We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 24 & 25 Bab Mengadap Ke Arah Qiblat Di Mana Sahaja Seseorang Itu Berada. Abu Hurairah Berkata: Nabi s.a.w. Bersabda: Mengadaplah Ke Arah Kiblat Dan Bertakbirlah May 4, 2013

بَاب التَّوَجُّهِ نَحْوَ الْقِبْلَةِ حَيْثُ كَانَ وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَقْبِلْ الْقِبْلَةَ وَكَبِّرْ

Bab 4 Mengadap Ke Arah Qiblat Di Mana Sahaja Seseorang Itu Berada. Abu Hurairah Berkata: Nabi s.a.w. Bersabda: Mengadaplah Kamu Ke Arah Kiblat Dan Bertakbirlah

Ingatlah bahawa kita bukan mengadap Kaabah tapi ‘arah’ Kaabah itu. Kalau Kaabah tiada pun kena hadap ke situ juga. Inilah keberkatan tapak itu. Kita disuruh mengadap Kaabah walau dimana sahaja berada. Itulah yang hendak ditekankan oleh Imam Bukhari dalam tajuk ini.

Apabila Nabi bersabda: “Mengadaplah Kamu Ke Arah Kiblat Dan Bertakbirlah”, bermakna kita kena mengadap kiblat dulu baru takbir. Itulah sebagai dalil bahawa mengadap kiblat itu adalah syarat sah, iaitu perlu dilakukan sebelum salat lagi. Dan syarat itu dikenakan kepada semua orang. Bukan hanya kepada Nabi. Bukan hanya kepada sesiapa yang berada di Masjidilharam. Dan bukan hanya dalam tempat ibadat. Samada dalam mukim atau musafir. Itu kita boleh lihat dalam hadis kedua, dimana semasa musafir, Nabi pun mengadap kiblat juga apabila solat fardhu.

Bukan mengadap Kaabah itu waktu mula nak solat sahaja. Dalam solat pun kena sentiasa mengadap kiblat. Dada kita tidak boleh lari dari mengadap kiblat. Takut ada yang keliru dengan hadis riwayat Abu Hurairah: Mengadaplah Ke Arah Kiblat Dan Bertakbirlah. Takut ada yang ingat, waktu nak mula solat sahaja kena mengadap dan selepas itu tidak mengapa kalau tak mengadap kiblat. Macam hadis dibawah dimana sahabat pusing dalam solat mereka. Kalau tidak perlu mengadap kiblat dalam solat, tentulah mereka tidak berpusing kerana pada awal mereka solat, mereka sudah mengadap kiblat yang benar dah waktu itu, iaitu Baitulmaqdis. Maka kalau kita sedang solat dan kita perasan bahawa kita bukan mengadap kiblat, maka kita kena pusing dalam solat itu dan betulkan. Kita tahu itu mungkin kita perasan sendiri atau ada orang yang beritahu kita. Mungkin semasa kita mula solat itu kita tidak perasan kita salah mengadap kiblat tapi kalau yang memberitahu kita itu adalah tuan rumah contohnya, tentulah dia pasti. Maka kita kena ikut. Kita kena pusing badan kita mengadap kiblat. Dalam hadis yang ketiga pula menunjukkan bahawa dalam sujud sahwi pun Nabi pusing kembali untuk mengadap kiblat. Maknanya, kena mengadap solat.

Begitulah kata Sheikh Zakaria dalam mensyarahkan tujuan Imam Bukhari. Mengikutnya, Imam Bukhari membawakan hadis-hadis di bawah ini (Hadis 384, 385 & 386) itu untuk menjelaskan makna hadis riwayat Abu Hurairah dalam tajuknya itu. Dia membawa Hadis riwayat Abu Hurairah itu secara ringkas. Sebab Bukhari nak letak pada tajuknya, sebab itu ringkas sahaa. Hadis itu diambil dari hadis sahabat yang salah dalam solatnya dan Nabi telah memperbetulkannya. Hadis ini adalah sahih kerana Imam Bukhari mewasalkannya (membawa dengan sanad yang penuh) di tempat lain dalam Kitab Sahih Bukhari.

