We're just visitors

At the end of the game, the King and the Pawn goes into the same box

Hadith Bukhari no 1; Bab Permulaan Wahyu May 13, 2012

Filed under: Hadith,Kitab Permulaan Wahyu — visitor74 @ 11:01 pm

Kitab Tentang Wahyu

باب كيف كان بدء الوحى إلى رسول الله (ص) وقول الله عزوجل إنا أوحينا إليك كما أوحينا إلى نوح والنبيين من بعده

Bab 1: Bagaimana Permulaan Datangnya Wahyu Kepada Rasulullah SAW Dan Firman Allah Ta`Ala Yang Bermaksud; “Sesungguhnya Kami Telah Mewahyukan Kepadamu Seperti Mana Kami Telah Mewahyukan Kepada Nuh Dan Nabi-Nabi Sesudahnya”.

بسنده المتصل منا إلى الأمام الحجة الحافظ امير المؤمنين فى الحديث محمد بن إسماعيل البخارى قال:

١- حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُاللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الأَنْصَارِيُّ قَالَ أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ ابْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رضي الله عَنْهم عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ {سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ }

1- Al-Humaidi Abdullah bin az-Zubair telah menceritakan kepada kami, katanya: “Sufyan telah menceritakan kepada kami, katanya: “Yahya bin Said al-Anshari telah menceritakan kepada kami, katanya: “Muhammad bin Ibrahim al-Taimi telah memberitahu kepada saya bahawa dia telah mendengar `Alqamah bin Waqqash al-Laitsi berkata: “Saya telah mendengar Umar bin al-Khatthab berkata di atas mimbar: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya. Oleh itu sesiapa yang hijrahnya adalah untuk mendapat dunia atau untuk berkahwin dengan seseorang wanita maka hijrahnya dikira untuk tujuannya.”

Ayat Quran dipermulaan tajuk adalah ayat dimana Allah menceritakan bagaimana wahyu disampaikan kepada Nabi Nuh dan nabi-nabi yang lain. Nuh dikatakan rasul yang pertama kerana dia adalah rasul pertama yang ada syariat. Macam Nabi Adam tiada syariat. Syariat masa baginda adalah simple sahaja.

Imam Bukhari meletakkan tajuk ini kerana hendak menyampaikan betapa pentingnya wahyu itu. Segala kehidupan kita memerlukan wahyu untuk mendidik kita di alam ini. Tiada doktrin ciptaan manusia yang mampu menandingi Quran dalam memberi kepuasan kepada manusia.

Imam Bukhari memulakan Kitab Sahih Bukharinya ini dengan Hadith yang diriwayatkan oleh orang Mekah dan orang itu Quraish pula. Orang Mekah dan orang Quraish kena diutamakan. Kerana mereka yang paling dekat dan ada pertalian darah dengan Nabi Muhammad. Tok guru dia yang pertama ini adalah orang Mekah.

Begitu juga, dia hendak mengingatkan kita bahawa penurunan Wahyu berperingkat. Wahyu mula turun di Mekah dan selepas itu baru turun di Madinah. Perkara seperti ini pun diambil kira oleh Imam Bukhari. Menunjukkan betapa halusnya dan detail pemikirannya.

Khutbah Umar diambil sebagai khutbahnya yang awal. Iaitu dalam hadith ini, Umar menceritakan hadith ini di mimbar. Ini adalah semasa zaman pemerintahan Saidina Umar. Hendaklah kita ingat betapa penting khutbah itu. Sampaikan kita dikira berdosa kalau buat benda lain semasa khutbah diberi. Jadi cukuplah khutbah Umar sebagai khutbah kitab Bukhari ini.

