We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Sahih Bukhari, Kitab Permulaan Wahyu, Hadis 3 May 15, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Permulaan Wahyu — visitor74 @ 4:38 pm

Matan Hadits

٣- حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ عُقَيْلٍ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّهَا قَالَتْ {أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الْوَحْيِ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ فِي النَّوْمِ . فَكَانَ لا يَرَى رُؤْيَا إِلاَّ جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الْخَلاءُ وَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ فَيَتَحَنَّثُ فِيهِ وَهُوَ التَّعَبُّدُ اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ الْعَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَنْزِعَ إِلَى أَهْلِهِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ .ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا حَتَّى جَاءَهُ الْحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ. فَجَاءَهُ الْمَلَكُ فَقَالَ اقْرَأْ. قَالَ مَا أَنَا بِقَارِئٍ. قَالَ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ. قُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ . فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ. فَقُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ . فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ ( اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ ) فَرَجَعَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُفُ فُؤَادُهُ فَدَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ بِنْتِ خُوَيْلِدٍ رضي الله عَنْهَا فَقَالَ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ . فَقَالَ لِخَدِيجَةَ وَأَخْبَرَهَا الْخَبَرَ لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي. فَقَالَتْ خَدِيجَةُ كَلاَّ ! وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا. إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ . فَانْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلِ بْنِ أَسَدِ بْنِ عَبْدِالْعُزَّى ابْنَ عَمِّ خَدِيجَةَ , وَكَانَ امْرَأً قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ يَكْتُبُ الْكِتَابَ الْعِبْرَانِيَّ فَيَكْتُبُ مِنَ الإِنْجِيلِ بِالْعِبْرَانِيَّةِ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكْتُبَ وَكَانَ شَيْخًا كَبِيرًا قَدْ عَمِيَ . فَقَالَتْ لَهُ خَدِيجَةُ يَا ابْنَ عَمِّ اسْمَعْ مِنِ ابْنِ أَخِيكَ .فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ يَا ابْنَ أَخِي مَاذَا تَرَى .فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَبَرَ مَا رَأَى. فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَزَّلَ اللَّهُ عَلَى مُوسَى. يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا, لَيْتَنِي أَكُونُ حَيًّا إِذْ يُخْرِجُكَ قَوْمُكَ .فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَمُخْرِجِيَّ هُمْ .قَالَ نَعَمْ . لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلاَّ عُودِيَ .وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا. ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ وَفَتَرَ الْوَحْيُ} قَالَ ابْنُ شِهَابٍ وَأَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِالرَّحْمَنِ أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِاللَّهِ الأَنْصَارِيَّ قَالَ وَهُوَ يُحَدِّثُ عَنْ فَتْرَةِ الْوَحْيِ فَقَالَ فِي حَدِيثِهِ : {بَيْنَا أَنَا أَمْشِي إِذْ سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ. فَرَفَعْتُ بَصَرِي فَإِذَا الْمَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ. فَرُعِبْتُ مِنْهُ فَرَجَعْتُ فَقُلْتُ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى ( يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ ) إِلَى قَوْلِهِ ( وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ ) فَحَمِيَ الْوَحْيُ وَتَتَابَعَ } تَابَعَهُ عَبْدُاللَّهِ ابْنُ يُوسُفَ وَأَبُو صَالِحٍ وَتَابَعَهُ هِلالُ بْنُ رَدَّادٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ , وَقَالَ يُونُسُ وَمَعْمَرٌ بَوَادِرُهُ *

3- Yahya bin Bukair telah menceritakan kepada kami, katanya al-Laith telah menceritakan kepada kami, diambilnya dari `Uqail dari Ibnu Syihab dari `Urwah bin az-Zubair dari `Aisyah Ummul Mu’minin r.ha, sesungguhnya beliau berkata: “Wahyu yang mula-mula diberikan kepada Rasulullah ialah berupa mimpi yang baik. Tidak Baginda SAW bermimpi melainkan mimpinya muncul seperti sinaran pagi. Kemudian Rasulullah SAW suka menyendiri, Baginda SAW menyendiri di Gua Hira’.

Di situ Rasulullah SAW bertahannuts iaitu ber`ibadat beberapa malam sebelum teringin pulang kepada ahlinya di samping berbekal pula untuk tujuan yang sama. Kemudian Beliau SAW kembali kepada Khadijah dan berbekal seperti sebelumnya (untuk beberapa malam) sehingga datang kebenaran kepadanya ketika di gua Hira’. Malaikat datang kepadanya lalu berkata: “Iqra!” (bacalah!). Nabi SAW menceritakan, saya menjawab: “Saya tidak pandai membaca”. Malaikat itu memegang aku lalu menekan aku sehingga habis dayaku kemudian ia melepaskan saya dan berkata pula: “Bacalah! Saya menjawab: “Saya tidak pandai membaca”. Ia terus memegang aku dan menekan aku buat kali kedua sehingga habis dayaku. Kemudian ia melepaskan saya dan berkata” bacalah! Saya menjawab: “Saya tidak pandai membaca”.

Nabi SAW menceritakan lagi; “Seterusnya dia memegang dan menekan saya buat kali ketiga, kemudian melepaskan saya lantas dia berkata: “(إقرأ بسم ربك الذى خلق.. bacalah dengan nama tuhanMu)”.

