We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari Kitab Wudu Bab Seseorang Berwudhu Bersama Isterinya December 17, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Wudhu' — visitor74 @ 12:08 am

بَاب وُضُوءِ الرَّجُلِ مَعَ امْرَأَتِهِ وَفَضْلِ وَضُوءِ الْمَرْأَةِ وَتَوَضَّأَ عُمَرُ بِالْحَمِيمِ وَمِنْ بَيْتِ نَصْرَانِيَّةٍ

Bab Seseorang Berwudhu Bersama Isterinya Dan Berwudhu Dengan Menggunakan Air Lebihan Wudhu Perempuan. Umar telah berwudu dengan air panas dan air dari rumah perempuan Nasrani.

– Imam Bukhari memanjangkan lagi hujah tentang air mustaqmal. Kerana ini adalah perkara yang besar dan yang dia lawan adalah orang-orang besar seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. Jadi hujah yang dibawanya mestilah juga kena kuat. Imam Bukhari nak hujah juga bahawa air mustaqmal adalah suci dan juga menyucikan. Bukan setakat suci sahaja seperti pendapat Imam Syafie.

Ada tiga peringkat pendapat Imam Hanifah tentang air mustaqmal. Pertama, air mustaqmal adalah najis berat, kemudian menjadi najis ringan dan kemudiannya, cuma makruh sahaja digunakan, iaitu ia suci tapi tidak menyucikan. Kita tidak boleh salahkan imam-imam lain dalam perbezaan pendapat ini. Mereka orang berilmu tinggi dan apa yang mereka dapat adalah dari ilmu mereka yang tinggi. Mereka telah bersusah payah untuk mendapatkan hukum yang mereka buat itu. Bukan senang-senang. Imam Hanifah dikatakan telah nampak bagaimana air wudu yang telah digunakan oleh orang untuk berwudu telah menjadi kotor sangat. Itulah yang dia kata air mustaqmal itu adalah najis berat. Takkan air kotor nak digunakan. Maknanya, Allah telah membuka hijab kepada dia untuk nampak. Memanglah Nabi pun pernah berkata bahawa air wudu itu membersihkan dosa-dosa manusia. Selepas itu Imam Hanifah nampak air itu tidak kotor sangat maka dia telah keluarkan pendapat mengatakan yang ianya adalah najis ringan. Selepas itu ada yang dia nampak tidak kotor. Jadi, pendapat beliau berbeza dari masa ke semasa berdasarkan apa yang dia nampak. Lepas itu dia telah berdoa supaya dia tidak dinampakkan lagi apa yang dia nampak. Dia taknak tengok lagi.

– Dalam tajuk diatas, diceritakan bagaimana Umar pernah menggunakan air panas. Ini adalah nak kritik pendapat yang mengatakan tidak boleh menggunakan air yang dimasak. Pendapat yang mengatakan tidak boleh itu adalah apabila air itu kena api, ada kaitan dengan api neraka. Padahal, air wudu dikatakan untuk menyejukkan api neraka. Kalau kita pakai pendapat yang macam tu, tak bolehlah kita nak makan makanan yang dimasak. Ini adalah pendapat yang tidak boleh dipakai. Dalam Islam memang ada konsep falsafah tapi tidaklah sampai menyusahkan begitu. Sampai dalam sangat dia fikir. Kalau ada falsafah sebegitu, ia ada dalam agama-agama lain. Meraka sampai tidak makan binatang hidup kerana memikirkan macam-macam. Iaitu binatang itu bernyawa la, ada anak ibu lah dan sebagainya. Sampaikan menyusahkan dan merugikan diri sendiri kerana Allah telah menjadikan binatang sebagai makanan kita.

Bukan itu sahaja. Umar juga menggunakan air yang dari rumah perempuan Nasrani. Maknanya, boleh dipakai air itu. Tidaklah dia tanya samada perempuan itu buat sesuatu dengan air itu. Imam Bukhari baca, kalau air itu dari rumah perempuan nasrani, tentulah perempuan itu ada sentuh air itu. Terutama sebab dia nak periksa air itu dah panas ke belum, tentu dia sentuh. Dan tidak timbul samada dia dalam berjunubkah atau tidak. Kerana dia bukan Islam, tentulah dia tidak dalam keadaan suci. Tapi ini tidak menjadikan masalah untuk Umar menggunakan air itu. Bukan kerja kita nak khuatir sangat dengan orang kafir ini. Bukan kita nak kena periksa semua apa yang mereka buat. Sampai ingatkan mereka ada nak berbuat onar dengan kita. Rosakkan air kita atau makanan kita. Kita hidup bermasyarakat dengan mereka. Memang kalau nak fikir jauh, ada sahaja kemungkinan itu tapi itu jauh sangat. Kalau nak fikir macam itu, sampai kita tak bolehlah nak makan produk jualan mereka. Mana tahu, dalam keropok mereka, mereka ada letak minyak babi ke sikit. Tapi itu adalah mengarut. Kerana pernah Nabi makan keju buatan org kafir. Tidak ada masalah. Jangan kita fikir buruk kepada mereka sampai kepada tahap itu.