Dalam Hadith pertama ini ada menyebut tentang ‘hijrah’. Imam Bukhari juga nak cerita betapa pentingnya hijrah itu. Kadang-kadang kita kena berhijrah untuk mencari ilmu. Maknanya, kena bersusah payah sikit untuk mendapatkan. Macam Imam Bukhari sendiri yang telah berusaha mencari ilmu dengan mengembara jauh. Beliau telah meninggalkan isteri dan anaknya untuk mencari ilmu. Tak boleh senang-senang sahaja belajar dengan hanya membaca atau melihat CD sahaja. Tidak sama barakah yang akan didapati kalau belajar di dalam kelas. Oleh itu, kita kena talaqqi dengan guru. Iaitu duduk berhadapan dengan guru.

Kehidupan Imam Bukhari adalah amat susah semasa dia menuntut ilmu. Imam Bukhari ada sekali tak pergi kelas sebab dia tiada baju nak pakai. Dia juga pernah makan rumput sebab dia tidak mahu meminta-minta tolong. Dia tiada duit sebab di dalam perjalanan dia telah ditipu oleh rakan perjalanannya. Dia dengan jujur telah memberitahu kepada rakan perjalanannya yang dia ada duit. Dan orang itu telah menjerit mengatakan wangnya telah dicuri. Sebab orang itu nak mengaku bahawa duit yang ada pada Imam Bukhari itu adalah duitnya. Tetapi apabila diperiksa pada semua orang, duit yang dikatakan dicuri itu tidak ada, walaupun pada diri Imam Bukhari sendiri. Orang yang menjerit itu hairan dan bertanya, manakah duit itu? Imam Bukhari jawap, dia telah buang ke laut duit itu. Oleh kerana tak mahu dikatakan sebagai pencuri, sampai namanya rosak di kemudian hari, Imam Bukhari sanggup membuang duit belanjanya untuk belajar ke dalam laut.

Nabi juga berhijrah semasa baginda bertahanud di Gua Hira’. Baginda telah berhijrah untuk meninggalkan perbuatan salah kaumnya.

Hadith ini menceritakan pasal ‘niat’. Niat adalah amat penting di dalam melakukan ibadat. Kita akan dibalas mengikut apa yang kita niatkan. Niat yang paling penting adalah untuk beribadat kepada Allah. Walaupun ibadat itu banyak, tapi tujuan niat adalah satu – kerana Allah taala.

Hadith ini berulang di dalam Sahih Bukhari sebanyak 13 kali dan ada perubahan dari perkataan niyyat dan niyyah.

Ikhlas adalah penting. Kalau tak ikhlas, ibadat tak diterima, jadi macam orang munafik pula. Tapi kadang-kadang dalam kita nak ikhlas pun, adalah juga terselit niat kerana perkara lain. Itu masih lagi dibolehkan. Asalkan niat kita lebih banyak kerana Allah. Kalau sama niat kerana Allah dan niat kerana perkara lain pun tidak boleh.

Semasa zaman Nabi, telah diperintahkan para sahabat untuk berhijrah. Maka, ada juga sahabat yang hijrah bukan kerana Allah, tapi kerana hendak menikahi seorang perempuan. Sahabat yang hijrah kerana wanita dalam hadith itu pun Islam juga, bukannya dia kafir. Cuma tercampur sikit dengan niat yang lain. Dan dia dah bertaubatdah pun. Sampai nama beliau tidak disebut sebab ini adalah perkara salah dan tidak mahu memalukannya. Nama perempuan itu disebut.

Apa kaitan hadis ini dengan tajuk bab ini? Tajuk bab adalah: ‘Permulaan Wahyu’ tetapi apa kaitannya dengan Hadith ini? Imam Bukhari hendak memberi isyarat, sebab niat Nabi Muhammad semasa bertahanud ke Gua Hira’ itu untuk mencari kebenaran lah yang telah menyebabkan baginda menerima wahyu. Dan baginda telah melakukan hijrah iaitu baginda telah bertahanud di gua hira’.

Imam Bukhari memulakan kitabnya dengan Basmalah. Sama macam memulakan membaca Quran juga, di mana kita akan membawa basmalah juga. Imam Bukhari hendak isyarat kepada kita bahawa kalau hadis itu sahih, hukumnya sama macam Quran. Kita kena terima dan taat kepada hadis yang sahih sebagai hukum dari Allah. Sama seperti kita kena terima ayat Quran. Syaratnya, hadis itu mestilah sahih. Termasuk juga kalau ianya hadis Hasan. Kalau hadis itu lemah, barulah boleh kalau kita tolak.

