We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tayammum Sesi 3 Bab Bertayammum Ketika Hadhar Yakni Tidak Bermusafir April 3, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Tayammum — visitor74 @ 12:09 am

بَاب التَّيَمُّمِ فِي الْحَضَرِ إِذَا لَمْ يَجِدْ الْمَاءَ وَخَافَ فَوْتَ الصَّلَاةِ

Bab Bertayammum Ketika Hadhar Yakni Tidak Bermusafir. Apabila Seseorang Tidak Mendapati Air Dan Bimbang Akan Terlepas Waktu Solat

Dalam Islam, ada tiga jenis penempatan:
Mastautin: jikalau seseorang itu memang menetap di sesuatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah sampai bila-bila.
Mukim: Duduk dalam kadar agak lama. Tapi, tidak berniat nak tinggal terus disitu, ada maksud nak pergi tempat lain. Sebagai contoh, pelajar yang tinggal di Pondok Pengajian untuk belajar.
Musafir: untuk tinggal sekejap sahaja. Selalunya dalam masa beberapa hari sahaja.
Hadhar dalam tajuk yang Imam Bukhari letak itu bermaksud mereka yang mastautin atau mukim. Bolehkah mereka bertayamum dalam keadaan sebegitu? Soalan ini timbul kerana dalam dua-dua ayat tayammum, Allah letakkan kebolehan berayamum itu jikalau dalam perjalanan. Maknanya, tayamum dikaitkan dengan safar dan juga dalam sakit. Imam Bukhari buat tajuk ini, kerana dia takut orang faham hanya dalam dua keadaan itu sahaja tayamum dibenarkan. Sebab kena tengok Sunnah. Dalam ayat Quran itu, diletakkan perkataan: “jika kau tidak mendapati air”. Banyak makna boleh difahami dengan maksud ‘tidak mendapati air’ itu. Bukan hanya dalam musafir sahaja.

وَبِهِ قَالَ عَطَاءٌ وَقَالَ الْحَسَنُ فِي الْمَرِيضِ عِنْدَهُ الْمَاءُ وَلَا يَجِدُ مَنْ يُنَاوِلُهُ يَتَيَمَّمُ وَأَقْبَلَ ابْنُ عُمَرَ مِنْ أَرْضِهِ بِالْجُرُفِ فَحَضَرَتْ الْعَصْرُ بِمَرْبَدِ النَّعَمِ فَصَلَّى ثُمَّ دَخَلَ الْمَدِينَةَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ فَلَمْ يُعِدْ

Pada pendapat Atha bertayammum dalam keadaan itu dibolehkan. Pendapat Hasan berhubung dengan orang sakit dan mempunyai air tetapi dia tidak mendapati orang yang boleh memberikan air kepadanya, dia boleh bertayammum. Ibn Umar datang daripada tanahnya di Juruf, waktu asar masuk ketika beliau berada di Marbadil Naam dan beliau terus bersolat (yakni dengan bertayammum) kemudian baru masuk ke Madinah. Matahari masa itu masih lagi tinggi. (Yakni waktu asar masih lagi luas) tapi beliau tidak mengulangi solatnya.

Atha adalah seorang tabein. Sangat alim orangnya. Tapi amat merendah diri. Dia tak cakap banyak dengan orang. Dan dia jarang mahu jumpa orang. Kalau ada yang minta kebenaran nak ziarah dia pun dia akan tanya kenapa nak pula nak jumpa dia dan dia kata dia tidak layak diziarahi. Dia kata, teruk sangat dunia ini kalau orang macam dia pun orang nak datang jumpa. Orang suka nak jumpa dia kerana apabila dia bercakap, seperti dia mendapat ilham dan kerana tinggi sungguh ilmunya. Kerana dia tinggal di Mekah, dia telah buat 70 kali haji. Dia menjadi rujukan semua mujtahid. Bukhari pakai pendapat Atha ini sebagai isyarat bahawa itulah pendapat dia juga. Memang ada lagi pendapat ulama lain termasuk ada pendapat yang tak sama dengan pendapat dia, tapi Imam Bukhari nak isyarat bahawa dia bersetuju dengan pendapat Atha dalam hal ini. Bukan semua pendapat Atha dia pakai. Sebab Bukhari bukanlah seorang muqallid. Dia boleh datang dengan pendapat dia sendiri kerana dia juga seorang mujtahid.

Tapi daripada tajuk Imam Bukhari letak, kita dapati bahawa bukan boleh terus tayamum kalau bermukim/mastautin dan kita dapati tiada air. Kena ada kebimbangan akan terlepas waktu solat kalau tak tayamum juga. Jadi, kena tunggu sampai hujung waktu. Sebab, kalau kita solat awal, tiba-tiba jumpa air pula, maka itu tidak boleh. Dan lepas itu tidak perlu qadha atau mengganti solat itu kalau ada lagi waktu. Ini adalah kerana solat itu telah dikira sah.

