang.
  5. Solat dekat unta di tempat bersih boleh.
  6. Kalau binatang bangkit, kita boleh ganti dengan barang lain.
  7. Sahabat jadikan Nabi sebagai ikutan. Mereka akan melihat dengan teliti perbuatan Nabi supaya mereka boleh mengamalkan perbuatan Nabi dan menceritakan kepada orang lain.
  8. Soal jawap penting untuk faham.
  9. Tinggi pelana satu hasta. Itu sebaiknya. Asalkan orang nampak.
——————————————————————————————————-
بَاب الصَّلاةِ إِلَى السَّرِيرِ
Bab 72: Sembahyang Dengan Menghadap Kepada Katil (sebagai sutrah)
Bukan mengadap katil sebenarnya, tapi untuk menjadikannya sebagai sutrah.
Ada juga yang kata maksud Imam Bukhari membawa tajuk ini adalah hendak memperkatakan tentang solat atas katil. Iaitu mereka menafsirkan perkataan إِلَى supaya membawa maksud على. Bukan ‘kepada katil’. Itu memang boleh digunakan kalau dalam Arab. Tapi apabila dikaji dengan lebih mendalam, tidaklah Imam Bukhari bermaksud begitu. Tapi kenapa ada yang mengatakan tajuk itu sepatutnya bermaksud ‘atas’ dan bukan ‘kepada’? Ini adalah kerana mereka melihat perkataan فَيَتَوَسَّطُ dalam hadis sebagai membawa atas ‘di tengah-tengah’ katil. Tapi perkataan itu dalam bahasa Arab boleh membawa bermacam maksud. Ianya juga boleh dibahasakan sebagai ‘mengadap ke tengah’. Itulah yang difahamkan oleh Imam Bukhari. Kalau dia melihat maksud itu sebagai maksud ‘di atas katil’, tentulah dia akan memasukkan hadis ini dalam bab menceritakan tempat-tempat solat. Itu kita dah belajar lama dah dulu.
Begitu juga, Aisyah tidak mahu apabila dia bangun, dia terus mengadap Nabi. Bermakna dia sedang berada di atas katil dan Nabi berada di bawah. Kerana kalau dia terus turun, dia akan terus mengadap Nabi.
Hadis ini ada berkenaan dengan kata-kata orang yang mengatakan bahawa ada tiga perkara yang memutuskan solat: perempuan, keldai dan anjing. Apabila Aisyah dengar tentang itulah yang menyebabkan beliau menyampaikan hadis ini. Aisyah hendak mengatakan tidaklah solat mengadap perempuan membatalkan solat kerana dia sendiri pernah baring di atas katil, dan Nabi solat dengan mengadap katil itu.
Sebenarnya ada lagi hadis lain yang sahih yang jelas mengatakan yang Nabi solat di lantai mengadap katil dan Aisyah di atas katil. Tapi Imam Bukhari tidak memasukkannya ke dalam sahihnya ini. Kenapa? Kerana dia hendak isyarat bahawa dengan hadis yang dibawa ini pun sudah cukup. Tidak semestinya dia tak masukkan sesuatu hadis itu bermakna hadis itu tidak menepati syaratnya. Memang kadang-kadang begitu, tapi tidak kali ini. Kita kena faham bahawa tujuan Imam Bukhari adalah dia hendak mengajar manusia jadi Mujtahid. Dia mahu mengajar kita bagaimana mengambil hukum dari hadis yang ada. Tidak semestinya dia gunakan hadis yang jelas sahaja. Kadang-kadang dia menggunakan hadis yang sekali baca, tidak nampak kenapakah hadis itu digunakan sebagai dalil. Tapi apabila kita belajar lagi, kita akan nampak bagaimana bijaknya Imam Bukhari mengambil hukum dari sesuatu hadis.
Kita juga perlu ingat bahawa tidak semestinya hadis sahih hanya ada dalam Bukhari dan muslim sahaja.