Rasulullah SAW membawa pulang wahyu itu dalam keadaaan hatinya berdebar-debar. Beliau SAW pun masuk menemui Khadijah binti Khuwailid seraya berkata: “Selimutkan saya! Selimutkan saya! Mereka pun menyelimutkannya sehingga hilanglah rasa takut Beliau. Rasulullah SAW menceritakan apa yang berlaku kepada Khadijah dan seterusnya berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah berkata: “Tidak! Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau selalu menghubungi keluarga, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang ketika bencana-bencana `alam menimpa”.

Khadijah pun membawa Nabi SAW pergi kepada Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Al-`Uzza (sepupu Khadijah). Waraqah telah menganut agama Nashrani di masa Jahiliah. Beliau pandai menulis kitab dalam bahasa `Ibrani. Beliau dapat menulis kitab Injil dalam bahasa `Ibrani apa saja yang dikehendakinya. Ketika itu beliau telah tua dan buta. Khadijah berkata kepadanya: “Wahai sepupuku! Dengarlah (cerita) dari anak saudaramu ini. Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat? Rasulullah SAW pun menceritakan kepada Waraqah apa yang dialaminya. Terus Waraqah berkata kepadanya: “Itu ialah Namus yang Allah telah turunkan kepada Musa. Aduhai diriku! kiranya aku ketika itu (ketika engkau diutuskan sebagai rasul) masih muda belia. Aduhai! kiranya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu”. Rasulullah SAW bertanya; “Adakah mereka sampai mengusir daku? Waraqah menjawab, “ Ya! Tiada seorang pun yang telah membawa seperti apa yang kau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata hari itu sempat denganku nescaya akan aku bela engkau dengan sungguh-sungguh”. Tidak lama kemudian Waraqah pun wafat dan wahyu terhenti.

Ibn Syihab berkata: Abu Salamah bin Abdur Rahman menceritakan kepadaku bahawa Jabir bin Abdullah al-Anshari berkata – ketika dia menceritakan tentang terputusnya wahyu itu – Nabi SAW bercerita : “Ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba terdengar satu suara dari langit. Aku pun melihat ke atas. Rupa-rupanya Malaikat yang pernah datang kepadaku di gua Hira’ dulu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Maka timbullah perasaan gerunku terhadapnya. Saya pulang kerumah dan berkata: “Selimutkan saya! Selimutkan saya! Maka Allah Ta`ala menurunkan…
يأيها المدثر قم فأنذر…الى …والرجر فاهجر

Maksudnya : “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah….ancamlah dan agungkan Tuhanmu, bersihkan pakaianmu dan tinggalkan kekotoran”. Selepas itu wahyu pun turun dengan banyak dan berterusan.

Abdullah bin Yusuf dan Abu Shaleh merupakan Mutabi’ kepada Yahya. Hilal bin Raddad merupakan mutabi’ kapada `Uqail dari al-Zuhri. Yunus dan Ma’mar dalam riwayatnya menyebutkanبوارده di tempat فؤاده .

Perbincangan Perawi Hadis

Imam Bukhari mengambil hadis ini Yahya bin Bukair. ‘Bukair’ bukanlah nama ayahnya, tapi datuknya. Orang Arab suka memakai nama keturunan mereka yang terkenal. Oleh kerana datuknya Bukair yang terkenal, maka nama datuknya yang dipakai.

Yahya bin Bukair mengambil hadis ini dari al-Laith, dan beliau adalah seorang mufti pada zamannya. Beliau adalah imam besar Mesir. Beliau telah belajar dengan 50 orang tabein. Imam Shafie sampai kata yang al-Laith ini lebih alim dari Imam Malik. Beliau adalah seorang yang terkenal dan hebat sampaikan ada mazhab sendiri. Iaitu Mazhab al-Laith. Cuma ianya adalah mazhab yang tak terkenal. Tak ramai yang belajar dengannya dan tidak ramai yang meneruskan apa yang diajarnya. Allah taala tak pilih ramai yang pelajar ikut mazhabnya itu. Maksudnya, tidak ramai yang membawa mazhabnya. Yang jadi masyhur adalah mazhab empat yang kita kenal sekarang kerana ramai anak muridnya yang meneruskan ajaran dari imam-imam mazhab itu. al-Latih telah mati pada tahun 170H.

al-Laith telah mengambil hadis ini dari Uqail. Boleh juga dibaca Aqil. Beliau telah mati dalam 141H.

Uqail telah mengambil hadis ini dari Ibn Shihab. Ibn Shihab itu gelaran lainnya adalah Abu Bakr. Nama penuhnya yang sebenar adalah: Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah bin Abdullah bin Shihab . Jadi namanya diambil dari nama datuk kepada datuknya. Ibn Shihab juga masyhur dengan gelaran Az-Zuhri. Sebab itu dalam penulisan, banyak ditulis nama beliau sebagai Ibn Shihab al-Zuhri. Banyak namanya dalam Bukhari sebagai perawi dan namanya digunakan dalam banyak cara. Dia adalah tabein kecil yang bermaksud beliau telah bertemu sahabat semasa beliau kecil lagi. Maknanya, beliau adalah seorang yang pandai dan bijak sampaikan waktu kecil pun sudah faham.

Ibn Shihab mengambil hadis ini dari Urwah al Zubair. Beliau adalah seorang tabein. Beliau lahir pada awal pemerintahan Khalifah Uthman dan hidup pada zaman peperangan saudara selepas kematian Khalifah Uthman. Beliau adalah anak kepada Zubair ibn al Awwam, sahabat besar. Beliau adalah adik beradik kepada Abdullah ibn al Zubair yang telah mengambil pemerintahan dari Khalifah Abd al-Malik. Urwah menumpukan perhatiannya kepada pembelajaran ilmu termasuklah Ilmu Hadis. Urwah banyak meriwayatkan hadis daripada Aisyah, antaranya hadis yang kita sedang pelajar ini. Beliau adalah salah seorang dari tujuh faqih yang terkenal di Madinah.