Imam Bukhari hanya memulakan kitabnya dengan Basmalah sahaja. Imam Bukhari tidak memulakan kitabnya dengan alhamdulillah atau kata-kata lain memuji Allah. Kebiasaannya, ramai yang akan memulakan majlis atau kitab mereka dengan memuji-muji Allah ada hadis yang menyebut bagaimana Nabi apabila memulakan majlis ilmu, baginda akan sebut memuji-muji Allah. Tapi kenapa Imam Bukhari tidak buat begitu? Ini adalah sebagai isyarat dari Imam Bukhari bahawa hadis yang Nabi memulakan majlis dengan alhamdulillah itu tidak sahih, mungkin ada masalah. Hadis itu berbunyi:

كل كلام لا يبدأ فيه بحمد الله فهو أجذم

Ertinya: “Setiap percakapan yang tidak dimulakan dengan pujian kepada Allah maka ia adalah terpotong” (Riwayat Ibn Hibban dalam Sohihnya; Ibn Solah dan An-Nawawi: Hadith Hasan ; Rujuk Syarah Ibn Majah oleh As-Sindi)

Hadis itu mengatakan jika tidak dimulakan dengan alhamdulillah, pekerjaan itu terpotong/cacat. Hadis itu tidak melepasi syarat Imam Bukhari. Maka hadis itu dianggap oleh Imam Bukhari sebagai lemah. Jadi dia tidak masukkan dalam kitabnya. Syarat Imam Bukhari lebih ketat kalau dibandingkan dengan penulis hadis yang lain.

Tajuk Imam Bukhari letakkan itu sudah memberitahu hukum yang hendak disampaikannya. Itulah perbincangan tarjamatul bab. Iaitu perbincangan kenapa Imam Bukhari meletakkan tajuknya sedemikian. Ulama nampak hebat sungguh olahan tajuk-tajuk bab yang digunakan oleh Imam Bukhari sampaikan bahagian tajuk bab sahaja sudah panjang syarahnya. Itulah sebabnya sampai ada perbincangan khusus tentang tarjamatul bab itu.

Kitab ini dinamakan ‘Kitab Permulaan Wahyu’. Apakah maksud ‘Kitab‘ dalam Sahih Bukhari? Kitab adalah tajuk besar dalam Sahih Bukhari ini. Dalam kitab, tentu ada isi. Iaitu dalam kitab, ada ‘bab’. Tajuk besar dinamakan ‘Kitab’ dan tajuk kecil di dalam kitab, dinamakan ‘bab’. Pemecahan dan penerangan tentang kitab terletak dalam bab. Di bawah bab-bab itu pula, akan dimasukkan hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh Imam Bukhari.

Kitab ini hendak menceritakan bagaimana permulaan wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pertama sekali, kita kena tahu apakah ‘wahyu‘ itu. Dari segi bahasa, ianya bermaksud apabila kita memberitahu sesuatu kepada seseorang. Memberitahu itu pula secara halus. Sebab itu ‘wahyu’ juga ada dinamakan sebagai ‘ilham‘. Ianya adalah dalam bentuk bisikan halus.

Dari segi syariat, wahyu adalah titah/perkataan/firman Allah taala yang disampaikan kepada Nabi Muhammad, tidak kira dengan cara apa sekalipun. Asalkan ianya dari Allah. Semua yang mari dari Allah dinamakan ‘wahyu’. Wahyu itu sendiri ada banyak jenis. Akan diterangkan oleh Imam Bukhari. Cara penerimaan wahyu kepada Nabi itu sendiri sudah memberitahu kepada kita makna wahyu.

