We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 40 & 41 Bab Bolehkah Dibongkar Dan Diratakan Kubur Orang-Orang Musyrikin…(dan seterusnya) May 23, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:23 am
Tags: , , , , , ,

بَاب هَلْ تُنْبَشُ قُبُورُ مُشْرِكِي الْجَاهِلِيَّةِ وَيُتَّخَذُ مَكَانُهَا مَسَاجِدَ لِقَوْلِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ وَمَا يُكْرَهُ مِنَ الصَّلاةِ فِي الْقُبُورِ وَرَأَى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عَنْهم أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يُصَلِّي عِنْدَ قَبْرٍ فَقَالَ الْقَبْرَ الْقَبْرَ وَلَمْ يَأْمُرْهُ بِالاعَادَةِ

Bab 21 Bolehkah dibongkar dan Diratakan Kubur Orang-Orang Musyrikin Jahiliah Dan Dibuat Masjid Di Atasnya Kerana Nabi s.a.w Bersabda: “Allah Melaknat Orang-Orang Yahudi Kerana Mereka Telah Mendirikan Masjid-masjid Di Atas Kubur Nabi-Nabi Mereka Dan Disebabkan Ada Larangan Bersembahyang Di Perkuburan. Umar Bin Al-Khattab Pernah Melihat Anas Bin Malik Bersembahyang Dekat Satu Kubur, Lalu Umar Lantas Berkata: “Kubur, Kubur” Tetapi Beliau Tidak Menyuruh Anas Mengulangi Sembahyangnya.

Ini adalah salah satu tajuk yang payah. Maka oleh kerana payah, huraiannya pun panjang kalau mendalaminya. Dalam tajuk ini, Imam Bukhari tanya dalam tajuknya, ‘bolehkah’? Tapi kalau dalam hadis memang menampakkan boleh. Kenapa pula begitu? Kenapa tidak terus sahaja bagi keputusan seperti yang telah disebut dalam hadis? Ini akan cuba dijelaskan nanti.

Tajuk ini mempunyai dua juzuk. Satu berkenaan bolehkah dirikan masjid di kawasan kubur. Dan keduanya adalah tentang sembahyang yang dilarang di kubur.

Kenapa Imam Bukhari tanya? Dia tak tahukah samada boleh atau tidak? Ada beberapa kemungkinan apabila Imam Bukhari menggunakan perkataan ‘bolehkah?’ itu. Boleh jadi ada kalanya dia hendak mengisyaratkan bahawa ianya boleh. Selalunya Imam Bukhari akan letak begitu kerana hendak menunjukkan ada khilaf tentang hukum samada boleh atau tidak dilakukan perkara sebegitu. Ada ulama yang kata tak boleh. Tapi bagaimana yang Nabi sendiri buat itu? Mereka kata yang Nabi buat tu hanya khusus untuk Nabi. Jadi, Imam Bukhari mengeluarkan tajuk ini untuk menyelesaikan kekeliruan yang timbul dari perbezaan pendapat itu.

Kenapa Nabi larang solat di atas kubur? Ada banyak kemungkinan kenapa larangan itu. Adakah kerana perkuburan adalah satu tempat yang kotor kerana disitu terdapat bangkai manusia?
Atau adakah kerana kubur adalah salah satu tempat azab? Tak molek untuk solat di tempat sebegitu. Ada dalam riwayat lain Nabi tidak solat di tempat tanah runtuh iaitu tempat telah jatuh azab.
Atau kerana tidak elok solat di kuburan kerana takut ada orang kata kita sembang kepada mayat yang ada dalam tanah itu. Tapi orang kafir dan termasuk juga orang Islam sendiri, ada yang buat masjid dan binaan kat masjid. Siap ada yang sujud pada kubur, tawaf pada kubur, minta doa kepada kubur dan sebagainya. Padahal Nabi pernah suruh Ali ratakan kubur yang ada binaan.