Syarah Hadis

Hadis ini senang untuk dikaitkan dengan tajuk kitab – Permulaan Wahyu. Sebab memang ada disebut macam mana wahyu bermula di dalam hadis ini. Banyak hadis-hadis yang lain, yang dibawa oleh Imam Bukhari tidak jelas nampak kaitannya dengan tajuk bab. Ia kadang-kadang memerlukan perbincangan yang lebih lanjut dan selepas itu, barulah faham kaitan hadis dengan tajuk bab yang diletak oleh Imam Bukhari.

Dalam hadis ini, diceritakan bagaimana Nabi Muhammad telah diberikan dengan ‘mimpi yang benar’. Oleh itu, kita dapat tahu di sini bahawa mimpi juga adalah satu jenis wahyu dan ianya adalah benar. Oleh kerana ianya wahyu, maka para Nabi kena ikut apa yang disampaikan dalam mimpi itu. Mimpi para Nabi tidaklah sama dengan kita. Sebagai contoh, mimpi Nabi Ibrahim. Iaitu baginda telah bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Walaupun ianya sesuatu yang berat, tapi baginda tahu bahawa itu adalah arahan dari Allah, maka baginda telah menjalankannya. Cuma, akhirnya tubuh Nabi Ismail telah ditukarkan dengan Kibas. Dari kejadian itu, kita dapat isyarat bahawa kita kadang-kadang kena berkorban apa yang kita sayang. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim telah diuji untuk mengorbankan anaknya sendiri dan baginda telah lulus ujian itu. Begitulah juga kita. Kadang-kadang kita kena korbankan anak kita sendiri. Bukanlah dengan membunuh mereka. Tapi, adakalanya seorang ibu kena redha dan benarkan anak berperang untuk menegakkan agama Islam. Itu pun sudah macam kena sembelih juga kerana tidak tentu samada anaknya itu akan selamat atau tidak di medan peperangan. Sekurang-kurangnya, seorang ibu perlu melepaskan anaknya untuk merantau mencari ilmu agama kerana mencari ilmu adalah kewajipan setiap manusia.

Maka wahyu dari mimpi para Nabi adalah penar dan kena dipakai. Mimpi adalah satu satu fenomena yang selalu terjadi kepada manusia biasa pun. Sampaikan ada ilmu takwil mimpi seperti yang ditulis oleh Ibnu Sirin. Tapi, tadbir mimpi kenalah berdasarkan dengan dalil yang sah. Contohnya, kalau dalam mimpi tu ada ‘perempuan’, itu maksudnya ‘dunia’. Kalau ‘susu’, itu maksudnya ‘ilmu’ dan kalau ‘baju’, itu adalah ‘agama’. Dalam Quran dan juga hadis pun ada disentuh tentang hal mimpi ini. Mimpi seseorang itu akan tepat kalau seseorang itu hidup dengan benar. Jadi tentunya Nabi memang melalui hidup yang benar, dan sebab itulah baginda telah dilantik menjadi Nabi.

Baginda telah pergi ke Gua Hira’ dan bertahanuts di sana. Maknanya baginda telah beribadat di sana dan juga memikirkan tentang alam dan mencari kebenaran. Baginda mengamalkan amalan-amalan sakibaki yang masih tinggal dari agama Nabi Ibrahim. Kerana bangsa Arab masih ada lagi mengamalkan amalan ibadat dari Nabi Ibrahim, cuma banyak yang sudah ditukar dan bidaah telah dimasukkan ke dalam amalan itu. Nabi Muhammad adalah seorang yang bijaksana, maka baginda tahu memilih mana amalan yang benar. Dikatakan bahawa solat zaman itu adalah sekali pagi dan sekali petang.

Mimpi

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ (Mimpi yang Benar) itu adalah dari 1/60 atau 1/46 dari kenabian. Mimpi yang soleh, mimpi yang baik. Kerana soleh itu bermaksud baik. Lawan kepada soleh adalah tholeh. Mimpi yang bagus adalah mimpi dari Allah. Kerana mimpi boleh diganggu oleh syaitan. Itu adalah mimpi yang memberi was-was kepada manusia. Ramai yang bermimpi macam-macam dan mereka ingat ianya adalah benar. Itu belum tentu lagi. Mimpi yang baik adalah untuk Allah memberi mimpi kepada Nabi.

فِي النَّوْمِ – Mimpi itu adalah ketika baginda tidur, bukan waktu baginda sedang sedar. Kerana الرُّؤْيَا boleh juga bermaksud ‘lihat’ dalam bahasa Arab. Sangkaan dan pendapat pun boleh dipanggil الرُّؤْيَا. Jadi dijelaskan dalam hadis ini bahawa ini adalah mimpi semasa tidur.

مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ – Nabi nampak mimpi itu macam ‘sinar pagi’. Sinar pagi itu adalah cahaya putih yang keluar apabila masuk waktu subuh. Ini adalah kiasan bahawa berita yang sampai kepada Nabi itu adalah terang dan jelas. Maknanya baginda nampak dengan jelas. Tidak samar dan tidak keliru. Oleh itu, kita kena ingat bahawa agama yang sampai kepada kita dari Nabi itu adalah ilmu yakin. Nabi ingat mimpi baginda itu. Bukan macam kita mimpi, ingat sikit-sikit dan samar-samar sahaja. Nabi mula diberikan mimpi sebegini untuk membiasakan baginda untuk menerima wahyu dengan cara-cara lain lagi. Dan waktu itu, pokok-pokok sudah mula beri salam kepada baginda dan sebagainya. Kesinambungan dari kejadian-kejadian itu, timbul rasa ingin menyendiri dalam diri baginda. Itulah sebabnya baginda telah pergi ke Gua Hira’.

