We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 73 Bab Memasang Khemah Di Dalam Masjid Untuk Orang-Orang Yang Sakit Dan Selain Daripada Mereka. July 17, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 12:24 am
Tags: , , , , ,

بَاب الاسِيرِ أَوِ الْغَرِيمِ يُرْبَطُ فِي الْمَسْجِدِ

Bab 50 Memasang Khemah Di Dalam Masjid Untuk Orang-Orang Yang Sakit Dan Selain Daripada Mereka.

Imam Bukhari hendak memberitahu bahawa boleh pasang khemah dalam masjid. Walaupun kepada orang sakit yang keadaan mereka boleh jadi macam-macam. Contohnya, mereka boleh tumpah darah, muntah dan sebagainya. Tentulah itu adalah benda-benda yang mengotorkan. Tapi dalam keadaan begitu pun Nabi benarkan. Apabila Nabi melakukan sesuatu, baginda telah membuat perkiraan tentang baik buruknya perkara itu. Jadi, hukumnya adalah harus bila perlu. Untuk maksud lain pun boleh juga. Contohnya, untuk orang beriktikaf pun boleh mendirikan khemah juga dalam masjid.
Ada satu persoalan yang timbul apabila dibenarkan orang yang sakit untuk berada di masjid. Darah manusia bagaimana? Kalau mereka sakit teruk, ianya mendedahkan masjid kepada tumpahan darah. Kita kena ingat bahawa Nabi yang suruh letakkan Saad di dalam masjid seperti yang ternukil dalam hadis di bawah. Walaupun Saad waktu itu luka parah. Ini akan ada masalah kepada mereka yang mengatakan bahawa darah itu najis. Seperti mazhab Syafie. Kerana kalau darah itu najis, maka membenarkan mereka berada dalam masjid akan mendedahkan masjid kepada najis. Tapi bagi Imam Bukhari darah manusia bukan najis. Jadi, tidak ada masalah untuk orang cedera berada dalam masjid. Darah tidak najis pada pandangan Imam Bukhari kecuali darah yang keluar dari kemaluan iaitu haid dan nifas. Disini juga kita boleh lihat bahawa Imam Bukhari nak bawa hukum juga darah. Dalam beliau menceritakan tentang hukum memasang khemah dalam masjid, boleh juga digunakan hadis ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa darah itu bukan najis. Tentang darah bukan najis ini kita telah bincangkan dalam tajuk yang lain.

Bagaimana pula kalau dengan kencing berak? Ianya tidak najis kalau keluar cara tak biasa. Kalau sakit, dah tak biasa dah. Benda itu keluar sebab tak sihat. Memang ianya adalah najis tapi tidak wajib dihilangkan serta merta.

Ada pendapat yang kata Nabi benarkan Saad ditempatkan dalam masjid sebab Nabi tahu yang lukanya dah bertaut. Ada pula kata ini bukan masjid Nabi atau bukan masjid yang maklum. Hanya tempat solat sementara yang digunakan semasa mengepung Bani Quraizah bangsa Yahudi. Ini kerana semasa mereka mengepung Bani Quraizah itu selama 25 hari. Dan kedudukannya adalah 6 batu dari masjid Nabi. Hanya gunakan perkataan ‘masjid’ dalam hadis ini kerana digunakan sebagai tempat solat tapi bukanlah masjid yang biasa. Tapi pada Imam Bukhari ini memang Masjid Nabi. Dia tak isyarat ini masjid lain. Jadi, dua pendapat ini adalah lemah kepada Imam Bukhari.

