We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Solat Sesi 14 & 15 Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu April 23, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Sembahyang — visitor74 @ 8:03 pm
Tags: , , , , , , , ,

بَاب الصَّلَاةِ فِي السُّطُوحِ وَالْمِنْبَرِ وَالْخَشَبِ

Bab Bersembahyang Di Atas Sutuh (Bumbung Rumah Yang Rata), Mimbar Dan Kayu

Sebelum ni Imam Bukhari banyak menceritakan bab pakaian. Itu adalah syarat pertama sebelum sembahyang. Sekarang dia ingin membicarakan bahagian kedua pula iaitu berkenaan dengan tempat solat.

Sutuh adalah bumbung yang rata. Ianya terdedah di bahagian atas. Di Malaysia tidak biasa ada bumbung sebegini kerana kita banyak hujan turun. Tapi di negara tidak banyak hujan, bumbung mereka rata. Mereka akan tidur di bumbung itu dimusim panas kerana ianya terdedah dan ianya sejuk;
Kenapa Imam Bukhari guna perkataan ‘dalam’ sutuh dalam tajuknya? Sepatutnya dia gunakan ‘atas’. Ini kerana memang ada penggunaan macam tu dalam bahasa Arab termasuklah dalam Quran pun. Imam Bukhari akan menggunakan cara Quran sebanyak mungkin.

Imam Bukhari hendak menyampaikan dalam bab ini bahawa boleh solat di mana-mana asalkan tempat yang bersih dan suci. Suci itu bermakna suci dari segi syarak. Kadang-kadang ada tempat yang bersih tapi tidak suci. Boleh juga solat samada di tanah tinggi atau tidak. Rata atau tidak. Berlapik atau tidak.
Dalam hadis, pernah Nabi mengatakan bahawa bumi telah dijadikan kepada baginda sebagai masjid. Maksudnya tempat solat. Tapi bukan maknanya betul-betul kena solat atas tanah. Itu pendapat yang salah termasuk yang mengatakan demikian adalah puak sesat Syiah. Mereka pakai hadis itu dan kata kena sujud atas tanah juga. Tapi kenapa mereka pakai tanah Karbala pula, bukan tanah Makkah kah atau tanah Madinah? Itu semua adalah kerana kesesatan mereka.

Imam Bukhari letak tajuk sebegitu kerana ada khilaf seperti ulama Maalikiah yang pegang bahawa tak sah kalau imam lebih tinggi dari makmum. Dan ada yang kata solat di atas kayu adalah makruh. Jadi kerana ada pendapat-pendapat yang sebegini menyebabkan Imam Bukhari tidak menyatakan dengan terang pendapat beliau kerana beliau menghormati pendapat orang lain. Tetapi kepada yang tahu, mereka akan nampak bahawa sebenarnya Imam Bukhari menolak pendapat itu dengan lembut.

Kesimpulannya Imam Bukhari nak mengatakan bahawa boleh solat atas apa sahaja asalkan bersih dan suci.

قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ وَلَمْ يَرَ الْحَسَنُ بَأْسًا أَنْ يُصَلَّى عَلَى الْجُمْدِ وَالْقَنَاطِرِ وَإِنْ جَرَى تَحْتَهَا بَوْلٌ أَوْ فَوْقَهَا أَوْ أَمَامَهَا إِذَا كَانَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ وَصَلَّى أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَى سَقْفِ الْمَسْجِدِ بِصَلَاةِ الْإِمَامِ وَصَلَّى ابْنُ عُمَرَ عَلَى الثَّلْجِ

Abu Abdillah (Imam Bukhari) berkata: Hasan berpendapat tidak mengapa bersembahyang di atas air beku (air batu) dan di atas jambatan walaupun di bawahnya, di atasnya atau di hadapannya mengalir air kencing jika ada sutrah diantara tempatnya dan tempat mengalir air kencing itu. Abu Hurairah bersembahyang di atas bumbung masjid dengan mengikut sembahyang imam (dibawahnya). Ibnu Umar pernah bersembahyang di atas salji.

