We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 18 Bab Sujud Di Atas Kain Pada Ketika Sangat Panas April 27, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 1:11 am

بَاب السُّجُودِ عَلَى الثَّوْبِ فِي شِدَّةِ الْحَرِّ

Bab 23 Sujud Di Atas Kain (yang dipakai seseorang) Pada Ketika Sangat Panas

Sebelum ini dibincangkan keharusan memakai pelapik dalam solat. Kali ini pelapik yang tidak khusus untuk solat seperti sejadah. Macam sejadah dan khumrah, itu memang disediakan awal sebelum solat lagi. Dalam tajuk ini adalah berkenaan orang yang solat menggunakan sebahagian kain baju dia sahaja sebagai lapik semasa sujud. Itu adalah jenis pelapik yang tidak dikhaskan untuk solat. Imam Bukhari nak mengatakan bahawa ini boleh dilakukan.

Kebolehan menggunakan kain baju ini bukan hanya kalau keadaan terlalu panas atau terlalu sejuk. Ketika keadaan biasa pun boleh. Yang Imam Bukhari letak kerana panas dalam tajuk itu kerana ada dalam hadis, jadi Imam Bukhari memasukkannya dalam tajuknya. Kebetulan sahaja, bukanlah nak menghadkan kebolehan itu hanya pada keadaan panas sahaja. Tidak diikat dengan sebab panas sahaja. Sebab sebelum ini, kita telah belajar hadis riwayat Anas, dalam hadis itu tidak mengatakan waktu panas. Apabila dalam hadis itu meletakkan satu keadaan, tidak semestinya hanya boleh dipakai dalam keadaan itu sahaja. Dalam Quran pun tidak semestinya apabila Allah meletakkan keadaan tertentu, hanya tertakluk kepada keadaan itu sahaja. Contohnya apabila Allah memberikan kemudahan untuk solat qasar ‘apabila takut diganggu orang kafir’, bukanlah bermakna ianya hanya boleh waktu takut sahaja. Nabi sendiri berkata bahawa ianya adalah hadiah dari Allah untuk manusia. Berkenaan masa takut itu hanya menceritakan keadaan semasa sahaja. Ini dinamakan qaid intifaqi. Ataupun dalam ayat lain, mengatakan tidak boleh kahwin dengan anak tiri ‘yang dalam ribaan kamu’. Tidaklah hanya anak-anak tiri yang kecil sahaja yang tidak boleh dikahwini. Kalau anak tiri itu sudah besar pun tidak boleh dikahwini juga. Ada satu lagi ayat Quran tentang tidak boleh menyuruh orang perempuan melacurkan diri ‘jikalau mereka mahukan kehidupan yang suci’. Ini tidaklah mengatakan bahawa kalau mereka pun hendak juga melacur, kita boleh benarkan. Jadi, kena faham juga tu.

Imam Bukhari sebenarnya nak tolak pendapat Imam Syafie secara lembut. Sebab Imam Syafie kata tidak sah kalau berlapik dengan kain yang dipakai. Itu adalah sebenarnya adalah pendapat minoriti. Kerana jumhur ulama mengatakan boleh kalau bahagian sujud pun dilapik dengan pakaian yang dipakai semasa solat.

Sujud dalam solat adalah perbuatan merendahkan diri kepada Allah. Terdapat tujuh anggota sujud. Antaranya, Nabi kata muka, sambil tunjuk ke hidung. Asal ada sentuh dimuka. Hidung pun sebahagian dari muka. Pipi pun sebahagian dari muka juga, tapi tak sesuai kalau pakai lekap pipi kita pada tanah pula. Ulama kata asal salah satu dari dahi atau hidung menyentuh tempat sujud sudah cukup. Dalam Syafie, dahi paling penting, seeloknya dengan hidung sekali. Imam Ahmad pula berpendapat kena dahi dan hidung menyentuh tempat sujud baru sah. Itu adalah yang terbaik. Imam Bukhari berpendapat selagi kena hidung sudah cukup. Anggota sujud yang lain pun kita terima boleh kalau tertutup. Contohnya lutut selalunya tertutup dengan seluar atau kain. Kaki juga boleh tertutup kalau pakai khuf atau tangan pun boleh tertutup kalau pakai sarung tangan. Maka kalau begitu, tentulah dahi pun boleh kalau tertutup. Kita pun bukan nak ada kesan pada dahi. Bukanlah kita nak ada kesan hitam didahi macam sesetengah orang tu. Yang kesan yang kita hendak itu adalah masa di akhirat nanti, bukan di dunia.

