We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 48 & 49 (Sambungan) Bab Tidur Orang Perempuan Di Dalam Masjid…(dan seterusnya) June 1, 2013

Bab 31 Tidur Orang Lelaki Di Dalam Masjid. Abu Qilabah Meriwayatkan Daripada Anas Bin Malik Katanya: “Satu Kumpulan Bani `Ukl Datang Kepada Nabi S.A.W Lalu Mereka Tinggal Di Suffah (Serambi Masjid).” Abdur Rahman Bin Abu Bakr Berkata: “Ahli-Ahli Suffah Itu Adalah Orang-Orang Miskin.”

Sekarang kita masuk ke dalam tajuk lelaki pula yang tidur di masjid. Sebelum ini tentang perempuan yang tidur di masjid. Beza dengan tajuk sebelum ini dimana diletakkan perempuan pada jumlah ‘seorang’ perempuan, tapi dalam tajuk ini, lelaki dalam jumlahnya ‘ramai’. Sebab dari dulu lagi, orang lelakilah yang lebih ramai tidur di masjid. Orang perempuan jarang sampai tidur di masjid. Kalau tidur sekejap pun belum tentu lagi.

Tajuk ini juga tidak diberi hukum oleh Imam Bukhari samada haram, harus atau makruh. Dia tidak buat keputusan kerana nak menunjukkan ada khilaf. Kerana ada juga ulama yang kata lelaki pun tak boleh tidur dalam masjid. Imam Bukhari nak menunjukkan bahawa hukumnya adalah harus dengan menjaga adab-adab di dalam masjid. Kalau perempuan pun boleh, lelaki pun boleh tidur dalam masjid walaupun ada kemungkinan terdedah kepada junub atau ihtilam (mimpi basah).

Ada yang menggunakan dalil bahawa lelaki yang berjunub tidak boleh berada dalam masjid. Mereka menggunakan ayat 4:43 sebagai dalil.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

Tapi, ayat 4:43 bukan berkenaan masjid. Ia mengatakan jangan hampiri solat kalau mabuk. Bukan hampiri tempat solat.

Keduanya, tidak semua ulama menafsirkan bahagian kedua (jangan hampiri masjid) diatas seperti yang tertulis itu. Kerana dalam ayat itu, tidak jelas mengatakan ‘jangan hampiri masjid’. Itu adalah tanggapan sesetengah ulama. Dan yang selalu dikatakan lalu itu lain tafsirnya. Sebenarnya ada yang memegang maknanya seperti ini: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula kamu bersolat, sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu dalam musafir – hingga kamu mandi bersuci. Ini bermakna, kalau dalam musafir, boleh solat kalau dengan menggunakan tayamum. Ini kita telah belajar dalam Kitab Tayammum dulu.

Bagaimanakah orang lelaki Islam tidak boleh berada dalam masjid, sedangkan pernah orang kafir pun ditahan oleh Nabi dalam masjid. Begitu juga dengan hadis Abu Hurairah yang dalam junub tapi Nabi berjalan-jalan dengan dia. Kerana dia malu, dia senyap-senyap lari meninggalkan Nabi untuk mandi junub. Apabila dia kembali kepada Nabi, tanya kenapa dia buat macam tu. Nabi pun bersabda bahawa orang mukmin tidak najis.

Ada juga ulama yang kata makruh kalau tidur di masjid jikalau rumah mereka berdekatan. Oleh itu, mereka mengatakan harus untuk tidur dalam masjid kepada orang bermusafir. Untuk menjawap bahagian ini, Imam Bukhari akan memberikan dalil tentang Ibn Umar dan Saidina Ali yang tinggal berdekatan masjid, tapi mereka tidur juga di masjid. Oleh itu, Imam Bukhari dan jumhur kata harus tidur di masjid.

