We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 98-99 Bab Bersembahyang Di Antara Tiang-Tiang Dengan Tidak Berjamaah. November 9, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 7:10 am

بَاب الصَّلاةِ بَيْنَ السَّوَارِي فِي غَيْرِ جَمَاعَةٍ

Bab Bersembahyang Di Antara Tiang-Tiang Dengan Tidak Berjamaah.

Tentang solat diantara dua tiang pula. Sebelum ini ada dikatakan apabila seorang solat antara dua tiang, Ibn Umar (atau Saidina Umar) telah tarik orang itu dan letakkan dia di belakang tiang untuk dijadikan sutrah oleh orang itu. Jadi, apakah hukum solat di antara dua tiang? Kenapa pula Ibn Umar tarik orang itu dari solat di antara dua tiang itu?

Tujuan Imam Bukhari membawakan tajuk ini adalah untuk memberitahu ada khilaf tentang solat antara dua tiang. Kesimpulan dari hadis-hadis yang ada, ulama mengatakan bahawa harus untuk imam solat diantara dua tiang. Harus itu kepada orang yang solat sendiri (bukan berjemaah). Makruh untuk makmum. Itu adalah pendapat jumhur ulama. Tapi Imam pula Malik kata makruh untuk semua. Pada Imam Syafie pula, ianya harus untuk semua solat diantara dua tiang. Itulah sebabnya kita tidak ada masalah di negara ini kerana hampir kesemua bermazhab Syafie.

Oleh kerana ada beberapa riwayat tentang solat diantara tiang, maka Imam Bukhari hendak menjamakkan semua riwayat itu. Sebab hadis-hadis itu, kalau kita baca, ada yang seperti membenarkan dan ada yang melarang. Jadi, dia mudahkan untuk kita faham. Supaya kita tidak keliru. Dia menyatakan bahawa ianya adalah makruh untuk imam dan makmum tapi harus kalau solat berseorangan. Dia mengatakan yang ianya adalah makruh kerana yang penting adalah menjaga saf supaya jangan putus. Kalau solat di antara dua tiang, tentulah saf akan terputus. Jadi itu adalah tidak elok.

Yang hadis tentang Ibn Umar menarik seseorang yang solat diantara dua tiang itu adalah kerana dia hendak supaya orang itu solat di belakang tiang. Iaitu menjadikan tiang itu sebagai sutrah. Kerana penting untuk ada sutrah dalam solat.

Daripada satu athar, pernah Anas undur ke belakang bila dia berada dalam saf diantara dua tiang. Waktu itu mereka solat bersama pemerintah waktu itu. Ini lama setelah Nabi wafat. Seperti yang kita tahu, Allah telah memanjangkan usia Anas bin Malik. Jadi dia sempat dengan khalifah yang lain. Dia kata pada zaman Nabi, mereka memang mengelak untuk bersolat di antara tiang. Memang Nabi larang. Itulah sebabnya ramai ulama mengatakan yang ianya adalah Makruh. Tapi tidaklah sampai haram mengikut jumhur ulama’. Cuma kalau mengikut pendapat zahiriah, memang mereka melihat larangan itu sebagai haram. Tapi pada pendapat Imam Bukhari, tidaklah sampai haram. Ini juga menunjukkan bahawa Imam Bukhari bukanlah seorang yang bermazhab zahiriah. Ramai yang kata dia bermazhab zahiriah, tapi kita telah belajar bagaimana banyak pendapat-pendapat Imam Bukhari tidak sama dengan pendapat zahiriah.