Kubur adalah satu tempat turun azab. Penghuni kubur itu ada yang sedang diazab oleh Allah sekarang. Tapi, kubur Nabi tak hancur. Turun rahmat lagi kepada mereka sebagai penghormatan dari Allah. Kerana ada rahmat pun dilarang solat disitu. Tambahan kalau kubur orang kafir. Ini menggunakan kaedah Minbabil awla. Contohnya, kita tidak dibenarkan bercakap ‘umph’ kepada ibubapa kita. Apatah lagi kalau kita nak maki atau pukul mereka, lagilah tak boleh.

Imam Bukhari berpendapat bahawa kubur kadang kala boleh didirikan masjid dengan syarat kubur-kubur itu telah dibongkar. Iaitu dipindahkan tulang-tulang ada dalam kubur itu. Ini adalah apabila ada keperluan. Kalau kubur para Nabi tak boleh bongkar pula. Sebab itu sudah dikira menghina. Termasuklah kubur Nabi yang ada di Masjid Nabawi sekarang.

Janganlah pula kita faham oleh kerana Nabi ada buat begitu, kita kena ikut pula. Nanti ada pula yang nak kena cari tanah kubur pula nak buat masjid. Bukan begitu.

Tapi apabila kita lihat dalil hadis yang dibawa, iaitu hadis dibawah, ianya seperti dalil yang mengatakan tak boleh pula. Macam tak kena dengan pendapat yang hendak disampaikan oleh Imam Bukhari. Dia nak kata boleh, tapi sabda Nabi itu seperti tidak boleh. Memang tak boleh kalau dibuat masjid diatas kubur Nabi, kerana takut kubur itu pula disembah. Kalau bukan Nabi, contohnya kubur orang-orang musyrik, tentulah kita bukan nak sembah. Tambahan pula dah bongkarkan kubur itu dan dikeluarkan semua bekas mayat yang ada dalam kubur itu. Dan hadis kedua menunjukkan Nabi pun ada buat. Jadi, ada perbezaan antara hadis yang pertama dan hadis yang kedua. Hadis yang kedua tidak membenarkan buat masjid di atas kubur para Nabi. Hadis kedua membenarkan jikalau kubur itu adalah bukan kubur Nabi, dan kena bongkar dulu kawasan kubur itu.

– Dalam tajuk itu juga, Imam Bukhari memasukkan athar Umar tegur Anas apabila Anas solat berdekatan kubur. Anas gerak menjauh dari kubur itu dalam solatnya. Anas tak ulang semula solatnya. Menunjukkan harus atau makruh sahaja kalau solat di kubur. Bukan haram atau tidak sah solat itu. Ulama menjelaskan lagi, kalau itu telah dibongkar, maka hukumnya harus. Kalau masih kubur lagi, ianya adalah makruh. Yang jelas tak makruh adalah kalau kita solat jenazah di kubur. Imam Syafie, Imam Bukhari dan Imam Ahmad membolehkan. Kerana Nabi pun pernah buat. Dan kerana solat jenazah tidak sama dengan solat lain. Ianya lebih kepada doa sahaja. Kerana tidak ada rukuk dan sujud pun. Hanya berdiri sahaja. Dan dalam solat itu banyaknya adalah doa kepada simati.
Nabi pernah bersabda yang mafhumnya, semua tempat di bumi boleh digunakan sebagai tempat solat kecuali kubur dan tandas. Kalau solat tidak boleh, bagaimana dengan mereka yang duduk jaga kubur orang yang baru mati? Mereka ambil upah untuk tiga hari, tujuh hari dan sebagainya. Kerana kena jaga kubur, maka mereka pun solat dikubur lah juga. Padahal, duduk dikubur pun Nabi larang. Kalau nak doa, kena doa sambil diri. Tidak semestinya kita doa disitu pun, kerana doh simati bukan disitu. Ingatlah bahawa Nabi dan sahabat tak pernah meratib di kubur. Kalau lawat kubur mereka berdiri sahaja. Jadi perbuatan masyarakat kita yang buat macam-macam ini datang dari mana?

