We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Wudhu Bab Membasuh Darah December 28, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Wudhu' — visitor74 @ 2:40 pm
Tags:

بَاب غَسْلِ الدَّمِ

Bab Membasuh Darah

– Ada kesinambungan dari tajuk sebelum ini. Sebelum ini menceritakan tentang membasuh air kencing. Kali ini Imam Bukhari membawa tajuk membasuh darah pula, iaitu satu lagi najis.

Imam Bukhari kalau mengatakan tentang najis dan membasuhnya akan menggunakan perkataan غَسْلِ. Sebelum ini dalam tajuk dia yang lain pun kalau bab membersihkan najis, dia akan menggunakan perkataan غَسْلِ. Maknanya, bahan yang dibincangkan itu adalah najis.

Imam Bukhari dalam memperkatakan darah, bukanlah dia maksudkan semua jenis darah. Dalam tajuknya dia menggunakan perkataan الدَّمِ yang ada alif lam. Itu bermakna darah yang telah dikenalpasti. Bukan semua jenis darah yang keluar akan membatalkan wudu pada pendapat Imam Bukhari. Sebelum ini kita telah belajar bagaimana hanya bahan yang keluar dari qubul dan dubur sahaja yang akan membatalkan wudu. Itupun dengan cara normal dan cara sihat. Contohnya darah haid dan wiladah. Jadi kalau darah keluar dari tempat lain contohnya seseorang itu ditikam, seperti hadis yang telah pernah diberikan sebelum ini, seorang sahabat yang telah ditikam tidak memberhentikan solatnya. Dan Nabi pun tidak menegur perbuatan itu kemudiannya.

Maka pendapat ini adalah memudahkan umat Islam sebenarnya. Contohnya seorang doktor, kalau ada darah dibadannya atau di bajunya, dia boleh terus solat. Tidak perlu tunggu nak kena basuh dahulu. Lagipun kerja dia sendiri dah sibuk dah. Atau seseorang yang ada penyakit yang mengeluarkan tahi dari perutnya, bukan dari duburnya, pun tidak menyusahkan dia untuk solat. Atau seseorang yang selalu keluar darah dari hidungnya pun tidak mengalami masalah. Dalam perkara fekah ini, Imam Bukhari sependapat dengan Imam Malik.

Imam Syafie berpendapat bahawa darah adalah najis. Maka kalau baju ada darah, tidak boleh dibawa solat walaupun sedikit. Beliau berpegang dengan menggunakan ayat 6:145

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat diatas, ada mengandungi perkataan دَمًا مَّسْفُوحًا yang bermaksud darah yang mengalir yang diharamkan oleh Allah. Dan sambungan ayat itu menyatakan bahawa semua perkara itu termasuk darah adalah رِجْسٌ yang bermaksud kotor. Maka itulah sebabnya Imam Syafie berpendapat bahawa darah itu adalah najis.

Tapi Imam Bukhari memahami ayat diatas sebagai menyatakan hal makanan sahaja. Minum darah tidak boleh. Maknanya kotor, bukan najis. Tidak membatalkan wudu. Macam kalau pegang bangkai, wudu tak batal, walaupun bangkai itu memang kotor. Dadah itu haram, tapi tidaklah batal wudu kalau pegang atau bawa dalam solat. Sama juga dengan berhala, kalau kita gosok berhala itu, tidaklah akan membatalkan wudu kita.

220 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ هِشَامٍ قَالَ حَدَّثَتْنِي فَاطِمَةُ عَنْ أَسْمَاءَ قَالَتْ جَاءَتْ امْرَأَةٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ كَيْفَ تَصْنَعُ قَالَ تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ وَتَنْضَحُهُ وَتُصَلِّي فِيهِ

220. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, telah menceritakan kepada kami Yahya dari Hisyam berkata, telah menceritakan kepadaku Fatimah dari Asma’ berkata, “Seorang wanita datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya “Apa katamu jika salah seorang dari kami darah haidnya terkena kainnya. Apa yang harus dilakukannya?” Beliau menjawab: “Dia perlu menyental bahagian kain yang terkena darah itu, kemudian menggosoknya dengan air. Dan membasuhnya. Setelah melakukan semua itu barulah dia boleh shalat dengan pakaian tersebut.”

– Basuh darah itu adalah darah haid. Kena berusaha untuk basuh darah tu. Maksudnya menunjukkan bahawa darah haid adalah najis. Hanya selepas buat macam yang Nabi ajar tu barulah boleh dipakai bawa solat. Nak solat kena suci tubuh dan kain. Kalau tak, tak guna solat kerana tidak diterima solat itu.

