We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Permurnian Sirah Nabi June 15, 2013

Filed under: Ilmu — visitor74 @ 1:22 pm

Bismillahi Rahman ar Rahim. Rabbi, zidni ilma. 

Terdapat keperluan di dalam menilai kembali pengetahuan kita tentang sejarah dalam Islam. Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan, mungkin kita kena mulakan dengan pemurnian sejarah Nabi dahulu. Kalau kita lihat dalam bab fekah, ada banyak mazhab-mazhab bercambah. Kita tak terima satu pendapat sahaja. Tapi kalau dalam bab sejarah, seumpamanya macam hanya ada satu sejarah sahaja yang diterima semua. Apa yang ada dalam kitab, atau apa yang ada dalam buku sejarah, itu sahajalah yang kita pegang, padahal ada banyak khilaf antara tarikh-tarikh yang ada. Tapi orang kita tidak banyak soal. Apa yang disajikan kepada kita, kita terima terus.

Kenapa jadi macam ini? Antaranya adalah kerana ulama-ulama kita tak sempat nak kaji semua sekali. Oleh itu, mereka mengkhusukan pengkajian mereka dalam satu-satu bidang sahaja. Yang banyaknya adalah tentang bab akidah dan fekah. Mereka ketat dalam meriwayatkan hadis berkenaan hukum hakam tapi berkenaan sejarah mereka ambil mudah sedikit. Mereka tak tapis sangat. Sebab mereka tak sempat. Dan mungkin mereka lihat, ianya tidak penting mana. Tapi sebenarnya, metodologi yang mereka gunakan pada hukum hakam boleh kita gunakan dalam hal sejarah. Contohnya, dalam menilai dari manakah sumber perawi tentang bab fekah, mereka akan kaji betul. Jadi, dalam bab sejarah juga kita boleh gunakan kaedah yang sama.

Contohnya ramai yang terima kisah Nabi memulakan perjalanan isra’ mi’raj dari rumah Umm Hani’. Padahal itu adalah salah sekali. Ahli Sunnah pun dah tak periksa samada benar atau tidak riwayat itu. Padahal ianya bercanggah dengan riwayat yang sahih. Ianya juga bercanggah dengan Quran kerana Quran mengatakan mulanya isra’ itu dari MasjidilHaram. Banyak yang pakai riwayat dari Ibnu Ishak padahal beliau adalah berfahaman Syiah. Kita pun tahu Syiah itu adalah golongan penipu besar dan tak boleh pakai sikit habuk pun. Dan kalau diteliti sejarah yang diriwayatkan oleh beliau, kita akan tersasar jauh dari kebenaran. Banyak pula kisah dari beliau yang ada dalam kitab. Seperti yang telah disebutkan, kisah Isra’ Mi’raj riwayat Ibn Ishak adalah bertentangan dari sumber yang sahih. Tapi sebab mereka nak pakai juga kisah Ibnu Ishak, mereka sanggup mengatakan rumah Umm Hani’ berada dalam hatim Kaabah. Hatim itu juga dikenali sebagai Hajar Aswad. Jadi, macam taklah salah kisah itu. Maknanya, dua-dua betul. Dari Masjil Haram betul, dari rumah Umm Hani’ pun betul juga, sebab dua-dua itu tempat yang sama. Tapi, macam mana boleh sesiapa buat rumah dalam Kaabah pula? Adakah masuk akal kisah itu?