Kalau kita nak boikot produk mereka sebab kerana sesuatu, itu adalah kerana sebab politik. Macam mereka negara yang menindas orang Islam contohnya. Dan memanglah elok dalam perniagaan negara ini, kita membeli dengan orang Islam untuk menggalakkan ekonomi orang Islam. Inilah yang terbaik. Tapi bukanlah nak kata tak boleh langsung makan makanan sediaan mereka.

Umar adalah sahabat besar. Ilmu agamanya amatlah tinggi. Takkan dia tidak warak untuk memikirkan apa yang baik untuk agama. Walaupun begitu, tidaklah dia sampai tidak pakai air yang diambil dari rumah orang kafir sekalipun. Janganlah kita pula berlebih-lebih.

186 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كَانَ الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ يَتَوَضَّئُونَ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمِيعًا

186. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengabarkan kepada kami Malik dari Nafi’ dari ‘Abdullah bin ‘Umar, bahwa ia berkata, “Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, laki-laki dan perempuan selalu berwudu bersama-sama.

– Zaman Nabi, memang lelaki dan perempuan berwudu menggunakan air dari bekas yang sama. Daripada bahasa yang digunakan dalam hadis ini, kita boleh tahu bahawa ianya biasa dilakukan, bukan sekali sekala sahaja. Jadi bagaimana kita nak mengatakan bahawa air mustaqmal tidak boleh digunakan? Sebab kalau dah ramai-ramai pakai, tentulah akan menitik air lebihan wudu kedalam bekas balik? Tidak dijelaskan bahawa air itu melebihi dua kolah. Selalunya air yang ada adalah sedikit. Bab dua kolah itu memang mendapat kritikan dari ulama kerana tidak kukuh hujahnya. Maka kalau perkara ini biasa berlaku dan salah, kenapa Nabi tidak tegur dan larang? Maknanya, tidak ada masalah dengan air mustaqmal ini. Boleh dipakai.

Satu lagi Bukhari nak kritik pendapat gurunya sendiri yg mengatakan tidak boleh menggunakan air lebihan dari perempuan. Maknanya kalau air perempuan dah guna dalam bekas, lelaki tak boleh pakai dah. Sebab ada hadis yang menyatakan demikian. Tapi hadis itu adalah dalam suasana yang tertentu. Macam kalau makanan, adakalanya kita rasa geli kalau nak makan sisa orang lain. Tapi kalau kita tak geli, contohnya bekas isteri kita, tidak menjadi masalah. Begitu jugalah dengan air lebihan wudu ini. Kalau kita tak kisah, tidak mengapa.
Kata-kata seperti ini macam menunjukkan Islam menjijikkan perempuan pula. Dan ada juga hadis yang mengatakan tidak boleh menggunakan air lebihan lelaki pula. Ini semua tidak sesuai. Memang kalau boleh, pakailah air yang tidak digunakan lagi. Tapi tidak ada masalah kalau nak pakai pun. Seperti dalam hadis berkenaan perbuatan sahabat-sahabat Nabi itu diatas.

 

بَاب صَبِّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضُوءَهُ عَلَى الْمُغْمَى عَلَيْهِ

Bab Nabi SAW menuangkan sisa wudunya keatas orang yang pengsan.

187 – حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُ جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا مَرِيضٌ لَا أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ فَعَقَلْتُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَنْ الْمِيرَاثُ إِنَّمَا يَرِثُنِي كَلَالَةٌ فَنَزَلَتْ آيَةُ الْفَرَائِضِ

187. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Walid berkata, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Muhammad bin Al Munkadir berkata, “Aku mendengar Jabir berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang menziarahiku ketika aku sakit yang mengakibatkan aku tidak sadar. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berwudu dan menuangkan sedikit air wudunya keatasku selepas itu aku pun sedar. Aku lalu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah yang akan mendapat pusaka daripadaku? Aku hanya akan diwarisi kalalah (waris bukan dari kalangan anak-anak dan ibu bapa) ‘ maka turunlah ayat tentang pusaka yakni kalalah.”

