We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tauhid Bab Firman Allah Taala { Dan (Ingatlah) Kami Akan Mengadakan Neraca Timbangan Yang Adil. March 13, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Tauhid — visitor74 @ 4:14 pm

Ini adalah bab yang terakhir sekali dalam Kitab Sahih Bukhari. Imam Bukhari memulakan kitab ini dari bab Wahyu. Iaitu dimulakan dengan hadis berkenaan dengan ‘niat’. Ianya untuk mengingatkan manusia dan juga dia sendiri untuk ikhlas dalam melakukan ibadat. Kitab wahyu itu adalah untuk menceritakan bahawa ilmu yang sahih adalah daripada wahyu. Kalau ilmu yang didapati dari sumber lain belum tentu ada kebenarannya. Samada yang datang dari kajian manusia: samada kajian sains atau apa sahaja. Contohnya, zaman dahulu, manusia memang sangka bahawa dunia ini adalah datar sahaja. Tapi kajian sains mendapati bumi adalah bulat. Nanti di masa hadapan, belum tentu apa lagi akan bertukar pula. Apa yang kita dapat lihat dengan mata pun kadang-kadang tidak benar. Penglihatan kita pun boleh tertipu. Kalau letak batang yang lurus dalam air, ianya akan jadi bengkok, contohnya. Telinga pun kadang-kadang akan tertipu juga.

Kalau kita guna akal pun tidak akan dapat mencapai kebenaran. Puak Muktazilah telah menggunakan akal di dalam memahamkan agama. Mereka sampai menolak kisah Isra Mi’raj kerana mereka kata manusia tidak akan dapat naik ke langit kerana kalau naik tinggi, akan mati manusia itu kerana tidak ada udara dan tekanan tinggi. Tapi dalam dunia sains sekarang, manusia boleh naik ke angkasa lepas. Itu adalah manusia biasa sahaja. Takkan Allah tidak boleh memperjalankan NabiNya? Muktazilah sampai menolak hadis yang tidak dapat diterima oleh akal mereka yang cetek. Nasib kita baik kerana ada Ahli Sunnah yang menyimpan dan mempersampaikan hadis-hadis tersebut walaupun akal mereka tidak dapat memahaminya pada masa itu. Tapi kita yang berada pada zaman sekarang boleh semakin faham.

Manusia tidak akan dapat kebenaran tanpa wahyu. Dalam semua hal, samada hal keduniaan atau akhirat. Quranlah yang memberitahu bahawa perbuatan riba itu adalah tidak baik. Tapi masyarakat kapitalis mengatakan bahawa ianya adalah sumber pendapatan yang lumayan. Sampaikan ada manusia yang hidup mewah dengan mengamalkan riba. Kerana kata mereka, itulah adalah baik kerana dengan memberi pinjam kepada orang lain, tentulah mereka patut dapat keuntungan. Kerana kalau mereka guna duit itu untuk berniaga pun akan dapat untung juga. Tapi kalau beri pinjam kepada orang lain, tidak dapat untung kalau tidak dikenakan riba kepada mereka. Tapi ada yang tidak setuju. Seperti komunis tidak sukakan sistem kapitalis. Tapi itupun tidak berjaya. Lama-lama sistem komunis pun tidak berjaya mendamaikan orang. Dalam ibadat pula: apabila kita sudah tahu bahawa ada Tuhan yang menjadikan alam ini dan segala makhluk, bagaimanakah cara untuk beribadat untuk mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan yang satu itu? Kalau tiada wahyu, manusia tidak akan tahu. Maka, akal manusia kena ikut wahyu. Bukan wahyu yang kena ikut akal.

Seperti biasa, dalam setiap kitab dalam Kitab Sahih Bukhari ini, apabila sampai ke penghujung kitab, Imam Bukhari akan mengisyaratkan tanda akhir. Imam Bukhari meletakkan Kitab Tauhid di bahagian akhir sekali kerana mengisyaratkan bahawa hendaklah kita mati dengan kalimah Tauhid iaitu la ilaaha Illa Allah. Seperti hadis yang mengatakan bahawa sesiapa yang akhir kalamnya adalah la ilaaha illa Allah, dia akan masuk syurga. Kita hanya akan selamat di akhirat nanti dengan ada tauhid.

Dan dalam Kitab Tauhid ini, Imam Bukhari banyak membawakan tentang kalam. Kalam itu adalah dari Allah. Ianya adalah Wahyu. Dan apakah kitab paling awal dalam sahih Bukhari ini? Kitabul Wahyu. Maknanya, selepas habis kitab ini, ianya kembali kepada asal kitab. Balik kepada asal. Seperti satu pusingan.