Kenapakah Saad ditempatkan dalam masjid? Ini adalah kerana salah satu keinginan orang yang sakit adalah dia suka untuk berada bersama orang yang disayangi. Maka tidaklah ada yang lebih disayangi oleh Saad selain dari Nabi. Ceritanya, mula selepas dia dipanah semasa perang Khandak atau dinamakan juga sebagai Perang Ahzab, dia telah dibawa ke rumahnya. Tapi lepas itu Nabi suruh bawa ke masjid untuk senang dia dilawati oleh baginda. Sebab rumah Nabi bersebelahan dengan masjid. Sebulan lebih dia duduk disitu. Selepas Perang tamat, Nabi dan para sahabat telah pulang ke rumah kerana mereka sangka memang perang dah tamat. Tapi Jibrail datang dalam pakaian perang lagi dan kata perang tidak tamat kerana Bani Quraizah terlibat sebagai musuh dalam lipatan dalam perang itu. Mereka telah berpihak kepada musuh padahal mereka telah ada perjanjian dengan Nabi untuk membantu Nabi jikalau diserang. Tapi mereka pula yang membantu pihak musuh. Maka mereka kena serang dengan segera. Nabi terus memberitahu bahawa semua kena pergi ke sana. Sampaikan Nabi kata jangan solat asar kecuali di tempat Bani Quraizah. Kaum Islam telah kepung mereka selama 25 hari. Mereka tidak boleh keluar ke mana-mana dan mereka terkepung. Akhirnya mereka hendak menyerah. Dengan syarat mereka akan menerima keputusan Saad, bukan Nabi. Mereka akan ikut apakah keputusan Saad. Kerana Saad ketua sekutu dari Aus yang bersahabatan dengan mereka. Saad adalah ketua Bani Aus. Meraka sangka mereka akan selamat kalau keputusan di tangan Saad. Kerana tentulah mereka sangka Saad akan berpihak kepada mereka dan memberikan keputusan yang ringan kepada mereka. Maka kerana itu Nabi telah menurut dan memerintahkan supaya dibawa Saad yang sedang berada di Masjid Nabi ke tempat Bani Quraizah itu. Tapi, rupa-rupanya, jawapan dari Saad adalah hukum yang berat. Hukum bunuh kepada yang terlibat kecuali perempuan, orang tua dan kanak-kanak. Seramai 400 orang bangsa Yahudi Bani Quraizah kena bunuh. Memang itu hukumnya dan memang itulah hukum yang terdapat dalam Kitab Taurat pun. Ini adalah kerana mereka telah menentang pemerintah.

Memang ketika Saad diletakkan di Masjid Nabi, berdekatan dengan baginda. Selepas peristiwa Bani Quraizah, dia dibawa pulang balik ke Masjid Nabi. Maknanya, dia dibawa dari Masjid Nabi dan dibawa kembali ke Masjid Nabi. Sekejap sahaja dia berada di kawasan Bani Quraizah itu. Jadi tidak boleh dikatakan dia mati di sana. Dan sebenarnya dia meninggal di dalam Masjid Nabi. Maka Imam Bukhari tidak bersetuju sesetengah sejarahwan yang mengatakan Saad meninggal di khemah berdekatan dengan penempatan Bani Quraizah. Jadi, tajuk ini juga adalah sebagai satu kritik Imam Bukhari kepada para sejarawan yang tersilap dalam pendapat mereka.

Selain dari khemah Saad yang sakit, ada juga khemah-khemah orang lain yang merawat beliau. Terdiri dari orang perempuan. Seperti juga jururawat zaman sekarang. Menunjukkan juga bahawa orang perempuan boleh menyentuh lelaki jikalau perlu. Bermakna di zaman Nabi, perkhidmatan orang perempuan digunakan secara aktif dalam masyarakat. Cuma zaman sekarang sahaja yang berubah. Ada yang langsung meletakkan perempuan di rumah sahaja tanpa berkhidmat kepada masyarakat. Itu bukan kerana Islam yang suruh tapi pandangan masyarakat sahaja. Zaman Nabi ada kumpulan perempuan yang menguruskan pesakit. Ini dibolehkan dalam keadaan terkawal. Itulah dia khemah-khemah yang diduduki oleh Bani Ghifar itu.

