We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 93- 94 Bab Sembahyang Dengan Bersutrahkan Tombak Dan Bab Sembahyang Dengan Bersutrahkan Lembing October 22, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 9:40 pm

بَاب الصَّلاةِ إِلَى الْحَرْبَةِ 

Bab Sembahyang Dengan Bersutrahkan Tombak

Sekarang Imam Bukhari memberikan contoh apakah barang-barang yang pernah digunakan Nabi sebagai sutrah. Supaya kita boleh jadikan contoh.

Kedua, sebagai contoh apakah kadar sutrah itu. Kecil, besar dan lebar sutrah itu. Berapakah tinggi dan lebarnya. Seeloknya, saiznya ada cukup besar supaya dari jauh boleh nampak. Supaya orang akan tahu bahawa kita sedang solat waktu itu.

Dalam Islam, ada larangan untuk menyerupai cara ibadat orang kafir. Mungkin ada yang melihat dengan meletakkan lembing di hadapan dalam solat boleh disalahertikan sebagai menyembah benda-benda itu. Tambahan pula ada masyarakat yang menyembah senjata seperti lembing. Seperti Sikh, Hindu dan sebagainya. Imam Bukhari hendak menyatakan itu tidak termasuk dalam larangan itu. Kalau sesuatu benda itu tidak masuk ke dalam akal sebagai sesuatu yang disembah, ianya tidak salah. Bermakna, orang yang menggunakan benda-benda itu tidak berniat pun untuk menyembah benda-benda itu. Dan masyarakat di situ pun tidak tahu bahawa ada benda-benda itu disembah oleh agama lain. Macam masyarakat kita, tak tahu pun ada agama yang sembah senjata. Jadi, kalau mereka lihat ada orang yang letak lembing atau benda-benda lain pun di depan semasa solat, mereka tak terfikir pun bahawa orang itu sedang menyembah benda-benda itu.

Sutrah itu adalah sebagai tanda kepada orang yang lalu lalang bahawa seseorang itu sedang sembahyang dan apakah batasan yang mereka boleh lalu.

Tapi kalau kita berada dalam masyarakat yang menyembah sesuatu benda itu, seeloknya jangan buat. Contohnya kalau di India, jangan gunakan lembu sebagai sutrah. Walaupun kalau kita buat di Malaysia tidak ada masalah. Sebab nanti orang kafir itu suka pula lihat kita sembah sembahan mereka. Mereka kata kita pun sembah lembu juga nanti. Kita tak mahu jadi macam itu.

Tidak ada ketetapan dan saiz sutrah yang digunakan. Sebab itulah Imam Bukhari membawakan contoh yang berjenis-jenis.

Dalam tajuk-tajuk beliau ini, ulama nampak bahawa Imam Bukhari tidak memasukkan tentang larangan meletakkan sutrah betul-betul di tengah-tengah hadapan orang bersolat dan menggunakan garisan sebagai sutrah. Apabila beliau buat begitu, ulama nampak bahawa beliau tidak bersetuju dengannya. Begitulah telitinya ulama Islam. Kalau nampak Imam Bukhari tidak letak tajuk itu pun mereka boleh agak apakah pandangan Imam Bukhari.

Ada ulama fiqh yang menyatakan boleh menggunakan garisan sebagai sutrah. Dan memang ada hadis pun yang kata Nabi menggaris tanah untuk dijadikan sutrah di hadapan baginda. Cuma ada yang menerima hadis itu sebagai Hasan dan ada yang mendhaifkannya. Nampaknya apabila Imam Bukhari tidak meletakkan tajuk sebegitu, menunjukkan Imam Bukhari mendhaifkannya juga. Maknanya, Imam Bukhari tidak terima garis sebagai sutrah.

Banyak perbincangan ulama tentang hadis itu. Ada mengatakan boleh dipakai sebab ianya adalah jenis hadis tentang fadhail amal (kelebihan amal), jadi boleh dipakai kerana hadis dhaif boleh dipakai untuk perkara fadhail amal. Tapi kalau kita tengok hadis ini, ianya bukan tentang fadhail amal. Ianya adalah satu hukum. Jadi kalau nak dipakai, kena pakai hadis yang sahih.

Ada juga yang pakai hadis itu kerana pada mereka, ada kelebihan juga dengan melukis garis. Mereka sebut tentang bagaimana Nabi pergi bersama Ibn Mas’ud untuk berdakwah kepada bangsa jin. Baginda melukis garis keliling Ibn Mas’ud dan mengingatkan beliau supaya jangan keluar dari garis itu. Mereka kata, kalau begitu, garis pun ada kekuatannya juga. Tapi hakikatnya, hujjah itu tidak kuat untuk dipegang oleh Imam Bukhari.

