We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tayammum Sesi 6 Bab Muka Bumi Yang Suci Adalah Air Sembahyang Yakni Bahan Penyuci Orang Islam April 7, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Tayammum — visitor74 @ 6:18 pm

بَاب الصَّعِيدُ الطَّيِّبُ وَضُوءُ الْمُسْلِمِ يَكْفِيهِ مِنْ الْمَاءِ

Bab Muka Bumi Yang Suci Adalah Air Sembahyang Yakni Bahan Penyuci Orang Islam memadai untuknya sebagai pengganti air.

Tajuk ini diambil dari ayat hadis sebelum ini, iaitu kata-kata Ammar. Walaupun ianya adalah kata-kata sahabat dan bukan Nabi, kita terima kerana kita tahu bahawa sabahat tidak bercakap melainkan apa yang diberitahu oleh Nabi.

Ada 5 perkara yang hendak dibincangkan dalam hadis ini. Semuanya ada dalam tajuk yang Imam Bukhari susunkan kalau kita perhatikan. Semuanya ada khilaf antara ulama.
1. وَضُوءُ. Iaitu Tayammum adalah sebagai air sembahyang.
2. يَكْفِيهِ Memadai tayammum untuk mengangkat hadas.
3. Tayammum boleh dipakai selagi tidak berhadas
4. Ibn Abbas bertayammum dan menjadi imam
5. Yahya bin Said berkata bahawa tidak salah guna tanah yang tandus yang masin.

وَقَالَ الْحَسَنُ يُجْزِئُهُ التَّيَمُّمُ مَا لَمْ يُحْدِثْ وَأَمَّ ابْنُ عَبَّاسٍ وَهُوَ مُتَيَمِّمٌ وَقَالَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ لَا بَأْسَ بِالصَّلَاةِ عَلَى السَّبَخَةِ وَالتَّيَمُّمِ بِهَا

AlHasan berpendapat tayammum memadai untuknya selagi dia tidak berhadas Ibn Abbas menjadi imam dengan bertayamum. Yahya bin said berpendapat tidak salah solat di atas tanah yang tandus yang masin dan bertayamum dengannya.

Persoalan yang timbul dikalangan ulama, adakah mukabumi sebagai pengganti mutlak (badal mutlak)? Atau sebagai pengganti darurah (badal darurah) sahaja? Ini adalah kerana ada yang kata tayammum itu hanya untuk melepaskan kehendak darurat sahaja. Hanya dipakai untuk sementara sahaja. Ianya tidak cukup kuat untuk mengangkat hadas, tetapi hanya boleh digunakan untuk membolehkan ibadat waktu itu sahaja. Maka pendapat ini mengatakan bahawa satu tayamum hanya boleh digunakan untuk satu solat sahaja. Maknanya tidak terangkat hadas itu. Salah seorang ulama yang berpendapat begitu adalah Imam Syafie. Ini adalah kerana pada mereka yang berpendapat seperti itu, tayammum itu tidak kuat. Tidak sama kalau dibandingkan dengan air yang digunakan untuk wudu dan mandi janabah. Imam Bukhari hendak menolak pendapat yang sebegitu.

Imam Bukhari berpendapat tayammum adalah sebagai badal mutlak. Ianya boleh mengambil alih kedudukan air dalam wudu atau mandi janabah secara mutlak. Boleh dipakai untuk banyak ibadah. Tidak perlu banyak kali tayammum. Kerana pendapat yang mengatakan ianya bukan badal mutlak, kena ambil untuk setiap kali nak solat. Iaitu, kalau dah pakai tayammum untuk solat zohor, bila nak solat asar, kena ambil tayammum lagi. Jadi, ini bukanlah untuk memudahkan. Imam Bukhari nak tolak pendapat itu dan padanya, tayammum adalah sama sahaja dengan air. Kalau air boleh mengangkat janabah, maka tayammum juga boleh mengangkat janabah. Dan boleh dipakai untuk melakukan ibadah sebanyak manapun, selagi belum ada perkara yang membatalkan. Iaitu kalau dah pakai untuk solat zohor, kalau selagi tidak kencing contohnya, boleh lagi pakai untuk solat Asar. Hanya tidak boleh digunakan bila jumpa air. Ini adalah kerana dalam hadis, Nabi telah menyamakan tayammum dengan air sembahyang. Dan dalam ayat Quran berkenaan tayammum, Allah mengatakan bahawa Dia tidak mahu langsung menyusahkan sedikit pun. Kalau setiap kali nak solat, kena ambil tayammum, itu tidaklah menyenangkan. Padahal, tujuan tayammum itu adalah untuk menyenangkan. Dan dalam ayat Quran juga, Allah hendakkan kita bersyukur dengan nikmat kemudahan yang telah diberikanNya. Kita selalunya bersyukur kalau nikmat kemudahan diberikan. Kalau menyusahkan kita, tentu Allah akan suruh kita bersabar. Itulah pemahaman Imam Bukhari. Maknanya, pendapat Imam Bukhari sesuai dengan ayat Quran.