Imam Bukhari membawakan ayat Quran dalam tajuknya itu. Imam Bukhari memberi isyarat bahawa wahyu itu adalah ‘percakapan’ Allah. Itulah maksud Imam Bukhari meletakkan وقول الله. Kerana قول bermaksud ‘cakap’. Di sini Imam Bukhari hendak mengajar akidah. Iaitu kepercayaan bahawa ‘Allah bercakap’. Ini adalah perkara akidah. Maknanya, awal-awal lagi Imam Bukhari dah bincangkan akidah. Dan kitab yang akhir nanti adalah Kitabul Aqidah. Maknanya, awal Sahih Bukhari beliau membincangkan akidah, di akhir nanti pun akan membincangkan akidah juga. Itu adalah salah satu kelebihan Sahih Bukhari ini. Itulah cara beliau menulis kitab. Iaitu ada persamaan antara awal dan akhir.

Seperti yang telah disebut, Imam Bukhari hendak memberitahu kita dalam hadis ini bahawa ‘Allah taala bercakap’. Kerana ada akidah umat Islam yang mengatakan Allah tidak bercakap. Zaman Imam Bukhari pun sudah ada yang berpendapat begitu. Itulah sebabnya Imam Bukhari dengan sengaja telah menggunakan perkataan ‘Allah bercakap’ dalam tajuknya. Kerana mereka kata, kalau Allah bercakap, dah sama dengan makhluk pula, dah Allah tidak sama dengan makhluk. Itu adalah akidah yang salah. Kerana memang Allah boleh berkata-kata. Allah bukan bisu. Dia boleh bercakap. Kalau bisu, sudah tidak cukup sifat pula, dah kena guna isyarat pula. Bercakap pula dengan cara Dia. Takkan sama dengan cara cakap makhluk. Sesama makhluk pun dah berlainan cara percakapan. Antara bangsa dengan bangsa lain pun dah lain. Binatang dengan manusia pun sudah lain cara bercakapnya. Jadi, cara percakapan Allah adalah yang selayak denganNya. Bukanlah apabila kita kata Allah bercakap, percakapan Allah itu sama dengan percakapan pula.

Ayat yang dibawa dalam tajuk beliau itu adalah petikan dari Nisa:11

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَىٰ نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِن بَعْدِهِ

Sungguhnya Kami telah mewahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah mewahyukan kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi kemudian daripadanya;

Apabila Allah membahasakan DiriNya sebagai ‘Kami’, itu adalah untuk isyarat kepada keagungan. Allah hendak memberitahu agungnya kerajaan Allah taala. Walaupun digunakan perkataan ‘Kami’, ianya bermaksud ‘Aku’.

Dalam ayat ini tidak disebut Nabi Adam a.s. Hanya disebut Nabi Nuh dan nabi-nabi selepasnya. Nabi Adam tidak disebut kerana tidak sama Nabi Adam dengan nabi-nabi yang lain. Nabi Adam telah bercakap dengan Allah semasa di syurga lagi. Maka, dia telah bercakap sendiri dengan Allah. Bukan melalui wahyu lagi. Bukan dengan cara bisikan halus lagi. Dia sendiri telah ‘diturunkan’ bukannya wahyu yang ‘diturunkan’ kepadanya. Ada juga Ulamak yang mengatakan bahawa tidak ada keperluan wahyu di zaman Nabi Adam dan sebab itu tidak ada disebut wahyu diturunkan kepada baginda. Tetapi wahyu sudah mula diperlukan pada zaman Nabi Nuh.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa cara yang sama telah digunakan untuk memberi wahyu kepada Nabi Nuh dan Nabi-nabi lain termasuk juga kepada Nabi Muhammad.

Perawi pertama dalam hadis ini, Al-Humaidi Abdullah bin az-Zubair adalah salah seorang guru yang imam Bukhari banyak belajar dengannya. Dia adalah muhaddis (ahli hadis) yang hebat pada zamannya. Dan Imam Bukhari telah belajar dengan seorang yang hebat.

