We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tauhid Bab Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Yang Allah Kurniakan al-Qur`an Kepadanya, … March 6, 2013

Filed under: Hadith,Kitab Tauhid — visitor74 @ 2:45 am

بَاب قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ يَقُولُ لَوْ أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ هَذَا فَعَلْتُ كَمَا يَفْعَلُ

Bab Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Yang Allah Kurniakan al-Qur`an Kepadanya, Dia Berdiri Membaca al-Qur`an Pada Malam Dan Siang Dan Seorang Yang Lain Pula Berkata: “Kalaulah Diberikan Kepadaku Seperti Yang Telah Diberikan Kepadanya Pasti Akan Ku Lakukan Seperti Yang Dilakukannya.

– Imam Bukhari hendak menceritakan bahawa perbuatan manusia untuk membaca Quran itu adalah perbuatan makhluk hasil dari ikhtiar dan usaha dia. Dan Allah sendiri yang mengatakan bahawa manusia itu membaca yang Quran itu. Menunjukkan bahawa perbuatan membaca Quran itu adalah perbuatan orang itu.

 

فَبَيَّنَ أَنَّ قِيَامَهُ بِالْكِتَابِ هُوَ فِعْلُهُ وَقَالَ { وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ } وَقَالَ جَلَّ ذِكْرُهُ { وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ }

Allah menerangkan bahawa dia berdiri membaca kitabnya adalah perbuatannya dan Allah berfirman {Di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah menjadikan langit-langit dan bumi dan berbezanya bahasa-bahasa kamu dan warna-warna kulit kamu} dan Allah berfirman {kamu lakukanlah kebajikan, mudah-mudahan kamu berjaya}

– Sekali lagi menceritakan perbuatan makhluk. Allah juga yang menjadikan perbuatan itu dan membenarkan perbuatan itu terjadi. Allah menjadikan segala-galanya sampai bahasa dan warna kulit pun Allah yang jadikan. Memang Allah yang menjadikan segalanya, termasuklah perbuatan kita, tapi ada kaitan dengan kitajuga apa-apa yang kita buat itu. Perbuatan itu ‘dinisbahkan’ kepada kita juga.

Allah sendiri menyuruh kita berbuat baik. Maknanya, memang kita ada kebolehan untuk berbuat kebaikan. Bukanlah kita ini macam kapas, hanya menunggu sahaja apa yang Allah akan lakukan kepada kita. Kita diberi pilihan untuk memilih samada hendak berbuat kebaikan atau berbuat kejahatan. Jikalau kita berbuat baik, maka, kita akan berjaya. Kalau kita berbuat jahat, kita akan masuk neraka.

 

٧٥٢٨ – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسُدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ فَهُوَ يَقُولُ لَوْ أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ هَذَا لَفَعَلْتُ كَمَا يَفْعَلُ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُنْفِقُهُ فِي حَقِّهِ فَيَقُولُ لَوْ أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ عَمِلْتُ فِيهِ مِثْلَ مَا يَعْمَلُ

Qutaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Jarir telah meriwayatkan kepada kami daripada al-A’masy daripada Abi Solih daripada Abi Hurairah, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada dengki mendengki kecuali kerana dua perkara; Yang pertama ialah seorang yang Allah kurniakan kepadanya al-Quran maka dia membaca al-Quran malam dan siang lalu ada orang lain berkata: “Kalaulah aku diberikan sebagaimana yang diberikan kepada orang ini nescaya saya akan lakukan seperti yang dilakukannya.” Dan seorang lagi ialah orang yang Allah berikannya harta lalu dia membelanjakannya pada haknya (pada tempatnya) maka ada orang lain berkata: “Kalaulah diberikan kepada saya seperti yang diberikan kepadanya pasti saya akan lakukan seperti yang dilakukannya.”

