We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Mandi Janabah: Sesi 2 Bab Seseorang Mandi Bersama Isterinya March 14, 2013

بَاب غُسْلِ الرَّجُلِ مَعَ امْرَأَتِهِ

Bab Seseorang Mandi Bersama Isterinya

– Seperti yang kita telah belajar banyak kali sebelum ini, kebijaksanaan Bukhari teletak di dalam tajuk babnya. Disinilah Imam Bukhari menunjukkan mazhabnya. Disinilah kita bolehl lihat apakah pegangan Imam Bukhari di dalam sesuatu isu itu. Jadi, kita kena tengok tajuk bab Imam Bukhari letak itu.

– Dalam tajuk ini, Imam Bukhari menjelaskan bahawa adalah harus untuk suami isteri mandi bersama. Imam Bukhari sebenarnya hendak menolak pendapat sesetengah ulama yang mengatakan tidak boleh suami mandi bersama isteri. Termasuk yang mengatakan tidak boleh itu adalah gurunya sendiri – Imam Ahmad. Imam Bukhari menolak pendapat gurunya itu cara yang lembut. Kerana tidaklah dia menulis dimana-mana bahawa dia tidak bersetuju dengan pendapat gurunya. Cuma kita boleh tahu dari pembacaan kita dari pendapat yang dikeluarkannya, berlainan dengan apa yang dikatakan oleh gurunya sendiri. Imam Ahmad kata tidak boleh lelaki menggunakan air lebihan dari yang telah digunakan oleh perempuan. Pendapat Bukhari ini adalah kuat kerana ianya dibuat sendiri oleh Nabi. Tidak ada lagi orang lain yang lebih benar dari Nabi. Kalau ada orang yang mengatakan tidak boleh itu, itu hanyalah pendapat mereka sahaja. Tidak boleh melawan apa yang Nabi telah lakukan. Walaupun orang besar juga, tidak boleh melawan perbuatan Nabi. Pendapat ini bagus kerana tidak merendahkan martabat wanita. Sebab, kalau kata tidak boleh menggunakan lebihan air perempuan, macam kita kata perempuan itu tidak suci pula. Mungkin kerana inilah ada yang kata bahawa Islam memandang rendah martabat kaum perempuan padahal tidak begitu.

Hadis ini juga sebagai dalil bahawa suami dan isteri boleh memandang tubuh badan sesama sendiri. Tidak ada masalah. Bagaimana dengan aurat? Adakah Nabi dan isteri-isteri baginda berbogel? Kalau kita nak kata mereka mandi berbogel pun boleh kerana memang dibenarkan untuk suami isteri melihat kemaluan masing-masing. Tidak mengapa jikalau kita mandi bogel pun. Kalau kita rasa lagi senang kalau kita mandi bogel, boleh kita buat. Janganlah percaya kepada orang yang mengatakan tidak. Memang sampai ada yang mengatakan Saidina Ali itu bukan sahaja tidak pernah melihat aurat perempuan, aurat dia sendiri pun tidak pernah. Mereka kata sebab itulah dia diberi gelaran ‘Karamallahu Wahjah’ – dimuliakan wajahnya. Ini adalah tidak benar. Itu adalah cerita yang mengarut, yang tidak ada sandarannya. Kalau dia tidak melihat kemaluan dia sendiri, macam manalah dia nak mengamalkan sunnah untuk mencukur bulu ari-ari? Takkan dia cukur tanpa melihat kemaluan pula? Bahaya sungguh tu. Sebenarnya Saidina Ali dipanggil begitu kerana nak memuliakan dia apabila ramai yang benci kepada Ali sampaikan mereka mendoakan supaya wajah dia dihitamkan. Jadi, ahli Sunnah mengajar untuk mendoakan supaya wajah dia dimuliakan. Itu terjadi kerana ada yang suka kepadanya dan ada juga yang benci kepadanya. Ada yang benci sungguh sampai mendoakan keburukan kepadanya dan ada yang suka terlajak sampai mengatakan yang dia lebih daripada seorang manusia biasa.

Ini juga menunjukkan bahawa tidak ada istilah air mustakmal. Kerana dalam mandi itu, tangan Nabi dan isteri baginda sillih berganti masuk dalam bekas air. Jadi, maknanya tangan ayang masuk dalam bekas itu tidak suci lagilah kiranya kerana masih dalam hadas besar lagi, kerana belum habis mandi lagi. Tapi, itu tidak menjadi masalah. Kalau Nabi pun buat, maka itu adalah dalil yang kukuh. Kita hormat pendapat Imam Syafie, kerana benar dia banyak berkhidmat kepada Islam. Tapi yang mengatakan air mustaqmal itu adalah ijtihad dia sahaja. Tidak ada dalil. Dia sendiri pun kata, kalau ada hadis yang sahih, itulah mazhabku. Iza soohal hadis, fahua mazhabi. Padahal, kalau air yang meleleh dari tangan dan masuk ke dalam bekas air, tidak menjadikan air itu tidak boleh dipakai lagi. Sifat air itu adalah boleh pakai banyak kali untuk menyucikan. Pendapat Imam Syafie itu sebegitu adalah kerana kalau dalam hadis pun, tidak ada pun Nabi menadah kembali air wudu sedangkan air tidak banyak. Padahal, dalam pendapat lamanya (qaul qadim), dia tidak mengatakan bahawa air mustaqmal tidak boleh dipakai.