Walaupun kita tidak ada peluang solat diatas ketul ais macam di kutub utara, tapi ulama telah memikirkan perkara ini. Tidak ada masalah solat diatas ketulan ais yang besar. Cuma jangan solat atas ais yang nipis sudah kerana takut nanti ia cair dan kita termasuk dalam air pula.
Dan boleh solat atas kayu juga. Bukan hanya rumah kayu sahaja. Katakanlah kita kena kejar harimau terpaksa panjat pokok dan duduk disitu dalam kadar lama. Solat tidak boleh ditinggalkan walaupun dalam keadaan macam itu. Maka tidak ada masalah nak solat kalau begitu. Untuk menyucikan diri, kita boleh tayammum seperti yang telah diajar sebelum ini. Bukan nak kena pakai tanah. Ini kita telah belajar dalam bab Tayammum dulu mengikut pendapat Imam Bukhari.

Imam Bukhari membawa hadis yang mengatakan Nabi sendiri telah solat diatas mimbar. Itu adalah tempat yang tinggi dan juga tentulah mimbar itu dijadikan dari kayu. Jadi dia hendak menolak pendapat yg mengatakan makruh solat di atas kayu kerana Nabi sendiri melakukannya. Walaupun Nabi tidak sujud diatas mimbar itu, tapi dia telah melakukan sebahagian dari perbuatan solat. Baginda tidak sujud itu pun kerana mimbar itu hanya dalam bentuk tangga sahaja dan tidak boleh sujud disitu dengan sempurna. Mungkin kalau boleh sujud disitu, baginda telah sujud juga.
Berapa banyak langkah Nabi ambil? Tentulah banyak. Tidak ada dalil yang sah mengatakan tidak boleh mengambil langkah yang banyak. Dan tidak disebut bahawa Nabi langkah satu satu. Imam Ahmad mengatakan bahawa kalau selagi manusia nampak kita masih lagi dalam solat, boleh lagi kita nak berjalan. Sebab tangan kita dalam qiyam dan dada kita sentiasa mengadap kiblat.

– Imam Bukhari membawa pendapat Hasan Basri dalam tajuk diatas, yang mengatakan tidak mengapa solat berdekatan dengan najis asalkan ada sutrah antaranya. Bukankah rumah kita sekarang banyak saluran najis? Saluran itu atas kita atau dibawah kita. Asalkan tidak menitik, solat kita sah. Kerana ada pembahagi antara najis itu dan kita. Tidak kena kepada kita pun. Yang tak boleh adalah kalau kita sentuh najis itu. Katakanlah najis berada bawah dada kita masa sujud, sah juga solat itu. Hanya makruh sahaja. Asalkan tidak kena kepada tubuh kita. Sama juga kalau bersentuh dengan budak pakai pampers. Pun sah juga. Asalkan kita tidak menanggung dia.

– Abu Hurairah pernah juga solat diatas bumbung masjid dengan imam berada di bawah. Dalam riwayat yang lain, dikatakan Abu Hurairah tidak berseorang tapi berdua di atas bumbung masjid itu. Ini menunjukkan bahawa boleh kalau jauh dari imam. Dan boleh kalau makmum berada di atas dan imam di bawah. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa boleh kalau terpisah antara makmum dan imam asalkan boleh nampak makmum yang lain. Atau kita boleh dengar takbir intiqaalat. Sebab kalau tak macam mana kita nak tahu sudah gerak dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Tak boleh nak harapkan kepada speaker atau tv sebab boleh jadi benda-benda itu tiba-tiba tidak berfungsi dan kita sudah tak tahu pergerakan dari satu rukun ke rukun yang lain.

– Kalau Ibn Umar solat atas salji, bermakna dia solat atas benda yang menutupi tanah. Jadi, tidaklah kena dahi itu menyentuh tanah. Itu adalah dalil mengatakan tidak mengapa jikalau dahi tidak menyentuh tanah.

