We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 82-83 Bab Membuat Bulatan Dan Duduk Di Dalam Masjid August 9, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:01 pm

بَاب الْحِلَقِ وَالْجُلُوسِ فِي الْمَسْجِدِ

Bab 57 Membuat Bulatan Dan Duduk Di Dalam Masjid.

Kali ini tentang duduk dalam bulatan beramai-ramai dalam masjid. Atau dalam bahagian kedua tajuk, tentang duduk dengan cara-cara lain. Mungkin dalam bentuk saf. Apakah boleh dilakukan sebegitu?

Duduk dalam halaqah

Tujuan Imam Bukhari bawa tajuk ini adalah untuk menyatakan bentuk duduk beramai-ramai yang sesuai dalam masjid. Untuk tujuan-tujuan tertentu. Antaranya adalah untuk menghadapi kelas pengajian. Imam Bukhari nak bawa pendapat beliau iaitu duduk dalam bulatan adalah lebih baik dan sesuai. Tapi sebelum solat Jumaat, duduk dalam bentuk saf adalah lebih baik. Ini adalah kerana hari jumaat, ramai orang yang datang untuk solat jumaat. Dan kalau duduk dalam bulatan akan menyusahkan orang.

Duduk tidak semestinya duduk iftirash (macam duduk semasa tashahud awal) atau tawarru‘ (macam duduk semasa tashahud akhir). Bentuk duduk yang lain adalah diharuskan selagi dalam batas kesopanan dan sesuai dengan keadaan. Ada orang mungkin sakit kaki, jadi ada jenis duduk dia tidak boleh. Jadi tidak terikat dengan cara-cara tertentu. Maka, duduklah mana yang kita rasa selesa untuk kita.

Duduk iftirash

Duduk ihtiba’ (peluk kaki) itu mungkin tak biasa di negara kita, tapi sebenarnya sahabat biasa duduk sebegitu. Dan di negara-negara lain pun biasa duduk macam itu. Ianya lebih beradab. Memang ada larangan Nabi duduk macam itu. Tapi itu adalah sebab sahabat zaman Nabi pakai kain yang singkat, jadi kalau duduk macam itu nanti akan nampak aurat.

Selain dari diatas, tujuan Imam Bukhari adalah untuk menghilangkan kekeliruan dikalangan umat kerana ada hadis lain yang bunyinya seperti larangan duduk dalam halaqah. Hadis itu mengatakan apabila Nabi nampak para sahabat duduk dalam halaqah, baginda tegur mereka kenapa berselerakan dalam halaqah. Nabi kata kenapa tak buat seperti saf di hadapan Tuhan? Sekali pandang macam Nabi tak suka. Sebenarnya ada sebab lain kenapa Nabi tegur. Nampak macam Nabi lebih berkenan dengan barisan seperti dalam saf.

Halaqah yang ditegur Nabi itu adalah halaqah yang tidak berfaedah. Iaitu apabila mereka duduk berkumpulan-kumpulan dan nampak mereka berpecah belah. Jadi, kena faham kenapa Nabi tak suka dan kenapa Nabi tegur.

Duduk tawarru’

Ada satu lagi hadis dimana dikatakan Nabi melarang dari membuat halaqah pada hari Jumaat sebelum sembahyang Jumaat. Ini hari Jumaat sebelum solat. Akan mengganggu orang nak solat sunat. Jumaat ramai orang. Elok kalau dah duduk dalam saf.

Ada pula riwayat lain yang Nabi kata Allah melaknat orang yang berada di tengah halaqah. Sebenarnya, laknat itu bukan secara mutlaq. Yang duduk di tengah itu selalunya menghalang pandangan orang. Jadi dia telah menyusahkan orang lain. Atau, ia juga bermaksud orang yang buat jenaka. Kita tidak boleh kata yang duduk di tengah halaqah itu tidak elok kerana Nabi sendiri selalu dikerumuni semasa memberikan pengajaran baginda. Maka kena lah pakai maksud hadis itu dengan makna yang sesuai.