Sebabnya Ibnu Ishak buat kisah itu adalah kerana Umm Hani’ itu adalah kakak Saidina Ali dan dia hendak menaikkan keluarga Ali. Syiah itu kalau dah namanya Syiah, hendak juga menyelitkan keluarga Ali dalam peristiwa penting. Dalam kisah yang mengarut itu, sampai dikatakan Nabi tidur di sebelah Umm Hani’. Masya Allah, kenapa sampai boleh jadi begitu pula? Padahal Umm Hani’ bukan Islam waktu itu lagi. Dia pun ada suami yang kafir yang menentang Nabi pula waktu itu. Kemudian, sampai dikatakan Umm Hani’ solat isya’ dan subuh dengan Nabi padahal solat belum difardhukan lagi waktu itu. Dan macam mana pula boleh solat di rumah seorang yang kafir? Tentunya Syiah tak dapat nak terima ada kakak Saidina Ali lambat masuk Islam. Ini semua adalah kisah dari Syiah dan ulama kita pun terpengaruh dengan kisah sebegini. Kisah itu membawakan banyak perkara yang tidak molek kalau dikaitkan dengan Nabi. Ditambah pula dengan kisah Nabi pernah meminang beliau. Lagilah kita musykil. Bayangkan orang boleh kata, patutlah Nabi melepak rumah dia sebab Nabi memang hendakkan Umm Hani’ pun. Pulak itu tidur pula di rumahnya, malahan di sebelahnya? Macam suami isteri pula kerana dalam cerita dongeng itu ada masuk cerita Umm Hani’ tarik kain Nabi sampai ternampak perut. Ini semua mencalar keperibadian Nabi yang mulia. Di mana suami Umm Hani’ waktu itu? Takkan dia akan benarkan perkara begini terjadi? Kalau suami dia tidak ada waktu itu, lagilah menaikkan kemusykilan kita – suami orang tiada, Nabi datang rumah dia pula. Jangan lupa bahawa suami Umm Hani’ itu adalah penentang kepada Nabi. Selepas Pembukaan Kota Mekah, Umm Hani’ telah masuk Islam. Tapi suaminya tak mahu masuk Islam, sampai melarikan diri. Yang bawa kisah ini bukan orang orang biasa tapi orang besar pun, ulama-ulama pun ada. Kalau ustaz di Malaysia ni, jangan kiranya, mereka tak usul periksa pun. Mereka tak kisah pun kalau mereka menceritakan kisah salah kepada masyarakat. Asalkan mereka dapat bayaran mengajar. Dapat bayaran masuk tv lagilah mereka suka. Mereka mungkin tidak perasan bahawa kisah begini mempunyai kesan yang menghina Nabi. Tapi apa mereka kesah?

Kedua, tentang peristiwa Hijrah ke Madinah. Hijrah dikatakan terjadi waktu malam. Ini juga telah diterima umum seperti itulah sahaja kisah yang ada dan benar. Sebenarnya ia juga dibawa oleh Ibn Ishak. Kerana dia nak menaikkan nama Ali. Kerana dalam kisah yang salah itu dikatakan Ali telah mengganti Nabi di tempat tidur baginda. Sampai orang kafir tertipu. Mereka ingat Nabi ada lagi tidur jadi mereka tunggu di luar rumah. Apabila Nabi keluar, Nabi telah menabur pasir sambil membaca sepotong ayat dari Surah Yaasin. Itu dah satu hal. Buat amalan yang tak benar. Maka, orang kita hafal lah ayat itu dan digunakan untuk mengelabui mata polis trafik supaya tak nampak mereka. Dikatakan penjahat-penjahat Musyrik telah tertidur apabila Nabi buat macam itu. Bila mereka bangun, mereka periksa, rupanya Ali yang ada, bukan Nabi. Ini kerana Ibn Ishak hendak menunjukkan keberanian Ali. Kerana apa yang Ali buat itu adalah satu tindakan yang berani – kerana ada kemungkinan musyrikin marah dan bunuh beliau kerana telah menipu mereka. Padahal Ali tak terlibat dalam kisah hijrah itu. Mereka tak dapat terima, kerana ini adalah peristiwa besar, takkan Saidina Ali tiada. Padahal yang terlibat dalam peristiwa Hijrah itu adalah Abu Bakr dan keluarga beliau. Keluarga Abu Bakr termasuk Aisyah dan hamba beliau yang menyediakan persediaan untuk Hijrah itu. Tapi Syiah memang tak suka dengan Abu Bakr. Mereka Abu Bakr adalah berhala Mekah. Mereka bukan nak terima kasih kepada Abu Bakr, malahan zikir harian mereka pun ada yang mengutuk Abu Bakr dan Umar; Dan Nabi Hijrah sebenarnya pada waktu tengahari. Kenapa tak hijrah waktu malam? Bukankah malam lagi rahsia? Kita lupa bahawa negara Arab, mereka tidur tengahari. Kisah yang sebenar ada dalam sahih Bukhari. Tapi ramai pakai riwayat Ibn Ishak. Mana lagi kuat? Imam Bukhari kah atau Ibn Ishak yang Syiah?

Lagi satu kisah Hindun, isteri Muawiyah yang dikatakan memamah jantung Saidina Hamzah. Ini pun dari Ibn Ishak. Padahal dalam Bukhari, kisah pembunuhan Hamzah tidak sebegitu. Ibn Ishak membawakan kisah dongengnya, tidak ada dalil kukuh. Tapi Bukhari bawa dalil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu iaitu Wahsyi sendiri. Dialah yang membunuh Hamzah. Kisah yang sebenar, tidak ada nama Hindun pun terlibat. Orang lain yang upah Wahsyi bunuh Hamzah.