Apabila digunakan perkataan أَخْبَرَنِي  (telah dikhabarkan kepadaku) dalam hadis ini, ini bermaksud hadis itu disampaikan dengan cara pelajar yang membaca hadis kepada guru dan diperiksa oleh guru. Maknanya, yang membaca hadis itu adalah anak murid dan bukan guru. Ini adalah cara pembelajaran kita dalam sanad kelas ini. Sebab itu, anak murid kena mahir baca hadis-hadis dalam Sahih Bukhari ini.

Tentang Niat: Sesungguhnya amal itu dengan niat. Tidak adanya amal melainkan bergantung dengan niatnya. Niat itu adalah lintasan di dalam hati manusia. Sebelum kita melakukan sesuatu, pasti akan terdetik niat itu dalam hati kita. Seseorang itu akan mendapat faedah mengikut niatnya. Kalau seseorang itu niatnya baik, dia akan mendapat ganjarannya yang baik. Kalau niatnya tidak baik, dia tidak akan mendapat ganjaran yang baik.

Hijrah yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah hijrah pada zaman Nabi dari Mekah ke Madinah. Hadis ini memberitau kita, siapa yang hijrahnya kerana hendakkan dunia, dia tidak akan mendapat ganjaran pahala. Apabila digunakan perkataan ‘dunia’ maka ia bermaksud sesuatu yang tidak berkenaan dengan agama. Iaitu apabila hijrahnya itu hanya berkenaan dengan hawa nafsu sahaja.

Dan jikalau hijrahnya itu kerana perempuan, mungkin kerana dia ingin menikahi perempuan, maka dia tidak juga mendapat ganjaran yang baik dari segi agama.

Diulangi yang seseorang itu akan mendapat ganjaran berdasarkan kepada niatnya. Jikalau hijrahnya itu ke arah kebaikan, maka dia akan mendapat kebaikan. Tetapi, hadis ini bukanlah hendak mengatakan salah dan berdosa jikalau seseorang itu berhijrah kerana dunia atau jikalau dia hendak menikahi seseorang wanita. Ianya hanya menjadi kesalahan jikalau niatnya untuk keburukan. Sebagai contoh, jikalau hijrahnya itu kerana hendak mencari harta yang haram, dia akan mendapat dosa. Tetapi, jikalau dia berhijrah kerana dunia, dia akan hanya dapat dunia; dan jikalau dia berhijrah kerana hendakkan perempuan, dia akan hanya mendapat perempuan itu sahaja.

Ini adalah hadis dimana Nabi Muhammad memberikan contoh untuk menjelaskan maksud yang hendak disampaikan. Nabi Muhammad suka mengajar dengan memberikan contoh. Manusia akan lebih faham apabila diberikan contoh. Oleh kerana itu, Nabi Muhammad menyampaikan hadis ini dengan memberikan contoh. Hadis Yang hendak disampaikan adalah:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang mendapat apa yang diniatnya.

Dan untuk menjelaskan hadis itu, Nabi telah memberikan contoh:

فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Oleh itu sesiapa yang hijrahnya adalah untuk mendapat dunia atau untuk berkahwin dengan seseorang wanita maka hijrahnya dikira untuk tujuannya.

Jadi, hadis ini ada dua bahagian: satu bahagian adalah hadis, dan satu bahagian lagi adalah contoh. Nabi hendak memberi contoh yang jikalau seseorang itu berhijrah kerana dunia, dia akan mendapat dunia. Dan jikalau dia berhijrah kerana hendakkan perempuan, maka dia juga akan mendapat perempuan. Tapi jika itulah sahaja niatnya, maka tidaklah dia mendapat ganjaran dalam agama. Ini adalah dua contoh sahaja, bermakna bukan setakat dua perkara ini sahaja. Ianya boleh dipakai dalam banyak lagi keadaan.

Semasa hijrah zaman Nabi itu, ada juga sahabat yang berhijrah kerana hendak menikahi seorang perempuan. Apabila Nabi tahu begitu, maka itulah sebabnya Nabi menyampaikan contoh seperti lelaki itu.

