We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 55 & 56 Bab Berkerjasama Dalam Pembinaan Masjid.. June 17, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 5:50 pm

بَاب التَّعَاوُنِ فِي بِنَاءِ الْمَسْجِدِ ( مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ (

Bab 36 Berkerjasama Dalam Pembinaan Masjid Dan Firman Allah Azza Wa Jalla: “Tidaklah Layak Orang-Orang Kafir Musyrik Itu Memakmurkan (Menghidupkan) Masjid-Masjid Allah, Sedang Mereka Menjadi Saksi (Mengakui) Akan Kekufuran Diri Mereka Sendiri. Mereka Itu Ialah Orang-Orang Yang Rosak Binasa Amal-Amalnya Dan Mereka Pula Kekal Di Dalam Neraka. Hanyasanya Yang Layak Memakmurkan (Menghidupkan) Masjid-Masjid Allah Itu Ialah Orang-Orang Yang Beriman Kepada Allah Dan Hari Akhirat Serta Mendirikan Sembahyang Dan Menunaikan Zakat Dan Tidak Takut Melainkan Kepada Allah, (Dengan Adanya Sifat-Sifat Yang Tersebut) Maka Adalah Diharapkan Mereka Menjadi Dari Golongan Yang Mendapat Petunjuk.[1] ” [1] At-Taubah : 17-18

Imam Bukhari sekarang membawakan tajuk tentang berpakat untuk membina masjid. Masing-masing boleh menyumbangkan tenaga tau wang ringgit dalam pembinaan masjid. Bukan seorang nak buat semua. Kena berpakat dalam usaha muliau untuk membina masjid. Sebelum ini telah diceritakan tentang kepentingan masjid dalam Islam. Sekarang ini diceritakan tentang pembinaannya pula. Sebelum ini kita telah tahu tentang tingginya pahala kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan masjid. Tapi daripada ayat yang dinukilkan oleh Imam Bukhari dalam tajuknya ini, kita boleh tahu bahawa walaupun ada orang yang terlibat dalam pembinaan masjid, tapi kalau mereka tidak beriman, mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan dari akhirat. Syarat untuk mendapat pahala dari usaha murni ini, seseorang itu mestilah seorang Islam.

Berapa juzukkah tajuk Imam Bukhari kali ini? Ramai yang berpendapat ianya satu juzuk sahaja. Iaitu Berkerjasama Dalam Pembinaan Masjid. Tapi ada juga yang mengatakan lebih dari itu. Ada yang mengatakan ada tiga tujuan Imam Bukhari membuat tajuk ini:

1. Dia hendak menceritakan bahawa bekerjasama membina masjid banyak pahala. Siapa yang lagi banyak usahanya akan dapat lagi banyak pahala. Macam masjid Nabi, ada yang buat sikit dan ada yang buat banyak. Nabi pun membantu juga dalam pembinaan masjid itu. Bukanlah Nabi duduk sahaja melihat sahabat-sahabat baginda buat kerja.
2. Menghilangkan kekeliruan yang mungkin timbul dari kisah Nabi tidak mahu menerima tanah secara percuma dari tuan tanah. Ini kita telah belajar dalam hadis yang ke-21. Iaitu apabila Bani Najjar telah menawarkan tanah yang hendak dijadikan sebagai masjid itu dengan percuma. Sekali lihat pada kisah itu, nampak macam Nabi tidak mahu melibatkan kerjasama dari mereka walaupun mereka telah menawarkan tanah itu. Islam mahukan kerjasama tapi tidak dengan cara mengambil hak orang tanpa cara yang benar. Kerana pada tanah itu, ada hak anak yatim. Nabi hanya mahu menerima tanah itu dengan dibeli. Bermakna, ada sebab lain kenapa Nabi tidak mahu terima tanah itu secara percuma. Pemberian mestilah dari orang yang sedar dan memberi dengan rela hati. Sebab mereka masih kecil, mungkin mereka tidak sedar kepentingan tanah dan kalau pun mereka memberi dengan percuma, mungkin hanya ikut sahaja ajakan orang lain. Maka janganlah kita mengambil harta orang lain walaupun ianya bertujuan untuk kebaikan. Yang punya hak mestilah memberi dengan rela hati.
3. Orang Islam akan mendapat manfaat dengan pembinaan masjid. Oleh itu hendaklah bekerjasama dalam pembinaannya. Mereka yang terlibat akan mendapat pahala yang berterusan – selagi masjid itu digunakan. Ini adalah termasuk dalam perkara ‘Sedekah Jariah’.