221 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ هُوَ ابْنُ سَلَامٍ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلَا أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلَاةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضٍ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلَاةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي قَالَ وَقَالَ أَبِي ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ حَتَّى يَجِيءَ ذَلِكَ الْوَقْتُ

221. Telah menceritakan kepada kami Muhammad -yakni Ibnu Salam- berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari ‘Aisyah berkata, “Fatimah binti Abu Hubaiys datang menemui Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, aku adalah seorang wanita yang darahnya terus menerus keluar selepas berlalu masa haidh. Saya tidak suci suci. Apakah aku perlu meninggalkan shalat?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu menjawab: “Tidak boleh, sebab itu adalah hanya satu gangguan pada salah satu urat dan bukan darah haid. Oleh itu, bila datang haidmu maka tinggalkan salat, dan jika ia pergi maka basuhlah darah darimu lalu bersembahyanglah.” Hisyam berkata, “Bapakku (Urwah) menyebutkan, “Kemudian berwudulah untuk setiap sembahyang sehingga datang pula waktu haid berikutnya.”

– Yang dialami oleh Fatimah binti Abu Hubaiys adalah darah istihazah atau darah penyakit. Kalau keluar darah penyakit itu, Nabi suruh basuh dan boleh solat dah. Baginda tidak suruh wudhu pun. Maknanya, tak batal wudhu dengan keluar darah istihazah itu. Yang kata kena wudhu itu adalah bapa perawi. Boleh dikatakan hanya pendapat dia sahaja, bukan kata-kata Nabi pun. Kalau nak terima pun, hanyalah sebagai perbuatan molek sahaja. Bukan wajib. Tidak semestinya basuh bermakna najis. Macam kita basuh hingus sahaja. Ini juga pendapat Imam Malik. Tapi ulama lain kata kena mandi juga kepada yang keluar istihazah. Setiap kali nak solat. Dan ada yang kata kena wudhu. Ada yang kata kena tiga kali mandi. Sebab pakai jamak soori iaitu pakai satu wudhu untuk dua waktu. Contohnya, solat di hujung zuhur dan awal waktu asar. Ada yang kata kena mandi juga tapi sekali sahaja sehari. Wudhu kena ambil setiap kali. Ada yang kata tak payah mandi. Hanya selepas habis darah haid sahaja kena mandi.

Imam Syafie berpendapat kena wudhu setiap kali nak solat. Mandi tidak wajib. Boleh pakai satu waktu fardhu sahaja dan sunat rawatib.
Imam Hanifah kata kena ambil wudhu sahaja dan boleh pakai untuk selama waktu itu ada lagi.
Imam Bukhari kata tak perlu nak ambil wudhu. Tak batal disebabkan oleh darah Istihazah itu sahaja. Tak menyusahkan manusia untuk kena selalu mandi dan wudu. Tambahan pula untuk orang yang sakit. Patutnya lagi dimudahkan untuk dia.

Imam Syafie buat macam tu pun sebab berpegang dengan hadis ini juga. Termasuk dengan pendapat bapa Urwah. Untuk setiap kali solat.

Hanafi pun pegang hadis ini juga. Tapi fahamnya adalah wudhu itu untuk ‘waktu’. Bukan dengan solat dah akan membatalkan wudhu itu.

Kesimpulannya pada pendapat Imam Bukhari dan Malik, darah istihazah bukan najis.

Ada empat keadaan untuk mereka yang keluar darah istihazah ini:
1. Tak tahu mana haid mana istihazah. Tak tahu dari mula lagi. Kerana dia mengalami masalah ini dari dia mula datang haid lagi. Maka, dia tidak dapat membezakannya.
2. Sebelum istihazah dia dah ada kebiasaan bila darah haid keluar. Penyakit dia datang kemudian. Ini adalah contoh sebagaimana perawi dalam hadis ini. Jenis ini dinamakan orang mu’taadah.
3. Dapat membezakan darah haid dan tidak. Dari segi warna, atau rasa sakit lain antara haid dan istihazah. Dinamakan mumayyizah.
4. Perempuan yang kebingungan. Tak boleh nak tentukan itu darah apa. Lingkaran darah haid pun tak tetap. Maka tak dapat nak tentukan.

Ini adalah perkara penting untuk dipelajari kerana melibatkan ibadat solat. Semua perempuan akan mengalami perkara ini. Jadi kepada anak perempuan kena diajar. Tanda dari awal lagi yang mana haid yang mana tidak. Kena ajar mereka kenapa haid dan bagaimana menghadapinya. Bagitahu bahawa kalau dapat haid itu adalah kelayakan untuk dapat anak. Sebab kalau tiada haid tidak boleh dapat anak. Maka, kalau ada haid, itu adalah kelebihan kepada orang perempuan. Kalau doktor akan tanya tentang kitaran haid perempuan kerana ini adalah tanda samada  seseorang itu adalah sihat ataupun tidak.

