We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Muqaddimah Kuliah Sahih Bukhari May 13, 2012

Filed under: Hadith,Pengenalan Hadis — visitor74 @ 5:46 pm

Ini adalah nota ringkas kelas Hadith sahih Bukhari yang disampaikan oleh Maulana Asri dari Kelantan. Dan ditambah dengan kuliah dari Ustaz Solah dari Madrasah Tafsirsunnah.

Sebelum kita mempelajari Hadis, kita perlu tahu makna hadis. ‘Hadis’ yang paling sahih adalah Quran. Kerana ianya sampai kepada kita dengan cara yang mutawatir. Makna ‘hadis’ adalah berita, dan ayat-ayat Quran juga adalah berita yang disampaikan kepada kita. Kemudian dari itu, Kitab Sahih Bukhari adalah kitab hadis yang paling sahih selepas Quran. Kitab Sahih Bukhari ini berbentuk jami‘ kerana memasukkan keseluruhan perkara agama yang dibincangkan satu persatu. Ia juga membincangkan ilmu hadis (ulumul hadis) di dalamnya.

Dari segi bahasa, Hadis dipanggil juga sebagai ‘Sunnah‘. Juga dipanggil sebagai ‘Khabar‘. Juga dipanggil sebagai ‘Atsar‘ – hasil peninggalan. Semua terma-terma itu membawa maksud yang hampir sama sahaja. Terma-terma itu boleh ditukarganti. Sebab itu, apabila dikatakan seseorang itu ‘mengaji sunnah’, bermaksud dia ‘mengaji Hadis’. Ini adalah dari segi bahasa.

Secara teknikal, ‘Hadis’ itu adalah percakapan, perbuatan, sifat, takrir yang sampai kepada kita dari Nabi. Takrir itu berbentuk pengakuan dari Nabi. iaitu Nabi nampak sesuatu perkara, tahu ianya berlaku dan dilakukan oleh sahabat, tapi Nabi tidak larang dan tidak suruh. Dianggap sebagai sunnah juga. Kerana kalau ianya salah, Nabi tentu dah larang.

‘Sahabat’ pula adalah mereka yang beriman pada zaman Nabi. Satu syarat yang penting adalah mereka mesti telah bertemu dengan Nabi. Kalau tak bertemu dengan Nabi, walaupun dia hidup sezaman dengan Nabi, dia tidak dikira sahabat tapi dipanggil ‘tabein‘. Contoh tabein yang terkenal adalah Uwais al Qarni. Beliau hidup pada zaman Nabi, tapi tidak bertemu dengan Nabi. Berita-berita yang sampai dari sahabat masih lagi dinamakan ‘hadis’. Cuma kena ingat, berita itu hendaklah yang bukan dalam bentuk ijtihad iaitu pendapat sahabat itu sendiri. Kalau ianya adalah ijithad sahabat, ianya bukan hadis.

Siapakah pula ‘Tabein’? Mereka adalah individu yang sempat bertemu dengan sahabat. Kalau berita dari mereka, dinamakan ‘atsar‘ sahaja.

Nama sebenar Imam Bukhari adalah Muhammad bin Ismail. Gelarannya adalah Abu Abdillah. Nama al-Bukhari itu di ambil dari tempat kelahirannya iaitu Bukhara. Satu lagi gelarannya adalah Al-Ju’fi. Al-Ju’fi adalah nama sahabat yang telah memerdekakan tok nenek Imam Bukhari dahulu. Al-Ju’fi itu telah memerdekakan mereka daripada kekufuran kepada Islam, bukan dari hamba kepada orang merdeka. Terma yang digunakan adalah ‘mauwla‘. Seluruh keturunan itu diberi gelajaran Mawla Al Ju’fi. Dalam hadis banyak digunakan perkataan mawla ini. Mawla juga ada bermaksud memerdekakan seseorang dari hamba abdi.

Di dalam Sahih Bukhari, Imam Bukhari tidak menggunakan nama gelarannya Al Bukhari. Sebaliknya dia akan menggunakan namanya sendiri ataupun gelaran Abu Abdillah.

Imam Bukhari telah lahir pada tahun 194H dan mati pada tahun 252H.