Ada yang kritik hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari ini. Namanya Ismaili. Dia kata tak jelas dalam hadis ini mengatakan mereka dalam hadis itu duduk dalam halaqah. Tidak disebut dalam hadis itu para sahabat duduk dalam halaqah. Bagus juga kalau ada yang kritik sebab kita akan periksa balik hujah yang dibawakan Bukhari. Dan kita akan dapat maklumat yang lebih jelas. Memang tak jelas nampak sahabat sedang duduk dalam halaqah. Tapi memang Bukhari bila bawa dalil, akan ada hujahnya. Walaupun tak disebut mereka duduk dalam bulatan, tapi memang mereka duduk sebegitu. Demikian kebiasaan sahabat apabila mendengar khutbah Nabi. Ianya adalah kedudukan para sahabat yang sesuai. Takkan mereka berdiri semasa mendengar ucapan baginda. Supaya ramai mendengar ucapan Nabi, tentulah mereka duduk dalam halaqah. Kalau duduk dalam saf, tidak semua akan nampak dengan jelas. Inilah hujah ulama yang bernama Kirmani. Ini adalah ucapan baginda semasa mengajar, bukan khutbah solat Jumaat. Kalau khutbah jumaat, eloklah kalau duduk dalam saf. Dengan duduk dalam bulatan, sahabat boleh nampak dan mendengar dengan jelas.

Kalau mereka bukan duduk dalam bulatan pun, tentunya mereka duduk. Macam-macam jenis duduk mereka. Itulah sebabnya Imam Bukhari meletakkan perkataan ‘duduk’ dalam tajuknya. Supaya merangkumi semua jenis duduk. Halus pemahaman Imam Bukhari. Walaupun tak jelas nampak dalam hadis Nabi, tapi beliau mengaitkan dengan keadaan semasa waktu itu.

Boleh duduk dalam macam mana cara pun, asalkan jangan duduk tak molek dan yang tak senonoh. Contohnya, jangan duduk seperti perbuatan mencangkung macam buang air. Atau duduk orang yang sombong. Atau seperti syaitan. Atau seperti duduk menyerupai ibadat orang kafir. Atau menyerupai duduk ahli neraka. Iaitu bercekak pinggang. Tidak boleh duduk seperti binatang. Contohnya sujud macam ayam patuk makanan. Atau seperti unta turun – macam nak turun tapi tak turun. Atau jangan duduk seperti duduk anjing.

Jangan duduk mencangkung dalam masjid

Lagi satu kritik mengatakan tidak jelas kejadian dalam hadis Ibn Umar itu terjadi di masjid. Mungkin di tempat lain. Padahal kita sekarang berada dalam bab masjid. Itu kita kena baca hadis yang tambahan dari hadis 453. Bahagian yang hujung dari hadis itu sebenarnya adalah hadis yang lain. Kena baca hadis itu juga. Supaya nampak bahawa kejadian itu berlaku di masjid. Disebut secara muallaq – sanad tak diberikan dengan penuh. Dan disebut secara ta’liq. Tidak ada perkataan haddasana. Imam Bukhari sebut begitu kerana nak meringkaskan. Dalam Sahih Muslim ada disebut dengan sanad yang lengkap. Imam Bukhari hendak menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku dalam masjid. Kerana ianya adalah hadis dari kejadian yang sama. Cuma disebut oleh orang yang berbeza, maka lafaznya berbeza. Kena campur semua sekali baru lengkap cerita itu. Itulah cara hendak memahami hadis. Kalau baca satu sahaja, mungkin kita tak dapat faham cerita penuh.

452 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْمُفَضَّلِ حَدَّثَنَا عُبَيْدُاللَّهِ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

452. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Bisyr bin Al Mufadldlal telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah dari Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar berkata, “pernah seorang laki-laki bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang pada ketika baginda sedang di atas mimbar, “apa perintahmu tentang salat malam?” Baginda menjawab: “Dua dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh, maka salatlah satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi salatnya sebelumnya.” Dan sesungguhnya Nabi Saw selalu bersabda, “Jadikanlah witir sebagai shalat terakhir kalian (di waktu malam)”, Ibn Umar berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu memerintahkan berbuat begitu.”

