We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 34 Bab Pembahagian (Wang, Harta Atau Sesuatu Yang Lain) Dan Penggantungan Tandan (Buah) Di Dalam Masjid May 14, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 2:58 pm
Tags: , , , , , , , ,

بَاب الْقِسْمَةِ وَتَعْلِيقِ الْقِنْوِ فِي الْمَسْجِدِ قَالَ أبو عَبْد اللَّهِ الْقِنْوُ الْعِذْقُ وَالاثْنَانِ قِنْوَانِ وَالْجَمَاعَةُ أَيْضًا قِنْوَانٌ مِثْلَ صِنْوٍ وَصِنْوَانٍ

Bab 15 Pembahagian (Wang/Harta/Sesuatu Yang Lain) Dan Penggantungan Tandan (Buah) Di Dalam Masjid. Abu Abdullah Berkata: Al-Qinwu (Sama Ertinya Dengan) Al-Izqu (Tandan). Muthannanya Ialah Qinwan Dan Kata Jamaknya Ialah Juga Qinwan Seperti Sinw Dan Sinwan.

Tajuk ini mempunyai dua juzuk.

  1. Boleh letak harta untuk diberikan kepada rakyat dalam masjid.
  2. Boleh melakukan perkara lain dalam masjid.

Ada yang mengatakan bahawa tujuan Imam Bukhari membawa tajuk ini adalah untuk menolak pendapat yang mengatakan tak boleh bawa makanan dalam masjid. Yang tak berikan itu pun sebab nak menjaga kebersihan masjid. Sebab masjid adalah tempat yang mulia, jadi mereka kata kalau bawa makanan, akan menyebabkan tercemar kesucian masjid. Nanti kita akan lihat apakah pandangan Imam Bukhari tentang hal ini.

Imam Bukhari berpendapat boleh disimpan harta yang hendak dibahagikan kepada rakyat jelata di masjid dengan syarat tidak mengotorkan. Atau tidak menyebabkan masjid jadi haru biru. Takut kalau letak benda sebegitu, akan kecoh pula suasana masjid, padahal masjid adalah tempat ibadah. Begitu juga kita akan lihat bahawa makanan pun pada Imam Bukhari boleh diletakkan disini.

Berniaga memang tak boleh dalam masjid. Kita boleh lihat sekarang, banyak di masjid-masjid sampai ada gerai dibina dalam kawasan masjid. Itu adalah dilarang. Tapi kalau ada keperluan, dibolehkan. Katakanlah, guru hendak mengajar kelas, jadi boleh dijual kitab kepada pelajar dalam masjid.

Selain dari meletakkan harta di masjid untuk dibahagikan, Imam Bukhari nak bawa dalil bahawa ada hadis yang membolehkan perkara lain di masjid selain dari beribadat. Dia akan membawakan banyak lagi dalil-dalil yang membolehkan. Ini kerana takut yang salah faham dengan hadis yang mengatakan masjid itu adalah untuk beribadat sahaja.

Hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari dalam tajuk ini menceritakan tentang harta diletakkan di masjid semasa zaman Nabi. Itu baru menjawab satu juzuk sahaja dari dua juzuk yang ada dalam tajuk. Hadis berkenaan dengan meletakkan tandan tamar tiada dalam dalil. Kenapa? Ada beberapa sebab yang diletakkan oleh ulama yang mensyarahkan Kitab Sahih Bukhari ini.