Pendapat Imam Ahmad kata tak sah kalau solat di tempat yang ada kubur.
Seeloknya cari masjid yang tidak ada kubur. Walaupun kubur itu berdekatan sahaja. Memanglah ada yang kata boleh. Contohnya kubur kat belakang. Macam di Masjid Negara sekarang. Tapi pendapat Imam Ahmad kena kaji juga.
Kalau negara luar tu, memang cari kawasan yang ada kubur buat masjid. Memang mereka buat apa yang dilaknat oleh Allah seperti kata Nabi.

– Riwayat Anas itu Imam Bukhari bawa secara taqliq. Tapi Imam Bukhari menyebutnya dengan jazam, bermakna ianya adalah athar yang sahih. Telah diwasalkan di kitab lain.

409 حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ هِشَامٍ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبِي عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ فَذَكَرَتَا لِلنَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ *

409. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya dari Hisyam berkata, Bapaku mengabarkan kepadaku dari ‘Aisyah Ummul Mukminin, bahwa Ummu Habibah dan Ummu Salamah menceritakan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahwa mereka pernah melihat gereja di Habasyah yang didalamnya terdapat patung-patung. Maka baginda pun bersabda: “Sesungguhnya apabila orang salih dari mereka meninggal, maka mereka mendirikan masjid di atas kuburannya dan membuat patungnya di dalamnya. Maka mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”

Teruk sangat perbuatan yang dilakukan oleh mereka yang mendewakan kubur itu. Samada orang kafir atau orang Islam sendiri. Sampaikan Nabi mengatakan mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah di hari kiamat nanti. Pemujaan kepada berhala asalnya bukan terus berhala. Mula-mulanya mereka meletakkan gambar sebagai mengingati orang alim di kalangan mereka. Kemudian dibuat patung kerana pada mereka lebih baik. Lama-lama, generasi kemudian ingat itulah cara dalam agama. Maka, asalnya niat mereka adalah baik, macam juga masyarakat kita buat bidaah. Niat mereka baik, nak mendekatkan diri kepada agama, tapi dengan cara yang salah. Sebab itu bidaah kena halang dari awal lagi jangan diamalkan dari mula. Itulah sebabnya ulam-ulama salaf amat menentang bidaah. Kerana kalau tidak ditentang dari mula, ianya akan menyebabkan perbuatan syirik.

Yang orang kafir memandang tinggi orang agama mereka, seperti paderi, pope dan sebagainya itu, pada zahir sahaja mereka nampak baik. Tapi di sebalik topeng mereka, macam-macam mereka buat. Mereka itulah yang menjual agama. Merekalah yang menyebabkan orang sesat.

Dilarang bina masjid diatas kuburan. Itu adalah perbuatan menyerupai Yahudi dan nasara. Macam maulid juga, sebenarnya mengikut mereka. Mereka yang meraikan kelahiran dan kematian orang alim di kalangan mereka, kita pun ikut tanpa usul periksa. Dalam Islam, ada juga yang menggunakan orang alim dahulu kala sebagai perantaraan dalam berdoa. Mereka kata bila wali dah mati lagi makbul sebab ikatan dunia dah tiada. Mereka tidak ada kepentingan dunia dah, jadi mereka boleh membantu kita. Mula-mula mereka minta orang alim yang sudah mati itu sampaikan doa kepada Allah, tapi akhirnya minta terus kepada simati. Sebab itu ahli Sunnah takut sangat jadi macam itu. Kena tutup dari awal lagi. Sampaikan kuburan orang alim akan dijaga oleh orang sunnah. Sebab kalau tak, ada puak-puak yang sesat itu akan cari sahaja. Kalau mereka tahu ada kubur orang alim, mereka akan cari dan buat macam-macam. Mereka akan letak lilin contohnya, sebab kononnya nak menjaga kubur itu. Kononnya mereka berkhidmat kepada orang alim yang dalam kubur itu.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Nabi sentiasa mengingatkan umatnya tentang syirik dan tauhid. Kerana itu adalah perkara yang paling penting sekali.
  2. Gambar boleh menyebabkan syirik terutama jikalau di letak di rumah ibadat. Macam Syiah, mereka letak gambar khomeini.
  3. Orang-orang yang membuat gambar dan patung adalah orang yang paling jelik disisi Allah. Kerana merekalah yang menyebabkan orang jadi syirik.
  4. Keharusan menceritakan apa yang dialami semasa di negeri orang kerana ada pelajaran disitu. Antaranya pakai keranda. Apabila anak Nabi meninggal, mereka memikirkan bagaimanakah cara yang terbaik untuk melakukannya. Kerana kalau pakai kain kafan sahaja, akan nampak susuk tubuh perempuan. Maka, ada yang kata semasa mereka di luar negara, orang-orang disana pakai keranda. Maka Nabi mengambil contoh itu. Tidak salah kalau begitu; Apabila kita berada di luar negara, kita boleh tahu apakah perbuatan mereka. Kalau yang baik, kita ikut. Kalau yang buruk, kita ambil sebagai sempadan. Kita akan tahu dari situ, kalau ada perbuatan bidaah yang sedang dilakukan oleh masyarakat kita, apakah yang akan terjadi kalau tidak diperbetulkan dari mula lagi.
  5. Ulama kena komen kalau perlu. Apabila diceritakan sesuatu kepadanya, dia kena komen dengan memberikan nasihat atau larangan mengikuti apakah yang dilakukan oleh orang lain. Itu pun dalam bentuk mengajar juga.