Lagi dua maksud Imam Bukhari lagi dua yang diambil dari ayat yang beliau nukilkan.
1. Erti pembinaan masjid dan imarah adalah dari istilah Quran. Apakah makna imarah itu? Ianya adalah membina isi masjid itu. Oleh itu, pembinaan masjid yang melibatkan zahir dan batin. Bukan hanya bina bangunan sahaja, tapi perlulah digunakan masjid itu untuk melakukan ibadah.
2. Siapakah yang patut membina masjid dan imarah masjid itu? Tentulah orang Islam. Baru ada faedah. Pemberian orang kafir tiada faedah. Oleh itu muslim kena buat sendiri. Jangan harap kepada pemberian orang kafir. Kena siapkan diri dari segi ilmu. Jadi, orang Islam kenalah ada yang jadi arkitek, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya.

Pembinaan Masjid adalah tugas yang mulia

Imarah lahiriah – bina bangunan masjid dan mencantikkannya.
Imarah maknawi – membangunakan ibadat didalamnya.

Bolehkah ambil pemberian orang kafir dalam pembinaan masjid? Atau guna khidmat mereka untuk bina masjid?
Satu pendapat mengatakan boleh menggunakan masjid hasil pemberian orang kafir kerana dari sejarah, kita pun tahu bahawa Masjidilharam itu adalah hasil binaan orang kafir. Musyrikin Mekah lah yang telah mengumpulkan dana dan berganding bahu untuk membina Kaabah. Dan kemudian para sahabat telah solat di situ. Dan apabila mereka keluar dari Mekah, mereka mengadap disitu sebagai kiblat. Bermakna, masjid yang bersumber dari pemberian orang kafir bukan penghalang untuk menggunakannya. Tapi tentulah mereka tidak tak dapat pahala hasil dari pemberian mereka itu. Pendapat ini mengatakan, kalau kita berada di negara dan kerajaan kafir itu telah bina masjid untuk orang Islam, boleh kita gunakan. Itu satu pendapat.

Tetapi, jumhur ulama tak terima pendapat ini. Ini adalah kerana kalau kita menerima pemberian mereka, takut kita akan terhutang budi. Tambahan pula ini dalam hal agama. Takut nanti kita akan tunduk kepada kemahuan mereka kerana teringat meraka telah beri masjid kepada kita. Seeloknya jangan melibatkan mereka. Ayat At-Taubah : 17-18 diatas adalah sebagai dalil. Yang dalil mengatakan orang kafir telah Kaabah itu adalah kejadian pada zaman lain. Dan bukan mereka yang mula-mula membina Kaabah pun. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang letakkan asas. Dan ada lagi kisah yang menceritakan bahawa Nabi tidak ambil pemberian orang kafir jikalau pemberian itu melibatkan hal ibadat. Tidak perlu pun ambil untuk bina masjid kerana bukan perlu nak kena masjid yang besar sampai nak kena pakai duit mereka.

Kisah yang disebutkan diatas adalah berkenaan ada orang zaman Nabi yang hendak memberikan unta dan Nabi tanya samada dia Islam. Dia hendak memberi unta itu kerana hendak membantu puak Islam berperang. Bila dia kata tidak, Nabi kata baginda dilarang menerima hadiah dari orang musyrik. Dia kemudiannya masuk Islam. Apabila dia telah masuk Islam barulah Nabi menerima pemberian beliau. Kerana dia hendak beri itu untuk perkara yang melibatkan ibadat dalam Islam – berperang adalah satu ibadah. Kalau untuk hadiah biasa Nabi terima. Kerana memang Nabi ada menerima hadiah pemberian ketua negara lain. Tapi kalau khusus untuk ibadat, tidak boleh. Sama macam masjid, ia melibatkan ibadat.