Kita perlu ingat bahawa semasa Nabi mengajar, sahabat duduk dalam halaqah. Zaman itu memang begitu caranya. Bukan ada kerusi zaman itu. Itulah keadaan biasa. Tambahan pula dalam masjid – tak sesuai kalau nak letak kerusi dalam masjid. Kalau zaman sekarang, memanglah banyak kemungkinan lain cara duduk. Zaman kita dah lain. Banyak kemudahan dah ada.

Hadis ini pegangan Imam Malik bahawa solat malam adalah dua dua rakaat. Tak boleh lebih. Imam Syafie mengharuskan lebih dari dua rakaat tanpa had. Nak buat empat atau enam rakaat satu salam pun boleh. Tapi dia kata lebih molek kalau dua dua rakaat dalam solat sunat, siang atau malam. Imam Ahmad pula mengharuskan sehingga empat rakaat satu salam sahaja. Imam Hanifah kata solat sunat lebih molek dikerjakan empat rakaat satu salam. Nampak bercanggah dengan pendapat orang lain. Tapi ini adalah sebab dia kata dua dua = jadi empat. Setiap dua rakaat ada duduk tahiyat awal – macam solat zuhur. Ada juga ulama yang kata kalau siang, empat rakaat, malam dua dua rakaat. Pendapat Imam Bukhari sama macam Imam Syafie.

Apabila bimbang nak masuk subuh, maka tambah satu untuk mengganjilkan solat yang telah dilakukan. Kalau buat satu rakaat, tentulah sempat. Boleh kalau dia nak masukkan jadi tiga rakaat atau satu rakaat sahaja. Hadis ini menunjukkan bahawa paling kurang solat witr adalah satu rakaat. Imam Malik mengatakan ianya sekurang kurangnya tiga rakaat – dengan dua salam. Ini penting kerana ada yang kritik Muawiyah kerana buat witr satu rakaat sahaja. Jadi, kita kena keluarkan hujah bahawa memang boleh buat satu rakaat witr sahaja.
Witr dikatakan solat sunat yang paling utama. Yang kedua adalah solat sunat subuh. Maka eloklah sangat kalau kita istiqamah untuk melakukannya.

Pengajaran dari hadis ini dan hadis yang seterusnya:

  1. Solat malam elok dikerjakan dua dua rakaat. Ada salam setiap dua rakaat.
  2. Solat witr lebih elok dipenghujung malam selepas solat sunat yang lain.
  3. Witr diharuskan juga dilakukan di awal malam – selepas sahaja solat Isya’. Tapi kalau yakin boleh mengerjakan di akhir malam, lebih elok buat di hujung malam. Abu Hurairah diajar Nabi untuk solat sebelum tidur. Bagaimana kalau terjaga pula selepas tidur, boleh buat solat sunat lagi? Ada yang kata boleh lagi cuma jangan solat witr. Sebab pendapat ini mengatakan lebih molek kalau solat witr dijadikan solat yang terakhir. Pendapat kedua mengatakan kena tutup dulu witr itu dengan buat solat sunat satu rakaat dahulu.
  4. Waktu witr sampai sampai waktu subuh. Kalau tertinggal, boleh qadha juga. Tapi qadha pun sunat – nak buat boleh, tak buat pun boleh.
  5. Keharusan menjawap di hadapan orang ramai supaya ramai orang boleh mendapat manfaat. Kecuali kalau perkara itu masalah peribadi dan boleh menyebabkan orang yang bertanya itu jadi malu.
  6. Kebanyakan ulama mengatakan solat witr adalah sunat. Tapi ada yang kata ianya adalah wajib (bukan fardhu). Itu adalah pendapat Imam Abu Hanifah. Kepada yang kata ianya adalah sunat, mereka sepakat mengatakan bahawa ianya adalah sunat yang afdhal. Kerana Nabi tidak meninggalkannya walaupun dalam musafir. Disamping hadis-hadis Nabi yang menyatakan kelebihannya yang tinggi sekali.
  7. Jawapan khatib diatas mimbar tidak menjejaskan ucapannya. Walaupun dalam khutbah Jumaat. Boleh orang bertanya dan boleh khatib jawap. Khatib tengah berkhutbah pun boleh menegur manusia. Kita pernah dengar hadis Nabi tegur sahabat yang tidak solat tahiyyatul masjid dan pernah Saidina Umar juga tegur orang yang baru masuk masjid walaupun beliau sedang khutbah.
  8. Mendengar khutbah dengan teliti dalam duduk adalah baik. Tambahan pula dalam halaqah.
  9. Sahabat selalunya duduk dalam bentuk halaqah apabila mendengar ucapan Nabi. Lebih-lebih lagi apabila Nabi diatas mimbar.
  10. Solat witr adalah solat yang amat baik untuk dilakukan.