– Ini menjadi hujah kepada mereka yang mengatakan bahawa wudhu yang telah digunakan lebih berharga kerana boleh digunakan untuk perubatan. Kalau digunakan Nabi dalam keadaan begini, bagaimana kita nak kata bahawa air mustaqmal adalah najis?

Air lebihan itu boleh jadi air lebihan yang belum digunakan lagi atau air wudu yang telah kena badan dan ditadah. Lebih kuat mengatakan ianya adalah air yang telah kena pada badan.

Kalalah adalah ahli keluarga yang bukan anak ke bawah dan ibubapa keatas.

 

بَاب الْغُسْلِ وَالْوُضُوءِ فِي الْمِخْضَبِ وَالْقَدَحِ وَالْخَشَبِ وَالْحِجَارَةِ

Mandi dan wudu menggunakan besen, mangkuk, bekas daripada kayu dan batu.

– Imam Bukhari bawa keluar tajuk ini kerana nak mengatakan bahawa kalau pakai bekas mana-mana sahaja boleh. Tidak ada masalah. Asalkan bersih. Ini pun kena cerita sebab kalau tidak, mungkin ada yang kata ada bekas tak boleh pakai. Kerana ada dalam hadis yang mengatakan Nabi menegur sahabat yang menggunakan besi kerana ada bau syirik. Itu adalah kerana kemungkinan ianya adalah besi dari berhala yang telah dilebur. Nabi dapat merasakannya. Bukanlah itu bermakna tidak boleh menggunakan bekas-bekas tertentu dalam meletakkan air sembahyang.

188 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُنِيرٍ سَمِعَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بَكْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا حُمَيْدٌ عَنْ أَنَسٍ قَالَ حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَقَامَ مَنْ كَانَ قَرِيبَ الدَّارِ إِلَى أَهْلِهِ وَبَقِيَ قَوْمٌ فَأُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِخْضَبٍ مِنْ حِجَارَةٍ فِيهِ مَاءٌ فَصَغُرَ الْمِخْضَبُ أَنْ يَبْسُطَ فِيهِ كَفَّهُ فَتَوَضَّأَ الْقَوْمُ كُلُّهُمْ قُلْنَا كَمْ كُنْتُمْ قَالَ ثَمَانِينَ وَزِيَادَةً

188. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Munir mendengar ‘Abdullah bin Bakar berkata, telah menceritakan kepada kami Humaid dari Anas berkata, “Waktu salat telah masuk, orang-orang yang rumahnya dekat mereka pulang untuk wudu, tinggallah sekumpulan orang. Dibawakan sebuah bekas berisi air dibuat dari kayu kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun bekas itu kecil sampai tidak cukup untuk dimasuki oleh telapak tangan beliau, bagaimanapun semua orang dapat berwudu.” Kami bertanya, “Berapa jumlah kalian ketika itu?” Anas menjawab, “Lebih dari lapan puluh orang.”

– Nabi menggunakan bekas yang dibuat dari kayu.
Kejadian Nabi mengeluarkan air dari tangannya selalu dilaporkan. Maka ianya adalah sampai kepada tahap tawatur.

 

189 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا بِقَدَحٍ فِيهِ مَاءٌ فَغَسَلَ يَدَيْهِ وَوَجْهَهُ فِيهِ وَمَجَّ فِيهِ

189. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al ‘Ala` berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Buraid dari Abu Burdah dari Abu Musa, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam minta satu mangkuk berisi air, beliau lalu mencuci kedua tangan dan wajahnya dalam bekas tersebut dan menyemburkan air dari mulutnya kedalamnya.”

190 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ قَالَ أَتَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْرَجْنَا لَهُ مَاءً فِي تَوْرٍ مِنْ صُفْرٍ فَتَوَضَّأَ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا وَيَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ فَأَقْبَلَ بِهِ وَأَدْبَرَ وَغَسَلَ رِجْلَيْهِ

190. Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Salamah berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin Yahya dari Bapaknya dari ‘Abdullah bin Zaid berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang, lalu kami membawakan air dalam sebuah bekas yang terbuat dari tembaga. Beliau lalu berwudu; membasuh muka tiga kali, lalu membasuh tangan dua kali dua kali, lalu mengusap kepalanya dimulai dari belakang ke depan dan menariknya kembali ke belakang. Kemudian membasuh kedua kakinya.”