384 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَجَاءٍ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْرَائِيلُ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُوَجَّهَ إِلَى الْكَعْبَةِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ
{ قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ }
فَتَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ وَقَالَ السُّفَهَاءُ مِنْ النَّاسِ وَهُمْ الْيَهُودُ
{ مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمْ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ }
فَصَلَّى مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ ثُمَّ خَرَجَ بَعْدَ مَا صَلَّى فَمَرَّ عَلَى قَوْمٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَقَالَ هُوَ يَشْهَدُ أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّهُ تَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ فَتَحَرَّفَ الْقَوْمُ حَتَّى تَوَجَّهُوا نَحْوَ الْكَعْبَةِ

384. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Raja’ berkata, telah menceritakan kepada kami Israil dari Abu Ishaq dari Al Bara’ bin ‘Azib radliallahu ‘anhuma berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam shalat mengadap Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan, dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebenarnya suka kalau diperintahkan mengadap ke arah Ka’bah. Selepas itu Allah menurunkan ayat: (“Sungguh Kami melihat mukamu berkali-kali menengadah ke langit) ‘ (Qs. Al Baqarah: 144). Maka kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap ke Ka’bah. Lalu berkatalah orang-orang yang bodoh dari masyarakat, yaitu orang-orang Yahudi: ‘(Apakah yang menyebabkan mereka (umat Islam) berpaling dari kiblat (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Wahai Muhammad, Kepunyaan Allah-lah jua timur dan barat. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul) ‘ (As. Al Baqarah: 144). Kemudian ada seseorang yang ikut salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, orang itu kemudian keluar setelah menyelesaikan salatnya. Kemudian orang itu melewati Kaum Anshar yang sedang melaksanakan salat ‘Ashar dengan menghadap Baitul Maqdis (di Masjid Bani Haritsah). Lalu orang itu bersaksi bahwa dia telah salat bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap kearah Ka’bah. Maka orang-orang itu pun berputar sehingga benar-benar menghadap Ka’bah.

Kiblat semasa mengadap baitulmaqdis itu adalah batu yang Nabi pijak semasa Isra’ Mi’raj itu. Itulah pusat tumpuan. Itulah batu yang dianggap suci oleh Kaum Yahudi. Nabi sebenarnya ingin supaya kiblat ditukar kepada Kaabah. Nabi tidak berapa suka kiblat ke Baitulmaqdis itu. Kalau kita cari, arahan untuk mengadap Kiblat Baitulmaqdis itu tidak ada dalam Quran. Hanya isyarat sahaja yang ada dalam 2:144 itu: “…. yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya…”. Makna ayat itu adalah sebelum mengadap Kaabah, ada kiblat lain yang mereka hadapkan. Tapi tidak diberitahu dengan nama. Tapi kita tahu bahawa Kiblat waktu itu adalah Baitulmaqdis dari pembacaan hadis. Maknanya ia adalah ketentuan Allah juga. Kena ikut juga walaupun tidak ada dalam Quran, hanya ada dalam arahan Nabi. Walaupun kalau kita cari dalam Quran tidak ada arahan itu. Menunjukkan hadis itu dari Allah juga dan Nabi telah guna bahasa baginda. Oleh itu, ianya tidak ada dalam Quran. Macam orang cerita kepada kita dalam bahasa Inggeris dan kita cerita kepada orang lain dalam bahasa Melayu. Jadi salah kalau ada orang kata kena ikut Quran sahaja. Kalau tak pakai hadis, bermakna tak ikut Quran juga. Kerana dalam Quran telah ada arahan kepada umat Islam untuk ikut arahan Nabi.