Penting dalam kita belajar hadis ini untuk kita mengetahui matan (teks) hadis itu dalam bahasa Arab dan bukan bergantung kepada terjemahan sahaja. Kerana jikalau kita hanya melihat terjemahan sahaja, ada kemungkinan ianya tidak berapa tepat kerana terjemahan itu berdasarkan kepada pemahaman penterjemah sahaja. Kerana mungkin penterjemahan itu hanya menterjemah berdasarkan kepada bahasa Arab sahaja sedangkan terjemahan itu sepatutnya dilakukan oleh mereka yang telah belajar hadis. Di Malaysia ini pula, terjemahan yang sampai hanyalah dari Indonesia sahaja, jadi ada masalah bahasa juga di situ. Jadi, kena tengok juga kepada matan hadis itu.

Rujukan syarahan Sahih Bukhari yang paling terkenal adalah Kitab Fathul Bari yang dikarang oleh Imam al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani. Satu lagi kitab yang mensyarahkan Sahih Bukhari yang terkenal adalah kitab Umdatul Qari. Ianya adalah karangan al Aini, biras kepada Imam Hafiz juga sebenarnya. Syarahnya banyak melawan pendapat-pendapat yang disampaikan di dalam Fathul Bari. Ini adalah satu kebaikan sebenarnya kerana kita boleh nampak dua pendapat yang menguatkan lagi pemahaman kita. Satu lagi syarah Bukhari yang terkenal adalah Irsyadus Saari karangan Al Qastalani. Kelas pengajian kita banyak menggunakan rujukan kepada Kitab Irsyadus Saari ini. Ada banyak lagi kitab-kitab lain yang mensyarahkan Sahih Bukhari ini kerana memang ramai yang mengkaji Kitab Sahih Bukhari ini.

Kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim adalah seumpama penapis kepada perawi-perawi hadis. Kalau perawi-perawi hadis itu telah digunakan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, maka mereka itu telah boleh dipercayai. Kerana dua Imam itu telah mengkaji dengan detail perawi-perawi itu. Tetapi jikalau ada perawi di dalam kitab lain bukan daripada kitab saya Bukhari dan sahaja Muslim, mereka itu perlu dikaji lagi. Kerana ada kemungkinan ada perawi-perawi yang lemah, yang akan melemahkan hadis yang disampaikan juga.

Imam Bukhari dikatakan tidak berpegang kepada mana-mana mazhab yang empat. Ini adalah kerana Imam Bukhari pun seorang mujtahid mutlak. Dia pun boleh mengeluarkan pendapatnya sendiri. Jadi ada pendapat dia yang mungkin lain dari apa yang kita biasa dengar dalam Mazhab Syafie. Jadi kena buka minda kita untuk terima pembelajaran Sahih Bukhari ini.

Terdapat banyak kekeliruan di dalam pemahaman agama jikalau tidak ada pengetahuan tentang hadith. Contohnya, kedudukan perempuan telah dilemahkan di dalam Islam kerana ada hadith-hadith yang tidak betul, ataupun pemahaman kepada hadith dan ayat-ayat Quran yang salah.

Imam Bukhari telah mengambil masa selama 16 tahun untuk menghasilkan Sahih Bukhari ini. Sepanjang masa itu dia hanya makan badam sahaja sehingga di berpenyakit kencing berdarah.

Sahih Bukhari ini adalah satu kitab yang pelik dan amat hebat. Semakin banyak dikaji, semakin banyak perkara baru yang dijumpai. Oleh itu, kena mempunyai semangat yang tinggi kalau nak belajar Sahih Bukhari ni. Kena biasa dengan terma-terma berkenaan hadith. Tidak ada ucapan manusia lain yang dipelajari macam Sahih Bukhari ini. Terdapat entah berapa ramai ulama yang membicarakan dan membuat kajian tentang Kitab Sahih Bukhari ini. Kita kena tahu yang Hadith ini juga adalah mukjizat. Bayangkan bagaimana setiap gerak geri Nabi Muhammad dicatat dan dikenali siapa yang menjadi perawi supaya kita boleh memastikan bahawa cerita yang disampaikan itu boleh dipercayai. Ulama dari dulu sampai sekarang telah meluangkan masa yang banyak untuk mengkajinya, dan tidak ada upah kepada ulama-ulama itu dalam mempekukuhkan ilmu hadith ini.

