We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Shahih Bukhari: Kitab Iman: Bab Menyebar-Luaskan Salam Adalah Sebahagian Daripada (Ajaran) Islam July 30, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Iman — visitor74 @ 2:32 am

بَاب إِفْشَاءُ السَّلَامِ مِنَ الْإِسْلَامِ

Bab 20: Menyebar-Luaskan Salam Adalah Sebahagian Daripada (Ajaran) Islam.

Sepertimana telah disebut sebelum ini, Imam Bukhari menunjukkan kelebihannya didalam cara beliau memilih tajuk-tajuk bab beliau. Dalam tajuk ini Imam Bukhari menggunakan perkataan إِفْشَاءُ (menyebar luaskan) salam. Sebab bukan hanya memberi salam sahaja. Itu adalah makna yang kita dah biasa. Selain dari makna yang itu, menyebarluaskan juga bermakna ‘menyebarkan Islam’. Kerana Islam itu adalah ‘salam’, iaitu keamanan. Kita disuruh menyebarkan agama Islam yang membawa message keamanan ke seluruh dunia. Iaitu menyampaikan juga Islam kepada orang-orang kafir yang belum lagi menerima Islam. Yang paling baik adalah dengan menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam.

وَقَالَ عَمَّارٌ ثَلَاثٌ مَنْ جَمَعَهُنَّ فَقَدْ جَمَعَ الْإِيمَانَ الْإِنْصَافُ مِنْ نَفْسِكَ وَبَذْلُ السَّلَامِ لِلْعَالَمِ وَالْإِنْفَاقُ مِنَ الْإِقْتَارِ

Terjemah: Ammar berkata: “ada tiga perkara yang barangsiapa dapat mengumpulkan ketiga perkara itu dalam dirinya, maka ia telah dapat mengumpulkan keimanan secara sempurna. Iaitu, berlaku adil terhadap dirimu sendiri (atau menginsafi dirimu sendiri), memberi salam terhadap ke seluruh alam, dan mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun ketika kesempitan.”

Syarah: Hadith ini adalah dimana Imam Bukhari meriwayatkan secara ‘taqliq’ dimana dia tidak memberikan sanad yang lengkap. Dia tidak menyebut dari siapa dia mengambil Hadith ini hingga sampai kepada Ammar bin Yasir. Sebab tentu dia tidak ambik terus dari Ammar sebab jauh jarak dia dari Ammar. Ammar adalah sahabat Nabi dan dia tidak sempat bertemu dengan Ammar.

Seperti biasa dalam kitab Iman ini, Imam Bukhari ingin menentang pendapat golongan Murjiah yang mengatakan bahawa amal ibadat tidak memberi kesan. Imam Bukhari menyampaikan di dalam Hadith ini bahawa Nabi mengatakan perkara sekecil memberi salam pun adalah satu perbuatan yang disuruh untuk kita buat.

Mengenali Athar ini (dipanggil athar kerana bukan dari Nabi, tapi dari sahabat): ayah Ammar datang ke Mekah dari Yaman bersama dua saudaranya kerana mencari abangnya yang hilang. Setelah sekian lama, saudaranya meninggalkan Mekah, tapi Yasir menetap di Mekah. Dia dikahwinkan dengan seorang hamba yang dibebaskan bernama Sumayyah. Mereka adalah antara orang yang awal memeluk Islam. Dan kerana memeluk Islam, mereka disiksa dengan teruk sekali. Sumayyah sampai dibunuh dengan disula kemaluannya oleh Abu Jahal. Walaupun mereka disiksa, mereka tetap memegang keimanan mereka.

Ammar telah berhijrah ke Damsyik dan kemudian ke Madinah. Maka dia adalah antara orang yang berhijrah kedua-dua tempat. Maka beliau adalah seorang yang kuat islamnya. Nabi pernah mengatakan bahawa dia akan dibunuh oleh puak yang derhaka. Dan pada perang Siffin, dia menyebelahi puak Ali. Tapi bukanlah puak Muawiyah itu puak derhaka seperti pendapat banyak orang. Yang derhaka itu adalah puak Syiah yang dimulakan oleh Abdullah Saba’. Puak-puak Syiah itulah yang melagakan antara dua pihak Islam. Dia akhirnya mati pada umurnya lebih 90 tahun.