Kenapa dilarang untuk solat diantara dua tiang? Beberapa pendapat telah diberikan oleh ulama-ulama. Ini hanyalah sebagai pendapat sahaja kerana kita tidak pasti dengan tepat.
1. Ada yang kata tempat itu khusus untuk jin solat. Tapi pendapat ini tidak kuat. Tidaklah perlu kita nak khususkan tempat itu untuk jin. Memang ada tempat yang digunakan oleh jin. Tapi tidak semua masjid ada tempat yang jin solat di dalamnya. Kita pun tidak tahu kerana kita tidak nampak jin.
2. Kerana antara dua tiang selalunya adalah tempat letak kasut dan selipar. Takut ada kotoran pada tempat itu. Walaupun selipar dan kasut tidak ada waktu itu, tapi ditakuti ada kesan-kesan najis tertinggal di tempat itu. Luar negara memang banyak buat macam tu. Tempat kita pun mungkin nak kena buat macam itu juga nanti. Sebab asyik hilang selipar dan kasut sahaja. Jadi, walaupun tidak ada kasut di tempat itu, tapi ditakuti ada kotoran najis yang ada disitu. Sebab itulah ulama berpendapat larangan untuk solat di antara tiang itu adalah kerana hendak mengelak dari terkena najis.
3. Ada yang kata larangan itu adalah supaya mengelak dari saf putus. Ini adalah kerana kita disuruh untuk merapatkan saf dan tidak memutuskannya. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama.
4. Menyusahkan orang untuk lalu. Kerana tempat itu selalunya dijadikan laluan. Sepatutnya kita menggunakan tiang itu sebagai sutrah.
5. Ada yang mengatakan itu adalah tempat syaitan berkumpul di masjid. Tempat mereka berkumpul nak lancarkan serangan. Syaitan ada juga di masjid. Jangan kita ingat mereka tidak masuk dalam masjid. Walaupun malaikat lebih banyak di masjid, tapi syaitan ada juga untuk mengganggu manusia. Kalau benar ianya adalah tempat syaitan, jadi tidak elok kalau kita berada di situ. Pernah satu ketika, Nabi dan sahabat telah berhenti di satu tempat semasa mereka berehat dalam perjalanan dan mereka telah tertidur sampai tertinggal waktu subuh. Nabi telah mengajak sahabat untuk pergi dari situ kerana tempat itu adalah tempat syaitan. Selepas pergi ke tempat lain, barulah Nabi dan sahabat mengqadha solat subuh itu. Oleh itu, kenalah berhati-hati dengan tempat syaitan. Contohnya, di kuil-kuil sembahan orang bukan Islam. Jin syaitan suka duduk di patung itu sebab mereka suka apabila manusia sembah mereka. Syaitan akan ambil peluang untuk duduk disitu apabila manusia kafir menyembah patung-patung itu. Jadi, kalau kita merosakkan tempat itu, jin syaitan itu akan marah, sampai boleh mengakibatkan mudharat kepada kita. Bukanlah ada kebenaran kepada sembahan mereka itu, tapi disebabkan oleh syaitan yang berada di situ. Mereka yang menyembah itu tentu akan kata kita jatuh sakit sebab tuhan mereka yang jatuhkan sakit itu. Tapi sebenarnya bukan. Yang buat sakit itu adalah syaitan yang buat. Itu pun dengan izin Allah. Kalau tidak cukup persediaan, jangan kita main-main dengan tempat sebegitu. Jangan kita cari pasal.
6. Ada yang kata larangan itu adalah khusus untuk tiang yang tidak sejajar sahaja. Seperti tiang yang berada di Masjid Nabi. Maka itu akan menyebabkan saf tidak lurus kalau manusia ikut jujuran tiang itu. Sedangkan kalau ada garisan di saf pun manusia boleh tersilap, apatah lagi kalau tidak ada petanda saf.

Mari kita lihat kepada hadis yang digunakan oleh Imam Bukhari untuk menguatkan hujahnya.

474 حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا جُوَيْرِيَةُ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ دَخَلَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَيْتَ وَأُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ وَعُثْمَانُ بْنُ طَلْحَةَ وَبِلالٌ فَأَطَالَ ثُمَّ خَرَجَ وَكُنْتُ أَوَّلَ النَّاسِ دَخَلَ عَلَى أَثَرِهِ فَسَأَلْتُ بِلالا أَيْنَ صَلَّى قَالَ بَيْنَ الْعَمُودَيْنِ الْمُقَدَّمَيْنِ

474. Telah menceritakan kepada kami Musa bin Isma’il berkata, telah menceritakan kepada kami Juwairiah dari Nafi’ dari Ibnu ‘Umar berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah masuk ke dalam Baitillah bersama Usamah bin Zaid, ‘Utsman bin Thalhah dan Bilal dalam waktu yang lama. Kemudian baginda keluar dan akulah orang yang mula-mula masuk setelah baginda keluar. Aku lantas bertanya kepada Bilal, “Dimana Nabi telah melaksanakan shalat?’ Bilal menjawab, “Di antara dua tiang di sebelah hadapan.”

Perawi yang bernama Juwairiah itu adalah seorang lelaki. Masyarakat kita sahaja yang pakai nama itu untuk perempuan.

Dalam hadis ini telah disebutkan dengan jelas bahawa Nabi bersolat diantara dua tiang. Maka bagaimana kita hendak mengatakan bahawa tidak boleh bersolat diantara dua tiang sedangkan Nabi sendiri ada buat? Kalau ianya adalah makruh, tentu Nabi tidak buat. Jadi sekurang-kurangnya ianya adalah harus untuk solat diantara dua tiang. Yang berpegang tidak boleh itu berpegang dengan hadis-hadis yang kurang kuat. Seperti yang kita tahu, hadis riwayat Imam Bukhari adalah lagi kuat. Dia mengajar kita untuk menggunakan hadis yang lebih sahih.

