We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 81 Bab Mengangkat Suara Di Dalam Masjid August 5, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:04 am
Tags: , , ,

بَاب رَفْعِ الصَّوْتِ فِي الْمَسَاجِدِ

Bab 56 Mengangkat Suara Di Dalam Masjid

Sekarang kita masuk tentang cerita berkenaan adab dalam masjid. Ada perkara-perkara yang tidak boleh dibuat dalam masjid. Ada perkara yang tidak boleh dibuat sampai ke peringkat haram. Penting untuk tahu adab dalam masjid.
Imam Bukhari tak kata boleh atau tidak dalam tajuk yang diletaknya. Bermakna ada khilaf dalam perkara ini. Dan khilaf itu kuat juga. Sebab itu Imam Bukhari tidak meletakkan keputusannya dalam tajuk ini. Bermakna ada hujah dan dalil yang kuat juga antara pihak yang berlainan pendapat itu. Tapi kita boleh tahu pendapat Imam Bukhari dalam kitabnya berdasarkan hadis yang disampaikan oleh Imam Bukhari. Dia ada mazhabnya sendiri, tidak terikat dengan mana-mana mazhab. Kadang-kadang pendapat beliau nampak macam pendapat satu mazhab, tapi di tempat lain, sama dengan pendapat mazhab lain. Dan kadang-kadang pendapat beliau terkeluar dari pendapat mana-mana mazhab yang mahsyur. Dan banyak pihak terlibat dengan Imam Bukhari, mereka mengambil hadis dan pendapat beliau, walaupun mereka ada mazhab pun. Dia milik semua orang.

Ada yang melarang mengangkat suara dalam masjid. Mereka mengira perbuatan itu sebagai haram atau sekurang-kurangnya makruh. Kemudian, ada yang mengharuskan perbuatan mengangkat suara dalam masjid. Imam Bukhari bawa dua-dua dalil dalam dua hadis yang dibawanya dibawah.

Pesyarah Bukhari mengatakan tujuan Imam Bukhari membawa tajuk diatas adalah untuk menyatakan perincian tentang perbuatan mengangkat suara dalam masjid. Beliau hendak mengatakan jikalau ada faedah dalam agama dan dunia untuk mengangkat suara dalam masjid, ianya adalah harus. Kalau tiada faedah, maka ianya adalah perbuatan yang terlarang. Sebab itu Umar larang dua orang yang mengangkat suara dalam masjid. Ia tidak semestinya tentang agama, kerana pertengkaran Kaab itu pasal hal dunia. Tapi Nabi tak tegur tentang perbuatan beliau mengangkat suara itu.

Shah waliyullah kata ianya adalah satu perbuatan yang makruh.
Sindi kata ada dua kemungkinan. Pertama, sama macam atas – harus dilakukan jika ada faedah samada untuk hal agama, atau hal dunia. Kedua, mungkin terlarang sama sekali walaupun ada faedah atau tidak. Hujah beliau: sebab itu Nabi cepat-cepat meleraikan pertengkaran Kaab. Itulah menunjukkan bahawa perbuatan itu tidak baik. Walaupun Nabi tak cakap dengan terang. Begitu juga, dalam hadis di bawah, walaupun Umar ada suara yang kuat, dia tak As Sa’ib bin Yazid  dengan suara untuk menarik perhatian beliau. Kerana dia tidak mahu mengangkat suara dalam masjid. Dia baling dengan anak batu sahaja. Maknanya dia pun tak angkat suara. Nabi pun guna isyarat sahaja kepada Kaab apabila baginda mencadangkan Kaab untuk mengurangkan hutang beliau. Kalau kita terima pendapat begitu, bermakna pendapat Imam Bukhari mengatakan makruh untuk mengangkat suara dalam masjid. Ini adalah satu pendapat.

