We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 63 & 64 Bab Menyebutkan Tentang Jualbeli Di Atas Mimbar Di Dalam Masjid June 29, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 7:29 am
Tags: , ,

بَاب ذِكْرِ الْبَيْعِ وَالشِّرَاءِ عَلَى الْمِنْبَرِ فِي الْمَسْجِدِ

Bab 43 Menyebutkan Tentang Jualbeli Di Atas Mimbar Di Dalam Masjid

Imam Bukhari membawakan tajuk ini untuk mengatakan bahawa ada ketika boleh dilakukan jualbeli dalam masjid.
Hadis ini disebut sebanyak 25 kali dalam kitab ini untuk tajuk-tajuk yang berbeza. Dalam tajuk ini ia menceritakan tentang jual beli seorang hamba bernama Barirah.

Ada ulama yang mengatakan ia hanya menyebut tentang hukum jual beli. Bukan jual beli.

Shah Waliyullah pula berkata boleh aqad dalam masjid, cuma barang tidak boleh ada dalam masjid. Tapi syeikh Zakaria tak setuju dengan pendapat itu.

Para ulama sebenarnya berbeza pendapat tentang hukum berjual beli dalam masjid. Imam Ahmad memegang haram secara mutlak. Imam Hanifah kata kalau aqad sahaja, boleh, dan kalau bawa barang sekali, makruh. Imam Bukhari mengatakan bahawa ianya sah. Sekian banyak hadis yang mengatakan tidak boleh berjual beli itu adalah hanya tunjuk ianya makruh sahaja. Sebab hadis-hadis  itu pada beliau adalah dhaif. Paling tinggi pun peringkat hassan. Ianya tidak menepati syaratnya. Sebab pada beliau, kena pakai yang sahih sahaja. Tapi malangnya, kita selalu pakai yang dhaif.

Jumhur ulama kata boleh berniaga dalam masjid pada dasarnya. Macam contohnya, boleh untuk kita berjual beli kitab dalam masjid. Tambahan pula kalau kitab itu untuk digunakan dalam pembelajaran dalam masjid. Tidaklah perlu nak jual kitab itu, kena turun ke luar masjid pula. Tapi kebenaran itu, bukanlah sampai ada yang buka gerai. Sampai mengganggu orang sembahyang pula. Jangan sampai masjid jadi macam pasar. Hukum boleh berubah ikut keadaan. Dalam keadaan tertentu, boleh dan dalam keadaan yang lain, ia boleh jatuh haram. Itu adalah antara kaedah hukum dalam Islam. Itulah keperluan kena ada orang yang tahu hal agama. Yang boleh memberi pendapat.

436 حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِاللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ يَحْيَى عَنْ عَمْرَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أَتَتْهَا بَرِيرَةُ تَسْأَلُهَا فِي كِتَابَتِهَا فَقَالَتْ إِنْ شِئْتِ أَعْطَيْتُ أَهْلَكِ وَيَكُونُ الْوَلاءُ لِي وَقَالَ أَهْلُهَا إِنْ شِئْتِ أَعْطَيْتِهَا مَا بَقِيَ وَقَالَ سُفْيَانُ مَرَّةً إِنْ شِئْتِ أَعْتَقْتِهَا وَيَكُونُ الْوَلاءُ لَنَا فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَّرَتْهُ ذَلِكَ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ابْتَاعِيهَا فَأَعْتِقِيهَا فَإِنَّ الْوَلاءَ لِمَنْ أَعْتَقَ ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَقَالَ سُفْيَانُ مَرَّةً فَصَعِدَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَشْتَرِطُونَ شُرُوطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ مَنِ اشْتَرَطَ شَرْطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَلَيْسَ لَهُ وَإِنِ اشْتَرَطَ مِائَةَ مَرَّةٍ قَالَ عَلِيٌّ قَالَ يَحْيَى وَعَبْدُالْوَهَّابِ عَنْ يَحْيَى عَنْ عَمْرَةَ نَحْوَهُ وَقَالَ جَعْفَرُ بْنُ عَوْنٍ عَنْ يَحْيَى قَالَ سَمِعْتُ عَمْرَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ عَائِشَةَ وَرَوَاهُ مَالِكٌ عَنْ يَحْيَى عَنْ عَمْرَةَ أَنَّ بَرِيرَةَ وَلَمْ يَذْكُرْ صَعِدَ الْمِنْبَرَ

436. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan dari Yahya dari ‘Amrah dari ‘Aisyah berkata, “Barirah telah pergi meminta tolong kepadanya untuk menyelesaikan kitabahnya.” ‘Aisyah lalu berkata, “Kalau kamu mahu, boleh aku berikan kepada tuan emasmu (wang untuk kemerdekaanmu) dengan syarat walaknya akan menjadi milikku.” Tuan Barirah pula berkata, “Kalau engkau mahu, engkau boleh berikan kepadanya jumlah wang yang belum dibayar.” Pada ketika yang lain, Sufyan pernah berkata, “Kalau kamu mahu, boleh engkau merdekakannya tetapi dengan syarat walaknya akan menjadi milik kami.” Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang, aku menceritakan hal itu kepada beliau. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Belilah Barirah dan merdekakanlah dia kerana walak itu bagi orang yang memerdekakan.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri atas mimbar. Pada ketika yang lain, Sufyan berkata: “Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam naik mimbar lalu bersabda: “Kenapa ada orang-orang yang meletakkan syarat-syarat yang tidak ada pada Kitabullah. Barangsiapa membuat syarat yang tidak ada pada Kitabullah, dia tidak berhak mendapatnya sekalipun dia meletakkan seratus syarat.” ‘Ali (Ibn al Madini) berkata, Yahya berkata dan ‘Abdul Wahhab dari Yahya dari ‘Amrah sama seperti hadits ini.” Dan Ja’far bin ‘Aun berkata, dari Yahya ia berkata, aku mendengar ‘Amrah berkata, aku mendengar ‘Aisyah. Dan Malik meriwayatkan dari Yahya dari ‘Amrah bahwa Barirah….namun ia (Malik) tidak menyebut bahwa (Rasulullah) naik ke atas mimbar.”

Barirah adalah seorang hamba perempuan yang berbangsa Qibti. Menunjukkan pada zaman Nabi pun sudah ada bermacam jenis bangsa yang masuk Islam. Sebelum dia dibebaskan oleh Aisyah, dia telah dimiliki oleh beberapa tuan dari golongan Ansar. Begitulah zaman dahulu, seorang hamba boleh bertukar-tukar dari seorang tuan ke seorang tuan. Alhamdulillah kita tidak hidup pada zaman macam itu. Dia telah berkahwin sebelum dia dibebaskan. Menunjukkan seorang hamba boleh berkahwin. Samada dengan seorang hamba lain atau seorang yang bebas pun boleh.

25 kali Imam Bukhari membawakan hadis ini. Dalam tajuk ini, ia adalah hadis yang pendek. Dalam tempat dikatakan bahawa Nabi memberi peluang kepadanya samada dia hendak terus kahwin atau bebas. Dia pilih untuk bebas dari suaminya. Bermakna apabila sudah bebas dari perhambaan, boleh ada pilihan untuk bebaskan diri dari suami yang dia kahwini semasa hamba. Suaminya sedih sangat. Bermakna Islam memberi peluang kepada perempuan untuk memilih. Perempuan ada hak untuk memilih. Ada keadaan dimana isteri sepatutnya dibenarkan meninggalkan suaminya. Islam tidak menyeksa kehidupan. Islam memberi jalan keluar. Kena tahu apakah hak-hak yang ada.