Jenis jenis kitab hadith:
1. Jami’: merujuk kepada kitab yang mempunyai banyak pembahagian perkara di dalamnya. Seperti akidah, hukum, sejarah, akhlak dan lain-lain. Sekurang-kurangnya kena ada 8 perkara di dalamnya untuk dinamakan sebagai jami’. Sahih Bukhari adalah salah satu dari kitab jami’.
2. Sunan: penekanan tentang hukum dan lain-lain. Banyak penekanan diberikan kepada hukum-hukum dalam agama. Sepatutnya hadis-hadis yang disampaikan tidak mengikut mana-mana mazhab. Tapi ada juga kitab Sunan yang terpengaruh kepada mazhab seperti Kitab Umdatul Ahkam lebih kepada Mazhab Ahmad dan Kitab Bulughul Maram lebih cenderung kepada Mazhab Shafie.
3. Musnad: susunan mengikut sahabat. Ada yang ikut alphabetical order.
4. Mu’jam
5. Mashikhat
6. Ajzat/risalah: Ikut topik.
7. Al-arbaiinat: hadith 40. Sebab ada tersebut dalam hadis tentang kepentingan kalau hafal 40 hadith ni. Yang terkenal kepada kita adalah hadith himpunan Imam Nawawi. Banyak lagi penulis hadis yang mengumpulkanHadith 40 yang lain.
8. Mustadrak: Mengambil hadith dari perawi yang telah diterima pakai oleh Imam Bukhari contohnya, tapi tidak diambil hadithnya. Perawi itu ada banyak lagi hadis lain, tapi tidak dimasukkan oleh Imam Bukhari dalam kitabnya. Ada beberapa kemungkinan itu terjadi. Kerana mungkin sebab dia dah tua, jadi Imam Bukhari tak ambil kerana dikhuatiri ingatannya sudah lemah. Jadi, walaupun individu itu dah lepas dalam senarai Bukhari, tapi mungkin Bukhari tidak menambilnya di masa lain sebab dah tak sesuai. Tapi, kitab jenis mustadrak ini mencari hadis-hadis dari perawi-perawi itu dan dimasukkan dalam kitab mustadrak.
9. Mustakhraj: Hadith yang sama yang telah dimasukkan dalam kitab-kitab terkenal seperti Sahih Bukhari dan Sahih Muslim tapi menggunakan sanad yang lain. Supaya kita tahu bahawa cerita yang sampai kepada kita tu ada juga disampaikan oleh perawi yang lain. Hadis-hadis dalam kitab jenis mustakhraj ini mempunyai sama makna dan sama dari matannya. Ini memberi keyakinan kepada kita bahawa hadis yang disampaikan dalam kitab-kitab terkenal itu adalah benar kerana bukan mereka sahaja yang menceritakan hadis itu tetapi ada lagi perawi lain.
10. Ilal. Menyatakan kecacatan dalam hadith yang tidak sesuai dengan kedudukan Nabi yang muliau. Walaupun sanad cantik, tapi kalau ada ilat atau kecacatan di dalam perkataan Nabi itu, maka tak betullah hadith itu. Contoh, ada hadis yang mengatakan ‘kalau tidak ada Hawa, isteri tidak akan khianat kepada suaminya’. Ini tidak benar, kerana sebenarnya syaitan goda Adam dulu, bukannya Hawa. Kita kena ingat yang kita tinggal di dunia bukan disebabkan oleh Hawa yang menyebabkan kita terkeluar dari Syurga. Ini adalah bahagian yang paling payah dalam ilmu hadith. Sebab susah nak faham.
Termasuk di dalam bahagian hadith jenis ini adalah berkenaan keluarga Saidina Ali yang Nabi letak dalam selimut dan kata mereka itu adalah ahlil bait. Ulama mengkaji kelemahan hadith ini. Sanadnya nampak molek, tapi matannya yang tidak sesuai dan tidak logik. Ulama boleh kesan kecacatan hadith seperti ini. Dan mereka telah menyampaikan hujah-hujah dan dalil-dalil mereka.
11. atraf:
12. Targhib dan tarhib: hadith yang memberi galakan dan memberi takut untuk melakukan sesuatu.
13. Musalsalat: Hadis berkenaan perbuatan Nabi. Macam Nabi ada garu janggut, pegang kayu, menyelati jari jemarinya semasa menyampaikan ajarannya. Walaupun perbuatan Nabi itu nampaknya tidak kena mengena dengan hadith yang disebut. Tapi dimasukkan juga oleh perawi hadis.
14. Tsulasiyat: Hadis-hadis yang mempunyai perawi seramai tiga orang sahaja atau kurang antara perawi dan Nabi. Ini adalah hadis-hadis yang dipandang sebagai kuat. Kerana semakin kurang perawi, semakin kukuh hadis itu kerana tak banyak mulut yang menyampaikannya. Tambahan pula, itu adalah tiga generasi yang terbaik, jadi mereka sangat-sangat dipercayai. Mereka adalah orang yang paling takut kepada Allah. Mereka takut sekali kalau silap. Jadi hadith jenis itu adalah amat istimewa.
15. amali:
16. Zawaik:
17. Mukhtasarat: ringkasan Hadis
18. Takhrij
19. Asbabul hadith: Kitab yang menceritakan latar belakang sesuatu hadith. Apakah yang mendorong Nabi mengatakan sesuatu.
20. Tartib
21. Taalif: mengikut abjad permulaan hadith itu. Macam kamus.
22. Maudu’: Kitab yang mengandungi hadith-hadith palsu. Antaranya cerita pahala solat Terawih bulan puasa.
23. Doa-doa ma’thur. Mengumpulkan doa-doa yang diajar sendiri oleh Nabi. Doa dari Nabi adalah yang paling baik. Termasuk zikir-zikir yang masyhur.
24. Nasikh mansukh: Supaya kita tahu mana hadith yang telah dimansukh, tahu sejarah dan tahu hukum mana tidak dipakai lagi.
25. Mutashabihul hadith: hadith yang menyebut seperti Allah menyerupai makhluk.
26. Musykilul hadith: hadith yang seperti bertentangan antara satu sama lain.

