We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari: Kitabul Iman: Bab 13: Sabda Nabi SAW “Saya Adalah Orang Yang Paling Tahu Di Antara Kamu Tentang Allah June 18, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Iman — visitor74 @ 8:48 pm

بَاب قَوْلُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا أَعْلَمُكُمْ بِاللَّهِ وَأَنَّ الْمَعْرِفَةَ فِعْلُ الْقَلْبِ لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى (وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ)

Bab 13: Sabda Nabi SAW “Saya Adalah Orang Yang Paling Tahu Di Antara Kamu Tentang Allah” Dan Makrifat Itu Adalah Perbuatan Hati Kerana Allah Telah Berfirman وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا كَسَبَتْ قُلُوبُكُمْ (Bermaksud): “Tetapi Dia Mengira Sebagai Kesalahan Kepada Kamu Dengan Apa Yang Diusahakan Oleh Hati-Hati Kamu”

١٩ – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدَةُ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ { كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَمَرَهُمْ أَمَرَهُمْ مِنَ الأَعْمَالِ بِمَا يُطِيقُونَ قَالُوا إِنَّا لَسْنَا كَهَيْئَتِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ قَدْ غَفَرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ . فَيَغْضَبُ حَتَّى يُعْرَفَ الْغَضَبُ فِي وَجْهِهِ ثُمَّ يَقُولُ إِنَّ أَتْقَاكُمْ وَأَعْلَمَكُمْ بِاللَّهِ أَنَا}

19- Muhammad bin Salaam telah meriwayatkan kepada kami, katanya: `Abdah telah memberitahu kami dari Hisyam dari ayahnya dari `Aaisyah, beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila menyuruh orang, Baginda akan menyuruh mereka melakukan `amalan yang mampu dilaksanakan oleh mereka, (tetapi) mereka pula berkata: “Kami tidak seperti mu wahai Rasulullah, kerana sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan yang terkemudian”. Maka marahlah Rasulullah SAW sehingga nampak (tanda-tanda) kemarahan pada wajahnya kemudian Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling tahu tentang Allah di antara kamu adalah aku.”

Cara bagaimana Imam Bukhari meletakkan tajuk-tajuk di dalam bab-bab hadithnya adalah paling istimewa. Ulama hadith mengatakan itu menunjukkan kebijaksaan Imam Bukhari. Tidak ada didalam kitab-kitab hadith yang lain. Imam Muslim, contohnya, tidak meletakkan tajuk-tajuk di dalam kitabnya, tapi diletak oleh murid-muridnya selepas dia. Tajuk-tajuk ini perlu difahami kenapa Imam Bukhari meletakkan sedemikian. Kerana ada yang hendak disampaikan di dalam tajuk-tajuk itu. Kadang-kala nampak macam tak sesuai dengan Hadith yang disampaikan dibawah tajuk itu. Tapi sebenarnya ia mempunyai makna yag dalam, yang akhirnya, kalau belajar, akan nampak bagaimana tajuk itu sesuai dengan hadith yang hendak disampaikan. Tapi kena dihuraikan oleh guru yang tahu. Kerana kalau baca sendiri tanpa belajar susah untuk difahami. Maka, oleh itu, adalah yang tidak faham mengatakan bahawa Imam Bukhari tak pandai lah, Imam Bukhari nyanyuk lah, dan sebagainya.

Terdapat perkara-perkara yang dilakukan di dalam kitab bukhari yang boleh dianggap pelik. Contohnya terdapat pengulangan Hadith dalam kitab. Kenapa? Dan ada masanya, dia selalu ringkaskan Hadith. Contohnya Hadith yang dibincangkan ini adalah satu contoh hadith yang telah diringkaskan. Ada Hadith yang panjang berkenaannya di tempat yang lain dalam Sahih Bukhari ini juga.

Dia juga kadang-kadang bawa Hadith yang nampak macam tak sesuai yang tidak sesuai dengan tajuk. Jadi untuk faham, kena mengaji.