Hadis ini bukanlah hadis yang mutawatir. Hadis yang mutawatir adalah jika ianya disampaikan oleh lebih dari dua puluh orang perawi. Tapi dalam hadis ini, ianya disampaikan oleh seorang sahaja. Asalnya disampaikan oleh Umar, kemudian oleh seorang perawi lain, kemudian disampaikan oleh seorang perawi lain. Oleh itu, ini adalah khabar Ahad. Terma yang digunakan adalah khabar wahid. Ianya dinamakan demikian kerana diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja. Semua bentuk hadis ini diambil dari Umar sahaja. Maknanya, tidak ada sahabat lain yang berkata begitu. Yang ambil dari Umar pun seorang sahaja.

Ini adalah isyarat Imam Bukhari hendak memberitahu kita bahawa untuk hadis itu dikelaskan sebagai sahih, tidak semestinya kena mutawatir. Ianya menjadi sahih apabila hadis itu dirawikan oleh perawi yang tsiqah. Tsiqah bermaksud orang yang merawikan hadis itu dipercayai dalam ilmu bidang hadis. Walaupun seorang sahaja sudah cukup. Sudah boleh dibawa sebagai hujah. Ini ditekankan oleh Imam Bukhari adalah kerana ada ulamak yang menolak hadis Ahad. Mereka kata kena hadis tentang akidah mesti kena khabar mutawatir. Maka, Imam Bukhari hendak menolak pendapat itu dengan cara membawakan hadis ini.

Tsiqah itu bermaksud seseorang itu dipercayai dalam bidang hadis. Bukan sahaja dia seorang yang baik dan amanah dalam hidupnya, tapi dalam hal hadis. Kerana ada orang yang kita mempercayai dirinya hingga sampai kita sanggup meninggalkan wang kita padanya. Tetapi tidaklah semestinya kita sudah boleh percaya dengan orang yang begitu dalam hal hadis. Ulama hadis memang mementingkan kepercayaan seseorang itu dalam bidang hadis. Syarat yang ketat telah diletakkan ulama hadis untuk menjaga kesahihan hadis. Kalau sekali sahaja seseorang itu tersilap dalam merawikan hadis, maka dia terus tidak dikira sebagai tsiqah. Terus tidak diterima mana-mana hadis yang diriwayatkan olehnya.

Imam Bukhari menerima khabar Ahad sebagai hadis yang sahih berdasarkan banyak hadis. Sebagai contoh, seorang wanita pada zaman Nabi telah mengatakan bahawa dia telah menyusukan dua pengantin yang telah berkahwin. Apabila kedua mereka telah disusukan oleh wanita yang sama, maka mereka berdua adalah ‘adik beradik susuan’ dan haram berkahwin sesama mereka. Walaupun berita itu disampaikan oleh wanita itu sahaja, tapi Nabi telah menerimanya.

Dalil lain: Nabi menerima berita seorang sahabat yang nampak anak bulan dan dari berita yang disampaikan olehnya, baginda telah menetapkan yang bulan Ramadhan sudah bermula. Nabi tak tunggu ada orang lain datang untuk mengatakan perkara yang sama. Dan banyak lagi dalil-dalil lain. Maka jelaslah kepada kita bahawa hadis Ahad boleh digunakan sebagai dalil dalam berhujjah dan dalam amalan agama.

Hadis ini adalah hadis yang terkenal dan ramai orang yang tahu tentang hadis ini. Dan semua Imam mazhab mengambil dalil dari hadis ini bahawa ibadat dimulakan dengan niat. Tapi ramai juga yang salah faham dengan maksud hadis ini. Maka ramailah yang mengajar tentang ‘niat’. Maka adalah ajaran mereka yang mengatakan apabila hendak memulakan solat, mesti dimulai dengan ‘lafaz niat’ seperti lafaz usolli, apabila nak mulakan puasa dengan lafaz nawaitu dan sebagainya. Mereka menggunakan hadis ini sebagai dalil. Benarkah begitu?