Hasan al Basri dikatakan dalam tajuk hadis ini, dia berpendapat tidak batal tayammum selagi tidak berhadas. Imam Bukhari membawakan pendapat Hasan untuk menguatkan pendapatnya. Takut ada yang kata, dia seorang sahaja yang berpendapat demikian. Jadi dia bawa pendapat orang yang besar juga, iaitu seorang tabein. Pendapat ini mengatakan tayammum itu sama macam air wudu. Nabi lagi tepat cara dia cakap: tayammum itu adalah ‘pengganti’ wudu. Bukan dia hanya kata ‘sama’. Dari segi bahasa, itu makna sama betul. Iaitu, ada beza kalau kita kata: zaid ‘macam’ ular. Itu bermakna kita kata perangai dia macam ular. Tapi kalau kita kata: zaid ular, itu kita kata zaid dah tukar jadi ular. Jadi, pendapat ini mengatakan bahawa kalau tayammum itu tidak batal selagi tidak berhadas, bolehlah pakai banyak kali. Ini hendak menolak pendapat yang mengatakan kalau dah habis waktu solat zuhur contohnya, tayammum itu secara otomatik akan terbatal.

Imam Bukhari juga membawakan pendapat sahabat besar iaitu Ibn Abbas. Pernah dia menjadi imam dalam solat dan waktu itu dia bertayammum. Dan waktu itu, ada makmum yang wudu menggunakan air. Kalau tayammum itu tak sempurna seperti pendapat sesetengah ulama, tentu dia akan suruh orang lain jadi imam. Kalau ada yang kata sebab tidak ada orang lain lagi yang layak, sewaktu itu, seorang lagi sahabat besar iaitu Ammar pun menjadi makmum juga. Ammar adalah seorang yang Alim juga. Imam Syafie pun terima pendapat yang mengatakan seseorang yang bertayamum boleh menjadi imam kepada makmum yang mengangkat hadas menggunakan air. Ianya juga adalah pendapat Jumhur ulama. Tapi Imam Bukhari bawa tajuk ini kerana dia hendak menolak sesetengah pendapat yang kata tak boleh. Pendapat yang selain Bukhari bukan itu sahaja – nak ambil tayammum itu kena pastikan dah masuk waktu zohor, baru boleh pakai untuk solat zohor. Tapi Imam Bukhari tidak setuju. Macam air juga, tidak perlu masuk waktu, baru dikira sah wudu itu. Kalau ambil awal pun boleh juga.

Imam Bukhari kemudian membawakan kata-kata Yahya bin Said yang mengatakan boleh guna tanah yang tak menumbuhkan tanaman. Ini dibawa kerana ada pendapat seperti Imam Syafie berpendapat kena pakai tanah yang boleh menumbuhkan tanaman. Imam Syafie walaupun kata kena tanah yang menumbuhkan tanaman, dia terima juga tanah tandus. Kerana tanah Madinah adalah tanah tandus yang masin. Itulah penerangan tentang Madinah yang digunakan oleh Nabi semasa baginda ditunjukkan tempat Hijrah.

