We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tayammum Sesi 4 & 5 Bab Bolehkah Seseorang Yang Bertayammum Meniup Debu Yang Terlekat Pada Kedua Tangannya April 6, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Tayammum — visitor74 @ 11:29 am

بَاب الْمُتَيَمِّمُ هَلْ يَنْفُخُ فِيهِمَا

Bab Bolehkah Seseorang Yang Bertayammum Meniup Debu Yang Terlekat Pada Kedua Tangannya

Kenapakah persoalan ini ditimbulkan oleh Imam Bukhari? Padahal kalau dilihat pada hadis, memang Nabi tiup pada tangannya. Maknanya bolehlah. Tidak ada persoalan lagi yang sebenarnya. Tapi ianya timbul kerana boleh jadi, akan ada persoalan, kenapa Nabi tiup tu? Mungkin baginda tiup kerana ada benda lain yang melekat pada tangan seperti jerami atau sebagainya yang tidak diperlukan. Atau kerana terlalu banyak tanah yang melekat pada tangan dan kerana itu Nabi tiup untuk menipiskan. Atau memang debu tanah tidak diperlukan dalam tayamum. Kerana itulah pendapat Imam Bukhari – tidak perlu pakai tanah yang berdebu. Tambahan pula dia memegang pendapat bahawa muka tidak boleh dirosakkan. Seperti juga dalam Islam tidak boleh memakai tatoo. Itu termasuk merosakkan muka. Dan kalaulah kita kena mencomotkan muka dengan tanah, maka itu tidaklah elok pada pendapat dia. Kerana kita tidak tahu apa yang ada pada tanah itu. Memang nampak bersih pada pandangan kita tapi mungkin ada kuman dan sebagainya. Maka pada pendapat Imam Bukhari, lebih elok menggunakan bahan yang tidak melibatkan tanah. Pada beliau, cukup menggunakan ‘mukabumi’. Ianya apa sahaja yang boleh dipanggil mukabumi, asalkan bersih. Iaitu tidak ada najis padanya.

Pahala beribadat itu bukanlah dengan meninggalkan kesan pada tubuh kita. Apabila kita telah melakukan ibadat itu, pahala telah ditulis kerana kita telah mengikut arahan Allah. Maka, tidaklah perlu nak kenakan sesuatu bahan pada tubuh kita. Ini perlu disebut, kerana ada yang kata, kalau tampar pada batu sahaja, tiada kesan apa-apa. Jadi, itu yang mereka kata kena guna tanah juga. Dan tanah pula, tanah yang berdebu.

Ada yang mengatakan bahawa kena ada debu tanah kerana tanah itu adalah sebagai ganti air. Dan kalau kita guna air, bukankah perlu diratakan di anggota wudu? Tapi dengan perbuatan Nabi meniup tangan baginda, menunjukkan bahawa itu tidak perlu. Kerana kalau Nabi menipiskan kesan debu ditangan baginda, bermakna debu itu adalah hanya tinggal sedikit dan tidak cukup untuk diratakan ke seluruh wajah dan tangan. Hanya sapu sekali lalu sahaja. Bermakna, kalau Nabi nak ratakan debu itu keseluruh muka dan tangannya, tentu baginda tidak tiup pada tapak tangan tadi. Tentulah baginda akan pakai debu tanah yang banyak kalau memang nak kena ratakan pada seluruh badan.

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam dari Dzar dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu shalat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Beliau lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”

Ammar menggunakan konsepqiyas bagaimana hendak bertayammum dalam janabah sebab masa itu tak jelas bagaimana menggunakan tayammum kalau dalam keadaan junub. Dia sudah tahu bagaimana menggunakan tayammum menggantikan wudu kerana ayat tayammum sudah turun masa itu. Tapi bagaimana menggunakannya kalau dalam janabah, dia tidak pasti. Maka dia telah berguling di tanah. Kerana dia qiyas bahawa kalau mandi janabah, air diratakan seluruh badan. Maka, dia ingat kenalah ratakan tanah pada seluruh tubuhnya. Itulah sebabnya dia bergulingan.

