We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 50 Bab Sembahyang Apabila Seseorang Itu Pulang Dari Sesuatu Perjalanan June 1, 2013

بَاب الصَّلاةِ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ وَقَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ بَدَأَ بِالْمَسْجِدِ فَصَلَّى فِيهِ

Bab 32 Sembahyang Apabila Seseorang Itu Pulang Dari Sesuatu Perjalanan. Ka`ab Bin Malik Berkata: “Nabi S.A.W Apabila Pulang Dari Sesuatu Perjalanan Beliau Akan Singgah Di Masjid Dahulu Lalu Bersembahyang Di Situ.”

Solat apabila pulang dari musafir dipanggil: Solatul qudum minnas safar. Pendeknya, kita panggil Solat Qudum sahaja. Boleh buat samada di masjid atau rumah. Lebih molek di rumah. Sebab itu Imam Bukhari masukkan dalam bab masjid. Mungkin kita tak biasa dengar solat ini, itupun sebab kita tak belajar sahaja. Yang pasti, solat ini ada dalam hadis. Jadi ini adalah sunnah dari perbuatan Nabi. Jadi kedudukannya adalah tinggi, malah lebih tinggi dari ada solat yang tidak pasti kesahihannya dari segi syarak, termasuklah yang dikatakan orang solat tasbih.

Ini bukan Solat Tahiyyatul Masjid. Sebab solat itu kena buat khusus di masjid sahaja. Kalau kita buat solat Qudum ini, sudah tidak perlu buat solat Tahiyyatul Masjid  dah. Dalam keadaan selepas pulang dari musafir, lebih molek buat solat qudum ini. Masuk sekali Solat Tahiyatul Masjid dalam solat Qudum ini. Macam kalau kita masuk masjid, imam dah solat, kita masuk terus dalam jemaah. Kalau kita dah biasa buat, akan masuk sekali dah solat tahiyyatul masjid. Macam kalau mandi junub, dah termasuk sekali dengan wuduk, jadi tak perlu wuduk dah. Konsepnya adalah, ibadat yang kecil akan masuk dalam ibadat yang besar. Satu lagi contoh adalah, puasa enam masuk dalam puasa qadha. Jadi, elok buat qadha dalam bulan Syawal sebab dua-dua akan dapat. Ini dinamakan Kaedah tadaakhul.

Perbuatan Solat Qudum ini ada hikmat didalamnya. Memang, kalau Nabi dah buat, tentu banyak hikmahnya. Satunya adalah untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana mengembalikan kita dari musafir dan kembali ke rumah dalam keadaan selamat. Banyak risiko dalam perjalanan maka Allah telah selamatkan kita. Itulah salah satu hakikat sembahyang pun – iaitu sebagai tanda kesyukuran. Solat mana-mana pun termasuk solat Fardhu. Banyak orang tak faham kenapa kena solat. Sebenarnya, solat itulah cara kita balas atas segala nikmat yang Allah telah berikan. Banyak sekali nikmat Allah telah berikan nikmat. Itulah cara syukur yang Allah telah sampaikan kepada kita melalui Nabi. Kalau tak, kita tak tahu nak berterima kasih kepada Allah macam mana. Maka, Allah dah ajar kepada kita. Tapi kita kadang-kadang kalau dah dapat musibah baru nak tunjuk rasa syukur.

Keduanya, kita Solat Qudum ini hikmahnya adalah memulakan kehidupan harian selepas pulang dari musafir dengan mengambil keberkatan masjid. Masjid itu seperti yang kita tahu membawa berkat. Kerana itulah Nabi bersungguh membina masjid Quba’ walaupun baginda sekejap sahaja berada disitu. Kalau masjid tidak ada di sesuatu tempat itu, amat kuranglah keberkatan tempat itu.

Ketiganya, memberi peluang kepada sanak saudara bertemu muka di tempat yang selesa. Sebab di masjid, lebih luas dari rumah kita. Terutama kepada yang mempunyai ramai sanak saudara. Kalau semua datang ke rumah melawat kita, tak muat pula rumah. Dan ini terutama sekali kepada pemimpin. Senang kalau jumpa disitu. Boleh terus berbincang dengan anak buah tentang hasil pemergiannya bermusafir itu dan apakah tindakan yang seterusnya mereka akan buat. Senang anak buat hendak jumpa di situ.