Dalam keadaan kotor boleh solatkah? Lepas mandi baru boleh solat.

Bukan semestinya sebab urat sahaja seseorang wanita itu akan keluar darah istihaazah. Kalau ada gangguan mana-mana pun dan sebabnya keluar darah, maka ia bukanlah haid dan wanita itu kena solat. Basuhlah darah supaya bersih. Sebab lebih selesa. Bukanlah kerana najis. Dan Nabi tidak suruh pun ambil wudu. Kalau ambil, ianya adalah sebagai sunat sahaja.
Kalau basuh tu, akan tersentuhlah kemaluan. Ini pun tidak dikira batal kepada Imam Bukhari. Kalau Imam Syafie, dah batal dah kalau sentuh kemaluan itu.

Perempuan yang bertanya itu adalah kerana nak tahu hukum. Hadis ini adalah hukum kepada wanita yang mu’taadah. Dia ada kitaran dia yang biasa dia tahu. Ini juga menunjukkan suara perempuan bukanlah aurat dan mereka boleh bertanya kepada guru yang mengajar. Perempuan kenalah berani untuk bertanya. Samada dia tanya berhadapan ataupun mereka menggunakan nota.

 

بَاب غَسْلِ الْمَنِيِّ وَفَرْكِهِ وَغَسْلِ مَا يُصِيبُ مِنْ الْمَرْأَةِ

Bab Membasuh Mani Dan Menyentalnya, Juga Membasuh Apa-Apa Yang Mengenai Seseorang Daripada (Faraj) Perempuan

– Adakah mani itu najis? Imam Bukhari mengatakan ianya adalah najis. Kalau air mani itu dah kering, hanya perlu gosok sahaja. Kalau masih basah, maka kena dibasuh. Imam Bukhari sama pendapat dalam hal ini dengan Imam Hanifah. Yang keluar dari faraj juga adalah najis.

Daud zahiri berpendapat mani bukan najis pula.

Ulama juga membincangkan bagaimana pula dengan air mani binatang? Syafie kata air mani binatang yang boleh dimakan, suci. Yang tak boleh dimakan, najis. Pada Imam Bukhari, semuanya najis.

Bagaimana cara membasuh? Kalau nak bawa solatlah katakan. Kalau bukan nak bawa solat, tidak mengapa. Nak biarkan pun tidak mengapa pada kain itu. Katakanlah seseorang itu nak pakai untuk tidur sahaja, tidak mengapa kalau biarkan sahaja kesan mani itu disitu. Baginya ada dua cara untuk membasuh kesan mani itu. Kalau Imam Malik, satu sahaja, kering atau basah kena basuh. Pada Imam Bukhari, ada beza kalau basah dan kering. Diingatkan disini bahawa Imam Bukhari tidak mengikut mana-mana mazhab. Kebetulan sahaja kalau ada persamaan antara pendapatnya dan pendapat Imam-imam mazhab yang lain.

Kalau mani sudah kering, boleh sental atau kutih sahaja. Tidak semestinya dibersihkan dengan basuh. Kalau nak lambat lagi untuk dipakai kain itu untuk solat, tidak perlu nak basuh cepat.

Apa-apa sahaja yang keluar dari faraj perempuan adalah najis. Air mazi, air mani atau sebagainya. Yang boleh bergaul tu walaupun ada air mani dan mazi adalah dibenarkan. Cara basuh juga sama. Kalau kering sental sahaja. Kalau basah, kena basuh. Maknanya, kena buat sesuatu. Tak boleh biar sahaja. Kalau air kencing pun kalau tiada air, kena baju, boleh ditempel dengan batu. Termasuklah air besar, kadang-kadang dalam keadaan tertentu, boleh pakai batu sahaja. Memang nampak macam tak hilang habis, tapi kena buat sesuatu.

222 – حَدَّثَنَا عَبْدَانُ قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ قَالَ أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ الْجَزَرِيُّ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ
كُنْتُ أَغْسِلُ الْجَنَابَةَ مِنْ ثَوْبِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَخْرُجُ إِلَى الصَّلَاةِ وَإِنَّ بُقَعَ الْمَاءِ فِي ثَوْبِهِ

222. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdan berkata, telah mengabarkan kepada kami ‘Abdullah bin Al Mubarak berkata, telah mengabarkan kepada kami ‘Amru bin Maimun Al Jazari dari Sulaiman bin Yasar dari ‘Aisyah ia berkata, “Aku sering menghilangkan kesan janabah dari kain Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membasuhnya, kemudian beliau keluar untuk shalat, dalam keadaan tompokan-tompokan air masih kelihatan pada kainnya.”

