We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 33 Bab Bolehkah Dikatakan Masjid Bani Fulan (dan seterusnya) May 12, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 4:25 pm
Tags: , , , , , ,

بَاب هَلْ يُقَالُ مَسْجِدُ بَنِي فُلانٍ

Bab Adakah Boleh Disebutkan Masjid Bani Fulan

Bolehkah kita menamakan masjid? Macam sekarang ini banyak sungguh nama yang diberikan kepada masjid-masjid di negara kita. Kadang-kadang kita memberikan nama masjid itu bersempena dengan nama Sultan contohnya, padahal masjid itu sepatutnya untuk digunakan oleh orang umum. Ada kata tak boleh buat begitu. Ada disebut dalam Surah Jin bahawa masjid itu adalah kepunyaan Allah. Jadi pendapat itu mengatakan tidak boleh nama sesuatu masjid itu dikaitkan dengan lain selain Allah. Ini adalah untuk menjaga supaya kita tidak melakukan syirik dan sebagai satu adab kepada Allah. Maka, ini akan menyebabkan kekeliruan kepada orang banyak. Oleh kerana itu, Imam Bukhari nak hilangkan kekeliruan itu dan hendak menjawab samada boleh atau tidak menamakan masjid itu selain dari nama Allah. Apabila Imam Bukhari menggunakan perkataan ‘adakah’ dalam tajuk bab, itu menunjukkan ada pendapat yang mengatakan tidak boleh. Seperti pendapat diatas yang mengatakan tidak boleh itu adalah pendapat Ibrahim Nakhaei. Oleh itu, kita tahu bahawa apabila Imam Bukhari letak ‘adakah’ dalam tajuknya, itu mengisyaratkan bahawa ada khilaf ulama tentang perkara itu. Satu sebab lagi yang menyebabkan Imam Bukhari tajuk sebegitu adalah kerana dia tahu bahawa dengan hadis yang dibawanya itu, mungkin ada orang yang berfikiran lain dengan pemahamannya. Hadis yang sama, tapi orang lain mungkin faham lain-lain. Jadi dia hendak menyampaikan apakah pendapatnya dan menghilangkan kekeliruan yang mungkin timbul.

Berbagai-bagai jenis nama diberikan kepada masjid itu. Ada nama yang diberikan kerana kaitan dengan sifat masjid itu. Contohnya Masjid Putih, Masjid Merah, Masjid Terapung dan sebagainya. Itu semua adalah sebagai pengenalan kepada masjid itu. Ada juga masjid yang diberi kerana sesuatu tempat. Masjid Jamek Kuala Lumpur contohnya. Itu semua nak bezakan dengan masjid-masjid yang lain. Kerana kalau semua masjid dinamakan ‘Masjid Allah’, tentu kita susah nak pastikan di manakah masjid itu. Bayangkan kalau orang bertanya kita hendak solat di mana? Kalau kita jawab, Masjid Allah, tentu mereka tidak tahu kemana kita hendak pergi. Imam Bukhari nak kata bahawa boleh kita menamakan masjid. Nabi sendiri pun pernah kata berkenaan Masjid Nabawi di Madinah itu ‘masjidku’. Itu bermaksud baginda hendak mengkhusukan masjid itu. Kerana waktu itu sudah ada banyak masjid-masjid yang lain. Contohnya sudah ada Masjid Quba’ dan lain-lain lagi. Kalau Nabi pun dah pernah buat, tentulah kita pun boleh juga.