Selama berada di Madinah, umat Islam mengadap 16 atau 17 bulan. Nabi sampai ke Madinah dalam bulan Rabiul Awal dan penukaran kiblat itu terjadi dalam pertengahan bulan Rejab. Beza bulan itu adalah kalau dikira masa perjalanan baginda ke Madinah atau tidak. Tidak ada masalah disitu. Orang-orang yang tidak faham hadis sahaja yang terkeliru sampai mereka kata sebab hadis tidak tetaplah yang menyebabkan mereka tidak percaya kepada hadis. Kalau mereka belajar dengan cara yang betul, semua kekeliruan itu boleh dileraikan dengan ilmu.
Orang-orang bodoh dalam hadis ini dikatakan Yahudi. Dalam riwayat lain dikatakan orang-orang munafik.

Para sahabat memang dah tahu kiblat akan bertukar. Sebab itulah apabila ada yang memberitahu kepada mereka, mereka terus terima walaupun seorang sahaja yang beritahu. Walaupun ketika itu mereka dalam solat. Kejadian itu terjadi semasa solat Asar. Ini menunjukkan boleh pusing dalam solat. Dan menunjukkan kena mengadap kiblat yang betul.

– Kenapa Nabi tak berapa suka dengan kiblat baitulmaqdis itu dan berharap supaya ianya bertukar ke Kaabah?

  1. Kerana Kaabah adalah kiblat Nabi Ibrahim. Dan Allah pun selalu suruh Nabi ikut ajaran Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim pun bapa kepada Yahudi juga. Jadi sepatutnya mereka tidak ada alasan untuk menolak Kaabah sebagai kiblat. Sampaikan ada bekas tapak kaki Nabi Ibrahim di Kaabah sebagai isyarat bahawa kita kena ikut jejak baginda. Bukankah kalau kita ikut orang lain, kita kata: ‘ikut jejak langkah’ seseorang?
  2. Kaabah lebih menarik hati orang Arab. Sampaikan mereka pernah kata kepada Nabi kenapa kena ikut kiblat orang lain. Padahal mereka ada Kaabah. Sebenarnya mengadap BaitulMaqdis itu adalah untuk menjinakkan hati orang Yahudi. Tapi orang Yahudi pula adalah jenis yang keras hati dan bangga diri sebab mereka sudah lama beragama dan ada kitab. Jadi mereka susah nak mengikut Nabi Muhammad. Jadi Nabi rasa lebih senang dibentuk orang Arab itu dari orang Yahudi. Mereka macam air kosong yang boleh dijadikan air apa sahaja. Kalau kiblat memang dah Kaabah, lagi senang kerja baginda. 
  3. Kiblat Kaabah akan menyalahi agama Yahudi. Memang baginda selalu suruh menyalahi perbuatan dan amalan orang Yahudi. Macam pernah Nabi suruh sahabat pakai kasut dalam solat. Supaya tak serupa dengan orang Yahudi yang melarang pakai kasut dalam sembahyang mereka. Kalau kiblat ke Baitulmaqdis dah ikut mereka pula. Itulah sebabnya Nabi suka sangat kalau mengadap ke Kaabah.
  4. Nabi sudah tahu kiblat akan berpindah tapi baginda tak pasti kemana. Maka baginda berharap supaya ianya akan jadi Kaabah.
  5. Yahudi tahu Nabi akhir zaman akan berpindah kiblat dari Baitulmaqdis. Maka Nabi mahu ditukar kiblat dari Baitulmaqdis itu supaya dibuktikan kesahihan kenabian akhir zamannya. Supaya ianya menjadi satu tanda lagi untuk mengatakan memang Nabi Muhammad adalah Nabi akhir zaman. 
  6. Perubahan kiblat akan menamatkan peranan penting bani Israel dalam agama. Mereka dah lama dah dan dah banyak buat salah. Antaranya mereka ubah kitab suci. Itu adalah salah satu dosa yang maha besar. Penukaran kiblat dari Baitulmaqdis akan menjadi tanda bahawa kepimpinan mereka sudah berubah. Kerana lama sangat mereka begitu, mereka dah sampai rasa mereka itu ‘anak tuhan’. Dan semua bangsa selain bangsa mereka adalah bangsa yang hina. Itu juga satu kesalahan besar. Dan mereka telah bunuh Nabi-Nabi. Padahal nabi-nabi itu datang dari bangsa mereka juga. Sudah tentunya mereka sudah tak layak memimpin agama. Maka elok sangatlah kalau kiblat ditukar dari tempat mereka. 
  7. Peralihan itu adalah penapis untuk menilai siapakah yang beriman dan tidak. Sebelum ini penapis keimanan adalah tentang isra’ mi’raj. Waktu itu pun sudah ramai yang tidak percaya dan ada yang meninggalkan Islam. Kali ini, kalau kiblat dah ditukar, Nabi boleh lihat siapakah yang benar-benar beriman dan hanya munafik sahaja. 

