We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 28 & 29 Bab Menanggalkan Kesan Ludah Dengan Tangan Dari Masjid May 8, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 7:10 pm

بَاب حَكِّ الْبُزَاقِ بِالْيَدِ مِنْ الْمَسْجِدِ

Bab 6 menanggalkan ludah dari masjid dengan tangan

Kita sudah masuk ke bahagian Masjid. Sebelum ini Imam Bukhari membicarakan tentang kiblat. Panjang cerita masjid ini dan banyak bab dibawa oleh beliau. Kerana banyak teguran Nabi dan para sahabat berkenaan masjid, maka kerana itu beliau bincangkan dengan banyak sekali. Ada juga ulama yang kata ini masih lagi dalam bahagian kiblat sebab ada lagi sebut kiblat dalam hadis ini. Tapi jumhur ulama pensyarah Bukhari kata ini dah masuk bahagian masjid. Tapi Imam Bukhari kali ini tidak dengan jelas meletak tajuk masjid disini.
Apa yang beliau hendak sampaikan adalah tentang apa yang patut dibuat dan apa yang tak boleh buat berkenaan masjid.

Dalam tajuk ini Imam Bukhari letak perkataan ‘Tangan’. Adakah kena pakai tangan dalam menanggalkan ludah itu? Tentu ada orang akan geli kalau kena pakai tangan juga. Sebenarnya bukanlah betul kena pakai tangan. Ianya bermakna buat dengan bersungguh. Kalau nak basuh dengan betul, kenalah pakai tangan, kalau pakai kaki, tentu tidak sempurna pembasuhan itu. Dalam riwayat lain ada mengatakan Nabi pakai tandan pokok kurma. Walaupun boleh juga pakai tangan tanpa lapik tapi tidak perlu kalau begitu. Dan mungkin kejadian itu terjadi banyak kali sebab macam-macam jenis manusia zaman Nabi itu. Satu masa Nabi memang mungkin Nabi guna tangan tanpa lapik. Waktu lain pakai benda lain.

Ada kata Imam Bukhari letak tajuk ini sebab nak tunjuk bahawa Nabi pun buat sendiri. Tak suruh orang lain buat. Walaupun Nabi orang besar, tapi dalam memberi pengajaran kepada umatnya, baginda sanggup untuk buat sendiri kerja-kerja yang nampaknya macam menjijikkan.

Hadis ini menunjukkan kena buang benda jijik walau benda itu bukanlah najis. Jumhur ulama mengatakan ludah itu bukan najis. Kalau najis, lagilah kena buang. Tak boleh biarkan sahaja. Ini adalah antara adab dalam masjid. Masjid adalah tempat mulia. Tidak boleh dikotorkan. Oleh itu tidak digalakkan untuk meludah lebih-lebih lagi kalau bahagian yang mengadap kiblat. Kita pun telah belajar betapa kiblat adalah tempat yang mulia. Tempat lain pun begitu juga. Contohnya, dirumah, pun tidak elok untuk kita meludah merata-rata. Kerana kita hidup dalam suasana bersih. Kalau bukan masjid pun kena amalkan macam itu juga.

Nabi mengajar menggunakan cara psikologi. Nabi sendiri cuci. Bila orang tengok Nabi yang mulia sendiri yang basuhkan bekas ludahitu, lepas itu orang lain tentu malu nak buat kotor lagi.

Hadis ini juga menunjukkan betapa Nabi kasih kepada para sahabat. Kalau nak pegang air liur orang lain tu, tentulah orang yang kita rapat dan sayang dengan dia. Contohnya, seorang emak, tidak geli nak pegang tahi anak dia sebab dia sayang. Seorang suami tidak geli dengan air liur isteri kerana sayang kepada isterinya. Begitulah Nabi, sebab dia sayang kepada umat dia, dia tidak geli.

Jelas dalam hadis ini bahawa Nabi tak suka dengan perbuatan sahabat itu. Nampak kemarahan pada wajah baginda. Sebab jelas pada wajah Nabi. Kerana kulit Nabi Merah putih. Ini menunjukkan Nabi itu memagn putih betul. Ia juga menunjukkan kadang-kadang perlu juga kita marah dengan orang di bawah kita. Seorang ayah pun kena marah dengan anak kalau mereka buat kesalahan. Kalau tak mereka tidak akan ambil peduli.