453 حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلا جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ فَقَالَ كَيْفَ صَلاةُ اللَّيْلِ فَقَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ تُوتِرُ لَكَ مَا قَدْ صَلَّيْتَ قَالَ الْوَلِيدُ بْنُ كَثِيرٍ حَدَّثَنِي عُبَيْدُاللَّهِ بْنُ عَبْدِاللَّهِ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ حَدَّثَهُمْ أَنَّ رَجُلا نَادَى النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِد

453. Telah menceritakan kepada kami Abu An Nu’man berkata, telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Nafi’ dari Ibnu ‘Umar berkata, “ada Seorang laki-laki datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang berkhuthbah. Katanya, “Bagaimana cara salat malam?” Baginda menjawab: “Dua dua rakaat. Sekiranya kamu bimbang masuk waktu subuh, maka salatlah satu rakaat sebagai witir bagi salat yang telah kamu laksanakan sebelumnya.” Al Walid bin Katsir berkata, telah menceritakan kepadaku ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bahwa Ibnu ‘Umar menceritakan kepada mereka, bahwa ada seorang yang memanggil Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam saat baginda berada di masjid.”

454 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ إِسْحَاقَ بْنِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ أَنَّ أَبَا مُرَّةَ مَوْلَى عَقِيلِ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَخْبَرَهُ عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ قَالَ بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَأَقْبَلَ ثَلاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ وَأَمَّا الاخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفَرِ الثَّلاثَةِ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الاخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الاخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ

454. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Ishaq bin ‘Abdullah bin Abu Thalhah bahwa Abu Murrah mantan budak ‘Uqail bin Abu Thalib mengabarkan kepadanya dari Abu Waqid Al Laitsi berkata, “Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berada di masjid, maka datanglah tiga orang laki-laki. Dua orang terus pergi kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan seorang lagi pergi meninggalkan masjid itu. Satu di antara dua orang yang pergi kepada Rasulullah itu nampak kekosongan dalam halaqah. Dia pun pergi ke tempat kosong itu. Sedang yang satu lagi duduk di belakang mereka. Setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam selesai majlis, baginda bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu tentang ketiga orang tadi? Adapun seorang di antara mereka, dia mahukan perlindungan Allah maka Allah lindungi dia. Yang kedua, dia berasa malu maka Allah pun malu juga kepadanya. Sedangkan yang ketiga berpaling pergi maka Allah pun berpaling darinya.”

Hadis ini nyata ada perkataan ‘halaqah’ dan ‘duduk’. Sahabat yang pertama nampak ada kekosongan dalam halaqah maka dia masuk sekali dalam halaqah itu. Bermakna, dia duduk di hadapan. Yang seorang lagi ‘duduk’ di belakang.
Hadis yang sebelum ini tidak zahir berkenaan dengan tajuk Bukhari. Tapi kali ini lebih jelas. Hadis ini telah disebut sebelum ini dalam Kitab Ilmu – waktu itu termasuk dalam adab belajar. Dari hadis yang sama, kita boleh faham macam-macam pengajaran dari satu hadis – itulah satu perkara penting yang hendak disampaikan oleh Imam Bukhari.
Masjid adalah tempat yang suci, maka kena jaga adab apabila duduk di dalamnya. Tak boleh buat ikut suka kita. Ada cara-caranya.