364 – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ قَالَ سَأَلُوا سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ مِنْ أَيِّ شَيْءٍ الْمِنْبَرُ فَقَالَ مَا بَقِيَ بِالنَّاسِ أَعْلَمُ مِنِّي هُوَ مِنْ أَثْلِ الْغَابَةِ عَمِلَهُ فُلَانٌ مَوْلَى فُلَانَةَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَامَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ عُمِلَ وَوُضِعَ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ كَبَّرَ وَقَامَ النَّاسُ خَلْفَهُ فَقَرَأَ وَرَكَعَ وَرَكَعَ النَّاسُ خَلْفَهُ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى فَسَجَدَ عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ عَادَ إِلَى الْمِنْبَرِ ثُمَّ رَكَعَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ رَجَعَ الْقَهْقَرَى حَتَّى سَجَدَ بِالْأَرْضِ فَهَذَا شَأْنُهُ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ قَالَ عَلِيُّ بْنُ الْمَدِينِيِّ سَأَلَنِي أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَإِنَّمَا أَرَدْتُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ فَلَا بَأْسَ أَنْ يَكُونَ الْإِمَامُ أَعْلَى مِنْ النَّاسِ بِهَذَا الْحَدِيثِ قَالَ فَقُلْتُ إِنَّ سُفْيَانَ بْنَ عُيَيْنَةَ كَانَ يُسْأَلُ عَنْ هَذَا كَثِيرًا فَلَمْ تَسْمَعْهُ مِنْهُ قَالَ لَا

364. Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Hazim berkata, “Orang-ramai bertanya kepada Sahal bin Sa’d tentang terbuat dari apa mimbar Rasulullah? Maka dia berkata, “Tidak ada seorangpun yang masih hidup dari orang ramai yang lebih mengetahui tentang ini selain aku. Mimbar itu terbuat dari pokok asl yang terdapat di Ghaabah, si fulan maula fulaanah telah membuatnya untuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri di atas mimbar itulah setelah ia dibuat dan diletakkan. Pernah Rasulullah menghadap kiblat dan bertakbir di atas mimbar itu dan para sahabat terus berdiri dibelakangnya, beliau lalu membaca ayat Quran lalu rukuk, dan sahabat-sahabat pun ikut rukuk di belakangnya. Kemudian baginda mengangkat kepalanya, lalu mundur ke belakang (dengan menuruni anak tangga mimbar) dan sujud di atas bumi. Kemudian beliau kembali menaiki mimbar. Setelah membaca ayat Quran baginda rukuk, kemudian mengangkat kepalanya lalu berundur kebelakang dan sujud di bumi. Itulah perbuatannya.” Abu ‘Abdillah berkata, ‘Ali Al Madini berkata, Ahmad bin Hambal rahimahullah bertanya kepadaku tentang hadits ini. Ali katakan, “Yang aku maksudkan bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berada lebih tinggi daripada orang-orang. Maka berdasarkan hadis ini, tidak mengapa seorang imam berada lebih tinggi daripada makmum.” Kata Ali, “Selanjutnya aku katakan, “Sesungguhnya Sufyan bin ‘Uyainah sering ditanya tentang masalah ini, ‘Apakah kamu tidak pernah mendengar jawapan beliau? ‘ Ahmad bin Hambal rahimahullah menjawab, “Tidak ada.”

– Sahal bin Sa’d adalah sahabat terakhir yang wafat di Madinah. Bukanlah dia kata dalam ayatnya itu menunjukkan dia hendak menyombong. Dah memang dia sahaja yang tahu waktu itu. Jadi tidak salah kalau dia kata sebegitu.
Hamba kepada seorang perempuan yang bernama Aisyah yang buat. Bukan Aisyah isteri Nabi. Hamba itu dikatakan bernama Maimun. Kisahnya adalah Aisyah yang tanya Nabi sebab bila orang masuk Islam sudah semakin ramai, mereka tak nampak baginda solat. Jadi, mereka itu ada yang baru masuk Islam dan tidak berapa tahu cara solat lagi. Dan Aisyah cadangkan buat mimbar kerana diluar negara pakai mimbar. Dan Nabi telah setuju.