Barirah telah meminta pertolongan Aisyah untuk menyelesaikan kitabahnya. Apakah maknanya? Pada zaman ada perhambaan, banyak jenis hamba. Ada hamba yang tuannya cakap kalau dia mati, hamba itu akan bebas. Ada pula hamba yang separuh bebas. Bermakna kalau dia boleh bekerja dan dapat gaji, separuh dari pendapatan itu, dia boleh simpan. Kalau hamba yang penuh, semua pendapatan dari hasil kerjanya, dia kena beri kepada tuannya.
Ada hamba yang jenis Mukatab, seperti Barirah ini. Ini adalah jenis hamba yang tuannya telah tetapkan, kalau dia boleh bayar sekian jumlah wang, dia boleh bebas. Boleh bayar secara ansuran dalam waktu tertentu. Semuanya ini atas persetujuan. Inilah jenis perhambaan yang dipanggil secara ‘kitabah’. Ada disebut dalam Quran dan hadis. Ada kala maksud kitabah itu bermakna ‘wajib’, tapi dalam tajuk ini, ia bermakna jenis perhambaan. Jenis perhambaan seperti ini sudah ada dari zaman jahiliah. Islam terima konsep itu dan perbaiki. Islam tidaklah mengubah semua amalan jahiliah. Ada kalanya Islam menerima dan mengubah cara amalan itu supaya adil.

Kita kena tahu bahawa jiwa seorang hamba tidak merdeka. Perasaan dan jiwa mereka lain dari orang yang merdeka. Macam kita juga, kalau rasa, kalau sesuatu itu datang dari barat, kita rasa lebih. Itulah ada sikit lagi jiwa ‘hamba’ ada dalam diri kita. Kita rasa kalau janggut banyak kita rasa tak elok sebab minda kita telah dijajah sedemikian lama. Payah nak tinggalkan jiwa hamba itu. Seperti juga kisah apabila Nabi Musa bawa anak buahnya mencari Palestin, masih kuat lagi perasaan hamba mereka. Ambil masa 40 tahun nak tinggalkan peninggalan hamba yang ada dalam diri mereka. Mereka rasa apa yang mereka dapat apabila bersama Nabi itu tidak baik. Hanya apabila Nabi Musa tidak ada, barulah mereka bebas dan boleh mencari tempat yang mereka tuju. Nak cerita bahawa seorang guru mungkin tidak dapat melihat kejayaan usaha kerjanya. Dari sini juga kita tahu bahawa antara perjuangan Nabi adalah membebaskan negara rakyatnya.

Ada sebab kenapa tidak dibebaskan terus hamba itu. Kerana kalau nak bebas pun macam-macam kena tengok. Boleh kah hamba itu berdikari. Oleh kerana mereka sudah lama dalam perhambaan, kadang-kadang apabila dibebaskan mereka, mereka tidak dapat mencari kehidupan. Oleh itu, kadang-kadang hamba itu diberi peluang untuk berkerja sedikit-sedikit untuk mencari rezeki. Apabila telah nampak bahawa dia boleh berdikari sendiri, barulah boleh dibebaskan. Antara kelebihan dalam hamba secara kitabah itu, tuannya boleh melihat bahawa hamba itu sudah boleh mencari duit sendiri.

Walak adalah hak kepada seseorang. Kalau orang itu mati, hartanya akan jadi haknya. Dan kalau tuan itu telah melakukan kesalahan, antara orang yang kena tolong untuk melangsaikan diyat adalah orang yang dipunyai walaknya. Kerana itulah tuan Barirah hendak mengekalkan walaknya dengan dirinya, kerana walak itu ada kelebihan didalamnya.

Dalam Islam, orang yang memerdekakan lah yang berhak mendapat walak. Walak itu sudah ada konsepnya dalam jahiliyah tapi waktu itu, walak hanya kepada tuan asal. Islam datang dengan menukarnya. Kerana kalau seseorang yang membeli dan membebaskan hamba, tentulah yang berhak kepada walak itu adalah orang yang membebaskan hamba itu. Kita boleh lihat bahawa Islam menggalakkan bebas hamba. Banyak pahala diberikan kepada mereka yang membebaskan hamba. Pembayaran itu samada bayar penuh atau sambung bayar. Mungkin masa yang diberikan dalam 5 tahun. Dalam kes Barirah, dia sudah rasa dia tak mampu dia nak bayar dalam masa lima tahun. Sebab itu dia minta tolong kepada Aisyah. Yang baginda bantah sebab tuan itu hendak memegang walak. Syarat itu salah.