Untuk menjawab persoalan ini kita hendaklah bertanya adakah sahabat setelah mendengar hadis ini memulakan ibadat-ibadat mereka dengan sebegitu rupa? Persoalan ini penting kerana kita kena terima hadis seperti yang sahabat faham. Jangan kita faham hadis dengan cara kita kerana pemahaman kita mungkin salah. Sahabat lebih faham kerana mereka melihat sendiri perbuatan Nabi. Dan Nabi akan mengajar sahabatnya sampai mereka faham betul-betul.

Jawapannya adalah, sahabat tidak pernah melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita. Perbuatan masyarakat kita yang memulakan ibadat dengan lafaz niat itu adalah salah dan bidaah sama sekali.

Hendaklah kita berhati-hati dalam menyampaikan ilmu hadis ini. Kerana jikalau kita membawa hadis yang tidak sah, kita akan ada masalah nanti. Nabi telah bersabda bahawa sesiapa yang mengatakan bahawa Nabi telah berkata sesuatu padahal Nabi tidak pernah berkata begitu, maka mereka itu telah disiapkan tempatnya di neraka. Dan Nabi pernah bersabda mereka yang menyebar-nyebarkan berita palsu dari Nabi adalah dajjal-dajjal akhir zaman. Mereka inilah ustaz-ustaz yang menjaja-jaja ada hadis yang dhaif dan palsu dan mengajar pula kepada masyarakat yang jahil.

Berbalik kepada masalah niat. Sebenarnya apabila kita hendak memulakan ibadat seperti solat, sebenarnya telah ada niat itu di dalam hati kita. Tidak perlu untuk kita lafazkan niat. Takkan kalau kita sudah ambil duduk dan sudah bentangkan sejadah untuk solat, kita masih tidak ada niat?

Jadi ajaran-ajaran dengan teknik lafaz niat itu adalah karut belaka. Tidak pernah Nabi ajar susunan lafaz begitu. Diajar pula oleh mereka yang jahil supaya disebut dan disusun dalam masa takbir pula. Mereka yang buat begitu akan jadi was-was kerana mereka kata niat ‘tak masuk’. Sampai panjang jadinya takbir mereka. Padahal takbir itu senang sahaja. Apa yang mereka buat itu melampau dalam agama. Maka mereka sudah menambah-nambah dalam agama. Mereka sampai tertinggal dari mengikut imam. Dan kerana tidak mengikut imam, kesannya adalah solat mereka tidak sah. Sampai begitu berat sekali kesannya.

Apabila kita belajar hadis, kita akan belajar agama cara original. Memang semua Muslim kena belajar hadis. Malangnya pembelajaran hadis tidak ditekankan di negara ini. Mereka banyak belajar feqah tapi tak belajar hadis, tak belajar tafsir Quran. Mereka yang tak belajar Quran dan hadis itu lebih teruk dari Abu Jahal sebenarnya. Sebab Abu Jahal pun curi-curi dengar juga bacaan Quran dan hadis dari Nabi. Cuma dia tak beriman kerana degil sahaja. Tapi orang kita? Tak teringin pun nak belajar Quran dan hadis. Benda lain mereka banyak belajar, tapi yang lebih penting, mereka tak belajar. Tapi begitulah kebanyakan masyarakat kita.

Ingatlah kalau sesuatu perkara itu baik, sahabatlah yang akan mula-mula buat. Kalau Majlis Tahlil itu molek, maka tentunya mereka dulu dah buat dah. Seperti kata ulama:

ولو كان خيرا لسبقونا إلي.

Sekiranya hal itu merupakan suatu hal yang baik, niscaya mereka akan mendahului kita semua dalam mengamalkannya.

Yang penting adalah ikhlas. Dan ikhlas itu pula kena dengan apa yang diajar oleh Nabi.

Amalan dalam hadis ini merangkumi semua amalan, bukan amalan ibadat sahaja. Kalau sesuatu perbuatan kita itu kita buat kerana niat yang buruk, ianya akan menjadi buruk. Walaupun jikalau perbuatan kita itu baik, kalau dilihat dari luarannya, tetapi jikalau kita lakukan dengan niat yang buruk, ianya akan menjadi buruk juga.