Yang paling hebat dalam Sahih Bukhari adalah tarjamatul bab atau ‘pemilihan bab’ dalam kitabnya. Menjadi satu kajian ulama Hadith untuk menggali apakah yang dimaksudkan oleh beliau didalam pemilihan tajuknya. Semasa menulis tajuk itu, Imam Bukhari duduk antara mimbar Nabi dan pusara Nabi di Raudhah. Ada ulama sampai menukilkan 70 fasal berkenaan pemilihan tajuk ini.

Berbeza cara penulis-penulis Hadith memulakan kitab Hadith mereka. Ada yang memulakan dengan bab ibadat seperti Imam Tirmizi kerana ibadat amat penting kepada manusia. Imam Malik pula contohnya, memulakan kitabnya dengan tajuk ‘Masa’ sebab masa adalah amat penting. Lebih-lebih lagi menjaga masa solat.

Imam Muslim memulakan kitabnya dengan menceritakan tentang sanad sebab pada dia, amat penting sanad itu untuk menunjukkan mana Hadith yang boleh dipakai.

Ibn Majah punya memulakan kitabnya dengan menceritakan berkenaan Sunnah dan apa yang patut diikuti dan apa yang patut ditinggalkan iaitu bidaah. Dan kemudian menceritakan berkenaan sahabat yang paling kuat mengikuti Sunnah.

Imam Bukhari buat cara lain. Imam Bukhari memulakan kitabnya dengan bab ‘Penurunan Wahyu’. Semua perkara yang dikatakan diatas oleh Imam-Imam Hadis itu tadi adalah bermula dengan wahyu. Ilmu ugama dan kehidupan semua kena dapat dari wahyu. Tidak ada cara lain lagi dah. Pengalaman, fikiran, percubaan (trial and error) tidak akan dapat mencapai kepada pemahaman agama. Wahyu dari Allah lah yang paling benar dan paling sesuai untuk semua manusia.

Tidak ada kitab agama lain yang dihafal seperti Quran. Tidak ada kedengaran kepada kita ada orang yang hafal Injil, Taurat atau Veda. Kalau ada pun, agaknya amat sedikit yang buat begitu. Tapi, entah berjuta orang Islam yang hafal keseluruhan Quran itu. Selain dari Quran, umat Islam juga mengkaji Hadith. Segala perbuatan Nabi dulu dihafal dan disampaikan kepada kita dan sekarang ditulis dan dikaji. Sampai ada ilmu ‘Rijalul Hadith’ untuk mengkaji mereka yang meriwayatkan Hadith-hadith itu.

Ada banyak lagi kitab-kitab hadis yang lain. Yang paling terkenal adalah sunan sittah (enam kitab). Kenapa kitab yg enam ini? Padahal ada kitab lain lagi yang mungkin lebih sahih lagi. Macam Kitab Muwatta contohnya. Tapi Muwatta tidak dimasukkan dalam senarai kitab yang enam itu sebab ia banyak syarah Imam Malik dan pendapat orang lain selain dari Hadith.