– Menunjukkan bahawa mani itu adalah najis. Kalau tak, kenapa perlu dibasuh?

Tidak perlu tunggu kering. Nabi pakai dan keluar rumah dengan ada tompokan basah lagi. Boleh pakai bawa solat.

223 – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ قَالَ حَدَّثَنَا عَمْرٌو يَعْنِي ابْنَ مَيْمُونٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ قَالَ سَمِعْتُ عَائِشَةَ ح و حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ قَالَ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ الْمَنِيِّ يُصِيبُ الثَّوْبَ فَقَالَتْ كُنْتُ أَغْسِلُهُ مِنْ ثَوْبِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَخْرُجُ إِلَى الصَّلَاةِ وَأَثَرُ الْغَسْلِ فِي ثَوْبِهِ بُقَعُ الْمَاءِ

223. Telah menceritakan kepada kami Qutaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Yazid berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Amru -yaitu Ibnu Maimun- dari Sulaiman bin Yasar berkata, aku mendengar ‘Aisyah berkata. (dalam jalur lain disebutkan) Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Wahid berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin Maimun dari Sulaiman bin Yasar berkata, “Aku bertanya kepada ‘Aisyah tentang mani yang mengenai pakaian. Ia lalu menjawab, “Aku selalu menghilangkannya dari pakaian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membasuhnya, beliau lalu keluar untuk shalat dengan kesan basuhan itu ada pada kainnya (dalam bentuk tompokan-tompokan air).”

– Nampak Aisyah kata ‘basuh’ lagi. Dua-dua hadis berkenaan ‘basuh’. Mana yang lain? Yang kata pasal sental dan apa yang keluar dari faraj. Ada isyarat kepada hadis lain yang mengatakan Aisyah kutil sahaja. Yang pasal perempuan, kalau tiada hadis pun, samalah kalau mani dan mazi perempuan pun najis juga sebab sama macam lelaki.

Yang kata tak najis tu mereka pakai hadis yang mengatakan tidak basuh. Sebab kutil atau gonyoh sahaja, tak basuh. Kepada Bukhari, kalau gonyoh tu menunjukkan najislah. Kalau tak najis, tak perlu buat apa. Kalau mereka kata balik itu tak menghilangkan, maka kalau istinjak dengan batu, hilangkah najis itu?

Ada yang kata tak terang Nabi pakai kain itu untuk solat. Tapi ada yang kata, ada hadis Aisyah kutil semasa Nabi solat. Tidakkah Aisyah mengganggu Nabi sedang solat? Nabi boleh juga boleh terganggu dalam solat, bukan tidak terkesan dengan perkara luar. Contohnya, Nabi pernah terganggu kerana ada kain bercorak dalam rumah baginda.

Kita kena cermat. Basuh atau kutil. Jangan tak buat apa-apa.

Ada kata nabi-nabi dijadikan dari mani juga maka tentulah suci. Tapi bukankah firaun dan qarun juga dijadikan dari mani juga? Bolehkan kita mengatakan mereka juga suci?

Dalam Quran dikatakan manusia dijadikan dari air. Maka sucilah maknanya air mani itu. Tapi dalam Quran juga Tuhan menjadikan binatang yang hidup dari air juga. Termasuklah binatang yang tak boleh dimakan. Dan ada ayat kata kalau kamu berjunub, kena bersuci. Maknanya dalam keadaan berjunub itu mereka tidak dalam keadaan suci. Dan berjunub itu bermakna mereka ada keluarkan air mani. Kalau air mazi, tidak. Semasa bersetubuh itu, ada hikmah yang lebih tinggi, seperti untuk mendapatkan zuriat, maka dimaafkan. Sebab nak dapatkan zuriat. Tapi lepas itu kena bersuci. Kerana kita telah keluar dari alam malaikat dan hampir kepada alam haiwan.

Yang kata bukan najis pun tidaklah kata boleh minum. Maka, kalau kita tak kata najis, boleh mengheret ke situ.

Tompokan itu bukan tompokan mani, tapi air sahaja. Nabi tak malukah? Sebab nanti tentu orang nampak dan tahu apakah baginda baru buat? Tidak, kerana apa yang Nabi buat itu adalah dalam lingkungan Islam lagi. Bukan salah apa dia buat tu. Pernah semasa Nabi hendak mengimani solat, dah iqamah dah pun, tetiba baginda teringat yang baginda belum mandi junub lagi. Maka baginda terus masuk rumah dan mandi. Keluar balik dalam keadaan rambut basah. Tidak ada masalah. Kalau nak malu ni kena bertempat.

Allahu a’lam.

 

Lompat ke hadis yang seterusnya

 

Kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s