Tapi Umar tidak bertayammum dan dia tidak juga solat. Kerana dia berpendapat, janabah hanya boleh diangkat dengan air, dan jikalau tiada air, maka tidak perlu mengerjakan solat kerana syarat tidak mencukupi untuk menyucikan diri. Dan untuk solat, kena dalam keadaan suci. Jadi, dia tidak solat. Apabila mereka bertemu dengan Nabi, Nabi tak suruh pun Umar qadha solat. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Malik. Iaitu dalam keadaan tidak ada air atau bahan tayammum, tidak perlu solat. Umar pegang pendapatnya itu berterusan. Iaitu tayammum tak boleh untuk digunakan untuk mengangkat junub. Orang lain tak pakai pendapatnya yang ini. Kerana semua sudah terima bahawa tayammum boleh mengangkat janabah. Tapi pendapat beliau yang tak perlu solat dan qadha solat kalau air atau bahan tayammum tiada, itu ada yang pakai seperti Imam Malik dan mereka yang sependapat dengannya.

Hadis ini mengajar kita bahawa sah untuk pakai qiyas dalam agama. Walaupun banyak yang pegang boleh pakai Qiyas tapi memang ada yang tak pakai. Tapi dari hadis ini, menunjukkan boleh pakai. Sebab Ammar pakai Qiyas didalam menggunakan tayammum. Dia tidak tahu bagaimana menggunakan tayammum untuk mengangkat hadas besar. Jadi dia menggunakan qiyas, iaitu kalau mandi, kena ratakan air ke seluruh badan. Maka dia telah bergulingan di tanah. Apabila dia bertemu dengan Nabi kemudiannya, Nabi tak suruh dia qadha solatnya. Dan Nabi tidak kata bahawa penggunaan qiyas itu salah. Maknanya qiyas dia dipakai. Walaupun hakikatnya salah. Ini menunjukkan bahawa ijtihad Ammar diterima. Nabi telah bersabda bahawa kalau ijitihad itu benar, seseorang itu akan mendapat dua pahala. Tapi kalau salah, dapat hanya satu pahala sahaja. Dia telah menggunakan akal fikirannya berdasarkan ilmu yang ada padanya. Dan dia yakin dia benar pada masa itu. Ini kita boleh gunakan. Katakanlah kalau kita salah kiblat dalam solat kita. Kalau selepas itu, didapati bahawa kiblat tadi dalam solat tidak benar, seseorang itu tidak perlu untuk ulang solat dia kerana waktu itu dia ingat dia betul. Ini menunjukkan bahawa Islam membenarkan guna fikiran. Asalkan dalam kaedah yang dibenarkan. Contohnya, kenalah mengambil qiyas dari amalan ibadat yang telah sah.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa semasa memulakan tayammum, hanya dengan satu tepukan sahaja. Ini adalah hadis yang paling sahih dari Ammar. Hadis lain tidak. Maka, kena pakailah hadis ini. Tidak perlu nak kena tepuk sekali untuk usap muka, dan kali kedua untuk usap tangan pula.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa harus untuk tiup pada tangan untuk buang debu yang ada pada tangan. Sebab Nabi pun buat.

————————————————————————————————————————

بَاب التَّيَمُّمُ لِلْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ

Bab Tayammum Untuk Muka Dan Kedua (Belakang) Tapak Tangan (Sahaja)

Setakat manakah anggota tayamum? Inilah yang hendak dijawab oleh Imam Bukhari. Dia membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Ammar. Ini adalah hadis yang paling sahih yang diterima Bukhari. Sebab itu dia ulang-ulang hadis ini walaupun dalam banyak bab. Hafiz Ibn Hajar pun pakai hadis ini walaupun dia seorang Syafie dan hadis ini berlawanan dengan pendapat Imam Syafie.

Imam Bukhari nak kritik pendapat yang mengatakan kena sapu sampai lengan dan ada yang kata sampai ketiak. Yang mengatakan demikian, mereka menggunakan qiyas. Memang Ammar telah menggunakan qiyas dan menepati kehendak qiyas. Iaitu kalau air diratakan, maka tanah juga diratakan. Dan kalau dalam mandi janabah, air kena diratakan seluruh badan, maka dia telah berguling di tanah. Tapi jawapan Nabi menunjukkan dalam hal ini qiyas tidak dipakai kerana sudah ada nas yang menjelaskan dengan terang anggota tayammum.

Ada yang kata hadis ini Nabi nak banding sahaja. Iaitu tidaklah perlu Ammar sampai berguling-guling atas tanah, tapi cukup sahaja dengan menyapu tangan. Tapi tidaklah bermakna menyapu setakat itu sahaja. Pendapat ini tidak dipegang oleh Imam Bukhari.