Kedua, tentang meletakkan sutrah betul-betul di tengah orang yang solat: Ada ulama yang mengatakan tidak boleh meletakkan sutrah betul-betul di hadapan. Kerana takut dikatakan menyembah sutrah itu pula. Mereka kata kena letak ke kiri atau kanankan sedikit. Tapi apabila Imam Bukhari tidak meletakkan tajuk itu dalam kitab beliau, bermakna beliau tidak memegang pendapat itu.

Memang ada hadis riwayat gurunya sendiri Imam Ahmad dan Abu Dawud tentang sahabat yang mengatakan Nabi tidak pernah berdiri betul-betul di tengah sutrah tapi baginda akan berdiri di kirinya sedikit atau di kanannya. Tapi hadis itu bukan sahaja tidak menepati syaratnya, tapi hadis itu sangat dhaif. Oleh itu, tidak salah kalau kita letak sutrah itu betul-betul di tengah kita.

Lihatlah betapa telitinya Imam Bukhari dalam memilih hadis.

————————————————–

بَاب الصَّلاةِ إِلَى الْحَرْبَةِ

Bab 65 Sembahyang Dengan Bersutrahkan Tombak

468 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِاللَّهِ أَخْبَرَنِي نَافِعٌ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُرْكَزُ لَهُ الْحَرْبَةُ فَيُصَلِّي إِلَيْهَا

468. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya dari ‘Ubaidullah telah mengabarkan kepadaku Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar, bahawa biasanya dipancangkan untuk Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tombak lalu baginda salat dengan bersutrahkannya.”

——————————————————

بَاب الصَّلاةِ إِلَى الْعَنَزَةِ

Bab 66 Sembahyang Dengan Bersutrahkan Lembing

469 حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا عَوْنُ بْنُ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبِي قَالَ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْهَاجِرَةِ فَأُتِيَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَصَلَّى بِنَا الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ وَالْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ يَمُرُّونَ مِنْ وَرَائِهَا

469. Telah menceritakan kepada kami Adam berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Aun bin Abu Juhaifah berkata, “Aku mendengar Bapakku berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menemui kami pada waktu tengahari. Kemudian beliau diberi bejana berisi air, lalu beliau berwudu dan mengimami salat Zhuhur dan ‘Ashar bersama kami dengan bersutrahkan lembing. Para wanita dan keledai berlalu lalang di sebelah hadapan lembing itu.”

Ulama membincangkan kenapa hadis itu menggunakan يَمُرُّونَ. Sebab macam salah pula nahu Arab. Sepatutnya يَمُرَّان. Sebab ada dua – wanita dan keledai. Ada kata memang silap. Ada yang jelaskan. Digunakan dalam jamak kerana ada banyak perempuan dan keledai. Bukan dua sahaja.

470 حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمِ بْنِ بَزِيعٍ قَالَ حَدَّثَنَا شَاذَانُ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مَيْمُونَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَجَ لِحَاجَتِهِ تَبِعْتُهُ أَنَا وَغُلامٌ وَمَعَنَا عُكَّازَةٌ أَوْ عَصًا أَوْ عَنَزَةٌ وَمَعَنَا إِدَاوَةٌ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ حَاجَتِهِ نَاوَلْنَاهُ الادَاوَةَ

470. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Hatim bin Bazi’ berkata, telah menceritakan kepada kami Syadzan dari Syu’bah dari ‘Atha’ bin Abu Maimunah berkata, “Aku mendengar Anas bin Malik berkata, “Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar untuk menunaikan hajatnya, aku dan seorang anak kecil akan mengikuti baginda dengan membawa tongkat yang bengkok hujungnya, atau sebatang tongkat, atau lembing dan kami juga membawa satu bejana berisi air. Setelah beliau selesai dari buang hajat, maka kami memberikan bejana tersebut kepada beliau.”