191 – حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ أَنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ لَمَّا ثَقُلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاشْتَدَّ بِهِ وَجَعُهُ اسْتَأْذَنَ أَزْوَاجَهُ فِي أَنْ يُمَرَّضَ فِي بَيْتِي فَأَذِنَّ لَهُ فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ رَجُلَيْنِ تَخُطُّ رِجْلَاهُ فِي الْأَرْضِ بَيْنَ عَبَّاسٍ وَرَجُلٍ آخَرَ .قَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ فَأَخْبَرْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ فَقَالَ أَتَدْرِي مَنْ الرَّجُلُ الْآخَرُ قُلْتُ لَا قَالَ هُوَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَانَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تُحَدِّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَعْدَمَا دَخَلَ بَيْتَهُ وَاشْتَدَّ وَجَعُهُ هَرِيقُوا عَلَيَّ مِنْ سَبْعِ قِرَبٍ لَمْ تُحْلَلْ أَوْكِيَتُهُنَّ لَعَلِّي أَعْهَدُ إِلَى النَّاسِ وَأُجْلِسَ فِي مِخْضَبٍ لِحَفْصَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ طَفِقْنَا نَصُبُّ عَلَيْهِ تِلْكَ حَتَّى طَفِقَ يُشِيرُ إِلَيْنَا أَنْ قَدْ فَعَلْتُنَّ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى النَّاسِ

191. Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman berkata, telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhri berkata, telah mengabarkan kepadaku ‘Ubaidullah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah bahwa ‘Aisyah berkata, “Tatkala sakit Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam semakin berat, beliau minta izin kepada isteri-isterinya agar beliau dirawat di rumahku, mereka pun mengizinkannya. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu keluar rumah untuk ke masjid dengan dipapah oleh dua orang dalam keadaan kedua kakinya menyeret bumi; ‘Dua orang lelaki itu adalah Abbas dan seorang lagi.” ‘Ubaidullah berkata, “Aku lalu khabarkan hal itu kepada ‘Abdullah bin ‘Abbas, lalu dia berkata, “Tahukah kamu, siapakah lelaki yang lain itu?” Aku jawab, “Tidak”. Dia lantas berkata, “Orang itu adalah ‘Ali bin Abu Thalib radiallahu ‘anhu.” ‘Aisyah menceritakan bahawa ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda apabila sudah berada di rumahnya dan teruk pula sakitnya: “Siramkan air kepadaku dari tujuh geriba yang belum dibuka ikatannya, moga-moga aku dapat memberi peringatan kepada orang ramai.” Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam didudukkan dalam sebuah besen milik Hafshah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka kami segera menyiram beliau dengan air yang tersebut itu sehingga beliau memberi isyarat bahawa kami telah melakukan (apa yang disuruh). Setelah itu beliau keluar kepada orang ramai.”

– Dalam hadis ini diceritakan kisah bagaimana Nabi ada juga menggunakan bekas yang dibuat dari tembaga. Tidak ada masalah.

Kisah ini adalah kisah akhir-akhir hayat baginda. Baginda telah meminta supaya dia dirawat di rumah Aishah. Bermula dari hari Khamis sampai isnin iaitu hari kewafatan baginda. Iaitu lima hari. Dalam waktu itu, Nabi telah pergi ke masjid untuk berjemaah sebanyak 4 kali. Dia tidak larat nak jalan sendiri sampai dipapah. Memang tidak larat langsung kakinya tidak ada tenaga dan kaki baginda meleret sahaja di tanah apabila dipapah oleh dua lelaki. Waktu itu, Abu Bakr yang menjadi imam. Ada kisah bagaimana semasa Abu Bakr jadi imam, dia menarik diri kebelakang supaya Nabi menjadi imam. Tapi banyaknya adalah Abu Bakr yang menjadi imam.

Syiah menggunakan juga hadis ini sebagai bahan untuk mengutuk isteri Nabi, Aishah. Mereka kata sengaja sahaja Aisyah tidak menyebut bahawa seorang lagi lelaki yang memapah baginda Nabi adalah Ali. Ini adalah kerana mereka kata dia telah berdendam dengan Ali atas kes tohmahan beliau berzina dulu. Ini adalah kerana ada cerita yang sampai kepadanya bahawa Ali telah berkata kepada Nabi bahawa apa nak dikesahkan sangat kerana perempuan bukan seorang. Maknanya, dia suruh Nabi cari sahaja isteri lain. Cerita ini tidak diketahui kebenarannya. Ini adalah tohmahan yang salah. Kerana Aisyah kata bahawa yang memapah baginda adalah bapa saudara Nabi iaitu Abbas, kerana Abbas sentiasa ada yang memapah Nabi. Kerana kejadian itu empat kali dan empat empat kali dia ada. Tapi lelaki yang seorang lagi tidak sentiasa sama. Memang ada Ali, tapi bukan dalam semua situasi. Yang Abbas kata ianya adalah Ali kerana sewaktu dia sendiri tengok, ianya adalah Ali. Bukan Ibnu Abbas sentiasa ada bersama melihat kejadian itu.

