We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 35 Bab Orang Yang Menjemput Di Masjid Untuk Makan (Di Rumahnya) Dan Orang Yang Menerima Jemputan Itu Di Dalamnya May 15, 2013

بَاب مَنْ دَعَا لِطَعَامٍ فِي الْمَسْجِدِ وَمَنْ أَجَابَ فِيهِ

Bab 16 Orang Yang Menjemput Di Masjid Untuk Makan (Di Rumahnya) Dan Orang Yang Menerima Jemputan Itu Di Dalamnya (dalam masjid)

Bolehkan menjemput seseorang yang sedang berada di masjid untuk makan, sedangkan makan itu adalah hal dunia. Sedangkan mereka yang sedang berada di masjid itu sedang beribadat kepada Allah. Imam Bukhari hendak mengatakan bahawa ianya boleh. Tidak menjadi masalah. Kerana di masjid itu iktikaf pun boleh. Apabila beriktikaf, tentulah makan perlu. Dibenarkan orang yang beriktikaf untu keluar makan. Kalau bercakap boleh. Bukanlah konsep iktikaf itu macam bertapa bagi agama-agama lain. Ada perkara yang tidak boleh dibuat dalam iktikaf dan ada yang boleh. Itu adalah dalam bab iktikaf.

Kekeliruan yang timbul, samada boleh atau tidak itu adalah kerana ada satu hadis dari Nabi yang mengatakan masjid itu adalah untuk zikir, solat dan baca Quran. Jadi hadis itu dipegang oleh orang untuk  mengatakan tidak boleh buat benda-benda yang lain. Walaupun itu adalah hadis yang sahih, tapi kita kena faham dan tahu latarbelakang hadis itu. Kejadian itu berlaku apabila ada seorang sahabat dari hulu yang baru masuk Islam dan kencing dalam masjid. Nabi telah mengarahkan supaya kencing itu dicurah dengan air dan selepas itu Nabi telah nasihat sahabat itu dengan baik bahawa masjid adalah untuk zikir, solat dan baca Quran. Jadi, ketiga-tiga perkara itu adalah maksud utama masjid. Tapi yang lain pun boleh juga. Tidaklah terhad kepada tiga perkara itu sahaja. Itulah yang Imam Bukhari hendak sampaikan dan beliau dalam bahagian masjid ini banyak menceritakan hal masjid dengan panjang lebar untuk memberitahu mana boleh dan mana yang tidak.

404 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ إِسْحَاقَ بْنِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ سَمِعَ أَنَسًا قَالَ وَجَدْتُ النَّبِيَّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ مَعَهُ نَاسٌ فَقُمْتُ فَقَالَ لِي آرْسَلَكَ أَبُو طَلْحَةَ قُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ لِطَعَامٍ قُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ لِمَنْ مَعَهُ قُومُوا فَانْطَلَقَ وَانْطَلَقْتُ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ

404. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Ishaq bin ‘Abdullah bin Abu Thalhah bahawa dia mendengar Anas berkata, “Aku mendapati Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berada di Masjid bersama beberapa orang sahabatnya. Aku terus berdiri, lantas baginda bertanya kepadaku: “Apakah kamu diutus oleh Abu Thalhah datang ke sini?” Aku menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi: “Untuk makankah?” Aku menjawab: “Benar.” Kemudian baginda bersabda kepada orang-orang yang bersama beliau: “bangun!” Maka baginda pun berangkat pergi dan aku juga berjalan di hadapan mereka”.

Anas depan berjalan di depan kerana dia hendak memberitahu ibubapanya bahawa Nabi ajak ramai orang. Padahal idea asalnya hanya hendak mengajak Nabi sahaja. Kerana bapa tirinya, Abu Talhah nampak Nabi lemah sebab tak makan. Jadi dia telah balik rumah dan tanya isterinya, Umm Sulaim, ada makanan tak. Ada sikit, jadi dia telah suruh Anas ajak Nabi sahaja. Sebab makanan tak banyak. Anas mengintai-ngintai menunggu peluang untuk mengajak Nabi. Umm Sulaim telah membekalkan beberapa keping roti untuk diberikan kepada Nabi dahulu. Ini menunjukkan boleh kalau ita ajak seseorang yang khusus. Antaranya, sebab makanan tak banyak, takkan kita nak ajak satu kampung? Tapi dalam kes Nabi ini, baginda walaupun mengajak ramai orang, tapi makanan yang disediakan oleh Umm Sulaim itu jadi cukup kerana mukjizat yang dikurniakan untuk Nabi. Allah menjadikan makanan yang sedikit jadi banyak.