– Hasad di dalam Islam tidak boleh. Apa yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah apa yang dinamakan ‘ghibtah‘. Ada beza antara dengki dan ghibtah itu. Dengki itu adalah seseorang itu mahukan apa yang orang lain ada, dan ditarik nikmat itu dari orang itu. Ghibtah tidak begitu. Ghibtah itu adalah seseorang itu mahu jadi macam orang lain yang berbuat kebaikan, dan tidaklah dia hendak orang itu ditarik dengan keistimewaan yang telah diberi.

Contoh pertama adalah orang yang membaca Quran. Siang dan malam. Maknanya sentiasa dia membaca. Samada dia baca guna mushaf, atau pun dia hafal. Kalau dia hafal, lagilah senang untuk dia membaca Quran. Boleh baca di mana-mana sahaja. Sambil kerja atau bawa kereta pun boleh baca. Lagi baik adalah seorang itu mengamalkan apa yang dibacanya dalam Quran itu. Itu bermakna Quran telah meresapi dirinya. Tindak tanduknya adalah apa yang diajar didalam Quran. Itu paling baik.

Contoh kedua adalah seorang yang Allah telah beri rezeki kepada dia dan dia menggunakan rezeki yang Allah telah berikan kepadanya itu untuk berbuat kebaikan. Oleh itu, tidak salah untuk kita mencari kekayaan, supaya kita boleh tolong orang lain. Macam-macam kita boleh buat kalau kita ada harta. Kalau kita tidak ada harta untuk diberi, kita boleh tolong orang lain juga. Contohnya, kalau kita bawa teksi, kita boleh beri diskaun kepada orang yang kita hendak tolong. Itupun sudah dikira memberi juga.

Ghibtah adalah apabila kita lihat orang-orang yang melakukan kebaikan itu dan kita pun hendak buat macam itu juga. Yang Imam Bukhari nak bawa dalam hadis ini adalah bagaimana Allah mengatakan bahawa baca Quran dan beri bantuan kepada orang lain itu adalah bersangkut dengan perbuatan manusia. Walaupun rezeki yang kita ada itu adalah pemberian Allah jua, tapi Allah mengatakan bahawa kita yang memberi.

 

٧٥٢٩ – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ الزُّهْرِيُّ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ سَمِعْتُ سُفْيَانَ مِرَارًا لَمْ أَسْمَعْهُ يَذْكُرُ الْخَبَرَ وَهُوَ مِنْ صَحِيحِ حَدِيثِهِ

‘Ali bin ‘Abdillah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Zuhri berkata daripada Salim daripada ayahnya daripada Nabi s.a.w., beliau berkata: “Tiada hasad dengki melainkan pada dua perkara; pertama, seorang yang diberikan kepadanya al-Qur`an maka dia membaca al-Quran itu malam dan siang dan yang kedua, orang yang Allah berikan kepadanya harta lalu dibelanjakannya malam dan siang”. ‘Ali bin ‘Abdillah berkata: Saya telah mendengar hadits ini daripada Sufyan beberapa kali tetapi tidak pula saya mendengar dia menyebutkan hadits ini dengan lafaz khabar (tahdis) padahal ia termasuk dalam haditsnya yang sahihnya.

 

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَاتِهِ }

Bab Firman Allah taala {Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah Apa Yang Telah Diturunkan Kepadamu Dari Tuhanmu; Dan Jika Engkau Tidak Melakukannya (Dengan Menyampaikan Semuanya), Maka Bermakna Tiadalah Engkau Menyampaikan Perutusan-Nya}

وَقَالَ الزُّهْرِيُّ مِنْ اللَّهِ الرِّسَالَةُ وَعَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَلَاغُ وَعَلَيْنَا التَّسْلِيمُ وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى { لِيَعْلَمَ أَنْ قَدْ أَبْلَغُوا رِسَالَاتِ رَبِّهِمْ } وَقَالَ تَعَالَى { أُبْلِغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي }

Zuhri berkata: Daripada Allah datangnya risalah itu dan menjadi tanggungjawab Rasululullah menyampaikannya dan kita wajib menerimanya. Dan firman Allah Ta`ala: {Supaya terbukti pengetahuan Allah bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna)} dan firman Allah Ta`ala: { (Nabi berkata:) Aku sampaikan kepadamu perutusan-perutusan Tuhanku }

– Allah menyuruh rasul-rasulNya menyampaikan ajaran Islam kepada umat. Menunjukkan bahawa itu adalah perbuatan manusia iaitu Nabi Muhammad. Bukanlah Allah yang menyampaikan terus kepada manusia tapi melalui para rasul. Melibatkan perbuatan manusia. Menunjukkan adanya perbuatan manusia itu. Bukan hanya perbuatan Allah sahaja.

Tugas Nabi adalah menyampaikan dan tugas kita sebagai umat adalah menerimanya dan mengamalnya.

 

وَقَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ حِينَ تَخَلَّفَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ } وَقَالَتْ عَائِشَةُ إِذَا أَعْجَبَكَ حُسْنُ عَمَلِ امْرِئٍ فَقُلْ { اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ } وَلَا يَسْتَخِفَّنَّكَ أَحَدٌ

Ka’ab bin Malik berkata ketika dia ketinggalan di belakang Nabi s.a.w. kerana tidak pergi berperang. {Allah akan melihat amal kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin} ‘A`isyah berkata: “Kalau amalan seseorang mengkagumkan engkau maka hendaklah engkau berkata {Beramallah! Nanti Allah akan melihat amal kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin} dan Janganlah engkau sekali-kali terpedaya dengan amalan seseorang.”

– Allah melihat amalan seseorang itu. Bermakna, ada nilainya amal seseorang itu. Memang kena buat amal. Ini menunjukkan bahawa Allah mengiktiraf bahawa perbuatan manusia itu adalah perbuatan manusia itu. Sebab itu diambil kira. Kalau Allah yang buat sendiri, buat apa Dia nak ambil kira?

Aisyah mengingatkan kita bahawa kita jangan terpedaya dengan amalan seseorang. Belum tentu lagi dia akan terus melakukan amalan baik itu sehingga ke akhir hayatnya. Termasuklah kita juga. Tidak tentu kita akan dapat mengamalkan perbuatan amal ibadat yang baik itu sehingga ke akhir hayat kita. Maka, kita kenalah beringat. Supaya kita terus istiqamah membuat amalan baik.

 

وَقَالَ مَعْمَرٌ{ ذَلِكَ الْكِتَابُ } هَذَا الْقُرْآنُ { هُدًى لِلْمُتَّقِينَ } بَيَانٌ وَدِلَالَةٌ كَقَوْلِهِ تَعَالَى { ذَلِكُمْ حُكْمُ اللَّهِ } هَذَا حُكْمُ اللَّهِ {لَا رَيْبَ} لَا شَكَّ { تِلْكَ آيَاتُ } يَعْنِي هَذِهِ أَعْلَامُ الْقُرْآنِ وَمِثْلُهُ { حَتَّى إِذَا كُنْتُمْ فِي الْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِمْ } يَعْنِي بِكُمْ

Ma’mar berkata { Kitab itu } (maksudnya) Quran ini. { Petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa } (maksudnya) keterangan dan petunjuk. Seperti firman Allah Ta`ala { Itu adalah hukum Allah } (maksudnya) ini adalah hukum Allah. { Tiada kesamaran } (maksudnya) tiada sebarang keraguan. { Itu adalah ayat-ayat } iaitu ini adalah tanda-tanda al-Quran yang besar. Sama seperti itu { Sehingga apabila kamu berada dalam bahtera dan membawa mereka } iaitu membawa kamu.