Apabila mereka bertiga sudah tiada dalam majlis itu, Nabi buka cerita tentang mereka bertiga itu. Yang pertama masuk dalam halaqah tanpa rasa malu sebab lewat. Dia mungkin hendak mendengar dengan baik. Dia mempunyai minat yang mendalam hendak menimba ilmu. Perasaan malu tidak menghalangnya untuk duduk dalam halaqah itu. Sebab perasaan mahukan ilmu lagi kuat. Mungkin dia ada juga rasa malu. Orang yang minat agama sebenarnya mendapat perlindungan Allah. Kalau dapat perlindungan Allah, maka selamatlah kita. Mendapat rahmat dan perlindunganNya. Akan mendapat perlindungan di bawah ArashNya.

Yang orang kedua rasa malu nak ke depan. Mungkin kalau dia hendak ke hadapan, dia kena langkah orang. Dia mungkin tidak mahu menyusahkan orang. Dan dia mungkin malu kepada Nabi dan sahabat kerana datang lewat. Tidak mahu menyinggung perasaan mereka yang duduk di hadapan – sebab mereka sudah duduk di hadapan kerana mereka datang awal, sedangkan dia datang lewat. Ada yang kata orang kedua ini lebih afdhal dari yang pertama. Sebab dua dua sekali sekali ada – Mahukan ilmu dan ada perasaan malu.

Ada yang kata orang kedua itu dia malu untuk melangkah orang atau menyusahkan orang untuk ke hadapan. Atau dia malu nak tinggalkan majlis Nabi bila dia nampak ada halaqah. Dia pun mungkin ada hal lain macam orang ketiga yang  meninggalkan majlis itu. Yang ketiga itu terus pergi. Sebab ada riwayat lain yang mengatakan yang kedua tu pun nak pergi juga macam yang kedua tapi dia datang balik. Ada banyak sebab yang diberikan dan sebab yang terakhir ini adalah pilihan Ibn Hajar. Jadi kalau begitu, dia dapat kurang dari yang pertama. Itu semua adalah pendapat, Allah sahaja yang Maha Tahu.
Perkataan ‘malu’ itu boleh jadi keji atau puji. Kalau dia malu nak melangkah ke hadapan dan mengganggu orang, maka ia adalah terpuji. Tapi kalau dengan makna dia malu dalam belajar, maka ia adalah terkeji. Tidak molek.
Allah malu bermaksud Allah memberi balasan yang setimpal. Kalau dia tidak bersungguh, Allah pun tidak memberinya ilmu sangat. Allah beri sekadar sahaja. Maka jangan malu untuk mendapatkan ilmu.

Yang berpaling itu bermaksud tidak mahu belajar. Allah pun berpaling – maksudnya tidak kisahkan dia. Kerana dia sama macam berpaling dari ajaran Allah. Macam tak mahu belajar ilmu Quran dan hadis. Macam ramai orang sekarang yang tak mengendahkan ilmu Quran dan Hadis juga. Allah murka kepada orang sebegini. Itu kalau berpaling tanpa keperluan. Kerana mungkin seseorang itu sudah tahu ilmu itu. Atau dia ada keperluan lain yang lebih mendesak. Jadi, kalau berpaling pergi dalam keadaan begitu, tidak mengapa. Bukanlah kalau berpaling sahaja terus kena murka Allah.
Mungkin orang itu adalah orang munafik kerana orang munafik sahaja yang berpaling. Mesti Allah beritahu kepada Nabi bahawa orang itu adalah orang munafik. Nama orang bertiga ini langsung tidak diketahui. Selalunya kalau berkenaan perkara tak molek, nama orang yang terlibat tidak disebut. Kalau pun dia seorang munafik, mungkin dia telah bertaubat selepas itu. Jadi kalau sebut nama, namanya akan terus tertulis sebagai orang munafik dalam hadis sampai bila-bila.