Kenapa baginda membuat keputusan untuk menyendiri di Gua Hira’? Ini adalah sebab-sebab yang diberikan oleh ulama:
1. Datuk baginda iaitu Abdul Muthalib dulu pun pernah bertahanuts di situ
2. Untuk meninggalkan perbuatan salah kaumnya dan untuk memikirkan apa yang patut difikirkan. Baginda meninggalkan jauh sedikit dari hiruk pikuk kesyirikan yang dilakukan oleh kaumnya. Supaya baginda dapat berfikir dengan lebih jelas.
3. Baginda nampak Kaabah dari Gua Hira’. Kerana baginda amat sayangkan Kaabah. Ini memberi isyarat kepada kita, bahawa memandang Kaabah itu pun satu ibadat juga.
4. Walaupun baginda hendak menyendiri, tapi baginda tidak pergi jauh. Kalau baginda pergi jauh, kaum baginda boleh tuduh yang baginda belajar di tempat lain. Sebagai contoh, mereka boleh tuduh yang baginda dapat ilmu daripada penduduk Syria, yang dikatakan sebagai pusat ilmu waktu itu. Tapi kalau dekat sahaja, kaum baginda tidak boleh kata yang baginda belajar tempat lain. Kerana mereka masih boleh nampak baginda berada berdekatan. Jadi, Allah sudah susun perkara itu.

Tahanuts

فَيَتَحَنَّثُ – Nabi Muhammad telah bertahanuts di Gua Hira’ itu ‘beberapa lama’. Tidak disebutkan berapa lama. Ini menunjukkan bahawa untuk menjalankan proses pemikiran, memerlukan masa yang lama. Ianya bukanlah proses yang mengambil masa sehari dua sahaja.

Atau ada juga yang kata, ianya adalah beberapa waktu yang sedikit sahaja. Seperti yang kita tahu, waktu itu adalah relatif. Iaitu sedikit sahaja masa yang diluangkan oleh baginda untuk bertahanuts itu, kalau dibandingkan dengan apa yang baginda dapat – wahyu yang diberikan. Dan kalau dinisbahkan dengan lamanya kehidupan manusia atau panjangnya umur baginda, tidaklah lama masa yang diluangkan itu.

Tahanuts bermaksud ‘mengabdikan diri kepada Allah’. وَهُوَ التَّعَبُّدُ – Itu adalah tafsiran dari Aisyah. Maknya, baginda telah melakukan ibadat di Gua Hira’ itu. Ada yang kata baginda telah solat dan berzikir. Tak disebut dengan jelas apa yang sebenarnya dilakukan oleh baginda kerana ianya bukanlah sesuatu yang perlu diikuti oleh kita. Kalau dalam bahasa kita, ianya mungkin boleh dieertikan dengan ‘bertapa’. Ada orang kita pun bertapa juga. Mereka guna dalil hadis ini. Ada yang bertapa dalam kelambu, ada di hutan, ada dalam gua, ada yang sampai dalam kubur pun ada! Apa yang mereka lakukan adalah salah kerana mereka tidak belajar. Ingatlah bahawa walaupun sahabat tahu apa yang Nabi lakukan, sahabat tak ikut buat pun. Nabi pergi sana kerana diwahyukan, maksudnya, Allah yang perintah dan bawa Nabi ke sana. Dan selepas menerima wahyu dan setelah sekian lama, tidak ada dalil pun yang baginda ada buat lagi. Oleh itu, mereka yang buat begitu adalah kerana jahil tidak belajar sahaja dan kerana disesatkan oleh syaitan. Syaitan yang bisik ke telinga mereka untuk melakukan perkara-perkara yang tidak ada dalam agama.

Mereka bertapa kononnya mensucikan diri. Salah. Mensucikan diri dengan belajar. Duduk sorang takkan jadi alim. Jadi sesat adalah.

Sepanjang masa Nabi bertahanuts itu, Nabi tidak melupakan anak isterinya. Baginda akan balik ke rumah setelah sekian lama apabila rindu kepada keluarganya. Ini mengingatkan kita bahawa Islam tidak melupakan keluarga. Keluarga adalah satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia. Bandingkan dengan agama lain yang sampai ada yang tinggalkan anak bini mereka dan ada yang tak kahwin langsung sampai bila-bila seperti agama Buddha, Hindu dan Kristian. Itu adalah satu perbuatan yang menolak sifat asal manusia. Tapi lihatlah bagaimana praktikalnya Islam. Walaupun seorang Nabi, baginda masih berkeluarga lagi. Kerana fitrah manusia itu memang memerlukan pasangan hidup.

Wahyu diturunkan

حَتَّى جَاءَهُ الْحَقُّ – Hingga sampai kepadanya, al-haq. Iaitu yang dimaksudkan adalah Quran. Yang baginda mimpi sebelum ini memang dah wahyu dah tapi bukan dalam bentuk Quran.

مَا أَنَا بِقَارِئٍ – “Aku tidak pandai membaca” – Apabila Jibrail suruh Nabi baca dan Nabi kata baginda tak boleh baca, atau tidak pernah pandai membaca, ada ‘benda’ yang nak dibacakah? Ada pendapat mengatakan ada ayat ditulis atas sutera yang Jibrail bawa tapi riwayat itu adalah dhaif jadi tak boleh dijadi hujjah.