Dan yang paling kuat adalah memang sahabat sendiri solat dengan melapik dahi dengan kain baju yang dipakai mereka semasa solat dengan Nabi. Ada yang kata itu tidak boleh diterima kerana Nabi tak nampak. Tapi, dari hadis yang sahih, kita tahu bahawa Nabi pernah berkata bahawa Nabi nampak perbuatan sahabat semasa solat di belakang. Allah telah memberikan kebolehan itu kepada Nabi. Tidaklah kita nak tanya bagaimana Nabi boleh dapat macam itu, adakah dia ada mata lain di belakangnya atau apa. Maka, kerana kita terima bahawa Nabi nampak perbuatan solat sahabat dan kalau baginda nampak dan perbuatan itu salah, Nabi kena tegur. Salah Nabi kalau tak tegur perbuatan salah para sahabat.

وَقَالَ الْحَسَنُ كَانَ الْقَوْمُ يَسْجُدُونَ عَلَى الْعِمَامَةِ وَالْقَلَنْسُوَةِ وَيَدَاهُ فِي كُمِّهِ

Hasan al basri berkata: para sahabat bersujud di atas serban dan songkok sementara kedua tangan mereka pula berada di dalam lengan baju mereka.

372 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ هِشَامُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ قَالَ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ الْمُفَضَّلِ قَالَ حَدَّثَنِي غَالِبٌ الْقَطَّانُ عَنْ بَكْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ
كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ أَحَدُنَا طَرَفَ الثَّوْبِ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ فِي مَكَانِ السُّجُودِ

372. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid Hisyam bin ‘Abdul Malik berkata, telah menceritakan kepada kami Bisyir bin Al Mufadlal berkata, telah menceritakan kepadaku Ghalib Al Qaththan dari Bakar bin ‘Abdullah dari Anas bin Malik berkata, “Kami selalu salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dikalangan kami ada yang meletakkan hujung kain yang dipakainya di tempat sujud kerana terlalu panas (tempat sujud).”

Pengajaran yang kita boleh dapat dari hadis ini adalah:

  1. Harus solat diatas apa sahaja hamparan.
  2. Harus sujud atas kain yang sedang dipakai dalam solat.
  3. Pergerakan yang sedikit walaupun bukan pergerakan solat tidak membatalkan solat. Jangan pelik kalau kita lihat cara solat orang lain. Terutama mazhab lain dengan kita. Mereka ada yang banyak bergerak. Boleh lapkan cermin mata dalam solat pun ada.
  4. Ibadat dalam Islam tidak menyeksakan. Kalau tempat sujud panas, bukan kita nak kena juga sujud tanpa lapik. 
  5. Hadis sahabat yang mengatakan ‘kami melakukan begini begitu bersama Nabi’ boleh dikelaskan sebagai hadis marfu‘. Seperti Nabi sendiri mengatakan boleh buat begitu.
  6. Sahabat ada pakai serban dan ada pakai songkok dalam solat. Ada juga yang tak pakai apa-apa penutup kepala pun ada. Kerana mereka kebanyakannya miskin dan tidak mempunyai baju atau pakaian yang banyak.
  7. Cuaca di Madinah sangat panas di musim panas. Pernah Nabi suruh lambatkan solat zuhur sebab panas. Yang penting adalah khusyuk. Kerana kalau solat dalam keadaan yang panas sangat, tidak dapat khusyuk pula nanti.

————————————————————————————————

بَاب الصَّلَاةِ فِي النِّعَالِ

Bab 24 Bersembahyang Dengan Memakai Kasut

Ini adalah tajuk yang boleh dikatakan kontroversi. Bukan Imam Bukhari nak kata molek pakai kasut dalam solat. Tapi dibenarkan sahaja dalam keadaan tertentu. Sebelum ini tajuk lapik dalam solat adalah berkenaan dengan lapik dahi. Kalau dahi dibenarkan lapik dalam solat, tidakkah kaki juga memerlukan pelapik kerana berdiri dalam keadaan yang panas? Katakanlah cuaca panas sangat. Imam Bukhari nak kata boleh pakai. Sebab nak jaga khusyuk juga. Pakai kasut yang kita rasa selesa. Kalau kita boleh pakai pelapik yang tidak khusus untuk dahi, maka bolehlah juga pakai pelapik untuk kaki. Dan kasut pun boleh dikatakan pelapik juga.