Tapi, kita kena tengok juga bab-bab yang telah dibincangkan dalam masa-masa yang lalu. Iaitu tentang boleh minta hutang dalam masjid, tentang boleh tahan tawanan dalam masjid, menawan orang berhutang dan sebagainya. Semua itu adalah perkara-perkara yang boleh menyebabkan riuh rendah masjid. Tentulah kalau orang kena tahan tanpa redha, dia akan buat bising suruh dia dilepaskan atau sebagainya. Tapi kita telah terima bahawa perkara itu dibenarkan. Kalau kita terima keputusan dalam bab-bab yang dulu itu, bermakna kita kena menerima kesan yang terjadi darinya – iaitu menerima bahawa boleh angkat suara dalam masjid. Dan dalam hadis kedua dalam tajuk ini, Nabi pun panggil Kaab dari jauh. Sebab baginda guna perkataan “ya Kaab” – perkataan itu digunakan jikalau memanggil seseorang dari jauh – kalau bercakap dengan dekat, tentulah pakai perkataan yang lain – bermakna, Nabi pun mengangkat suara dalam keadaan itu. Oleh itu, kita kena terima bahawa sebenarnya Imam Bukhari nak tunjuk ada khilaf dalam pendapat berkenaan mengangkat suara dalam masjid. Kalau dua-dua hadis yang dibawa oleh beliau itu sebagai dalil kata tak boleh, jadi mana khilafnya? Bayangkan kalaulah memang tak boleh mengangkat suara atau buat bising dalam masjid, tak bolehlah kita pakai speaker dalam dan luar masjid seperti yang banyak dibuat sekarang dalam negara kita dan negara-negara yang lain.

Ada beberapa dalil lagi yang boleh digunakan untuk mengatakan bahawa Nabi pun pernah lagi mengangkat suara dalam masjid. Nabi pun pernah khutbah dengan suara kuat seperti panglima dan sampai merah matanya. Kalau dah merah matanya ketika berucap itu, tentulah dengan suara yang kuat.
Kalau solat pun suara Nabi adalah kuat sampai boleh didengar hingga keluar masjid. Jadi, perbuatan menguatkan suara dalam solat itu pun adalah sunnah juga.
Azan pun tentulah dengan menggunakan suara yang kuat. Takkan Bilal nak panggil orang datang solat dengan menggunakan suara yang perlahan.
Nabi apabila mengajar pun kena menggunakan suara kuat sebab orang ramai. Yang datang menghadiri kuliah baginda ramai. Takkan Imam Bukhari tak tahu semua keadaan itu. Jadi, kita kena terima bahawa dia sebenarnya nak kata harus untuk mengangkat suara dalam masjid.

450 حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِاللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا الْجُعَيْدُ بْنُ عَبْدِالرَّحْمَنِ قَالَ حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ خُصَيْفَةَ عَنِ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ كُنْتُ قَائِمًا فِي الْمَسْجِدِ فَحَصَبَنِي رَجُلٌ فَنَظَرْتُ فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ فَقَالَ اذْهَبْ فَأْتِنِي بِهَذَيْنِ فَجِئْتُهُ بِهِمَا قَالَ مَنْ أَنْتُمَا أَوْ مِنْ أَيْنَ أَنْتُمَا قَالا مِنْ أَهْلِ الطَّائِفِ قَالَ لَوْ كُنْتُمَا مِنْ أَهْلِ الْبَلَدِ لاوْجَعْتُكُمَا تَرْفَعَانِ أَصْوَاتَكُمَا فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ *

450. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami Al Ju’aid bin ‘Abdurrahman berkata, telah menceritakan kepadaku Yazid bin Khushaifah dari As Sa’ib bin Yazid berkata, “Pernah suatu ketika aku berdiri di dalam masji,d tiba-tiba ada seseorang melempar aku dengan kerikil, dan ternyata setelah aku perhatikan orang itu adalah ‘ Umar bin Al Khaththab. Dia berkata, “Pergi dan bawalah dua orang itu kepadaku.” Maka aku datang dengan membawa dua orang yang dimaksud, Umar lalu bertanya, “Siapa kalian berdua?” Atau “Dari mana asalnya kalian berdua?” Keduanya menjawab, “Kami berasal dari Tha’if” ‘Umar bin Al Khaththab pun berkata, “Sekiranya kalian dari penduduk sini maka aku akan pukul kalian berdua! Sebab kalian telah meninggikan suara di Masjid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Dikatakan bahawa Saidina Umar sampai panggil dengan meleparkan batu sebab tak mahu mengangkat suara dalam masjid. Oleh itu, walaupun kepada mereka yang membenarkan mengangkat suara, kena jaga-jaga. Jangan bising sampai kecoh. Sebab masjid adalah tempat untuk bertenang.