 

443 حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ نُمَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامٌ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أُصِيبَ سَعْدٌ يَوْمَ الْخَنْدَقِ فِي الاكْحَلِ فَضَرَبَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْمَةً فِي الْمَسْجِدِ لِيَعُودَهُ مِنْ قَرِيبٍ فَلَمْ يَرُعْهُمْ وَفِي الْمَسْجِدِ خَيْمَةٌ مِنْ بَنِي غِفَارٍ إِلا الدَّمُ يَسِيلُ إِلَيْهِمْ فَقَالُوا يَا أَهْلَ الْخَيْمَةِ مَا هَذَا الَّذِي يَأْتِينَا مِنْ قِبَلِكُمْ فَإِذَا سَعْدٌ يَغْذُو جُرْحُهُ دَمًا فَمَاتَ فِيهَا

443. Telah menceritakan kepada kami Zakaria bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Numair berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam dari Bapaknya dari ‘Aisyah berkata, “Pada hari peperangan Khandaq, Sa’d terkena panah pada bahagian tengah lengannya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun mendirikan khemah dalam masjid supaya baginda dapat menziarahi Sa’d dari dekat, sementara di Masjid pada ketika itu banyak juga khemah milik Bani Ghifar. Tiada sesuatu yang mengejutkan orang-orang yang berada dalam khemah Bani Ghifar selain darah yang mengalir ke arah mereka. Maka mereka pun bertanya, ‘Wahai orang yang berada di khemah sana! apa (darah) yang sampai kepada kami ini dari arah kamu itu? Rupa-rupanya luka Sa’d yang mengalirkan darah. Kerana luka itulah dia meninggal.”

Semasa Perang Khandaq, musuh hanya boleh gunakan panah sahaja. Kerana mereka tidak boleh masuk ke dalam Madinah kerana di sekeliling Madinah telah dikorek parit. Ini adalah cadangan yang diterima dari Salman al Farisi. Semasa itulah, Saad telah kena panah.
Siapakah Saad? Mak Saad masuk Islam sebelum Hijrah lagi. Dia ketua salah satu bani dalam Kaum Aus. Dia telah menyertai dalam Badr dan Uhud. Khandaq terjadi Syawal 4H. Selepas cedera kena panah itu, dia hidup selama 2 bulan. Meninggal umur 37 tahun. Beliau telah ditanam di Perkuburan Baqi’. Sabda Nabi Arash bergoyang gembira dengan datangnya roh Saad. Nabi kata dia ahli syurga. Tak sama cara mati manusia rupanya. Begitu mulianya Saad di sisi Allah. Seramai 70 malaikat turun ke bumi kerana kematian Saad.

Orang-orang dari khemah Bani Ghifar terkejut kerana darah urat Saad pecah. Kerana luka itulah dia mati. Mati dalam khemah itu.

Tahanan Bani Quraizah telah dibawa ke Madinah dimana mereka telah dikenakan hukuman.

Ada 5 tempat hadis ini disebut. Ada tempat yang hadisnya lebih lengkap.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Keharusan tinggal dalam masjid kerana keperluan.
  2. Perawat boleh pindahkan orang sakit untuk menggembirakan hati mereka.
  3. Orang sakit boleh dirawat dalam masjid. Walaupun orang sakit itu boleh menumpahkan darah. Jadi yang pakai boleh derma darah dalam masjid itu tidak pegang pendapat Imam Syafie. Kerana Imam Syafie memandang darah sebagai najis. Tapi seperti yang telah kita belajar sebelum ini, darah bukanlah najis pada pandangan Imam Bukhari.
  4. Keharusan memasang khemah atas keperluan yang sesuai.
  5. Nabi sangat mengambil berat tentang sahabat. Pemimpin macam itulah yang disayangi masyarakat. Jadi, para pemimpin kena ambil perbuatan Nabi ini sebagai contoh.
  6. Bangsa Arab waktu itu sudah bertamadun. Meraka ada nama bahagian tubuh badan. Ada nama khas yang diberikan kepada tempat Saad kena panah itu. Janganlah kita ingat yang bangsa Arab waktu itu terkebelakang.
  7. Bani Ghifar telah menjadi sukarelawan untuk merawat mereka yang sakit dalam peperangan. Begitu mulianya mereka yang telah berkhidmat untuk golongan lain.
  8. Orang yang menetap agak lama dalam masjid elok ada penutup seperti khemah. Ini adalah kerana boleh menutup pendangan orang. Sebab kalau tidur, tentulah ada bahagian tubuh badan yang terdedah. Contohnya iktiraf.
  9. Tempatkan khemah itu di bahagian belakang masjid. Kerana tempat itu kosong sikit kerana orang beribadat tentunya akan pergi ke bahagidan depan dahulu.

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s