Ayat Quran berkenaan dengan tayammum menggunakan perkataan ‘tangan’. Tapi tidak disebutkan had untuk menyampu dalam tayammum. Maka ada yang memegang perlu disapu samapi lengan mengikut perbuatan dalam wudu dan ada juga yang pegang bahawa perlu disapu keseluruhan tangan sampai ketiak. Tidak pula mereka kata sapu sampai bahu kalaulah betul nak pakai makna keseluruhan tangan. Sebenarnya kita kena pakai yang selalu dipegang sebagai tangan. Iaitu sampai pergelangan tangan sahaja. Contohnya, dalam mengamalkan hudud, apabila pencuri ditangkap, mereka akan dipotong tangan pun sampai pergelangan juga walaupun tidak disebut had tangan untuk dipotong didalam Quran.

Tajuk ini Bukhari letak dengan nada yang jazam. Iaitu dalam bahasa yang yakin benar. Ini bermakna, kepadanya, pendapat yang lain tidak dipakai. Memang banyak terdapat banyak lagi hadis-hadis yang lain yang membincangkan tentang tayammum, tapi kedudukan hadis lain banyak dipertikaikan. Kerana itu tidak banyak hadis yang diletakkan oleh Imam Bukhari melainkan dua hadis iaitu hadis yang diriwayatkan Abu Juhaim dan hadis ini yang diriwayatkan oleh Ammar ini kerana inilah hadis yang sahih sekali. Ini juga dipegang oleh Hafiz Ibn Hajar walaupun dia sendiri bermazhab Syafie.

Tambahan pula, dari sejarah, kita tahu bahawa Ammar mengamalkan cara tayamum seperti yang berada dalam hadis yang diriwayatnya ini. Bermakna, itulah pegangan dia. Dia tentulah faham apakah yang dimaksudkan oleh Nabi kerana dia ada disitu. Bermakna, tidaklah dia berpendapat bahawa apa yang Nabi buatkan itu adalah hanya sebagai bandingan sahaja.

327 – حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ أَخْبَرَنِي الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَمَّارٌ بِهَذَا وَضَرَبَ شُعْبَةُ بِيَدَيْهِ الْأَرْضَ ثُمَّ أَدْنَاهُمَا مِنْ فِيهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
وَقَالَ النَّضْرُ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ قَالَ سَمِعْتُ ذَرًّا يَقُولُ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ الْحَكَمُ وَقَدْ سَمِعْتُهُ مِنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ عَمَّارٌ

327. Telah menceritakan kepada kami Hajjaj dia berkata; telah mengabarkan kepada kami Syu’bah telah mengabarkan kepada kami Al Hakam dari Dzarri dari Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari bapaknya, telah berkata ‘Ammar: buat begini. Sambil Syu’bah menepuk kedua telapak tangannya ke tanah lalu mendekatkannya kepada mulutnya (lalu meniupnya) kemudian mengusapkannya ke mukanya dan bahagian belakang kedua tangannya. Dan telah berkata An Nadlar telah mengabarkan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dia berkata; saya mendengar Dzarr berkata; dari Ibnu Abdurrahman bin Abzaa, berkata Al Hakam; dan aku telah mendengarnya dari Ibnu Abdurrahman dari ayahnya berkata; Ammar berkata: muka bumi yang suci adalah air sembahyang (bahan penyuci) orang Islam. Ia memadai untuknya sebagai pengganti air.

328 – حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ حَرْبٍ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ عَنْ ذَرٍّ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ شَهِدَ عُمَرَ وَقَالَ لَهُ عَمَّارٌ كُنَّا فِي سَرِيَّةٍ فَأَجْنَبْنَا وَقَالَ تَفَلَ فِيهِمَا

328. Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dari Dzar dari Ibnu ‘Abdurrahman bin Abza dari Bapaknya bahwa ia pernah bersama ‘Umar saat ‘Ammar berkata kepadanya, “Kita ketika itu berada dalam satu pasukan tentera, lalu kita berjunub”. Kata perawi (Ammar): baginda meniup dengan agak kuat debu yang melekat pada kedua belah tangannya.