Tajuk bab ini ada dua juzuk: Iaitu pasal Nabi adalah manusia yang paling tahu tentang Allah dan makrifat itu adalah perbuatan hati. Tapi ayat yang diberikan adalah hanya untuk makrifat sahaja. Tapi dalil berkenaan Nabi paling tahu itu, boleh dijumpai di hujung Hadith.

Dan nampak macam Hadith yang diberikan adalah berkenaan ilmu tapi isinya diletakkan dibawah kitab iman. Kenapa? Apakah tidak lebih sesuai kalau diletakkan didalam kitab ilmu sahaja? Iman itu adalah mengenal Allah. Dan untuk mengenal Allah itu memerlukan ilmu. Dan tahap mengenal itu berbeza antara seorang dan seorang yang lain. Tentu tidak sama. Ada yang lagi kuat mengenal Allah dari orang lain. Kesannya boleh dilihat pada amalan. Kalau dia seorang yang mengenal Allah, maka amalannya adalah lagi banyak. Dan Nabi cakap dialah yang paling kenal Allah.

Maka Imam Bukhari nak cakap bahawa amalan itu ada kesannya kepada iman. Ini nak melawan puak murjiah yang berpendapat amalan tidak ada nilai. Kerana pada mereka, samada buat amalan atau tidak, sama sahaja. Pada mereka, selagi seorang itu seorang Islam, dia akan masuk syurga.

Makrifat itu adalah perbuatan hati. Mengenal Allah adalah dengan hati. Tahap mengenal Allah itu juga berbeza. Ada yang tinggi dan ada yang rendah  tahapnya mengenal Allah. Apabila seseorang itu sudah mengenal Allah, maka amalannya akan banyak. Dan nak mengenal Allah, adalah dengan amalan.

Allah hanya menghukum manusia diatas kesalahannya kalau dia memang berniat untuk melakukannya. Dan kalau dia dah bertekad nak buat dosa, maka itupun akan dikira juga. Kalau dia tidak sengaja, itu tidak dikira sebagai dosa. Contohnya kalau dia termakan semasa bulan puasa.

Ini adalah penentangan kepada fahaman puak karamiah. Pada mereka, walaupun hati tidak beriman, tapi bila dah mengucap syahadah, akan masuk syurga juga. Karamiah ini adalah pecahan dari fahaman murjiah. Ini juga adalah fahaman yang salah.

Ada orang yang amalan tidak nampak, tapi hati mereka tetap juga dengan Allah.

Mari berkenalan dengan perawi. Muhammad bin Salaam, salah satu perawi dalam Hadith ini pernah berkata bahawa dia menghafal 5000 Hadith palsu. Maka yang palsu pun kita kena kenal juga. Macam doktor, yang sakit pun kena kenal. Pernah satu hari semasa beliau sedang belajar bersama gurunya, penselnya patah. Sebab tidak mahu ketinggalan belajar dan menulis apa yang disampaikan oleh gurunya, dia telah declare untuk sesiapa jual pensel mereka kepadanya pada harga satu dinar. Itu macam beli pensel pada harga seratus ringgit tu. Menunjukkan betapa hebatnya ulama belajar untuk mendapatkan ilmu. Dia mengembara jauh dan merata tempat untuk belajar Hadith. Dia menghabiskan sebanyak 40 ribu untuk belajar dan lagi 40 ribu untuk menyebarkannya.