Ada keadaan dimana air ada, tapi tak boleh guna. Contohnya jikalau tiada orang yang boleh hulur air. Katakanlah seseorang itu dah lembik tak boleh nak gerak ke tempat air, dan tiada orang lain pula. Maka, dalam keadaan itu, dia boleh tayammum. Itu juga termasuk dalam keadaan ‘tidak dapati air’ sepertimana dalam ayat Quran. Ini adalah pendapat Hasan Basri yang seorang tabein juga. Dia menjadi rujukan ramai orang, termasuklah ulama hadis dan juga ulama sufi. Hasan juga berpendapat kena tunggu hingga hujung waktu baru boleh guna tayamum, sama macam Imam Bukhari.

Ini pendapat Ibn Umar juga. Tidak ada dalam kata-kata diatas itu yang kata dia tayamum. Yang dalam kurungan itu adalah tambahan sahaja. Dan dia solat diawal waktu pula. Jadi, bagaimana pula Imam Bukhari menggunakan kisah Ibn Umar itu sebagai penguat kepada hujah dia? Itulah yang kena belajar, baru tahu. Kalau baca sendiri, boleh pening. Confirm dia tayamum sebab ada disebutkan dia tayamum dalam kitab-kitab lain. Mungkin penyalin tercicir atau Bukhari nak mengajar kita supaya periksa juga dengan kitab lain. Sebab dalam kitab lain seperti Muwatta’ dan musnad Imam Syafie ada mengatakan dia tayamum. Kita boleh terima bahawa ada juga yang tercicir dalam Kitab Sahih Bukhari ini sebab bukan ianya bukan Quran. Hanya Quran sahaja yang terselamat dari salah dan silap, walaupun satu huruf. Rosak akidah kita kalau kita kata ada satu huruf pun yang tertinggal dalam Quran. 

Jarak antara tempat Ibn Umar solat itu dan Madinah adalah dekat sahaja. Maknanya, dia bukan musafir, dia bermukim. Kedudukan tempat itu hanya sebatu sahaja dari Madinah. Ini kerana dalam pendapat Imam Bukhari, jarak itu tidaklah dikira sebagai bermusafir lagi. Sebab dekat sangat.
Mana syarat kedua (kena ada kebimbangan akan habis waktu solat)? Imam Bukhari berpendapat bahawa Ibn Umar ingat dia akan berhenti lama. Dan kalau dia tidak solat juga, dia memang tidak akan sempat sampai ke Madinah. Itulah sebabnya dia solat, walaupun luas lagi waktu Asar. Maknanya, telah ada kebimbangan dalam dirinya bahawa dia tidak sempat bersolat di Madinah dalam waktu Asar. Tapi lepas itu dia pergi ke Madinah, ada lagi masa? Itu adalah kerana dia sempat menyelesaikan urusannya awal diluar jangkaannya. Ataupun dia tidak jadi duduk lama di tempat itu. Itu boleh. Tidak perlu ulangi solat walaupun masa dia sampai ke Madinah, ada waktu lagi. Maknanya, perkiraan samada sempat atau tidak itu adalah perkiraan dalam diri sendiri. Kalau sendiri rasa tak sempat, dah cukup dah, boleh diterima. Kerana masa Ibn Umar bersolat itu, dia memang sangka dia tidak akan sempat nak sampai.

Batu itu asal dari bumi, tapi telah dijadikan dinding rumah. Masih lagi boleh dipakai. Ini adalah dalil mengatakan boleh guna bahan yang telah diubah. Macam kalau kita ambil tanah dan kita letak dalam bekas.

325 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ الْأَعْرَجِ قَالَ سَمِعْتُ عُمَيْرًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقْبَلْتُ أَنَا وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَسَارٍ مَوْلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى أَبِي جُهَيْمِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ الصِّمَّةِ الْأَنْصَارِيِّ فَقَالَ أَبُو الْجُهَيْمِ الْأَنْصَارِيُّ أَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

325. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits dari Ja’far bin Rabi’ah dari Al A’raj ia berkata, “Aku mendengar Umair mantan budak Ibnu Abbas, ia berkata, “Aku dan Abdullah bin Yasar, mantan budak Maimunah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengunjungi Abu Juhaim Ibnul Harits bin Ash Shimmah Al Anshari, ia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari Bi`ar Jamal (nama tempat), lalu ada seorang laki-laki menemui beliau seraya memberi salam, namun beliau tidak membalasnya. Beliau kemudian pergi ke dinding dan menepuk tangan ke dinding, lalu mengusap muka dan kedua belah tangannya. Baru kemudian membalas salam kepada orang itu.”

