We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Tauhid Bab Firman Allah Taala {Setiap Ketika Dia (Allah Berada) Dalam Urusan-Nya} March 3, 2013

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ } وَ { مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ ذِكْرٍ مِنْ رَبِّهِمْ مُحْدَثٍ }

Bab Firman Allah Taala {Setiap Ketika Dia (Allah Berada) Dalam Urusan-Nya} Dan {Tidaklah Datang Kepada Mereka Apa-Apa Peringatan Daripada Tuhan Mereka Yang Baru}

– Allah sentiasa dalam proses mengurus alam ini. Allah sentiasa menghidupkan, mematikan, memberi rezeki dan sebagainya. Apa-apa yang terjadi adalah melibatkan Allah.

وَقَوْلِهِ تَعَالَى { لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا } وَأَنَّ حَدَثَهُ لَا يُشْبِهُ حَدَثَ الْمَخْلُوقِينَ لِقَوْلِهِ تَعَالَى { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ } وَقَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يُحْدِثُ مِنْ أَمْرِهِ مَا يَشَاءُ وَإِنَّ مِمَّا أَحْدَثَ أَنْ لَا تَكَلَّمُوا فِي الصَّلَاةِ

Dan Firman Allah Taala: {Barangkali Allah akan mengadakan sesuatu perintah baru} dan perbuatan Allah tidak menyerupai perbuatan makhluk kerana firman-Nya: {Tidak ada suatu apa pun yang seumpama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat}. Ibnu Mas`ud berkata, daripada Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Allah mengadakan sesuatu daripada perintah-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Di antara perkara yang baru diadakan ialah supaya kamu tidak bercakap dalam sembahyang.”

– {Barangkali Allah akan mengadakan sesuatu perintah baru} ayat ini adalah berkenaan dengan orang yang bercerai. Mungkin Allah akan memberikan sesuatu yang baru padanya. Begitulah keadaan manusia. Kadang-kadang bercinta, nanti mungkin akan bercerai. Atau mungkin jatuh cinta dan berbaik semula. Semua itu adalah dalam perbuatan Allah. Allah yang menentukannya. Allah sentiasa dalam proses melakukan sesuatu. Itulah sebabnya dikatakan bahawa sifat af’al Allah adalah ‘haaditshah‘. Iaitu bersifat ‘baru’. Bukanlah bermakna sifat Allah itu makhluk. Dia baru buat sahaja apabila Dia nak buat. Apabila hendak dibuat oleh Allah, barulah dinyatakan dialam ini. Dan memang baru nyata. Contohnya, baru sekarang Allah memberi rezeki kepada seseorang. Takkan Allah nak beri rezeki kepada manusia dari dulu lagi sedangkan manusia belum dilahirkan lagi. Ataupun baru sekarang Allah mentakdirkan satu pasangan itu bercerai. Takkan Allah nak ceraikan mereka dari dulu lagi, sedangkan mereka pun belum lahir lagi?

Kepada mereka yang tak mahu terima itu sebagai perbuatan yang baru, adalah kerana mereka tidak mahu mengatakan bahawa perbuatan Allah itu makhluk. Kerana pada mereka, semua yang baharu itu adalah makhluk. Tapi ini tidak sama. Makna ‘makhluk’ dan ‘haaditshah’ tidak sama. Perbuatan manusia dan perbuatan Allah tidak sama. Perbuatan manusia itu memang baru benar. Dan perbuatan manusia itu Allah juga yang buat. Makan, minum, jatuh dan bangun kita itu, Allah jua yang buat. Tapi perbuatan Allah, tidak ada sesiapa yang buat. Allah buat sendiri. Dan perlulah kita ingat bahawa Allah berfirman: {Tidak ada suatu apa pun yang seumpama-Nya}. Maknanya perbuatan Allah tidak sama dengan manusia. Ini adalah benteng antara manusia dan makhluk. Kenalah kita ingat bila-bila pun bahawa perbuatan manusia takkan sama dengan perbuatan Allah. Macam sifat Allah yang lain juga seperti melihat dan mendengar, memang ada sifat-sifat itu tapi tentulah tidak sama melihat dan mendengar Allah itu dengan makhluk. Amat lain sekali.

– Dan Allah ada mengubah hukum asal yang telah diberikanNya. Ini adalah salah satu tanda bahawa Allah sentiasa mengurus.
Pada awal Islam, umat dibenarkan untuk bercakap semasa dalam solat. Jadi seperti itu pun adalah dengan kemahuan Allah jua. Jadi sahabat ada yang bertanya khabar semasa dalam solat. Tidaklah banyak percakapan mereka tapi dibenarkan. Selepas itu tidak dibenarkan lagi. Apabila ada ayat turun menyuruh umat tidak lagi bercakap dalam solat.