Telah jelas kepada kita bahawa semasa di Madinah, Nabi dan para sahabat mengadap ke BaitulMaqdis. Tapi kita tahu bahawa perintah solat telah diberi semasa Isra’ Mi’raj iaitu semasa Nabi berada di Mekah. Kiblat apakah yang dihadap mereka semasa di Mekah? Ada Tiga pendapat:

  1. Mengadap Kaabah juga waktu itu. Sebab tiada riwayat yang mengatakan masyarakat Arab kritik Nabi berkenaan hal kiblat. Kalau mengikut pendapat ini, bila di Madinah sahaja berkiblatkan Baitulmaqdis.
  2. Sudah mengadap Baitulmaqdis tapi Nabi mengadap Kaabah juga. Maknanya, Nabi dan para sahabat buat allignment supaya mengadap dua-dua. Tapi pendapat ini tidak kuat. Kerana kedudukan rumah sahabat tidak begitu. Rumah mereka berselerak, jadi susah kalau kita kata mereka mengadap dua-dua kiblat. Banyak kemusykilan boleh ditimbulkan dalam pendapat ini.
  3. Mereka hanya mengadap Baitulmaqdis sahaja. Di Madinah sambung terus mengadap Baitulmaqdis selama 16/17 bulan.

Apa-apa pun, kita boleh lihat bahawa arahan mengadap Baitulmaqdis itu hanya ada dalam wahy khafi – hadis sahaja. Dalam Quran tiada. Itupun dah menunjukkan ianya bersifat sementara sahaja.

Pertukaran qiblat ini juga memberi isyarat mansukhnya syariat Nabi-Nabi dari bani Israil yang duduknya mereka di sebelah sana. Mereka itu sebelum ini mengadap Baitulmaqdis. Sekarang Allah telah tukar kiblat agama ke arah Kaabah. Maka, sekarang syariaat yang terpakai adalah syariat Nabi Muhammad.

Apakah cerita tentang penukaran kiblat itu? Di mana terjadinya? Waktu itu solat apa?
Ulama terbahagi kepada tiga berkenaan dengan fakta penukaran kiblat ini:
1. Kejadian itu terjadi waktu Zuhur di Masjid Nabi. Lepas itu baru sahabat pergi ke masjid Bani Haritsah. Kebanyakan ulama mengatakan arahan itu turun dalam solat zuhur itu. Ini adalah kerana selalunya Nabi akan berada di masjidnya. Tapi kenapa tidak dipanggil Masjid Nabi sebagai Masjid Qiblatain tapi masjid lain yang diberikan gelaran itu?
2. Waktu Zuhur tapi di Masjid Bani Salimah. Masjid inilah yang terkenal sebagai Masjid Qiblatain. Dikatakan Nabi telah pergi ke kawasan Bani Salimah kerana baginda telah dijemput untuk melawat jenazah salah seorang sahabat. Sebab itu dikatakan Nabi telah solat di Masjid itu. Dikatakan kejadian turun ayat berkenaan dengan penukaran qiblat itu dalam solat. Iaitu dikatakan terjadi pada rukuk rakaat ketiga. Dan selepas itu solat penuh dengan mengadap Kiblat Kaabah terjadi pada waktu Asar hari itu di Masjid Nabi. Riwayat ini lemah sebenarnya, tapi inilah riwayat yang masyhur. Bacaan lanjut boleh didapati di sini.
3. Kejadian terjadi semasa solat Asar. Perintah tersebut terjadi sebelum waktu asar sebelum solat. Ianya berlaku di Masjid Nabi. Selepas itu baru diberitahu kepada makmum di Masjid Bani Haritsah kerana ianya dekat. Terdapat tujuh masjid di Madinah masa itu. Kalau waktu solat, akan kedengaran azan dari tujuh tempat itu. Bukhari mungkin berpendapat begini sebab dia tidak sebut pun kisah di masjid lain terutama sekali Masjid Qiblatain. Kisah itu pun tiada dalam kitab utama.