Oleh itu, Imam Bukhari mengatakan boleh kalau solat diantara dua tiang kalau solat seorang. Yang tidak moleknya adalah kalau solat berjemaah.

475 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْكَعْبَةَ وَأُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ وَبِلالٌ وَعُثْمَانُ بْنُ طَلْحَةَ الْحَجَبِيُّ فَأَغْلَقَهَا عَلَيْهِ وَمَكَثَ فِيهَا فَسَأَلْتُ بِلالا حِينَ خَرَجَ مَا صَنَعَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ جَعَلَ عَمُودًا عَنْ يَسَارِهِ وَعَمُودًا عَنْ يَمِينِهِ وَثَلاثَةَ أَعْمِدَةٍ وَرَاءَهُ وَكَانَ الْبَيْتُ يَوْمَئِذٍ عَلَى سِتَّةِ أَعْمِدَةٍ ثُمَّ صَلَّى وَقَالَ لَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ وَقَالَ عَمُودَيْنِ عَنْ يَمِينِهِ

475. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah masuk ke dalam Ka’bah bersama Usamah bin Zaid, Bilal dan ‘Utsman bin Thalhah Al Hajabi (pemegang anak kunci pintu Kaabah). Utsman menutup pintu Kaabah setelah baginda berada di dalamnya. Lama juga baginda di dalamnya. Kemudian setelah baginda keluar aku bertanya kepada Bilal apa yang dilakukan oleh baginda di dalamnya. Bilal menjawab, ‘Nabi berdiri dengan tiang berada di sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang berada di belakangnya – ketika itu tiang Ka’bah berjumlah enam buah- kemudian baginda salat‘.” Isma’il menyebutkan kepada kami; Malik menceritakan kepadaku, ia sebutkan, “Dua tiang di sebelah kanannya.”

Keturunan ‘Utsman bin Thalhah Al Hajabi sampai sekarang dipertanggungjawabkan dan diberi penghormatan untu memegang kunci Kaabah. Walaupun pemerintah bertukar dari zaman ke zaman, tapi sampai kiamat, keturunan dia yang akan memegangnya. Dari zaman sebelum Nabi lagi keturunan mereka memegang kunci Kaabah. Nabi meneruskan untuk keturunan beliau memegang anak kunci itu.

Memang Nabi bersolat dalam Kaabah itu. Ada juga hadis yang mengatakan Nabi hanya berdoa sahaja di dalamnya. Tapi hadis itu dari sahabat yang tidak ada semasa Nabi bersolat di dalamnya. Kerana dia telah keluar sekejap. Maka, dari hadis ini dengan pasti kita tahu bahawa Nabi telah bersolat di dalamnya.

Nampak ada pertentangan dalam hadis ini tentang bilangan tiang dalam Kaabah itu. Samada ianya lima atau enam tiang. Ini tidak jadi masalah sebab boleh dikompromikan. Semasa zaman Nabi, ianya memang lima tiang. Tapi pada zaman pemerintahan Ibn Zubair, dia telah mengubah Kaabah menjadi seperti zaman Nabi Ibrahim, maka tiang telah menjadi enam. Jangan jadikan contoh hadis-hadis yang nampak bercanggah untuk menolak hadis secara keseluruhan. Golongan anti-hadis mengatakan ada hadis-hadis yang bercanggah satu sama lain – maka mereka kata hadis tidak tidak boleh dipakai sebagai hujah. Itu adalah kerana mereka tidak belajar hadis. Kalau mereka belajar dengan betul, semua hadis-hadis yang nampak pada mulanya bercanggah boleh diperjelaskan dan tidak ada percanggahan antara mereka. 

Keadaan dalam Kaabah zaman sekarang

Pengajaran yang boleh didapati dari hadis ini:

  1. Keprihatinan sahabat dalam melihat perbuatan Nabi. Kita tahu apakah yang Nabi buat dalam Kaabah itu kerana Bilal melihat betul-betul apa yang Nabi buat sampaikan dia boleh cerita balik apakah perbuatan Nabi itu. Begitu juga dengan Ibn Umar yang amat suka mengikut perbuatan Nabi. Walaupun perbuatan itu tidaklah wajib. Maka, dari sini kita boleh lihat bagaimana sahabat begitu bersungguh dengan perbuatan Nabi dan mereka akan ikut dan sampaikan kepada umat kemudian. Maka kita beruntung kerana ada sahabat dan ahli agamawan yang menyampaikan kepada kita apakah yang dilakukan oleh Nabi supaya kita dapat mengamalkan dan mengambil pengajaran darinya. 
  2. Bilangan tiang pada zaman Nabi ada lima. Kemudian pada zaman Ibn Zubair ia telah dijadikan sehingga enam. Perbezaan bilangan itu boleh dijelaskan. Jangan jadi macam golongan anti hadis. Mereka, apabila lihat ada perbezaan sahaja, mereka terus tolak tanpa usul periksa. Dengan adanya perbezaan maklumat itu, kita boleh dapat lebih banyak maklumat lagi. Jadi, ada hikmah disitu. Kita boleh tahu rupanya pada zaman Nabi begitu, dan pada zaman lain, begini pula. 
  3. Kena melihat hadis-hadis lain untuk menjelaskan pemahaman dalam satu-satu hadis. Alhamdulillah ulama telah mengkaji hadis-hadis dan menyampaikan ilmu itu kepada kita. Bayangkan kalau kita kena cari sendiri dan fikirkan sendiri, tentulah susah untuk kita. 
  4. Untuk mengelakkan kesesakan dalam Kaabah, pintu Kaabah boleh ditutup apabila ketua negara telah berada di dalamnya. Uthman tutup pintu selepas Nabi masuk. Kalau tak, nanti ramai pula yang akan masuk. Kalau ramai masuk, tentulah akan sesak dalam Kaabah itu. Lebih baik ditutup. Kalau nak buat ibadat, diluar pun sudah boleh dah. Ulama pun kata lebih afdhal untuk solat diluar Kaabah dari didalam. Kerana kalau diluar, boleh mengadap keseluruhan Kaabah. Nabi solat didalamnya pun adalah solat sunat. Nabi tidak pernah solat fardhu di dalam Kaabah. 
  5. Membenarkan seseorang yang tertentu sahaja masuk sesuatu tempat adalah Sunnah. Kerana mungkin yang selain dari mereka adalah tidak berkenaan dalam majlis itu. Bukanlah itu dikira sebagai menyisihkan orang lain pula. Sebagai contoh, kita ada mesyuarat, maka boleh kalau kita tutup pintu bilik kerana selain dari orang yang ada dalam bilik itu, mereka tidak ada kena mengena. Mungkin mesyuarat itu ada untuk membincangkan masalah yang rahsia. Begitu juga kepada Nabi, ada perkara yang baginda perlu buat dalam Kaabah itu. Kalau ada ramai yang masuk dan meninjau-ninjau, akan menyusahkan kerja baginda pula.

بَاب

Bab (tanpa tajuk)

Ada perbincangan kenapakah bab ini tidak ada tajuk. Ulama mengatakan bahawa bab ini sebagai fasal kepada tajuk bab sebelum ini. Dalam hadis sebelum ini, ia memperkatakan tentang Nabi solat sunat dalam Kaabah diantara dua tiang. Dalam hadis ini tidak disebutkan tentang tiang. Tapi kita faham bahawa Ibn Umar solat diantara dua tiang dari hadis kita lihat sebelum ini. Apabila Ibn Umar berdiri kira-kira tiga hasta dengan tiang itu, dia secara otomatik berdiri diantara dua tiang.

Sheikh Zakaria mengatakan tujuan Imam Bukhari bawa hadis ini adalah kerana dia takut orang ingat hanya boleh solat di tempat itu sahaja dalam Kaabah. Tapi dalam hadis itu, Ibn Umar sendiri mengatakan di hujungnya bahawa boleh untuk solat di posisi lain. Cuma Ibn Umar itu adalah seorang amat suka bertabarruk dengan perbuatan Nabi. Apabila dia tahu Nabi solat disitu, maka dia pun solat disitu juga. Itu dinamakan tabarruk. Tabarruk dengan Nabi.

Ini juga boleh dijadikan sebagai satu ukuran jarak antara tempat berdiri dan sutrah. Iaitu tiga hasta. Ikut keadaan dan tubuh badan orang yang bersolat sebenarnya.

Juga dalil boleh solat di mana-mana bahagian dalam Kaabah.