  1. Ada yang kata Bukhari tak sempat. Memang dia ingin meletakkan hadis dalam bahagian itu, tapi tak sempat. Ada yang kata Bukhari meninggalkan satu bahagian, tapi tak sempat. Dan penyalin tidak mengambil kira tempat kosong itu dan apabila sampai kepada kita, tidak ada bahagian kosong itu lagi. Ini adalah hanya satu pendapat sahaja.
  2. Memang ada hadis berkenaan dengan perkara itu, Bukhari pun tahu, tapi ianya tidak cukup tinggi untuk mencapai syarat Imam Bukhari. Maka, dikatakan Imam Bukhari meletakkan tajuk itu adalah untuk mengisyaratkan sebenarnya ada hadis-hadis sebegitu. Dan hadis-hadis itu sahih tapi tak cukup tinggi. Seperti kita tahu, Imam Bukhari hanya hendak meletakkan hadis yang kedudukannya tinggi sahaja dalam kitabnya ini. Ianya seperti dia suruh kita cari sendiri hadis-hadis itu dalam tempat lain. Dan memang ada juga hadis sebegitu. Ada satu hadis yang mengatakan Nabi mencucuk-cucuk tandan kurma yang diletakkan oleh sahabat untuk diberikan kepada orang lain yang berada di masjid. Nabi cucuk sambil berkata bahawa kurma itu tidak bagus, dah tak elok. Nabi kata orang yang meletakkannya akan mendapat kurma yang sama nanti di akhirat. – jadi, hadis itu menunjukkan ada pada zaman Nabi, sahabat meletakkan tandan kurma di masjid.
  3. Ada yang kata Imam Bukhari guna kaedah qiyas dalam hal ini. Imam Bukhari memang sekali sekala akan menggunakan qiyas. Jadi, kalau ada orang yang kata Imam Bukhari tak pakai qiyas, itu adalah pendapat yang salah.  Contoh qiyas adalah macam padi diqiyaskan dengan gandum dalam pemberian zakat. Kerana sifat antara gandum dan padi itu adalah sama sahaja secara dasarnya. Jadi walaupun Nabi hanya sebut gandum dalam pemberian zakat, ianya boleh juga digunakan untuk padi kerana sifatnya yang sama. Apakah yang diqiyas oleh beliau dalam tajuk ini? Dia nak kata, kalau kumpulkan harta dibolehkan di masjid, maka bahan makanan pun boleh juga seperti tandan kurma itu.
  4. Banyak kejadian sahabat melonggokkan macam-macam barang di masjid. Macam kisah seorang sahabat masuk masjid semasa Nabi sedang bagi khutbah Jumaat. Kita pun selalu dengar hadis ini. Sahabat itu berpakaian compang camping. Nabi tanya samada dia dah solat tahiyyatul masjid atau belum. Sahabat itu kata belum. Nabi suruh dia solat dan baginda tunggu dia solat dengan memberhentikan khutbah seketika. Ada yang kata, Nabi suruh dia solat dan semua berhenti itu adalah supaya para sahabat nampak keadaan dia yang dalam kesusahan itu dan selepas itu ramai sahabat ambil barang yang mereka boleh beri kepada sahabat itu dan mengumpulkan pakaian untuk sahabat itu. Dari hadis ini ada khilaf samada seseorang itu kena solat tahiyatul masjid atau tidak kalau Khatib sudah mula memberi khutbah. Ada yang berpendapat kena juga solat berdasarkan hadis ini. Yang berpendapat begitu adalah Imam Syafie. Tapi ada yang kata khutbah lebih penting. Dan pada mereka, yang Nabi suruh dia solat itu adalah kerana hendak dia berdiri solat dan semua sahabat nampak dia dalam keadaannya itu. Bukan nak suruh juga dia solat tahiyatul masjid itu tadi.
  5. Bahagian belakang masjid dijadikan bahagian tempat tinggal ahlus suffah. Bahagian itu adalah qiblat asal yang menghala ke Baitulmaqdis. Kerja mereka hanya belajar dan beribadat sahaja. Bahagian ahlus suffah itu tidak dikira sebahagian masjid dah. Penggantungan tandan tamar itu terjadi di tempat itu dan diluar masjid. Jadi ada yang mengatakan bahawa hujah Imam Bukhari yang mengatakan boleh meletakkan tandan tamar dalam masjid itu tidak kemas. Kerana tandan itu selalunya digantung di bahagian Ahlus Suffah itu sebagai sedekah kepada mereka. Tapi tempat itu bukan dalam masjid pun. Tapi tiada dalil yang kata bahawa tandan kurman itu diletakkan di suffah. Oleh itu, cerita atas tiada dalil.
  6. Ada yang berpendapat bahawa Nabi membenarkan supaya dikumpulkan harta di dalam masjid itu kerana waktu itu Baitulmal tiada lagi. Tapi jawapan kepada ini adalah Nabi tidak mahu meletakkan di tempat lain kerana takut kalau ada para sahabat yang merasakan bahawa Nabi mengambil kemewahan harta itu. Dan kalau diletakkan di rumah mana-mana sahabat yang lain, nanti ada yang kata bahawa Nabi melebihkan mana-mana sahabat pula.