Semua ibadat yang Allah telah wajibkan adalah mampu dilakukan. Tidak ada yang manusia tidak boleh buat. Sebab ada ayat Quran bahawa Allah tidak memberatkan manusia melainkan apa yang dia mampu. Kalau solat tidak boleh berdiri, Islam telah membenarkan untuk duduk dan sebagainya.
Maka kalau ada ibadat yang yang disuruh tidak mampu dibuat manusia itu, maka ianya adalah tidak benar. Kalau ada hadith yang menceritakan ibadat yang tidak mampu dibuat oleh manusia biasa, maka itu adalah hadith yang palsu.
Ibadah yang sunat pun mesti juga yang yang mampu dilakukan oleh manusia.
Dalam memilih ibadat yang hendak dilakukan, kita hendaklah memilih ibadat yang sesuai untuk kita. Yang kita boleh istiqamah melakukannya dan bertepatan dengan diri kita. Contohnya, kalau pelajar, mungkin tidak sesuai kalau melakukan ibadah solat sepanjang malam sebab nanti akan penat untuk belajar. Nabi pernah menyuruh Abu Hurairah untuk solat witr sebelum tidur. Kerana baginda tahu yang dia adalah seorang ahli ilmu dan dia akan meluangkan masa untuk belajar di malam hari nanti.

Kemampuan itu bergantunglah dengan orang itu sendiri. Satu orang mungkin boleh buat lagi banyak dari orang lain. Contohnya ada yang mampu untuk melakukan jihad. Ada orang, nak solat pun tak mampu. Maka, kena pandai-pandai pilih.

Ibadat yang baik adalah yang kita istiqamah didalam mengamalnya. Biarpun sedikit. Kena pandai pilih mana yang paling baik. Iaitu cari yang paling afdhal dilakukan. Contohnya, solat sunat yang paling baik adalah solat witr. Dan kemudian solat rawatib.
Dan zikir yang paling baik adalah membaca Quran. Setiap ayat yang dibaca adalah pahala. Dibandingkan dengan zikir. Zikir tu sesetengah ulama kata kena menghadirkan hati baru pahala. Tapi tidak dengan Quran.

Nabi marah sebab sahabat kata mereka tidak sama seperti baginda. Kerana baginda adalah juga manusia. Dalam Quran pun Nabi telah disuruh untuk kata bahawa baginda adalah manusia. Kenapa pula mereka kata mereka lain dengan dia?

Ada cerita lebih panjang berkenaan hadith ini. Dalam hadith ada dikatakan bahawa ada sahabat tanya kepada Aisyah apa ibadat Nabi. Selepas Aisyah cerita, amalan ibadat Nabi tidak banyak dan mereka kena buat lagi banyak dari Nabi. Sebab pada mereka, Nabi bolehlah kalau tidak banyak buat ibadat, sebab dosa baginda telah diampunkan oleh Allah, dulu dan akan datang. Jadi, ada antara mereka yang kata dia nak solat sepanjang malam tak tidur. Lagi seorang kata dia nak puasa sepanjang tahun. Dan ada yang tidak mahu kahwin sampai bila-bila. Bila Nabi dapat tahu dari Aisyah apa yang mereka kata itu, Nabi tidak setuju dengan mereka dan panggil mereka. Apa yang Nabi kata adalah apa yang dikatakannya di dalam hadith ini. Iaitu dialah yang paling bertaqwa dan paling tahu tentang Allah. Nabi juga kata bahawa dia solat, dan dia juga tidur. Baginda puasa, tapi baginda juga berbuka. Nabi kata baginda juga berkahwin.

Nabi juga marah kerana mereka mengatakan bahawa amalan yang dilakukan oleh baginda itu sedikit. Ianya memberikan banyak pahala walau mungkin nampak sedikit, tapi nilainya adalah tinggi kerana ianya adalah Sunnah Nabi. Amalan-amalan yang tidak Sunnah tidak sama nilainya. Maknanya, ada kelebihan di dalam ibadat yang Nabi perbuat. Jangan pandang rendah atas apa yang Nabi buat.

Dan Nabi marah kerana mereka hendak buat perkara yang berlawanan dengan fitrah manusia. Islam adalah agama fitrah. Maka Islam tidak suka melawan fitrah. Macam ada agama-agama lain yang buat macam tu. Ada yang bermeditasi berhari-hari tak makan. Manusia itu perlu tidur dan perlu makan. Mata ada hak keatas tuannya. Manusia boleh makan apa sahaja asalkan halal. Jangan haramkan apa yang Allah dah halalkan.