Keempat, memberi peluang kepada isteri dan lain-lain ahli keluarga mengemas sebelum yang bermusafir sampai ke rumah. Tidaklah pulang dengan mengejut. Zaman sekarang, dah boleh call dulu dah. Supaya isteri sempat menyiapkan diri. Supaya bersedia melayan suami. Kalau semasa suami bermusafir sebelum itu, mungkin si isteri boleh berehat tak kemas sangat rumah. Tapi bila suami dah dekat nak pulang, kenalah kemaskan rumah dan diri. Taklah serabut suami kalau sampai rumah tengok dalam keadaan tidak terurus. Itu semua memberi ketenangan kepada suami. Jangan cerita benda berat-berat sesampai sahaja suami ke rumah.

Kelima, keluarga dapat tahu dia sudah sampai dan sekarang berada di masjid, mereka boleh menyiapkan makanan. Sebab kadang-kadang tuan rumah balik rumah dalam keadaan lapar. Dengan suami berhenti di masjid untuk solat, ianya memberi masa untuk mereka menyiapkan rumah. Benda-benda kecil macam inilah yang menyebabkan suami isteri ada masalah. Kadang-kadang suami tak cakap dia tak suka, tiba-tiba sahaja dia ceraikan. Tapi kalau diselidiki, benda-benda kecil macam inilah yang menyebabkan suami ada sedikit rasa tak suka dan kurang sayang kepada isteri. Tapi dia segan nak beritahu sebab rasa macam benda kecil. Maka, dia akan berikan alasan lain, tanpa memberitahu alasan yang sebenarnya.

Secara tidak langsung mengajar kita jangan pulang ke rumah dalam mengejut. Jadi kalau zaman sekarang, kita boleh bagitahu semasa dalam perjalanan. Kalau dah boleh telefon sahaja, boleh solat di rumah sahaja. Solat ini bukan kena buat di masjid sahaja. Banyak perkara dalam Sunnah itu, kita boleh tahu apakah maksud Nabi lakukan sesuatu perkara. Boleh diketahui kalau kita belajar. Oleh itu, kalau kita tahu sebab apa Nabi solat di masjid, iaitu nak beri masa kepada keluarganya bersiap, maka kita tak perlu nak buat di masjid, sebab sekarang kita boleh capai maksud memberitahu itu dengan menelefon sahaja. Yang penting, tercapai maksud. Cuma kalau solat di rumah, kuranglah sedikit hikmat yang kita boleh dapat, iaitu keberkatan masjid itu tadi.

Imam Bukhari memasukkan hadis riwayat Kaab bin Malik dalam tajuknya secara taqlik. Iaitu tidak diberikan sanad yang lengkap. Tapi hadis itu memang ada di tempat lain dengan hadis yang panjang. Secara ringkasnya, ianya adalah kisah tentang tiga sahabat tidak pergi menyertai perang Tabuk. Perang itu memerlukan kehadiran ramai peserta kerana belah musuh pun amat ramai dengan kelengkapan yang lebih baik. Kaab bin Malik sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak pergi. Kalau tidak pergi perang waktu itu, itu adalah tanda munafik. Tapi Kaab telah bertaubat. Dan sememangnya dia bukan orang munafik. Begitulah dugaan para sahabat. Bukan senang. Kita nak cakap dakwah dengan orang pun payah. Mereka tidak pergi perang pun ditegur dalam Quran. Sampai bila-bila ada kisah mereka. Tapi kita ada pula sampai hati nak kata: kenapakah Allah tak pilih aku sebagai sahabat? Entah larat atau tidak nak menghadapi dugaan menjadi sahabat Nabi .