Ramai yang ambil riwayat Ibn Ishak. Sentiasa sahaja ada kisah pelik dari apa yang dibawanya. Dia tabarra’ kepada Nabi. Iaitu menyatakan kebencian beliau. Dia mesti menyatakan kebencian kepada para sahabat. Itu adalah akidah Syiah. Kalau tak nyatakan kebencian itu, maka dia tidak dikira beriman. Tapi dia amat pandai sampaikan kisah beliau sampai kita tak perasan dia sedang menghina para sahabat. Sampai Nabi pun kena. Ada Syiah awal yang Syiah dari segi politik. Mereka cuma mengatakan bahawa Ali lebih berhak jadi khalifah dari Uthman. Tapi mereka terima Abu Bakr dan Umar. Itu adalah Syiah yang mula-mula. Tapi bukan boleh dikira begitu dengan Ibn Ishak. Kerana dia membawa hadis yang digunakan untuk menyokong pegangannya. Dia adalah syiah yang jahat. Sepatutnya, segala riwayatnya ditolak mentah-mentah. Dibuang jauh-jauh. Tapi kita selalu sangat dengar kisah darinya. Itulah sebabnya perlu disebarkan tentang penipuan yang dilakukan olehnya. Ramai antara kita tak sedar dan tak kisah.

Ada kisah Nabi naik unta dengan isteri Abu Dzar. Nabi dikatakan bawa isteri Abu Dzar itu dalam satu perang. Padahal dia budak lagi. Kemudian Nabi dapat kalung, maka Nabi kalungkan kepada isteri Abu Dzar. Walaupun ada dalam Tarmizi dan Abu Dawud tapi mereka letakkan hadis ini sambil berkata ianya adalah riwayat mungkar. Kisah ini mengaibkan Nabi. Nabi takkan buat benda-benda macam ini. Nabi amat cermat. Kenapa nak bawa dia pergi perang? Ni sebab Syiah nak bawakan kononnya, Abu Dzar begitu mulia sampai yakin dengan Nabi dan benarkan Nabi bawa isteri beliau sendiri. Kepada Syiah, Abu Dzar adalah antara yang sahabat yang baik, tidak murtad lepas Nabi mati. Tarmizi kadang-kadang bawa hadis tak sahih sebab nak ajar manusia tentang hadis palsu. Itulah sebabnya kalau baca hadis, tak boleh belajar sendiri. Tidak semua boleh pakai dalam kitab itu. Macam makan ikan, takkan nak makan dengan tulang sekali? Tentulah kita nak pilih mana yang boleh dimakan dan mana yang tidak boleh dimakan? Ada sebab kenapa imam macam Imam Tarmizi membawakan sanad orang yang tak dipercayai. Salah satunya sebab dia hendak memperkenalkan perawi itu. Supaya kita berhati-hati dengan riwayat mereka. Bukan dia nak suruh kita terima bulat-bulat tanpa usul periksa.