Memang ada hadis yang mengatakan Nabi melarang sahabat tidur di masjid, tapi hadis-hadis yang melarang tidur di masjid itu adalah maudu’ (palsu) atau dhaif. Salah satu hadis adalah tentang Nabi pukul sahabat yang tidur di masjid dengan pelepah tamar. Antara yang tidur disitu adalah Saidina Ali. Tengok Nabi pukul itu pun dah tahu itu hadis palsu sebab Nabi bukan seorang yang kasar. Selepas Nabi halau mereka, Nabi panggil balik Ali dan Nabi kata masjid dihalalkan kepada Ali sebagaimana dihalalkan untuk baginda. Itu dah ada elemen syiah tu. Nabi mana ada pilih kasih.

Imam Bukhari membawakan dalil Puak Ukl. Puak Ukl itu datang ke Madinah kerana mereka kata mereka telah memeluk Islam dan ingin belajar dari Nabi. Nabi telah meletakkan mereka di Serambi Masjid Nabi. Mereka kemudiannya telah murtad dan curi unta. Kisahnya, mereka sakit kerana tak sesuai dengan cuaca Madinah. Nabi suruh mereka minum susu dan kencing unta. Bila mereka sihat itu mereka telah membunuh gembala dan mencuri unta. Maka Nabi telah menyuruh supaya ditangkap mereka dan mereka telah dihukum dengan sekeras-kerasnya. Yang hendak dibawa oleh Imam Bukhari adalah mereka tidur di serambi masjid. Kalau tidak boleh tidur di masjid, tentulah Nabi tak suruh mereka duduk disitu. Serambi masjid pun adalah sebahagian dari masjid juga.

421 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ عُبَيْدِاللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ قَالَ أَخْبَرَنِي عَبْدُاللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ يَنَامُ وَهُوَ شَابٌّ أَعْزَبُ لا أَهْلَ لَهُ فِي مَسْجِدِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

421. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya dari ‘Ubaidullah berkata, telah menceritakan kepadaku Nafi’ berkata, telah mengabarkan kepadaku ‘Abdullah bin ‘Umar, beliau memberitahu bahwa semasa muda belia dan belum berumahtangga, dia pernah tidur di masjid Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Ibn Umar menceritakan bahawa beliau selalu tidur di Masjid Nabi. Menunjukkan keharusan tidur dalam masjid walaupun bukan musafir. Kerana Ibn Umar itu bukannya duduk jauh dari masjid. Beliau adalah anak Saidina Umar.
Bukan Ibn Umar seorang sahaja. Dia bersama kawan-kawannya.
Sama sahaja kalau Masjid Nabi dan masjid lain.
Baik untuk tidur di masjid. Kerana kalau di masjid, seseorang itu senang untuk kawal diri. Tidak main-main sangat. Menjinakkan diri dengan masjid. Itu amat elok sekali.
Sesetengah negara memang ada buat bilik tumpangan dalam masjid. Tapi janganlah sampai berjimak dalam masjid. Itu tidak boleh.
Ibn Umar menceritakan dia selalu tidur di masjid semasa dia muda belia. Selepas berumahtangga, Ibn Umar tidaklah selalu tidur di masuk. Sudah ada tanggungjawab lain sebagai ketua keluarga.

422 حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْعَزِيزِ بْنُ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ فَاطِمَةَ فَلَمْ يَجِدْ عَلِيًّا فِي الْبَيْتِ فَقَالَ أَيْنَ ابْنُ عَمِّكِ قَالَتْ كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَهُ شَيْءٌ فَغَاضَبَنِي فَخَرَجَ فَلَمْ يَقِلْ عِنْدِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لانْسَانٍ انْظُرْ أَيْنَ هُوَ فَجَاءَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هُوَ فِي الْمَسْجِدِ رَاقِدٌ فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُضْطَجِعٌ قَدْ سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ شِقِّهِ وَأَصَابَهُ تُرَابٌ فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُهُ عَنْهُ وَيَقُولُ قُمْ أَبَا تُرَابٍ قُمْ أَبَا تُرَابٍ

422. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Hazim dari Abu Hazim dari Sahl bin Sa’d berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang ke rumah Fatimah namun mendapati ‘Ali tidak ada di rumah. Beliau lalu bertanya: “Kemana putera pamanmu?” Fatimah menjawab, “Antara aku dan dia terjadi sesuatu (perselisihan) hingga membuatkan saya naik marah, lalu dia pergi dan tidak tidur tengahari di rumah.” Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada seseorang: “Pergi tengok, dimana dia” Kemudian orang itu kembali dan berkata, “Wahai Rasulullah, dia ada di masjid sedang tidur.” Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendatanginya, ketika itu Ali sedang berbaring sementara kain selimutnya terjatuh dari lambungnya dan tubuhnya terkena tanah. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membersihkannya seraya berkata: “Wahai Abu Thurab, bangunlah. Wahai Abu Thurab, bangunlah.”

Ini adalah satu lagi dalil untuk mengatakan harus tidur di masjid. Ali juga tinggal di Madinah, bukan musafir.

– Kenapakah Nabi tanya kepada Fatimah: “Kemana putera pamanmu”? Padahal Ali itu adalah putera paman Nabi. Itu adalah dipanggil bahasa majaz. Ada perkataan yang dibuang. Sepatutnya yang penuh adalah: kemana putera paman ayahmu? Itu adalah biasa digunakan. Macam juga kalau ayat Quran kata: “Tanyalah kampung itu”. Padahal, kampung bukan boleh bercakap. Sebenarnya, dibuang perkataan ‘penduduk’. Itu semua adalah bahasa halus. Atau perkataan itu juga digunakan untuk seseorang yang disayangi. Atau sebagai satu cara berlembut.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Nabi sangat mengambil berat hal anak menantunya. Elok diikuti apa yang Nabi buat. Kalau sayangkan Allah, hendaklah mengikut perbuatan Nabi. Kalau tak dapat pergi sebab jauh atau sibuk, mungkin sekarang kita boleh telefon tanya khabar.
  2. Berkunjung ke rumah anak menantu adalah Sunnah Nabi.
  3. Seorang ayah boleh ke rumah anak perempuannya yang telah berkahwin tanpa perlu mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu. Walaupun suami tiada dirumah masa itu. Lepas kahwin, ayah tidak turun pangkat macam yang selalu orang sangka. Masih lagi kuat perhubungan macam dahulu juga lagi. Memang kita selalu dengar satu kisah isteri yang tidak melawat ayahnya sampailah ayahnya mati kerana suami tiada untuk membenarkan. Itu adalah kisah yang tidak benar. Hubungan dengan mak ayah berterusan. Ingatlah bahawa dalam Quran kita disuruh berbuat baik dengan ibubapa, tiada pasal hubungan dengan suami. Walaupun memang dengan suami kena jaga hubungan. Tapi yang lebih penting, hubungan dengan ibu bapa. Walaupun mereka kafir lagi. Banyak yang salah kerana baca kisah-kisah sebegitu.
  4. Kalau jumpa menantu perempuan pun boleh jumpa tanpa perlu minta izin anak lelakinya. Kerana anak perempuan menantu itu sudah seperti anaknya sendiri. Tak perlu menantu perempuan tutup aurat kalau dengan ayah mertua. Kalau ada pula timbul perasaan yang lain macam, itu adalah dari syaitan dan kena buang perasaan itu jauh-jauh. Cuma zaman sekarang, kenalah jaga pergaulan sebab dah zaman fitnah. Seeloknya, jangan terlintas langsung. Kalau lelaki sampai inginkan emak mertua, ada ulama kata sampai putus langsung hubungannya dengan isteri. Ada ulama yang berpendapat begitu kerana amat berat kalau berlaku hal sebegitu.
  5. Keharusan memujuk dengan mengingatkan hubungan kekeluargaan. Itulah sebabnya Nabi cakap macam tu: kemana putera pamanmu? Baginda mengingatkan hubungan Fatimah dan Ali. Itu boleh meredakan kemarahan. Kerana kalau kita dengan keluarga, tidak akan putus.