Ada pendapat mengatakan bahawa yang disuruh ‘baca’ oleh Jibrail itu adalah sebagai permulaan sahaja. Macam kalau guru mula nak mengajar padahal pelajar itu alif ba ta pun tak tau lagi. Guru itu akan kata: “murid-murid, baca yer…”.

Ada yang kata, Nabi Muhammad tidak boleh baca sampai bila-bila iaitu sepanjang hidupnya. Maknanya, baginda buta huruf sampai baginda wafat. Dan memang dalam Quran pun dikatakan Nabi itu adalah seorang ‘ummiy’. Walaupun begitu, pendapat yang lebih baik adalah mengatakan bahawa Nabi memang tidak boleh membaca sebelum berjumpa Jibrail, tapi selepas itu, baginda boleh membaca. Memang Nabi Muhammad pada awal hidupnya tidak boleh membaca, dan semua ulama terima perkara ini. Kalau baginda boleh menulis dan membaca sebelum itu, nanti orang akan kata baginda cedok Quran itu dari kitab-kitab yang lain. Tapi selepas baginda berjumpa Jibrail dan dapat ayat pertama itu, baginda boleh terus membaca. Ini adalah satu pendapat yang baik kerana kebolehan membaca adalah penting. Ianya penting, sampaikan Nabi sendiri suruh tawanan perang dari orang Kafir mengajar orang-orang Islam untuk membaca sebagai satu jalan untuk menebuskan diri mereka. Dan kita sendiri pun tahu yang buta huruf itu adalah satu kelemahan. Makna ‘ummiy’ dalam Quran pun boleh bermaksud seorang yang berasal dari ‘Ummil Qura’ iaitu ‘Mekah’. Ianya adalah satu kebanggaan untuk mengatakan demikian, dan sebab itulah mereka yang berasal dari Kota Mekah akan menggelarkan diri mereka ‘ummiy’. Maknanya, ‘ummiy’ itu bukanlah bermaksud tidak tahu menulis dan membaca sahaja.

Ada yang berhujah, kalau baginda tahu menulis, maka manakah surat-surat yang ditulis oleh baginda? Sedangkan pada zaman hidup baginda, ada surat-surat yang diberikan kepada pembesar-pembesar negara lain dalam dakwah baginda. Kalau ada yang beri alasan surat-surat itu tidak ditulis Nabi sendiri, itu biasalah. Kalau raja atau menteri pun, tak tulis surat sendiri.

فَغَطَّنِي Dalam Hadith ni, Jibrail bukan peluk Nabi, tapi ‘tekan’. Kenapa? Nak menunjukkan susahnya untuk dapat Quran itu. Bukan senang nak dapat ilmu. Nak belajar, kena susahlah sikit. Dan memang baginda akan susah di masa hadapan untuk menghadapi kaumnya sampai baginda akan kena halau. Dan selepas baginda Hijrah ke Madinah pun nanti, baginda diserang juga kerana mereka memang tidak puas hati.

Ada pendapat lain mengatakan baginda ditekan sebegitu supaya Nabi dapat tawajjuh. Supaya dapat macam apa yang ada dengan Jibrail. Tekan yang kita tak tahu macam mana. Sebab tiga kali tekan itulah sampai baginda boleh membaca tu.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ  Baca dengan nama Tuhanmu. Iaitu ‘bismillah‘. Jadi benda yang pertama sekali diajar kepada Nabi Muhammad adalah bismillah. Jadi kita dalam semua pekerjaan kena bismillah. Ia adalah doa sebenarnya. Kita sahaja sebab dah biasa baca, tidak nampak kepentingan bacaan basmalah ini. Apabila kita memulakan sesuatu dengan basmalah, bermakna kita telah mengambil berkat dengan nama Allah. Nama Allah itu sendiri sudah ada berkat. Bukan dengan nama wali mana-mana, termasuklah nama Nabi pun.

فَرَجَعَ بِهَا Nabi ulang baca apa yang dibacakan oleh Jibrail itu. Ini adalah cara belajar. Bila guru baca, pelajar ulang baca. Maka hadis ini kena dibaca berkali-kali. Supaya kita boleh mahir baca hadis.

Selepas Penerimaan Wahyu

يَرْجُفُ فُؤَادُهُ Nabi balik dalam keadaan takut. Sampaikan apabila Nabi sampai ke rumah baginda, baginda suruh diselimuti untuk menghilangkan takut baginda. Kenapa baginda rasa takut? Kerana Nabi tahu apa yang baginda kena bawa dan baginda tahu yang itu adalah sesuatu yang amat payah dan berat sekali. Kaumnya akan menentangnya. Bukan baginda takut itu kerana rasa tidak benar apa yang baginda baru terima itu.

Dan baginda mungkin juga masih takut selepas Jibrail tekan sebelum itu. Sebab Jibrail telah tekan baginda sampai habis daya baginda, sampai baginda susah. Perkataan فَأَخَذَنِي boleh bermaksud ‘perah’ seperti perah kain. Mungkin sampai rasa baginda rasa nak mati.

Golongan Anti-Hadith tidak terima Hadith ni sebab hadis ini mengatakan yang Nabi takut dan ini tidak sesuai kepada sifat seorang Nabi. Itu adalah satu penafsiran yang salah. Tidak ada salahnya Nabi untuk mempunyai perasaan takut kerana Nabi pun manusia juga. Sebagai manusia, tentu ada rasa takut. Nabi Musa pun takut juga seperti disebut dalam Quran. Dan Nabi Ibrahim pun disebut takut di dalam Quran semasa malaikat datang rumah ke rumah baginda. Yang jadi masalahnya adalah kalau ada iktikad dalam hati yang Nabi Muhammad bukan manusia, tapi jenis lain. Fahaman sebegini memang banyak terdapat dalam masyarakat kita. Antaranya yang kata Nabi itu ‘Nur’ dan baginda tidak ada bayang. Dan macam-macam lagi pemahaman salah manusia kepada Nabi.