424 حَدَّثَنَا خَلادُ بْنُ يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا مِسْعَرٌ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَارِبُ بْنُ دِثَارٍ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِاللَّهِ قَالَ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ قَالَ مِسْعَرٌ أُرَاهُ قَالَ ضُحًى فَقَالَ صَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي

424. Telah menceritakan kepada kami Khallad bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Mis’ar berkata, telah menceritakan kepada kami Muharib bin Ditsar dari Jabir bin ‘Abdullah berkata, “Aku datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda sedang berada di masjid -Mis’ar berkata, “saya rasa dia ( Muharib) berkata, ‘Pada waktu dhuha.’-, “Beliau bersabda: “Salatlah dua rakaat.” Ketika itu baginda mempunyai hutang kepadaku. Maka beliau membayarnya selepas aku selesai sembahyang dan malah memberi tambahan kepadaku.”

Ini menunjukkan selain dari Sunnah fi’liah (perbuatan) dari hadis Kaab diatas, ada juga Sunnah qawliah (perkataan) apabila Nabi sendiri menyuruh Jabir melakukan solat dua rakaat. Apabila ada Sunnah qawliah, maka jelaslah kepada kita bahawa perbuatan solat qudum itu bukan hanya khas kepada Nabi sahaja. Maka ianya adalah peringatan kepada seluruh ummat. Kerana kadang-kadang, ada juga perbuatan Nabi, hanya untuk baginda. Kalau macam itu, baginda tak suruh sahabat buat.

Dalam hadis diatas, tidak jelas bahawa Nabi suruh Jabir solat qudum. Mungkin ianya adalah solat lain. Kerana ianya adalah hadis yang ringkas. Dalam hadis yang panjang, memang waktu itu Jabir baru balik dari musafir. Nabi telah sampai dahulu, dan semasa Jabir jumpa Nabi itu, Jabir baru sahaja pulang dari musafir. Yang Nabi suruh solat dua rakaat itu bukan kerana solat tahiyatul masjid. Dan bukan juga solat Dhuha. Ada juga ulama yang mengambil hadis ini sebagai dalil kepada solat Dhuha. Sebab dalam hadis itu, ada juga dikatakan waktu itu adalah waktu dhuha. Tapi yang sebenarnya yang lebih tepat adalah ianya adalah solat Qudum minas Safar.

– Jadi sunnah itu ada banyak jenis. Sunnah fi’liah, qawliah, taqririyah dan yang tak biasa kita dengar adalah Sunnah hammiah. Iaitu jenis yang Nabi tak buat tapi Nabi nak buat. Contohnya Nabi pernah bersabda, kalau sempat tahun depannya, Nabi nak buat Haji Tamattu’. Memang Nabi tak buat, tapi Nabi ada cakap Nabi nak buat.

–  Kisah hadis ini: Nabi telah hutang beli unta dengan Jabir. Unta itu asalnya memang unta Jabir, tapi dalam perjalanan ke Tabuk itu, ianya berjalan sangat perlahan. Nabi telah cucuk unta itu dengan tongkat dan selepas itu, unta itu jadi laju. Lepas itu Nabi minta nak beli pula dari Jabir – dengan cara hutang. Tapi bagi Jabir pakai dulu untuk peperangan itu. Janjinya untuk diberikan bayaran itu nanti di Madinah. Dan Nabi bila bayar, baginda bayar lebih. Itu bukan riba. Selepas bayar tu, Nabi hadiahkan balik unta itu kepada Jabir. Nabi tak pernah pakai pun unta itu. Sayang sungguh Jabir dengan unta itu kemudiannya.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Bayar hutang lebih tanpa perjanjian awal, bukan riba. Itu adalah bayar yang molek. Orang yang beri hutang kepada kita  itu telah melakukan satu budi. Dia telah menolong kita sewaktu kita susah. Jadi, cara untuk kita membalas budi adalah dengan bayar lebih kepada dia.
  2. Nabi sentiasa memberi pandangan baik tentang dunia dan akhirat kepada umatnya. Semua perbuatan Nabi menjadi ikutan untuk kita. Samada dalam hal agama atau hal kehidupan. Maka, dalam hadis ini, menunjukkan dalam perkara berhutang pun Nabi tunjuk panduan untuk kita contohi.
  3. Hadis ini juga menunjukkan kemurahan hati dan tangan Nabi. Jelas menunjukkan Nabi tiada mempunyai kepentingan diri.

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s