We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 51 Bab Sembahyang Tahiyatul Masjid June 4, 2013

بَاب إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Bab 33 Apabila Seseorang Dari Kamu Masuk Ke Masjid Maka Hendaklah Dia Mengerjakan Sembahyang Dua Rakaat Sebelum Duduk

Tajuk ini diambil bulat-bulat dari hadis. Kadang-kadang Imam Bukhari ambil dari Quran, kadang dari hadis dan kadang dia pilih sendiri. Tajuk Imam Bukhari adalah penting untuk dikaji kerana disitulah letaknya mazhab beliau.

Kalau dibandingkan solat Tahiyatul Masjid dengan solat Qudum, solat Qudum lagi penting. Kalau dah buat solat Qudum, tidak perlu buat solat Tahiyatul Masjid dah. Kerana ibadat yang kecil akan masuk dalam ibadat yang besar. Sama juga kalau kita niat untuk puasa Qadha dalam bulan Syawal, puasa enam akan masuk dalam puasa itu juga. Kerana Solat Qudum lagi besar dari Tahiyatul Masjidlah yang menyebabkan Imam Bukhari buat tajuk solat Qudum dahulu.

– Hubungan dengan solat qudum dengan solatTahiyatul Masjid:

  1. Solat Qudum boleh buat di rumah dan juga di masjid. Tahiyatul Masjid hanya dibuat di masjid.
  2. Dua-dua solat itu kena buat sebaik sahja masuk dalam masjid.
  3. Dua solat itu adalah jenis solat yang berlainan.
  4. Bilangan rakaat yang dibuat untuk kedua solat itu adalah dua rakaat.
  5. Kita tahu yang dua-dua solat itu adalah Sunnah yang berkait dengan masjid dari dalil perbuatan Nabi. Dan kemudian telah disambung dibuat ibadat itu oleh sahabat. Maka menunjukkan ianya tidak dimansukhkan. Kerana kalau sahabat tak buat, maka menunjukkan amalan ibadat itu hanya semasa zaman Nabi, atau Nabi telah memansukhkannya.
  6. Walaupun sunat, dua-dua solat itu amat ditekankan. Maka ianya adalah dinilai sebagai sunat muakkad olehImam Bukhari.

Ketahuilah bahawa Nabi ajar umatnya tentang amalan fardhu dan sunat. Semua ambilan ibadat kita kena ambil dari Nabi. Semua ajaran kena datang dari Nabi. Kalau bukan dari Nabi, kena hati-hati kalau nak ambil amalan itu. Maka ada perbuatan Nabi yang wajib dibuat dan ada yang sunat. Tidak semestinya apa yang disuruh oleh Nabi itu adalah wajib belaka.

Dalam bab ini, Imam Bukhari nak isyaratkan tentang perbezaan pendapat dikalangan ulama berkenaan solat Tahiyatul Masjid ini. Berikut adalah perkara-perkara yang menjadi khilaf di kalangan ulama:

  1. Hukumnya. Adakah wajib atau sunat? Jumhur ulama mengatakan ianya adalah sunat. Ulama mazhab Zahiriah dan ada juga ulama-ulama lain kata ianya adalah wajib. Kalau macam itu, kalau tak buat Tahiyatul Masjid, jatuh berdosa. Ibn Hazm kata ianya adalah sunat. Kali ini, dia tidak sependapat dengan mazhab Zahiri.
  2. Apakah ianya perlu dilakukan oleh mereka yang memang masuk untuk melakukan ibadat dalam masjid sahaja atau sesiapa sahaja yang masuk? Contohnya, mungkin ada yang masuk masjid itu kerana hendak bekerja membetulkan lampu dalam masjid. Adakah mereka juga kena solat? Imam Malik mengatakan ianya hanya khusus kepada mereka yang hendak melakukan ibadah sahaja. Tapi Jumhur ulama mengatakan kepada semua orang.
  3. Perlukah/bolehkah ianya dilakukan jikalau seseorang itu telah duduk lama? Mungkin dia terlupa atau ada keperluan lain yang dilakukan olehnya dahulu. Bolehkah dia melakukan solat Tahiyatul Masjid lagi? Imam Syafie memberi pandangan bahawa ianya luput kalau duduk lama. Kalau hendak melakukan juga, kena keluar masjid dan masuk balik. Imam Hanafi dan Imam Malik mengatakan tak luput walaupun setelah duduk lama.
  4. Berapakah rakaat solat Tahiyatul Masjid? 4 mazhab mengatakan paling kurang adalah 2 rakaat. Sebab ada ulama yang mengatakan boleh melakukan satu rakaat pun. Seperti solat Witr.
  5. Bolehkah melakukannya ketika khatib sedang membacakan khutbah? Imam Hanafi dan Imam Malik kata tidak boleh. Khalifah Umar, Uthman dan Ali juga kata tak boleh. Imam Syafie kata, walaupun khatib sedang membaca khutbah, solat Tahiyatul Masjid masih dikira sunat juga, maka elok kalau dibuat. Imam Bukhari pun berpendapat begitu, menunjukkan kepentingan solat ini. Tapi, perlulah dilakukan dengan ringkas. Jangan baca surah panjang-panjang. Kerana penting untuk mendengar khutbah. Mereka memegang Hadis Nabi yang perintah sahabat bernama Sulaik yang baru masuk masjid ketika baginda memberi khutbah untuk solat Tahiyatul Masjid juga.
  6. Bolehkah melakukan solat Tahiyatul Masjid dalam waktu terlarang? Ada tiga tempat yang dilarang untuk kita melakukan solat. Selepas solat subuh, ketika matahari tegak di atas kepala dan selepas solat asar. Imam Syafie kata boleh melakukan solat Tahiyatul Masjid bila-bila masa termasuk ketika waktu-waktu terlarang itu. Imam Ibn Taimiyyah dan Ibnu Qayyim pun kata begitu. Pada mereka, yang tak boleh itu adalah jikalau solat itu adalah solat tanpa sebab. Tapi kalau solat Tahiyatul Masjid dan solat jenazah contohnya, boleh. Kemudian, timbul soalan, yang dimaksudkan dengan selepas solat subuh dan asar itu solat siapa? Solat seseorang individu itu atau jemaah masjid yang pertama? Contohnya, seorang lelaki masuk masjid lama setelah solat jemaah yang pertama dijalankan. Adakah masih ada lagi solat Tahiyatul Masjid untuknya? Jumhur ulama mengatakan tak boleh solat Tahiyatul Masjid dalam waktu terlarang itu. Sebab mereka pakai hadis Nabi larang solat sunat selepas waktu terlarang itu sebagai asas. Jadi, apa-apa solat sunat pun termasuk juga Solat Tahiyatul Masjid tidak boleh dilakukan waktu itu.

Mari kita lihat apakah pendapat Imam Bukhari berkenaan perkara-perkara diatas. Kerana kita sekarang membincangkan kitab sahih Bukhari:

Pertama, berkenaan hukum mengerjakan solatTahiyatul Masjid : Imam Bukhari memegang pendapat seperti jumhur ulama juga, iaitu ianya adalah sunat, bukan wajib. Ini kita dapat tahu kerana hadis yang sama juga beliau letakkan sebagai dalil untuk dibawah tajuk ‘untuk mengatakan bahawa solat sunat adalah dua rakaat, dua rakaat’. Jadi, kalau dia letak hadis yang sama dalam bab mengatakan tentang solat sunat, maka tentulah dia berpendapat ianya adalah sunat. Tapi, kerana pentingnya solat ini, pada beliau, ianya adalah sunat muakkad.

Kedua, adakah ianya sunat kepada yang hendak duduk di dalam masjid, atau kepada sesiapa sahaja yang masuk? Pendapat Imam Bukhari serupa dengan Imam Malik – khusus untuk orang yang mahu beribadat dalam masjid sahaja. Ini kita dapat tahu dengan melihat tajuk yang diletakkan – ada perkataan ‘sebelum duduk’. Ada orang bukan berniat nak duduk, contohnya dia nak ambil barang sahaja, atau dia ada kerja yang hendak dilakukan dalam masjid. Mungkin dia ada kerja nak tengok meter letrik sahaja. Jadi, kepada orang-orang sebegitu, tidak disunatkan kepada mereka untuk melakukan solat Tahiyatul Masjid.

