We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Benarkah Nabi buta huruf? Apakah maksud Ummi? August 28, 2013

Filed under: Ilmu — visitor74 @ 10:04 pm

Adakah Nabi buta huruf?

Daripada hadis penurunan wahyu pertama kali dengan jibril di gua Hira’, Nabi telah disuruh ‘baca’. Baginda jawap baginda ‘tidak boleh baca’. Tentu ada sesuatu yang dibawa jibril untuk dibaca Nabi. Kalau tangan kosong sahaja, tentu Nabi cakap ‘apa yang hendak dibaca?’
Di sini kita tahu yang memang Nabi tidak boleh membaca waktu itu. Tapi selepas kejadian itu, Nabi boleh membaca dan menulis dan kita akan bawakan dalil kenapakah kita mengatakan begitu. Walaupun kita kata Nabi boleh membaca, tapi tidaklah seperti yang dikatakan oleh Orientalis yang mengatakan bahawa Nabi boleh membaca dari sebelum dapat wahyu lagi – mereka kata baginda menyembunyikan kebolehan membacanya. Dan baginda telah membaca kitab Injil dan Taurat. Mereka sebab itulah ada persamaan antara Quran dan kitab-kitab itu. Ini adalah tidak benar sama sekali. Baginda tidak boleh membaca sebelum baginda menjadi Nabi.

Adakah buta huruf itu satu kelebihan atau kekurangan? Kalau kelebihan, kenapa nak suruh anak-anak kita belajar membaca dan menulis? Kalau tidak boleh membaca itu satu kelebihan, tidakkah kita sebagai umat Nabi Muhammad lebih baik kalau tidak tahu membaca, menulis dan mengira? Tentu kita pun tidak mahu jadi macam itu. Maka, kita sendiri tahu bahawa buta huruf itu bukan satu kelebihan, tapi satu kekurangan. Adakah kita hendak meletakkan kekurangan pada sifat Nabi?

Kalau kita nak jadikan Nabi itu buta huruf sebagai dalil untuk mengatakan bukan Nabi yang menulis Quran, apakah kita sekarang yang boleh dah ni, boleh tulis seperti Quran? Kita yang dah pandai membaca dan menulis ini pun tidak boleh menulis Quran walaupun satu ayat pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menulis dalam zaman ini, zaman dahulu dan zaman hadapan boleh menulis sesuatu yang seperti Quran. Allah sendiri telah mencabar sesiapa sahaja untuk menulis sesuatu seperti Quran tetapi sampai sekarang tidak ada sesiapa yang boleh menulis sesuatu seperti Quran.

Kita akui bahawa kebanyakan ulama mengatakan bahawa Nabi buta huruf. Cuma mereka guna bahasa lembut sikit – Nabi tidak pandai membaca dan menulis. Sama sahaja walau apa perkataan pun kita gunakan.

Dalam ayat Quran banyak disebutkan tentang Nabi tugasnya adalah untuk mengajar manusia. Bagaimana mungkin baginda hendak mengajar kalau baginda sendiri tidak tahu?

Dalam Quran juga banyak menyebut tentang bilangan. Kalau baginda tidak tahu mengira, bagaimana Nabi nak mengajar? Contohnya tentang pembahagian zakat yang kiraannya kompleks. Takkan sahabat lebih tahu Nabi. Bagaimana pula kalau ada yang datang kepada Nabi bertanyakan pembahagian itu? Adakah Nabi kena tanya sahabat pula? Takkan kita nak kata Nabi tak tahu sampai tak boleh nak mengajar umatnya?

Kalau kita lihat hadis bagaimana wahyu pertama kali diturunkan, memang kita boleh nampak bahawa Nabi tidak boleh membaca. Itu memang semua orang terima.