Kita boleh dapat banyak perkara dari hadis yang ada. Yang tak jelas adalah mereka yang tidak berilmu sahaja. Mereka yang tidak belajar. Atau mereka baca sendiri sahaja hadis itu. Maka, mereka tidak faham kerana mereka tidak menjalani perjalanan mendapatkan ilmu dan pemahaman.
478 حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ قَالَ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنِ الاسْوَدِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أَعَدَلْتُمُونَا بِالْكَلْبِ وَالْحِمَارِ لَقَدْ رَأَيْتُنِي مُضْطَجِعَةً عَلَى السَّرِيرِ فَيَجِيءُ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَتَوَسَّطُ السَّرِيرَ فَيُصَلِّي فَأَكْرَهُ أَنْ أُسَنِّحَهُ فَأَنْسَلُّ مِنْ قِبَلِ رِجْلَيِ السَّرِيرِ حَتَّى أَنْسَلَّ مِنْ لِحَافِي
478. Telah menceritakan kepada kami ‘Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Jarir dari Manshur dari Ibrahim dari Al Aswad dari ‘Aisyah berkata, “Patutkah kalian menyamakan kami (kaum wanita) dengan anjing dan keledai? Padahal, masih terbayang kepadaku, bagaimana aku pernah berbaring di atas katil, lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang dan bersembahyang dengan bersutrahkan bahagian tengah katil itu. Aku tidak suka bangun dengan mengadap ke arah baginda, maka aku bangun dengan menggelongsor (meloloskan diri) melalui bahagian kaki katil dan keluar dari selimut tebalku.”
Tidak semestinya sutrah itu penuh. Kerana kalau bahagian tengah katil itu, mestilah tergantung. Imam Bukhari hendak memberikan dalil bahawa ianya boleh.
Kenapa Aisyah tak solat sama? Adakah kita nak kata bahawa Aisyah malas solat? Antaranya beliau mungkin dalam kotor. Keduanya, Nabi tahu kemampuan mereka tidak sama dengan baginda. Ada masanya Nabi gerak juga mereka untuk solat bersama. Tapi tidak sentiasa.
Pengajaran yang boleh diambil:
  1. Aisyah menempelak mereka yang salah faham dengan hadis Nabi sampai menyamakan perempuan dengan anjing dan kaldai. Allah telah memuliakan wanita tapi kerana salah faham, kita boleh merendahkan orang perempuan. Kalau ada unsur begini, itu tidak betul. Itulah sebabnya Aisyah marah. Jadi apakah maksud hadis yang dikatakan Nabi itu? Ada sebab kenapa Nabi kata jangan solat depan anjing. Kerana takut kena terkam dengan anjing, yang boleh menyebabkan hilang khusyuk. Kerana asyik memikirkan anjing itu sahaja. Begitu juga dengan kaldai. Kerana kaldai akan mengganggu kita kalau ia berada berdekatan dengan kita. Dan kalau perempuan ada di depan lelaki, akan menyebabkan lelaki itu hilang khusyuk. Sebab lelaki selalunya tertarik kepada perempuan dan kalau ada perempuan di hadapan, pemikirannya akan terganggu. Itulah sebabnya. Kalau kepada perempuan pula, yang menjadi gangguan kepadanya adalah lelaki. Tapi kalau mereka tidak mengganggu kita, tidak mengapa. Seperti Nabi, walaupun Aisyah ada di depannya, tidak menganggu solatnya. Bukanlah hadis itu hendak menghina perempuan. Tidaklah sepatutnya sesuatu hadis disalahertikan sampai menjadi sebab untuk manusia menghina perempuan. Yang kata begitu adalah mereka yang tidak faham dan tidak berilmu. Ini bahaya kerana ada orang wanita yang tidak suka dengan agama Islam kerana mereka sangka Islam tidak memberi mereka kedudukan yang sama dengan orang lelaki. Itu semua kerana tidak faham. Ada juga guru agama yang tidak faham. Jadi ini amat menyedihkan. Islam tidak begitu. Wanita mulia dalam Islam.