Kalau menggunakan khidmat orang kafir untuk memperbaiki masjid, kebanyakan ulama membolehkannya. Kerana kita pun memberi upah kepada mereka, bukan dengan percuma. Ianya adalah harus sahaja, tidaklah molek. Sebab Umar Abd Aziz pernah upah orang Kristian.

428 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْعَزِيزِ بْنُ مُخْتَارٍ قَالَ حَدَّثَنَا خَالِدٌ الْحَذَّاءُ عَنْ عِكْرِمَةَ قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ وَلابْنِهِ عَلِيٍّ انْطَلِقَا إِلَى أَبِي سَعِيدٍ فَاسْمَعَا مِنْ حَدِيثِهِ فَانْطَلَقْنَا فَإِذَا هُوَ فِي حَائِطٍ يُصْلِحُهُ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَاحْتَبَى ثُمَّ أَنْشَأَ يُحَدِّثُنَا حَتَّى أَتَى ذِكْرُ بِنَاءِ الْمَسْجِدِ فَقَالَ كُنَّا نَحْمِلُ لَبِنَةً لَبِنَةً وَعَمَّارٌ لَبِنَتَيْنِ لَبِنَتَيْنِ فَرَآهُ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَنْفُضُ التُّرَابَ عَنْهُ وَيَقُولُ وَيْحَ عَمَّارٍ تَقْتُلُهُ الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ يَدْعُوهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ وَيَدْعُونَهُ إِلَى النَّارِ قَالَ يَقُولُ عَمَّارٌ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْفِتَنِ

428. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz bin Mukhtar berkata, telah menceritakan kepada kami Khalid Al Hadza’ dari ‘Ikrimah, Ibnu ‘Abbas telah berkata kepadaku dan kepada Ali, anaknya, “Pergilah kalian bedua menemui Abu Sa’id dan dengarlah hadits darinya!” Maka kami pun berangkat. Rupa-rupanya dia berada di dalam kebun dan dia sedang mengurusnya, setelah dia mengambil kain selimutnya beliau duduk berpaut lutut`. Kemudian ia mulai bercerita kepada kami hingga tiba cerita tentang pembinaan masjid. Ia mengkisahkan, “Masing-masing kami membawa ketul batu satu satu, sedangkan ‘Ammar membawa dua dua ketul batu sekaligus. Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melihatnya, beliau berkata sambil mengibas debu tanah yang ada padanya: “Aduhai ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh golongan yang derhaka. Dia menyeru mereka kepada syurga sedangkan mereka menyerunya ke neraka.” Abu Said berkata, “‘Ammar selalu berdoa, “Aku berlindung dengan Allah daripada fitnah.”

Ibn Abbas menyuruh perawi hadis ini untuk berjumpa dengan Abu Sa’id untuk belajar hadis. Zaman tu kalau belajar, bermakna belajar Quran dan Sunnah.

Abu Sa’id duduk ihtiba’ itu adalah jenis duduk yang memaut lutut. Bermakna boleh duduk macam tu. Yang ada hadis Nabi larang duduk begitu dalam masjid adalah kerana para sahabat, kain mereka pendek. Kalau duduk begitu takut nampak kemaluan. Para sahabat tahu kenapa Nabi larang duduk macam tu. Jadi, dalam keadaan lain yang tidak menampakkan kemaluan, boleh duduk sebegitu.

Duduk ihtiba'

Duduk ihtiba’

Ammar bin Yasir adalah sahabat yang telah pernah melalui kepahitan diseksa musyrikin Mekah. Ibu yang bernama Sumayyah dan ayahnya telah dibunuh. Dia sangat teruk diseksa sampaikan dia telah mengaku keluar dari Islam. Dia takut dia telah murtad tapi turun ayat yang mengatakan yang Allah hanya mengira apa yang dalam hati manusia.