Mereka juga kata macam mana Nabi tak kenal malaikat Jibrail? Ini pun tidak ada masalah. Sedangkan Nabi Ibrahim pun tak kenal malaikat yang datang kepadanya semasa baginda dilawati. Nabi Ibrahim sangka mereka itu manusia dan baginda telah menjamu makanan kepada mereka. Dan apabila mereka tidak makan, baginda telah rasa takut. Baginda jamu mereka kerana baginda sangka mereka itu manusia.

مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا Khadijah kata takkan Nabi akan dihinakan oleh Allah sampai bila-bila. Kemudian Khadijah menjelaskan sifat Nabi. Nabi seorang yang baik. Sifat-sifatnya adalah sifat yang baik. Antara yang disebut adalah Nabi cepat membantu. Nabi tidak tangguh dalam memberi bantuan. Oleh itu, memang jelas bahawa sifat Nabi itu adalah sifat orang yang baik-baik. Kalau orang yang mengamalkan ilmu salah, ilmu jin, kaahin (tenung nasib) dan sebagainya, cara hidup mereka lain. Mereka mengamalkan ilmu mereka dengan cara kotor. Diceritakan di dalam riwayat yang lain bahawa sifat Abu Bakr pun macam tu juga.

فَانْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلِ – Khadijah pun membawa Nabi SAW pergi kepada Waraqah bin Naufal . Dalam riwayat lain ada mengatakan Khadijah pergi dulu jumpa Waraqah seorang diri pada pertama kali. Lepas itu baru bawa Nabi. Jadi kalau begitu, hadith ini menceritakan pertemuan Khadijah kali kedua dengan Waraqah. Nabi Muhammad dibahasakan sebagai anak saudara Waraqah. Tidak semestinya baginda anak saudara sebenar. Digunakan status ‘anak saudara’, sebagai isyarat rapat, hubungan kasih sayang. Macam kita panggil ‘adik’ kepada seseorang. Bukannya dia adik kita yang sebenar. Tapi sebagai hubungan mesra.

وَكَانَ امْرَأً قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ – Waraqah telah menganut agama Nashrani di masa Jahiliah. Ini menunjukkan bahawa zaman itu bukan semua orang mengamalkan jahiliah. Ada juga mereka yang baik-baik. Sebagai contoh, ada seorang lelaki yang bernama Zayd bin Amar. Dia tak boleh terima apa yang dibuat oleh kaumnya. Sampai dia ambil dan jaga anak-anak perempuan yang nak dibunuh sampai beribu-ribu orang. Selepas mereka besar, dia akan tawarkan anak perempuan itu balik kepada ibubapanya. Kalau mereka tidak mahu, dia akan terus menjaganya. Dan dia mahu mencari kebenaran sampaikan dia perrnah cuba untuk masuk agama Yahudi dan Kristian. Tapi rahib Yahudi kata boleh kalau dia mahu masuk Yahudi, tapi akan dimurkai Allah jua. Kerana rahib itu tahu yang agama mereka tidak benar lagi dah. Dan apabila berjumpa dengan orang Kristian, Paderi Kristian kata boleh nak masuk Kristian, tapi akan dilaknati juga. Maknanya mereka juga tahu bahawa agama mereka waktu itu pun dah salah dah. Dan mereka pun sebenarnya memang sedang menunggu-nunggu Nabi akhir zaman. Maka Zayd tak boleh terima dengan keadaan masa itu dan dia telah isytihar yang dia tolak semua perbuatan jahiliah dan dia hanya mahu mengikut saki baki agama hanif Nabi Ibrahim.

Waraqah pun macam itu juga. Beliau adalah seorang yang alim. Beliau beragama Kristian, tapi agama Kristian yang benar. Bukan semua penganut Kristian sesat masa tu. Macam Najashi, beliau adalah seorang Kristian yang tidak menerima Nabi Isa sebagai tuhan. Sebenarnya, lebih baik kalau kita kata dia beragama ‘Nasrani’. Dari perkataan ‘nasara’ yang bermaksud ‘membantu’. Mereka dinamakan Nasrani kerana merekalah yang membantu Nabi Isa. Kalau sekarang pakai nama Kristian, tidak ada maksud apa-apa kerana ianya diambil dari perkataan Jesus Christ. Oleh itu, kita sepatutnya menggunakan nama Nasara. Mengingatkan kepada sahabat Nabi Isa yang membantu Nabi Isa menegakkan agama Allah.

هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَزَّلَ اللَّهُ عَلَى مُوسَى – “Itu ialah Namus yang Allah telah turunkan kepada Musa. Bila Nabi menceritakan apakah yang telah dialaminya, Waraqah kata yang datang kepada Nabi Muhammad itu adalah ‘Namus’, yang juga datang kepada Nabi Musa. Maknanya dia tidak takliq kepada Nabi Isa sahaja walaupun dia seorang Kristian. Pada dia, Musa itu pun Nabi juga. ‘Namus’ dari segi bahasa, maknanya ‘sahabat rahsia’. Itu adalah orang yang rapat sangat dengan kita, yang kalau kita ada masalah, kita berbisik bersama dia sahaja. Gelaran itu diberikan kepada Jibrail kerana beliaulah yang berkata-kata dengan para rasul. Orang lain tak dengar, sebab itulah dinamakan ‘Sahabat Rahsia’ atau ‘Sahabat Bisik’. Ada juga khilaf di kalangan ulama’ yang mengatakan Namus itu adalah Israfil, bukan Jibrail. Tapi riwayah yang lebih masyhur adalah yang mengatakan yang ianya adalah Jibrail.