Nabi solat macam ini sekali sahaja buat seumur hidup baginda. Bukan untuk diikuti oleh kita. Tujuan baginda adalah untuk menunjukkan cara solat. Sebab waktu itu sudah semakin ramai yang masuk Islam. Walaubagaimanapun, ada juga ulama yang kata boleh buat begitu dengan maksud mengajar.

Mimbar itu ada dua anak tangga dan satu tempat duduk. Banyak pendapat untuk menjawap bilakah mimbar itu dibuat. Paling kuat adalah ianya dibuat dalam tahun ke-9 Hijrah. Waktu itu sudah ramai masuk Islam sampai penuh masjid. Jadi ada yang baru masuk Islam. Nabi solat tinggi supaya mereka dapat lihat cara baginda solat. Dan memang dalam riwayat lain, diberitahu bahawa Nabi cakap selepas kejadian itu bahawa baginda buat macam itu supaya mereka mengetahui cara solat.

Ini menunjukkan bahawa boleh kalau kita solat di tempat yang tinggi. Islam tidak mewajibkan umatnya solat betul-betul di atas tanah. Susah kalau kena solat atas tanah sahaja. Sekarang rumah banyak yang tinggi jadi tentulah susah kalau setiap kali nak solat kena turun ke tanah. Jadi kena faham hadis Nabi yang mengatakan bumi telah dijadikan sebagai tempat sujud.

Hadis ini mengatakan bahwa boleh kalau imam berada di kedudukan yang tinggi. Dan imam juga boleh berada dalam kedudukan yang rendah sepertimana kita telah lihat bagaimana Abu Hurairah telah solat dengan imam berada di bawah.

Boleh gerak lebih dari tiga langkah. Hadis ini digunakan sebagai dalil kepada mereka yang mengatakan bahawa tidak batal solat walaupun berjalan lebih dari tiga langkah. Seperti Imam Ahmad. Ini penting diketahui kerana banyak yang sampai tidak mengisi ruang saf di hadapannya sebab takut bergerak lebih. Itu sebenarnya memberi ruang kepada syaitan untuk masuk dalam saf.

Elok ada mimbar untuk khatib.

Nabi mengambil berat tentang cara solat umatnya. Sebab itu Nabi mengajar cara solat kepada mereka.

Perempuan dizaman Nabi berani dalam agama. Kita lihat dalam hadis ini, seorang perempuan yang mencadangkan kepada baginda untuk ada mimbar itu. Bermaksud, perempuan juga terlibat dalam penyebaran Islam.

Apakah maksud terjemahan bahagian kedua itu? Kenapa Imam Ahmad kata dia tidak pernah dengar jawapan Sufyan bin ‘Uyainah itu? Padahal Imam Ahmad adalah imam hadis juga. Dan Sufyan bin ‘Uyainah itu adalah gurunya juga. Sebenarnya dia tidak dengar selengkap yang Ali Madini dengar dari Sufyan bin ‘Uyainah. Dari guru lain dia dengar dah. Dia cuma dengar kisah mimbar itu dijadikan dari pokok asl daripada Sufyan bin ‘Uyainah. Tapi dia dah dapat keseluruhan hadis itu dari orang lain. Kita tahu perkara ini sebab ada dalam kitab musnad dia.

365 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ قَالَ أَخْبَرَنَا حُمَيْدٌ الطَّوِيلُ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَقَطَ عَنْ فَرَسِهِ فَجُحِشَتْ سَاقُهُ أَوْ كَتِفُهُ وَآلَى مِنْ نِسَائِهِ شَهْرًا فَجَلَسَ فِي مَشْرُبَةٍ لَهُ دَرَجَتُهَا مِنْ جُذُوعٍ فَأَتَاهُ أَصْحَابُهُ يَعُودُونَهُ فَصَلَّى بِهِمْ جَالِسًا وَهُمْ قِيَامٌ فَلَمَّا سَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَنَزَلَ لِتِسْعٍ وَعِشْرِينَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ آلَيْتَ شَهْرًا فَقَالَ إِنَّ الشَّهْرَ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ

365. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Abdurrahim berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun berkata, telah mengabarkan kepada kami Humaid Ath Thawil dari Anas bin Malik, bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah terjatuh dari kudanya hingga mengakibatkan betisnya atau bahunya terluka. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersumpah (ila’) untuk menjauhi isteri-isterinya selama sebulan. Baginda lalu duduk di atas loteng rumahnya yang tangganya terbuat dari batang pokok kurma. Pada masa itu para sahabatnya datang mengunjungi Nabi, pernah baginda mengimami mereka sambil duduk sedangkan para sahabatnya salat dengan berdiri. Setelah memberi salam, beliau bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu supaya diikuti. Jika imam bertakbir maka takbirlah kalian, jika rukuk maka rukuklah kalian, jika sujud maka sujudlah kalian, dan jika ia salat dengan berdiri maka salatlah kalian dengan berdiri.” Kemudian Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam turun dari lotengnya pada hari yang ke dua puluh sembilan. Mereka pun berkata, “Wahai Rasulullah, bukankah engkau telah bersumpah untuk sebulan? Beliau menjawab: “Sesungguhnya bulan ini dua puluh sembilan hari.”

Dari hadis ini, seperti mengatakan kita kena ikut imam betul-betul. Kalau imam duduk, makmum pun kena duduk juga. Ini nanti akan dibincangkan lagi.

Kejadian Nabi jatuh dari kudan dan peristiwa dikatakan Nabi Ila’ isterinya itu adalah dua peristiwa berbeza. Tasarruf perawi yang meletakkan dua kisah itu di dalam satu hadis yang sama sebab ada persamaan. Iaitu dalam dua-dua keadaan itu, Nabi duduk di atas loteng.

Peristiwa Nabi jatuh kuda itu pada tahun ke 5 Hijrah dan dikatakan kisah  Ila’ itu pada tahun ke 9. Dua-dua Nabi duduk atas loteng. Waktu jatuh Nabi solat fardhu dan sunat di loteng. Waktu ila’ Nabi solat fardhu di masjid dan hanya solat sunat di loteng itu. Duduk di loteng selepas jatuh supaya sahabat senang lawat baginda. Dan baginda duduk di loteng semasa ila’ supaya terpisah dari isterinya.

Ila’ itu adalah sumpah untuk tidak menyetubuhi isteri. Dari segi syarak, ila’ itu adalah untuk tidak menyetubuhi isteri selama 4 bulan keatas. Asalnya adalah amalan masyarakat Jahiliah. Mereka sebenarnya seperti menggantung isteri dengan tidak menceraikan dan tidak memberi nafkah batin. Dia nak cerai sebenarnya. Kalau dalam masa empat bulan itu, boleh dia rujuk balik tapi kena bayar kaffarah sebab melanggar sumpah.

Kenapakah pula Nabi ila’ isterinya? Ada yang kata itu adalah waham perawi. Kekeliruan perawi. Kerana tidak sesuai mengatakan Nabi ila’ isterinya. Kerana ia perbuatan tidak molek. Tambahan kalau ila’, sepatutnya empat bulan tapi dalam kisah ini, sebulan sahaja.
Maka siapakah yang menggabungkan dua kisah ini dalam hadis yang sama? Kita kena ingat bahawa kitab hadis bukanlah Quran. Boleh jadi ada kekeliruan. Kita kena kata perawi yang keliru, bukan kita kata Nabi buat tak elok. Kerana kita kena jaga status Nabi, bukan perawi. Ulama pertikai berkenaan kes ila’ ini. Tak sesuai Nabi buat. Kenapa pula Nabi nak marahkan isterinya? Dan kalau baginda marah pun, baginda tak buat perbuatan yang lagha –  sia-sia. Ini adalah kekeliruan orang lain yang meriwayatkan. Sebagai ulama hadis, mereka bukan hanya melihat sanad, tapi melihat juga matan hadis itu. Mereka akan lihat samada hadis itu sesuai dengan Nabi atau tidak. Sebab ada kemungkinan ada orang ubah hadis dan masukkan dalam sahih Bukhari. Kerana ada kisah ada dalam satu naskhah itu tapi tidak ada dalam naskhah lain. Ingatlah bahawa yang Allah janji untuk jaga hanyalah Quran. Kalau selain dari itu, termasuklah Kitab Sahih Bukhari pun, tidak terjamin.