Dan ini menunjukkan ajak makan di rumah bukan hanya untuk kenduri kahwin sahaja.
Boleh menjemput orang yang ada di masjid. Dan bukan hanya ajak makan di rumah sahaja. Ajak makan di restoran pun boleh. Sebab kadang-kadang nak ke rumah jauh. Dan orang yang diajak itu mungkin sudah lapar. Dan orang itu mungkin sedang beriktikaf, jadi tak sesuai kalau dia nak pergi jauh. Kerana tujuan kita ajak adalah kerana hendak beri makan sahaja, bukan melawat rumah.

Tapi perlu diingatkan yang kenduri mati atau kenduri arwah tak boleh. Para sahabat pun tak buat. Dan memang Nabi larang. Kerana ada sahabat yang kata mereka mengira makan di rumah mayat adalah sama seperti meratapi mayat dan meratapi mayat adalah dilarang. Padahal itu amat menyusahkan orang yang baru sahaja kematian ahli keluarga. Sudahlah mereka sedang meratapi orang yang dicintai, kena pula beri makan kepada orang yang datang. Tidak ada kelebihan dari segi agama dengan memberi makan kepada pengunjung. Tidaklah pahala memberi makan itu diberikan kepada simati, tidak sama sekali. Ini penting diberitahu kerana ada yang kata kalau keluarga simati tak beri makan, itu menunjukkan mereka tidak menyayangi simati. Sepatutnya yang datang kena beri makan kepada keluarga simati. Itu adalah apa yang disuruh oleh Nabi. Tapi kita terbalik pula. Ini perlu disedarkan kepada masyarakat. Ada yang kata, apabila orang datang, gunakan duit sumbangan orangramai itu untuk buat kenduri. Sebenarnya duit sumbangan itu bukan untuk dibuat kenduri tapi untuk digunakan sebagai bantuan kepada keluarga simati. Tambahan pula, balu simati perlu berkabung di rumah. Duit sumbangan itulah yang hendak digunakan untuk melangsungkan hidupnya dalam tempoh berkabung itu. Kerana sepatutnya balu tidak boleh keluar rumah selama 4 bulan 10 hari.

Selain dari kenduri arwah itu, mengajak orang lain datang makan adalah satu kebaikan yang dianjurkan dan ianya adalah Sunnah. Kita boleh ajak makan walau makanan tidak seberapa. Abu Talhah ajak Nabi walaupun makanan tidak seberapa. Yang datang itu pula janganlah mengutuk apa-apa.
Orang yang dijemput boleh ajak orang lain untuk ikut sekali ke rumah orang yang mengajak itu kalau dia yakin tuan rumah boleh menerima mereka, tidak kisah dengan kedatangan orang ramai atau makanan cukup untuk semua orang. Tapi seeloknya tanya dulu, takut nanti terkejut pula tuan ruma. Kita jangan susahkan orang yang mengajak kita. Yang menyebabkan Nabi tidak tanya dahulu kepada bahawa dia bawa ramai orang itu kerana Abu Talhah dan Umm Sulaim memang sudah rapat dengan Nabi. Baginda tahu mereka tidak kisah kalau bawa ramai orang. Lebih-lebih lagi Nabi telah diberi wahyu bahawa makanan akan cukup dengan mukjizat Nabi. Mukjizat itu adalah sebagai salah satu dari bukti kenabian. Janganlah kita tidak percaya kepada wujudnya mukjizat itu. Memang maklumat yang kita dapat itu adalah dari hadis yang sahih.