Dan fitrah manusia mahukan pasangan untuk berkahwin. Bila dah sampai umurnya akan timbul keinginan itu. Ada agama yang seperti menganjurkan tidak berkahwin. Walaupun ianya dilakukan oleh paderi dan rahibnya, tapi secara tidak langsung, ia mengatakan bahawa tidak berkahwin itu adalah perkara baik. Kalau kita kata macam tu, apa akan jadi dengan zuriat manusia? Tidak ada penyambungan hidup. Dan kalau yang baik tidak ada anak yang akan dididik jadi baik, maka yang tinggal adalah anak-anak orang yang tidak baik. Adakah begitu yang kita hendak?

Dan Nabi marah kerana pemahaman mereka bahawa Nabi tidak buat banyak itu adalah kerana dia telah mendapat pengampunan dari Allah. Salah pemahaman itu. Walaupun Nabi telah mendapat pengampunan dari segala dosanya, dia masih lagi beribadat dengan banyak. Apabila Aishah hairan kenapa masih lagi beribadat banyak, sampai bengkak-bengkak kakinya, Nabi menjawab, tidakkah patut dia menjadi insan yang bersyukur? Lagi banyak Allah beri nikmat, lagi kena banyak amalan. Maka bukanlah Nabi mengurangkan ibadatnya kerana dia telah diampunkan. Dia sebenarnya telah buat sebanyak mana ibadat yang boleh dilakukan dalam lingkungan fitrah manusia.

Adalah ajaran yang salah kalau melebih-melebihkan kedudukan Nabi. Seperti ajaran brehlawi yang mengatakan bahawa Nabi tahu segala-galanya yang berlaku. Termasuk pada masa sekarang, walaupun Nabi dah mati. Mereka berpendapat Nabi sekarang nampak segalanya yang terjadi dalam dunia. Merekalah juga yang kata Nabi seperti bukan manusia. Contohnya, mereka mengatakan Nabi tidak ada bayang-bayang dan sentiasa ada awan yang menaungi baginda. Padahal perkara sebegini ditolak dalam hadith-hadith yang lain. Contohnya, pernah Nabi suruh pasang khemah semasa bermusafir dan sebagainya.

Beza Nabi dan kita adalah Nabi memang maksum. Ianya bermakna para Nabi-Nabi itu terpelihara dari melakukan dosa kecil mahupun besar. Ianya supaya kita boleh meyakini bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi-Nabi itu adalah benar. Ini adalah aqidah kita. Ianya hanya terjadi kepada Nabi sahaja. Tapi Syiah, mereka boleh pula kata imam-imam mereka pun maksum juga. Ini adalah salah sama sekali. Ianya merampas kelebihan apa yang ada pada Nabi. Mereka kata begitu supaya memberi kepercayaan kepada ajaran imam-imam mereka. Itulah punca kesesatan mereka. Kerana mengatakan imam mereka maksum. Tapi tak sepakat semua mazhab. Macam-macam mereka kata. Syiah itu adalah sesat lagi menyesatkan.

Sahabat-sahabat tahu Nabi itu maksum. Tapi kenapa mereka kata: “sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosamu yang terdahulu dan yang terkemudian”. Bunyi macam mengatakan bahawa Nabi pernah buat dosa dan kemudian Allah ampunkan. Maknanya, buat dosa juga dulu.

Pertamanya, perkataan seperti apa yang sahabat cakap ni ada dalam Quran. Maka itu adalah salah satu tanda Hadith yang disebutkan ini adalah sahih. Kalau berlawanan dengan Quran, otomatik Hadithitu jadi Hadith palsu. Maknanya, tidaklah salah apa yang mereka katakan, kerana mereka mengambil pemahaman itu dari ayat Quran juga.