  6. Orang yang bermukim juga dibenarkan tidur di masjid berdekatan dengan rumahnya, samada siang atau malam. Dalam hadis ini Ali tidur siang. Ibn Umar dalam hadis sebelum ini tidur waktu malam. Jangan kita adakan halangan untuk ke masjid. Supaya masyarakat kita dekat dengan masjid. Menjinakkan manusia dengan masjid. Jadi lemah pendapat yang mengatakan makruh tidur di masjid kalau bukan musafir. Dalil yang dibawa Imam Bukhari adalah kuat dan sahih.
  7. Boleh memanggil seseorang dengan nama gelaran yang dia suka. Kalau dia tak suka dengan gelaran itu, tak boleh. Ada yang suka, ada yang tidak. Kena pandai tengok perasaan seseorang itu. Jangan aibkan seseorang. Ada yang boleh terima kalau nama panggilan itu digunakan oleh sesetengah orang, tapi kalau orang lain guna, dia tidak suka. Contohnya, kalau keluarga dia panggil dia Mamat, dia ok. Tapi kalau luar dari keluarga dia panggil macam tu, dia tidak suka.
  8. Mendamaikan suami isteri yang sedang marah adalah Sunnah Nabi. Kalau kita tak dapat nak selesaikan, tapi kita runsing sahaja dah dapat pahala dah. Bermakna, kita tidak terima dengan mudah kalau ada perkelahian antara suami isteri. Syaitan amat suka kalau suami isteri cerai. Kalau ada syaitan dapat buat sampai bercerai tu, itu adalah pencapaian yang amat tinggi padanya. Bukankah ada hadis berkenaan syaitan hantar lapuran kepada Iblis tentang pencapaian mereka? Apabila ada syaitan yang dia telah cerai beraikan suami isteri, Iblis amat suka. Maka apa yang syaitan suka, kita kena lawan.
  9. Perkataan ‘membuatkan saya naik marah’ adalah dinamakan bina’ musyarakah. Sama-sama dua pihak buat dan menyebabkan kesan. Bukan satu pihak sahaja. Saling menyebabkan marah. Maka dengan menggunakan ayat itu, Fatimah menyatakan bukan Ali sahaja yang salah. Tapi kemarahan Fatimah lebih lagi. Ali lebih dalam menimbulkan kemarahan. Itu kita tahu dari bahasa yang digunakan. Ini ilmu saraf. Dalam kes ini, tidak pasti samada memang Fatimah lebih marah. Mungkin dia sendiri yang rasa dia lagi marah dari Ali.
  10. Orang Arab suka pakai kuniah. Iaitu nama panggilan. Macam Nabi, kuniah baginda adalah ‘Abul Qasim’. Selalunya dikaitkan dengan nama anak. Tapi ada yang tak pakai nama anak. Macam untuk Ali ini, Nabi pakai ‘tanah’. Macam-macam sebab boleh digunakan sebagai kuniah. Mungkin menceritakan sifat kegemarannya.
  11. Inilah sejarah nama Abu Thurab kepada Saidina Ali. Nama itu bermaksud orang yang badannya terkena tanah. Dia selepas itu lebih suka dipanggil dengan nama itu. Ada orang kata, kalau Ali dipanggil dengan nama itu adalah dengan tujuan menghina beliau. Tapi tidak, kerana Ali memang suka dengan kuniah itu. Jadi ada salah faham kepada orang yang tak tahu.
  12. Perselisihan suami isteri adalah normal selagi tidak melampaui batas. Orang yang tinggi dalam agama macam Ali dan Fatimah pun terjadi perselisihan.
  13. Keharusan suruh orang lain pergi siasat. Tidak semestinya pergi siasat sendiri. Walaupun mungkin dengan menghantar orang lain itu, boleh terdedah rahsia.
  14. Sayang Nabi sebagai seorang mertua. Baginda dengan manja telah sapu badan Ali dengan manjanya dan memanggil namanya dengan mesra. Nabi ada belaka contoh yang boleh kita ikuti. Macam-macam peranan ada pada Nabi. Macam orang Kristian, mereka tidak ada contoh cara berkeluarga pada Nabi Isa; Nabi dengan semua anak cucunya dia sayang. Tidak ada pilih kasih. Tapi dalam sejarah, sampai tak nampak anak cucu Nabi yang lain selain dari Hasan Husin. Padahal ada lagi anak cucu baginda yang lain. Ini adalah kerana politik menyebabkan ada kisah yang dikesampingkan. Itu tak elok. Kita kena tahu serba sedikit tentang anak cucu baginda yang lain.
  15. Masjid Nabi ringkas pada asalnya. Beralaskan tanah sahaja. Itu sebabnya badan Ali sampai kena pasir sebab dia tertidur atas tanah.