Yang sebenarnya, Nabi tak terlibat jadi imam dalam solat yang memerlukan pusing dari arah MasjidilHaram ke Kaabah. Kisah yang masyhur yang selalu kita dengar itu tidak ada dalam sumber yang kuat. Yang sebenarnya jelas adalah Masjid Bani Haritsah itulah yang ada pemusingan kiblat dalam solat kerana mereka diberitahu tentangnya dalam solat berjemaah. Nabi terima arahan untuk menukar kiblat itu diluar solat, jadi tidak ada pemusingan dalam solat yang melibatkan Nabi. Jadi kisah Masjid Qiblatain itu tidak kuat. Oleh itu, tidaklah salah Kerajaan Saudi yang menghilangkan tanda kiblat lama pada masjid Qiblatain itu. Ramai yang marah apabila kerajaan Arab Saudi buat begitu. Sebab ada yang bodoh sampai pergi masjid itu dan solat mengadap sana. Sebab mereka kata itu juga adalah kiblat dulu. Sebenarnya tidak boleh buat begitu. Padahal kisah tentang masjid Qiblatain itu hanya ada dalam Kitab Tabaqat Ibnu Sa’ad sahaja dan riwayat itu boleh dipertikaikan. Yang paling sahih pada pendapat kita adalah pendapat ketiga. Iaitu solat pertama mengadap kiblat Kaabah terjadi di Masjid Nabi dan penukaran itu tidak terjadi dalam solat berjemaah.

Kebarangkalian para sahabat di masjid Bani Haritsah itu telah berpusing dalam solat kerana mereka perlu memperbetulkan kedudukan mereka supaya mengadap kiblat. Perempuan kena bergerak ke belakang balik dan lelaki kena bergerak ke hadapan. Bermakna mereka bergerak dengan banyak. Ini dijadikan dalil kepada mereka yang mengatakan boleh bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari hadis ini:

  1. Hukum agama boleh mansukh dan ditukar dengan hukum yang lain. Kita tak boleh persoalkan kenapa Allah buat macam itu. Orang jahat seperti Syiah pakai hadis inilah untuk mengatakan bahawa Allah tidak tahu mana yang molek pada asalnya, jadi ada perubahan kemudiannya. Macam Allah tak tahu dari mula kiblat Baitulmaqdis yang sesuai atau Kaabah yang sesuai. Maknanya mereka kata Allah akan lihat dulu samada menjadi atau tidak. Kalau tak menjadi, Allah akan beri hukum yang baru. Dan ada pula yang mengatakan hukum mansukh sebenarnya tidak ada. Ini memerlukan penjelasan. Kalau kita lihat zaman sekarang, Doktor akan bagi ubat lain mula-mulanya. Lepas itu tukar kepada ubat lain. Bukan dia tidak tahu ubat apa yang sesuai. Tapi perlu lihat kepada keperluan pada masa tertentu. Mula-mula kena makan ubat lain dulu. Oleh itu, jangan kita kata Tuhan tidak tahu. Itu sudah menidakkan ilmu Allah.
  2. Hadis ini juga sebagai dalil bahawa pemansuhan hadis boleh dilakukan dengan Quran. Padahal hadis itu adalah wahyu juga. Tapi wahyu yang disampaikan kepada umat dengan bahasa Nabi sendiri. Kalau Quran itu, Allah sampaikan kepada Jibrail dan Jibrail sampaikan dalam bahasa yang ada dalam Quran yang kita baca sekarang.
  3. Kebolehan berpegang dengan hadis Ahad. Sebab sahabat yang sedang solat menerima berita dari hanya seorang sahaja yang memberitahu. Dengan syarat hadis Ahad itu disokong dengan sekian banyak bukti sokongan yang lain. Macam dalam kes ini, sahabat-sahabat dah tahu kiblat itu tunggu masa sahaja nak tukar. Jadi, walaupun seorang sahaja sahabat yang datang beritahu bahawa kiblat dah tukar, mereka terus tukar. Memang banyak hadis Ahad yang kita pakai kerana hadis-hadis itu mempunyai sokongan yang banyak. Macam hadis khatan/sunat. Walaupun hadis Ahad tapi para sahabat semuanya bersunat. Jadi kita pakai.
  4. Sesuatu hukum itu dipakai bila dah tahu sahaja. Kalau kita tidak tahu, maka kita kita tidak bersalah. Kalau masjid-masjid lain tidak tahu tentang penukaran Kiblat itu, solat mereka masih diterima. Macam masjid Quba’, dikatakan mereka hanya tahu tentang penukaran kiblat itu waktu subuh sahaja. Ada beberapa waktu mereka tertinggal mengadap ke Kaabah. Mereka dapat tahu maklumat itu lambat kerana Nabi tidakpun suruh beritahu semua orang ramai-ramai. Tidak hantar utusan atau sebagainya. Kalau mereka bersalah kerana tidak mengadap kiblat apabila telah ditukar, tentulah mereka kerugian kerana mereka tidak tahu. Allah Maha Pemaaf, Dia tidak menghukum seseorang kerana mereka tidak tahu. Tapi, jangan jadikan ini sebagai dalil untuk jadi orang jahil. Jangan ingat selagi kita tidak tahu kita tak kena hukum. Situasi itu tidak sama dengan situasi penukaran kiblat ini. Ramai orang kita tidak tahu itu adalah kerana mereka tidak belajar. Bukanlah syariat itu tidak ada lagi.
  5. Bergerak banyak dibolehkan dalam solat. Para sahabat telah bergerak untuk membetulkan kedudukan mereka. Perempuan kena pergi ke belakang balik dan lelaki kena ke hadapan. Ini adalah bila ada keperluan. Tidaklah perlu bergerak tiga langkah, berhenti, tiga langkah, berhenti.

 

385 – حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ فَإِذَا أَرَادَ الْفَرِيضَةَ نَزَلَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ

385. Telah menceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin Abu ‘abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Abu Katsir dari Muhammad bin ‘Abdurrahman dari Jabir bin ‘Abdullah berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat diatas binatang tunggangannya dengan menghadap kemana arah tunggangannya menghadap. Apabila baginda hendak melaksanakan salat yang fardhu, baru baginda turun lalu salat menghadap kiblat.”

Hadis ini menunjukkan bahawa dalam musafir pun mengadap kiblat. Bukan hanya jikalau kita bermukim sahaja. Iaitu bukan kalau kita ada di tempat tinggal kita sahaja. Kalau kita berjalan ke tempat orang pun, kena juga cari manakah kiblat supaya kita dapat mengadap kepadanya.
Atas kenderaan boleh solat sunat tanpa mengadap kiblat. Jumhur ulama kata tidak mengapa jika tidak menghadap kiblat masa takbiratulihram itu. Maknanya, kalau nak solat dalam kereta, boleh terus sahaja takbir tanpa tahu kat mana arah kiblat pun.
Solat fardhu dalam kenderaan sebolehnya mengadap kiblat. Seeloknya turun dan solat dengan mengadap kiblat. Itu kalau boleh. Kalau tak boleh tak mengapa. Contohnya kita dalam kapal terbang, macam mana kita nak turun. Atau kita dalam kereta, tapi keadaan waktu itu jem dan tidak sesuai untuk kita berhenti tepi jalan, tidaklah perlu turun.

Hadis ini juga menunjukkan Nabi sangat suka mengerjakan solat. Ini kerana solat memberi ketenangan kepada baginda. Banyak benda istimewa baginda dapat semasa dalam solat. Nanti akan diceritakan dengan lebih lanjut dalam hadis yang lain.