Pengajaran yang boleh didapati dari hadis ini:

  1. Hadis ini adalah hadis yang ringkas. Banyak lagi kisah kalau dimaksudkan semua sekali. Ini menunjukkan bahawa boleh kalau kita hanya menyebut satu-satu bahagian sahaja dari keseluruhan hadis kalau dengan sedikit itu pun sudah boleh capai maksud. Kita pun selalu buat begitu dengan ayat Quran. Kita sebut sikit sahaja. Iaitu ayat yang kita hendak gunakan sebagai hujah kita.
  2. Umm Sulaim kirim roti dulu kepada Nabi sebelum Nabi sampai ke rumahnya. Ini untuk dimakan Nabi takut dia kelaparan. Ini menunjukkan boleh makan dalam masjid. Hukumnya adalah harus sahaja. Bukanlah kata ada kelebihan pula. Ada juga hadis-hadis yang lain yang mengatakan para sahabat makan dalam masjid dan terus solat. Tanpa berkumur pun. Ini dijadikan dalil bahawa boleh makan minum dalam masjid.
  3. Banyak perkara boleh dilakukan dalam masjid untuk kemaslahatan masyarakat. Bernikah pun boleh dilakukan seperti yang sedang banyak dilakukan oleh umat kita sekarang ni. Jadi salah pendapat kalau ada yang kata tak boleh nikah di masjid sebab dah macam orang Kristian pula kalau nikah di tempat ibadat. Ini kerana ada hadis yang membenarkan walaupun hadis itu dhaif. Walaupun dhaif tapi ulama mengatakan boleh.
  4. Boleh bergusti dalam masjid. Boleh jadi mahkamah. Pernah ikat tawanan perang kafir – maka orang kafir boleh duduk dalam masjid. Boleh berlatih perang.

——————————————————————-

بَاب الْقَضَاءِ وَاللِّعَانِ فِي الْمَسْجِدِ بَيْنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ

Bab 17 Mengadili Perbicaraan Sesuatu Kes Dan Melakukan Li’an Di Dalam Masjid Di Antara Lelaki Dan Perempuan.

Masjid juga boleh dijadikan sebagai mahkamah.
Lian itu adalah satu proses dimana suami isteri saling meminta dilaknat Allah kalau mereka berdusta. Ini adalah tuduhan zina dengan mengangkat sumpah. Boleh digunakan oleh suami jika suami tidak dapat mengemukakan saksi. Ini kerana kalau hukum asal, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina, tidak dapat mengemukakan saksi empat orang, akan dikenakan dengan hukum qazaf, iaitu disebat 80 kali. Cara melakukannya adalah suami kena sumpah empat kali yang isterinya telah berzina. Kali kelima menyatakan laknat keatasnya kalau dia tidak berkata benar. Akibatnya dari lian ini, hubungan mereka akan terputus sampai bila-bila dan isterinya akan kena rejam. Kecuali isteri pun buat juga kata-kata yang sama. Imam Ahmad kata tidak kena apa kalau isteri tidak membalas ucapan lian itu. Tapi jumhur ulama kata isteri akan kena rejam kalau tidak menjawap. Cerai itu adalah terus selama-lama. Tidak ada peluang untuk menikah balik walaupun isteri itu ada menikah dengan orang lain lepas itu. Ini tidak sama macam talaq tiga. Kenyataan tidak boleh kahwin balik sampai bila-bila itu ada dalam Quran.

Asal hukum menuduh orang berzina itu kena bawa 4 orang saksi yang nampak sungguh-sungguh perbuatan zina itu. Dengan mata sendiri, bukan dengan video. Mereka nampak dengan jelas bahawa perzinaan itu telah berlaku dan perlakuan seks itu jelas, macam batang celak masuk bekas celak. Tak boleh kata lelaki perempuan bawah selimut dan nampak gerak-gerak sahaja. Itu tidak diterima. Dan saksi-saksi itu mesti dari jenis lelaki yang tidak fasik. Kalau ada yang tarik diri dari persaksian itu kemudiannya, keempat-empat mereka akan kena sebat dan persaksian mereka tidak akan diterima sampai bila-bila selepas itu walau dalam kes mana pun. Hukuman itu adalah berat supaya tidak ada sesiapa berani nak tuduh orang lain.