331 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَوْفٌ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ عَنْ عِمْرَانَ قَالَ كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعْنَا وَقْعَةً وَلَا وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ الْمُسَافِرِ مِنْهَا فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ اسْتَيْقَظَ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ الرَّابِعُ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ لِأَنَّا لَا نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ قَالَ لَا ضَيْرَ أَوْ لَا يَضِيرُ ارْتَحِلُوا فَارْتَحَلَ فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالْوَضُوءِ فَتَوَضَّأَ وَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَصَلَّى بِالنَّاس فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ ثُمَّ سَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَكَى إِلَيْهِ النَّاسُ مِنْ الْعَطَشِ فَنَزَلَ فَدَعَا فُلَانًا كَانَ يُسَمِّيهِ أَبُو رَجَاءٍ نَسِيَهُ عَوْفٌ وَدَعَا عَلِيًّا فَقَالَ اذْهَبَا فَابْتَغِيَا الْمَاءَ فَانْطَلَقَا فَتَلَقَّيَا امْرَأَةً بَيْنَ مَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ مِنْ مَاءٍ عَلَى بَعِيرٍ لَهَا فَقَالَا لَهَا أَيْنَ الْمَاءُ قَالَتْ عَهْدِي بِالْمَاءِ أَمْسِ هَذِهِ السَّاعَةَ وَنَفَرُنَا خُلُوفًا قَالَا لَهَا انْطَلِقِي إِذًا قَالَتْ إِلَى أَيْنَ قَالَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ قَالَا هُوَ الَّذِي تَعْنِينَ فَانْطَلِقِي فَجَاءَا بِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثَاهُ الْحَدِيثَ قَالَ فَاسْتَنْزَلُوهَا عَنْ بَعِيرِهَا وَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِنَاءٍ فَفَرَّغَ فِيهِ مِنْ أَفْوَاهِ الْمَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ وَأَوْكَأَ أَفْوَاهَهُمَا وَأَطْلَقَ الْعَزَالِيَ وَنُودِيَ فِي النَّاسِ اسْقُوا وَاسْتَقُوا فَسَقَى مَنْ شَاءَ وَاسْتَقَى مَنْ شَاءَ وَكَانَ آخِرُ ذَاكَ أَنْ أَعْطَى الَّذِي أَصَابَتْهُ الْجَنَابَةُ إِنَاءً مِنْ مَاءٍ قَالَ اذْهَبْ فَأَفْرِغْهُ عَلَيْكَ وَهِيَ قَائِمَةٌ تَنْظُرُ إِلَى مَا يُفْعَلُ بِمَائِهَا وَايْمُ اللَّهِ لَقَدْ أُقْلِعَ عَنْهَا وَإِنَّهُ لَيُخَيَّلُ إِلَيْنَا أَنَّهَا أَشَدُّ مِلْأَةً مِنْهَا حِينَ ابْتَدَأَ فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا لَهَا فَجَمَعُوا لَهَا مِنْ بَيْنِ عَجْوَةٍ وَدَقِيقَةٍ وَسَوِيقَةٍ حَتَّى جَمَعُوا لَهَا طَعَامًا فَجَعَلُوهَا فِي ثَوْبٍ وَحَمَلُوهَا عَلَى بَعِيرِهَا وَوَضَعُوا الثَّوْبَ بَيْنَ يَدَيْهَا قَالَ لَهَا تَعْلَمِينَ مَا رَزِئْنَا مِنْ مَائِكِ شَيْئًا وَلَكِنَّ اللَّهَ هُوَ الَّذِي أَسْقَانَا فَأَتَتْ أَهْلَهَا وَقَدْ احْتَبَسَتْ عَنْهُمْ قَالُوا مَا حَبَسَكِ يَا فُلَانَةُ قَالَتْ الْعَجَبُ لَقِيَنِي رَجُلَانِ فَذَهَبَا بِي إِلَى هَذَا الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ فَفَعَلَ كَذَا وَكَذَا فَوَاللَّهِ إِنَّهُ لَأَسْحَرُ النَّاسِ مِنْ بَيْنِ هَذِهِ وَهَذِهِ وَقَالَتْ بِإِصْبَعَيْهَا الْوُسْطَى وَالسَّبَّابَةِ فَرَفَعَتْهُمَا إِلَى السَّمَاءِ تَعْنِي السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ أَوْ إِنَّهُ لَرَسُولُ اللَّهِ حَقًّا فَكَانَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ ذَلِكَ يُغِيرُونَ عَلَى مَنْ حَوْلَهَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ وَلَا يُصِيبُونَ الصِّرْمَ الَّذِي هِيَ مِنْهُ فَقَالَتْ يَوْمًا لِقَوْمِهَا مَا أُرَى أَنَّ هَؤُلَاءِ الْقَوْمَ يَدْعُونَكُمْ عَمْدًا فَهَلْ لَكُمْ فِي الْإِسْلَامِ فَأَطَاعُوهَا فَدَخَلُوا فِي الْإِسْلَامِ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ صَبَأَ خَرَجَ مِنْ دِينٍ إِلَى غَيْرِهِ وَقَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ { الصَّابِئِينَ } فِرْقَةٌ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ الزَّبُورَ

331. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepadaku Yahya bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Auf berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Raja’ dari ‘Imran berkata, “Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kami berjalan di waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan bagi orang yang bermusafir, tidak ada tidur yang paling enak (nyenyak) bagi musafir melebihi yang kami alami. Hingga tidak ada yang membangunkan kami kecuali panas sinar matahari. Dan orang yang pertama kali bangun adalah si fulan, lalu si fulan, lalu si fulan, Abu Raja’ memberitahu nama mereka tapi Abu ‘Auf lupa. Dan ‘Umar bin Al Khaththab adalah orang keempat bangun, sedangkan apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bila tidur tidak ada yang membangunkannya hingga beliau bangun sendiri, kerana kami tidak tahu apa yang terjadi pada beliau dalam tidurnya. Ketika ‘Umar bangun dan melihat apa yang terjadi kepada orangramai -dan ‘Umar adalah seorang yang berani -, maka ia bertakbir dengan mengeraskan suaranya dan terus saja bertakbir dengan keras hingga Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terbangun akibat kerasnya suara takbir ‘Umar. Tatkala beliau bangun, orang-orang mengadukan peristiwa yang mereka alami. Maka beliau bersabda: “Tidak mengapa, atau tidak ada apa-apa dan lanjutkanlah perjalanan.” Maka beliau meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh beliau berhenti lalu meminta air untuk wudu, beliau lalu berwudu kemudian menyeru untuk shalat. Maka beliau salat mengimami orang banyak. Setelah beliau selesai melaksanakan shalatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut salat bersama orang banyak. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk salat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah mukabumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melanjutkan perjalanan hingga akhirnya orang-orang mengadu kepada beliau bahwa mereka kehausan. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti lalu meminta seseorang yang Abu Raja’ sebut namanya -namun ‘Auf lupa- dan ‘Ali seraya memerintahkan keduanya: “Pergilah kalian berdua mencari air.” Maka keduanya berangkat hingga berjumpa dengan seorang wanita yang berada diantara dua gereba besar berisi air diatas untanya. Maka keduanya bertanya kepadanya, “Dimana ada air?” Wanita itu menjawab, “pada waktu inilah saya tinggalkan tempat air kelmarin. Dan sekarang kalangan kaum lelaki kami tiada di rumah.” Lalu keduanya berkata, “Kalau begitu marilah berangkat bersama kami”. Wanita itu bertanya, “mau kemana?” Keduanya menjawab, “Kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” Wanita itu bertanya, “oh, kepada orang yang dipanggil (Shabi’i) itukah?” Keduanya menjawab, “Dialah yang kamu maksudkan itu. Berangkatlah.” Kemudian kedua sahabat Nabi itu pergi bersama wanita tersebut menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Keduanya kemudian menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Kata perawi- lalu mereka meminta perempuan itu turun dari untanya. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam meminta satu bekas air, lalu menuangkan sedikit air dari bahagian atas mulut kantung-kantung air (milik wanita itu) kedalam bekas itu, lepas mengikat kantung-kantung air tersebut sebelah atas, beliau membuka pula bahagian yang sebelah bawah seraya berseru kepada orang banyak: “minumlah kalian dan beri minumlah!” Maka orang-orang memberi minum sesiapa sahaja yang mereka mahu dan orang-orang meminum sesuka mereka. Dan akhirnya, beliau memberi sebekas air kepada orang yang tadi dalam janabah. Beliau lalu berkata kepadanya: “Pergi dan mandilah.” Dan wanita tersebut berdiri memerhatikan apa yang diperbuat terhadap airnya. Demi Allah, setelah semua orang selesai minum dan mengambil air daripada gereba, kami tetap merasakan ia lebih penuh dari sebelumnya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Kumpulkanlah (makanan) untuknya.” Maka orang-orang pun mengumpulkan untuk perempuan itu tamar Ajwah, tepung gandum, sawiq sehingga terkumpul sebanyak makanan dalam selembar kain, mereka lalu menaikkan wanita tersebut di atas unta dan meletakkan bungkusan makanan tersebut di depannya. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada wanita tersebut: “Kamu mengetahui bahwa kami tidak mengurangi sedikitpun air milikmu, tetapi Allah jua yang telah memberi minum kepada kami.” Wanita tersebut terlambat sedikit sampai ke rumahnya, mereka lalu bertanya, “Wahai fulanah, apa yang membuat kamu terlambat?” Wanita tersebut menjawab, “Ada perkara ajaib telah berlaku! Aku bertemu dengan dua orang laki-laki yang kemudian mereka membawaku bertemu dengan seorang yang disebut Shabi’I itu, lalu laki-laki itu berbuat begini, begini. Demi Allah, sesungguhnya dia adalah tukang sihir yang paling pandai diantara ini dan ini.” Wanita tersebut berkata sambil memberi isyarat dengan mengangkat jari tengah dan telunjuknya ke arah langit, apa yang dimaksudkannya adalah antara langit dan bumi. Atau sememangnya dia adalah Utusan Allah. Selepas peristiwa tersebut, kaum Muslimin menyerang kawasan orang-orang musyrikin di sekitar kelompok perempuan tadi tetapi musyrikin dari kelompok wanita itu tidak diganggu. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, “Aku fikir orang-orang Islam ini memang sengaja membiarkan kalian. Oleh itu mahukah kalian masuk Islam?” Maka kaumnya mendengar cakapnya dan mereka masuk ke dalam Islam.” Abu ‘Abdullah berkata, “Yang dimaksud dengan Shabi’i adalah keluar dari suatu agama kepada agama lain.” Sedangkan Abu’ ‘Aliyah berkata, “Ash-Shabi’un adalah kelompok dari Ahlul Kitab yang membaca Kitab Zabur.” Perkataan asbuq dalam surah Yusuf itu bererti: aku akan cenderung.

