We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 47 Bab Tidur Orang Perempuan Dalam Masjid May 30, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 2:19 pm
Tags: , , ,

بَاب نَوْمِ الْمَرْأَةِ فِي الْمَسْجِدِ

Bab 30 Tidur Orang Perempuan Dalam Masjid

Bab ini Imam Bukhari hendak menceritakan tentang keharusan orang perempuan tidur dalam masjid. Walaupun ada kemungkinan perempuan itu akan datang haid. Imam Hanafi membenarkan perempuan untuk tidur dalam masjid dalam keadaan suci tapi kena keluar kalau datang haid. Imam Bukhari tak setuju dengan pendapat begitu. Kita akan membincangkan apakah dalil yang diberikan olehnya.
Tajuk beliau tentang hal ini adalah dalam bentuk umum sahaja. Iaitu, dia tidak letak hukum harus atau haram atau makruh. Selalunya, kalau Imam Bukhari buat begitu, menunjukkan dia isyarakat kepada adanya khilaf dikalangan ulama tentang hukum berkenaannya. Memang ada khilaf sebab ada yang kata tidak haid pun tak boleh tidur dalam masjid. Masing-masing ada dalil. Imam Bukhari beradab dalam mengkritik pandangan ulama lain. Dia tidak cakap bahawa pendapat orang lain salah. Dia cuma akan tunjukkan pendapat dia dan orang yang belajar akan tahu bahawa dia sebenarnya tidak bersetuju dengan sesetengah pendapat yang lain. Salah satu kriteria orang yang alim adalah kena tahu apakah ada khilaf dan mana tidak pada sesuatu tajuk itu.

Yang paling kuat dalil yang dibawakan oleh Imam Bukhari adalah hadis dibawah ini. Nabi benarkan seorang perempuan untuk tinggal dalam masjid. Tidak ada dalil yang mengatakan Nabi ada suruh dia keluar kalau dia datang haid. Asal hukum adalah harus dan dibenarkan, kecuali ada dalil yang mengharamkan. Jadi, kalau ada yang kata, perempuan itu kena keluar kalau haid, maka kena bawakan dalil. Dan kalau ada yang kata perempuan itu dibenarkan tinggal dalam masjid itu kerana dia sudah putus haid, kena bawa dalil juga sebab setahu kita, tidak disebut dimana-mana tentangnya. Jika tidak, kita kena terima bahawa dia adalah seorang perempuan yang normal. Dan seorang perempuan yang normal, tentulah akan datang haid.

Beberapa pendapat dari imam-imam mazhab:

  1. Imam Malik: mutlak tak boleh tidur. Samada ada haid atau tidak. Alasan yang diberikan adalah kerana boleh menimbulkan fitnah.
  2. Imam Syafie: boleh kalau tidak dalam haid cuma tidak molek. Kalau perempuan itu dalam haid, tak boleh.
  3. Mazhab Zahiri dan juga Mozani, anak murid syafie, menyatakan ianya harus secara mutlak. Samada dalam haid atau tidak, boleh tinggal dalam masjid. Imam Bukhari nampaknya sependapat dengan pendapat ini. Ini bermakna, pendapat itu keluar dari 4 mazahib. Ini adalah pendapat yang lebih kemas. Ada yang tak boleh terima sebab keluar dari mazhab yang empat. Tapi siapa yang kata tak boleh. Mozani itu adalah murid utama Imam Syafie juga, tapi dia pun boleh menerima pendapat yang lain dari gurunya.

Alasan yang diberikan oleh ulama yang mengatakan perempuan tidak boleh tidur dalam masjid:

  1. Kemungkinan aurat terdedah kepada lelaki.
  2. Fitnah kepada lelaki yang melihat perempuan. Nanti ada yang terpikat pula.
  3. Kekotoran darah haid. Mungkin boleh menitis dan mengotorkan masjid. Darah haid memang najis.
  4. Haid boleh terjadi bila-bila. Kerana kadang-kadang perempuan tidak tahu mereka akan kena haid. Tiba-tiba sahaja mengalir.  Jadi, itu akan mengotorkan masjid.
  5. Memang ada hadis melarang. Ini akan dibincangkan dengan jelas nanti.