Dalil yang digunakan: Ankabut:48

وَمَا كُنتَ تَتْلُو مِن قَبْلِهِ مِن كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَّارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ

Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Quran) sesuatu Kitabpun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

Inilah yang digunakan sebagai dalil kepada orang yang mengatakan Nabi tidak boleh membaca dan menulis.
Tapi ayat ini juga digunakan sebagai dalil kepada mereka yang mengatakan Nabi boleh membaca selepas bertemu dengan Jibrail pertama kali. Ini adalah kerana kalau kita baca ayat itu kembali, kita boleh lihat bahawa Allah gunakan perkataan ‘sebelumnya’. Iaitu sebelum itu memang Nabi tak boleh membaca. Kalau memang Nabi tak boleh baca langsung sampai bila-bila, kenapa nak letakkan perkataan ‘sebelum itu’? Sepatutnya, letaklah sahaja perkataan ‘kamu tidak pernah membaca’, atau ‘kamu tidak tahu membaca’. Kenapa nak tambah perkataan ‘sebelum’. Inilah yang musykilnya. Kita katakan bahawa ayat ini hendak menunjukkan bahawa Nabi dahulu memang tidak tahu membaca, tapi selepas diturunkan wahyu kepada baginda, baginda boleh membaca. Macam mana Nabi boleh membaca? Ini adalah sebagai mukjizat kepada Nabi. Nabi tidak belajar macam manusia yang lain. Selepas baginda dipeluk sampai tiga kali oleh Jibrail, baginda terus boleh membaca.

Satu lagi ayat yang dijadikan dalil adalah al-Syuraa:52.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا نَّهْدِي بِهِ مَن نَّشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.

Dari ayat ini, juga mengatakan bahawa dahulu memang Nabi tidak tahu tentang Quran ‘sebelum’ itu. Kerana perkataan كُنتَ itu menunjukkan sebelum itu.

Jadi ayat itu adalah ayat pujaan kepada Nabi. Kalau dalam memuji, takkan nak selitkan perkara yang merendahkan. Jadi keseluruhan ayat ini adalah untuk memuji Nabi. Buta huruf bukanlah salah satu kelebihan yang boleh dibanggakan. Kalau ianya adalah satu kelebihan, kenapakah Nabi mahu supaya umatnya tahu membaca? Kita pun sudah tahu bagaimana pada peperangan Badr, yang ditawan boleh mengajar anak-anak orang Islam sebagai tebusan untuk diri mereka. Nabi pun suruh diajar membaca. Itu menunjukkan kepentingan membaca. Takkan Nabi sendiri selesa dengan tidak tahu membaca untuk dirinya. Dia suruh orang belajar, tapi dia sendiri tidak tahu? Adakah begitu kita hendak kata kepada Nabi?

Dari manakah datangnya perkataan ‘ummi’ yang dijadikan dalil kepada mereka yang mengatakan Nabi itu buta huruf? Mari kita lihat ayat Jumua:2:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Jadi apakah yang dimaksudkan ‘ummiy’ dalam ayat ini? Banyak orang mengatakan satu lagi dalil mengatakan Nabi tidak tahu membaca adalah kerana Nabi itu adalah seorang ‘ummiy’. Mereka hanya melihat makna ummiy itu sebagai orang yang tak tahu membaca. Tapi bukan itu sahaja maknanya. Kerana ada lagi makna lain. Ummiy yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah Ummu Qura – ibu negeri – ianya adalah salah satu nama kepada Mekah. Mekah adalah tempat yang didatangi oleh banyak manusia kerana mereka melakukan ibadat tawaf di situ. Ianya adalah satu kebanggaan untuk datang dari Ummu Qura’. Maka mereka akan berbangga kalau mereka kata mereka adalah ummiy.

Dalam al-An’am:92 ada disebutkan tentang ‘ummul qura’

وَهَٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

Atau ummiy juga bermaksud manusia yang sudah terputus dengan kitab dari langit. Kerana bangsa Arab sudah lama tidak mendapat ilmu dari langit. Begitu juga, ia merujuk kepada orang yang sudah tidak tahu tentang kitab. Orang Yahudi yang tidak tahu pengajaran dari kitab Taurat dipanggil ummiy. Mereka memang dapat kitab, tapi mereka dah tak tahu pengajaran dalam kitab itu. Mereka tak belajar Kitab Taurat. Mereka tidak mengambil pengajaran. Mereka dah tak tahu macam mana nak pakai Kitab Taurat. Seperti yang disebut dalam 2:78.