Hebat sekali apa yang dikatakan oleh Ammar ini. Dia asalnya adalah orang biasa sahaja tapi sebagai sahabat yang dididik sendiri oleh Nabi, dia menjadi seorang yang hebat. Walaupun tiga perkara sahaja yang disebut oleh Ammar, tapi ianya merangkumi keseluruhan Islam. Melibatkan perkara ‘badaniah’ dan ‘maaliah’. Iaitu ibadat badan dan harta.

Syarah:

الْإِنْصَافُ مِنْ نَفْسِكَ  berlaku adil terhadap dirimu sendiri

Perkataan ‘min’ itu bermakna ‘pada’. Bukan hanya ‘dari’ sahaja maknanya. Maknanya berlaku adil ‘kepada’ diri sendiri. Sebelum mengadili orang lain, hukum diri sendiri dulu. Tengok apa hak diri keatas kita sendiri. Keluarga kita juga ada hak atas kita dan sebagainya. Nabi pernah kata mata ada hak, isteri ada hak. Dan kalau berbuat maksiat, itu adalah menzalimi diri. Maksudnya, kita perlulah memenuhi tuntutan hak-hak kepada diri kita sendiri.

Tapi boleh juga dikatakan yang perasan menginsafi diri terbit ‘dari’ dalam diri sendiri. Atau dia berlaku adil dari diri sendiri. Bukan sebab takut orang atau sebagainya. Kalau dia buat sesuatu itu sebab lain dari hati dia yang suruh, itu belum lagi dapat tu.

وَبَذْلُ السَّلَامِ لِلْعَالَمِ

وَبَذْلُ itu bermaksud menyurahkan atau menumpahkan sehabis daya. Jadi Islam menyarankan untuk menyampaikan keamanan ke seluruh alam. Bukan dekat dekat dengan kita sahaja. Bukan hanya kepada manusia, tapi kepada alam, maksudnya dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan juga.

Tapi bagaimana kalau nak jawap orang kata orang Islam makan binatang? Padahal ada agama-agama lain yang sampai tak makan binatang pun. Nampak macam mereka lagi aman kepada binatang. Sampai di India tu boleh lihat binatang mereka gemuk-gemuk kerana tak kena kacau. Mereka membiarkan sahaja binatang itu buat hal mereka sendiri.

Kita membunuh binatang adalah dengan izin Allah. Sebab kalau tak diberi izin kita tak boleh bunuh sebab binatang itu ada nyawa. Dan kena dengan cara yang Islam ajar. Iaitu sembelih cara Islam. Disembelih oleh orang Islam. Sebab dengan sembelih cara itu adalah kita memberi salam kepada binatang itu. Tidak menyakitkan mereka kerana potong urat yang menyampaikan kesakitan ke otak mereka.

Kalau kita tak makan binatang itu, maka rugilah kita tak makan. Sebab mereka memang makanan kita. Taraf kita lagi tinggi dari mereka. Bukan mereka ada hati nurani pun. Kalau ada, tentu mereka sudah pakat nak lawan kita dari dulu lagi. Dan binatang tu kalau kita makan pun, akan mati juga. Di India, banyak manusia kebuluran kerana mereka tak makan binatang yang boleh dimakan. Dan kalau tak dibunuh mereka, akan merosakkan tanaman sebab mereka akan makan. Mana lagi penting? Binatang atau manusia?

Memberi salam kepada manusia, bukan hanya cakap sahaja. Kita kena ambil tahu apa masalah dia untuk kita bantu dia.

Semua ini kalau tidak diajar oleh Allah melalui nabiNya, kita takkan tahu kerana akal kita tak sampai.

Sunat untuk memberi salam kepada orang lain. Tapi wajib untuk jawab. Tapi lebih afdhal kita yang memberi salam dulu. Memberi salam ini adalah kita memberi jaminan kepada orang yang diberi salam itu bahawa kita tidak akan menganiayai dia. Tapi dalam realitinya tidak begitu. Sebab kita tak faham apa maksud salam. Salam banyak jenis kita boleh buat. Ada salam kepada nabi, kepada kawasan perkuburan dan sebagainya.

Memberi salam, atau memberi kesejahteraan ini adalah perkara yang besar sekali. Apa-apa sahaja yang boleh difikirkan. Yang penting adalah memberi kesejahteraan kepada alam. Itulah yang digunakan perkataan adalah mencurahkan tenaga supaya mencari apakah yang boleh dikatakan sebagai memberi kesejahteraan.