386 – حَدَّثَنَا عُثْمَانُ قَالَ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَلْقَمَةَ قَالَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ
صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لَا أَدْرِي زَادَ أَوْ نَقَصَ فَلَمَّا سَلَّمَ قِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَدَثَ فِي الصَّلَاةِ شَيْءٌ قَالَ وَمَا ذَاكَ قَالُوا صَلَّيْتَ كَذَا وَكَذَا فَثَنَى رِجْلَيْهِ وَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ فَلَمَّا أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ قَالَ إِنَّهُ لَوْ حَدَثَ فِي الصَّلَاةِ شَيْءٌ لَنَبَّأْتُكُمْ بِهِ وَلَكِنْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ فَإِذَا نَسِيتُ فَذَكِّرُونِي وَإِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ فَلْيَتَحَرَّ الصَّوَابَ فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ ثُمَّ لِيُسَلِّمْ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ

386. Telah menceritakan kepada kami ‘Utsman berkata, telah menceritakan kepada kami Jarir dari Manshur dari Ibrahim dari ‘Alqamah berkata, Abdullah berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan salat.” Ibrahim melanjutkan, “Tapi aku tidak tahu apakah baginda kelebihan rakaat atau kurang. Setelah salam, baginda pun ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah telah terjadi sesuatu berhubung shalat?. Baginda bertanya kembali: “Apanya?” Maka mereka menjawab, “Engkau telah salat sekian-sekian rakaat.” Baginda kemudian melipatkan kedua kakinya dengan menghadap kiblat, kemudian baginda sujud dua kali, kemudian salam. Setelah baginda menghadap ke arah kami (setelah solat), baginda bersabda: “Sekiranya berlaku apa-apa berhubung dengan salat, pasti aku ceritakan kepada kalian. Tetapi aku ini hanyalah manusia seperti kalian yang boleh terlupa sebagaimana kalian juga terlupa, maka jika aku terlupa, ingatkan aku. Dan jika seseorang dari kalian syak dalam salatnya maka dia hendaklah cuba memastikan mana yang betul, kemudian hendaklah ia sempurnakan berdasarkan yang dipastikan itu, lalu salam kemudian sujud dua kali.”

Hadis ini menunjukkan mengadap kiblat itu bukan hanya semasa takbiratul ihram sahaja. Apabila hendak sujud sahwi pun kena juga menghadap kiblat.
Tidak jelas didalam hadis ini berapakah rakaat yang Nabi solat. Dalam riwayat lain, dikatakan Nabi telah solat lima rakaat dan waktu itu adalah waktu solat Zuhur.

Pengajaran dari hadis ini:

  1. Hadis ini menunjukkan para Nabi boleh terlupa. Tapi kelupaan mereka itu tidak dibiarkan berpanjangan lama. Allah akan membetulkan Nabi dengan berbagai cara. Dalam hadis ini, sahabat terus tanya baginda. Nabi diperbetulkan supaya agama tidak terjejas. Jangan ada pula yang ingat solat zuhur boleh buat lima rakaat pula sebab mereka kata Nabi pun ada buat.
  2. Membuktikan para Nabi itu pun manusia juga. Ada kemungkinan mereka boleh terlupa. Syiah marah betul kalau dikatakan Nabi-nabi ada terlupa. Mereka kata kita kurang ajar dengan Nabi sampai mengatakan Nabi boleh terlupa pula. Macam kita tak hormat Nabi. Sekali pandang, macam bagus pula mereka cakap macam tu. Tapi sebenarnya mereka bukan ikhlas pun cakap macam tu. Mereka cakap itu kerana hendak membenarkan agama mereka. Pada mereka, imam-imam mereka maksum. Maksum itu pula, sampai mereka tak mungkin imam-imam mereka boleh terlupa. Itu dah lebih dari Nabi. Jadi, mereka takut kalau orang kata mereka mengarut (memang pun) sebab melebihkan imam-imam mereka dari Nabi. Jadi, mereka cakaplah Nabi pun tak boleh terlupa, supaya sekurang-kurangnya sama dengan imam mereka. Syiah nak sandarkan kedudukan imam-imam mereka dengan Nabi. Tapi, idea itu tidak boleh diterima. Kerana banyak ayat Quran kata para Nabi pernah terlupa. Nabi Adam terlupa sampai makan pokok larangan, Nabi Yusha pernah terlupa nak beritahu Nabi Musa tentang ikan mereka masuk dalam laut, Nabi Muhammad sendiri pernah terlupa banyak kali dikisahkan. Dan beberapa kisah para Nabi lagi. Maknanya, sebagai seorang manusia, para Nabi juga ada terlupa. Tapi mereka dijaga oleh Allah supaya apa yang mereka lupa itu, tidak menjejaskan agama. Makna maksum adalah bersih dari melakukan dosa, bukan bersih dari terlupa.
  3. Dengan adanya Nabi terlupa membolehkan pengajaran agama dalam cara praktikal. Kalau Nabi tidak terlupa, macam mana kita nak tahu apa kita nak buat kalau dah terlebih atau terkurang solat. Kalau setakat diberitahu sahaja, ada kemungkinan tidak jelas. Begitulah Islam yang indah ini memberikan kebaikan pada kekurangan yang dialami. Banyak kejadian Nabi terlupa, sampai pernah Nabi tertinggal solat pun ada. Itu semua adalah memberi pengajaran kepada kita.
  4. Berhenti solat kerana sangka solat itu sudah sempurna tidak membatalkan solat itu. Kalau terkurang, cuma tambah mana yang tertinggal dan sujud sahwi. Tidak perlu memulakan solat itu dari mula. Kalau antaranya kita sudah bercakap pun tidak mengapa. Kerana dalam hadis ini, Nabi telah berkata-kata dengan sahabat pun.
  5. Kalau terlebih rakaat pun boleh juga dilakukan sujud sahwi. Kalau dah lama sangat tidaklah perlu. Contohnya, siap dah pergi minum teh tarik, baru teringat, tidak payahlah nak pergi sujud sahwi lagi. Ianya adalah perbuatan yang mustahab – baik, tapi tidak wajib.
  6. Nabi pesan untuk ingatkan baginda kalau terlupa atau tersalah. Kalau Nabi sendiri pun dia suruh ingatkan diri dia, tambahan pula kalau orang lain.
  7. Yang penting, kita kena berusaha untuk pilih yang betul.

Apakah yang dibaca dalam sujud sahwi? Sebenarnya tidak ada riwayat yang warid dari Nabi tentang zikir yang dibaca semasa itu. Yang biasa kita baca itu (subhanallah, la yanaamu wala yashu) ialah dari kata-kata ulama, bukan dari Nabi. Walaubagaimanapun, para ulama mengatakan itu adalah bacaan yang sesuai untuk sujud sahwi. Dan ada juga yang mengatakan bacaan yang lebih molek adalah bacaan tasbih macam biasa kita buat kalau dalam solat biasa. Dan duduk antara dua sujud itu juga adalah bacaan yang sama dalam solat juga. Dan ada juga yang kata, kerana Nabi tidak mengatakan apakah yang dibaca, maka tidak ada apa yang dibaca semasa itu. Maknanya, senyap sahaja semasa sujud itu. Terpulang kepada kita apa yang kita hendak baca.

Kuliah Maulana Asri

 

2 Responses to “Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 24 & 25 Bab Mengadap Ke Arah Qiblat Di Mana Sahaja Seseorang Itu Berada. Abu Hurairah Berkata: Nabi s.a.w. Bersabda: Mengadaplah Ke Arah Kiblat Dan Bertakbirlah”

  1. […] ulama, ana syorkan antum baca lebih banyak tentang kisah ini dalam perspektif yang lain juga: -Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 24 & 25 Bab Mengadap Ke Arah Qiblat Di Mana Sahaja Seseorang Itu … -DOA RASULULLAH MOHON PERTUKARAN ARAH KIBLAT […]

  2. […] antara tempat elok untuk diziarahi. Dipanggil Qiblatain kerana ada dua qiblat pada masjid itu. Ada hadis berkenaan penukaran kiblat […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s