390 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلَاتِهِ فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ فَلَا يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ فَقَالَ أَوْ يَفْعَلُ هَكَذَا

390. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ja’far dari Humaid dari Anas bin Malik bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ternampak kahak di dinding sebelah kiblat, baginda sangat tidak senang hati dengannya sehingga ia kelihatan pada wajahnya. Kemudian beliau terus bangkit dan menanggalnya dengan tangannya seraya bersabda: “Apabila seseorang dari kalian berdiri salat sesungguhnya dia sedang berbicara dengan Rabbnya, atau sesungguhnya Rabbnya sedang berada antara dia dan kiblat, maka janganlah sekali-sekali seseorang dari kamu meludah ke arah kiblat, tetapi lakukanlah ke arah kirinya atau ke bawah tapak kaki.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil hujung kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu beliau melipatnya lalu berkata: “atau hendaklah dia melakukan seperti ini.”

Apakah yang dimaksudkan Rabb berada diantara orang yang sembahyang itu dan kiblat? Diantara bagaimana? Adakah Allah betul-betul berada di situ? Ini adalah salah satu contoh hadis Mutashabihat. Iaitu ayat-ayat yang tidak boleh diambil secara literal. Bukan Quran sahaja yang ada ayat-ayat sebegini. Ulama khilaf tentang makna berada ‘diantara’ itu. Tuhan tidak sama macam makhluk. Maka jangan kita kata Allah betul-betul berada disitu. Kena ditakwil mana ayat itu. Ianya boleh dikatakan ‘seolah olah’ Allah berada di depan kita masa solat. Tidaklah Allah ada betul-betul di depan kita.

Dan boleh juga kita katakan Nabi membandingkan keadaan hamba yang berada dalam khusyuk semasa solat. Ketika itu kita sedang membaca Quran dan memikirkan maknanya, seolah-olah Allah di didepan. Maksudnya, yang Nabi kata di hadapan itu hanya dari segi bahasa. Waktu itu, seperti kita sedang berbicara dengan Allah. Dan waktu itu Allah sedang meredhai dan merahmati kita. Jadi antara kita dan kiblat itu sebenarnya bermaksud ‘rahmat Allah’, bukan Allah sendiri. Oleh itu, kita boleh kata ada perkaatan yang  dibuang sebelum perkataan ‘rabb’. Boleh jadi ianya adalah ‘Rahmat Tuhan’, ‘pahala dari tuhan’ dan lain-lain makna yang boleh dipakai lagi. Dalam hadis lain pun ada digunakan perkataan ‘rahmat Allah’. Oleh itu, pendapat ini mengatakan bukanlah Allah sendiri berada depan kita pula.

Ada juga mengatakan Allah mentajallikan sifatNya yang berada diantara orang yang solat dan kiblat. Allah menzahirkan sifat Jamal dan JalalNya. Tajalli sifat Allah ini sentiasa ada cuma kita yang tak perasan dan tak napak. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat rezeki, itu adalah pentajalian sifat ar-RizqNya.

Ahli hadis tidak takwil perkataan Nabi dalam hadis ini. Pada mereka, apabila Nabi berada Allah berada di antara orang solat dan kiblat, memang Allah berada. Bagaimana keberadaan Allah itu, mereka serah sahaja. Sebab memang tidak akan sama keberadaan makhluk dan Allah. Sudah tentu tak sama dengan makhluk. Kita hanya letakkan keberadaan Allah itu sebagai yang layak bagiNya sahaja. Ini adalah sama macam perbingcangan berkenaan sifat Allah. Kalau Allah kata Dia mempunyai tangan, memang Allah ada tangan. Tapi tanganNya tidak sama dengan tangan makhluk. TanganNya adalah yang sesuai dengan kemuliaanNya.