Ayat-ayat yang mengatakan Allah berpaling, Allah ‘malu’, ‘melindungi’ dan sebagainya, adalah sebahagian dari mutashabihatul hadith – tidak jelas. Pada zahir, nampak macam Allah bersifat serupa dengan manusia. Tidaklah Allah sama dengan makhluk. Ada yang baca hadis-hadis sebegini dan menyamakan Allah dengan makhluk. Itu adalah salah. Ini adalah satu pembelajaran dalam bab musykilul hadith – yang memusykilkan orang yang membacanya. Tujuan pengajaran jenis ini adalah untuk menjelaskan perkara-perkara yang nampak mengelirukan.

Para ulama terbahagi kepada dua golongan. Golongan salaf menerima maksud perkataan dalam hadis tanpa sebarang takwilan. Menerima makna zahir dan menyerahkan makna sebenar kepada Allah. Dan tidak menyamakan Allah dengan makhlukNya. Allah memang bersifat malu tapi sifat malu yang layak dengan Allah. Tanpa sama dengan sifat malu makhluk. Maha Suci Dia dari sama dengan makhlukNya. Macam makhluk ada tangan, tapi tentunya tidak sama dengan tangan makhluk. Kita tidak tahu hakikatnya. Kalau takwil mana pun tidak akan sama dengan makhluk. Ulama salaf adalah dari zaman Nabi sampai 300 tahun selepasnya (ada yang kata sampai 400 – 500 tahun selepas zaman Nabi). Selepas zaman itu dinamakan ulama khalaf. Kalau zaman sekarang pun, jika fahamannya sama dengan golongan salaf, maka mereka pun dikatakan golongan salaf juga. Bukan hanya tertakluk kepada zaman itu sahaja. Sebab yang takwil pun ada yang dari awal zaman lagi walaupun mereka duduk dalam masa zaman salaf. Kerana pendekatan mereka sama dengan ulama khalaf.

Golongan khalaf biasanya akan mentakwil. Kebanyakan pensyarah Sahih Bukhari akan menggunakan kaedah takwil untuk hadis-hadis sebegini. Bukanlah salah kalau takwil. Ada yang sampai menyesatkan mereka yang menggunakan kaedah takwil. Zaman salaf pun ada yang menggunakan kaedah takwil. Mereka mengatakan bahawa perkataan ‘melindungi’, ‘malu’ dan ‘berpaling’ itu dalam bentuk majaz – bayangan. Bahasa kiasan dan pinjaman. Jadi kalau takwil yang tidak bercanggah, boleh. Asalkan ada kaedah betul yang digunakan. Menggunakan kaedah bahasa Arab.
Sebab kalau pakai makna zahir adalah mustahil sebab takkan sama dengan makna kepada makhluk. Sama macam ‘perancangan Allah’ yang disebut dalam Quran, tidak sama dengan perancangan manusia. Kalau dalam terjemahan Quran, dikatakan bahawa ‘Allah membalas’. Sebab Allah tidak perlu merancang seperti manusia. Tapi digunakan perkataan ‘merancang’ juga dalam ayat Quran itu. Banyak jenis perkataan seperti itu dalam Quran.
Tapi kalau nak pakai macam fahaman golongan salaf pun boleh juga. Ketahuilah bahawa ulama-ulama ada kaedah. Bukan mereka ikut suka hati mereka.

Jadi, ada kaedah bagaimana hendak mentakwil. Salah satu yang digunakan: Apakah lazim dari malu? Kalau orang banyak memberi kepada kita, maka kita akan beri balik juga – sebab kita rasa malu. Tapi bukanlah sebab nak beri sangat. Begitu juga lazim bagi makan adalah kenyang. Maka, kita menggunakan kesan lazim dari sesuatu perkataan itu.