Pendapat 1. Ada pendapat mengatakan yang mengatakan Allah ampunkan dosa itu, bukan dosa Nabi, tapi dosa umat dia. Tapi tak kena sebab kalau macam tu, mereka tak perlulah risau nak kena buat ibadat lebih tu. Mereka nak buat ibadat lebih itu adalah kerana mereka rasa mereka banyak dosa dan mereka nak buat ibadat supaya pahala mereka melebihi dosa yang mereka lakukan.

Pendapat 2. Qadi Iyaadh mengatakan ada tingkatan dosa-dosa itu: Maksiat, Khato’ dan dzanbi. Yang maksiat tu dosa macam minum arak, yang besar-besar. Nabi tak pernah buat. Yang khato’ tu pun tak buat. Yang mungkin ada buat pun adalah dosa tahap dzanbi itu. Tapi tak sesuai nak gunakan perkataan ‘dosa’ untuk perbuatan seperti itu. Kerana ianya lagi kecil dari dosa. Mungkin kita boleh kata ‘kegelinciran tak sengaja’. Yang ini pun ada tak setuju. Sebab tak sesuai mereka kata. Tapi kita gunakan perkataan ‘dosa’ sebab tidak ada penerangan di dalam bahasa kita.

Pendapat 3. Perbuatan baik manusia biasa masih kurang kepada orang yang dekat dengan Allah. Nabi-nabi ada buat kesilapan juga. Tapi kesilapan itu kecil. Kalau diperbuat oleh manusia biasa, tiada dikira berdosa. Tapi kerana mereka adalah kumpulan manusia yang amat rapat dengan Allah, maka apabila mereka buat kesilapan itu, Allah tegur mereka. Contohnya:
Nabi Yaakub: Beliau tidak membenarkan anaknya Yusuf dibawa oleh abang-abangnya, takut diterkam binatang buas. Itu adalah seperti tidak percayakan keselamatan dari Allah. Maka dia telah mendapat sakit buta sepanjang ketiadaan Nabi Yusuf.
Nabi Musa: Apabila dia ditanya, siapakah yang paling berilmu, dia jawap dirinyalah yang paling pandai dalam dunia pada masa itu. Sebab memang dialah rasul umat itu dan dia tidak tahu siapa lagi yang lebih berilmu darinya. Oleh sebab dia cakap macam itu, dia telah disuruh untuk berjumpa dengan Nabi Khidr.
Nabi Yunus: Kerana tidak tahan melayan kerenah umatnya yang tidak mahu mendengar ajakannya kepada Islam, setelah lama berdakwah kepada mereka, dia telah meninggalkan mereka. Naik kapal, laut bergelora, sampai dia kena terjun ke dalam lautan dan masuk ke dalam perut ikan. Maka itulah hukuman dia. Satu-satunya kaum yang menentang nabinya, tapi tidak disiksa adalah kaumnya. Kerana Nabi mereka meninggalkan mereka.