476 حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُنْذِرِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو ضَمْرَةَ قَالَ حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَاللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْكَعْبَةَ مَشَى قِبَلَ وَجْهِهِ حِينَ يَدْخُلُ وَجَعَلَ الْبَابَ قِبَلَ ظَهْرِهِ فَمَشَى حَتَّى يَكُونَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجِدَارِ الَّذِي قِبَلَ وَجْهِهِ قَرِيبًا مِنْ ثَلاثَةِ أَذْرُعٍ صَلَّى يَتَوَخَّى الْمَكَانَ الَّذِي أَخْبَرَهُ بِهِ بِلالٌ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِيهِ قَالَ وَلَيْسَ عَلَى أَحَدِنَا بَأْسٌ إِنْ صَلَّى فِي أَيِّ نَوَاحِي الْبَيْتِ شَاءَ

476. Telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Al Mundzir berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Dlamrah berkata, telah menceritakan kepada kami Musa bin ‘Uqbah dari Nafi’ bahwa ‘Abdullah bin ‘Umar, apabila ia masuk ke dalam Ka’bah, ia berjalan terus ke arah depan sementara pintu Ka’bah di belakangnya. Ia terus berjalan hingga antara dia dan dinding dihadapannya kira-kira tiga hasta, lalu dia salat di tempat dimana Bilal mengabarkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah salat di posisi itu.” ‘Abdullah bin ‘Umar berkata, “Seseorang boleh salat di mana-mana bahagian dalam Ka’bah yang dikehendakinya.”

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Harus untuk solat dalam Kaabah. Nabi telah pernah bersolat sunat dalam Kaabah. Nabi tidak pernah solat fardhu dalam Kaabah. Sesetengah ulama mengatakan tidak sah kalau solat fardhu dalam Kaabah. Bukan semua berpendapat begitu, tapi ada.
  2. Keelokan menggunakan sutrah. Walaupun dalam Kaabah, Nabi masih lagi bersutrah kan dinding.
  3. Jarak antara tempat berdiri dan sutrah adalah lebih kurang tiga hasta atau kurang. Jangan berdiri jauh sangat dari dinding. Nanti menyusahkan orang hendak lalu di hadapan. Orang lain takut nak lalu sebab ada larangan lalu depan orang bersolat. Kalau ini terjadi, kita telah menyusahkan orang dan berdosa kalau kita menyusahkan orang lain. Tapi kalau kita ada hal mustahak dan tidak ada laluan lain, boleh kalau kita lalu depan orang bersolat.
  4. Kalau solat dalam Kaabah, boleh pilih mana-mana posisi.
  5. Kalau boleh, elok kalau dapat solat di tempat solat Nabi dalam Kaabah itu. Peluang ini ada kepada pemimpin negara. Kerana kerajaan Arab Saudi ada membenarkan ketua-ketua negara untuk masuk dalam Kaabah. Orang macam kita, tidak ada peluang nampaknya.  
  6. Walaupun tidak disebutkan dengan jelas dalam hadis ini, tapi kita dapat tahu dari hadis ini secara iltizam bahawa Nabi solat di antara dua tiang.
  7. Kesungguhan Ibn Umar dalam mengamalkan ittiba’ soori. Dia amat kuat mengikut segala perbuatan Nabi. Walaupun perbuatan itu bukanlah Sunnah syar’iyyah. Kalau tak ikut pun tidak mengapa.
  8. Solat di tempat Nabi solat adalah dibenarkan. Ini dinamakan tabarruk. Pernah seorang sahabat nama Itban mengajak Nabi solat di rumahnya untuk merasmikan tempat solat di rumahnya. Itu hanya dengan Nabi sahaja. Kita sekarang tidak boleh mengambil tabarruk dengan orang lain. Walau bagaimana besat pun ulama itu. Hanya kepada Nabi sahaja. 
  9. Seseorang alim seharusnya menyebutkan hukum sebenar sesuatu ibadat. Walaupun dia buat yang lain. Itulah sebabnya Ibn Umar beritahu bahawa boleh solat di mana-mana posisi dalam Kaabah. Walaupun dia sendiri lebih suka memilih tempat yang Nabi sendiri solat. 
  10. Sahabat akan melihat Nabi dengan teliti dan mereka boleh menceritakan balik apa-apa perbuatan baginda itu kepada orang lain. Itulah tanda seorang Nabi. Orang lain ikut segala-galanya. Tidak ada kelebihan begini pada orang lain. Sampaikan ke hal dalam rumah pun kita tahu juga. Kerana dikisahkan balik oleh isteri-isteri baginda dan ahli keluarga baginda yang berpeluang masuk ke dalam rumahnya. Nabi pun tidak kisah kerana tidak ada apa yang hendak disembunyikan oleh Nabi. Itu memberi kita pengajaran tentang apakah perbuatan Nabi dalam rumah supaya kita boleh ikut sekali perbuatan Nabi. 

 

Ketua negara Islam dapat masuk dalam Kaabah.

 

Advertisements
 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 98-99 Bab Bersembahyang Di Antara Tiang-Tiang Dengan Tidak Berjamaah.”


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s