– Bilakah perjalanan itu berlaku? Pendapat yang kuat mengatakan yang ianya terjadi semasa perjalanan pulang dari Perang Khaibar. Sebab Imran, perawi hadis ini, hanya masuk Islam semasa Peristiwa Khaibar.

Ini bukanlah kejadian pertama Nabi dan sahabat tertinggal solat subuh. Bukan sekali sahaja. Satu pendapat mengatakan tidak kurang dari tiga kali. Mungkin lebih lagi. Ini kerana mereka selalu berada dalam perjalanan malam dan kerana keletihan, mereka telah terlajak tidur dan tertinggal waktu subuh.

Kenapakah sahabat yang tidak solat berjemaah dalam hadis ini tidak pakai tayammum sahaja? Boleh jadi hukum tayamum tidak ada lagi waktu itu atau dia sahaja yang tidak tahu. Kemungkinan besar dah ada dah hukum. Cuma dia yang tak tahu. Nama beliau tidak diberitahu dalam hadis ini. Kerana nama tak penting. Selalunya dalam hadis begitu, kerana tidak mahu namanya sampai ke kiamat disebut-sebut dalam nada negatif. Yang penting adalah pengajaran yang hendak diambil. Dalam Quran pun begitu juga. Macam nama Ashabul Kahfi, langsung tidak disebut. Tapi, nama sahabat itu ada juga disebut didalam hadis yang diriwayatkan ditempat lain. Tapi, tidak penting nama beliau.