Oleh itu, lebih sesuai kalau kita kata bahawa Imam Bukhari sebenarnya hendak isyarat bahawa boleh diletakkan di masjid kerana berdasarkan dari hadis lain.

 

وَقَالَ إِبْرَاهِيمُ يَعْنِي ابْنَ طَهْمَانَ عَنْ عَبْدِالْعَزِيزِ بْنِ صُهَيْبٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عَنْهم قَالَ أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَالٍ مِنَ الْبَحْرَيْنِ فَقَالَ انْثُرُوهُ فِي الْمَسْجِدِ وَكَانَ أَكْثَرَ مَالٍ أُتِيَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الصَّلاةِ وَلَمْ يَلْتَفِتْ إِلَيْهِ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاةَ جَاءَ فَجَلَسَ إِلَيْهِ فَمَا كَانَ يَرَى أَحَدًا إِلا أَعْطَاهُ إِذْ جَاءَهُ الْعَبَّاسُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْطِنِي فَإِنِّي فَادَيْتُ نَفْسِي وَفَادَيْتُ عَقِيلا فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُذْ فَحَثَا فِي ثَوْبِهِ ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ فَلَمْ يَسْتَطِعْ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعْهُ إِلَيَّ قَالَ لا قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَيَّ قَالَ لا فَنَثَرَ مِنْهُ ثُمَّ ذَهَبَ يُقِلُّهُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اؤْمُرْ بَعْضَهُمْ يَرْفَعْهُ عَلَيَّ قَالَ لا قَالَ فَارْفَعْهُ أَنْتَ عَلَيَّ قَالَ لا فَنَثَرَ مِنْهُ ثُمَّ احْتَمَلَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى كَاهِلِهِ ثُمَّ انْطَلَقَ فَمَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُتْبِعُهُ بَصَرَهُ حَتَّى خَفِيَ عَلَيْنَا عَجَبًا مِنْ حِرْصِهِ فَمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَثَمَّ مِنْهَا دِرْهَمٌ

Ibrahim iaitu Ibn Tahman menceritakan daripada Abdul Aziz daripada Anas bin Malik katanya: pernah dibawakan kepada Nabi harta dari Bahrain. Nabi pun bersabda: Letakkannya dalam masjid. Itu adalah harta yang paling banyak yang pernah dibawakan kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah keluar untuk sembahyang. Baginda tidak berpaling pun kepada harta tadi. Setelah selesai solat, barulah baginda pergi dekat harta itu lalul duduk. Tidak dilihat sesiapa pun melainkan diberikan kepadanya. Tiba-tiba datang kepada baginda, Abbas. Dia berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah kepadaku kerana aku telah menebus diriku dan Aqil (semasa ditawan dalam perang Badr). Maka Rasulullah berkata kepadanya: Ambillah. Dia pun mengaut harta itu ke dalam kainnya dan hendak dibawanya tetapi tidak mampu kerana berat. Dia lantas berkata: Wahai Rasulullah, suruhlah sesiapa mengangkatkannya untukku. Nabi berkata tidak boleh. Dia berkata lagi: Kalau begitu, engkau sendirilah yang mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Maka dia membuang sebahagian darinya dan mengangkatnya sambil berkata: suruhlah sesiapa mengangkatnya untukku. Nabi berkata: tidak boleh. Dia berkata: engkau sendirilah yang angkat dan letakkan keatasku: Nabi berkata: tidak boleh. Selepas itu dia membuangkan sebahagian dari harta itu lalu mengangkatnya dan meletakkannya diatas bahu kemudian pergi. Rasulullah pula terus memerhatikan Abbas lantaran hairan dengan sifat tamak dan halobanya itu sehingga dia hilang dari pandangan kami. Rasulullah tidak bangkit dari situ melainkan setelah tidak tinggal walau satu dirham.