Tapi Imam Malik kata air boleh dipakai banyak kali, sebab daripada ayat Quran, perkataan yang digunakan untuk air menunjukkan bahawa air itu boleh menyucikan banyak kali. Tapi janganlah kita benci kepada mazhab-mazhab tertentu. Pendapat mereka adalah dari mereka yang berilmu. Kita pakai mana yang paling kuat. Kena belajar untuk kita faham mana pendapat lagi kuat. Kita dok kata kita ikut mazhab Syafie, tapi bukan kita pakai semua pun pendapat dia pun. Kita kena berlapang dada. Jangan kita taksub apabila kita dah belajar hadis. Janganlah sampai ada yang tidak baca Qunut Subuh, dikatakan mereka wahabi atau sesat. Itu adalah jenis orang yang taksub.

Kenapakah banyak mazhab? Itu adalah takdir Allah. Allah nak jadikan macam tu. Ada orang ada anak, ada yang tak ada. Ketentuan Tuhan sudah begitu. Jangan kita sangka bahawa mazhab itu tidak ramai orang, tidak bagus. Macam Imam Bukhari ni, dia pun mujtahid juga. Cuma ada yang terkenal, ada yang tidak. Macam kitab hadis pun, ada lagi kitab sahih yang bagus selain kutubus sittah. Cuma yang digunakan sebagai sukatan pelajaran, digunakan kitab hadis yang enam itu. Itu telah diterima oleh ulama hadis.

Hadis ini juga menunjukkan bahawa Nabi mesra dengan isteri-isterinya. Walaupun dah tua, tapi Nabi masih melayan isterinya dengan mesra. Begitulah yang sepatutnya kira ikuti. Umur Nabi waktu itu, sudah berumur 50 tahun dah. Pernah juga Nabi menggunakan siwak bekas isterinya tanpa membasuh. Semua itu untuk mengajar bagaimana hendak bermesar dengan isteri.

Sentuh orang perempuan tidak mengapa dan tidak membatalkan wudu. Dalam hadis lain akan dibawa kisah bagaimana Nabi dan isterinya mandi berlaga tangan. Ini menunjukkan bahawa tidak mengapa kalau sentuh kulit perempuan. Tidak batal wudu. Kerana Nabi lepas mandi janabah itu tidak mengambil semula wudu walaupun telah sentuh tubuh isterinya semasa mandi janabah itu. Inilah yang senang. Dan memudahkan umat. Bayangkan kalau dah tua nanti, tinggal dengan isteri sahaja dan kita perlukan mereka untuk mengambil wudu untuk kita. Kalau boleh sentuh, bukankah mudah? Dalam hadis lain, ada dikisahkan bagaimana Nabi sebelum keluar rumah, baginda akan mencium isteri baginda. Ini menunjukkan kemesraan. Nabi mengajar umatnya bagaimana menjalani kehidupan suami isteri. Kalau ada yang kata bersentuh boleh tapi tidak ada syahwat, pun tidak sesuai. Kerana kalau dah cium itu, mestilah ada syahwat. Islam ingin hendak memudahkan, bukan menyusahkan.

242 – حَدَّثَنَا آدَمُ بْنُ أَبِي إِيَاسٍ قَالَ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ مِنْ قَدَحٍ يُقَالُ لَهُ الْفَرَقُ

242. Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abu Iyas berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abu Dzi’b dari Az Zuhri dari ‘Urwah dari ‘Aisyah berkata, “Aku sendiri mandi bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dari satu bekas yang sama yang yang dipanggil Al Faraq.”

– Bagaimana dikatakan yang Aisyah dan Nabi mandi bersama? Kerana ada kritik kata kalau dari segi nahu, tidak boleh mengatakan mandi ‘bersama’. Jawapannya adalah Imam Bukhari ambil faham dari hadis-hadis yang lain.

Aisyah cerita dia sendiri. Maknanya ini adalah kisah dia sendiri. Maknanya bukan cerita orang lain. Maka boleh dipercayai.

Al Faraq adalah bekas air yang menampung dua gantang atau tiga gantang air. Maka ini menunjukkan bahawa tidak perlu air yang banyak untuk mandi janabah. Kalau pakai air banyak pun boleh juga. Tapi dalam keadaan air memang tak banyak, ini akan memudahkan kita untuk beribadat. Disini, bukan hendak mengatakan kena pakai air banyak ini sahaja, tidak. Yang penting adalah meratakan air. Kalau kita kata tak cukup, maka kita mengatakan bahawa Nabi tak betul. Kalau Nabi cukup, takkan tidak cukup untuk kita. Kalau tempat kita ada air yang banyak, boleh sahaja kita banyak lagi. Tapi jangan melampau.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s