Ketiga, perlukah/bolehkah ianya dilakukan jikalau seseorang itu telah duduk lama? Pendapat Imam Bukhari sama dengan Imam Hanifah. Tidak luput kebolehan mengerjakannya dengan duduk. Samada lama atau tidak. Sengaja duduk dahulu atau tidak. Ini berdasarkan hadis seorang sahabat dah duduk dah dalam masjid dan Nabi tanya: apakah yang menghalang engkau untuk solat dua rakaat? Sahabat itu menjawab bahawa kerana dia lihat Nabi dan sahabat-sahabat yang lain sudah duduk, maka dia duduk sekali. Nabi suruh juga dia solat. Macam juga dengan solat rawatib, sebenarnya afdhal untuk dibuat di rumah. Maka kalau balik itu mengambil masa yang lama, boleh lagi buat walaupun perjalanan ke rumah itu lama dan mungkin dia ada bertegur sapa dengan orang lain dalam perjalanan pulang atau singgah beli makanan. Bagaimanapun solat Tahiyatul Masjid afdhal dilakukan sebelum duduk.

Keempat, berapakah jumlah rakaat. Pendapat Imam Bukhari sama – dengan jumhur ulama. Sekurang-kurangnya dua rakaat, tidak boleh lagi kurang dari itu. Ini kita tahu kerana ada pada tajuk lain, Imam Bukhari mengatakan bahawa solat sunat itu dua rakaat, dua rakaat.

Kelima, bolehkah dilakukan solat Tahiyatul Masjid ketika khatib sedang membaca khutbah? Bukhari menyatakan boleh lagi. Masih sunat dilakukan. Ini kita tahu dari dua tajuk yang Imam Bukhari letak di tempat lain dalam Sahih Bukhari ini. Pertama, berkenaan Imam menyuruh makmum untuk solat dua rakaat apabila nampak makmum itu baru masuk. Dan kedua, bab kalau imam ada, kena solat dua rakaat dengan ringkas.

Keenam, bolehkah melakukan solat Tahiyatul Masjid dalam waktu terlarang? Pendapat Bukhari sama dengan jumhur – tidak boleh. Tapi dia berpendapat hanya dua waktu sahaja – selepas solat subuh dan selepas solat asar. Pendapat ini sama dengan Imam Malik yang mengatakan hanya ada dua waktu terlarang sahaja. Iaitu selepas ‘seseorang’ solat asar dan subuh. Bermakna, bukanlah selepas jemah masjid itu telah melakukan solat asar dan subuh, tapi individu itu sendiri. Jadi, kalau seseorang itu masuk masjid, dia belum lagi solat subuh atau solat asar, dia boleh lagi melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid. Walaupun jemaah pertama telah melakukan solat berjemaah. Jadi, kalau dia sudah solat di tempat lain, dan baru sampai ke masjid itu, dia tidak boleh melakukan solat Tahiyatul Masjid. Kita tahu yang Imam Bukhari mengatakan hanya ada dua waktu terlarang adalah dari dalam tajuk lain Imam Bukhari menyatakan dua waktu itu sahaja sebagai waktu terlarang.

Mari kita lihat hadis yang dibawa Imam Bukhari sebagai dalil:

425 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَامِرِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ الزُّرَقِيِّ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ السَّلَمِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

425. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari ‘Amir bin ‘Abdullah bin Az Zubair dari ‘Amru bin Sulaim Az Zaraqi dari Abu Qatadah As Salami, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian masuk masjid, maka hendaklah ia salat dua rakaat sebelum duduk.”

Dari ayat yang digunakan oleh Nabi, ianya boleh jadi sebagai arahan wajib atau sunat. Kepada yang kata ianya wajib kerana kerana melihat ini sebagai perintah yang mesti diikuti. Dan hadis-hadis lain lagi yang digunakan sebagai penguat. Pertamanya Hadis yang melibatkan seorang sahabat bernama Sulaik. Sewaktu dia masuk ke dalam masjid, Nabi sedang memberi khutbah Jumaat. Seperti yang kita tahu, kita diperintah supaya jangan bercakap dan dengar khutbah dengan teliti. Maka, wajib untuk kita mendengar khutbah. Tapi, walaupun ianya wajib, Nabi suruh juga Sulaik solat dua rakaat. Sebab perkara wajib tidak boleh dilanggar melainkan dengan wajib. Oleh itu, solat Tahiyatul Masjid ini tentunya sesuatu yang wajib juga, kerana ianya boleh melanggar perbuatan yang wajib juga, iaitu mendengar khutbah.
Keduanya, satu lagi hadis riwayat Qatadah. Nabi tegur beliau kenapa dia tidak solat. Dia kata sebab dia nampak Nabi duduk. Kemudian, Nabi suruh dia solat juga.
Ketiganya, pernah seorang sahabat, bernama Abu Said al-Khudri solat Tahiyatul Masjid semasa Khalifah Marwan sedang memberi khutbah. Sudah ada orang-orang yang hendak menahannya dari solat, tapi beliau tetap solat. Selepas itu, orang-orang bertanya, kenapa dia solat juga, kerana hampir-hampir dia dipukul oleh pegawai masjid. Dia jawap, dia akan tetap melakukan solat Tahiyatul juga kerana dia pernah melihat sendiri Nabi menyuruh Sulaik mendirikan solat juga walaupun Khatib sedang membawa khutbah.