Jadi ada pendapat mengatakan yang dinamakan Ahli Kitab, mereka-mereka yang sebeginilah. Iaitu mereka yang berpegang dengan agama Nasrani dan Yahudi yang asal, bukan yang telah dirosakkan. Walaupun begitu, ada juga mengatakan yang penganut Kristian dan Yahudi pada zaman sekarang ini pun adalah ‘Ahli Kitab’ juga, kerana walaupun mereka berpegang dengan agama asal yang telah diubah, tapi Nabi Muhammad dan Allah masih juga memanggil mereka dengan nama ‘Ahli Kitab’. Tapi Ibnu Umar kata: “mana lagi kafir dari orang yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu tuhan?” Jadi, ini adalah khilaf dari segi terminologi dan istilah sahaja.

Kiranya, Waraqah itu bagus sebab dia orang Nasrani semasa zaman Jahiliyah lagi. Dia ada pengetahuan tentang Injil. Sampai dia boleh menulis dalam bahasa Ibrani. Apabila dikatakan dia menulis ‘kitab’, tidak semestinya bermaksud sampai dia menulis buku pula. Sebab orang Arab, kalau tulis surat pun dipanggil menulis kitab. Ibrani adalah bahasa orang Yahudi. Dalam naskah lain, disebut dalam bahasa Arab. Maknanya, Waraqah boleh terjemah injil ke bahasa Arab. Waraqah tahu yang Nabi akan dihalau melalui kitab Injil. Nabi hairan sampaikan baginda akan dikeluarkan dari negerinya sendiri.

Apakah kedudukan Waraqah itu? Islam kah atau tidak? Hadis ini menunjukkan bahawa beliau adalah orang Islam dan orang yang pertama menerima Nabi Muhammad secara zahir. Dan dia mati sebagai mukmin. Ulama sepakat tentang perkara itu. Tapi ulama tak sepakat samada dia berstatus ‘sahabat’ atau tidak. Mungkin tidak sebab masa itu belum dinyatakan Islam secara rasmi lagi.

Dari kisah Waraqah ini juga memberitahu kepada kita yang zaman Nabi itu masih ada lagi ilmu agama. Kerana Waraqah telah membawa kitab ke sana. Jadi, kalau mereka melakukan syirik kepada Allah, mereka tetap dihukum kerana telah ada orang yang mengajar agama kepada mereka. Tidaklah boleh kata mereka akan selamat sebab mereka tidak ada Rasul, sampai mereka boleh dilepaskan dari dosa mereka. Maknanya, orang Arab Jahiliah akan kena azab juga, jangan kita ingat mereka akan selamat. Dari hal ini, timbul satu masalah yang timbul di kalangan masyarakat kita yang mengatakan ayah Nabi tidak masuk neraka kerana dalam ‘Zaman Fitrah’ – tidak ada agama. Itu adalah tidak benar. Sampaikan ada yang kata Abu Talib itu pun ahli syurga sebab beliau adalah bapa saudara Nabi. Padahal, hadis jelas mengatakan yang bapa Nabi masuk neraka dan Abu Talib pun tidak masuk Islam di hujung hayatnya. Jadi, tidak ada konsep Zaman Fitrah pada zaman itu. Tidak boleh kita katakan yang zaman itu terputus dengan ilmu wahyu. Kita lihatlah bagaimana Waraqah ada kitab Injil padanya. Musyrikin Mekah juga pun mengamalkan amalan yang sama macam Islam macam solat, tawaf, nikah cerai dan sebagainya.

Dalam hadis ini, tidak disebut tentang Khadijah masuk Islam. Nabi tak terus suruh khadijah masuk Islam sebab baginda nak tengok isterinya bagaimana. Terbukti khadijah amat menyokong Nabi. Nabi tidak suruh isterinya terus masuk Islam supaya jangan orang kata dengan isteri dia pun tak selesai lagi, dah nak dakwah kepada orang lain.

Wahyu Terhenti

Semasa wahyu berhenti, wahyu Quran berhenti tapi wahyu dengan cara lain, masih berjalan. Iaitu wahyu dalam bentuk hadis yang disampaikan terus kepada baginda. Wahyu Hadith dan Quran lain walaupun kedua-duanya adalah wahyu dari Allah. Apabila wahyu terhenti, Nabi amat rindu kepada wahyu dan berharap supaya ianya turun lagi. Sebab baginda tahu yang ianya amat istimewa. Ada kata wahyu berhenti tiga tahun, dua tahun, beberapa bulan atau beberapa hari sahaja. Nabi direhatkan dari menerima wahyu seketika supaya Nabi dapat membiasakan diri dengan penerimaan wahyu yang pertama. Ini adalah kerana peristiwa itu amat mengesankan.

Jibrail datang lagi di langit atas kerusi. Dalam rupa yang asal. Nabi dah kenal dah Jibrail waktu itu. Semasa di Gua Hira’ pertama, Jibrail datang berupa manusia. Nabi waktu itu ada juga rasa takut – Nabi mahu terima wahyu, tapi ada juga rasa gerun. Kerana baginda ingat lagi sakit yang dulu. Takut yang dialami Nabi itu pula adalah jenis takut yang boleh terkejut sampai boleh pengsan, boleh sakit jantung. Maknanya, takut sangat. Bukan takut jenis yang biasa. Orang Arab memang kaya dengan bahasa. ‘Takut’ pun ada banyak jenis. Nabi Muhammad sebagai manusia biasa, ada rasa takut dalam hati baginda. Ini adalah salah satu dalil dari dalil yang banyak, yang mengatakan yang Nabi muhamad adalah manusia biasa.