410 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُالْوَارِثِ عَنْ أَبِي التَّيَّاحِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَنَزَلَ أَعْلَى الْمَدِينَةِ فِي حَيٍّ يُقَالُ لَهُمْ بَنُو عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ فَأَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَى بَنِي النَّجَّارِ فَجَاءُوا مُتَقَلِّدِي السُّيُوفِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَاحِلَتِهِ وَأَبُو بَكْرٍ رِدْفُهُ وَمَلا بَنِي النَّجَّارِ حَوْلَهُ حَتَّى أَلْقَى بِفِنَاءِ أَبِي أَيُّوبَ وَكَانَ يُحِبُّ أَنْ يُصَلِّيَ حَيْثُ أَدْرَكَتْهُ الصَّلاةُ وَيُصَلِّي فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ وَأَنَّهُ أَمَرَ بِبِنَاءِ الْمَسْجِدِ فَأَرْسَلَ إِلَى مَلا مِنْ بَنِي النَّجَّارِ فَقَالَ يَا بَنِي النَّجَّارِ ثَامِنُونِي بِحَائِطِكُمْ هَذَا قَالُوا لا وَاللَّهِ لا نَطْلُبُ ثَمَنَهُ إِلا إِلَى اللَّهِ فَقَالَ أَنَسٌ فَكَانَ فِيهِ مَا أَقُولُ لَكُمْ قُبُورُ الْمُشْرِكِينَ وَفِيهِ خَرِبٌ وَفِيهِ نَخْلٌ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقُبُورِ الْمُشْرِكِينَ فَنُبِشَتْ ثُمَّ بِالْخَرِبِ فَسُوِّيَتْ وَبِالنَّخْلِ فَقُطِعَ فَصَفُّوا النَّخْلَ قِبْلَةَ الْمَسْجِدِ وَجَعَلُوا عِضَادَتَيْهِ الْحِجَارَةَ وَجَعَلُوا يَنْقُلُونَ الصَّخْرَ وَهُمْ يَرْتَجِزُونَ وَالنَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَهُمْ وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُمَّ لا خَيْرَ إِلا خَيْرُ الاخِرَهْ فَاغْفِرْ لِلانْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ

410. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Warits dari Abu At Tayyah dari Anas bin Malik berkata, “Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mula-mula tiba di Madinah, baginda singgah di kawasan tanah tingginya, disatu perkampungan bani ‘Amr bin ‘Auf, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berada di kalangan mereka selama dua puluh empat malam. Kemudian baginda mengutus utusannya menemui bani Najjar, maka mereka pun datang dalam keadaan memakai pedang-pedang. Aku semacam melihat lagi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di atas tunggangannya dan Abu Bakar membonceng di belakangnya dan para pembesar bani Najjar pula mengiringi Nabi SAW sehinggalah mereka berhenti di halaman rumah Abu Ayyub. Nabi suka bersembahyang apabila waktu salat sudah masuk, tidak kira dimana baginda berada. Pada ketika itu baginda selalu salat di kandang kambing. Kemudian baginda memerintahkan untuk membangun masjid. Baginda mengutus utusannya kepada pembesar-pembesar bani Najjar. Utusan itu menyampaikan: “Wahai bani Najjar, sebutkan berapa harga kebun kalian ini?” Mereka menjawab, “Tidak, demi Allah. Kami tidak mahu harganya kecuali dari Allah!” Anas berkata, “Di dalam kebun-kebun itu terdapat kuburan orang-orang musyrik, juga ada sisa-sisa reruntuhan bangunan dan pohon-pohon kurma. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk digemburkan tanah kuburan-kuburan tersebut, reruntuhan rumah diratakan dan pohon-pohon kurma ditebang. Para sahabat mengaturkan batang-batang pokok tamar di sebelah kiblat masjid dan menyusun batu sebagai dindingnya. Mereka mengangkut batu-batu besar bersama Nabi sambil baginda mengungkapkan majaz ini: “Ya Allah. Tidak ada kebaikan sebenarnya kecuali kebaikan akhirat, maka ampunilah kaum Anshar dan Muhajirin.”

Ini adalah kisah pembinaan Masjid Quba‘. Masjid Quba adalah sebahagian dari Madinah juga. Kerana dalam hadis ini pun, dikatakan Nabi menuju Madinah, di kawasan tingginya. Jadi, tidak benarlah pendapat yang mengatakan bahawa kawasan Masjid Quba’ itu bukan dalam kawasan Madinah.

Suasana Masjid Quba’ sekarang

Dalam hadis ini dikatakan Nabi tinggal disitu selama 24 malam. Perkataan yang digunakan adalah ‘malam’. Memang dalam bahasa Arab, digunakan terma malam, bukan hari macam kita. Tapi ia juga merangkumi siang juga. Pengiraan hari dalam Islam, bermula dari waktu maghrib. Apabila dah masuk maghrib, dah masuk kepada hari yang seterusnya. Contohnya, apabila dah masuk maghrib Bulan Ramadhan, kita tahu yang itu adalah bulan yang mulia dah, kita dah buat solat terawih dah. Begitulah cantiknya Islam. Dalam pengiraan hari pun senang kira. Sebab senang kalau kita hendak tahu masuk ke hari yang seterusnya. Kalau dah malam, dah masuk hari baru. Bukan macam cara lain, pukul 12 baru masuk hari lain. Kalau macam tu, hanya kalau ada jam baru boleh tahu. Bukan semua ada pakai jam. Nak kira bulan pun macam tu juga. Tengok kedudukan bulan. Boleh diagak samada itu adalah awal bulan, pertengahan bulan atau pun dah hujung bulan.

Nabi sampai ke Madinah pada hari Isnin tahun pertama Hijrah. Hari Isnin juga adalah hari lahir baginda dan juga hari baginda wafat. Itulah pentingnya hari Isnin dalam Islam.
Naskhah lain ada kata Nabi tinggal ditempat itu selama 14 hari. Ada berbagai pendapat sebenarnya tentang jumlah hari baginda di sana. Nabi dikatakan berada di sana selama tiga Jumaat tapi baginda tidak buat solat jumaat disitu. Ada yang kata kerana solat Jumaat belum diwajibkan lagi itu. Dan ada yang kata kerana tempat itu adalah kampung saja.
Riwayat Ibn Ishak ada kata empat hari sahaja baginda disitu tapi pendapat itu tidak kuat.