Tapi sifat Dzat Allah tidak boleh dikatakan sebagai ‘makhluk’ mahupun ‘baharu’. Contohnya ilmu Allah. Itu adalah sifat yang Qadim. Sebelum terjadi apa-apa pun, Allah sudah tahu. Begitu juga dengan sifat Melihat Allah. Sifat itu sudah ada walaupun sebelum ada perkara untuk dilihat. Tapi yang khilaf ulama adalah sifat af’al (perbuatan) Allah. Walaupun dikalangan ahli Sunnah pun khilaf kerana mereka berpendapat yang ‘baharu’ itu adalah ‘makhluk’ juga. Cuma Imam Bukhari tidak berpendapat begitu. Padanya, perbuatan yang baharu itu bukan ‘makhluk’.

٧٥٢٢ – حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا حَاتِمُ بْنُ وَرْدَانَ حَدَّثَنَا أَيُّوبُ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الْكِتَابِ عَنْ كُتُبِهِمْ وَعِنْدَكُمْ كِتَابُ اللَّهِ أَقْرَبُ الْكُتُبِ عَهْدًا بِاللَّهِ تَقْرَءُونَهُ مَحْضًا لَمْ يُشَبْ

Ali bin Abdullah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hatim bin Wirdan telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ayyub telah meriwayatkan kepada kami daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Bagaimana kamu akan bertanya ahli kitab tentang kitab-kitab mereka sedangkan sudah ada pada kamu kitab Allah yang paling hampir dari segi waktunya datang daripada Allah di mana kamu dapat membacanya dalam keadaan tulen tidak bercampur baur.”

– Apa yang Imam Bukhari nak bawa dalam hadis ini adalah bahawa ‘penurunan’ Quran itu adalah baharu. Penurunan yang baru, bukan Quran. Ianya diturunkan kepada Nabi Muhammad bermula daripada waktu baginda menjadi rasul. Tapi bukanlah waktu itu baru ada Kalam Allah itu. Ianya adalah kalam Allah yang paling baru dibandingkan dengan kitab-kitab sebelum itu. Kitab-kitab yang dulu sebelum Quran pun kalam Allah jua.

Ibn Abbas nak kata kepada mereka kenapa nak tanya kepada ahli kitab lagi padahal apa yang ada pada orang Islam adalah benda yang lagi baru dari apa yang ahli kitab itu ada. Benda yang baharu itu tentunya lebih bagus. Kalau kita pun selalunya hendakkan benda yang baru. Baju baru, kereta baru dan sebagainya. Dan apabila paling baru, maknanya ia tidak dicampur aduk.

٧٥٢٣ – حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَخْبَرَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ قَالَ : يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الْكِتَابِ عَنْ شَيْءٍ وَكِتَابُكُمْ الَّذِي أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْدَثُ الْأَخْبَارِ بِاللَّهِ مَحْضًا لَمْ يُشَبْ وَقَدْ حَدَّثَكُمْ اللَّهُ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ بَدَّلُوا مِنْ كُتُبِ اللَّهِ وَغَيَّرُوا فَكَتَبُوا بِأَيْدِيهِمْ الْكُتُبَ قَالُوا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِذَلِكَ ثَمَنًا قَلِيلًا أَوَلَا يَنْهَاكُمْ مَا جَاءَكُمْ مِنْ الْعِلْمِ عَنْ مَسْأَلَتِهِمْ فَلَا وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا رَجُلًا مِنْهُمْ يَسْأَلُكُمْ عَنْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَيْكُمْ

Abu al-Yaman telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’aib telah menceritakan kepada kami daripada Zuhri, katanya: Ubaidullah bin Abdillah telah menceritakan kepada saya bahawa Abdullah bin Abbas berkata: “Wahai orang-orang Islam! Bagaimana kamu akan bertanya ahli kitab tentang sesuatu padahal kitab kamu yang Allah turunkan kepada Nabi kamu merupakan cerita yang terbaru daripada Allah dalam keadaan tulen tidak bercampur baur dan sesungguhnya Allah telah menceritakan kepada kamu bahawa ahli kitab telah menukar gantikan kitab Allah dan mengubahnya. Mereka menulis kitab-kitab itu dengan tangan-tangan mereka dan mereka kata ini daripada Allah untuk mendapat imbuhan yang sedikit dengannya. Tidakkah ilmu yang telah sampai kepada kamu menghalang kamu daripada bertanya mereka. Tidak! Demi Allah! Aku tidak pernah melihat seorang pun dari kalangan mereka bertanya kepada kamu tentang apa yang diturunkan kepadamu.”