Tapi Imam Bukhari melihat semua hujjah yang diberikan itu tak kemas. Boleh dibahaskan lagi. Masjid lebih terpelihara kalau dibandingkan dengan suasana di luar. Maka, kejadian fitnah itu akan lebih terkawal. Hadis-hadis yang diberikan pula tidak menepati syarat Bukhari. Hadis-hadis itu adalah dhaif sahaja. Perempuan yang tidur dalam masjid boleh duduk dalam bilik ataupun tempat yang tertutup supaya aurat mereka tidak terdedah.
Pasal ditakuti darah haid tumpah, mereka boleh jaga, tambahan pula dalam zaman sekarang yang boleh pakai tuala wanita dengan kemas. Katakanlah tertumpah pun, boleh dibasuh kemudiannya, tidak ada masalah.

Apakah dalil mereka yang mengatakan tidak boleh? Ada satu hadis berkenaan solat raya. Nabi suruh ramai-ramai umat Islam keluar pergi ke tempat solat termasuklah perempuan-perempuan. Tapi perempuan yang dalam haid disuruh duduk luar. Mereka kata itulah dalil yang mengatakan perempuan dalam haid tak boleh boleh masuk masjid. Tapi itu bukan masjid. Zaman Nabi, solat Hari Raya diadalah di kawasan lapang, bukan di masjid. Jadi tidak boleh pakai sebagai hujah mengatakan perempuan haid tidak boleh boleh masuk masjid. Mereka jawap balik, setakat musolla macam itu pun tak boleh, apatah lagi kalau betul dalam masjid? Jawapannya adalah, mereka disuruh duduk di belakang sebab bukan mereka boleh solat pun. Apabila mereka duduk di belakang, tidak mengganggu perempuan yang boleh sembahyang.

Satu lagi hadis yg digunakan oleh mereka yang mengatakan perempuan berhaid tidak boleh masuk masjid: pernah Nabi suruh Aisyah ambil sejadah dalam masjid dan Aishah jawap dia dalam haid. Nabi kata haid itu bukan ditangan. Maka mereka kata Aisyah hanya menghulurkan tangan sahaja. Tapi tidak ada dalil yang mengatakan demikian. Setakat mana panjang tangan Aishah untuk mengambil sejadah dalam masjid? Meraka kata balik, bukankah itu menunjukkan Aisyah pun tahu bahawa perempuan berhak tidak boleh masuk masjid. Sebab itu dia kata dia dalam haid. Kerana dia teragak-agak untuk masuk dalam masjid. Jawapannya adalah mungkin dia sendiri rasa tidak boleh pada masa itu. Dia pun rasa perempuan dalam haid tidak boleh masuk masjid. Tapi dengan kata-kata Nabi itu menunjukkan boleh. Maka, ini pula boleh dijadikan dalil yang mengatakan perempuan berhaid boleh masuk masjid.

Ada satu hadis yang dengan jelas mengatakan Nabi tidak menghalalkan perempuan haid dan lelaki berjunub dari masuk masjid. Tapi malangnya hadis ini tidak sahih. Madar (paksi) kepada hadis ini, iaitu seorang yang bernama Jasrah, tidak dikenali. Jadi tidak boleh diterima walaupun ada dalam banyak kitab termasuklah Sunan Ibn Majah.

Ayat Quran dalam 4:43 yang digunakan pun tidak sesuai. Boleh ditakwil untuk mengatakan tentang orang bermusafir bukan untuk lalu sahaja.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Itu adalah terjemahan yang biasa kita lihat. Tapi bukan itu sahaja pemahaman yang kita boleh ambil dari ayat itu. Itu adalah satu cara penafsiran sahaja. Tapi Imam Bukhari dan banyak lagi ulama-ulama lain mereka mentafsir ayat itu dengan cara yang lain. Pertamanya, perkataan jangan hampiri itu adalah jangan hampiri ‘solat’, bukan jangan hampiri ‘tempat solat’. Keduanya, perkataan seterusnya yang tidak membenarkan menghampiri masjid itu bukan ada dalam ayat Quran itu tetapi anggapan sesetengah penafsir. Ada yang tafsir dengan mengatakan tidak boleh solat dalam keadaan berjunub. Kecuali dalam keadaan musafir. Kerana dalam keadaan musafir boleh menggunakan tayammum.