Ada perbezaan antara hadis-hadis ini kerana hadis diriwayatkan dengan lafaz bilmakna. Dalam hadis sebelum ini, dikatakan hanya tiup sahaja. Tapi kali ini dikatakan tiupan itu adalah tiupan yang kuat. Iaitu mengikut pemahaman perawi. Perawi menyampaikan hadis menggunakan perkataan yang dia faham dari maksud hadis yang telah disampaikan kepada mereka. Dalam bahasa kita pun selalu ada macam ni. Contohnya, antara perkataan mari dan datang. Sikit sahaja bezanya. تَفَلَ dalam hadis ini bermakan ‘tiup sampai keluar sedikit air liur’. Nak memberitahu bahawa tiup itu sampai hilang debu. Maknanya, kalau debu itu tiada pun tidak mengapa. Sebab bukan debu itu yang diperlukan.

329 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ عَنْ ذَرٍّ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ قَالَ عَمَّارٌ لِعُمَرَ تَمَعَّكْتُ فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَكْفِيكَ الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ
حَدَّثَنَا مُسْلِمٌ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ عَنْ ذَرٍّ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ شَهِدْتُ عُمَرَ فَقَالَ لَهُ عَمَّارٌ وَسَاقَ الْحَدِيثَ

329. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir telah mengabarkan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dari Dzar dari Ibnu ‘Abdurrahman bin Abza dari ‘Abdurrahman bin Abza ia berkata; Ammar berkata kepada Umar, “Aku bergulingan (di atas pasir) lalu menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (dan menceritakan apa yang telah berlaku). Maka beliau pun bersabda: “Menyapu muka dan kedua telapak tangan sudah cukup.” Telah menceritakan kepada kami Muslim telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dari Dzar dari Ibnu ‘Abdurrahman dari ‘Abdurrahman bin Abza ia berkata, “Aku bersama Umar ketika Ammar berkata kepadanya….lalu ia mengemukakan hadis yang sama.”

Dalam hadis ini, ada perkataan dari Nabi pula. Lain dari hadis-hadis yang lain. Sebab hadis-hadis yang lain hanya menunjukkan perbuatan Nabi sahaja. Kalau ada perkataan Nabi, tentunya nilai hadis itu akan jadi lagi tinggi. Tidak sama antara kata Nabi dan perbuatan Nabi. Ada yang mengatakan Nabi tak cakap pun, tapi itu adalah tasarruf perawi. Iaitu, pendapat perawi sahaja. Sebab itu ada tak terima hadis ini.

Ada juga yang kata hadis itu tidak mahfuz. Iaitu tidak benar. Tapi, takkan Ammar berani nak kata benda yang Nabi sendiri tak kata. Mereka kata Nabi buat sahaja, tidak cakap. Tapi, mungkin hadis yang Nabi cakap sendiri adalah hadis yang lengkap dan hadis-hadis yang lain itulah yang ringkas.
Antara hadis yang tidak mahfuz adalah hadis yang digunakan orang untuk membenarkan makan di rumah kenduri. Iaitu, dalam hadis itu dikatakan isteri simati telah menghantar utusan kepada Nabi untuk mengajaknya makan di rumahnya. Dan Nabi telah datang ke rumah itu dan makan. Jadi, mereka kata, bolehlah makan kenduri rumat simati. Tapi, sebenarnya yang ajak makan adalah seorang perempuan lain semasa Nabi dalam perjalanan pulang. Bukan perempuan isteri simati. Itulah bahaya kalau pakai hadis tidak mahfuz. Jangan kita terus terima sahaja. Untuk tahu mana yang benar, kena tengok macam mana Nabi ajar apa yang sepatutnya kita lakukan. Iaitu, Nabi ajar supaya orang luar yang beri makan kepada keluarga simati, bukan simati yang beri makan pula. Dan ada lagi hadis lain yang mengataan Nabi larang buat kenduri di rumat mayat. Dan Jabir telah kata perbuatan itu dianggap sebagai meratap.

Imam Bukhari kata hadis Ammar ini adalah mahfuz. Paling sahih. Jangan diragui nanti. Nabi cakap sendiri.

330 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ قَالَ حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ عَنْ ذَرٍّ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ عَمَّارٌ فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ الْأَرْضَ فَمَسَحَ وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

330. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Basysyar ia berkata; telah menceritakan kepada kami Ghundar telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Al Hakam dari Dzarr dari Ibnu ‘Abdurrahman bin Abza dari Bapaknya ia berkata, ” Ammar berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menepuk telapak tangannya ke tanah lalu mengusapkan pada muka dan kedua belakang telapak tangannya.”

Sapu belakang tapak tangan sahaja. Sampai ke pergelangan. Tidak perlu nak tepat-tepat sangat pun.

Murid Imam Bukhari adalah lebih dari 90 ribu.

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s