Dari segi bahasa, ذَلِكَ bermakna ‘itu’. Tapi dari segi balaghah, ianya membawa maksud ‘ini’. Ini adalah kerana asalnya Quran itu jauh dari kita. Tapi dengan rahmat Allah, Quran itu didekatkan kepada kita. Nak faham Quran, bukan sahaja kena tahu bahasa, tapi kena tahu balaghah. Kerana Quran menggunakan bahasa yang halus dan perlukan pemahaman. Bahasa Arab pun memang ada caranya yang tersendiri.

 

وَقَالَ أَنَسٌ بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَالَهُ حَرَامًا إِلَى قَوْمِهِ وَقَالَ أَتُؤْمِنُونِي أُبَلِّغُ رِسَالَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يُحَدِّثُهُمْ

Anas berkata: “Nabi s.a.w. pernah mengutuskan bapa saudaranya iaitu Haram bin Milhan kepada kaumnya. Beliau berkata: “Adakah kamu percaya kepadaku? Aku mahu menyampaikan perutusuan Rasulullah s.a.w. kepada kamu.” Maka dia mula bercerita kepada mereka.”

 

٧٥٣٠ – حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ يَعْقُوبَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جَعْفَرٍ الرَّقِّيُّ حَدَّثَنَا الْمُعْتَمِرُ بْنُ سُلَيْمَانَ حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ الثَّقَفِيُّ حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْمُزَنِيُّ وَزِيَادُ بْنُ جُبَيْرِ بْنِ حَيَّةَ عَنْ جُبَيْرِ بْنِ حَيَّةَ قَالَ الْمُغِيرَةُ أَخْبَرَنَا نَبِيُّنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رِسَالَةِ رَبِّنَا أَنَّهُ مَنْ قُتِلَ مِنَّا صَارَ إِلَى الْجَنَّةِ

Al-Fadhl bin Ya’qub telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abdullah bin Ja’far al-Raqqiy telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-mu’tamir bin Sulaiman telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sa`id bin ‘Ubaidillah al-Tsaqafiy telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Bakr bin Abdullah al-Muzaniy dan Ziyad bin Jubair bin Hayyah telah meriwayatkan kepada kami daripada Jubair bin Hayyah. Mughirah berkata: Nabi kita Muhammad s.a.w. telah menceritakan kepada kami tentang perutusan Tuhan kita bahawa sesiapa yang terbunuh dari kalangan kita maka dia akan masuk syurga.

– Ini menunjukkan sahabat-sahabat menyampakan dari kata-kata Nabi. Maknanya, mereka juga berusaha. Dan ada dari kalangan yang menyampaikan dakwah Nabi dan Islam itu ada yang telah dibunuh. Mulia tugas yang mereka jalankan sampaikan kalau mereka terbunuh semasa menyampaikan perutusan itu, mereka akan masuk syurga. Yang terbunuh dalam hadis ini adalah bapa saudara kepada Anas bin Malik.

 

٧٥٣١– حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يُوسُفَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ إِسْمَاعِيلَ عَنْ الشَّعْبِيِّ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَمَ شَيْئًا وَقَالَ مُحَمَّدٌ حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ الْعَقَدِيُّ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ عَنْ الشَّعْبِيِّ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَمَ شَيْئًا مِنْ الْوَحْيِ فَلَا تُصَدِّقْهُ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ
{ يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ }

Muhammad bin Yusuf telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami daripada Ismail daripada al-Sya’bi daripada Masruq daripada ‘A`isyah beliau berkata: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Muhammad s.a.w. ada menyembunyikan sesuatu dari wahyu” Muhammad berkata: Abu ‘Amir al-‘Aqadi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami daripada Ismail bin Abi Khalid daripada al-Sya’bi daripada Masruq daripada ‘Aisyah katanya: “Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. ada menyembunyikan sesuatu dari wahyu maka janganlah engkau membenarkannya. Sesungguhnya Allah telah berfirman {Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya}

– Jangan ada yang kata bahawa Nabi ada simpan apa-apa ilmu. Ini tidak, sampai ada yang kata Nabi taqiyah, iaitu menipu dalam perbuatannya. Macam Nabi takut nak bagitahu yang sebenar, sampai mereka mengatakan Nabi buat yang sebaliknya. Nauzubillahi min zaalik. Mereka kalau kata macam itu, mereka sebenarnya mentohmah Nabi kerana takut nak sampaikan kerana takut kepada orang. Contohnya, mereka kata Nabi takut nak sampaikan kerana takut kepada Umar.