Sekarang, Imam Bukhari bawa dalil dari Nabi pula. Dalam hadis ini juga ada dua syarat seperti yang telah ditetapkan oleh Imam Bukhari dalam tajuknya. Tapi tak disebut dengan jelas dalam hadis. Kena belajar. Imam Bukhari menggunakan ijtihad. Itulah dia tugas ulama-ulama, iaitu capai kepada sesuatu hukum yang boleh diambil dari hadis berdasarkan kepada pemikiran mereka yang tinggi. Dalam hadis ini, Nabi telah menepuk dinding untuk melakukan tayamum, baru dia jawap. Dimanakah syarat bimbang tidak sempat itu? Kerana baginda bimbang kalau dia tidak jawap dengan segera, dia tidak sempat jawap kerana kalau dia lambat, orang yang memberi salam itu akan pergi ke lorong lain dah, dan baginda tidak sempat nak panggil dia. Dimana pula solatnya? Disini, Imam Bukhari menggunakan konsep Qiyas. Menjawap salam tidak perlu untuk berada dalam keadaan suci. Dalam perkara sunat macam itu pun Nabi tayamum, apatah lagi kalau dalam perkara yang lebih besar seperti solat yang memang memerlukan berada dalam keadaan suci?

Dan Nabi ketika itu berada di Bi`ar Jamal, iaitu tempat itu dalam Madinah juga. Maknanya Nabi dalam keadaan bermastautin. Bukan dalam keadaan musafir. Jadi, hadis ini mencapai semua perkara: tidak dalam musafir, tiada air dan bimbang akan terlepas waktu.

Nabi tepuk dinding, bukan tanah. Memang ada hadis ini dalam riwayat lain kata Nabi cucuk cucuk dinding sebab nakkan debu, tapi itu tidak kuat. Dalam hadis yang dhaif ini juga dikatakan bahawa Nabi bertayamum dengan menyapu sampai ke lengan. Ini tidak ada dalam riwayat perawi lain dalam hadis yang sama. Yang memegang mengatakan kena sapu tangan sampai ke lengan pegang hadis inilah. Rumah di Madinah selalunya menggunakan batu hitam. Nabi berkemungkinan besar menepuk dinding rumah yang diperbuat dari batu. Kalau bukan batu, kenalah disebut dalam mana-mana tempat, kerana dalam keadaan normal, rumah-rumah di Madinah diperbuat dari batu. Ini menunjukkan bahawa boleh pakai bahan yang tidak ada debu. Sebab batu tentu tidak melekat debu padanya. 

Hadis yang Imam Bukhari bawa ini adalah mukhtasar (ringkas). Ini boleh dilakukan sebab kalau Quran pun ada yang kita pendekkan sahaja ayat-ayat sebab hanya nak pakai yang berkenaan sahaja. Begitu juga dalam kes ini, ada maksud yang Imam Bukhari nak sampaikan. Jadi dia ambil bahagian penting sahaja. Dalam hadis yang lengkap, ada menyebut bahawa Nabi baru lepas kencing. Dan Nabi tayamum kerana orang yang memberi salam itu hampir untuk pergi ke lorong lain dah. Kalau Nabi tak jawap, orang itu akan hilang.

Dan dalam hadis yang lengkap, Nabi ada berkata bahawa baginda tidak suka menyebut nama Allah dalam keadaan tidak suci. Kerana dalam salam itu ada perkataan as-Salam, iaitu salah satu nama Allah. Tapi Imam Tohawi mengatakan bahawa hadis-hadis yang mengatakan Nabi tidak suka menyebut nama Allah dalam keadaan tidak suci semuanya telah mansukh jadi kita tidak perlu ikut. Kerana ada hadis lain yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa baginda sentiasa menyebut nama Allah dalam semua keadaan – bermakna termasuk jikalau baginda dalam hadas juga. Dan ada hadis riwayat Ibn Abbas yang mengatakan apabila Nabi bangun selepas tidur untuk solat malam, dan sebelum baginda mengambil wudu, baginda membaca dahulu beberapa potong ayat Quran. Dan kejadian itu adalah semasa baginda bersama dengan Maimunah, dan kita tahu bahawa baginda berkahwin dengan Maimunah hampir hujung hayat baginda. Maka dari situ kita boleh tahu bahawa akhir sekali baginda ada juga menyebut nama Allah walaupun dalam keadaan baginda tidak suci. Kerana waktu tu baginda baru sahaja bangun dari tidur, maka kita boleh terima bahawa baginda tidak suci waktu itu.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s