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan wanita itu sebegini: “pada waktu inilah saya tinggalkan tempat air kelmarin. Dan sekarang kalangan kaum lelaki kami tiada di rumah.”. Adakah dia takut dengan dua sahabat itu? Takut mereka buat sesuatu dengan dia kah? Sebenarnya, yang dia maksudkan adalah tempat air itu adalah jauh. Dia pergi kelmarin lagi, baru ini sampai. Jadi sahabat tahu bahawa kalau mereka hendak pergi sendiri, terlalu jauh. Itu yang mereka minta perempuan itu ikut bersama mereka. Dan apabila dia kata golongan lelaki tidak ada di rumah itu bermakna, yang ada hanya budak-budak dan wanita sahaja di rumah. Oleh itu, dia tidak boleh lambat.

Apabila wanita itu sebut: “oh, kepada orang yang dipanggil (Shabi’i) itukah?”, dua sahabat itu tidak dengan ya atau tidak. Sebab makna shabi’i itu adalah orang yang meninggalkan agama nenek moyang dan masuk ke agama baru. Maka, ada nada negatif di situ. Begitu pandai sahabat menjawap. Mereka hanya mengatakan bahawa mereka faham maksud wanita itu dan membenarkan bahawa wanita itu memperkatakan tentang Nabi.

Gereba itu adalah bekas air yang diperbuat dari perut kambing. Ada dua lubang – atas dan bawah. Nabi telah mengambil air dai bahagian atas dan kemudian dari lubang yang bawah kerana lubang bawah lagi kecil, jadi air tidak menggeloncor keluar dengan banyak. Dalam hadis riwayat lain, ada disebut bahawa Nabi telah memasukkan balik air yang telah diambil. Ini adalah mukjizat Nabi. Dari air yang sedikit itu telah digunakan oleh banyak orang. Ada yang kata mereka seramai 40 orang, tidak termasuk dengan binatang yang bersama mereka. Allah boleh sahaja nak keluarkan air dari jari baginda atau datangkan air dengan cara lain. Tapi ini nak ajar supaya ada usaha dari Nabi. Macam juga Allah tolong Maryam semasa beliau telah melahirkan anak. Siti Maryam telah disuruh untuk menggoncang pokok kurma. Itu adalah usaha dari beliau. Padahal, apalah sangat goncangnya itu. Kalau bukan orang baru bersalin dan lelaki pun, kalau goncang pokok tidak jadi apa-apa. Tapi Allah nak lihat ada usaha dari manusia.

Sahabat memang kalau Nabi sedang tidur, mereka tak gerak, kerana takut Nabi sedang dapat wahyu. Tapi Umar gerak juga dengan melaungkan azan dengan kuat. Itulah adab Umar dalam menggerak Nabi. Para sahabat memang beradab. Iaitu setelah dididik oleh Nabi sekian lama.

Kekesalan jelas pada sahabat kerana tertinggal solat. Nabi bangun sahaja, mereka telah mengadu tentang hal mereka tertinggal solat subuh itu kepada Nabi. Kecoh jadinya waktu itu. Itulah tanda orang beriman. Kalau mereka buat salah, mereka akan rasa menyesal sangat. Mereka terkesan. Tapi, kalau orang yang tidak beriman, kalau buat salah, mereka selamba sahaja. Jadi, kena periksa balik diri kita macam mana.

Apabila Nabi mengatakan tidak mengapa, teruskan perjalanan, bermakna tidak berdosa kalau tertinggal solat kerana tertidur. Ulama telah sepakat bahawa tiga perkara tidak berdosa: budak yang belum baligh, tertidur atau terlupa. Kalau tertidur atau terlupa itu, hanya qadha sahaja. Wajib qadha solat itu. Tapi, kalau memang dulu sengaja tinggal solat, banyak khilaf. Ada yang kata kena qadha juga, tapi ada juga yang kata tidak perlu. Kerana tidak termasuk dalam jenis yang tiga diatas. Hanya minta ampun sahaja, kerana memang dah berdosa dah tinggalkan. Semoga Allah ampunkan.

Boleh bertayamum untuk mengangkat janabah jikalau tiada air.

Seorang guru kena menegur jikalau dia nampak ada kesalahan yang dibuat oleh anak murid. Atau bawah kita. Tapi ikutlah cara Nabi – berlembut dalam menegur.