– Dalam hadis ini Nabi solat atas loteng yang dibuat dari kayu. Tapi ada kata tak jelas lantai itu dari kayu. Yang disebut dalam hadis itu hanya tangga dari kayu. Kalau begitu, kita hanya boleh mengatakan ini dalil Nabi solat atas sutuh sahaja – terpisah dari bumi. Tapi kemungkinan besar lantai itu memang dari kayu pun.

– Imam untuk diikuti. Ini perbincangan yang besar. Dari sinilah mazhab Hanafi pakai kata ikut sahaja, tidak perlu baca fatihah kalau bermakmum. Dan kena tahu apa solat imam itu, sebab kena ikut imam, termasuklah apa solat dia. Contohnya, kalau kita solat tamam tak boleh ikut imam yang solat qasar. Tapi Imam Syafie pegang hadis ini sebagai kita hanya kena ikut perbuatan imam itu sahaja. Tidak perlu untuk kita tahu dia sedang solat apa. Para sahabat dalam hadis ini mereka mengikut Nabi dalam solat sunat. Kadang-kadang mereka tidak tahu apakah solat Nabi itu, tapi mereka terus ikut sahaja.

Ada pendapat kata dah mansukh dah hukum kena duduk kalau imam duduk. Imam Bukhari pun pakai pendapat begini. Hukum dalam Islam ada peringkat. Pada mulanya memang Nabi suruh duduk kalau imam duduk. Sebab tak mahu ikut masyarakat yang silap hormat sampai berdiri sahaja. Contohnya, Nabi tidak suka kalau orang berdiri kalau dia datang. Begitu juga dalam solat. Dia tak mahu orang hormat terlebih.

Berapa ramai solat sekali dengan Nabi? Ramai sampai melimpah ke bawah. Bermakna Nabi berada di atas. Ini juga satu lagi dalil imam boleh ada diatas dan makmum di bawah.
Masjid tetap dijalankan solat fardhu. Bukan ibadat itu bersangkutan dengan Nabi. Tidaklah apabila Nabi tidak ada, solat tidak berjalan.  Mereka solat dengan Nabi itu solat sunat lain. Mereka nampak Nabi solat, mereka ikut sahaja. Tak tanya solat apa pun. Nabi tak tegur pun mereka selepas itu kenapa ikut dia. Inilah dipakai Syafie tidak perlu tahu imam solat apa.

Pengajaran yang boleh diambil:

  1. Nabi juga menderita kesakitan macam manusia biasa. Binatang pun layan Nabi sama macam manusia lain. Tapi seorang Nabi takkan sakit sampai menjauhkan manusia. Jadi tidak benar kalau kita kata Nabi Ayyub menderita penyakit kulit terus sangat sampai manusia tinggalkan dia. Sebenarnya memang dia ada sakit kulit tapi tak teruk sangat. Kerana kalau teruk sangat sampai manusia jijik dengan dia, bagaimana dia hendak berdakwah kepada manusia. 
  2. Dalam uzur tidak perlu ke masjid. Walaupun dekat masjid. Sah solat seorang yang tidak berjemaah dengan orang lain. Kalau tak sakit pun sah solat kalau tak solat berjemaah di masjid. Cuma kurang pahala dan tidak mendapat kelebihan. 
  3. Bulan qamari tidak sentiasa penuh 30.
  4. Islam menggalakkan ibadat walau dalam sakit.
  5. Harus solat duduk kalau tak mampu berdiri.

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s