Satu lagi kisah Saudah, isteri Nabi. Dia telah beri gilirannya bermalam dengan Nabi kepada Aisyah. Kaedah dirayah (logik) kena dipakai dalam membaca riwayat sebegini. Iaitu adakah ianya akan merobohkan ajaran Nabi? Memang ada hadis berkenaan perkara ini dalam sahih Muslim. Riwayat dalam Sahih Musliam sedikit sahaja tapi ditambah dalam kitab-kitab lain. Waktu itu dikatakan dia telah tua. Jadi Aisyah dapat dua hari bermalam bersama Nabi – sekali memang haknya sebagai isteri Nabi dan sekali lagi, pemberian dari Saudah. Tapi dalam kitab lain, ditambah bahawa sebabnya dia beri gilirannya itu kepada Aisyah kerana dia takut Nabi mencerainya. Itu tidak ada langsung dalam Sahih Muslim. Dan ada pula kisah Nabi memang dah cerai dia dah dan kemudian Nabi rujuk. Dan dikatakan Nabi rujuk balik itu lepas Saudah pujuk Nabi. Siap pegang kaki Nabi. Dan dia beri gilirannya kepada Aisyah, supaya Nabi terima dia balik kerana dia tahu Nabi sayang Aisyah lebih lagi dari isteri-isteri yang lain. Ini boleh dikatakan betapa teruknya Nabi. Habis madu, sepah dibuang. Patutkah kita terima pendapat begitu? Nampak tak adil lah Nabi kalau kisah ini benar. Inikah contoh poligami yang hendak ditunjukkan Nabi? Inikah kita kena ikut, kerana kita sebagai orang Mukmin, kena ikut apa yang Nabi lakukan. Adakah selepas salah seorang isteri kita dah tua, kita ceraikan dia? Padahal Saudah beri dengan senang hati. Dan ini adalah satu sumber hukum – iaitu Harus untuk seorang isteri memberikan hak bermalamnya dengan suami kepada isteri lain. Itu sahaja yang sepatutnya kita terima. Bukanlah kisah dongeng lain. Bahaya kalau kisah sebegitu dijaja. Adakah Nabi tak hirau langsung isteri-isterinya yang lain, sampai mereka tahu Nabi sayang Aisyah sahaja? Padahal dalam hadis yang sahih, kita tahu Nabi jumpa isterinya setiap hari untuk bertanya khabar walaupun hari itu bukan giliran mereka. Dan betulkah pemberian Saudah itu sampai bila-bila? Kerana ada dalam hadis yang sahih, Nabi pergi menggauli semua isterinya dalam satu malam semasa baginda melakukan ibadat Haji. Kalau semua isteri baginda, bermaknanya termasuklah Saudah. Jadi mungkin Saudah dah ambil balik haknya. Itu pun boleh juga.
Ada yang kata Nabi paling sayang Aisyah. Sebab Nabi asyik tanya bilakah bilakah gilliran baginda dengan Aisyah. Adakah begitu? Tak sesuai kalau kita faham begitu. Itu telah sakitkan hati isteri yang lain. Takkan itu yang Nabi nak ajar kepada kita. Sebenarnya, baginda dah tahu dia akan mati di rumah Aisyah. Jadi baginda tertunggu-tunggu bilakah giliran baginda dengan Aisyah. Bukan selalu Nabi tanya macam itu. Hanya apabila dah dekat nak wafat dah baru ada timbul baginda tanya macam itu. Nabi sayang Aisyah kerana Aisyah adalah isteri baginda yang paling pandai. Paling banyak sampai ilmu dari Aisyah. Itu sebab dia sayang. Bukan sebab Aisyah muda dan cantik atau sebab Aisyah anak dara. Memang ada hadis yang mengatakan Nabi sayang Aisyah. Tapi kerana ilmu Aisyah. Aisyah paling banyak meriwayatkan hadis. Kalau kita kata sebab cantik, itu mencemarkan Nabi pula. Macam Nabi memandang kecantikan sahaja. Seharusnya kita kata Nabi sayang kerana ilmu Aisyah, untuk menjaga kedudukan Nabi.

Berdosa kalau burukkan imej Nabi. Jadi kena bersihkan kisah-kisah sirah yang meragukan. Sedangkan angkat suara dengan Nabi pun dah salah dah dan akan mengurangkan pahala ibadat kita dah. Jadi pelajar-pelajar agama kena buat kajian dan berusaha untuk bersihkan sejarah yang salah. Ini semua tugas kita. Jangan taksub dengan sesuatu pendapat yang tidak benar, walaupun dengan guru kita. Kerana guru kita sendiri mungkin salah. Kita kena tengok hujjah yang diberikan. Itu barulah ahli ilmu. Semoga pengkajian boleh dijalankan dengan baik untuk membersihkan sejarah Islam. Berdosa kalau kita tak buat. Walaupun ada dalam Bukhari pun, kena kaji juga. Kerana ada juga yang salah. Kerana Imam Bukhari juga adalah manusia biasa juga. Tidak sunyi dari melakukan kesalahan.
Ada perkara-perkara yang khas untuk Nabi. Dalam Quran pun ada disebut. Contohnya, hanya Nabi sahaja boleh ada sembilan isteri dalam satu masa. Ada yang kata Nabi pernah dipegang oleh perempuan. Tapi sebenarnya dia dan Nabi adalah mahram. Sebab di tanah Arab dulu ada konsep ‘saudara susuan’. Dan ada yang kata ianya adalah khusus untuk Nabi. Tapi lebih elok kalau kita pilih pendapat yang mengatakan saudara susuan.