Contohnya orang kedai makan mestilah memberi makanan yang baik. Jangan tipu-tipu menggunakan makanan yang tidak sesuai atau boleh menyebabkan orang yang makan jatuh sakit. Orang buat baju juga mestilah baju yang tidak menyusahkan orang lain yang memandangnya. Dan sebagainya. Luas sekali apa yang boleh kita perbuat.

وَالْإِنْفَاقُ مِنَ الْإِقْتَارِ mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun ketika kesempitan.”

Kenapa disebut di sini, kena beri ketika sempit? Sebab biasanya kita akan infak bila kita senang dan ada duit. Tapi Allah suruh jugak infak sebab bila kita beri semasa kita susah, Allah akan beri kebaikan kepada kita. Bukanlah beri banyak, ikut apa yang boleh kita beri. Dan kalau seorang itu memberi semasa dia susah, dia akan beri lebih lagi bila dia senang.

Paling tepat kata-kata Ammar ini dipanggil athar sebab ianya adalah kata sahabat. Atau boleh juga kalau nak dipanggil Hadith tapi apa yang dinamakan ‘Hadith Mauquf’. Iaitu hanya sampai kepada sahabat sahaja. Hadith ini ada juga dimasukkan didalam kitab-kitab yang lain. Maka ianya boleh diterima. Dan ada juga yang memberikan sanad sampai kepada Nabi, tapi mungkin tidak sahih sampai Nabi. Cuma boleh dikatakan yang Ammar mungkin mendengar dari Nabi sebab sahabat-sahabat selalunya akan begitu.


٢٧ – حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي حَبِيبٍ عَنْ أَبِي الْخَيْرِ عَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَمْرٍو {أَنَّ رَجُلا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الإِسْلَامِ خَيْرٌ؟ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ}

Qutaibah meriwayatkan kepada kami: ada seorang lelaki bertanya Rasulullah: apakah ajaran Islam yang paling baik? Nabi bersabda, memberi makanan dan memberi salam, samada orang yang kau kenal atau belum (yakni kepada semua orang).

Bukhari dah sampaikan Hadith yang sama sebelum ini di dalam bab yang lain. Kali ini Hadith yang sama tapi perawinya adalah orang lain. Dulu Hadith ini dimasukkan di bawah bab lain, kali ini dibawah bab lain. Kenapa? Sebab masa Hadith dulu diceritakan kepadanya oleh gurunya, adalah berkenaan perkara lain. Kali ini semasa nak cerita hal lain pula. Dulu bab memberi makan, kali ini bab memberi salam. Bukhari tak cerita pun, tapi orang yang tahu sahaja akan tahu.

Mengenali perawi: Qutaibah. Pernah bapanya bermimpi bertemu Nabi. Ditangan Nabi ada kertas. Dia tanya kertas apa tu? Nabi jawap: senarai ulama-ulama. Dia minta nak tengok senarai itu sebab nak tengok samada nama anaknya Qutaibah, ada dalam senarai tu. Memang ada nama anak dia.

Jikalau perkataan ‘khair’ digunakan, selalunya ia bermakna perbuatan itu akan memberi kebaikan kepada manusia lain.

Ada ulama-ulama mati sebab dah tak sedar diri. Pernah Imam Muslim makan kurma tak sedar sampai sakit perut dan mati. Dia tengah leka dengan menulis kitab, sampai lupa makan. Ada yang bagi seguni kurma kat dia, dia makan tak berhenti-henti sebab dia tak sedar kerana dia leka dengan menulis kitabnya. Ibn Taimiyyah mati sebab tak dapat nak menulis. Dia telah dipenjarakan. Dia minta supaya dia diberi kertas dan pensel untuk menulis tapi tidak diberikan. Dia tidak kisah dia dipenjarakan, tapi bila dia tak dapat menulis itulah yang menyebabkan hatinya patah sampai dia mati. Begitulah keadaan ulama-ulama yang leka dengan agama. Sampai tidak mengirakan perkara yang lain lagi dah.

Allahu a’lam. Lompat ke hadis yang seterusnya

Ini adalah nota ringkas. Keseluruhan kuliah ini boleh didapati di sini.

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s