Apakah faedah menggunakan makna yang majaz? Supaya menggunakan bahasa yang lembut dan beradab. Juga cuba menjelaskan sesuatu perkara dengan cara logik. Seterusnya hendak mendekatkan sifat Allah kepada kefahaman manusia. Kalau dapat faham sikit pun sudah memadai. Supaya manusia dapat mengenali Allah. Ini semua adalah dalam rangka usaha hendak menerangkan yang samar. Dan ianya juga dapat mengindahkan bahasa.

‘Memberi perlindungan’ adalah ‘memberi kebaikan’ untuknya. Contohnya kalau hujan, kita beri payung kepada seseorang. Pensyarah Sahih Bukhari ramai yang pakai cara khalaf dalam mentakwil. Tapi mereka terima juga cara salaf. Mereka pakai cara khalaf kerana senang untuk menjelaskan makna.
‘Malu’ itu bermaksud Allah ‘tidak menghukum dan menyeksanya’. Itulah yang lazim kalau kita ada berasa malu dengan orang.
Perkataan ‘berpaling’ itu lazimnya bermaksud ‘marah, murka atau penghinaan’. Allah murka kepada orang yang berpaling dari pengajaranNya.

Ini adalah sebagai pemahaman. Macam kalau kita kata air hujan menumbuhkan pokok. Sebenarnya Allah yang menumbuhkan pokok itu, bukan air. Sama kalau kita kata ubat menyembuhkan kita. Padahal Allah menyembuhkan kita. Ini adalah bahasa majaz juga. Kita faham bahawa itu semua adalah sabbab sahaja.

Yang penting kita jangan menyamakan Allah dengan makhluk. Allah takkan sama dengan makhluk. Kedua-dua cara salaf dan khalaf ini diterima oleh ASWJ. Serahkanlah makna sebenarnya kepada Allah. Kita hanya cuma cuba mencapai maksudnya. Tapi kita tidak akan dapat capai. Ramai yang marah dengan golongan yang dikatakan wahabi itu adalah kerana golongan itu macam tidak mahu bertolak ansur dengan pendapat lain. Kena baiki pendapat mereka (yang dikatakan wahabi itu), kalau tak, orang tak boleh nak terima mereka.

Pengajaran dari hadis ini:

  • Orang yang berada dalam majlis ilmu berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Jadi kena cari majlis ilmu.
  • Orang alim kena memberi peluang kepada penuntut untuk belajar dengannya. Kalau ada yang hendak belajar, dia kena ajar. Perlindungan itu didapati melalui orang alim itu. Jadi kena sedar. Allah yang ajar sebenarnya. Melalui orang alim.
  • Sifat malu adalah sifat mulia yang mengangkat darjat. Malu itu elok ada pada manusia. Akan mendorong untuk buat benda yang molek. Tapi malu menuntut ilmu, itu adalah sifat tercela. Jangan malu untuk belajar. Dalam ilmu pun kena ada malu. Malu kalau kita terkebelakang. Malu kalau kita tidak ada ilmu. Malu kalau bahasa kita tidak maju. Malu kalau tidak ada kamus bahasa. Ianya mendorong kita untuk meningkatkan perbendaharaan kita. Kena ada usaha selepas kita rasa malu itu.
  • Orang yang berpaling dari majlis ilmu agama, Allah murka kepada mereka. Itulah maksud ‘berpaling’ dalam hadis ini. Ada ilmu yang fardhu Ain dan memang kena belajar semua sekali, semua orang.
  • Keelokan berada dalam halaqah ketika belajar dan zikir dalam masjid. Kalau diluar tidak perlu halaqah. Sebab dalam masjid tidak boleh nak ada kerusi meja. Maka halaqah lah yang sesuai. Duduk cara lain pun boleh juga tapi yang molek dengan cara halaqah. Sebab kalau duduk dalam saf, mungkin jauh dari guru yang mengajar.
  • Keelokan duduk dekat dengan guru ketika belajar. Supaya senang nampak dan dengar. Mungkin zaman sekarang dah ada speaker, mudah sikit. Yang kita takut adalah takut tersalah dengar. Dan tidak leka. Kalau duduk belakang jadi leka sebab guru tak nampak dia. Dah perangai manusia begitu.
  • Keelokan memuji orang yang berbuat kebaikan. Nabi selalu puji orang. Sebagai galakan.
  • Menyebut kesalahan orang lain sebagai sempadan supaya tidak diikuti. Terutama apabila mereka buat secara terbuka – semua orang dah nampak – seperti dalam kes hadis ini. Ini tidak termasuk dalam perbuatan mengumpat. Supaya orang tahu bahawa perbuatan itu tidak molek. Dan akibatnya besar kalau tidak diceritakan kepada orang lain – nanti mereka kata tidak mengapa pula buat macam itu kalau kita tak tegur. Kalau dia buat secara sembunyi, tak boleh kalau kita nak cerita kepada orang. Kena tahu bila boleh cakap dan bila kena simpan.
  • Adab dalam majlis untuk duduk di belakang kalau di hadapan dah penuh. Jangan melangkau orang atau menyusahkan orang lain yang telah duduk di hadapan. Oleh kerana mereka datang awal, maka hak mereka untuk duduk di hadapan.
  • Adab majlis untuk memenuhi bahagian hadapan yang masih kosong. Sahabat yang pertama nampak ada tempat kosong, maka dia penuhkan tempat itu.
  • Lebih elok guru menghabiskan kelas sebelum masuk pertanyaan. Nabi tunggu selepas ketiga-tiga orang itu sudah tiada.
  • Orang yang sampai dulu ke majlis ilmu, berhak memilih tempat duduk. Yang baik adalah paling berdekatan dengan guru.
  • Memenuhi ruang kosong dalam halaqah digalakkan seperti juga memenuhkan saf dalam solat.
  • Pujian Rasulullah kepada orang yang bersusah-payah untuk menghadiri majlis ilmu. Contohnya, dalam perjalanan untuk mendapatkan ilmu itu, macam-macam kesusahan untuk dihadapi. Susah itu akan mendapat bahagian pahala.
  • Membuat halaqah dalam majlis ilmu adalah Sunnah Nabi. Nabi suruh para sahabat duduk macam itu.
  • Nabi selalu menyampaikan ajarannya dalam masjid. Kalau hendak menyampaikan perkara yang penting, baginda akan bercakap dari atas mimbar. Ini menunjukkan kepentingan masjid.
  • Para sahabat adalah yang paling awal menimba ilmu dari Nabi. Kalau ada yang lain sikit dan nampak pelik perbuatan mereka, itu bukan jenis yang biasa. Kebanyakan sahabat telah dididik oleh Nabi. Mungkin mereka yang ditegur dalam hadis-hadis telah mengubah perangai mereka. Mereka didalam proses pembelajaran dari Nabi. Sahabat adalah istimewa. Yang mendidik mereka adalah Allah dan Nabi sendiri. Kalau mereka buat salah, ada yang Nabi tegur dan ada yang Allah sendiri tegur. Jangan kita kata tak molek kepada mereka. Mereka asalnya adalah orang orang yang jahil dan kasar tapi Nabi berjaya mendidik mereka. Barulah nampak kehebatan Nabi. Baginda boleh mendidik manusia yang jenis teruk menjadi manusia yang mulia. Kalau memang mereka dah orang jenis baik, tentulah tak nampak kehebatan Nabi.
  • Penyampaian Nabi tidak kaku dan sehala. Selalu ada interaksi antara baginda dan sahabat.
  • Keharusan menggunakan bahasa kiasan. Dalam keadaan tertentu, lebih baik menggunakan bahasa sedemikian. Lebih sopan.
  • Menurut golongan khalaf, penggunaan sifat yang ada juga untuk manusia, perlulah ditakwil mengikut prinsip Islam. Kena ikut kaedah bahasa Arab. Bukan senang-senang nak takwil. Tuhan tidak sama dengan makhluk. Golongan salaf walaupun tidak takwil, mereka menyerahkan maknanya kepada Allah. Sifat Allah itu tidak sama dengan makhluk. Tidak perlu berbalah bab ini.
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s