Kalau dibaca kisah kejadian dalam hadis diatas dalam karangan Ibn Ishak, dia mengatakan bahawa para sahabat yang lain membuli Ammar untuk mengangkat dua batu sekaligus padahal mereka mengangkat hanya satu. Itu adalah kisah bohong. Sepertimana kita tahu, Ibn Ishak ini ada elemen Syiah. Jadi dia hendak memburukkan para sahabat. Ammar mengangkat dua batu sekaligus itu adalah kerana dia kerja bersungguh. Dia hendak menyiapkan masjid dengan cepat. Kerana itulah Imam Bukhari membawa tajuk ini. Dia hendak memberitahu bahawa sesiapa yang kerja lebih, dia akan dapat pahala yang lebih lagi.

Melihat perbuatan Ammar itu, Nabi menyapu badan Ammar dengan lembut. Menunjukkan betapa mesranya Nabi dengan para sahabat. Itulah sebabnya mereka amat sayangkan baginda. Dan kerana itulah ada sahabat yang pengsan apabila mendengar Nabi telah wafat. Ini kerana mereka sangat sayangkan Nabi dan antaranya adalah atas layanan Nabi kepada mereka.

Selepas itu Nabi telah bersabda berkenaan nasib Ammar nanti. Mungkin dia kata kepada Ammar atau kepada orang lain. Nampak dari segi bahasa, Nabi cakap tentang Ammar tapi kepada orang lain. Nabi kata Ammar akan dibunuh oleh ‘golongan yang derhaka’ – fiatun baghiah. Inilah perbahasan yang panjang tentang siapakah golongan yang derhaka itu. Sebab Ammar telah terlibat dalam peperangan antara Ali dan Muawiyah. Ammar telah berpihak kepada Ali. Maka kerana itulah mereka menggunakan dalil ini sebagai penentu pihak manakah yang salah antara dua pihak itu. Mereka mengatakan kerana waktu itu Ammar berpihak kepada Ali dan beliau terbunuh semasa berperang dengan tentera Muawiyah, maka mereka telah kata bahawa Muawiyah lah golongan yang derhaka itu.
Ammar mati dalam perang siffin. Ini adalah persoalan yang besar.

Maka siapakah yang dimaksudkan dengan الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ – golongan derhaka itu? Ramai tersilap mengatakan Muawiyah di pihak yang salah dengan menggunakan dalil ini. Walaupun mereka ASWJ. Padahal itu adalah diayah Syiah. Mereka nak selitkan bahawa sahabat pun tak boleh pakai dalam bab politik.

Dalam hadis Nabi, ada mengisyaratkan bahawa pihak yang menentang Ali adalah fiatun ‘azimah – golongan yang besar, bukan fiatun baghiah. Bermakna kedua-dua pihak itu mempunyai kedudukan yang sama. Ianya bermaksud: dua golongan besar. Masalah yang ada diantara mereka adalah berkenaan politik sahaja. Bukan dari segi akidah. Dua-dua pihak itu adalah pihak Islam juga.

Nabi pernah mengatakan bahawa Hasan akan menjadi pendamai antara dua golongan besar. Tentunya setelah dikaji sejarah, ianya merujuk kepada pihak Ali dan Muawiyah. Dalam sejarah, bukan Muawiyah yang serang dulu tapi Ali yang serang dulu. Bukan Muawiyah sahaja yang tak baiah dengan Ali, tapi ada lagi yang tidak bersetuju. Dia tak baiah tu sebab dia tidak setuju dengan Ali yang tidak menghukum pembunuh Uthman.

Siapakah fiatun baghiah itu? Mereka adalah golongan yang berlakon di belakang Ali. Mereka lah Syiah. Sahabat faham bahawa bukanlah Muawiyah yang salah. Walaupun bila Ammar mati, mereka tidak tinggalkan Muawiyah. Tidaklah mereka jadikan dalil kematian Ammar sebagai tanda mengatakan Muawiyah dari fiatun baghiah. Kalaulah mereka rasa itu adalah sebagai tanda kebenaran kata Nabi itu, tentulah mereka telah meninggalkan pihak Muawiyah.