Nabi Muhammad pun ada macam tu. Seperti yang diceritakan di dalam Surah Abasa. Nabi pada satu masa, sedang bersama pemuka quraish dimana baginda sedang berdakwah kepada mereka. Datanglah Abdullah ibn Abi Maktum yang nak belajar dengan baginda, tapi tidak dilayannya. Sebab baginda mungkin merasa Abdullah sedang menggangunya berdakwah kepada pemuka Quraish. Pada baginda, itu adalah lebih penting lagi, sebab kalaulah mereka masuk Islam, maka akan banyak lagi lah orang ramai akan masuk Islam kerana pemimpin mereka telah masuk Islam. Allah tidak suka, sampai ditegur dalam Quran. Padahal Nabi buat tu adalah dakwah juga. Ianya adalah satu perbuatan yang tidak salah kepada manusia biasa, tapi bagi seorang Nabi, ia sudah dikira satu kesilapan.
Satu lagi contoh adalah semasa berperang, mungkinlah Nabi perrnah terkasar dengan sahabat-sahabat baginda. Kalau dalam keadaan perang, tentulah tidak boleh nak berlembut. Jadi kadang-kadang mungkin Nabi terkasar. Satu hari, Nabi memberi peluang kepada sahabat untuk menebus apa kesalahan baginda dah buat kepada mereka. Seorang sahabat tampil dan kata Nabi pernah menyakiti beliau semasa perang. Mungkin tertarik atau tersinggung. Maka dia nak balas. Dia juga minta Nabi membuka baju kerana semasa kejadian itu, dia pun tidak berbaju. Sahabat lain sudah resah dan mula marahkan beliau. Tapi Nabi membenarkan. Beliau datang dekat, dan rupanya dia sengaja ingin mencium tubuh badan Nabi. Jadi, inilah salah satu contoh kesilapan kecil yang mungkin Nabi pernah tidak sengaja buat.
Semua kesalahan itu adalah amat kecil sekali. Tidak tepat kalau dikatakan dosa. Tapi kita tidak mempunyai bahasa lain untuk kita gunakan.

Pendapat 4. Orang yang syahadah Allah itu (sentiasa melihat Allah dengan mata hati), perawakan mereka lain . Para-para Nabi sentiasa merasakan dekat sekali dengan Allah dan merasakan bagaimana Allah sentiasa memerhatikan mereka. Bukanlah mereka nampak Allah, tapi mereka tahu dengan pemahaman yang tinggi bahawa Allah memerhatikan mereka sentiasa. Kita pun faham bahawa allah sentiasa menyaksikan apa yang sedang kita lakukan. Tapi faham kita dan faham mereka, lain.

Jadi mereka sentiasa dalam keadaan serba salah. Mereka terpaksa melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh manusia biasa. Seperti mengadakan hubungan kelamin dengan isteri, makan makanan yang lazat-lazat kerana mereka nak menunjukkan kepada manusia lain bahawa dibenarkan melakukan perkara-perkara itu. Mereka merasa bersalah. Tapi Allah maafkan perasaan mereka itu.

Pendapat 5. Perisytiharan kepada Nabi bahawa dosa-dosa Nabi telah diampunkan. Allah isytiharkan lagi di dunia bahawa Allah telah hapuskan segala-galanya, kalau ada. Sebab Nabi-nabi yang lain, apabila umat minta syafaat dari mereka, mereka akan berkata bahawa mereka ada dosa. Akhirnya, mereka akan minta kepada Nabi Muhammad. Jadi Nabi tidak perlu lagi gusar dan menolak, kerana Allah di dunia ini lagi telah isytiharkan bahawa segala kesilapannya telah diampunkan. Itulah antara sebab ayat itu diturunkan.

Pendapat 6. Kesilapan dalam melakukan ijtihad. Terkadang, para Nabi mungkin memberi pendapat mereka tentang perkara selain agama yang akhirnya tidak tepat. Ianya tidaklah salah mana kerana ianya bukanlah perkara agama.
Contohnya kisah pokok kurma. Nabi pernah memberi pendapat supaya penternak tidak mengahwinkan pokok kurma seperti apa yang biasa mereka lakukan. Ternyata tanaman pada tahun itu tidak seperti tahun sebelumnya. Tanaman menjadi kurang. Maka cadangan Nabi itu adalah tidak tepat.
Maka jikalau ada kesilapan para Nabi yang melakukan sebegini, Allah maafkan juga .

Pendapat 7. Allah tutup dari Nabi buat dosa. Maknanya para Nabi tidak berkesempatan melakukan dosa pun. Ini adalah pendapat yang paling baik sekali.