Kenapa dalam hadis ini disebut yang Nabi suruh baginda diselimuti? Nabi suruh selimut sebab lepas panas dapat wahyu, jatuh sejuk. Sebab itu baginda rasa sejuk sangat. Dalam wahyu kedua itu, Nabi disuruh bangun dan beri ancaman kepada manusia. Tidak boleh berselimut. Sudah sampai masa untuk baginda buat kerja. Iaitu mengagungkan Allah yang kaumnya tak buat selama ini. Mereka sembah Allah, tapi dalam masa yang sama, sembah juga tuhan yang lain. Sampai mereka sembelih binatang ternak dan dipersembahkan kepada berhala.

Nabi juga disuruh membersihan pakaian baginda kerana pakaian kena bersih semasa berdakwah. Dan ia juga adalah isyarat kepada bersihkan hati. Tinggalkan perkara yang tidak baik. Jangan hiraukan tentangan dari mereka yang tidak mahu menerima.

Selepas wahyu disambung, wahyu tidak terputus lagi selepas itu.

Hadis Mutaaba’ah

Dalam hadis ini, selepas matan hadis, ada ditambah dengan sanad yang baru:

تَابَعَهُ عَبْدُاللَّهِ ابْنُ يُوسُفَ وَأَبُو صَالِحٍ وَتَابَعَهُ هِلالُ بْنُ رَدَّادٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ , وَقَالَ يُونُسُ وَمَعْمَرٌ بَوَادِرُهُ

Abdullah bin Yusuf adalah mutabi’ kepada sanad hadis ini. Ini hendak menunjukkan bahawa ada sanad lain yang Imam Bukhari dapat hadis ini. Ini menguatkan lagi hadith ini. Menunjukkan bahawa Imam Bukhari bukan dapat hadis ini dari satu jalan sahaja, ada juga perawai lain yang meriwayatkan.

Ini adalah contoh Hadis Mutaabi’ atau Hadis Mutaaba’ah. Hadis ini dikuatkan dengan perawi-perawi yang lain. Ini adalah kerana ada penggunaan sanad an’anah dalam hadis ini dan Imam Bukhari hendak menguatkan sanad hadis ini.

Dengan ini, kita sudah mula masuk kepada hadis yang rumit untuk difahami. Imam Bukhari ada juga membawa hadis muallaq dalam kitabnya ini. Muallaq bermaksud ‘tergantung’ sanadnya. Hadis itu tanpa sanad. Mengikut ahli hadis, mereka mengatakan hadis mesti bersambung sanadnya kepada Nabi. Jika tidak, ia dikira sebagai dhaif. Kalau sesuatu hadis itu dhaif, ini adalah kerana perawi yang merosakkan hadis itu. Padahal, mungkin matannya adalah benar. Ini adalah menghairankan kenapa Imam Bukhari membawakan hadis muallaq. Banyak juga dimasukkan oleh Imam Bukhari dalam kitabnya.

Kita kena memahami cara penulisan Imam Bukhari. Lain orang, lain cara penulisannya. Kita kena faham cara orang berilmu menulis. Kalau tak, kita tidak akan faham ilmu orang itu. Jadi untuk kita faham kitab Sahih Bukhari ini, kita hendaklah memahami cara penulisannya. Kadang-kadang Imam Bukhari bawa tajuk dalam Sighah Jazam – dia memberitahu dalam bentuk jelas dan pasti. Kadang-kadang dibawa dalam Sighah Tamrid – digunakan perkataan tidak jelas, seperti ‘dikatakan’, ‘diberitahu’, ‘disampaikan’ – siapa yang sampaikan? Tidak tahu.

Jadi kaedah untuk faham sesuatu hadis yang ada masalah, adalah jikalau sanadnya menggunakan kaedah tamrid. Ini dinamakan majhul – tidak diketahui siapa yang memberitahu. Ini isyarat yang hadis itu ada masalah dari segi sanad, yang perlu dikaji oleh ahli hadis. Imam Bukhari keluarkan perkataan itu kepada orang yang pandai untuk melakukan kajian. Pada beliau, hadis itu sudah sahih kerana hadisnya semuanya adalah sahih. Jikalau Imam Bukhari menyembunyikan nama orang yang meriwayatkan, maka itu menunjkkan bahawa hadis itu ada masalah. Sebagai contoh, dalam sanadnya disebut, “ada orang kata, Ali berkata” – ini menunjukkan tidak jelas siapa yang kata. Lain dengan Ali berkata’.

Kita kena ingat bahawa Imam Bukhari akan mengeluarkan hadis yang sahih dah. Dia telah tapis semua hadis-hadis yang dimasukkan dalam kitabnya. Dia pilih hadis-hadis yang dimasukkanitu dari pilihan hadis-hadis yang memang sudah dikira sahih. Bukan kumpulan hadis yang bercampur dengan yang dhaif. Ini adalah kerana, syarat Imam Bukhari amatlah tinggi. Walaupun ulama Hadis lain dah kata ianya, tapi tidak semestinya sahih lagi dalam timbangan Imam Bukhari. Hanya hadis yang melepasi syarat-syaratnya yang tinggi sahaja yang lepas dapat masuk dalam Kitab Sahihnya ini.

Allahu a’lam. Lompat ke hadis yang seterusnya

—————-

Kuliah Ustaz Abu Tolhah Solahuddin

Audio kuliah Maulana Asri

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s