Ada sesetengah perkara yang memang amalan ataupun perbuatan itu sendiri pun sudah buruk. Jadi, walaupun kalau kita lakukan dengan niat yang baik, ia akan tetap menjadi buruk. Untuk sesuatu amalan itu diterima oleh Allah, amalan itu sendiri kena baik dan niat melakukannya juga adalah baik.

Apakah kaitan hadis ini dengan Bab Permulaan Wahyu? Hadis ini pula kalau kita baca, ianya berkenaan dengan niat. Dan hadis ini pula disampaikan oleh Nabi di hujung masa badinda di Mekah sebelum hijrah, maka ianya juga berkenaan dengan hijrah.

Imam Bukhari hendak mengajar kita bahawa tidak kira jikalau ianya turun di awal Islam, pertengahan Islam, ataupun di hujung zaman Nabi, ianya tetap terpakai. Tidaklah kita hanya memakai hadis–hadis yang disampaikan oleh Nabi dihujung hayat baginda. Tidak kira bilakah wahyu itu diturunkan, ianya tetap dianggap sebagai wahyu.

Dan kalau kita lihat hadis ini, ianya sampai lewat kepada masyarakat umum. Ianya diberitahu oleh Saidina Umar sewaktu zaman pemerintahannya. Iaitu sesudah berlalunya pemerintahan Khalifah Abu Bakar. Waktu itu baru beliau sampaikan. Ini juga mengajar kita bahawa tidak kira bila sahaja hadis itu dikeluarkan, ianya tetap terpakai.

Pensyarah Sahih Bukhari memberi pendapat bahawa kemungkinan besar Imam Bukhari membawa keluar hadis ini adalah untuk mengajar kita untuk mempunyai niat yang ikhlas dalam mempelajari hadis. Bukanlah kita belajar hadis ini supaya kita dianggap oleh manusia sebagai pandai. Bukanlah kita belajar hadis kerana hendakkan harta dan dunia. Janganlah juga kita belajar hadis kerana kita hendak berdebat. Ada hadis dimana Nabi mengutuk orang yang belajar kerana hendak berdebat dengan orang yang jahil. Kita juga jangan belajar hadis kerana hendak menjadi ustaz.

Hendaklah kita membersihkan niat kita mempelajari hadis untuk mengetahui tentang agama supaya dapat mendidik diri kita dan orang-orang yang di sekeliling kita. Dan supaya kita beramal sesuai dengan kehendak hadist itu. Barulah kita benar-benar belajar habis kerana Allah Ta’ala. Kita juga belajar hadis kerana hendak tahu tentang agama. Janganlah kita menjadi orang yang jahil yang tidak tahu dan terus buat tidak tahu. Kita ini memang jahil juga, tapi kita orang yang nak belajar dan sedang belajar. Maka, banyak kesalahan kita dalam belajar itu dimaafkan oleh Allah kerana kita sedang belajar. Manakala orang yang tidak tahu dan tidak ambil tahu, dia tidak ada pelepasan dari Allah kerana dia tidak belajar.

Apabila ikhlas dalam belajar, kenalah tinggalkan segala yang salah apabila dia tahu bahawa itu adalah amalan yang salah. Kalau dia dah tahu, tapi tak tinggalkan, itu maksudnya dia tidak ikhlas.

Hanya dengan belajar hadis sahaja kita dapat tahu sunnah dan dapat lawan bidaah. Orang yang buat bidaah itu maksudnya dia tidak faham sunnah. Mungkin dia belajar, tapi tak faham.

Lompat ke hadis yang seterusnya 

Kuliah audio Maulana Asri boleh boleh di sini

Kuliah Bukhari oleh Ustaz Solah boleh didapati di sini

 

 

One Response to “Hadith Bukhari no 1; Bab Permulaan Wahyu”

  1. […] Kitab Permulaan Wahyu tu pun menjadi tajuk perbincangan. Sebab ulama hairan kenapa diletakkan tajuk macam tu, tapi […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s