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ إِلَّا أَمَانِيَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ummiy, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Kalau Nabi tidak tahu membaca dan menulis, mungkin ada kalangan ahli kitab akan menggunakan sebab itu untuk tidak mengikut Nabi. Mereka boleh kata, buat apa mereka hendak mengikut seorang rasul yang tidak tahu apa-apa sedangkan mereka sendiri mengetahui kitab – iaitu ajaran dari langit. Tapi tidak langsung pernah disebut mereka ada berkata begitu. Orang-orang Yahudi tidak akan lepas peluang nak kutuk, mengejek dan merendahkan martabat Nabi. Tapi tidak pernah ditulis di mana-mana setahu kita, mereka menggunakan sebab itu untuk merendahkan martabat Nabi.

Sebaliknya, apa yang mereka sebut adalah Nabi ‘menulis’ kisah-kisah dongeng. Seperti yang tertulis pada ayat Furqan:5

وَقَالُوا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ اكْتَتَبَهَا فَهِيَ تُمْلَىٰ عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Dan mereka berkata lagi: “Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)”.

Ini adalah terjemahan yang kita biasa lihat. Ada penterjemah menterjemahkan ayat itu untuk mengatakan bahawa Nabi meminta supaya ‘dituliskan’ ayat-ayat Quran itu kemudian dibacakan kepada baginda untuk dihafal oleh baginda. Tapi ada juga penafsir yang menafsirkan ayat itu sebagai mengatakan bahawa Nabi sendiri yang menulis. Itulah pemahaman yang kita boleh ambil dari makna asal ayat itu. Maknanya, orang kafir sendiri tahu bahawa Nabi Muhammad boleh menulis. Mereka kata baginda tulis sendiri Quran itu dari akalnya.
اكْتَتَبَ dalam ayat ini memberi makna takalluf dan takalluf ada dua makna, salah satunya dengan makna ‘susah’ dan yang kedua dengan makna ‘bersungguh-sungguh’ dan ‘elok-elok’. Maknanya Nabi menulis dengan bersungguh-sungguh.
Dan makna ‘dibacakan’ dalam ayat ini bermaksud ayat-ayat Quran itu dibacakan oleh Jibrail untuk ditulis oleh Nabi.

Mereka juga kata kenapa Nabi buta huruf satu kelebihan adalah kerana hendak menunjukkan bagaimana seorang manusia yang tidak tahu membaca boleh jadi macam itu? Boleh menukarkan masyarakat jahiliah menjadi sahabat baginda yang mulia akhlak mereka. Yang walaupun Nabi buta huruf, tapi Nabi seorang yang bijaksana.
Tapi kita boleh jawap dengan mengatakan bahawa Nabi memang hebat. Dulu pun Nabi tidak boleh membaca dan menulis. Kita masih boleh kata bahawa Nabi seorang yang hebat, yang berasal dari tidak tahu membaca pada asalnya. Tapi cuma kita kata, selepas baginda diturunkan wahyu, baru baginda boleh membaca.

Ada hadis Nabi pun mengatakan alif satu huruf … Bermakna, dia kenal huruf.

Kenapa Nabi tak tulis sendiri? Lantik penulis lain? Contohnya, untuk hantar surat kepada negara bukan Islam dalam usaha dakwah kepada mereka. Ini adalah biasa. Pemimpin besar pun bukan mereka sendiri tulis surat. Mereka ada penulis mereka sendiri.

Satu persoalan: Kenapa kita nak sangat kata Nabi buta huruf? Seperti ada satu agenda hendak merendahkan kedudukan Nabi pula.

Mari kita bincangkan kembali tentang maksud ummi. Dari mana datang terjemahan yang mengatakan ummi itu bermaksud: tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis? Sebab ada hadis yang sebut ummiy dan terus dipakai sebagai satu-satunya dalil yang mengatakan bahawa ummi itu bermaksud tidak tahu membaca dan menulis. Ia bukan dalil yang putus. Hadis itu memang ada dalam Bukhari. Ia memang hadis yang soheh. Tapi martabatnya adalah Hadis Ahad. Hadis ini juga hanya diriwayatkan oleh satu madar (paksi) sahaja.Iaitu disampaikan oleh satu perawi sahaja. Hadis tak boleh tundukkan Quran. Tidak boleh dijadikan asas untuk menidakkan ayat Quran. Seperti kita telah sebut diatas tadi, ayat-ayat Quran menunjukkan bahawa Nabi hanya tidak tahu membaca sebelum menjadi Nabi.