Kelebihan solat berjemaah. Dan kena tegur mana yang tidak solat sekali.

Boleh lewatkan solat qadha. Dalam hadis ini, Nabi tidak terus solat. Baginda suruh teruskan perjalanan. Bila dah jauh sikit, baru buat solat. Maknanya, kalau kita qadha tu, tidaklah kena terus qadha kalau terbangun atau teringat itu. Boleh dilewatkan. Kalau ada sebab.

Molek untuk tinggalkan tempat yang tidak elok. Iaitu tempat yang menggugat agama. Samalah juga macam hijrah yang difardhukan. Kerana Mekkah adalah tempat yang menggugat agama.

Molek azan dan qamat walau solat qadha pun.

Boleh berjemaah dalam solat qadha. Tidaklah wajib.

Harus cari air kalau tiada air. Bukanlah mencari air itu menunjukkan kita tidak redha dengan takdir Allah atau tidak tawakal.

Boleh ambil air orang kalau perlu dengan niat nak bayar.

Orang yang dahaga didahulukan dari keperluan mengangkat junub. Nabi bagi minum dulu. Hidup didahulukan sebelum ibadat.

Lafaz akad tidak perlu. Dah maklum setuju. Nabi tak cakap apa-apa semasa ambil air itu. Yang kita buat akad semasa membeli dan menjual itu tidak perlu. Macam mana nak akad kalau kita beli air dari vending machine?

Kepentingan maslahah minum lebih penting dari bersuci. Kepentingan binatang pun djaga.

Harus berurusan dengan wanita. Dalam keadaan aman dari fitnah. Tapi kalau boleh menyebabkan fitnah, tidak boleh. Dalam hadis ini,sahabat berurusan dengan perempuan. Siap tolong perempuan itu naik unta. Maknanya boleh bercakap dengan orang perempuan, walaupun mereka orang kafir. Tidaklah benar kalau ada yang mengatakan sampai tidak boleh bercakap. Sampaikan ada yang kalau orang perempuan angkat, letak balik telefon. Itu akan menyebabkan orang luar rasa sangsi dengan Islam.

Harus guna bekas musyrikin. Asalkan tidak diyakini ada najis. Kalau yakin ada najis, tidak boleh. Jangan sangka buruk dengan orang kafir. Kita boleh makan makanan masakan mereka. Jangan kita sangka buruk dengan mereka. Atau kita layan mereka teruk. Atau ambil harta mereka. Nabi sendiri mengatakan bahawa baginda akan menjaga hak kafir dzimmi.

Harus tak serang. Dalam kes ini, kaum Muslimin mengenang budi perempuan itu. Molek juga hormat keluarga orang berjasa. Kaum Muslimin tak kacau kelompok wanita itu walaupun yang tolong mereka adalah wanita itu sahaja. Walaupun mereka kafir.

Nabi menggunakan diplomasi dalam tidak menyerang itu. Akhirnya, kita lihat bagaimana kaum wanita itu memeluk Islam. Begitu juga apa yang Nabi lakukan dalam perkahwinan baginda. Ramai yang masuk Islam dengan cara begitu. Atau baginda pernah bebaskan seluruh kaum yang telah ditawan selepas baginda mengahwini wanita mereka. Seluruh kaum masuk Islam.

Boleh mengadu kepada pemimpin tentang masalah. Sahabat mengadu tentang mereka tertinggal solat dan apabila mereka kehausan.

Elok tidur dalam musafir. Untuk menyegarkan badan.

Boleh ambil dalam terdesak barang orang lain dalam mereka rela atau tidak.

Nabi pun boleh tidur nyenyak. Sebab baginda juga manusia. Tidak mencacatkan sifat kenabian dan kerasulan baginda.

 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Tayammum Sesi 6 Bab Muka Bumi Yang Suci Adalah Air Sembahyang Yakni Bahan Penyuci Orang Islam”

  1. […] ini kita telah belajar dalam bab tayamum sebelum ini. Tapi itu dengan maksud nak cerita bahan yang digunakan untuk bersuci. Kali ini untuk menceritakan […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s