Dalam hadis, kita dapat tahu bahawa Nabi dan sahabat ada pakai kasut juga dalam solat. Dikatakan bahawa tujuan Nabi menyuruh pakai kasut itu adalah untuk membantah amalan orang Yahudi. Kerana mereka setiap kali sembahyang kena buka kasut. Mereka tidak boleh pakai kasut dalam ibadat mereka.
Jadi nampaknya arahan Nabi itu adalah untuk menyalahi perbuatan Yahudi. Kerana waktu itu mereka sembahyang tanpa kasut. Jadi kalau kita sekarang, kenalah buka kasut pula kerana mereka sekarang sembahyang pakai kasut. Mereka dah tukar. Dan hukum Islam itu mengikut keadaan. Kalau keadaan berubah, hukum yang asal pun berubah mengikut keadaan. Macam zaman sekarang, Yahudi dah tak buka kasut. Dan mereka pula simpan janggut panjang. Dan ada golongan sikh yang pakai serban juga. Janggut mereka pun panjang. Maka ada eloknya kalau kita tidak ikut identiti mereka. Zaman Nabi itu Nabi nak menyalahi agama lain. Ada eloknya kalau kita tidak menyebelahi mana-mana identiti. Supaya nampak bahawa Islam ini adalah untuk semua. Supaya semua manusia akan rasa selesa dengan kita.

Dan mungkin juga Imam Bukhari nak mengatakan sunat memakai kasut kerana tanpa kasut, tidak lengkap pakaian. Kerana ayat Quran yang menyuruh kita memakai pakaian yang lengkap sebagai perhiasan untuk solat. Ini adalah andaian.

Ada yang kata tajuk ini untuk menyangkal pendapat Yahudi yang mengatakan batal sembahyang kalau pakai kasut. Mereka salah faham dengan perintah Allah kepada Musa semasa Allah menyuruh Nabi Musa membuka kasut di lembah Tuwa. Kerana ketika itu dia sedang berada di tempat suci. Sekali imbas ayat ini menyuruh tidak berkasut di tempat suci seperti masjid. Nabi Muhammad ingin menghapuskan pengaruh dan pendapat mereka itu maka baginda memakai kasut dan menyuruh sahabat memakai kasut. Baginda faham suruhan Allah untuk mencabut kasut itu adalah untuk beradab sahaja. Tidaklah perintah itu bermaksud wajib.

373 – حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مَسْلَمَةَ سَعِيدُ بْنُ يَزِيدَ الْأَزْدِيُّ قَالَ سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي نَعْلَيْهِ قَالَ نَعَمْ

373. Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abu Iyas berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Maslamah Sa’id bin Yazid Al Azdi berkata, “Aku bertanya kepada Anas bin Malik, “Apakah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah salat dengan memakai sandal?” Dia menjawab, “Ya.”

Adakah sentiasa Nabi pakai kasut? Tidak sentiasa. Tidakkah memakai kasut akan menyebabkan kekotoran pada tempat ibadat kita? Padahal ajaran Islam mementingkan kebersihan. Maka kena faham apakah suruhan dan perbuatan Nabi. Jangan nak terus pakai sahaja.