Ini perlu dijelaskan kerana takut kita pakai pegangan macam Puak Muktazilah. Mereka menggunakan hadis seperti ini untuk mengatakan bahawa Allah itu berada dimana-mana. Bahaya kalau pakai pendapat macam itu. Sebab ada juga golongan sufi dan tarekat cakap Allah ada dimana-mana. Tapi hadis ini juga sebenarnya merobohkan pendapat mereka. Kerana Nabi cakap lepas tu, kalau nak ludah, boleh ludah ke kiri atau ke bawah. Kalau Allah ada dimana-mana, maka Allah ada lah juga di kiri dan kanan. Jadi tidak boleh kita kata Allah ada di mana-mana. Sebab orang boleh kata Allah ada dalam tandas atau tempat-tempat yang tidak molek. Tapi kalau dikatakan ilmu Allah ada dimana-mana, itu betul dan boleh diterima.

Banyak yang memberikan pendapat masing-masing dan memberi tafsiran tentang makna perkataan Nabi ‘Allah berada diantara orang yang bersolat dan kiblat’. Kita kena pakai fikiran terbuka. Semua ada hujah masing-masing. Semua kita boleh terima lagi, kecuali Puak muktazilah dan jahmiyyah itu. Walaupun kita mempunyai pandangan yang berlainan dengan orang lain, jangan sampai kita mengkafirkan orang lain. Kalau takwilan ikut asas boleh diterima sebagai ahli Sunnah lagi. Banyak ahli Sunnah pun guna takwil juga.

Satu lagi contoh yang mengatakan Allah berada di hadapan adalah Hadis ihsan iaitu apabila Jibrail bertanya kepada Nabi makna ‘Ihsan’. Nabi jawap: Ihsan itu adalah engkau beribadat seperti engkau nampak Allah. Dan jika engkau tidak mampu nampak Allah, ketahuilah bahawa Allah nampak kamu.

—————

Dari hadis ini, bukanlah melarang ludah. Tapi kena tengok keadaan. Tidak boleh meludah ke hadapan. Nabi dalam hadis ini menunjukan cara membuang ludah itu dengan kain. Nabi menggunakan kain yang dipakainya dalam solat. Kerana kadang-kadang Nabi akan akan pakai kain macam selimut. Dalam zaman sekarang, elok kalau kita gunakan sapu tangan. Buang air ludah dalam sapu tangan itu dan kemudian simpan dalam poket. Kalau terpaksa, ludahlah ke bahagian kiri kalau tidak ada orang sebelah kiri. Atau ludah bawah kaki kiri. Tapi nak buat ini pun kenalah ikut keadaan dulu. Masjid masa zaman Nabi lain. Waktu itu masjid berlantai tanah. Maka boleh ludah ke tanah dan boleh kambus balik. Sebaiknya, guna kain. Kalau tidak ada kain sapu tangan, gunakan kain baju. Sebab ludah, kahak dan hingus bukan najis.

Nabi menggunakan ayat: “Apabila seseorang dari kalian berdiri salat”. Ini menunjukkan kena bangkit dalam solat kalau mampu. Terutama dalam solat fardhu. Kalau solat sunat, ada pendapat yang mengatakan boleh kalau nak solat duduk. Tapi pahala tidak sama kalau solat berdiri.

Apabila berdiri solat mestilah mengadap kiblat. Kiblat adalah sesuatu yang mulia. Dan waktu itulah kita paling hampir dengan Allah. Ini menyatakan kemuliaan arah kiblat. Istimewa sangat kiblat itu seperti yang kita telah belajar sebelum ini dalam bab Kiblat. Jadi, apabila ianya mulia, tak patut kita ludah arah itu.

Seeloknya ludah dalam kain. Tambahan pula sekarang masjid pakai karpet. Jangan kita rosakkan pulak masjid. Kalau nak kena basuh, jangan kita susahkan orang pula kena basuh untuk kita.

Kalau ludah kanan tak boleh kerana malaikat Rahmat di sebelah kanan. Bahagian ini akan diceritakan dengan lebih lanjut nanti.

Boleh tegur kesalahan yang dilakukan oleh anak buah atau anak didik kita, walaupun perbuatan mereka itu bukan perbuatan yang tahap haram. Kerana jaga adab. Tapi jangan tegur kesalahan mereka sampai membawa khurafat. Contohnya, ada yang tegur anak kalau angkat kaki semasa meniarap akan menyebabkan emak mati. Itu mana ada. Itu adalah perkara khurafat. Memang perbuatan itu tak  molek sebab boleh nampak aurat, tapi jangan sabitkan sampai boleh jadi benda yang takkan terjadi. Kalau percaya kalau angkat kaki macam itu boleh emak mati, itu dah khurafat dah tu.