Ada lagi kisah yang lebih besar. Misalnya tentang pengumpulan Quran. Dalam Bukhari pun ada hadis yang tak benar. Umumnya kita ingat Quran tidak ada dalam bentuk naskah dalam zaman Nabi. Quran berselerak waktu itu – ada tulis pada batu, tulang dan sebagainya. Hanya kumpul pada zaman Abu Bakr. Dan dikumpulkan lagi pada zaman Uthman. Ada kisah tak jumpa ayat Quran pun ada. Hanya jumpa pada seorang sahabat bernama Khuzaimah. Zaid bin Thabit yang terlibat dalam pengumpulan Quran itu. Pada pengumpulan yang kedua, pakai Quran yang ada pada Habsah. Mula dia taknak beri, tapi akhirnya dia beri juga. Waktu juga ada lagi satu ayat tak jumpa. Ayat lain pula. Jumpa dengan Khuzaimah juga. Ini menimbulkan banyak persoalan. Adakah benar kisah pengumpulan Quran yang kita selalu dengar itu?

Nabi pernah kata jangan tulis darinya melainkan Quran. Tapi hadis pun ada dalam bentuk buku juga. Macam mana buku hadis ada, tapi Quran dalam bentuk naskah tidak? Mana lagi besar – Quran atau hadis? Kenapa sahabat begitu cuai sampai mereka melebihkan hadis dari Quran? Tidakkah mereka tahu Injil ada dalam bentuk buku dah? Adakah Quran tidak layak untuk dibukukan? Tidak penting sampai mereka hanya tulis pada tulang belulang, batu dan helaian kertas sahaja? Macam mana sahabat baca Quran waktu zaman Nabi? Macam mana mereka boleh nak hafal kalau berselerak? Kalau berselerak tak bersusun lah kalau begitu. Macam mana nak tahu ayat itu lepas ayat mana? Kenapa selepas kumpul zaman Abu Bakr disimpan sahaja? Kenapa Umar tidak buat apa-apa? Kenapa simpan dengan Habsah? Kenapa Uthman sebagai ketua negara tidak ada naskah sendiri? Sebab kalau kita kata Umar ada naskah, kenapa Uthman tidak ada? Ada kata macam mana nak kumpul Quran zaman itu, kertas tiada. Tapi dalam Quran dah ada guna perkataan ‘kertas’? Orang kafir sahajakah yang ada teknologi buat kertas waktu itu?
Padahal dikatakan Quran adalah mutawatir. Bagaimana kita nak kata mutawatir sampai tak pasti manakah ayat tertentu? Ini adalah amat memusykilkan. Melainkan kalau kita kata Quran dah ada sepertimana yang ada macam zaman sekarang. Setiap rumah dah ada. Oleh itu, kita kena ketepikan kisah-kisah yang kita dah belajar sebelum ini.

Dan kita kena terima bahawa Quran dah ada titik dan baris semasa zaman Nabi. Kalau tidak, macam mana sahabat nak baca? Memang Quran diturunkan berperingkat. Tapi lama sebelum Nabi wafat telah dikumpulkan Quran dalam bentuk buku seperti yang ada sekarang. Buktinya dah ada hizb (bahagian) yang sahabat amalkan membaca. Tujuh hizb dalam masa seminggu. Mereka sudah baca macam itu. Kalau yang tertinggal adalah ayat-ayat akhir. Kerana setiap kali diturunkan ayat baru, Nabi akan suruh letak ayat itu dimana dan dimana. Dan dalam hadis ada dikatakan Nabi baca surah yang panjang macam Baqarah dan sebagainya. Maknanya sudah disusun dalam bentuk surah.