423 حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ عِيسَى قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ فُضَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُ سَبْعِينَ مِنْ أَصْحَابِ الصُّفَّةِ مَا مِنْهُمْ رَجُلٌ عَلَيْهِ رِدَاءٌ إِمَّا إِزَارٌ وَإِمَّا كِسَاءٌ قَدْ رَبَطُوا فِي أَعْنَاقِهِمْ فَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ نِصْفَ السَّاقَيْنِ وَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ الْكَعْبَيْنِ فَيَجْمَعُهُ بِيَدِهِ كَرَاهِيَةَ أَنْ تُرَى عَوْرَتُهُ

423. Telah menceritakan kepada kami Yusuf bin ‘Isa berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Fudlail dari Bapaknya dari Abu Hazm dari Abu Hurairah berkata, “Sungguh, aku pernah melihat sekitar tujuh puluh orang dari Ashhabush Shuffah (Sahabat-sahabat yang tinggal di serambi masjid Nabi SAW). Tidak ada seorangpun dari mereka yang memiliki selendang, yang ada cuma kain pakai atau selembang kain yang mereka ikat dileher mereka. Ada antaranya sampai ke separuh betis dan ada yang sampai ke buku lali. Kain yang dipakai itu dipegangnya dengan tangan kerana takut auratnya terdedah.”

Imam Bukhari membawakan dalil Ashabus Suffah pula kali ini. Ramai sahabat yang tinggal di serambi masjid itu. Kedudukan mereka adalah berlawanan dengan kiblat. Mereka duduk di belakang kiblat. Selepas kiblat ditukar, mereka telah bertukar tempat ke belakang. Tidak ada diterangkan dengan jelas bahawa mereka tidur. Tapi fikirkanlah, mereka apabila duduk disitu, tentulah mereka ada tidur. Dan tidak ada kisah mereka kalau nak tidur, pergi tempat lain. Makan minum pun disitu juga. Itulah yang hendak diajar Imam Bukhari bagaimana kita boleh dapat mengambil hukum dari hadis. Walaupun hadis tak cakap, tapi kita boleh dapatkan maklumat dari kata-kata dalam hadis itu.