 

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ } وَأَنَّ أَعْمَالَ بَنِي آدَمَ وَقَوْلَهُمْ يُوزَنُ

Bab Firman Allah Taala {Dan (Ingatlah) Kami Akan Mengadakan Neraca Timbangan Yang Adil Untuk (Menimbang Amal Makhluk-Makhluk Pada) Hari Kiamat} Dan Bahawa Amalan Keturunan Adam Itu Dan Kata-Kata Mereka Akan Ditimbang

Tajuk ini mengatakan bahawa segala amalan dan kata-kata kita akan ditimbang. Antara yang diucap adalah kalam Allah. Kalam Allah bukan makhluk. Seperti yang telah dibicarakan dengan panjang lebar oleh Imam Bukhari dalam Kitabul Tauhid ini. Yang ditimbang itu adalah perbuatan makhluk. Berbeza amalan manusia antara satu sama lain.

Akhirnya amalan manusia akan ditimbang. Itu adalah isyarat akhir. Dalam ayat itu, dikatakan bahawa terdapat banyak neraca. Ini adalah kerana amalan makhluk itu banyak jenis. Ada yang jenis puasa, jenis solat dan sebagainya. Jadi, kerana banyak jenis amalan, ada banyak jenis neraca yang digunakan oleh Allah. Ada pula yang kata ianya adalah hanya satu neraca sahaja, tapi boleh timbang semua jenis amalan makhluk. Ini menunjukkan kehebatan neraca itu.

Puak yang berfahaman Muktazilah tolak adanya neraca itu. Kerana mereka kata macamana nak timbang amalan? Amalan itu bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dan tiada berat. Bagaimana nak timbang, kata mereka. Ada pula yang kata yang ditimbang adalah buku amalan, bukan amalan makhluk. Tapi itu adalah kata-kata yang tidak benar. Kerana akal mereka tidak dapat menerima yang selain dari yang zahir. Tapi ada perkara yang tidak boleh dilihat, tapi masih boleh disimpan. Contohnya, suara. Kalau dulu, manusia tidak boleh faham bagaimana suara boleh disimpan. Tapi zaman sekarang telah terbukti bahawa ianya memang boleh. Kita boleh gunakan perakam suara untuk merakam suara manusia dan boleh disimpan sampai bila-bila. Itu baru teknologi manusia. Kalau teknologi Allah, lagilah hebat. Suhu juga sesuatu yang tidak boleh dilihat tapi boleh diukur. Sebenarnya, perkara-perkara abstak itu lagi boleh disimpan. Kalau badan manusia yang zahir itu, tidak akan kekal sampai bila-bila. Tapi suara atau rakaman gambar tahan lagi lama. Atau selama-lamanya. Maka, kita kerana terima bahawa Allah tentulah ada cara untuk menimbang amalan-amalan yang kita buat semasa di dunia.

 

وَقَالَ مُجَاهِدٌ الْقُسْطَاسُ الْعَدْلُ بِالرُّومِيَّةِ وَيُقَالُ الْقِسْطُ مَصْدَرُ الْمُقْسِطِ وَهُوَ الْعَادِلُ وَأَمَّا الْقَاسِطُ فَهُوَ الْجَائِرُ

Mujahid berkata الْقُسْطَاسُ bermakna الْعَدْلُ. Maknanya keadilan mengikut bahasa Rum. Dikatakan الْقُسْطَاسُ itu adalah masdar bagi الْمُقْسِطِ (yang Adil) dan الْقَاسِطُ itu bermakna yang zalim.

– Asal perkataan itu dari bahasa Rom. Ianya telah diterima kedalam bahasa Arab. Macam kita juga apabila kita menggunakan perkataan ‘Sekolah’ yang asalnya dari perkatan Inggeris: School. Tapi dah sebati dah dalam bahasa kita dan kita dah rasa yang ianya macam asli bahasa kita. Kita tak fikir pun yang ianya adalah bahasa asing asalnya. Ini menunjukkan bahawa Bahasa Arab itu adalah bahasa yang berkembang.

 

7008 – حَدَّثَنِي أَحْمَدُ بْنُ إِشْكَابٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ عَنْ عُمَارَةَ بْنِ الْقَعْقَاعِ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

7008. Telah menceritakan kepadaku Ahmad bin Isykab telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Fudlail dari ‘Umarah bin Alqa’qa’ dari Abu Zur’ah dari Abu Hurairah radliyallahu’anhu, ia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada dua kalimat yang disukai Ar Rahman, ringan di lisan dan berat di timbangan, yaitu SUBHANALLAH WABIHAMDIHI dan SUBHAANALLAAHIL’AZHIIM.” Maha Suci Allah disamping aku memujiNya; Maha Suci Allah yang Maha Agong.