Hadis ini memang tak boleh dipakai sebagai dalil untuk mengatakan pihak Muawiyah sebagai derhaka, kerana ianya akan mengatakan separuh dari para sahabat waktu itu sebagai fiatun baghiah. Kerana ramai juga yang berada dalam pihak Muawiyah waktu itu. Kalau kita kata mereka pihak yang derhaka, macam mana nak pakai hadis riwayat mereka kalau begitu? Jadi, tentulah tidak benar perkara itu. Padahal, sahabat-sahabat yang berada dalam pihak Muawiyah itu sahabat-sahabat yang besar. Ada yang memang telah dijanjikan syurga oleh Nabi.

Perbalahan antara Ali dan Muawiyah adalah bertitik-tolak dari pembunuhan Uthman. Muawiyah dan para sahabat yang bersamanya mahukan supaya pembunuh Uthman dibunuh dengan segera. Sahabat yang sama pendapat dengan beliau telah pergi kepada beliau kerana beliau mempunyai tentera yang kuat kerana dia adalah gabenor Syam. Dia kata, kalau Ali tak boleh nak bunuh, berikan tugas itu kepada beliau. Ali pula kata tunggu sehingga baiah selesai barulah cari jalan penyelesaian. Sebenarnya, dia pun serba salah. Kerana apabila ditanya siapa yang bunuh, sampai beribu yang angkat tangan mengaku bunuh Uthman. Jadi macam mana nak bunuh ramai orang sekali? Muawiyah kata itu adalah helah mereka. Cuba kata nak bunuh semua, mesti mereka tak mengaku dah.

Kerana nampak bahawa Ali telah melakukan kesilapan dengan tidak mengambil tindakan, maka sebab itulah ada sahabat-sahabat telah keluar untuk bertemu dengannya untuk menasihati beliau. Sampaikan Aisyah pun keluar sekali. Padahal Nabi dah kata bahawa Aisyah keluar buat haji itulah kali terakhir untuk dia keluar. Tapi kerana nampak isu itu adalah isu yang penting, sampai Aisyah pun mengambil keputusan untuk keluar. Bersama dengannya adalah Talhah dan Zubair al Awwam. Siapakah mereka ini? Ini adalah sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh Nabi.

Apabila dinasihati, Ali nampaknya mahu berdamai. Maka puak Syiah yang sememangnya mereka itulah fiatun baghiah itu, telah resah kerana kalau begitu, mereka nantilah yang akan dibunuh kerana membunuh Uthman dahulu, telah menyebabkan peperangan berlaku dengan berlakon memulakan peperangan. Mereka masuk dua-dua pihak dan memulakan peperangan. Sebab kalau tak jadi perang, merekalah nanti yang akan dibunuh. Maka terjadilah peperangan saudara pertama dalam Islam disebabkan oleh Syiah.

Selepas itu, mereka menyebabkan perpecahan lagi semasa perang Siffin.

Apabila Ali mati, mereka dengan cepat baiah kepada Hassan. Kerana mereka sangka mereka akan berjaya kalau Hassan yang memerintah. Saidina Hassan setuju untuk jadi khalifah dengan syarat kata-katanya diikuti. Selepas Hassan menjadi khalifah, beliau tidak mengikut kata-kata puak Syiah kerana dia tahu mereka pun tidak benar. Selepas enam bulan, beliau telah berdamai dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Muawiyah. Tentulah dia sebagai seorang yang bijak memberikan kekhalifan kepada yang layak. Kalau Muawiyah jahat, takkan dia nak berikan tampuk pemerintahan kepada Muawiyah pula. Padahal dia sendiri ada tentera kalau nak berperang lagi. Maka tahun penyerahan kuasa itu dalam sejarah dinamakan sebagai Tahun Perdamaian. Maka benarlah sabda Nabi yang mengatakan bahawa Hassan akan menjadi pendamai antara dua pihak yang besar.

Puak Syiah tidak suka dengan kejadian itu. Maka, mereka memburukkan Saidina Hassan. Sampai mereka kata Hassan ada isteri sampai 400 orang. Dan semasa menyerahkan kuasa, mereka kata Hassan telah menetapkan beberapa syarat. Antaranya mereka kata dia hendak harta yang banyak. Mereka kata dia gila perempuan dan sebagainya.