Dan jangan percaya kepada manusia yang kata mereka nak tambah ajaran agama. Semua ilmu agama Nabi dah sampaikan. Tidak ada wali yang boleh nak tambah agama. Apabila mereka menambah, mereka seperti mengatakan bahawa Nabi dulu tak sampaikan. Ini adalah satu dosa yang besar. Lagi pun sudah ada ayat Quran yang mengatakan bahawa ajaran Islam dah sempurna.

Yang Imam Bukhari nak sampaikan adalah Allah telah menugaskan Nabi untuk menyampaikan agamaNya. Maknanya, kena ada usaha dari Nabi. Kena ada ikhtiar dari Nabi. Bukan hanya serah kepada Allah sahaja.

 

٧٥٣٢– حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ شُرَحْبِيلَ قَالَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الذَّنْبِ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَدْعُوَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ قَالَ ثُمَّ أَيْ قَالَ ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ مَخَافَةَ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ قَالَ ثُمَّ أَيْ قَالَ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَصْدِيقَهَا { وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ } الْآيَةَ

Qutaibah bin Sa`id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Jarir telah meriwayatkan kepada kami daripada al-A’masy daripada Abi Wa`il daripada Amar bin Syurahbil, katanya: Abdullah berkata: Seorang lelaki bertanya: “Wahai! Rasulullah! Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah?” Nabi s.a.w. menjawab: “Engkau menyeru sekutu bagi Allah padahal Dialah yang menjadikanmu. Orang itu bertanya lagi: “Kemudian apa?” Nabi s.a.w. menjawab: “Engkau membunuh anak engkau kerana takut dia akan makan bersamamu. Orang itu bertanya lagi: “Kemudian apa?” Nabi s.a.w. menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu.” Maka Allah menurunkan ayat ini sebagai membenarkan kata-kata Nabi s.a.w. {Dan orang-orang yang tidak menyembah di samping Allah Tuhan yang lain dan mereka tidak membunuh orang yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan kebenaran dan tidak berzina. Orang yang melakukan yang tersebut itu akan mendapat dosa dan akan digandakan azab baginya.}

– Yang pertama sekali dilarang adalah menyekutukan Allah. Dosa syirik tidak akan diampunkan Allah.

Kadang-kadang ada yang Nabi sampaikan bukan dalam bentuk Quran. Kemudian, kata-kata Nabi itu telah dibenarkan dalam Quran. Dan bukan itu sahaja. Nabi menyampaikan lebih lagi dari apa yang dikatakan Quran. Kerana Nabi memeberikan mafhum dari ayat Quran itu. Contohnya, membunuh itu salah besar dah. Tapi kalau membunuh anak, lagi besar dosanya. Membunuh anak itu sudah besar dah dosanya, tapi membunuh anak itu kerana takut mereka makan dari rezeki yang Allah berikan, lagi besar. Begitu juga dengan berzina. Berzina itu sudah dosa yang besar dah. Tapi kalau berzina dengan isteri jiran, lagilah besar. Kerana jiran mengharapkan kita untuk menjaga keluarganya, tapi kita pula ambil kesempatan. Ini adalah pemahaman yang lebih lagi. Lagi satu contoh adalah berkenaan kita tidak boleh berkata ‘umphh’ kepada ibu bapa kita. Bagaimana kalau kita tendang ibu kita? Itu tidak disebut, tapi kalau kalau umphh sahaja dah salah, maka kalau sepak terajang lagi salah.

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s