Itulah sahaja pegangan yang digunakan oleh mereka yang mengatakan tidak boleh perempuan berhaid masuk masjid. Sebab tidak ada hadis yang jelas melarang. Memang tidak kuat. Walau bagaimana pun, kita akui, tidak ada juga dalil yang jelas yang mengatakan Nabi pernah cakap perempuan berhaid boleh masuk masjid. Cuma daripada dalil yang diberikan oleh kedua-dua pihak, nampak lebih kepada pihak yang mengatakan boleh perempuan haid masuk dalam masjid.

Sedangkan orang kafir pun pernah Nabi letak dalam masjid. Adakah perempuan lebih rendah martabat dari orang kafir?

Memang tak ramai pun perempuan tidur di masjid. Dalam tajuk pun muftad.

Apakah kelebihan kalau kita memegang pendapat Imam Bukhari ini:

  1. Perempuan lebih perlukan perlindungan. Masjidlah yang terbaik sebagai tempat perlindungan. Itu sebab Nabi letak perempuan itu di masjid. Ini bermakna baginda meletakkan perempuan itu di tempat yang mulia. Bukanlah Nabi menghina dia dengan meletakkan beliau di masjid itu bermakna baginda menghina dia. Letak di masjid lebih baik dari kalau baginda letak di rumah para sahabat.
  2. Mengangkat martabat kaum wanita. Tidaklah dibenarkan orang lelaki sahaja, tapi tidak dibenarkan kepada orang perempuan. Ini menunjukkan Islam tidak menganggap mereka rakyat kelas kedua. Kuranglah sedikit tohmahan ‘Women’s Liberation’ terhadap Islam.
  3. Percaya kepada lelaki dan perempuan dalam masjid. Percaya bahawa mereka boleh menjaga diri mereka dari melakukan perkara tidak elok. Kalau di masjid tempat yang mulia, kita boleh tahu bahawa mereka takkan buat perkara mungkar yang boleh terjadi di luar masjid.
  4. Tanggapan diskriminasi wanita akan lenyap.
  5. Bawa perempuan masuk masjid lebih selamat dari tinggalkan dalam kereta. Boleh kena kacau. Katakanlah suami nak berhenti solat. Kalau perempuan boleh masuk masjid, tunggu dalam masjidlah. Tak payah tunggu dalam kereta. Tak tahu orang jahat mungkin dia nampak perempuan seorang sahaja dalam kereta, nanti dia berani nak kacau.
  6. Jinakkan perempuan dengan masjid. Boleh belajar dan sebagainya. Tidaklah mreka ketinggalan dalam mendapat ilmu agama dan mempelajari cara ibadat yang benar.
  7. Perempuan boleh jadikan masjid sebagai tempat perhentian juga. Masjid boleh jadi macam-macam. Katakanlah mereka hendak menunggu bas mereka sampai, mereka boleh tunggu dalam masjid untuk berehat.
  8. Perempuan boleh menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di masjid. Seperti jamuan makan, Majlis Pernikahan dan sebagainya. Tidaklah mereka tersisih. Sampaikan kadang tu, ibu pengantin pun tak boleh menghadiri majlis penikahan anak dia sebab dia sedang datang bulan.

Begitulah terbuka dan bergunanya pendapat Imam Bukhari kalau kita terbuka minda kita untuk terima. Pendapatnya begitu segar dan kontemporari. Tapi nasib Imam Bukhari macam tak laku mazhabnya. Orang tak tahu dan tak mahu nak ambil tahu. Dan kalau ada yang tahu pun, mungkin mereka tak mahu terima pendapat beliau. Kerana mereka rasa pegangan mazhab yang mereka sedang pegang adalah yang benar dan tidak ada yang lagi benar. Ada orang mungkin kata: kenapa pakai yang mudah sahaja? Pertamanya, bukan kita yang bagi pendapat ini. Imam Bukhari. Kitabnya terkenal seluruh dunia. Dialah yang memberikan pendapat yang mudah ini. Mungkin nampak mudah. Tapi siapa yang suruh buat yang susah? Adakah Allah suruh susah dalam agama ini? Nabi kalau diberikan pilihan akan memilih yang lebih mudah antara keduanya. Yang ayat Quran yang kata Allah hendak memudahkan kita pun ada juga.