Kita boleh lihat bahawa Nabi itu seorang yang merendah diri. Dia sendiri yang pergi cuci bekas ludah orang lain.

Hadis ini menunjukkan kedudukan tinggi orang yang sedang bersolat. Seolah-olah sedang mengadap Allah dan berbicara dengan Allah.

Munjunjukkan bagaimana Nabi mengajar secara praktikal. Nabi bukan hanya cakap sahaja, tapi Nabi buat sendiri.

Ada kelebihan kanan dari kiri. Kalau kita ludah kiri, boleh, tapi tidak boleh ludah ke kanan.

—————————-

391 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى بُصَاقًا فِي جِدَارِ الْقِبْلَةِ فَحَكَّهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَلَا يَبْصُقُ قِبَلَ وَجْهِهِ فَإِنَّ اللَّهَ قِبَلَ وَجْهِهِ إِذَا صَلَّى

391. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melihat ludah di dinding kiblat, lalu beliau menanggalkannya kemudian menghadap ke arah orang ramai seraya bersabda: “Apabila seseorang dari kamu sedang salat tidak bolehlah dia meludah ke arah depannya, kerana Allah berada di hadapannya ketika dia salat.”
Dalam Hadis ini disebutkan Nabi menanggalkannya tapi tidak sebut dengan apa. Imam Bukhari mengambil dari hadis sebelum ini bahawa Nabi menanggalkan dengan ‘tangan’. Imam Bukhari nak ajar bagaimana hendak memahamkan hadis. Kalau satu hadis tidak menjelaskan, ada hadis lain yang lebih spesifik.
Perkataan ‘ludah’ dalam hadis ini lain dari perkataan yang digunakan sebelum ini. Apakah perbezaan antara perkataan-perkataan itu? Adakah sama? Dalam kes ini, ianya adalah sama. Kena tahu bahasa untuk memahamkan hadis. Kadang-kadang, penggunaan perkataan yang berlainan membawa maksud yang berbeza.
Dalam hadis ini, dikatakan Nabi nampak ludah itu didinding kiblat masjid. Dalam hadis lain dikatakan waktu Nabi nampak tu, Nabi sedang berucap atas mimbar. Nabi telah turun dan tanggalkan kesan ludah itu. Kemudian baginda telah lumurkan bekas ludah itu dengan za’faran. Menunjukkan seeloknya, bau pun kena hilangkan juga. Kerana di masjid jangan ada bau busuk. Kerana nak memberi kesan khusyuk kepada orang. Kalau ada bau yang tidak menyenangkan, itu akan mengurangkan khusyuk. Itu sebab baginda suruh para sahabat selalu mandi. Sekurang-kurangnya seminggu sekali iaitu pada hari jumaat. Kerana takut ada rakan yang akan terganggu dengan bau badan orang lain. Supaya ibadat tak terganggu dengan bau tak elok. Bukan itu sahaja, makan bawang pun Nabi tak bagi. Kerana itu akan menyebabkan bau yang tidak sedap keluar dari mulut.
——————————–

392 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى فِي جِدَارِ الْقِبْلَةِ مُخَاطًا أَوْ بُصَاقًا أَوْ نُخَامَةً فَحَكَّهُ

392. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari ‘Aisyah Ummul Mukminin, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah nampak hingus, atau air ludah atau kahak pada dinding kiblat, maka baginda lalu menanggalkannya.”
Dalam hadis ini kita boleh perasan syak perawi. Tidak pasti apakah sebenarnya Nabi nampak: samada hingus, ludah atau kahak. Ini adalah kerana Aisyah sendiri tak pergi ke masjid. Jadi, dia tidak tahu apakah yang sebenarnya Nabi nampak. Ada orang lain yang beritahu kepada beliau. Dan dia jujur dalam meriwayatkan. Dia beritahu semua sekali dan beritahu yang dia tidak pasti. Begitulah yang sepatutnya. Kalau dia cakap satu perkara dan salah, itu sudah tidak jujur. Ketiga-tiga jenis kotoran itu, walaupun pada dasarnya berlainan jenis, tapi hukumnya sama. Semua bukan najis. Tapi perlu dibuang kerana menjijikkan orang yang melihatnya.
 ——————————————–