Memang telah diriwayatkan dalam Quran dan hadis bahawa Quran dalam bentuk kitab dah. Quran pun kata Quran dalam bentuk kitab dan suhuf. Suhuf adalah kertas yang bertulis. Bukan berselerakan. Dikatakan dalam ayat itu yang Nabi baca suhuf. Itu juga menunjukkan Nabi membaca suhuf itu.
Dalam hadis ada dikisahkan ada tiang di Masjid Nabi yang ada mushaf Quran. Itu adalah zaman Nabi, bukan zaman Uthman. Ada hadis lain pula dikatakan diletakkan dalam peti.
Ada surat Nabi nampak tidak ada titik. Memang ada. Yang ada titik pun ada. Dua-dua cara dipakai. Kalau Quran, lebih patut kalau kita kata dah ada titik dan baris. Bahasa Arab memang dah ada baris dah waktu itu.
Yang dipegang sekarang adalah mutawatir Quran itu adalah dari sudut hafalan. Tapi untuk sampai ketahap mutawatir, ada 16 sudut yang perlu dipenuhi sebenarnya. Termasuk dari segi hafalan dan tulisan. Barulah dapat kata memang Quran itu mutawatir. Kalau tidak, akan ada keraguan. Dalam ayat pertama juga Nabi disuruh membaca –  Iqra’. Nabi kata baginda tidak boleh baca. Maknanya, Jibrail ada baca bahan bacaan untuk dibaca oleh baginda. Kalau Jibrail tidak bawa dalam bentuk tulisan, tentu jawapan Nabi adalah: “Saya hendak baca apa?” Ini bermakna Quran itu kena baca, hafal dan tulis. Baru mutawatir. Orang Islam memang akan terima sahaja Quran itu. Tapi orang kafir boleh gunakan beberapa sebab untuk mengatakan tidak mutawatir Quran itu.

Seterusnya, adakah Nabi buta huruf? Nabi sebenarnya boleh membaca dan menulis. Memang Nabi sebelum dapat wahyu, tidak boleh membaca. Tapi lepas dapat wahyu pertama, Nabi dah boleh membaca. Itu adalah kurnia Allah sebagai mukjizat. Dalam ayat Quran dikatakan Nabi dahulunya tak boleh membaca. Ada perkataan qablihi dalam ayat itu. Kalau dikatakan ‘sebelum’ itu tidak boleh membaca, bermakna selepas itu, boleh membaca. Itu kita faham dari ayat Quran itu. Yang selalu dijadikan dalil Nabi tidak boleh membaca adalah kerana Nabi kata beliau adalah ‘ummiy’. Ummiy bukan makna buta huruf. Ada lagi makna lain.

Nabi kata setiap ayat yang dibaca akan dapat pahala. Alif satu pahala, Lam satu pahala dan mim satu pahala. Maknanya baginda kenal huruf. Kalau tak, baginda tak cakap macam itu. Kita kata Nabi orang yang mulia. Tapi buta huruf itu mulia atau kurang? Bila Nabi kata mereka ummiy ianya bermakna mereka adalah orang ummul qura. Iaitu orang penduduk Mekah yang menjadi satu kemuliaan untuk tinggal di sana. Kena tengok konteks ayat. Tidak ada asas yang kukuh mengatakan Nabi buta huruf. Tapi sekarang semua kata ummiy itu bermakna buta huruf. Nabilah yang mengajar macam mana nak tulis ayat dalam Quran. Kerana penulisan dalam Quran tidak sama dengan penulisan bahasa Arab yang biasa. Pernah Nabi betulkan cara sahabat tulis Quran sebab salah. Kalau Nabi buta huruf, macam mana dia boleh betulkan? Barulah kita boleh mengatakan Quran itu mutawatir. Padahal Quran lah sumber utama kita. Jadi kena ada pemikiran yang kritis. Kalau tak, kita akan ragu dengan Quran tanpa penyelesaian yang kukuh. Ada yang sampai tak percaya Quran sebab tak dapat terima kisah-kisah yang boleh menyebabkan fikiran terganggu. Sampai masuk Syiah pun ada – sebab Syiah kata Quran yang ada pada tangan kita sekarang tak benar. Oleh itu, kena terima bahawa macam inilah Quran dahulu sampai sekarang, sama sahaja.

Adakah usul dalam sirah seperti dalam fekah? Usul sirah sama seperti dalam usul hadis untuk menilai hadis. Tapi orang macam lupa nak pakai kaedah itu. Antaranya, sesuatu ilmu itu jangan bercanggah Quran, akal yang waras dan sebagainya. Perlu juga menggunakan usul riwayat dan dirayah.
Israiliyat adalah kisah dahulu, sebelum Nabi. Kalau sirah Nabi yang karut adalah syiiyat – tambahan dari orang Syiah. Yang dimasukkan unsur Syiah. Kalau kisah Israiliyat dan Syiiat itu bercanggah dengan Quran, boleh kita tolak.

Yang kata Nabi tidak ada bayang adalah riwayat tidak sahih. Sebab ada hadis sahabat takut terpijak bayang Nabi. Sahabat pun susah payah menudung Nabi. Ini semua adalah kerana terpengaruh dengan Syiah yang membawakan konsep Nur Muhammad.

Syarah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s