Sampai sekarang, mereka tidak mengangkat satu pun keturunan Hassan sebagai imam mereka. Semuanya dari keturunan Hussein. Sebenarnya mereka marah kepada Hassan kerana memberikan khalifah kepada Muawiyah. Begitulah kisah siapakah fiatun baghiah itu. Sebenarnya mereka adalah puak Syiah.

Ada yang kata yang dimaksudkan Ammar menyeru kepada kebaikan itu adalah puak Khawarij. Tapi itu tidak benar kerana puak Khawarij datang kemudian lagi dari zaman dia.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Bekerjasama dalam pembinaan masjid adalah sangat afdhal. Akan mendapat pahala yang berterusan sampai sudah mati. Tidak putus pahala walaupun dah mati. Inilah yang dinamakan salah satu dari Sedekah jariah.
  2. Galakan mendapatkan ilmu daripada semua orang yang berilmu walaupun orang yang mendapatkan ilmu itu juga mempunyai ilmu sendiri. Ibn Abbas, walaupun ada ilmu yang tinggi tapi dia suruh juga anak dia pergi tempat lain untuk mendapatkan ilmu. Mungkin orang lain ada ilmu yang dia sendiri tidak ada. Sebab dia sendiri tak banyak mendapat hadis secara terus dari Nabi. Kerana dia muda lagi apabila nabi wafat. Abu Sa’id lebih tua dari dia dan lebih dulu masuk Islam. Ibn Abbas seorang yang tinggi ilmunya. Sampaikan menjadi rujukan utama mazhab Syafie. Dia adalah anak murid utama Umar. Umar bawa dia ke mana-mana. Dia seorang yang sangat cerdik. Nabi pun pernah doakan dia supaya diberikan ilmu. Pernah dia duduk sebelah kanan Nabi supaya Nabi akan menggilirkan bekas minuman kepadanya dahulu. Dia memang dah tahu yang biasanya Nabi akan memberi kepada orang yang kanan. Begitulah bijaknya beliau. Maka dia telah hantar anaknya pergi belajar dengan Abu Sa’id. Jadi anaknya pergi untuk mendapatkan sanad yang lebih tinggi. Sanad aaliy. Sebab hadis itu mungkin Ibn Abbas sendiri dah tahu. aman dulu, begitulah cara pembelajaran. Kadang-kadang ambil satu dua hadis sahaja. Itulah sebabnya kita tengok ada ulama yang dikatakan gurunya sampai beribu. Sebab kalau dapat satu hadis dari seorang pun dah dikira guru dah. Bukan kena duduk lama berbulan-bulan pun seperti yang kita sangka. Ini kita boleh lihat bagaimana Ibn Abbas itu bersikap terbuka. Suruh anak dia belajar dengan orang lain pula. Itupun satu pengajaran kepada kita. Islam pun terbuka untuk mendapatkan ilmu. Kalau nak dapatkan ilmu dari orang kafir pun boleh. Cuma kena tengok ilmu apa. Kalau hadis dan Quran memang tak boleh belajar dari orang kafir.
  3. Abu Said lebih lama Islam. Apabila beliau dengar tentang kedatangan Nabi yang baru, beliau telah naik kapal dengan adik beradiknya untuk mencari Nabi. Tapi kerana kapal itu telah ditiup ke tempat lain, mereka mereka sampai ke Habshah dulu. Di sana, mereka telah bertemu dengan para sahabat yang telah berada di sana. Mereka tinggal di Habshah untuk sekian lama. Kemudiannya mereka telah berhijrah ke Madinah. Oleh itu, Abu Sa’id adalah antara orang yang telah berhijrah dua kali. Ini adalah satu kedudukan yang tinggi.
  4. Ilmu manusia tidak meliputi walau tinggi mana pun. Tidak ada satu orang yang tahu semua perkara. Elok belajar dengan orang lain juga.
  5. Seorang alim kena bersedia untuk menyampaikan ilmu. Abu Sa’id apabila didatangi oleh orang untuk mendapatkan ilmu, telah kemaskan diri dan bersedia untuk mengajar. Berpakaian yang molek adalah juga termasuk dalam adab ilmu. Sebab waktu itu beliau sedang mengajar hadis iaitu satu ilmu yang mulia. Begitu juga kita pernah dengar tentang kisah Imam Malik yang pakai pakaian yang paling kemas apabila beliau mengajar. Dia duduk pun kemas. Sampai pernah disengat tebuan pun, dia tak bergerak.