Nabi tidak sentiasa berkasut. Dalam hadis riwayat Anas itu bermaksud kadang-kadang sahaja baginda berkasut. Kadang kadang tidak berkasut.
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum berkasut dalam solat. Ulama terbahagi kepada beberapa golongan.
1. Golongan pertama mengatakan sunat pakai kasut. Pada mereka, elok memakai kasut dalam solat. Dengan syarat kasut itu bersih. Walaupun kasut itu pernah digunakan di jalanan. Antara yang memegang pendapat ini adalah Imam Ahmad dan mazhab Zahiri. Begitu juga dengan Imam Syaukani dan Ibn Battal (salah seorang pensyarah Sahih Bukhari). Dalil mereka adalah hadis-hadis yang ada mengatakan bahawa Nabi dan sahabat pakai kasut. Kalau kita kata itu hanya kerana Nabi menyalahi Yahudi jawapannya adalah seperti juga solat qasar bukan hanya kerana takut dikacau orang kafir. Bukanlah kita hanya boleh solat Qasar kalau takut diganggu oleh orang kafir. Zaman kita memang lagi boleh pakai kasut yang bersih. Sebab dah tak kotor jalanan macam zaman dulu. Memang boleh pakai kasut yang bersih kerana jalan pun bersih. Tidak lagi terpijak tahi lembu dan binatang yang lain.
2. Pendapat kedua mengatakan elok solat dengan kasut kalau bertujuan hendak menyalahi pegangan orang Yahudi. Kalau bukan sebab itu, ianya adalah harus sahaja. Kalau sekarang orang Yahudi pula memakai kasut, sudah tidak ada kebaikan dalam pakai kasut. Yang memegang pendapat ini adalah Imam Syafie dan golongan Hanafiah.
3. Golongan ketiga mengatakan memakai kasut adalah satu rukhsah (kemudahan yang Allah beri) dalam keadaan tertentu. Kalau lantai terlalu panas, terlalu sejuk atau menggerutu. Bukan elok untuk setiap keadaan. Boleh pakai kalau hendak. Imam Bukhari berpendapat begini. Kita kenalah ingat bahawa orang Islam ada macam-macam jenis. Lihat askar contohnya. Kalau mereka kena buka dan pakai kasut mereka dalam peperangan atau dalam hutan, tentulah susah. Bila dah buka kasut, tiba-tiba kena serang, kan susah nak pakai kasut itu balik? Islam memudahkan umatnya untuk beribadat. Dalam banyak keadaan, solat perlu dilakukan juga. Tidak ada alasan untuk tidak solat. Ini bermakna, ada keperluan memakai kasut dalam keadaan tertentu.
4. Elok berkasut sebab termasuk dalam perhiasan. Ayat Quran menyuruh kita memakai perhiasan setiap kali solat. Dan kasut pun adalah sebahagian dari pakaian juga.
5. Makruh. Kecuali jikalau memenuhi syarat. Iaitu kena lihat jenis kasut dan sebagainya.

Seeloknya tak payah pakailah kasut. Susah nanti nak kawal. Wajar kalau kita tidak benarkan pakai kasut. Zaman Nabi dulu masjid lantainya dari tanah, sesuailah kalau nak pakai kasut. Dan kalau ada kegunaan kesesuaian seperti panas kah atau terlalu sejuk, kita tidak mengalami keadaan begitu. Cuma kenalah tahu bahawa Nabi pernah pakai kasut dahulu dan ada kegunaan jika perlu boleh pakai kasut.

————————————-

Bolehkah kita talfid? Iaitu tukar-tukar mazhab? Contoh ambil wudu mazhab Syafie tapi bab batal pakai mazhab Hanafi. Tidak ada dalil yang terang mengatakan tidak boleh talfid. Sebenarnya ikut yang kita faham. Tabein pun dalam satu masalah pakai pendapat satu sahabat tapi bab batal wudu tanya pendapat sahabat lain pula. Yang tidak sama pendapat mereka berdua. Asalkan mereka dua-dua alim. Tidaklah kena pakai satu mazhab dari mula sampai habis. Tidak ada ijmak tentang perkara talfid yang mengatakan tidak boleh. Ini pendapat masing-masing. Kalau nak susah, sendiri pakailah.

Bagaimana nak sujud kalau kat depan kita adalah belakang orang? Macam kat Mekah yang penuh manusia. Kita buat setakat mana yang boleh. Boleh sebenarnya nak sujud atas badan dia tapi takut dia terkejut pula. Eloknya tunggulah dulu.

Ada yang tidak pakai tujuh anggota sujud. Kaki sampai terangkat pun ada, padahal kita mewajibkan perut jari kaki kena sentuh lantai. Yang buat macam itu memegang pendapat mengatakan bahawa yang tujuh anggota itu adalah sunat sahaja.

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s