بَاب حَكِّ الْمُخَاطِ بِالْحَصَى مِنَ الْمَسْجِدِ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ إِنْ وَطِئْتَ عَلَى قَذَرٍ رَطْبٍ فَاغْسِلْهُ وَإِنْ كَانَ يَابِسًا فَلا

Bab 7 Bab Menanggalkan Kesan Hingus Dengan Anak Batu Di Masjid. Ibnu Abbas berkata: Kalau Engkau Terpijak Sesuatu Yang Kotor Yang Basah, Maka Basuhlah. Tetapi Kalau Kering, Tidak Perlu Engkau Membasuhnya.

Dalam hadis disebut dinding masjid, tapi dalam tajuk hanya disebut ‘masjid’. Supaya kita tahu, bukan kena buang kesan kotor itu dari dinding sahaja. Kalau tempat lain seperti tangga atau lain-lain pun kena buang juga. Imam Bukhari nak ajar kita supaya baca dan faham hadis dengan luas.
Sekarang disebut guna anak batu pula. Sebab sekarang kotoran hingus itu lebih berat sikit jadi jangan buang dengan tangan. Pakailah sesuatu.
Kalau kita buang ludah, kahak atau hingus tidak perlu berhenti solat. Kalau kena berhenti, tentu Nabi tak bagi jalan lain untuk membuangnya. Dalam hadis ini dan lain-lain hadis, Nabi beri jalan untuk buang iaitu sebelah kiri.
Bukanlah kena pakai anak batu sahaja nak buang kotoran itu. Jangan sempitkan fikiran. Kena faham Sunnah. Bukan semua kena ikut dengan zahir. Ada yang salah baca hadis sampai sempit fikiran mereka. Macam pada zaman Khalifah Uthmaniah dulu, ada ulama kata tak boleh pakai senjata api sebab itu dah mengikut bangsa lain. Itu dah salah besar itu sebab tak faham agama.
– Ibn Abbas berkata kalau engkau terpijak sesuatu kekotoran yang basah, maka basuhlah. Tetapi kalau ia kering, tidak perlu engkau membasuhnya. Apa kaitan dengan tajuk diatasnya? Pijak dimana?
Dia hendak mengisyaratkan bahawa ada ulama yang berpendapat bahawa hingus dan kahak itu adalah najis. Bukhari nak tolak. Sebab Nabi benarkan ke kiri.
Riwayat Ibn Abbas ini sahih. Pengajaran dari riwayat Ibn Abbas ni kalau diluar masjid.
Atau dia nak kata kalau basah, kena basuh. Kalau kering, pakai kayu batu untuk tanggalkannya.

393 حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ أَخْبَرَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ أَخْبَرَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ حُمَيْدِ بْنِ عَبْدِالرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ وَأَبَا سَعِيدٍ حَدَّثَاهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نُخَامَةً فِي جِدَارِ الْمَسْجِدِ فَتَنَاوَلَ حَصَاةً فَحَكَّهَا فَقَالَ إِذَا تَنَخَّمَ أَحَدُكُمْ فَلا يَتَنَخَّمَنَّ قِبَلَ وَجْهِهِ وَلا عَنْ يَمِينِهِ وَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى

393. Telah menceritakan kepada kami Musa bin Isma’il berkata, telah mengabarkan kepada kami Ibrahim bin Sa’d telah mengabarkan kepada kami Ibnu Syihab dari Humaid bin ‘Abdurrahman bahwa Abu Hurairah dan Abu Sa’id keduanya menceritakan, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah nampak kahak pada dinding masjid, baginda lalu mengambil sebiji anak batu lalu menanggalkannya sambil bersabda: “apabila salah seorang dari kalian berkahak maka janganlah ia berkahak ke arah depan atau sebelah kanannya, tetapi hendaklah ia meludah ke arah kirinya atau di bawah tapak kaki (kirinya).

 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 28 & 29 Bab Menanggalkan Kesan Ludah Dengan Tangan Dari Masjid”

  1. visitor74 Says:

    Ma sha Allah! Terima kasih. Nanti saya check


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s