Kalau mereka tidur disitu, tentulah mereka akan ada yang ihtilam (mimpi basah). Tidak perlu gaduh kalau terjadi macam itu. Itu adalah kejadian yang biasa bagi seorang lelaki. Kalau terjadi macam itu, boleh lagi duduk dalam masjid. Kalau orang kafir pun pernah Nabi tahan dalam masjid, apatah lagi kalau orang Islam duduk dalam masjid. Kalau orang Islam tak boleh masuk, macam kita mengatakan orang Islam lagi kurang darjat dari orang Islam pula. Kalau mazhab Hanafi, kalau berjunub dalam masjid, kena tayamum dulu sebelum keluar. KepadaImam Bukhari, tidak perlu buat semua tu. Boleh duduk tanpa ada masalah. Tidak makruh pun. Tidak perlu nak kena mandi terus. Ada mazhab lain kata, kalau nak buat apa-apa macam makan dan sebagainya, makruh kalau tak mandi dulu. Itu pun Bukhari tak pegang. Maka kita boleh lihat betapa senangnya pandangan Imam Bukhari. Menunjukkan keindahan Islam yang mudah.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Dikatakan dalam hadis ini ada lebih kurang 70 sahabat yang tinggal di Serambi Masjid Nabi. Abu Hurairah sendiri adalah salah seorang ahli Suffah itu. Meraka datang dari merata tempat ke Madinah kerana hendak belajar dengan Nabi tentang Islam. Macam asrama tempat itu. Ada juga yang lari dari keluarga, sebab keluarga tak terima mereka masuk Islam. Mereka datang sendiri. Nabi suruh mereka duduk disitu. Bilangan mereka turun naik. Semua itu atas keperluan. Ada yang perlu pulang ke kampung semula, mereka akan pulang. Umumnya, mereka orang yang hidup mereka susah. Abu Hurairah pernah lapar sampai pengsan. Mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran dan ibadat. Kemudian mereka meriwayatkan kepada kita. Maka, melaui merekalah, sampai ilmu Islam kepada kita. Banyak sungguh kebaikan mereka. Abu Hurairah akhirnya menjadi kaya raya. Dia menikah dengan tuannya iaitu seorang janda yang kaya. Kemudiannya, dia telah menjadi salah seorang gabenor kerajaan Islam. Memang ramai yang berkhidmat kepada Nabi semasa Nabi hidup, akhirnya menjadi kaya. Ada kata mereka sampai 200 atau 500 orang. Menjadi sedikit apabila mereka keluar perang atau musafir untuk berdakwah. Kerana, kalau ada kaum yang hendak belajar, Nabi akan hantar mereka untuk pergi mengajar. Pernah Nabi ditipu kaum yang meminta diberikan ajaran. Nabi hantar 70 orang tapi kemudian mereka semuanya dibunuh.
  2. Yang mengikut mereka adalah seperti puak tabligh sekarang. Ada juga kelebihan mereka banyak kekurangan mereka. Kena hormat juga usaha orang lain.
  3. Bilangan mereka berkurang apabila mendapat pekerjaan atau kahwin.
  4. Mereka sangat dhaif sampai pakaian pun tak lengkap. Tidaklah ada pakaian khas untuk mereka. Tapi begitu besar jasa mereka. Oleh itu, kalau dalam sekolah pengajian, tidak perlu sebenarnya nak kena ada pakaian yang khas. Kadang-kadang tu, anak murid tidak ada duit nak beli pakaian.
  5. Suffah itu adalah macam asrama putera kepada pelajar Nabi. Kalau ada pengunjung datang pun Nabi akan letakkan disitu.
  6. Suffah itu asrama pertama dan juga rumah ibadat. Nabi diingatkan jangan lupakan mereka. Sebab pernah pemuka kaya suruh lupakan puak puak miskin itu kalau hendak mereka masuk Islam. Tapi Allah tak benarkan.
  7. Selain hafal Quran dan hadis, mereka mendalaminya. Dan ada yang mengamalkan tazkiyatun nafs. Contohnya, mereka banyak berzikir. Zikir itu adalah roh dunia. Tapi bukanlah zikir mereka macam zikir sesat puak tarekat sekarang ni. Tapi bukanlah mereka ini asal sufi. Yang kata mereka itu adalah asal kepada tarekat atau puak sufi itu, itu adalah tohmahan sahaja. Puak tarekat memang suka pakai ambil sahaja dalil entah dari mana. Kalaulah nama mereka hendak disemadikan, kena panggil ‘suffi’ bukan sufi. Mereka tak tinggalkan dunia. Inilah yang sebetulnya.
  8. Serambi masjid itu adalah sebahagian dari masjid. Sudah tentu mereka tidur disitu. Maka inilah dalil mengatakan boleh lelaki tidur di dalam masjid.

Masjid kenalah mesra kanak-kanak. Ada hadis Nabi larang orang gila dan kanak-kanak. Tapi itu adalah hadis dhaif. Jadi ada yang pegang hadis yang tak patut dipegang. Itu semua orang yang ingat mereka pandai tapi mereka sebenarnya bodoh. Tapi bila diajak belajar, tak mahu. Kesian masyarakat kita ni. Ada orang yang hendakkan agama, tapi salah pemahaman mereka.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s