Orang itu adalah orang jauh, bukan dari Madinah. Nama mereka tidak diberitahu dalam hadis ini. Mungkin perawi asal tahu nama mereka tetapi tidak diberitahu. Tidak penting nama mereka. Yang penting adalah pengajaran yang hendak disampaikan. Dan kalaulah nama mereka disebut, tentu tidak elok kerana nanti sampai ke kiamat nama mereka akan disebutkan dan dikaitkan dengan perkara tidak elok. Mungkin mereka dah bertaubat dah. Maka, selalunya kita boleh lihat bahawa kalau berkenaan dengan perkara tidak molek, nama mereka yang berkenaan tidak disebut. Begitulah beradabnya ulama-ulama dulu.

Umar telah mengatakan kalau mereka orang Madinah, dia akan memukul mereka kerana mengangkat suara dalam Masjid Nabi. Hadis ini menunjukkan bahawa boleh untuk memukul orang untuk mendisiplinkan mereka. Kenapa banyak kisah Umar memukul orang? Adakah dia ni buat lebih-lebih? Adakah Nabi benarkan perkara sebegini? Ini kena dijelaskan. Kena kita jaga kedudukan para sahabat. Bukan setakat jaga nama baik Nabi sahaja. Sebab kalau tak, nampak macam Nabi yang ajar macam itu – kalau perkara itu tidak elok. Nampak pula macam Nabi tak berjaya mendidik para sahabatnya – kalau dikatakan perbuatan mereka itu tidak molek. Maka apabila kita hendak menjaga nama baik Nabi, kita kena juga jaga nama baik para sahabat dari memburukkan mereka. Kerana mereka adalah anak murid hasil didikan Nabi. Kesan nama buruk mereka akan memburukkan nama Nabi.

Kenapa umar berani pukul? Adakah itu perbuatan yang benar? Ada yang kata hadis ini mauquf sahaja. Iaitu ianya berhenti setakat sahabat sahaja. Kerana dalam hadis ini, tidak ada kata-kata dari Nabi. Tapi ini adalah Mauquf fil hukmi marfu’. Memang ianya adalah perkataan dan perbuatan sahabat, tapi hukumnya adalah terangkat sampai ke Nabi. Kerana takkan sahabat buat hukum sendiri. Mereka tidak berani buat pandai-pandai sendiri. Maknanya, tentulah dia tahu bahawa itu perbuatan yang dibenarkan. Sahabat adalah adil. Mereka tidak melanggar Sunnah. Apatah lagi Umar adalah khalifah. Apa yang beliau buat adalah cara beliau untuk mendisiplinkan rakyatnya. Nabi juga pernah bersabda untuk mengikuti Sunnah khalifah al Mahdiyyin. Umar memang seorang yang agak kasar. Tapi bangsa mereka tak sama dengan kita. Bukan macam kita yang lembut sahaja. Baling dengan batu itu biasa sahaja bagi mereka. Cara hidup mereka memang kasar. Umar mengikut keadaan. Itulah cara untuk memperbetulkan mereka. Saidina Umar pun tidak pukul mereka berdua yang buat bising dalam masjid sebab mereka tidak tahu kerana mereka tidak tahu adab yang sepatutnya. Yang duduk di Madinah sepatutnya tahu bahawa tidak boleh buat bising dalam masjid. Kerana yang duduk di Madinah pernah tinggal bersama dengan Nabi dan orang-orang yang tahu sunnah dengan baik sekali.

Imam Bukhari terima hadis mauquf. Tapi ada ulama macam Imam Muslim tidak terima. Sampai ada 300 hadis mauquf yang Bukhari ambil tetapi tidak diterima Imam Muslim. Dalam hal ini, Muslim lebih ketat penerimaan hadis dari Bukhari. Tapi secara keseluruhan, Imam Bukhari lebih cermat lagi dari Muslim. Jadi, Imam Muslim hanya terima riwayat sebegini sebagai mauquf sahaja. Tapi Imam Bukhari terima sebagai mauquf fil hukmi marfu’. Bukanlah Imam Muslim tak terima langsung. Cuma beliau mengambilnya hanya sebagai ijtihad Umar sahaja. Bukan dari Nabi. Tapi kalau ijtihad dia pun, Sunnah khulafah ur rashidin juga. Kerana Nabi pernah mengatakan untuk menerima dari Khalifah rasyidin juga.