– Hadis yang hampir sama. Ada kalangan orang Islam masa itu merujuk lagi kepada kitab-kitab lama. Sampai sekarang pun kita pun masih buat lagi apa yang dirisaukan oleh Ibn Abbas pada masa itu. Iaitu sekarang kita masih lagi pakai cerita-cerita Israiliyat yang mengarut yang disampaikan daripada ahli kitab itu. Padahal itu adalah ubahsuai yang telah dilakukan mereka. Cerita Israiliyat itu tidak membawa faedah kepada kita. Lagi menyebabkan kekeliruan kepada manusia. Macam kisah iblis yang dikatakan telah menyerupai ular dan dapat masuk dalam syurga. Itu tidak benar. Dan kisah mengatakan bahawa Hawalah dulu yang kena tipu oleh iblis dan kemudian menyebabkan Adam juga makan pokok larangan itu. Padahal, yang sebenarnya Adam yang makan dahulu. Hawa hanya mengikut sahaja. Ini jelas diceritakan dalam Quran. Maka banyaklah kisah-kisah dongeng Israiliyat termasuk dalam bacaan kita. Kita jadi salah faham. Kenalah kita mengambil dari sumber yang benar.

Islam memang menggalakkan umatnya supaya membuka minda dan mencari ilmu. Itulah sebabnya ada kita rujuk kepada sumber-sumber yang lain. Tapi kalau terbuka sangat sampai menerima maklumat yang salah, itu tidak molek. Kalau nak baca pun, kenalah dengan ilmu yang mantap supaya boleh membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

 

بَاب قَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى{ لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ } وَفِعْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ يُنْزَلُ عَلَيْهِ الْوَحْيُ

Bab Firman Allah Taala {Jangan Engkau Gerakkan Lidahmu Dan Perbuatan Nabi s.a.w. Ketika Diturunkan Wahyu Kepadanya}

– Ibn Battal (seorang pensyarah Sahih Bukhari yang awal) mengatakan bahawa maksud Imam Bukhari bawa tajuk ini adalah untuk mengatakan bahawa kerana kalam Allah itu istimewa, maka baca Quran dengan menggerakkan bibir adalah lagi baik. Baca dengan kuat adalah baik. Tambah pula kalau sewaktu baca Quran itu dengan cara berlagu.

Dalam ayat yang penuh, Allah menyuruh Nabi tunggu sehingga ‘Kami’ habis membaca ayat Quran itu. فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ‘Kami’. Tapi, dalam realiti, Jibraillah yang membacakan ayat Quran itu. Ini dinamakan ‘Isnad majazi’. Maknanya Allah mewakilkan kepada Jibrail. Ini dapat menjelaskan banyak perkara. Kerana ada ayat yang Allah sebut sebagai diriNya tapi bukan Dia sendiri yang buat. Allah akan wakilkan. Ianya cuma di’nisbah’kan sahaja kepada malaikat dan manusia. Ini boleh menjelaskan ada hadis-hadis seperti yang mengatakan ‘Allah turun ke langit dunia’ dan sebagainya. Maknanya, bukanlah Allah turun sendiri.

Orang yang membaca Quran itu bukan Qadim. Itu adalah perbuatan qari (pembaca). Yang dibaca itu, adalah Quran, yang Qadim. Bacaan kita itulah yang baharu. Yang dibaca itu kalam Allah. Kalam Allah tidak baharu.

Kalau Quran dikatakan makhluk, tiadalah istimewa Quran itu.
Bukhari tak kata Quran itu makhluk. Tapi mushaf Quran yang ada dalam dunia sekarang dan bacaan kita adalah baharu.

وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا مَعَ عَبْدِي حَيْثُمَا ذَكَرَنِي وَتَحَرَّكَتْ بِي شَفَتَاهُ

Abu Hurairah berkata, diambilnya daripada Nabi s.a.w. bahawa Allah Taala berfirman: “Aku bersama hamba-Ku selagi dia mengingati-Ku dan dua bibirnya bergerak menyebut-Ku”

– Hadis Qudsi ini menunjukkan bahawa perbuatan zikir makhluk itu adalah baharu. Tapi apa yang dizikirkan itu Qadim. Iaitu nama-nama Allah. Itu sama dengan Quran. Bukhari nak perbetulkan pendapat orang-orang yang di zamannya yang sampai terlajak mengatakan bahawa mushaf Quran, dan apa yang dibaca oleh manusia itu pun Qadim juga.