Hadis itu berbunyi:

إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب

Sesungguhnya kita adalah ummat Ummi, tidak boleh menulis dan menghitung [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Adakah kita semua buta huruf? Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘kita’ dalam hadis ini? Kita’ dalam hadis itu Nabi maksudkan umat Islam. Atau boleh jadi dimaksudkan orang-orang bangsa Arab yang bersama dengan Nabi waktu itu.
Hadis ini adalah jenis hadis yang tak jelas. Dinamakan jenis Mubham. Umat Islam yang manakah yang dimaksudkan?

Tentulah tidak boleh dikatakan ia merujuk kepada para sahabat. Sebab bukan semua sahabat tidak tahu membaca. Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali semua tahu mereka boleh membaca. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain. Ramai lagi yang tahu membaca. Ada yang tahu baca kitab yang diturunkan dari langit pun ada. Abdullah bin Salam, bekas pendita Yahudi, dia seorang yang pandai baca Kitab Taurat. Jadi, takkan Nabi nak kata semua mereka tidak tahu membaca?

Kena faham apakah yang hendak disampaikan oleh Nabi dalam hadis ini. Kena tengok keseluruhan hadis. Apakah sambungan dari potongan hadis yang telah disebutkan diatas tadi?

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا يَعْنِي ثَلَاثِينَ ثُمَّ قَالَ وَهَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا يَعْنِي تِسْعًا وَعِشْرِينَ

Nabi s.a.w bersabda: Bulan itu ada kalanya begini, begini, begini iaitu tiga puluh hari kemudian Baginda bersabda: begini, begini dan begini iaitu dua puluh sembilan hari. [Riwayat Bukhari]

Dari hadis ini pun kita dah dapat tahu bahawa Nabi boleh mengira. Kalau Nabi tak tahu mengira, bagaimana Nabi nak beritahu kepada sahabat tentang bilangan hari dalam sebulan itu? Nabi nak kata bahawa dalam sebulan, kadang-kadang harinya ada tiga puluh, dan kadang-kadang dua puluh sembilan sahaja. Nabi tunjukkan dengan tangan baginda.

Nabi nak cakap bahawa untuk kira berapa lama bulan Ramadhan itu adalah mudah. Tak perlu jadi ahli falaq untuk mengerjakan amalan berpuasa.
Bukan Nabi nak kata semua mereka buta huruf. Kita dah cakap tadi bahawa itu tidak benar, sebab banyak sahabat Nabi yang boleh membaca dan menulis. Baginda cakap begitu sebab dalam kalangan orang Islam waktu itu ada yang buta huruf tapi Nabi beradab dalam berkata. Takkan nak terang-terang kata mereka buta huruf. Tapi walaupun mereka buta huruf, tapi ibadat dalam Islam ini adalah mudah sampai yang tidak tahu membaca dan menulis pun boleh tahu. Senang sahaja nak kira. Dan bukan dia nak kata dia termasuk sekali dalam golongan orang yang tidak tahu membaca dan menulis itu.
Dia nak cakap bahawa Islam itu mudah untuk diamalkan. Contoh lain, bila nak solat. Nak tahu waktu solat, cuma tengok matahari. Nak kira bulan tengok bulan. Tak perlu nak ada jam untuk tahu waktu solat dan tidak perlu nak ada kalender untuk tahu berapa lama nak berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Allahu a’lam.

Pembacaan lebih lanjut disini: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=1493

 

3 Responses to “Benarkah Nabi buta huruf? Apakah maksud Ummi?”

  1. Ahmad Fauzi Says:

    Alhamdulillah, akhirnya ketemu artikel yang lengkap menerangkan bahawa Rasulullah sebenarnya tahu membaca dan menulis. Tahniah.

  2. bapak Says:

    saya kurang bersetuju…Nabi Muhammad memang buta huruf sejak dari kecil…kerana itulah Bginda hebat kerana mengetahui apa yg tersurat dalam injil dan taurat walaupun tidak tahu membacanya

    • visitor74 Says:

      Assalamualaikum. Memang Nabi Muhammad buta huruf sejak kecil. Khilaf pada ulama adalah, selepas Nabi mendapat wahyu, adakah baginda terus buta huruf atau baginda sudah boleh membaca?

      Allahu a’lam


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s