Pengajaran dari hadis ini:

  1. Mengangkat suara tanpa sebarang hajat adalah terlarang. Bukan khusus kepada Masjid Nabi sahaja. Tapi masjid-masjid lain juga.
  2. Membuat bising tanpa semena-mena adalah perbuatan melanggar adab dalam masjid. Elok keluar kalau tak boleh tahan untuk mengangkat suara. Ini mengajar kita untuk mengawal diri. Jadikan kebiasaan mengawal diri walaupun di luar masjid.
  3. Melontar anak batu atau benda lain yang nampak agak kasar untuk menarik perhatian adalah dibenarkan. Sahabat selalu buat begini. Ibn Umar pun pernah buat. Antaranya beliau nampak ada orang baring selepas solat sunat subuh. Konon nak tiru Nabi. Tapi dengan cara yang tak kena. Nabi baring selepas solat sunat subuh sebab baginda solat malam. Jadi, baginda hendak mengambil tenaga yang baru.
  4. Islam tidak terikat dengan satu adat sahaja. Boleh ikut mana yang sesuai dan adat itu boleh berubah dari tempat ke tempat dan dari zaman ke zaman. Tidaklah kita terikat untuk baling batu pula bila nak panggil orang. Jangan sebab kita belajar Umar ada buat, kita senang-senang nak buat kat tempat kita pula. Kena tengok adat setempat. Itu bukan jenis Sunnah sahabat yang nak kena ikut.
  5. Seseorang pemimpin boleh mengambil tindakan disiplin kepada pengikutnya yang buat kesalahan.
  6. Kena siasat dahulu apakah sebabnya mereka melakukan sedemikian. Umar tanya dulu mereka dari mana. Bukan terus sebat mereka.
  7. Ada tindakan disiplin tidak diambil kepada mereka yang tidak tahu. Atas budi bicara pemimpin. Boleh beri ruang lagi. Jangan ketat sangat tanpa tolak ansur.
  8. Hukuman perlu dijalankan untuk mendisiplin masyarakat.
  9. Hadis ini sebagai dalil bagi mereka yang berpegang tidak boleh angkat suara didalam masjid.

451 حَدَّثَنَا أَحْمَدُ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ وَهْبٍ قَالَ أَخْبَرَنِي يُونُسُ بْنُ يَزِيدَ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ حَدَّثَنِي عَبْدُاللَّهِ بْنُ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِي حَدْرَدٍ دَيْنًا لَهُ عَلَيْهِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي بَيْتِهِ فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ وَنَادَى كَعْبَ بْنَ مَالِكٍ قَالَ يَا كَعْبُ قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَشَارَ بِيَدِهِ أَنْ ضَعِ الشَّطْرَ مِنْ دَيْنِكَ قَالَ كَعْبٌ قَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُمْ فَاقْضِهِ

451. Telah menceritakan kepada kami Ahmad berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb berkata, telah mengabarkan kepadaku Yunus bin Yazid dari Ibnu Syihab telah menceritakan kepadaku ‘Abdullah bin Ka’b bin Malik bahwa Ka’b bin Malik mengabarkan kepadanya, bahwa ia pernah menagih hutang dari Ibnu Abu Hadrad pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam masjid hingga suara keduanya meninggi sehingga didengar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang berada di rumah. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menemui keduanya sambil menyingkap tabir rumahnya. Beliau memanggil Ka’b bin Malik: “Wahai Ka’b!” Ka’b bin Malik menjawab, “Ya saya, Wahai Rasulullah.” Baginda memberi isyarat dengan tangannya agar ia mengurangkan separuh dari hutangnya. Ka’b bin Malik berkata, “Baiklah, Wahai Rasulullah.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian bersabda kepada Ibnu Abu Hadrad: “Kalau begitu, bangun dan bayarlah.”

Hadis ini telah dibincangkan dengan panjang lebar sebelum ini. Boleh rujuk disitu.
Hadis ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang mengatakan bahawa jikalau ada keperluan, bolehlah angkat suara dalam masjid.

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s