Puak Syiah sampai kata bahawa Aisyahlah yang telah meracun Nabi sampaikan Nabi mati. Padahal Nabi telah diracun oleh Yahudi, iaitu dalam daging yang dimasak oleh Yahudi. Tapi Syiah kata takkan Nabi nak makan daging yang disembelih oleh orang Yahudi. Ini tidak menjadi masalah kerana memang boleh makan sembelihan orang ahli kitab.

Takkanlah Nabi nak duduk dengan isterinya yang jahat kalaulah Aishah itu jahat. Tambahan pula kalau dikatakan yang Aishah dan isterinya yang lain telah kafir. Mereka kata Aisyah dan Hafisah telah berkomplot untuk membunuh Nabi. Iaitu anak Abu Bakr dan anak Umar. Padahal mereka itu adalah orang yang baik-baik. Aisyah dan Hafsah adalah dua isteri Nabi yang terkenal alim. Sampaikan Hafsah adalah orangnya yang telah ditinggalkan dengan mushaf Umm Quran sebagai penjaganya. Takkan Nabi nak tinggal lagi dengan isteri yang kafir.

Mereka berhujah pula yang bukan semestinya isteri seseorang Nabi itu baik. Mereka menggunakan hujah bahawa isteri Nabi Nuh pun tidak baik. Dan begitu juga dengan anak-anaknya. Tapi itu bukanlah hujah. Kita tahu yang isteri Nabi Nuh tidak baik kerana telah diberitahu oleh Allah. Itu sahaja. Tidak boleh dijadikan qiyas bahawa isteri Nabi Muhammad juga begitu. Ini adalah cara mereka menggunakan logik akal yang tidak sihat untuk mengelirukan orang Islam.

Banyak pengajaran boleh diambil dari hadis ini. Antaranya adalah kena ada giliran dengan isteri-isteri. Kalau nak keluar dari giliran itu, kena minta izin kepada isteri-isteri lain baru boleh. Sedangkan Nabi pun buat macam itu juga, tidak dia terus sahaja pergi ke rumah Aisyah.

Ada kelebihan untuk melayani keinginan orang yang sakit. Macam Nabi dia teringin untuk bersama dengan isterinya Aisyah. Kena layan juga tu. Nabi nak duduk dengan Aisyah kerana Aisyah itu pandai berubat. Dan memang dia sayangkan Aisyah. Dalam keadaan dunia sekarang, kadang-kadang seorang yang sakit itu ada keinginan kepada sesuatu dalam dia sakit itu. Boleh layan untuk menggembirakan dirinya. Kadang-kadang kalau doktor dah tahu bahawa seorang pesakit itu tidak ada harapan untuk sembuh lagi, dia akan benarkan orang yang sakit itu untuk makan apa yang dia nak makan. Tapi kalau dia ada harapan sembuh, tak boleh bagi makan sebarang. Nanti ditakuti akan lebih menyakitkan dia lagi.

Nabi menggunakan air untuk memberi kekuatan kepada dirinya. Nabi Muhammad boleh dikatakan sebagai pengasas kepada perubatan naturopathy. Dalam kes ini Nabi menggunakan air. Dan dalam tempat tempat lain Nabi ada menggunakan atau menyuruh menggunakan barang-barang biasa dalam alam ini untuk menyembuhkan penyakit. Ada dikatakan dalam hadis yang lain bahawa baginda meminta supaya dibawakan air dari tujuh telaga yang berbeza. Ini digunakan oleh orang perubatan dimana mereka menggunakan air dari tujuh kolah dari masjid yang berbeza.

Boleh menggunakan bahasa isyarat. Nabi pun buat juga. Ini adalah apabila Nabi memberi isyarat bahawa mereka telah melakukan apa yang baginda minta. Kalau orang lain faham, maka boleh sahaja guna.

Lompat ke hadis yang seterusnya

Kuliah Maulana Asri bab ini

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s