Itu adalah hujjah mereka yang mengatakan ianya adalah wajib. Bagaimana pula hujjah kepada mereka yang kata ianya sunat? Inilah hujjah mereka:

  1. Ada satu hadis kita telah belajar tentang seorang sahabat yang tanya apakah ibadat yang wajib. Nabi hanya mengatakan yang fardhu sahaja. Maknanya yang lain adalah sunat.
  2. Ada kisah seorang sahabat yang melangkah sahabat yang lain semasa solat Jumaat. Nabi tegur dia dan suruh dia duduk kerana dia sudah lambat dan menyakiti orang lain. Baginda tak tanya samada dia dah solat Tahiyatul Masjid atau tidak. Dan baginda tidak suruh dia solat. Baginda cuma suruh dia terus duduk. Kalau ianya adalah perkara yang wajib, tentu Nabi telah suruh dia solat dulu.
  3. Hadis tentang seorang sahabat mengadu hujan tidak turun. Dia datang semasa Nabi sedang memberi khutbah. Nabi tak tanya samada dia dah solat Tahiyatul Masjid atau tidak. Kalau wajib, mesti baginda dah tanya dan suruh.
  4. Hadis Kaab Malik tentang dia tidak pergi jumpa Nabi untuk memohon maaf kerana tidak menyertai Perang Tabuk. Dia jumpa Nabi semasa Nabi dalam masjid. Dia jumpa sebab dia nak mengaku kepada Nabi bahawa dia tidak ada alasan untuk tidak pergi, kecuali hanya dia terleka dengan dunia. Sebab tanamannya hendak berbuah. Nabi tak suruh dia solat Tahiyatul Masjid. Selepas dia mengadu, Nabi telah kata kepada orang yang hadir bahawa Kaab telah bercakap benar. Sebab semasa itu ramai orang tengah ada. Nabi suruh dia bangun dan tunggu keputusan Allah. Kaab pun tidak bercerita dia ada berhenti solat Tahiyatul Masjid dulu sebelum jumpa atau selepas jumpa Nabi. Imam Nasa’i sampai memasukkan hadis ini sebagai keharusan masuk masjid tanpa melakukan solat apa-apa. Bermakna, seseorang boleh masuk masjid tanpa buat apa-apa ibadat, walaupun dia datang hanya untuk tidur sekalipun. Itu adalah harus.
  5. Pernah satu waktu, ketika Saidina Umar sedang memberi khutbah Jumaat, ada orang datang lewat. Umar telah tanya dia kenapa dia lewat. Dia kata dia tak lewat, selepas dengar azan sahaja, dia terus berwuduk dan datang ke masjid. Dalam kisah ini, Umar hanya tegur kenapa dia lambat sahaja. Umar tidak suruh dia solat.

Banyak dalil yang digunakan untuk Tahiyatul Masjid ini adalah berkisar tentang kisah sahabat yang bernama Sulaik. Dialah yang ditegur oleh Nabi semasa Nabi sedang memberi khutbah Jumaat supaya dia melakukan solat Tahiyatul Masjid. Beliau telah datang dengan keadaan yang daif sangat. Mungkin pakaiannya lusuh dan cumpang camping. Maka dikatakan, Nabi telah suruh dia solat supaya suruh sahabat lain tengok. Nabi telah memberhentikan khutbahnya supaya semua orang boleh dapat tengok. Kalau Sulaik terus duduk, mungkin tidak dapat dilihat keadaannya yang menyedihkan itu. Dan selepas itu, ramai sahabat telah memberi bantuan kepada Sulaik.

Perbezaan pendapat itu adalah biasa. Yang paling penting adalah hati kita semua sama. Iaitu, keinginan untuk beribadat kepada Allah.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s