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

“Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. (Al-Hajj:78)

Aisyah pernah buat haji semasa datang haid. Beliau mengadu kepada Nabi Muhammad kerana dia sedih sebab tak dapat nak buat amal ibadat. Nabi kata dia buat semua perbuatan orang berhaji, kecuali tawaf dan solat. Maka antara yang dibuat orang haji adalah masuk masjid. Tidak ada kisah mengatakan Aisyah kena duduk luar waktu itu. Antara yang boleh dibuat juga semasa itu adalah membaca ayat Quran. Sebab memang orang buat Haji antara amalan mereka akan buat adalah membaca Quran.

Marilah kita lihat hadis yang digunakan oleh Imam Bukhari sebagai hujjah beliau.

420 حَدَّثَنَا عُبَيْدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ وَلِيدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيٍّ مِنَ الْعَرَبِ فَأَعْتَقُوهَا فَكَانَتْ مَعَهُمْ قَالَتْ فَخَرَجَتْ صَبِيَّةٌ لَهُمْ عَلَيْهَا وِشَاحٌ أَحْمَرُ مِنْ سُيُورٍ قَالَتْ فَوَضَعَتْهُ أَوْ وَقَعَ مِنْهَا فَمَرَّتْ بِهِ حُدَيَّاةٌ وَهُوَ مُلْقًى فَحَسِبَتْهُ لَحْمًا فَخَطِفَتْهُ قَالَتْ فَالْتَمَسُوهُ فَلَمْ يَجِدُوهُ قَالَتْ فَاتَّهَمُونِي بِهِ قَالَتْ فَطَفِقُوا يُفَتِّشُونَ حَتَّى فَتَّشُوا قُبُلَهَا قَالَتْ وَاللَّهِ إِنِّي لَقَائِمَةٌ مَعَهُمْ إِذْ مَرَّتِ الْحُدَيَّاةُ فَأَلْقَتْهُ قَالَتْ فَوَقَعَ بَيْنَهُمْ قَالَتْ فَقُلْتُ هَذَا الَّذِي اتَّهَمْتُمُونِي بِهِ زَعَمْتُمْ وَأَنَا مِنْهُ بَرِيئَةٌ وَهُوَ ذَا هُوَ قَالَتْ فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ قَالَتْ عَائِشَةُ فَكَانَ لَهَا خِبَاءٌ فِي الْمَسْجِدِ أَوْ حِفْشٌ قَالَتْ فَكَانَتْ تَأْتِينِي فَتَحَدَّثُ عِنْدِي قَالَتْ فَلا تَجْلِسُ عِنْدِي مَجْلِسًا إِلا قَالَتْ وَيَوْمَ الْوِشَاحِ مِنْ أَعَاجِيبِ رَبِّنَا أَلا إِنَّهُ مِنْ بَلْدَةِ الْكُفْرِ أَنْجَانِي قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ لَهَا مَا شَأْنُكِ لا تَقْعُدِينَ مَعِي مَقْعَدًا إِلا قُلْتِ هَذَا قَالَتْ فَحَدَّثَتْنِي بِهَذَا الْحَدِيثِ