Kalau suami tuduh isteri sahaja yang ada hukum ada hukum lian. Kalau ada yang kena liwat, dan dia juga nak beri sumpah laknat, itu tidak ada dalam Islam. Kalau suami nampak isterinya telah berzina dengan orang lain, dia kena segera lapurkan kepada pemerintah. Tapi kita belajar ini atas dasar ilmu sahaja sekarang kerana sekarang memang tak jalan hukum hudud. Hanya ada nikah kahwin sahaja sekarang yang dipakai dalam mahkamah syariah kita. Yang dipakai adalah hukum undang-undang lain. Ini menunjukkan betapa lemahnya Islam sekarang. Ketahuilah bahawa Islam tidak akan sempurna selagi tidak memerintah. Selagi bukan Islam yang memerintah, segala hukum Islam yang sepatutnya dipakai tidak boleh digunakan.

Isteri tidak boleh tuduh suami. Sama juga hukumnya macam isteri tak boleh ceraikan suami.

– Kenapa Imam Bukhari meletakkan tajuk begini? Nampak macam perkataan ‘antara lelaki perempuan’ adalah lebihan dan tidak perlu diletakkan dalam tajuk. Sebab lian memang hanya antara lelaki perempuan sahaja. Dan memang ada nuskhah Kitab Sahih Bukhari yang tidak ada perkataan itu. Tapi Imam Bukhari nak tunjukkan bahawa bukan hanya lian sahaja. Kalau ada penghakiman yang lain pun, boleh perempuan masuk atau dipanggil mengadili penghakiman itu. Kalau antara lelaki dan perempuan pun boleh, antara lelaki dan lelaki lagilah boleh.

Kalau perempuan boleh terlibat dalam mahkamah pengadilan di dalam masjid, ini menunjukkan perempuan boleh masuk dalam masjid. Walaupun mereka ada kemungkinan dalam haid. Kerana tidak ada dalil dalam prosedur lian ini supaya mereka disuruh tanya samada mereka dalam kotor atau tidak. Jadi tak perlu tanya pun. Ini memudahkan perjalanan dalam masjid itu. Memang ada yang kata perempuan dalam haid tidak boleh masuk dalam masjid. Tapi kalau mengikut pendapat Imam Bukhari pun, perempuan dalam haid pun boleh masuk masjid sebenarnya. Kafir pun boleh masuk. Pernah Nabi mengikat seorang lelaki kafir dalam masjid selepas dia ditawan. Kalau nak dikirakan, tentulah dia lagi cemar dari perempuan Islam. Tapi Nabi sendiri yang suruh ikat dalam tiang masjid.

Ada tak setuju guna masjid sebagai mahkamah. Tapi ramai ulama yang membenarkannya. Suasana masjid yang mulia akan menyebabkan orang lebih menghormati lagi pengadilan jika dibuat disitu. Imam Syafie sendiri mewajibkan guna masjid kalau kes yang diadili adalah lian.

Yang tak beri guna masjid sebagai mahkamah itu adalah supaya masjid tak dimasuki oleh perempuan dan orang kafir. Seperti yang kita telah tahu, Imam Bukhari tak kisah kalau perempuan dan orang kafir masuk masjid. Jadi, tidak ada masalah disitu. Pernah Nabi benarkan perempuan buat khemah dalam masjid. Kalau dahulu perempuan tidak dibenarkan masuk masjid dalam kotor adalah kerana ditakuti darah haid mereka akan menitis dalam masjid. Tapi masalah itu tidak ada lagi sekarang. Sebab semua dah pakai tuala wanita. Tidak ada dalil kena tanya perempuan yang dipanggil menghadiri mahkamah dalam masjid samada dia dalam haid atau tidak sebelum dibicara.

405 حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُوسَى قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدُالرَّزَّاقِ قَالَ أَخْبَرَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ قَالَ أَخْبَرَنِي ابْنُ شِهَابٍ عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَجُلا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ رَجُلا وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلا أَيَقْتُلُهُ فَتَلاعَنَا فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ

405. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Musa berkata, telah mengabarkan kepada kami Abdurrazaq berkata, telah mengabarkan kepada kami Ibnu Juraij berkata, telah mengabarkan kepada kami Ibnu Syihab dari Sahal bin Sa’d, bahwa ada seorang laki-laki datang dan berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu jika seorang suami mendapati laki-laki lain bersama isterinya? Adakah dia boleh membunuhnya?” Maka kedua-dua suami isteri itu berli’an (saling mengucapkan kata-kata li’an) di dalam masjid, sementara aku menyaksikannya.”

Kuliah Maulana Asri

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s