  6. Tidak menyampaikan hadis sambil lewa. Itulah sikap para salaf.
  7. Dalam kerja kebaikan, boleh buat yang sukar dengan harapan pahala banyak lagi. Ammar telah mengangkat batu dua dua walaupun orang lain cuma angkat satu sahaja. Ada kelebihan pahala kalau buat begitu. Tapi ini tidak dipakai dalam ibadah khusus. Contohnya, tidak ada pahal lebih kalau solat di tempat yang tidak selesa padahal ada tempat lain yang lebih selesa. Kerana kalau solat di tempat yang selesa, lagi khusyuk kalau begitu. Lain dengan orang tasawuf. Mereka ingat kalau buat ibadat dalam seksa lagi bagus. Sebab mereka memang tak pandai agama dan hanya menggunakan pendapat mereka sahaja yang tidak benar.
  8. Memuliakan orang yang bekerja pada jalan Allah. Kena sokong dia. Puji dia. Begitulah, apabila Nabi nampak Ammar bekerja dengan keras, maka Nabi datang dan kibaskan badannya. Dan kata sesuatu. Jangan kita marah pula orang yang bekerja keras begitu.
  9. Dalam hadis ini, terdapat kisah salah satu dari mukjizat Nabi. Baginda telah meramalkan kematian Ammar yang akan dibunuh oleh puak durjana kira-kira 30 tahun sebelum ianya berlaku. Bukan sekali itu sahaja ramalan baginda menjadi kenyataan. Banyak kali Nabi ramalkan dan memang terjadi. Ada sahabat boleh lihat sendiri kebenaran yang telah disebutkan Nabi itu. Semuanya itu dari Allah, bukan Nabi tahu sendiri perkara ghaib. Allah yang beritahu kepada Nabi melalui Jibrail. Kalau bukan baginda mendapat wahyu dari Allah, tentulah Nabi tidak berkata apa-apa.
  10. Menguruskan sendiri harta adalah perbuatan salaf. Abu Sa’id urus sendiri ladangnya. Berbudi kepada tanah. Walaupun mereka ada duit nak upah orang.
  11. Elok seseorang memohon Allah untuk hindari dari fitnah. Sebab tak tahu fitnah itu akan mendatangkan pahala atau bala. Jadi, tidak benarlah pendapat yang mengatakan kalau kita memohon dihindarkan dari fitnah itu sebagai tanda orang itu tidak menerima qada’ yang Allah telah berikan kepadanya. Nabi pun ajar doa berlindung dari fitnah dunia dan akhirat. Fitnah paling besar adalah jikalau dugaan itu sampai meninggalkan agama. Oleh itu, hadis ini menolak hadis palsu yang melarang manusia dari doa supaya selamat dari fitnah. Konon fitnah itu menuai orang munafik. Sebab fitnah adalah ujian. Macam penukaran kiblat. Mereka kata kalau terjadi ujian macam itu, barulah kita boleh tahu samada orang itu benar-benar mukmin atau munafik. Hadis itu palsu, jadi tidak boleh dipakai.
  12. Hadis ini menunjukkan kelebihan Ammar dan Abu Sa’id.
  13. Budaya Islam melawat orang alim utk mendapatkan ilmu. Kena cari peluang mengaji.
  14. Melibatkan diri dengan pertanian adalah mulia. Jangan berasa rendah diri. Mulia sebab pekerjaan itu memberi makanan kepada manusia.
  15. Elok untuk tinggalkan pekerjaan untuk menghormati tetamu. Bersiap dan bercakap dengan baik. Itu adalah adab Islam.
  16. Mengakui kelebihan orang lain tidak mengurangkan kedudukan kita. Ini kita boleh lihat bagaimana Ibn Abbas hantar anaknya untuk belajar denga orang lain.
  17. Memuliakan pelajar dan melebihkan hajat mereka dari diri sendiri. Ini kita boleh lihat contoh Abu Sa’id yang berhenti dari pekerjaan beliau.

Allahu a’lam.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s