420. Telah menceritakan kepada kami Ubaid bin Isma’il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam bin ‘Urwah dari Bapanya dari ‘Aisyah, bahawa ada seorang budak perempuan berkulit hitam milik suatu keluarga Arab. Setelah keluarga itu memerdekannya, ia tetap hidup bersama mereka.” Bekas Hamba Perempuan itu bercerita, “pernah seorang anak perempuan keluarga itu keluar dengan memakai selempang merah terbuat dari kulit yang bertatah permata. Dia meletakkan selempangnya atau selempangnya terjatuh dari tubuhnya. Tiba-tiba seekor helang lalu disitu dan ia ternampak selempang yang terletak diatas tanah itu. Helang itu menyangkanya sebagai daging maka disambarnya. Mereka mencarinya tapi tidak menemukannya. Hamba Perempuan itu bercerita lagi: “Setelah menuduh aku mengambilnya, mereka terus memeriksaku sehingga mereka memeriksa kemaluannya. ‘Bekas hamba Perempuan itu meneruskan ceritanya: “Demi Allah, sesungguhnya ketika aku sedang berdiri bersama mereka, tiba-tiba lalu burung helang tadi dan dilepaskannya selempang itu. Ia jatuh dihadapan mereka. Aku lantas berkata: Inilah yang kalian tuduh aku mengambilnya. Kamu menganggap aku mengambilnya padahal tidak. Inilah selempang itu. ‘Aisyah radliallahu ‘anhu berkata,: “hamba perempuan itu kemudian datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan masuk Islam. Dia memiliki khemah kecil di dalam masjid. ‘Aisyah radliallahu ‘anhu berkata,: “dia selalu datang bercakap-cakap denganku dan setiap dia datang ke majlisku, tidak lupa dia mengungkapkan syair ini: selempang adalah antara keajaiban Tuhan kita. Bagaimanapun, ia telah menyelamatkan daku dari negeri kafir. Aisyah radliallahu ‘anhu berkata,: ” pernah saya bertanya dia, kenapa setiap kali kamu duduk di sampingku, mesti saja kamu mengungkap syair ini?” Maka dia mengisahkan peristiwa tadi kepadaku.

Tidak diketahui siapakah perempuan bekas hamba itu dan dari manakah kaum itu. Tapi tidak menjadi masalah. Tidak penting untuk kita tahu. Tidak layak untuk kita mempertikaikan hadis itu kerana dia dikira sahabat juga. Dan sahabat telah diberikan kedudukan yang tinggi oleh Allah dalam Quran. Quran telah mengatakan mereka orang yang baik. Jadi jelas perempuan bekas hamba ini adalah seorang sahabat. Dia duduk dalam masjid itu sebagai seorang Islam. Nama tidak disebutkan sebab tak penting. Hadis pun bukan macam bible, semua nak cerita.

Budak perempuan anak bekas tuannya itu pakai macam selempang macam sekarang banyak dipakai oleh polis dalam majlis rasmi. Ada dibuat dari kain, tapi kali ini dibuat dari kulit.

Dalam hadis itu, apabila bekas hamba perempuan itu mengatakan badannya digeledah, sampaikan mereka mencari di ‘kemaluannya’. Sepatutnya dia mengatakan ‘kemaluanku’. Tapi itu pun benar juga kerana dia menggunakan bahasa yang lembut. Kerana itu adalah perkara yang memalukan. Oleh itu, dia cakap macam perkara itu kena kepada orang lain. Betul dari segi balaghah. Itulah seni bahasa. Quran pun banyak guna bahasa macam ni.

Dengan kuasa Allah, burung helang jatuhkan balik. Itulah yang menakjubkan perempuan itu. Walaupun sudah lama kejadian itu, dia ingat tentang keajaiban Tuhan.Dalam riwayat lain, dikatakan perempuan itu telah berdoa walaupun dia seorang kafir waktu itu. Oleh kerana kejadian itu, dia dah tak suka tinggal di kawasan itu maka dia telah keluar dari kawasan itu. Dia telah masuk Islam dan Nabi letakkan dia dalam masjid. Dia duduk dalam khemah kecil. Kalau sampai ada khemah tu, maksudnya duduk dalam jangka yang lama. Dalam keadaan biasa, mestilah dia datang haid. Nabi takkan benarkan perbuatan salah dilakukan. Kalau seorang perempuan haid tidak boleh berada dalam masjid, Nabi tidak akan benarkan. Sedangkan meludah pun Nabi ada larang. Inilah dalil yang digunakan oleh Imam Bukhari. Memang tidak ada kata dari Nabi yang cakap bahawa perempuan dalam haid boleh duduk dalam masjid, tapi dari hadis ini, kita boleh lihat bahawa perempuan itu dibenarkan duduk.

– Kerana kejadian itu mengesankan hatinya, dia telah bersyair tentangnya. Dalam hadis banyak dinukilkan syair-syair yang dikumandangkan  oleh sahabat. Orang Arab amat suka bersyair. Kalau orang yang tahu syair dan bandingkan dengan Quran, akan lebih nampak kehebatan Quran itu. Quran bukan syair. Nabi tidak bersyair kerana Allah beri lebih lagi. Tidak layak utk Nabi bersyair.