Tapi walaupun kita menamakan masjid itu dengan nama sesuatu tempat, atau atas nama Sultan, dan sebagainya, kita kena tahu bahawa masjid itu untuk semua orang. Tak boleh kita nak khususkan masjid itu untuk golongan tertentu sahaja. Contohnya kalau dinamakan masjid sebagai Masjid Bani Salimah, tidak boleh kita nak khususkan masjid itu hanya boleh digunakan oleh keturunan Bani Salimah sahaja. Tak boleh kita nak halang sesiapapun dari menggunakan masjid itu. Sampaikan boleh kalau sesiapa hendak tidur dan rehat disitu. Oleh itu, jangan kita tutup pagar. Sepatutnya tidak boleh kita nak kunci bahagian dalam masjid pun. Tapi dalam keadaan semasa sekarang, kalau tak kunci, boleh jadi akan kena curi barang-barang dalam masjid itu. Jadi boleh kalau nak kuncikan bahagian dalam. Tapi bahagian luar kena ada yang boleh digunakan oleh orang yang datang. Pagar jangan kunci. Tapi itu pun kena tengok keadaan. Kalau kita tak kunci dan ada orang yang gunakan untuk buat maksiat, maka itu pun kena kunci juga. Semuanya itu kena tengok keadaan.

Bagaimana kalau kita khususkan kedudukan dalam saf kepada orang-orang tertentu? Macam sekarang, kalau Sultan datang, kita khususkan satu tempat untuknya. Supaya senang dia nak duduk di situ. Itu sebenarnya, boleh lagi dilakukan. Kecualilah kalau sampai nak solat, dia tak datang juga, jadi saf itu kena dipenuhkan. Tidak boleh nak beri satu tempat dalam saf kepada orang tertentu, sampai kalau dia tidak datang, kita tak benarkan orang lain solat disitu. Pengkhususan tempat dalam saf boleh dilakukan. Semasa Nabi juga, bagi menyuruh supaya orang yang bijaksana duduk belakang baginda. Ini adalah kerana kalau terjadi apa-apa kepada imam, orang yang ada di belakang imam itu tahu apa nak buat. Dalam sejarah juga, pernah terjadi, apabila Umar kena tikam, semasa itu beliau sedang menjadi imam. Apabila kena tikam, dan beliau rasa beliau tidak dapat meneruskan solat, beliau telah tarik tangan orang yang dibelakangnya untuk mengambil tempatnya sebagai imam. Kita pun kena juga begitu. Kena pastikan bahawa orang yang dibelakang kita itu adalah orang yang tahu tentang selok belok agama. Supaya tahu apa nak buat nanti kalau terjadi sesuatu kepada kita. Begitu juga dalam pemerintahan. Kena ada pelapis yang boleh ambil alih kedudukan pemimpin. Itulah kita kena ambil pengajaran dari perjalanan solat dalam kehidupan kita.

403 حَدَّثَنَا عَبْدُاللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَابَقَ بَيْنَ الْخَيْلِ الَّتِي أُضْمِرَتْ مِنَ الْحَفْيَاءِ وَأَمَدُهَا ثَنِيَّةُ الْوَدَاعِ وَسَابَقَ بَيْنَ الْخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضْمَرْ مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ وَأَنَّ عَبْدَاللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ فِيمَنْ سَابَقَ بِهَا

403. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah membuat pertandingan antara kuda yang disediakan untuk perlumbaan bermula dari Al Hafya’ sampai Tsaniyatul Wada’, dan baginda juga ada mengadakan pertandingan diantara kuda yang tidak disedikan untuk perlumbaan yang bermula dari Al Hafya’ hingga Masjid Bani Zuraiq.” ‘Abdullah bin ‘Umar adalah termasuk orang yang mengikuti pertandingan lumba tersebut.”

Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, kemungkinan ada orang yang mendapat makna yang berlainan dari Imam Bukhari. Contohnya, mereka mungkin tidak pasti adakah nama masjid itu adalah sudah ada masa Nabi atau kemudian? Sebab ada kemungkinan nama itu diberikan kemudian. Contohnya, dalam satu hadis, pernah Ibn Abbas meriwayatkan bahawa solat Istisqa’ telah dibuat berdekatan rumah Kathir. Tapi semasa solat itu diimamkan oleh Nabi, rumah itu tiada lagi. Bermakna, Ibn Abbas menyebut rumah Kathir itu supaya manusia senang faham. Jadi, ada kemungkinan masjid itu tidak diberi nama pada masa Nabi hidup tapi kemudian. Kalau nama itu selepas Nabi wafat, bermakna tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk mengatakan bahawa Nabi membenarkan memberi nama kepada masjid. Imam Bukhari dah tahu bahawa ada orang yang akan kata begitu. Sebenarnya Masjid Bani Zuraiq itu sudah ada pada zaman Nabi lagi. Dan Nabi tahu sahabat pakai nama masjid itu begitu. Bermakna, jelas bahawa kita boleh menamakan masjid. Dan selepas Nabi wafat pun, sahabat pun ada namakan masjid dengan berbagai-bagai nama. Kalau Nabi tak buat pun, kita ada dalil bahawa sahabat pun ada namakan masjid. Para sahabat tidak akan buat kalau mereka tahu Nabi tidak benarkan.

Bukan masjid sahaja yang boleh kita namakan dengan nama seseorang. Antaranya, nama jalan, nama bangunan atau apa sahaja. Kadang-kadang ada orang beri sumbangan untuk mendirikan asrama, maka sebagai kenangan, penerima hendak memberi nama asrama dengan nama penyumbang. Tapi orang yang diletakkan nama itu kenalah ikhlas kalau dia mengharap pahala. Dan kena tanya bahawa sesuatu akan dinamakan dengan namanya dan dia pun setuju namanya diletakkan.

– Kuda yang digunakan untuk perlumbaan kena melalui proses dahulu. Tidak digunakan untuk tunggangan selama 40 hari. Diberi makan makanan istimewa. Dipakaikan dengan baju khas untuk memanaskan badannya. Kemudian dikuruskan dengan diberikan makanan yang biasa. Perlumbaan kuda yang khas itu sejauh lima batu dan kuda biasa sejauh sebatu sahaja. Semua itu dilakukan sebagai persediaan perang. Itu amat berguna pada zaman itu kerana memang pakai kuda. Tapi pada zaman sekarang dah pakai perlengkapan lain. Maka kita kena sesuaikan dengan keadaan sekarang. Nabi pun ikut sekali dalam perlumbaan itu.

 

Pengajaran dengan hadis ini:

  1. Nama masjid boleh dikaitkan dengan seseorang, tempat atau sifat.
  2. Boleh sebut kebaikan seseorang atau sesuatu kaum itu. Seperti masjid dalam hadis ini diberikan dengan nama keluarga Bani Zuraiq. Ini adalah kerana merekalah yang ramai menggunakan masjid itu. Ada kebaikan kalau memberikan nama seseorang kerana dapat memberi semangat kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
  3. Walau masjid dinamakan dengan nama sesuatu keluarga itu, tapi bukan masjid itu milik mereka.
  4. Sukan molek untuk persiapan menghadapi perang. Supaya umat Islam menjadi cergas dan sentiasa bersedia. Oleh itu Islam menggalakkan bersukan. Tapi kenalah sukan yang ada faedah. Seperti silat. Tapi kalau sukan macam bowling dan snuker, apakah kebaikan untuk menghadapi perang?
  5. Boleh melatih kuda dengan beri makan sedap dan kemudian kuruskan balik. Nampak seperti susahkan dia. Tapi tidaklah salah kalau buat begitu. Begitu juga anak kena latih macam itu juga. Itu adalah untuk membiasakan dia dengan kesusahan. Ini tidak termasuk siksa.
  6. Islam anjurkan pandai pakai senjata. Supaya bersedia untuk menghadapi perang. Masa zaman Nabi, dianjurkan supaya pandai dalam memanah. Zaman sekarang, lain lah alat yang digunakan. Jangan taksub dengan peralatan yang sama yang digunakan pada zaman dahulu.
  7. Dalam perlumbaan kuda itu, penunggang kena naik. Bukan hanya lepas sahaja kuda itu untuk berlari sendiri sahaja.

 

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s