  2. Sebaik-baik pembela kaum wanita adalah wanita juga. Kerana mereka lebih memahami situasi mereka. Itulah yang dilakukan oleh Aisyah. Dia selalu membela perempuan. Tambahan pula, beliau adalah seorang yang amat tinggi ilmu pengetahuannya dan amat bijak sekali. Oleh itu, wanita kenalah ada yang berilmu supaya mereka boleh membela kaum wanita sendiri. Itulah sebabnya Nabi sayang Aisyah kerana dia amat berilmu dan boleh diharap untuk meneruskan ajaran agama Islam. Memang selepas ketiadaan Nabi, sahabat-sahabat banyak yang merujuk kepada Aisyah. Sampaikan kadang kala, keputusan Aisyah ditanya kerana perbezaan pendapat di kalangan sahabat dan keputusan Aisyah telah meleraikan masalah itu. Bukanlah Nabi sayang Aisyah sebab Aisyah itu lebih cantik dari isteri-isterinya yang lain.
  3. Hadis Nabi tidak seharusnya dilihat secara seimbas lalu. Kerana ia perlu dilihat dengan mendalam. Jangan lihat dan faham satu lapis sahaja. Jangan salah faham dengan hadis. Perlu pengamatan yang mendalam dalam membaca dan mendalami hadis. Apabila lihat selapis sahaja, itulah yang menyebabkan ramai orang salah faham. Itulah sebabnya ada yang salah faham dalam agama mereka. Dan kerana itulah, ada yang menyalahkan hadis dan ada yang menolak terus penggunaan hadis dalam nas agama. Mereka kononnya kata, cukup sahaja dengan Quran kerana hadis tidak boleh dipercayai. Tapi mana mungkin kita boleh faham makna-makna dalam Quran tanpa hadis? Kerana hadis itu dari Nabi. Dan Nabilah yang paling faham Quran. Segala ajaran dalam Quran diamalkan oleh Nabi. Kita belajar maksud sesuatu ayat dalam Quran dengan melihat perbuatan dan amalan Nabi. Jangan kita tertipu dengan mereka-mereka yang berhujah bahawa hadis tidak boleh digunakan.
  4. Keharusan tidur di atas katil. Nabi dan isterinya pun tidur di atas katil. Bukanlah makna zuhud Nabi itu sampai meninggalkan kenikmatan dunia. Itu sudah terlebih pandai sangat. Sebab itulah puak tasawuf tidak suka hadis. Kerana kadang-kadang hadis itu tidak kena dengan mereka. Mereka nak mengajar manusia untuk zuhud sampai tinggalkan langsung dunia. Tapi Nabi ajar kita tidak begitu. Jelas dalam hadis bagaimana Nabi menjalani kehidupan baginda yang boleh diikuti oleh manusia sejagat. Bukanlah sepertimana yang disangkakan oleh puak tasawuf yang memandai mereka-reka jalan menjalani kehidupan mengikut acuan mereka yang tidak berlandaskan ajaran Islam.
  5. Harus untuk solat atas katil. Tapi tidaklah itu yang hendak dibawakan oleh Imam Bukhari dalam tajuk ini.
  6. Kalau perempuan ada di depan sutrah lelaki yang solat, tidaklah membatalkan atau memotong solat lelaki itu. Bukanlah nak suruh buat macam itu pula. Tapi, seeloknya perempuan itu berada di belakang supaya tidak mengganggu solat lelaki itu.
  7. Dijadikan dalil hadis ini menolak pendapat yang kata perempuan memotong solat. Kena faham apa maksud hadis. Jangan sempitkan pemahaman hadis.
  8. Keharusan memakai selimut. Nabi dan isteri baginda pun pakai. Cara Nabi sesuai untuk diikuti oleh bila-bila zaman pun. Jangan kita kata perbuatan Nabi sesuai untuk zamannya sahaja.
  9. Islam tidak menghalang umatnya menikmati kemewahan dalam batas tertentu.
Lompat ke syarah hadis yang seterusnya:
——————————————————————————————————-
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s