– Imam Bukhari membawakan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hanifah, kerana beliau adalah Hafiz hadis dari kalangan sahabat. Mendapat ilmu itu bukanlah kena lama kerana Abu Hanifah bersama dengan Nabi selama tiga tahun sahaja. Tapi dia bersungguh untuk mendalami ilmu hadis dan Nabi perasan dia bersungguh-sungguh itu. Maka baginda telah mendoakan kepada beliau sampaikan beliau tidak lupa langsung apa apa yang dia dengar dari Nabi.

Hadis ini menggunakan nama Allah Ar-Rahman, kerana ianya menunjukkan rahmat Allah. Allah boleh memberikan pahala yang banyak walaupun amalan yang dilakukan adalah sedikit sahaja. Tidak susah untuk menyebut dua kalimat itu. Lagi mudah dari membaca Quran. Memang lagi mulia kalau baca Quran. Tapi dengan Quran susah. Kalau nak amalkan Quran, kena hafal kalau nak dibaca tanpa mushaf. Kalau salah baca Quran tanpa tajwid, salah pula. Tapi dua kalimat ini amat senang sekali.

Amalan ini amat mudah sekali, tidak susah disebut. Kalau salah sikit-sikit pun tidak mengapa kerana ianya bukan ayat Quran. Bila-bila masa boleh dibaca, sambil kerja, sambil bawa kereta kerana senang sangat. Dan boleh dibaca sebanyak mana hendak dibaca. Kerana ianya tidak ada had. Ada zikir yang dibaca dalam bilangan tertentu. Macam 33 kali, 100 kali dan sebagainya. Tidak untuk zikir ini. Ada zikr yang khas untuk waktu tertentu sahaja. Tidak untuk hadis ini.

Tasbih adalah isyarat untuk tutup majlis. Kerana ada hadis yang mengatakan hendaklah dibaca Tasbih kifayah selepas majlis.

Ianya juga adalah isyarat kepada mati. Imam bukhari nak kata bahawa apabila hendak mati, tidak semestinya baca la ilaaha illa Allah sahaja. Nabi pun tidak sebut Kalimah tauhid itu. Kata-kata nabi terakhir adalah lain. Tasbih pun molek juga untuk dibaca sebagai kalimah akhir hayat.

Apabila kita membaca tasbih, iktikad kita adalah bahawa Tuhan Allah taala itu suci dari segala kekurangan. Disamping kita memujiNya. Kita memuji Allah kerana Allah mempunyai segala kelebihan dan kesempurnaan. Kita juga bertasbih untuk mengisbatkan bahawa Tidak ada sekutu bagiNya.

Tasbih yang kedua mempunyai makna mengagongkan Allah. Agong itu bermakna Allah tiada kekurangan dan mempunyai segala sifat kesempurnaan.

Imam Bukhari membawakan hadis yang mengandungi tasbih ini sebagai membiasakan kita dengan ucapan ahli syurga. Dalam Quran disebut bahawa kata ucapan ahli syurga nanti adalah tasbih. Iaitu mengandungi makna Nafi dan Isbat. Menafikan sifat kekurangan pada Allah dan mengisbatkan sifat kemuliaan kepada Allah. Di syurga nanti tidak ada dah ibadat solat, puasa dan lain lain. Hanya tasbih sahaja. Jadi untuk kita masuk syurga, kenalah membiasakan diri dengan tasbih semasa di dunia.

Seperi biasa, disetiap hujung kitabnya, Imam Bukhari akan mengeluarkan hadis yang mengingatkan kita tentang mati. Kita hendaklah bersungguh-sungguh bersedia untuk mati. Ingat kepada mati tidaklah melemahkan kita tapi memberikan kita semangat untuk bersedia menghadapinya. Tasbih itu adalah tanda mati sepertimana yang diisyaratkan dalam Quran. Iaitu apabila surah Al-Fath diturunkan berkenaan kemenangan orang Islam, ianya mengandungi ayat tasbih didalamnya. Banyak sahabat suka dengan surah itu. Kerana ianya menceritakan tentang kemenangan kepada orang Islam. Tapi sahabat yang tahu, mereka berada dalam kesedihan. Kerana mereka tahu bahawa dengan adanya tasbih dalam surah itu, mengisyaratkan bahawa Nabi akan wafat tidak lama lagi.

~TAMAT~

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s