Nabi naik mimbar dan berkata bahawa kalau ada syarat yang diletakkan yang berlawanan dengan ‘kitabullah’, ianya tidak dikira. Ini menunjukkan bahawa meletakkan syarat boleh, tapi tidaklah yang berlawanan dengan ketentuan Allah. Tapi kalau kita lihat, tiada kisah walak diletakkan dalam Quran. Jadi, apakah maksud ‘kitabullah’ dalam hadis ini? Ulama membahaskan perkara ini. Ulama mengatakan, kalau dalam hadis disebut ‘kitabullah’, secara umumnya, ia merujuk kepada Quran. Kalau tidak ada dalam Quran, ia merujuk kepada hadis Nabi. Ia juga boleh merujuk kepada kitab-kitab sebelum Quran. Kerana ia juga adalah kitab Allah juga sebenarnya.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Memerdekakan hamba kitabah ada dalam syariat Islam.
  2. Elok meminta pertolongan bila tak mampu.
  3. Keelokan membantu untuk membebaskan hamba. Ini digalakkan dalam Islam. Sampai boleh digunakan duit zakat untuk membebaskan mereka.
  4. Harus bermuamalah tanpa pengetahuan suami. Aisyah tak tanya Nabi dulu pun dia berurus niaga dengan tuan Barirah itu.
  5. Harus untuk menyambung ansuran yang tertunggak. Macam zaman sekarang, boleh untuk kita beli kereta contohnya, dengan kita sambung sahaja ansuran yang tertunggak.
  6. Hak walak adalah kepada orang yang membebaskan hamba itu.
  7. Orang alim hendaklah memberitahu hukum kepada masyarakat.
  8. Masyarakat kena ambil tahu hal hukum. Sedihnya hukum negara kita bukan hukum Islam. Kita pakai undang-undang kafir. Begitulah tanda lemahnya Islam di negara kita.
  9. Untuk mengatakan sesuatu hukum yang penting, Nabi akan cakap dari mimbar. Maknanya, mimbar itu bukan hanya digunakan untuk khutbah Jumaat sahaja. Maka sekarang pun boleh juga kalau nak buat.
  10. Nabi tegur secara umum. Jaga air muka orang. Walaupun Nabi tahu siapakah tuan Barirah itu, tapi Nabi tak sebut nama dia.
  11. Syarat yang tidak kena syariat adalah terbatal. Walaupun letak banyak syarat atau dengan bersumpah.
  12. Kalau syarat yang tidak bercanggah dengan syarak, hukumnya sah. Dan seorang Islam terikat dengan syaratnya. Dan Nabi memang amat menjaga syarat-syarat yang telah ditetapkan. Contohnya, Nabi memegang syarat-syarat yang diletakkan dalam perjanjian Hudaybiyah. Ada yang datang nak masuk Islam Nabi hantar balik. Syarat yang sah wajib dipenuhi.
  13. Menyatakan sesuatu hukum apabila keadaan itu berlaku.
  14. Kena ikut hukum Allah apabila sudah ada hukum itu. Tidak boleh pakai hukum manusia.
  15. Boleh bayar awal kalau dah mampu. Barirah ada masa lama lagi nak bayar.
  16. Keharusan memfasakhkan akad dan buat akad yang lain. Dalam hadis ini, mulanya akad kitabah tapi lepas itu ditukar kepada akad jual beli.
  17. Keharusan berakad jual beli dengan meletakkan syarat.
  18. Perkataan kitaballah kadang kala dipakai dalam hadis untuk membawa maksud ‘ketetapan Allah’. Bukan hanya bermaksud kitab Quran sahaja.
  19. Kemurahan dan kekayaan Aisyah. Bukan sentiasa mereka miskin. Kalau tidak, bagaimana dia boleh bebaskan ramai hamba. Bukan Barirah sahaja yang dia bebaskan, banyak lagi.
  20. Nabi benarkan isterinya untuk berurusan sendiri.
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s