إِنَّ أَتْقَاكُمْ

Apabila Nabi kata bahawa baginda paling bertaqwa, itu bermaksud dia paling sempurna dari segi amalan. Dan paling berilmu bermakna dia paling tahu tentang Allah.
Maka, kalau kata paling sempurna dan paling tahu itu, maknanya, adalah orang lain yang kurang. Maka nak menunjukkan tahap amalan dan pengetahuan tidak sama. Tahap iman pun tidak sama juga kerana dua perkara ini memberi kesan kepada iman.
Maka ini adalah untuk melawan fahaman murjiah yang mengatakan iman itu sama sahaja kalau beramal atau tidak.

Kesimpulan yang kita boleh ambil dari Hadith ini.
1. Iman bertambah dengan amalan soleh. Dan dengan amal soleh, dosa kita boleh diampunkan. Sebab itu sahabat cari jalan nak menambahkan amalan. Kalau ibadat dalam batas yang tidak memudaratkan, boleh buat banyak-banyak. Macam minum air kosong, minumlah banyak mana pun. Tapi air karbonat tak boleh banyak. Maknanya, jangan terlajak buat amalan.

2. Amalan yang paling baik adalah yang berkekalan (istiqamah) walaupun sedikit. Itulah yang disukai oleh Allah. Lebih baik dari buat banyak tapi sekali sahaja. Sebab kalau macam tu tentu kita tak dapat buat berterusan.

3. Kena buat ibadat yang wajib. Itu bukan diluar kemampuan. Walaupun kita mungkin rasa susah. Sebab apa yang diwajibkan itu adalah tidak susah sebenarnya. Allah dah beri kita ibadah yang memang kita boleh buat. Yang rukhsah pun kena terima juga. Rukhsah ini adalah ibadah yang dipermudahkan oleh Allah dalam keadaan tertentu. Contohnya, jikalau kita dalam perjalanan musafir, kita dibolehkan untuk memendekkan solat dan mengumpulkannya dalam satu waktu. Jangan kita menyusahkan diri. Ada manusia yang kata zaman dulu bolehlah buat rukhsah, sebab mereka musafir naik unta. Tapi sekarang kita naik kereta dan naik kapal terbang, takkan nak mudahkan lagi. Ini adalah pendapat yang salah. Allah dah beri keringanan kepada kita. Macam dalam Hadith ini, tak perlu buat solat malam.

4. Sederhana dalam ibadat adalah yang sebaiknya.

5. Dalam Hadith ini kita nampak bagaimana sahabat itu amat suka untuk membuat amalan. Mereka nak buat semua ibadat. Kita hendaklah mencontohi mereka itu yang sukakan melakukan ibadat dengan banyak. Tapi mengikut lunas-lunas yang dibenarkan. Jangan berlebih-lebihan.

6. Boleh, bahkan disuruh untuk kita marah dengan orang-orang yang membuat kesilapan seperti Nabi marah sampai nampak kemarahan pada wajahnya. Bukan nak main lembut sahaja sentiasa. Tidak boleh nak main psikologi belaka. Anak murid tak ikut akhirnya. Kadang-kadang pukul pun boleh. Cuma jangan lebih had. Nabi apabila waktu perlu marah, dia akan marah.

7. Boleh untuk menunjukkan kelebihan ilmu kita kepada orang yang kita nak beri ajaran, asalkan tidak sampai tahap membanggakan diri dan sombong. Kalau tidak diberitahu, orang lain mungkin tak tahu apakah ilmu kita, dan mungkin dia tidak ikut kalau dia tidak tahu bahawa kita layak untuk memberi nasihat.

8. Dalam Hadith ini diberitahu bahawa Nabi mempunyai kesempurnaan sebagai manusia dari segi amalan dan ilmu. Maka, ibadat Nabi itulah yang perlu diikut oleh kita yang mengaku sebagai umatnya.

Allahu a’lam. Lompat ke hadis yang seterusnya

Ini adalah ringkasan nota peribadi saya untuk rujukan saya sendiri. Untuk mendapatkan keseluruhan kelas ini, sila pergi ke laman Maulana Ustaz Asri di sini. 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s