٧٥٢٤ – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ مُوسَى بْنِ أَبِي عَائِشَةَ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى { لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ } قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَالِجُ مِنْ التَّنْزِيلِ شِدَّةً وَكَانَ يُحَرِّكُ شَفَتَيْهِ فَقَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ فَأَنَا أُحَرِّكُهُمَا لَكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَرِّكُهُمَا فَقَالَ سَعِيدٌ أَنَا أُحَرِّكُهُمَا كَمَا كَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يُحَرِّكُهُمَا فَحَرَّكَ شَفَتَيْهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ } قَالَ جَمْعُهُ فِي صَدْرِكَ ثُمَّ تَقْرَؤُهُ { فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ } قَالَ فَاسْتَمِعْ لَهُ وَأَنْصِتْ ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا أَنْ تَقْرَأَهُ قَالَ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام اسْتَمَعَ فَإِذَا انْطَلَقَ جِبْرِيلُ قَرَأَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا أَقْرَأَهُ

Qutaibah bin Sa’id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu ‘Awanah telah meriwayatkan kepada kami daripada Musa bin Abi Aisyah daripada Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas berhubung dengan firman Allah Taala: { لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ }Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. mengalami kesukaran apabila menerima al-Quran. Baginda menggerak-gerakkan kedua-dua bibirnya. Ibnu Abbas berkata kepadaku: “Aku akan menggerak-gerakkan kedua bibirku untukmu seperti mana Rasulullah s.a.w. menggerakkan bibirnya.” Said berkata: “Aku akan menggerak-gerakkan kedua bibirku seperti mana Ibnu Abbas dahulu menggerakkannya.” Maka dia menggerakkan kedua bibirnya. Maka Allah s.w.t. menurunkan: {Jangan engkau gerakkan lidahmu untuk bersegera mendapatkannya, sesungguhnya Kami menjamin untuk mengumpulkannya dan untuk membacanya} Ibnu Abbas berkata: “Untuk mengumpulkannya di dalam dada, kemudian untuk engkau dapat membacanya. Bila kamu membacanya selepas itu barulah kamu ikut bacaannya”. {oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu} Ibnu Abbas berkata: “Engkau dengarlah bacaan itu dan engkau diam. Kemudian kami jamin engkau akan dapat membacanya.” Ibnu Abbas berkata: “Rasululullah s.a.w. apabila Jibril datang dia mendengar dan apabila Jibril pergi barulah dia membacanya seperti yang dibacakan oleh Jibril kepadanya.”

– Perbuatan gerakkan bibir Nabi adalah perbuatan dia. Maka itu adalah perbuatan makhluk. Hakikat Quran itulah yang Qadim. Bukan bacaan Nabi atau bacaan kita. Macam hakikat badan kita adalah roh kita. Untuk faham hakikat Quran, lihat hubungan roh dengan badan. Diri kita yang sebenarnya adalah roh kita. Tapi tidak nampak zahir roh itu. Tapi badan perlu juga. Kalau badan tiada, macam mana nak kenal orang? Macam mana nak tunjuk seseorang itu? Sama juga, kalau tiada mushaf, macam mana nak baca Quran?

– Nabi Muhammad, seperti juga manusia biasa yang baru belajar, tergesa-gesa untuk mengikuti bacaan Quran dari Jibrail. Sebab dia takut terlupa. Kalau pelajar yang baru belajar pun macam tu juga. Mereka akan membaca bersama dengan guru. Tak tunggu guru habis baca baru mereka ikut. Sebab mereka takut kalau mereka tunggu selepas guru dah habis baca, mereka tak dapat nak ingat lepas itu. Maka, Nabi pun macam tu juga. Ini menunjukkan bahawa Nabi pun manusia juga. Bezanya dengan kita adalah Allah telah memilihnya untuk menerima wahyu. Allah yang beri kepada Nabi. Itu kelebihan dia. Macam beza kira dengan orang yang Allah pilih dengan ilmu sains kah dan sebagainya. Itu adalah kelebihan seseorang itu.

Hadis ini juga menunjukkan dalam belajar itu ada peringkat yang mula-mula.

Allahu a’lam. Sekian untuk kali ini.

Advertisements
 

One Response to “Sahih Bukhari Kitab Tauhid Bab Firman Allah Taala {Setiap Ketika Dia (Allah Berada) Dalam Urusan-Nya}”

  1. […] Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran; Dalam surah lain, ada disebutkan bagaimana Nabi akan kumat-kamit untuk ikut bacaan Jibrail. Waktu itu Jibrail sedang membacakan wahyu Quran kepada baginda. Tapi dalam masa yang sama, Nabi akan ikut membaca bersama. Kerana Nabi takut kalau baginda akan terlupa. Kerana dia tahu bahawa apa yang baginda kena bawa itu adalah perkara yang berat dan dia tidak mahu tersalah atau terlupa. Sila juga baca di sini. […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s