Kata ‘tongkat yang bengkok hujungnya, atau sebatang tongkat’ adalah kerana syak perawi.
Boleh juga bermakna kadang-kadang mereka bawa barang yang berbeza.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Nabi semasa dalam perjalanan dan hendak membuang air, akan dituruti oleh sahabat. Untuk mereka berkhidmat kepada baginda – membantu mana yang boleh. Bukan budak sahaja yang berkhidmat kepada baginda. Kadang-kadang sahabat dewasa pun ada juga. Banyak yang berkhidmat begitu. Kerana mereka amat menghormati dan sayang kepada Nabi. Dan untuk memudahkan kerja-kerja Nabi supaya baginda boleh menumpukan untuk mengajar dan mentadbir negara. Ini juga adalah sebagai dalil mengatakan bahawa najis Nabi adalah najis. Kalau tidak najis, kenapa nak bawa alat nak cuci pula? Dan ini menolak pendapat yang mengatakan najis Nabi ditelan bumi. Kalau ditelan bumi, kenapa Nabi nak kena pergi jauh untuk buang air? Yang kisah ada sahabat makan najis baginda itu adalah jenis maghlubul hal. Mereka tidak dapat mengawal diri. Sahabat besar tak buat macam tu.
  2. Kanak-kanak boleh membantu dalam lingkungan kebolehan mereka. Bukan mendera kalau buat macam itu. Anas dan budak itu hanya membawa benda ringan sahaja. Elok bebudak berkhidmat kepada orang tua supaya mereka ada rasa hormat kepada orang tua. Dan mereka akan ada rasa mereka diperlukan. Akan timbul kasih sayang sesama mereka. Janganlah kita sayangkan anak sampai tak beri kerja kepada mereka. Itu adalah cara mendidik yang salah. Kita kena didik mereka dengan memberi tanggungjawab kepada mereka.
  3. Keelokan berkhidmat kepada pemimpin dan guru. Masyarakat kita kurang buat perkara ini. Padahal itu adalah cara Nabi. Ada keberkatan dalam memberi khidmat sebegitu.
  4. Keelokan membawa bersama barang-barang yang boleh membantu kita dalam perjalanan.
  5. Menunjukkan Nabi beristinjak dengan air. Sebab ada pendapat yang mengatakan Nabi tidak beristinjak dengan air. Memang ada sahabat yang buat begitu. Sebab air kurang pada waktu itu. Mereka pula miskin. Dan kalau ada air sikit, mereka akan dulukan untuk perempuan pakai dulu.
  6. Kita tahu bahawa baginda menggunakan air itu untuk beristinjak daripada perkataan yang digunakan. Walaupun ada yang kata ada kemungkinan air itu baginda gunakan sebagai air wudu. Tapi itu tidak benar. Apabila baginda selesai, Anas memberikan air itu kepada baginda. Kalau air itu digunakan sebagai wadu‘, tentulah Anas sendiri akan menuangkan air itu untuk baginda mengambil wudu. Jadi apabila air itu diberi kepada Nabi, bermakna, Nabi pakai air itu sendiri. Takkan Anas nak duduk dekat situ kalau Nabi beristinjak.

———————————————————-

بَاب السُّتْرَةِ بِمَكَّةَ وَغَيْرِهَا

Bab 67 Sutrah Di Mekah Dan Selainnya.

Ada yang mengatakan sutrah digunakan sebagai penanda kiblat. Tapi kalau itulah sebabnya, kenapa sutrah dipakai juga di Mekah? Padahal kiblat dah nampak dah. Ini bermakna, sutrah bukan sahaja untuk menjadi penanda kiblat tapi lebih dari itu.

Di Mekah pun Nabi gunakan sutrah juga. Bathha itu letaknya di Mekah.

Ini juga menolak pendapat yang mengatakan tidak ada sutrah kalau berada di Mekah. Memang ada hadis yang mengatakan pernah Nabi solat di Kaabah tanpa sutrah dan orang lalu dan tawaf di hadapannya. Dengan Imam Bukhari mengeluarkan hadis ini menunjukkan bahawa beliau menolak hadis itu kerana dhaif.

Ada yang kata bahawa tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini adalah kerana beliau hendak mengisyaratkan bahawa ada khilaf tentang perkara ini. Dan apabila beliau tidak memberikan keputusan beliau dengan jelas, bermakna ianya adalah khilaf yang kuat. Dua-dua pihak mempunyai hujah dan dalil yang kuat.

Imam Hanafi berpendapat bahawa di masjid-masjid besar seperti baitullah, masjid Nabi dan masjidilaqsa, tidak perlu meletakkan sutrah. Kerana ramai sangat manusia di situ dan kalau pakai sutrah, akan menyusahkan. Sebab ramai sangat orang. Jadi, jikalau di tempat sebegitu, tidak termasuk dalam larangan yang Nabi mengatakan dosa besar apabila melintas di hadapan orang bersolat.

471 حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ حَرْبٍ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنِ الْحَكَمِ عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْهَاجِرَةِ فَصَلَّى بِالْبَطْحَاءِ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ وَنَصَبَ بَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةً وَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ النَّاسُ يَتَمَسَّحُونَ بِوَضُوئِهِ

471. Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dari Abu Juhaifah berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar saat tengahari. Kemudian beliau melaksanakan salat Zhuhur dan ‘Ashar dua rakaat dua rakaat di Bathha`. Sementara dihadapannya ditancapkan sebuah lembing. Ketika beliau berwudu, maka orang-orang mengusapkan bekas air wudunya (ke badan).”

Susunan hadis ini macam solat dulu, baru pacak lembing dan kemudian baru ambil wudu. Kalau mengikut kaedah, ianya bukan tertib sebenar. Takkan baginda solat kemudian baru berwudu. Oleh itu, kita kena faham bahawa penggunaan huruf waw bukanlah bermakna ianya menurut turutan yang disebut.

Yang pentingnya, semua perkara itu memang terjadi.

 

Lompat ke hadis yang seterusnya

 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 93- 94 Bab Sembahyang Dengan Bersutrahkan Tombak Dan Bab Sembahyang Dengan Bersutrahkan Lembing”


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s