– Bani Najjar itu bersangkut dengan Nabi dari keluarga sebelah ibunya. Nabi panggil mereka untuk mengiringinya pergi ke Madinah. Mereka datang siap dengan pedang. Itu menunjukkan kesediaan mereka untuk pertahan Nabi jikalau ada apa-apa yang terjadi. Ataupun itu adalah pakaian rasmi mereka waktu berjumpa dengan orang yang penting atau majlis-majlis keraian. Bangsa Melayu kita pun masa kahwin pun pakai keris. Padahal bukan nak guna pun keris itu. Tapi kita sisipkan di pinggang sebab itu adalah pakaian lengkap. Jadi mereka pakai pakaian sebegitu semasa mengiringi Nabi. Waktu iring itulah, diceritakan ramai yang mengikut dan ramai yang pujuk Nabi tinggal rumah mereka. Mereka memegang-megang unta yang dinaiki Nabi supaya singgah di rumah mereka. Akhirnya Nabi kata biarkan unta itu, kerana unta itu dalam perintah Allah. Akhirnya unta itu berhenti di rumah Abu Ayyub, dan di rumah itulah Nabi tinggal sebelum penetapan tetap tempat tinggal Nabi ada. Rumah Abu Ayyub dua tingkat. Ini menunjukkan rumah mereka dulu pun dah ada dua tingkat. Mulanya Abu Ayyub tidak selesa tinggal di atas dan Nabi di bawah. Tapi Nabi kata biarkan baginda di bawah supaya senang orang datang berjumpa dengan baginda.

– Di sini juga ada disebutkan Nabi selalu solat di kandang kambing. Ini akan dibincangkan nanti dalam tajuk selepas ini.

– Nabi kalau buat kerja ugama, baginda akan bayar. Baginda tidak mahu diberikan percuma sahaja. Semasa baginda hendak hijrah ke Madinah, unta yang Abu Bakr hendak beri pun Nabi nak bayar juga, kalau tak Nabi tidak mahu terima. Kita juga pernah dengar Nabi pernah hutang dengan Yahudi. Kenapakah sampai Nabi perlu berhutang dengan orang Yahudi pula? Adakah sahabat tiada wang langsung sampai Nabi kena pinjam dengan orang Yahudi? Sebab kalau pinjam dengan sahabat mereka akan beri sahaja. Disini kita boleh lihat yang Nabi itu berdikari sungguh. Dan itulah sunnah Nabi. Pernah Najashi dah panggil dah Nabi untuk datang ke Habashah dan berdakwah di sana. Tapi Nabi tak mahu. Nabi tidak bergantung dengan orang. Sebab itulah dalam mengambil tanah untuk dijadikan masjid Quba’ itu, Nabi tanya berapakah harga tanah itu.

– Dalam hadis ini, kita tahu bahawa tanah perkuburan itu hendaklah dibongkar dahulu. Kena buang segala kesan-kesan mayat yang ada. Perkataan ‘bongkar’ yang digunakan dalam hadis ini adalah pembongkaran khas yang dilakukan kepada kubur. Kerana memang ada orang masa itu yang kerja mereka adalah membongkar kubur yang baru dan mereka akan curi pakaian. Pakaian itu mereka akan basuh dan mereka akan jual balik.

Pengajaran yang boleh diambil dari hadis ini:

  1. Nabi berhenti tempat sesuai. Ini pun diajar oleh Nabi. Macam zaman sekarang, kita berhenti di stesen bas, contohnya. Kalau agama lain tiada ajar macam ni. Segala perbuatan Nabi menjadi pengajaran buat kita. Tapi agama lain, tidak ada riwayat yang boleh disahkan untuk mengatakan nabi mereka atau orang alim buat begitu begini.
  2. Boleh berhenti lama untuk sesuatu hajat.
  3. Kebolehan memakai pakaian rasmi untuk sesuatu upacara. Bani Najjar pakai baju rasmi siap dengan pedang sekali. Nabi tak tegur mereka pakai macam tu. Tidaklah Nabi melarang mereka melayan baginda sampai macam itu sekali. Maka, kalau kita pakai baju melayu lengkap dengan tengkolok dan keris pun, tidak ada masalah. Dibenarkan.
  4. Memanggil kaum kerabat. Kalau kita keluar negara, akan dapat rasa perasaan ini. Rapat dengan orang dari tempat kita. Walaupun kalau kat negara sendiri buat tak kisah, tapi bila dah berada di luar negara, kalau dengar ada orang cakap melayu, tiba-tiba kita terus rapat dengan mereka.
  5. Senjata boleh dijadian sebahagian dari pakaian rasmi. Bukan pakai pun.
  6. Sahabat ingat sejarah yang terjadi semasa zaman Nabi dan masih segar dalam ingatan mereka. Sebab itu sampai kepada kita dengan jelas dan terang.
  7. Kelebihan Abu Ayyub yang mendapat penghormatan rumahnya Nabi tinggal semasa berada di situ. Kubur Abu Ayyub berada di Turki kerana dia telah berjihad di sana. Masa itu dia dah cedera dah. Tapi dia minta supaya orang lain bawa dia sejauh mungkin dalam medan pertempuran. Kerana dia hendak mati dalam medan pertempuran. Panglima perang waktu itu adalah Yazid, anak Muawiyah. Dialah orangnya yang ditohmah dengan teruk sekali oleh puak Syiah.
  8. Nabi akan solat bila masuk waktu. Tidak kira berada di mana. Ada khilaf tentang waktu-waktu yang sesuai untuk solat. Contohnya, mazhab Hanafi memandang solat subuh itu elok dibuat selewat mungkin. Yang penting adalah solat di dalam waktu.
  9. Harus solat dalam kandang kambing. Hukumnya harus, bukan sunat. Bukan semua perbuatan Nabi itu kita kena ikut. Tapi dengan Nabi melakukan begini, menunjukkan kalau perlu, kita boleh solat di kandang kambing.
  10. Penting untuk bina masjid di tempat ada orang Islam. Tak lengkap kalau tidak ada masjid. Di Madinah sendiri, ada banyak masjid.
  11. Harus untuk beli tanah untuk masjid. Bukan mesti diserahkan dengan cara wakaf. Kita tidak tahu keperluan orang yang tuan tanah itu. Tambahan pula, kalau hanya diwakafkan oleh tuan tanah, seorang sahaja yang dapat imbalan pahalanya. Tapi kalau kena beli, sesiapa yang memberikan wang dalam pembelian itu akan mendapat bahagian masing-masing.
  12. Tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya dengan harta anak yatim walaupun untuk kebaikan. Sebab tanah yang hendak digunakan sebagai masjid Quba’ itu ada melibatkan anak yatim. Tak boleh ambil kesempatan begitu sahaja.
  13. Harus mengendung orang lain atas kenderaan dan harus membonceng.
  14. Harus menukar status tanah daripada tanah perkuburan, tanah pertanian dan sebagainya kepada tanah masjid. Apabila tanah itu telah menjadi tanah masjid, maka ada undang-undang tertentu. Contohnya, tidak boleh dijual beli.
  15. Diharuskan untuk tebang pokok berbuah kalau ada keperluan. Asalnya tak boleh. Walaupun dalam perang pun. Lama nak berbuah tu. Jadi kita kena hormati. Kalau ada buah yang kita tak makan pun, tak boleh tebang juga. Sebab kita boleh beri buat itu kepada orang lain.
  16. Boleh iring tetamu yang dihormati. Ini adalah salah satu dari sunnah taqriri. Walaupun Nabi tak suruh mereka iring baginda, tapi Nabi tak larang.
  17. Boleh mengungkapkan syair. Untuk menghibur hati dan menghilangkan lelah badan semasa bekerja. Apa yang Nabi ucapkan semasa mereka bekerja itu dinamakan Rajaz. Dari sini juga, ada yang menggunakannya sebagai dalil bagi mengatakan boleh juga menyanyikan lagu.
  18. Rajaz yang Nabi ucapkan itu ada ajaran.
  19. Muhajirun dan kaum Ansar adalah kaum yang amat bertuah kerana mereka telah didoakan oleh Nabi.
 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 40 & 41 Bab Bolehkah Dibongkar Dan Diratakan Kubur Orang-Orang Musyrikin…(dan seterusnya)”

  1. […] kisah Nabi tidak mahu menerima tanah secara percuma dari tuan tanah. Ini kita telah belajar dalam hadis yang ke-21. Iaitu apabila Bani Najjar telah menawarkan tanah yang hendak dijadikan sebagai masjid itu dengan […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s