Hadis ini tidak bersanad macam biasa. Dia bawa secara takliq adalah kerana ianya tidak menepati syaratnya walaupun ianya adalah hadis sahih. Boleh jadi rendah dari syarat yang telah ditetapkan oleh. Atau hadis ini ada di tempat lain. Hadis ini diwasalkan dengan sanad yang lengkap di kitab-kitab lain.

Nabi kata letak ‘dalam’ masjid. Bukan kat Suffah. Oleh itu, Imam Bukhari memakai bahawa harta itu diletakkan di dalam kawasan masjid.
Dalam hadisi ni tidak disebutkan berapakah jumlah harta itu. Dikatakan bahawa harta itu wang cukai dari Bahrain sebanyak seratus ribu. Ianya adalah hasil pertama dari hasil cukai. Dalam cerita lain dikatakan sampai 800 ribu.

Abbas telah kaut dan mengaut sampai dia tak mampu angkat. Nabi tersenyum sampai nampak gigi baginda. Baginda suruh bawa yang mampu sahaja. Abbas dulu telah menebus dirinya kerana berperang menentang Islam dalam Badr. Dan Allah berjanji akan memberi ganti yang lebih banyak.

Nabi tak tengok pun harta itu menunjukkan bahawa baginda tak kisah dengan harta dunia. Dan baginda beri semua sekali harta itu kepada rakyat. Sebab itulah para sahabat bersatu dengan baginda dan sanggup melakukan apa sahaja untuk Islam. Tapi pemimpin sekarang, harta negara jadi harta mereka.

Ada yang kata Abbas boleh ambil banyak sebab dia dah bayar tebusan perang Badr sampai dia jadi muflis. Tapi dia juga pernah sampai bayar zakat sampai dia tahun sekali. Dan dia kaya sebab dia pernah jadi ceti semasa zaman jahiliah. Riba yang pertama dihapuskan adalah riba Abbas. Kerana apabila ayat riba turun, Nabi mulakan dengan keluarga dia dulu. Kalau dia bayar semasa Badar itu pun bukannya banyak sangat. Oleh itu, pendapat yang mengatakan bahawa dia boleh ambil banyak itu kerana dia sudah muflis adalah tidak kuat.

Nabi tidak benarkan dia ambil sampai tak boleh bawa kerana nak mengajar bahawa orang Islam tak boleh tamak. Dan tak benarkan orang lain tolong angkat harta itu sebagai isyarat bahawa orang lain tak boleh pikul dosa kita. Kita kena pikul sendiri.
Yang Nabi lama tengok Abbas itu sampai dia hilang dari penglihatan adalah kerana Nabi dibukankan bahawa anak cucu dia akan memerintah. Kerana dia adalah jenis yang hendakkan dunia. Itu adalah pendapat. Jangan dijadikan dalil untuk mengata tidak baik tentang Abbas.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Pemerintah boleh beri wang kepada rakyat.
  2. Tak boleh simpan harta kalau rakyat memerlukan.
  3. Menunjukkan kemurahan dan zuhud Nabi.
  4. Nabi akan beri kepada yang meminta jika orang itu perlu.
  5. Pemimpin kena jaga diri dari melakukan perkara yang boleh menyebabkan tohmahan ke atas dirinya. Itu sebab Nabi letak harta itu di masjid.
  6. Segera agihkan wang kepada rakyat.
  7. Harta boleh diberikan kepada yang kaya kalau dari cukai dan fai.

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s