Pengajaran yg boleh diambil:

  1. Orang lelaki atau perempuan yang tiada kediaman boleh menetap dalam masjid kalau perbuatan itu aman dari fitnah.
  2. Keharusan memasang khemah dalam masjid untuk lelaki atau perempuan yang dalam keadaan susah. Supaya mereka tidak terdedah kepada orang yang beribadat di masjid itu. Biasanya, orang yang beriktikaf akan memasang khemah dalam masjid.
  3. Elok keluar dari negeri yang menyebabkan seseorang mendapat malu atau membuat dirinya sengsara. Perempuan itu dapat nimat Islam dengan dia keluar dari tempatnya. Buka buku baru.
  4. Ada kalanya fitnah keatas seseorang menyebabkan kebaikan di kemudian hari. Seperti perempuan itu, dia dapat Islam. Kalau tak kerana kejadian itu, mungkin dia tak keluar dari tempat itu dan tak jumpa Islam. Maka kalau dapat ujian, maka terimalah. Kita tak tahu apakah hikmahnya ujian itu.
  5. Kelebihan berhijrah dari negeri kafir ke negeri Islam. Walau nampak bagaimana kurangnya negeri Islam itu pada zahirnya. Ada kelebihan juga. Contohnya bab makanan senang nak cari. Amat kurang apa yang ada di negeri kafir itu walaupun kita nampak menarik pada zahirnya.
  6. Kelebihan berpindah dari tempat kurang baik ke tempat lebih baik. Jangan cintakan sangat tempat tinggal kita yang sekarang, sampai tak mahu pindah. Kena sanggup susah sikit. Kena bersedia untuk pergi ke tempat lain. Contohnya sanggup tinggalkan negara untuk belajar.
  7. Doa orang yang dizalimi diterima Allah walaupun mereka kafir. Walaupun dia doa terhadap kita yang Islam, kalau kita zalim keatasnya. Semasa perempuan itu berdoa, dia masih kafir lagi.
  8. Peristiwa penting dalam kehidupan tidak akan dilupainya. Boleh menghasilkan perkara yang baik. Dalam keadaan biasa tidak terjadi. Macam perempuan ini dia buat syair. Sampai bila bila ada termaktub dalam hadis ini. Dia sendiri tidak dikenali.
  9. Menempatkan seseorang dalam masjid bukan menghinanya tapi memuliakan dia kerana masjid adalah tempat yang mulia. Nabi tak suruh dia duduk rumah sahabat. Nabi tentunya tidak menghinanya.
  10. Masjid tempat yang paling selamat. Luar pun kena jaga tapi lebih-lebih lagi dalam masjid.
  11. Oleh kerana masjid adalah tempat yang selamat, maka lelaki dan perempuan sepatutnya dibenarkan tinggal di dalamnya.
  12. Kerana masjid adalah tempat penyebaran ilmu, lelaki dan perempuan sepatutnya dibenarkan memasukinya. Tiada halangan kepada perempuan yang haid. Supaya mereka tidak ketinggalan dalam ilmu.
  13. Aktiviti kemasyarakatan boleh dilakukan dalam masjid kepada lelaki dan perempuan. Termasuk antaranya kalau buat majlis nikah dalam masjid. Perempuan dalam haid pun boleh masuk. Derma darah pun boleh. Mazhab Bukhari kata darah tak najis. Darah haid yang najis. Ijtihad Bukhari sesuai untuk mengadakan aktiviti seperti itu.
  14. Dalil yang membenarkan perempuan haid masuk masjid lebih kuat dari dalil yang tidak membenarkannya. Dua-dua tak kuat mana tapi yang membenarkan lagi kuat.

Kuliah Maulana Asri

Advertisements
 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 47 Bab Tidur Orang Perempuan Dalam Masjid”

  1. […] kita masuk ke dalam tajuk lelaki pula yang tidur di masjid. Sebelum ini tentang perempuan yang tidur di masjid. Beza dengan tajuk sebelum ini dimana diletakkan perempuan pada jumlah ‘seorang’ […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s