Kitab yang enam ini adalah syllabus untuk mengenali Ilmu Hadith. Kalau mengikut sususan sylabus, ianya dimulai dengan Jami’ Tarmizi. Mesti belajar Jami’ Tarmizi sebelum kitab Hadith yang lain sebab Jami’ Tarmizi mengajar berkenaan perbezaan Hadith. Ianya membicarakan tentang sanad dan dimasukkan juga Hadith yang lemah dan sebagainya. Jadi pelajar Hadith akan tahu perbezaan antara Hadith-Hadith itu. Banyak Hadith yang berbeza dimasukkan di dalam Jami’ Tarmizi.

Yang kedua dalam susunan adalah Sunan Abu Dawud. Kitab ini menjelaskan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama feqah. Keputusan yang dibuat oleh ulama-ulama feqah itu semua adalah berdasarkan dalil dari Hadith sebenarnya. Jadi kita jangan memperlekehkan pendapat mereka.

Ketiga, baru masuk Kitab Sahih Bukhari. Sahih Bukhari pula mengajar bagaimana ulama mengambil hukum dari hadith-hadith itu. Imam Bukhari hendak mengajar bagaimana melakukan ijtihad. Dia hendak mengajar bahawa sebaik-baiknya istinbat hukum menggunakan hadis yang paling sahih.

Keempat, Sahih Muslim. Dalam Kitab Sahih Muslim, banyak lagi dimasukkan Hadith sahih yang dikeluarkan melebihi Bukhari lagi. Tujuannya adalah untuk memberi sokongan kepada hadis-hadis yang disampaikan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari.

Kelima, Sunan Nasaei. Sunan Nasaei pula mengajar bahawa bukan hanya sanad perlu dilihat. Ada Hadith yang sanadnya cantik molek tapi ada cacat di dalam Hadith itu. Mungkin perawi ada yang silap. Mungkin ada illat (cacat) dalam Hadith itu yang tidak sesuai dimasukkan.

Akhir sekali, Sunan Ibn Majah. Sunan Ibn Majah tidak ada klasifikasi di dalam hadithnya. Tidak diberitahu samada hadis itu sahih, lemah atau palsu. Ianya seperti nak beri ujian kepada pelajar Hadith yang telah belajar lima kitab sebelum ini. Setelah mereka belajar lima kitab sebelum itu, mereka sudah sepatutnya tahu mana Hadith yang dhaif dan sebagainya.

Jadi, bila kita belajar Sahih Bukhari ini dahulu, ini bermakna kita sudah melangkah kelas dan oleh kerana itu, kita akan berjumpa benda yang pelik kerana kita tidak melalui syllabus yang telah disusun. Oleh itu, jangan terkejut dan kena buka minda. Contohnya, dalam Sahih Bukhari ada mengatakan bahawa kalau perempuan dalam haid pun boleh pegang dan baca Quran. Walaupun pelik tapi ada gunanya kepada kita. Kerana ianya akan memudahkan orang-orang perempuan sebenarnya.

Imam Bukhari memulakan kitabnya dengan bismillah sahaja. Tidak ada perkataan lain digunakan sebagai pembuka kata. Dia nak cerita, kalau ada hadith yang lain yang mengatakan kena cakap pembuka-pemuka kata yang lain itu, dia dah gunakan dah. Maknanya, dalam masa yang sama, dia hendak memberitahu yang pembuka-pembuka kata yang lain itu tidak tepat pada dia.

Tajuk Kitab Permulaan Wahyu tu pun menjadi tajuk perbincangan. Sebab ulama hairan kenapa diletakkan tajuk macam tu, tapi hadith yang berkemaan permulaan hadith ada satu sahaja. Imam Bukhari hendak memberitahu kita bahawa semua hadith yang Nabi dapat itu adalah ‘baharu’ semuanya, sebab dah lama dah wahyu tak turun sejak dari zaman Nabi Isa lagi.

Dan juga Imam Bukhari hendak menceritakan bahawa wahyu itu banyak jenis. Bukan macam yang Nabi dapat sahaja. Ada yang dapat kepada binatang dan lain-lain.

Allahu a’lam.

Audio kuliah Maulana Asri boleh download di sini

Kuliah Ustaz Solah

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s